Isnin, Disember 27, 2004

Beberapa Catatan Tentang Tsunami

[i]
Benar. Melihat ombak besar itu sebagai percakapan Tuhan yang mengandungi sesuatu yang kita percayai dalam konteks qadak dan qadarNya. Tolak kepada yang mengalaminya, sebagai insan biasa, merasakan kebesaran ombak itu sebenarnya hanya sedikit daripada Kebesaran-Nya, seperti yang juga kita percayai. Cuba kita berada di hadapan lautan sekarang, ketika bayu menderu, ada percakapan yang mengandungi rahsia, seperti rahsia pada Tsunami (yang hanya cuma istilah, selebihnya milik Allah).

[ii]

Logistik Tsunamis - Ini sebuah tajuk cerpen karya penulis muda Hassan Jadin. Disiarkan dalam majalah Wadah terbitan DBP Cawangan Sabah keluaran Mac-Mei 1995. Sepuluh tahun yang lalu citra tentang tsunami pernah ditangani oleh seorang penulis berpotensi yang amat disayangi oleh allahyarham Dr. Othman Puteh. Penulis muda ini pernah meraih Hadiah Sastera Perdana dalam genre puisi.

Isu tsunami segala global hanya diuar-uarkan bermula pada hujung Disember tetapi dalam bentuk kreatif ia sudah pernah ditulis oleh penulis kita di Sabah. Masa itu Wadah ditangani oleh Kak Hajah Zaiton Ajamain. Membacanya semula memang ia amat sesuai dengan situasi yang baru melanda negara-negara Asia yang berhadapan dengan Lautan Hindi. Persoalannya tentang pergolakan lautan. Ada konspirasi antara penghuni lautan seperti Dolhpin dan Jerung. Lautan dikuasai Raja Samudera. Diolah dengan baik dengan analogi-analogi yang halus untuk renungan. Namun Logistik Tsunamis ini juga dikembangkan dengan cerita Todak dan batang pisang di Singapura. Hassan menggunakan nama-nama saintifik bagi mahluk lautan itu. Jika anda ingin mengetahui bagaimana cerpen ini mari berkunjung ke perpustakaan Dewan.


[iii]

Benar. 'Tsunami' rupanya lebih awal meranapkan harga dirikemanusiaan. 'Tsunami Nafsu' telah melumat rasa kasih sayang. Betapaberat mata kita menerpa ke arah luluh rasa, gempita duka, ranapnestapa dan saat kosong daya anak kecil itu berpaut dengan maut.Oh, 'tsunami' rupanya juga ada di kebun getah, di ladang sawit, dilorong hening, di tengah kota, di hujung kampung...

[iv]

Begitulah istilahnya ribuan warga yang tinggal berhampiran pantai di Sabah seperti dikhabarkan. Tsunami panik. Pagi tadi dikhabar media dua orang warga emas di Mengkabong meninggal dunia kerana panik oleh khabar angin tsunami akan melanggar persisir pantai Sabah. Saya menerima SMS daripada Ailin Nor merupakan SMS yang diterimanya daripada Haji Ismaily Bongsu. Saya kemudiannya meminta pengesahan daripada Robby A kerana beliau bertugas di Jabatan Kaji Cuaca Labuan. Gempa memang betul berlaku katanya tetapi tentang tsunami kena rujuk kepada bahagian yang bertanggungjawab. Namun polis sudah arahkan berpindah. Ustazah Oney yang berada di Kuala Lumpur mengsms kerisauannya apabila menerima khabar daerah Kudat sudah dinaiki air luar biasa. Kerisauannya juga terhadap 'si Abang' anak bongsunya yang bersendirian di rumah mereka di Kg Shahbandar.

Fobia teradap musibah akibat tsunami di Banda Acheh khususnya sentiasa menghantui manusia di mana juga. Saya tidak melihat akan berlaku tsunami. Tetapi tsunami yang lain terjadi. Panik. Masjid negeri di Sembulan sudah menjadi tumpuan seperti masjid-masjid lain yang berhampiran pantai. Namun tsunami tidak datang. Kasihan juga anak-anak kecil dan beliau-beliau yang uzur. Ada juga teman yang tinggal di Tanjung Aru tidak berganjak dari rumah mereka. Entah alasan apa, tapi tidak merasakan apa-apa yang patut di khuatirkan kerana, gempa itu berlaku 780 KM dari Kota Kinabalu, bukankah Tanjung Aru, Petagas dan Tuaran itu berhadapan dengan Laut China Selatan? Logiknya ia mungkin terjadi di Tawau, Sandakan, Lahad Datu atau Kudat, Pitas, Beluran dan juga di Timur Kalimantan yang berhampiran pantai.

Maka benarlah perlu ada sistem amaran yang sistematik dan boleh dipercayai. Polis? Siapakah pula yang tidak mematuhi arahan Polis? SMS juga bukan caranya yang sesuai. Boleh jadi betul boleh jadi tidak, walaupun betul semua orang wajib berhati-hati setiap masa. Kita berdoa sahaja agar negeri kita dihindari daripada musibah yang besar.

Tiada ulasan: