oleh Hasyuda Abadi
Ketua Satu IPS
MEMETIK kata Carl S.Hale tentang sang bijaksana
dalam dunia penulisan kreatif: creative
writers provide the covert foundation for social change and spiritual
transformation, which requires that they remain loners who are totally
dedicated to their work', saya sentiasa mencari dan memahami bahawa menjadi
seorang penulis itu harus menuju ke arah kebijaksanaan bukan sekadar atau
pas-pasan atau alang-alang suka-suka menulis. Tidak juga disebabkan terlanjur
menulis akibat sesuatu peristiwa yang melukai tetapi menjadikan bidang ini
sebagai sebuah landasan menyampaikan buah fikiran. Seandainya tidak mampu
banyak, sedikit pun memadai untuk diingat dan diisi dalam hasil kreatif masing-masing.
Penulis sering dinilai dalam perspektif yang pelbagai.
Mereka diperhati sebagai insan yang berkebolehan yang jarang ada pada orang
yang lain. Mereka merupakan pemikir, pencetus, penyampai, penganalisis dan
pendorong dalam pelbagai dimensi kehidupan. Dalam masyarakat penulis menjadi
penyumbang inspirasi terhadap isu-isu semasa atau isu-isu yang hangat
diperkatakan masa kini dan masa lalu. Penulis juga penyumbang kepada berlakunya
percaturan pemikiran antara kelompok masyarakat. Penulis mempunyai entiti yang
tersendiri. Mereka membentuk identiti tertentu yang mempunyai pengikut
tertentu. Sesetengah daripada mereka merupakan mentor yang tersohor kerana
pendapat mereka begitu diamati.
Penulis adalah sebahagian manusia yang aneh dan pelik.
Mereka sering mengutarakan idea-idea yang pelik dan bernas. Penulis mengupas
isu-isu global yang luar biasa, mampu merentas angkasa, benua dan lautan. Realitinya kepelikan penulis memang ada asasnya misalnya
dalam soal kehidupan seharian. Kalaulah penulis hidup seperti rutin orang
biasa, dia tidak akan nampak apa yang ada di sebalik kebiasaan itu. Tulisannya
akan kehilangan suara-suara yang boleh memberi tumpuan. Kelainan penulis
sebagai seniman akan memberikan keinsafan atau kesedaran orang biasa untuk
membaca atau menonton atau mendengar sesuatu sama ada yang baru atau yang
selalu disampaikan.
Kehidupan ini bukankah merupakan pusingan yang
sentiasa berulang? Penulis menulis sejarah. Penulis memperkatakan perihal kehidupan
mengikut pilihannya. Mereka menulis berasaskan landasan kreatif. Puisi yang
relatif pendek tetapi menyimpan makna yang amat besar. Cerpen yang dinamik
mengajak pembaca meneroka pemikiran yang sederhana kepada segmen-segmen
pemikiran yang besar dan global. Sedangkan
novel atau teater menjanjikan perjalanan yang panjang dan jauh terhadap isu-isu
yang digarap menerusi sumbangan falsafah, asbab-asbab dalam pergerakan plot
citra para penulis. Kreativiti menjadikan kemustahilan itu sebagai kebenaran
dalam pemikiran. Tidak jarang juga menjadi kebenaran dalam kehidupan itu
sendiri.
Dalam pertimbangan sastera, ada masanya penulis
karya kreatif mengabaikan hal-hal berkaitan kejujuran dalam berkarya. Sebab itu
penulis sering diingatkan soal keluruhan jiwa, kejernihan hati. Apakah penulis berdosa
kerana menulis apa sahaja tanpa mengambil kira kebaikan atau faedah daripada intipati
penulisan mereka? Atau dosa itu langsung tidak menjadi hambatan kerana
beranggapan apa yang disampaikannya hanya berupa cerita yang diperindah melalui
diksi-diksi terpilih, atau latar perisitwa yang dikreatifkan, bahkan meletakkan
hujahan sekadar lontaran idea atau pemikiran semata-mata. Sudah
tentu penulis berasa kurang bebas kerana digarisbawahi oleh andaian-andaian
yang menyebabkan mereka tidak selesa? Penulis sukakan kebebasan. Pemikiran berkembang dengan
adanya ruang yang lepas berlegarnya nuansa kreatif.
Kreatif tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia.
Semua manusia hidup bercirikan nuansa kreatif. Kreativiti manusia sesungguhnya
amat pelbagai. Jangan cuba katakan bahawa manusia adalah mahluk yang kaku, beku
dan pelbagai ungkapan seolah-olah manusia itu tidak berfikir. Waima yang kurang
bijak sana (baca: bodoh) sekalipun memilikinya. Hanya
barangkali corak kreativiti manusia tidak serupa. Manusia
bergelar penulis tidak sama dengan
manusia yang memanipulasikan bidang geografi? Tetapi
mereka juga kreatif bagaimana geografi boleh mendidik manusia memahami
pergerakan awan sehingga memberitahu manusia
lain agar berwaspada terhadap puting beliung akan melanda. Seorang bergelar
guru, mempunyai jalur kreativiti yang lain bagaimana memberikan kefahaman
kepada para pelajarnya sehingga mampu menjadi ahli falsafah yang berwibawa.
Ahli politik juga menelusuri ruang lingkup bidang mereka
berdasarkan kreativiti berbahasa untuk
memenangi hati rakyatnya. Cara mereka melebarkan janji-janji merupakan aspek
perlu yang bukan mudah disebarkan. Menyebarkan
dakyah bukan seperti melempar batu atau menabur benih di atas tanah. Perlunya
alat yang sesuai dan antara alat paling mujarab ialah menerapkan kreativiti.
Seterusnya bagaimana manusia menjadikan
tipu helah, memanipulasi muslihat, memilih
kawan dan lawan tidak dapat melepaskan dunia
kreatif. Kelicikan manusia begini sering tidak disedari berada dalam kehidupan
kita. Manusia berseteru sesama sendiri, manusia membina ukhuwah, manusia
bermasyarakat, manusia bernegara dan sebagainya akan ada bersamanya corak,
cara, acuan dan bentuk yang tersendiri.
Bagaimana dengan sifat gelojoh atau
'geragas' dalam mencapai cita-cita? Kreativiti mereka
cukup hebat. Sebenarnya lawan kepada sifat ini adalah
sifat sabar. Apa yang membezakan antara manusia yang rakus dengan tidak adalah
sabar. Orang yang sabar tidak mahu bersandar pada benda-benda dan tidak mahu
menyandarkan diri pada kekuatan serta kekuasaan benda-benda yang ada di
sekelilingnya. Sebab dia mengetahui semua itu pada akhirnya akan hilang dan
yang abadi hanya Allah S.W.T. Kerana itu kekuatan dan kepercayaan dirinya
berkembang dengan sangat baik. Dia tidak memerlukan pemilikan dan kemewahan
untuk mengumpulkan rasa percaya diri dan kekuatan dalamannya. Ada atau tiadanya
benda-benda di sekitarnya tidak mempengaruhi kekuatan dan kepercayaan dirinya.
Orang yang terlalu
membanggakan hubungkait dirinya dengan kekayaan, kedudukan dan yang seumpamanya,
sebenarnya sedang memperlihatkan ketidakberdayaannya dan ketidakpercayaan pada
dirinya sendiri. Orang ini kelihatan penuh rasa percaya diri dan kekuatan itu
disebabkan oleh rasa kepemilikannya. Jika apa yang dimilikinya hilang, maka
rasa percaya dirinya juga akan mengewap habis dan lenyap. Ini juga merupakan
pertanda tidak bersedianya seseorang dalam menghadapi musibah.
Orang yang terlalu
membanggakan kekuasaan dan harta miliknya menunjukkan rasa cinta dan rasa
memiliki yang berlebihan. Sehingga jika kekuasaannya tercabar atau hartanya
hilang dia akan berasa terlalu terpukul. Kerana itu beruntunglah orang yang
sabar. Mereka tidak cinta berlebihan dan tidak berasa terlalu terikat pada
kekuasaan dan harta yang dimilikinya. Mereka menggenggam harta itu dengan
amanah dan menggunakannya dengan baik tanpa wujud rasa riak, angkuh dan bengis.
Sifat-sifat mazmumah di atas bukanlah berlatarbelakangkan kreativiti
tetapi 'nafsu nafsi'. Bagaimanapun kreativiti akan terus menguasai manusia.
Manusia yang menguasai kreativiti mungkin akan terus berkuasa dalam mencapai
pilihan masing-masing. Soalnya hanya satu sama ada pilihannya itu bakal
memberikannya kesempurnaan bukanlah sesuatu yang mutlak. Kehidupan akan
berlarutan kerana kreativiti tidak akan pergi. Selagi manusia tahu memanipulasi
akalnya dengan baik, kreativiti akan memberikan pulangan yang sama.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan