Selasa, Julai 22, 2008

MENIKMATI SYUKUR

alhamdulillah-Mu menyemai rahsia
terlalu padu biarpun fana
demikian ucapan maha kudus
dari jiwa yang mulus
kugugur ke dada sejadah syukur
atas kemahaagungan-Mu
pemberi kasih dan rahmat

bagaimana cahaya perjalanan
demikian berliku
menjelmakan maklum insanku
menghafal riwayat dan hayat
membangun akal memandu cekal
di balik tirai hitam putih
mengharap redha
cinta-Mu

tak mampuku bergantung tiada
selain-Mu
demikian khusyuk dunia
memberiku bara melapah curiga
kesasar dari dasar mahabah
tiada selain-Mu memercikkan
basah nur mengembangkan
bunga muhasabah
menggambar peribadi
mulia

utus syukurku
dalam ungkap alhamdulillah-Mu
lembaran amanah hasanah.


HASYUDA ABADI,
Pustaka Iqbal Nazim,
KOTA KINABALU.

19 Rejab 1429H

Tiada ulasan: