Selasa, Disember 13, 2005

Juara Festival Teater 2005

Lebih awal saya menduga bahawa anugerah bagi sinografi terbaik harus diberikan kepada Rumpun Seni Persembahan Anak Kolej PTPL (RENTAK PTPL). Saya meletakkan jempol kepada pengarahnya selepas berakhirnya persembahan kumpulan itu. Berbanding kumpulan-kumpulan teater yang lain, saya suka persembahan PTPL. Lain dari yang lain. Saya juga mengharapkan lebih banyak anugerah diberikan atas kombinasi produksi yang tidak sedikit masa digunakan dan tidak kecil pengorbanan tenaga kerja diberikan. Banyak elemen yang digunapakai. Erwan Azzly Awang Taip selaku pengarahnya malah memberitahu banyak lagi elemen patut diaplikasi ke dalam sebuah teater sesuai dengan keadaan termasuklah penerimaan audiens yang sudah berubah masa kini. Saya tidak hairan jika anugerah sinografi itu menjadi milik mereka disebabkan elemen-elemen baru yang Erwan maksudkan. Saya tidak pandai menceritakan apa elemen-elemen baru dalam teater. Nilai rasa saya itulah, Kerusi ditangan Erwan dan krew yang lain lebih bertenaga kalau dibuat perbandingan dengan 'Lagenda Sampang Mengayau', 'Benda Sulit', 'Hasutan', 'Menanti Puteri Hijau' atau sebuah lagi 'Kerusi' meski ada elemen-eleman tersendiri yang harus dibanggakan. Rem telah mengulas empat persembahan dengan penilaiannya yang tersendiri. Saya memang berfikir sekiranya Rem menonton dua lagi persembahan yang diadakan waktu bekerja itu, tentulah penilaiannya juga turut berbeza (mungkin).

Ya, saya sungguh bangga dengan PTPL, pengarahnya masih muda. Kalau dibanding dengan Maskuji atau Mastari, kedua-duanya orang lama. Tetapi itu bukanlah ukuran mutlak. Ilmu juga boleh mengukur kecemerlangan ditambah dengan kombinasi kerja yang profesional. Saya fikir begitu. Boleh ditambah nanti. Tidak pernah saya menjadi begitu gembira selepas menonton teater. Kali ini lain. Mungkin kerana Erwan itu adik sepupu saya atau memang menggemari produksi 'Kerusi' PTPL yang kena buku dengan ruas?

Jelasnya, keputusan muktamad menyebelahi PTPL dengan enam buah anugerah berjaya dibolot iaitu Johan Kumpulan, Pengarah Terbaik, Sinografi Terbaik, Pelakon Lelaki Terbaik, Pelakon Lelaki Harapan dan Pelakon Wanita Harapan. Anugerah lain diterima oleh UiTM (Naib Johan Kumpulan), G-Tel UMS (Ketiga Kumpulan), Pelakon Wanita Terbaik (UiTM), Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (G-Tel UMS) dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (UiTM). Kumpulan PENTAS (Kudat), PUTERI (Pitas) dan sebuah lagi ABAI (Sandakan) nampaknya tercicir daripada sebarang anugerah dalam festival kali ini.

Syabas diucapkan kepada semua penerima anugerah. Tahniah juga kepada penganjur. Semua berharap industri teater terus semarak di negeri Sabah seperti pada tahun-tahun 80-an yang telah meninggalkan sejarahnya sahaja. Demikian juga kalau dipersetujui supaya pihak penganjur menyediakan hadiah yang lebih baik berbanding festival teater 2005 ini.

12 Disember 2005

Ahad, November 13, 2005

Tidak ramai tapi intim...itulah kami

Kami tidak ramai tapi memang intim... Inilah yang sering tidak dapat saya nafikan ketika memiliki sebuah persahabatan. Sejak dulu lagi. Saya tetap mengingati sahabat-sahabat seperti JM (Jasni Matlani), ANS (Abd Naddin Shaiddin), Robby (Liberia S. Arkadious), Ailin, Sharifah, Along, Muharsafa Kirana, Wan, Sahara, Shukri, NR Rahim kemudian Ony, JY (Jasni Yakub), RR (Rosnah Radin), Mabul, Rafidah, Maskuna, Mohd Azrone, hingga kini Anira, Anthonia dan seterusnya. Kami tidak ramai tapi kerana keintiman itu menjadi kami tetap kuat. Seperti kata Ony, tidak mendengar suara JY beberapa hari, aduhai seperti ada sesuatu yang tidak kena!

Sahabat-sahabat ini datang dan tidak pernah pergi meskipun harus berada di tempat jauh lantaran tanggungjawab yang tidak mungkin dielak. Tiara yang kami kenal lewat Kemsas juga, tidak mungkin renggang dalam naluri ukhwah persaudaraan. Tiara bersedia datang dua kali di tahun yang sama ke Kota Kinabalu menjelaskan tarikan tali persahabatan yang luar biasa. Robby walaupun jarang-jarang bersapa tapi saya tahu ada sentuhan tersendiri yang tidak dapat dicakapkannya. Meskpun JM, Ailin, NR Rahim atau Wan tidak bersama di IPS tetapi IPS itu menjadikan kami tidak jauh. Kata Robby, jauh tapi dekat! Apatah lagi perjuangan yang sama apabila JM meneruskan peranannya menerusi Bahasa. Dia selalu mengajak saya mengadakan aktiviti.

Menariknya lagi keintiman itu diikatkan dengan kehadiran anak-anak yang kami punya menjadi suatu keluarga yang kedua selain rumah sendiri. Anak saya terutama yang bongsu begitu mengenali sahabat-sahabat ayahnya. Kenal siapa Zaini Ozea kalau saya menyebut Sarawak. Malah kenal Zubaidi Abbas bila saya terlupa dia akan ingatkan nama pengarah DBP Sabah itu. Kenal juga seorang penyair yang amat terkenal dengan cara deklamasi yang agresif dalam persembahan baca puisi, Haji Ismaily Bongsu. Dia kenal beberapa tokoh teater Sabah seperti Karim Gulam, A.Karim Kadir, Cikgu Ramli, Matnor Makbul, Mat Konggo... Malah masa festival teater baru-baru ini dia begitu bersetuju jika drama 'Kerusi' PTPL itu menjadi juara! Bayangkan seawal tahun 5 sekolah rendah. Ini pendedahan yang terbaik untuk menyemai generasi mengenal tokoh. Salah satu saya fikir. Namun keintiman itu pada saya tetap saja dipelihara meskipun ada waktunya kami diberati tanggungjawab yang berbeza. Sebab itu pertemuan warga Kemsas dan keluarga IPS di Sumur Mahmudah (SM) sentiasa diharapkan terjadi. Sering terjadi tidak semestinya di SM bakan di tempat-tempat lain. Saya telah memikirkannya. Saya amat menghargai sahabat-sahabat yang hadir dalam pertemuan warga Kemsas sabtu lepas termasuklah Rem, Norzah, Brahim Samad dan Ustaz Ismail Duah. Tunggak utama kami ialah JY dan Ony. Ini dua persona yang diibaratkan bagai kuku dan isi buat IPS. Ada juga sahabat yang tidak kesampaian lantaran tersesat jalan. Sungguh Sumur Mahmudah itu terletak jauh dari Kota Kinabalu.

Seperti kata Anthonia, nasib baik ada yang sudi menumpangkannya ke SM. Saya berbisik kepada Ony, nanti bina penanda jalan, biarlah setiap simpang ada penanda ke SM. Ini menjadi harapan Ony juga yang punya hasrat yang mahmud untuk menjadikan SM sebagai salah satu pusat pengembangan sastera. IPS akan laksanakan Khemah Sastera tahun depan di SM jika tiada aral. Mudah-mudahan akan mengeratkan lagi tali persaudaraan dan persahabatan antara ahli di samping mengekalkan tradisi yang kami punyai sejak 15 tahun yang lalu.

12 November 2005

Selasa, November 08, 2005

Pemimpin jangan jadi seumpama nangka!

Wakil Rakyat

ketika kami mengulangi permintaan
mereka hanya memandang dari dalam
sedang kami mengeja-eja
harapan dan menghafalnya

seperti orang lain mereka juga mewarnakan kehidupan
menyusun payah dan meletakkan sengsara di dinding
memelihara kebencian sering bersahabat ketika malang

wakil rakyat tempat kami
mengadu nasib dan meminta
suara kami menyeberangkan mereka ke benua jangka
membina rumah

malangnya kepada kami segala sengsara
segala sengketa dicanai dipersembah api membara
kami dipimpin dan hidup membaca huruf-huruf dusta

tiada atau ada dua kata yang menyatu pertanyaan
siapakah yang memimpin dan dipimpin
siapakah yang memilih dan dipilih

siapakah yang bernama wakil
siapakah yang bernama rakyat
siapakah yang tak henti-henti berharap

saat ini,
lakaran perdebatan dan peperangan saraf
khianat fitnah atau tak ada taat setia
rebah pekerti musnah hati budi dan hilang timbang rasa

saat ini, mereka kembali mencari diri
mencari kehilangan yang mereka lupakan
mengembalikan akar menegakkan pohon impian

Komentar:

Sengaja mengirim sebuah sajak seperti di atas untuk menilai kembali apakah para wakil rakyat lakukan kepada orang ramai yang diwakilinya. Apakah amanah yang disandar di bahunya itu dilaksanakan dengan sebaiknya, mencapai apa yang pernah disuarakan, diukir sebagai janji pilihan raya... Memang sebal apabila melihat dan mendengar suara-saura kecewa ramai orang tentang para wakil yang tidak menepati tanggungjawab mereka itu. Benar, tidak adil untuk memberikan penilaian kepada wakil yang baru. Bagaimana bagi para wakil yang telah diberi gelar YB lebih satu penggal? Boleh semahunya melakukan apa yang bagus kepada dirinya dan orang-orang kelilingnya sahaja. Tidak boleh diteugr. Tidak boleh dikomentar. Jika anda merasakan punya wakil rakyat, cuba-cubalah melihat ke dalam. Seperti pernah saya tulis mereka itu harus 'duduk di luar rumah bukan di dalam rumah!' Sajak 'Wakil Rakyat' itu pernah juga diberi komentar oleh T.Alias Taib (Arwah) bahawa tidak semua wakil rakyat itu dilihat secara negatif. Benar, tetapi pernah terjadi. Misalnya apakah yang mereka rancangkan tentang pembangunan belia? Mengapa ramai belia tidak bekerja? Mengapa semakin tinggi tiras perangkaan pengamal syabu? Mengapa semakin tidak terkira masalah sosial melanda? Apakah hanya pembangunan material sahaja yang menjadi fokus dalam agenda di dewan persidangan? Meski bagus tetapi harus diberi perimbangan yang wajar. Wakil rakyat harus ada wawasan masing-masing. Wawasan yang jelas, wawasan yang berpaksi. Wawasan yang berakar. Fikirkan sesuatu yang lebih mendasar dan memberikan kebaikan semua pihak. Sekiranya ada rasa ikhlas, jujur dan amanah menjalankan tanggungjawab sebagai orang yang diberikan kewajipan wakil rakyat, saya fikir tidak ada masalah yang menjadi perbicaraan umum dan menyakitkan telinga dan hati. Semasa punya sedikit kuasa, kita tidak pernah merasakan apa-apa meski tahu orang tidak menyukai, tetapi satu hari nanti, kita semua memerlukan orang lain mengurus kita terutama saat nafas berada di hujung kehidupan. Kuasa itu bukan mainan. Kuasa itu tanggungjawab. Kuasa itu amanah. Kuasa itu keikhlasan. Kuasa itu sebuah harapan. Kuasa itu umpama tongkat yang menunjuk jalan kebahagiaan (Lihat sajak: Menemukan Tongkat Musa'). Mengapa harus menunggu musim mendatang barulah faham peranan mereka. Barulah melangkah dan bersusah melebar senyum untuk setiap pengundi di kawasan masing-masing. Barulah tahu sifat-sifat kepemimpinan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, walaupun sebenarnya temberang! Boleh temberang, boleh ego, boleh tinggi diri, boleh semarakkan peribadi tetapi letakkanlah segalanya itu di atas tempat yang betul. Seperti yang saya catatkan pada bait terakhir puisi di atas:

saat ini, mereka kembali mencari diri
mencari kehilangan yang mereka lupakan
mengembalikan akar menegakkan pohon impian
Mungkin saat itu anda sudah terlewat. Benarlah kata seseorang bahawa jangan jadi pemimpin seumpama buat nangka yang masaknya sekali dan gugur tidak boleh naik lagi di dahannya.



Seperti di Kemsas
7 November 2005

Jumaat, Ogos 12, 2005

Apakah yang anda lihat sebagai pengarang?

Sesetengah pihak kurang bersetuju mengkategorikan para penulis. Yang penting bahan penulisan mereka. Mungkin ada benarnya apabila kita membuat kajian terhadap kesinambungan mereka berkarya. Apakah penulis yang sesekali menulis itu sudah boleh diberikan gelaran? Siapakah yang berhak melakukan gelaran? Isunya di sini, sesiapa saja berhak membuat pilihan atau menggelar seseorang sebagai penulis yang berwibawa di atas asas kewibiwaannya menzahirkan pemikiran yang baru dan bernas, corak penulisan yang baru, menulis secara berterusan dan terlibat secara langsung dengan percambahan pemikiran terhadap pembinaan dunia sastera tanah air. Sikap dan pandangan masing-masing ternyata berbeza-beza. Samalah apabila kita memberikan sebuah sajak kepada 1000 orang pelajar, kita akan mendapat sebuah laporan yang sama banyaknya dengan bilangan pelajar itu yang menjadikannya 1001 penafsiran termasuk pengarang itu sendiri.

Sama ada ABM Fajeer atau Dr.Haji Chacho Haji Bulah bahkan para penulis lain seperti Norsabah (Jamdin B), Ramli AR, Rubiah Nordin, R.Hamzah Dua, para penulis muda yang ramai sekali, bahkan penulis yang mula aktif menulis dalam usia yang agak lewat seperti Suhaili Riman sebagaimana disebut oleh Seniman Masa Kini dalam Kemsas, kita harus memberikan perhatian. Memang sedikit payah untuk kita mendapatkan sebuah karya yang relevan dan baru seperti ditulis Dr. Chacho walaupun setelah 8 tahun berehat. Namun pertanyaan Lokman Samad yang cenderung dalam kajian sastera tradisi di UMS, terhadap ABM Fajeer dan Dr.Haji Chacho telah meninggalkan beberapa kesan yang baik untuk dilebarkan pembicaraannya.

Saya percaya kehadiran Dr. Haji Chacho masa ini akan membantu semula rentak kegiatan para penulis lain yang pernah bersama kita. Padangan Dr. Haji Chacho memang benar bahawa 'keabangan' ABM Fajeer di antara kita semua. Ini dapat dijelaskan lagi apabila kita membaca dan mendalami aktivitinya sejak beliau dibangku sekolah lagi. Begitu juga dalam tulisan-tulisannya di Kemsas. Penobatan Tokoh Penyair Islam 2004 kepadanya amat tepat. Untuk lebih lanju anda dijemput melayari Taman Siber ABM Fajeer.

Selasa, Julai 12, 2005

Puisi Hidup Dalam Kehidupan

"Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar." ~ Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh.
PUISI dapat dianggap sebagai salah satu genre yang istimewa dalam kesusasteraan. Menurut William J.Grace (1965) patah-patah kata yang terdapat dalam puisi bukanlah sekadar simbol idea sahaja, malahan lebih daripada itu. Jika dalam prosa penulis sering kali berbicara tentang sesuatu melalui kata-kata, dalam puisi pula penulis memberikan sesuatu yang luar biasa melalui kata-kata. Ini bersangkutan dengan pandangn Leo Tolstoy tentang dua asas makna dalam interaksi manusia. Asas pertama ialah manusia berkomunikasi dengan ungkapan pemikiran, dan kedua manusia berinteraksi dengan mengungkapkan perasaan (Wolf, 1976). Tujuan kesenian atau kesusasteraan pada Tolstoy ialah untuk menyatukan kemanusiaan melalui perkongsian perasaan. Banyak sekali definisi sastera yang ditemui oleh para pengkaji. Begitu juga bila menyebut fungsi sastera tetapi ungkapan ini amat sesuai dalam konteks tulisan kali ini iaitu mengkritik penghidupan manusia, meninjau kebenaran jiwa dan mentafsir rahsia jiwa.

T.Alias Taib (2003) memanifestasikan puisi sebagai perkahwinan abadi antara isi dengan bentuk. Puisi tanpa bentuk adalah pohon tanpa daun. Puisi tanpa isi adalah pohon tanpa buah. Menurutnya lagi, puisi adalah ilmu yang berupaya menghantar kita ke ceruk yang paling sunyi, ke dasar yang paling dalam, ke rahsia yang paling tersembunyi (dan) ke konflik yang paling rumit.

Zahir Sebuah Puisi
Zahirnya sebuah puisi hanyalah selonggok kata. Longgokan kata itu pada mata kasar hanyalah himpunan kata yang sama sifatnya dengan bentuk bacaan yang lain seperti laporan berita di surat khabar, jadual rancangan Tv atau iklan-iklan di media massa. Bagi pembaca biasa, puisi merupakan sebuah karya sastera. Yang lebih tahu sedikit akan merujuknya sebagai satu genre kesusasteraan yang popular terutama bagi anak-anak muda yang sedang dilamun cinta. Sementara di kalangan penyair yang matang, selonggokan kata itu menjadi satu telaahan minda dan jiwa yang penting, besar pula peranannya bahkan mampu memukau fikiran serta mata kalbu mereka. Buktinya, mari hayati puisi di bawah ini:

SEORANG SUFI, HIDUPNYA DENGAN CAHAYA

Kulihat dia di sudut sunyi
meratap meratib, menghayat Kitab suci,
mengalirkan air mata tanpa berhenti
bersandar tanpa kerusi

Meski ada telinga, tetapi tuli
mesti ada mata, tetapi buta
meski ada mulut, tetapi bisu
hidupnya dengan cahaya

Sungai air mata mengalir dalam hatinya
rindu kalbunya tersembunyi tanpa sempadan
cinta kalbunya senyap tanpa kesudahan
menyatakan bisik dengan kesenyapan

Dia watak yang hening bening
selalu memburu dan bersembunyi dalam hatik
selalu berada di pinggir sunyi bumi
dengan pakaian kalbu
di padang sunyi.

(Suhaimi Hj Muhammad,
Dalam Kumpulan Puisi Cintamu Umi: DBP 2007)

Puisi bagi para pemerhati, pengkaji dan pencinta seni kreatif dilihat sebagai satu manifestasi daripada kecintaan manusia yang tinggi terhadap hidup, kehidupan manusia, kemanusiaan, alam dan segala isi alam yang diciptakan Tuhan. Ada interaksi fizikal dan spirituil yang kelak dapat memperkaya pengalaman hidup kita. Kerana itu menurut Lim Swee Tin (2000), puisi dilihat sebagai mempunyai sihirnya sendiri dalam satu jalinan atau tautan yang akrab atau intim dan mesra kepada penggemar ataupun pencintanya.

Dalam kajian dan telaah kesusasteraan kreatif, puisi sebagai salah satu ciptaan sastera dikatakan terbina daripada elemen-elemen strukturnya seperti tema dan pemikiran, unsur gaya bahasa dan mesej yang dikatakan mengiringi setiap kelahiran karya. Tetapi apakah hanya itu yang ada dalam sesebuah puisi?

Persoalan ini sudah kerap dipertanyakan orang, digarap dan ditelaah oleh ramai peneliti sastera. Pelbagai jawapan sudah diberikan dan kita bahkan sudah menganggap banyak yang mempunyai persamaan atau dalam istilah sastera disebut klise. Puisi sebagai karya kesusasteraan persis enam orang buta mengandaikan seekor gajah yang diraba - - - rupa seekor gajah itu tidak ubah sebatang tiang yang besar yang melurus tinggi. Begitulah, yang cuba menyentuh belalainya menganggap gajah itu seperti seutas tali besar yang berkedut-kedut serta suka menjalar. Atau sahaja seperti analogi seekor anak burung yang baru pandai berenang malangnya terhempas ke tanah. Apabila kembali ke sarang, anak burung itu menceritakan alam yang sempit, dan dunia ini lingkungannya kecil yang kejam. Anak burung itu hampir musnah dalam satu ruang hidup yang tiada simpati.

Puisi sebenarnya merupakan sebuah karya kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar.

Demikianlah puisi yang dalam sejarah kesusasteraan dunia dikatakan sudah berusia ribuan tahun. Tradisi kesusasteraan kita pula mula menyambutnya sejak awal ke-20, dan hari ini ia menjadi genre yang cukup penting di tengah-tengah peradaban yang getir dan sukar. Apakah yang mendorong seseorang menghasilkan puisi? Mengapakah corak pengucapan sebegini yang dipilih? Mengapakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan rasa gusarnya terhadap bangsa Melayu melalui puisi? Empat buah puisinya yang pernah dibacakannya iaitu 'Perjuangan yang Belum Selesai', 'Di atas Runtuhan Kota Melaka Kita Dirikan Putrajaya', 'Menghadapi Cabaran: Menatang Bangsa' dan 'Melayu Mudah Lupa', memberikan suatu dorongan yang kuat kepada ramai orang menghampiri puisi. Dalam sebuah puisi karya Tun Dr. Mahathir beliau menegaskan tentang perjuangan bangsa yang harus dilakukan dengan upaya yang tinggi:

Tugas kita belum selesai rupanya
bagi memartabat dan
memuliakan bangsa
kerana hanya bangsa yang berjaya
akan sentiasa dihormati

Rupanya masih jauh dan berliku jalan kita
bukan sekadar memerdeka dan mengisinya
tetapi mengangkat darjat dan kemuliaan
buat selama-lamanya
Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku
kerana masa depan belum tentu
menjanjikan syurga
bagi mereka yang lemah dan mudah kecewa
Perjuangan kita belum selesai
kerana hanya yang cekal dan tabah
dapat membina mercu tanda
bangsanya yang berjaya

(Tun Dr. Mahathir Mohamad,
Perjuangan yang Belum Selesai, Mei 1996)

Kecenderungan masyarakat termasuk para pemimpin kita menulis atau membaca puisi membuktikan bahawa kesenian warisan ini menjadi saluran penting pelahiran atau peluahan perasaan dan menjadi salah satu alat bagi menyatakan citra diri, menyampaikan pandangan atau kritikan, malahan mencetuskan pemikiran intelektualisme mereka terhadap isu-isu penting. Tidak perlu melangkah jauh, kita susuri sahaja puisi 'Ke Makam Bonda' karya Usman Awang yang padat dengan pernyataan perasaan terhadap nilai erti dan harga kasih sayang seorang ibu. Dalam karyanya yang lain 'Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya', penyair dengan amat tajam mengkritik pihak-pihak berwajib yang memusnahkan tumbuhan semulajadi dengan rakusnya di bandar raya beralaskan matlamat pembangunan. Perbuatan ini telah terjadi di mana-mana tempat di negara kita ini terutama di bandar-bandar yang sedang mengalami proses pembangunan. Begitu juga pernyataan sinis Usman terhadap umat Melayu dalam puisinya bertajuk 'Melayu'. Namun jika kita perhatian senario terhadap beberapa insiden di negara kita yang melibatkan sesetengah orang Melayu akhir-akhir ini, apakah impak puisi tersebut apabila kita membaca kenyataan di bawah ini:

Melayu itu orang yang bijaksananakalnya bersulam jenakabudi bahasanya tidak terkirakurang ajarnya tetap santunjika menipu pun masih bersopanbila mengampu bijak beralas tangan.Melayu itu berani jika bersalahkecut takut kerana benar,janji simpan di perutselalu pecah di mulut,biar mati adatjangan mati anak.

Baha Zain pula telah menulis 'Menangguh Kebenaran' menyindir orang-orang kota yang gemar berdusta, hidup berpura-pura dan rendah moralnya. Di Indonesia, W.S. Rendra misalnya, menghasilkan puisi 'Bersatulah Pelacur Kota Jakarta' yang menentang lantang ketidakadilan sosial yang terjadi dalam masyarakatnya. Dalam puisi-puisi siri 'Rangkas Bintung'nya, W.S.Rendra memberontak terhadap penindasan, kekejaman dan kebobrokan pemerintah terhadap rakyat. Pengaruh puisi terhadap kehidupan masyarakat kita memang kukuh tanpa disedari. Di Sabah kita juga mempunyai puluhan penyair yang turut menggarap hal-hal yang tidak jauh jarak pemikiran mereka dengan para penyair yang ternama di nusantara. Misalnya Ariffin Arif dalam Kumpulan Puisinya bertajuk 'Api Laut Merah', Ramli A.R (Di Kebun Amal), ABM Fajeer (Taufan), Jalidar Abdul Rahim (Tanah Kerinduan), Zaiton Ajamain (Bagai Layang-Layang), Jair Sulai (Sungai Hayat), Dayang Salmah Salam (Bisikan Nurani) dan puluhan lagi antologi puisi yang dicetak menjadi taman ungkapan-ungkapan para penyair menyalurkan kehadirannya mereka sebagai perakam peristiwa dan pencetus zaman mendatang. Kita wajar menelaah buku-buku yang disebutkan ini untuk melihat bagaimana pemikiran para penyair yang hidup di tengah-tengah masyarakat masing-masing dicerna dan direalisasikan.

Kita juga sering mendengar lagu-lagu melalui stesen radio atau saluran TV, memang banyak senikata lagu-lagu yang puitis sifatnya, apatah lagi lagu-lagu puisi yang didendangkan oleh M.Nasir, Zubir Ali, Ramli Sarip, Ebiet G.Ade (yang baru sahaja mengeluarkan albumnya 'In Love: 25th Anniversary') atau Kumpulan Kopratasa. Puisi-puisi menjadi lebih jauh dasar kesannya di hati kita apabila digubah menjadi lagu. Zubir Ali sebagai contoh pernah menggubah lagu puisinya (Balada Gadis Kecil) mengenai kezaliman Zionis terhadap orang-orang Palestin. Lagu-lagu berentak rap Melayu seperti 'Angguk-angguk Geleng-Geleng', 'Merdeka Minda', 'Kalau Melayu Memang Melayu', '2 X 5' atau 'Dia Datang' dalam album 'Hari Ini dalam Sejarah' dan album terbaru 'Rap untuk Rakyat' oleh Kumpulan Ahlifiqir mempunyai nilai fikir yang tersendiri terhadap nilai bangsa di tengah-tengah arus globalisasi. Tidak dilupakan juga lagu-lagu berentak zapin, joget, gurindam atau dikir barat yang memang ranum dengan olahan seni puisi warisan menerusi pantun atau syair.

Puisi sehingga kini jelas menjadi saluran yang berkesan bagi karyawannya menyampaikan buah fikiran, pendirian hidup dan perjuangan. Disebabkan puisi intim dengan pembaca dan sesuai dengan sifatnya yang khusus, kesannya jadi mendalam. Anda kajilah sejarah Perancis, bukankah pemimpin di Amerika Latin menggunakan puisi untuk menyalurkan perjuangan bangsa mereka sehingga ada penyair seumpama Pablo Neruda lahir sebagai seorang negarawan terbilang di negaranya.

Perubahan-perubahan sosial bahkan tamadun boleh berlaku melalui gagasan-gagasan yang disampaikan melalui puisi. Dan, tentunya juga puisi boleh menyemarakkan daya hidup dengan membakar bara hasrat dan aspirasi yang serba mempesonakan. Benar, puisi tidak memercukan bangunan KLCC atau megahnya jambatan ketiga terpanjang di dunia yang menghubungkan tanah semenanjung dengan Pulau Pinang, tetapi siapa tahu pemimpin boleh bertolak daripada sebaris puisi yang pernah dibacanya atau suatu ungkapan kecil yang pernah didengar dari mulut penyair sewaktu mereka menyampaikan amanat dalam memperjuangkan idealimse kepemimpinan kepada rakyat pimpinannya. Bahkan seorang ayah bagi sebuah keluarga menggunakan rangkap-rangkap istimewa menerusi puisi-puisi Usman Awang, A.Samad Said, Muhammad Haji Salleh, Kemala atau Suhaimi Haj Muhammad untuk memberikan motivasi kepada anak-anaknya. Malah sepanjang merayakan 50 tahun kemerdekaan negara kita baru-baru ini, puisi A.Samad Said berjudul 'Hidup Bersama' menjadi ungkapan pilihan tajaan sebuah syarikat kereta nasional yang disiar setiap hari di saluran TV dan di surat-surat khabar. Ini menggambarkan bahawa puisi telah menambat pemikiran segenap lapisan masyarakat dalam kesedaran sosial mereka mencebiskan semangat kekitaan dan kesepaduan nilai patriotik sesuai dengan terbinanya negara bangsa berdaulat yang harus terus terpelihara.

Tanah air memberi banyak, mesra mendakap kita
Kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti.
Dan kita sudah sampai di lereng indahm pasti
Tetap mendaki juga, menyanggah musuh menambah
Kawan tanpa jenuh, khuatir, juga tanpa rawan.
Dan dalam alaf baru semangat kita wajar padu
Berjalan kita atas nama tanah air dan bangsa –
Bangga kerana merdeka, megah kerana bahagia.

(A.Samad Said, Hidup Bersama,
dalam Antologi Puisi Tanah Air: DBP, 2005)

Bagaimana puisi hidup dalam kehidupan
Kita sudah banyak bercakap tentang puisi, hakikat dan peranannya. Tetapi orang kadang-kadang tidak menyedari bahawa puisi itu sebenarnya adalah suara penyair sebagai bahagian ahli masyarakat. Penyair bercakap mewakili komunitinya. Penyair bercerita mengenai alam sekelilingnya. Penyair menyatakan sesuatu terhadap interaksi semulajadinya sebagai mahluk Tuhan. Penyair menggunakan kata dan bahasa yang indah-indah. Bahasa puisi pula berhubung erat dengan dirinya sebagai penyair. Kita boleh mengenali kehidupan seseorang penyair itu hanya melalui penelitian terhadap puisi-puisinya. Lenggok serta laras bahasanya memberi tanda apakah yang sedang bergelombang dalam fikirannya. Cuma barangkali sensitiviti atau kepekaan sahaja yang membezakan citra seseorang penyair dan yang menjadikan pernyataan pemikirannya kelihatan berbeza. Namun jika dikaji dengan teliti, percakapan penyair jauh lebih tulen. Penyair menolak kepura-puraan malah membenci ketidakjujuran. Penyair menyukai kebenaran, dan kerana itu mereka juga selalu menulis sesuatu yang benar walaupun ada waktunya menerima natijah sebaliknya. Persepsi individu dalam masyarakat sasarannya juga sering bercanggahan ketika menanggapi makna yang berselindung di sebalik pemilihan kata dalam seseorang penyair. Dengan perkataan lain, puisi yang sifatnya tidak berdusta itu mengajak manusia mempelajari rahsia rasa secara sulit, sunyi dan diam yakni menikmatinya bersama fikiran yang terbuka sebagaimana ketika kita membuka jendela di waktu pagi.

Penyair menanggapi setiap denyut kehidupan dalam ruang lingkup yang cukup beragam. Penyair itu seperti magnet yang menyedut butir-butir puisi peristiwa di sekelilingnya. Riak peristiwa itu menjadi alun-alun yang bergelombang dalam jiwanya (Lim Swee Tin: 2000). Dia mencerna, menapis dan menyaring. Kemudian menyatakan pendirian. Suaranya adalah suara sanubarinya. Penyair itu pemerhati yang tekun, perenung yang pintar, dan pengolah yang cermat. Suara dari lubuk kalbunya menjelma. Dan, dengan kelebihan ilmu serta penggunaan bahasa, dia bercerita dan bersketsa. Cerita itu menyerap ke dalam minda kita. Sektsanya membuka pelbagai dimensi. Dan pertembungan terjadi. Realiti dunia karya membantu kita melihat ke luar untuk mencipta interaksi yang indah, jernih dan kita pun merasakan betapa kayanya kehidupan, betapa hebatnya ciptaan Tuhan.

Barangkali atas sifat seninya, puisi seperti tidak mesra pembaca. Kata banyak orang ada puisi yang sukar difahami. Ada yang berpandangan puisi terlalu kabur. Dan, yang lebih berani akan berkata puisi itu hanyalah 'cakaran-cakaran beruk'. Tidak mengapa, kerana mereka semua ada rasional masing-masing. Tetapi seperti yang telah dikatakan, puisi itu karya kreatif. Ia terjemahan segala yang bergelora di kolam fikir penyair. Berkemungkinan besar, tidak semua yang dirasainya dapat dipindahkan dengan kata-kata yang tepat. Pelahiran fikiran dan perasaan sebenarnya kompleks, dan dengan itu ia perlu dibantu. Dalam puisi, banyak digunakan imej, perbandingan seperti metafora, personifikasi, aliegori dan sebagainya untuk menimbulkan makna yang lebih serasi. Ini tidak termasuk sokongan bunyi dan nada yang cukup dominan dengan puisi.

Orang tentunya tidak berasa aneh jika penyair menggunakan ungkapan 'kolam mata'mu tetapi dengan apakah lagi dapat kita huraikan kejernihan pandangan seseorang yang sedang kita cintai. Ramai orang yang mudah menjatuhkan hukuman, meletakkannya dalam kamar atau kotak di sudut secara berasingan. Kadang-kadang amat memedihkan tetapi bukankah ungkapan-ungkapan itu sering digunakan oleh masyarakat umum. Misalnya mereka mengatakan "oh, nyamannya di sini seperti hembusan angin di gunung-gunung'. Orang itu sesungguhnya telah menerapkan unsur simile semasa berkata-kata. Ungkapan seperti 'desaku memanggil-manggil namaku', barangkali dianggap ganjil sedangkan di luar puisi ungkapan ini digunakan juga. Pendek kata, masyarakat sudah biasa dengan istilah-istilah sastera seperti personifikasi yang terserlah di dalam ungkapan di atas. Jika demikian mengapa puisi harus asing daripada kehidupan kita? Memang tidak, jawabnya. Penyair akhirnya menjadi seorang pemikir bukan hanya mempunyai sepasang mata yang terang dan tajam, dengan otaknya yang berfikiran tinggi, bahkan juga mempunyai pendirian dan pandangan dunia yang tepat. Pendekatan ini boleh terlahir seawalnya di peringkat sekolah sebenarnya. Namun ironinya pula terjebak oleh suatu dasar misalnya pendidikan sastera di sekolah, puisi (baca: sastera) dianggap tidak memberikan nilai ekonomi kepada para pelajar terutama di sekolah menengah.

Kehidupan kita unik sifatnya, kadang-kadang begitu kritikal, ada ketikanya sukar difahami atau dengan bahasa yang lebih mudah, hidup ini penuh liku-likunya, dan dalam menghadapinya manusia cuba memanifestasikannya melalui pelbagai cara.

Puisi adalah cabang seni yang sangat penting. Selaras dengan ajaran agama, puisi menganjurkan bagaimana seharusnya manusia hidup. Bagaimana menjalani kehidupan yang baik dalam sebuah masyarakat di mana nilai-nilainya adalah moral itu sendiri dan dapat membantu manusia dalam menghadapi hidup.

Namun pada mata fikir Khalil Gibran, beliau memandang puisi sebagai 'bukan pendapat yang dinyatakan'. Ia muncul daripada luka yang berdarah atau mulut yang tersenyum. Beliau juga berkata bahawa penyair merupakan orang yang tidak bahagia kerana betapa pun tinggi jiwa mereka, mereka tetap diselubungi air mata. Katanya lagi, penyair juga adalah burung yang membawa keajaiban. Dia lari dari kerajaan syurga lalu tiba di dunia ini untuk berkicau semerdu-merdunya dengan suara bergetar. Bila kita tidak memahaminya dengan cinta di hati, dia akan kembali mengepakkan sayapnya lalu terbang kembali ke negeri asalnya.

Apa pun yang dijelaskan kebenaran terhadap puisi dan penyair sehingga di hujung makalah ini, Mathew Arnol, seorang penyair dan kritikus Inggeris menyatakan adalah penting untuk berpegang teguh kepada prinsip bahawa puisi berada pada landasan dasar kritik terhadap kehidupan; bahawa keunggulan seorang penyair itu terletak pada aplikasi gagasannya yang indah dan kuat terhadap kehidupan untuk mengajukan pertanyaan bagaimana harus hidup. Yang pasti, dunia penulisan menjanjikan banyak harapan baru kepada kehidupan. Bidang ini sentiasa menguji kepekaan dan ketabahan setiap insan penyair. Tiga faktor yang kerap mencabar kewibawaan seorang penyair yang rasanya amat penting iaitu bagaimana kehidupan itu dinilai. Kedua, kesan daripada makna kehidupan dan ketiga, kebijaksanaan sebagai penyair memanfaatkan ilmu dan pengetahuannya menghalusi karyanya yang harus dihidupkan.



Bibliografi

Awang Azman Awang Pawi. (2003). Licentia Poetica, Puisi Mutakhir Malaysia. Kuching: Universiti Malaysia Sarawak.

Jasni Matlani. (2005). Kertas Kerja: Separuh Abad Perkembangan Sastera Melayu di Sabah, Sumbangannya ke Arah Pembinaan Bangsa. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Hal.1.

Hasyuda Abadi. (2004). Kumpulan Puisi Menginai Badai. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Lim Swee Tin. (2000). Sihir Sebuah Puisi. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Hal.26. Wadah. Edisi Khas 2000.

(Artikel ini tersiar dalam Utusan Borneo, 7 Oktober 2007)

Komuniti Sastera Daerah

APABILA TS Prof. Em. Ismail Hussien berucap, isu yang amat tebal dalam alamfikirnya ialah alam Melayu dari sudut yang global tetapi beliau tidak lupa kepada yang lebih dekat dengan dirinya iatu komuniti (yang sering disebutnya komunitas) sastera di peringkat akar. Suatu yang wajar terjadi dan dilakukan. Memang komuniti ini ada, hanya barangkali disebabkan masalah pengurusan dan masalah dana, apa yang berlaku komuniti itu bergerak secara mandiri. Misalnya aktif menulis sendiri tanpa kelompok sebagaimana yang berlaku di Indonesia sebagai negara contoh yang diberikan TS. Secara peribadi, saya amat bersetuju tetapi dengan syarat ada individu yang mengepalainya. Individu ini juga harus mendapat kerjasama yang baik daripada individu-individu dalam komuniti itu juga. Mereka harus bernas, punya andatila program yang luas. Saya fikir usaha yang berterusan seperti mengadakan klinik atau workshoppenulisan menjadi aktiviti terasnya. Barulah barangkali dapat melahirkan individu penulis yang berwibawa daripada kalangan komuniti itu.

Inilah sebahagian dapatan yang diperolehi selepas kembali dari Pertemuan Penulis Pedalaman Bawah di Beaufort kelmarin. Kehadiran TS di sebuah daerah yang agak pedalaman kedudukannya daripada ibu negeri, tentu sahaja wujud suatu suasana yang memanggil hasrat itu. Tentu saja ia akan berlaku di tempat-tempat yang terpencil juga. Saya amat begitu optimis sekali sebagai usaha menjana keberadaan penulis secara konsisten di Sabah. Pada masa yang sama, melahirkan bakat-bakat baru seterusnya memantapkan para penulis yang sedia ada dilakuan berterusan.

Saya juga melihat usaha yang kerap dilakukan oleh sama ada pihak DBP Cawangan Sabah mahupun persatuan-persatuan penulis memberikan impak yang positif, memberikan cernaan usaha yang bersambungan. Aktiviti sastera dan budaya bahkan apa jua yang berkaitan dengan kesenian diadakan di desa-desa kecil di mana juga. Ini boleh direalisasikan melalui aktiviti seperti kenduri sastera, sebagai contoh, bakal menonjolkan pelbagai budaya yang ada di desa-desa berkenaan. Sebelum ini memang sering juga dilakukan misalnya program penyair masuk desa dan sebagainya, tetapi tidak diteruskan sebagai aktiviti yang konsisten. Dalam hal ini, tidak ada sesiapa yang akan mengungkayahkannya jika bukan para aktivis dan pengurus sastera di peringkat agensi kerajaan yang terbabit dan persatuan-persatuan penulis. Tetapi kita harus tidak lupa dengan bantuan yang wajar diberikan oleh kerajaan negeri yang 'kurang mesra' dengan aktiviti-aktiviti kesusasteraan. Jika bidang tarian dan muzik (apa lagi sukan) mendapat perhatian yang utama, mengapa kesusasteraan yang istimewa sifatnya itu menjadi pilihan terakhir? Dan tiada siapa lagi yang boleh membawa hal ini ke tengah-tengah pihak berwajib jika bukan kita dan ada insan dalam dunia kita itu yang difikirkan mempunyai keupayaan dan tanggungjawab. Tidak perlu disebutkan di sini siapa, saya percaya pembaca Kemsas maklum dan seperti biasanya: tepuk dada tanya rasanya!

Barangkali kita boleh juga menganjurkan Program Penulis Anak Angkat bagi para penulis yang terpilih. Para penulis ini berada di desa berkenaan selama beberapa hari. Tinggal dalam komuniti desa berkenaan. Mereka akan mengalami kehidupan bersama penduduk di situ. Kita memilih desa atas kapasitinya sebagai lokasi yang berkedudukan setempat dan berkelompok, kaya dengan budaya dan kesenian tradisional. Interaksi budaya akan berlangsung dan ini memberi dorongan kepadanya menulis apa sahaja yang termampu. Program ini boleh Berkembang bukan setakat bersama masyarakat desa tetapi menjadikannya sebagai bengkel genre penulisan masing-masing. Saya rasa idea ini boleh difikirkan.

Sabtu, Julai 09, 2005

Nasib Penulis Sabah

PENERBITAN Kumpulan Sajak Enam Penyair Muda Sabah KASMARAN oleh DBP Cawangan Sabah dan Jawatankuasa Penyelenggara Dialog Borneo-Kalimantan VIII hanya memuatkan sebilangan kecil sajak-sajak Ailin Nor, Jair Sulai, Mohd Hadie Nor D, Ammy Manja, Saik Dalwis dan Mabulmaddin Shaiddin. Ini 6 nama besar penulis muda kami di Sabah tetapi hanya berkesempatan menyimpan bersama sajak-sajak mereka dalam satu kotak: KASMARAN! (Catatan: buku 'Kasmaran' telah dilancarkan di Majlis Penangguhan Dialog Borneo Kalimantan ke-VIII di Sandakan).

Inilah yang dimaksudkan oleh Ailin Nor dalam catatannya, dari tajuk 'bagaimana nasib penulis Sabah' yang agak subjektif untuk mendapat jawapan konkrit daripada pihak yang dimaksudkan. Saya bersetuju untuk nama enam orang itu termasuklah Jair dan Mabul yang kami anggap sebagai penyair yang versatil, istimewa dan mandiri, mendapat perhatian yang sewajarnya. Memang agak sulit juga, jika berbicara soal dasar, terutama sekali apabila terjadinya sesuatu perubahan dalam organisasi. Tentulah apa yang pernah saya terima, barangkali termasuk dalam 'nasib (baik) penulis Sabah' dengan komitmen pegawai projeknya. Namun pegawai projek yang komited belum tentu boleh mengubah 'nasib penulis Sabah' apabila ada dasar yang mengatasi segalanya. Inilah yang terjadi yang membuatkan para penulis harus menerima dasar yang sedia ada: hantar manuskrip ke Kuala Lumpur yang siapnya bukan besok.

Apa yang boleh kita buat? Cetak sendiri? Bila bicara soal kos penerbitan, INPES pernah menganjur cadangan untuk para penulis menyertai projek HUSAI (Hui Sastera). Ini idea Janathan Kandok, namun soal duit bukan mudah untuk melihat sesiapa pun angguk. Biarpun ada waktunya diam, belum tentu diamnya itu setuju. Mencetak buku di Sabah bukan murah, ini dialami oleh Jasni Matlani, Dayang Salmah Salam dan Raymond Majumah. Buku saya 'Sepasang Sayap Jelita' bernilai RM 4,500.00 untuk 500 nashkah. Terus terang saja, saya buat buku dengan meminjam daripada bank. Harus membayar balik selama 60 bulan! Bukan semua penulis mahu lakukan seperti ini, saya kira. Hanya DBPlah yang dapat membantu, persoalannya sampai bila ya?

Kita melihat soal penerbitan itu dalam dua hal. Pada saya ini penting. Pertama, penerbitan di DBP cawangan. Memang benar, lebih cepat dan dekat dengan penulis. Pasaran terhad namun pasaran soal nombor dua, walaupun duit pulangan juga perlu. Yang penting penulis itu mempunyai buku. Ada cara untuk menyampaikan makluman tentang kewujudan bukunya tetapi masih terhad. Ini menjadi masalah orang ramai bagaimana mendapatkan buku itu apabila pengenalan buku tersiar dalam Dewan Sastera, misalnya.

Kedua, penerbitan di Kuala Lumpur. Lambat! Itupun jika dipersetujui untuk dicetak yang akan melalui carta birokrasi tertentu. Yang baiknya barangkali soal pasaran, tiada masalah besar kerana sudah ada jabatan yang mengendalikannya. Pengedarannya meluas, dijual di kedai buku terbuka. Ada hono.

Ini realiti. Terserahlah kepada penulis itu sendiri, apabila melihat isu yang pertama dan yang kedua di atas benar-benar dialami dan difahami. Rejab FI sendiri pernah berkata kepada saya, cetak buku sendiri, jangan harap sangat kepada Dewan. Ini katanya sewaktu berjumpa dalam majlis bersama pengarang di DBP pertengahan bulan lepas apabila menerima naskhah percuma kumpulan sajak saya: Menginai Badai. Tidak hairanlah, (barangkali) cetakan buku saya seterusnya ialah selepas 60 bulan akan datang!

Khamis, Julai 07, 2005

Dialog-Seminar Melulu

Realitinya inilah. Jika kita singgah di Pusat Dokumentasi DBP, kita boleh menyemak puluhan kertas kerja yang sudah dikompil dengan baik dan cantik sekali hasil pertemuan, perkampungan, dialog, hari itu dan hari ini. Pada saya secara peribadi semua pertemuan dan pertamuan itu masih relevan juga sekiranya kita dalam konteks yang luas memahami apakah yang perlu diupayai mendapatkan hasilnya. Ada pertanyaan-pertanyaannya yang klise, namun wajar juga direnung. Kita ambil yang bernas. Pada saya lagi, pertemuan penulis, pengkaji, pentelaah, penggiat dan penikmat sastera (di samping seni dan budaya) masih diperlukan sebagai medan yang bersifat mandiri.

Maksudnya, fokusnya sentiasa berubah-ubah tetapi matlamatnya kukuh kerana berjaya menyelesaikan pelbagai isu yang berbangkit. Bukan hal-hal yang serupa. Bukan lagi pembentangan sejarah, sejarah dan sejarah semata-mata. Tentang 'hero-hero' sastera masa lampau yang tidak memberikan banyak terhadap sastera itu sendiri, disebabkan kehadiran mereka itu hanya pada satu keadaan yang mendesak. Saya ingin mengulangi lagi kenyatan saya tentang kedudukan penulis hari ini, relevan atau tidak untuk memanggilnya 'penulis' hanya kerana ada sejarahnya sebagai penulis! Mungkin sedikit sempit. Tapi terus terang sahaja, anda boleh mencongak bilangan penulis yang hadir dalam sesuatu program sastera.

Kita boleh semarakkan lagi aktiviti sastera yang lebih jelas. Berbanding 'sesekali yang besar dengan seringkali yang kecil', sastera akan mendapat tempat yang istimewa, kekal dan berpanjangan. Maka, kita mesti kembali ke akar. Menikmati sejarah selalunya tidak memandang jauh ke dalam akarnya, melainkan yang kulit atau istilah kita 'siring-siring' saja.

[Sumber: Kemsas]

Berdialog BUKAN Bermonolog

Seperti dalam Kemsas

Isu awal, pesan Ketua Pengarah DBP Dato Dr. Firdaus Abdullah, 'berdialog bukan bermonolog!'. Berdialog dari sudut dua dimesi (pada pandangan saya), pertama ada interaksi daripada peserta melalui serasehan fikiran silang di samping pandangan yang tentu saja ke arah yang membina. Ini juga selari dengan tema: Persuratan Melayu Menjana Pembinaan Bangsa. Keduanya iailah dialog dari sudut yang lebih luas sebagai suatu muatan terbaru untuk direalisasikan. Misalnya usaha menjana pembinaan bangsa itu menerusi pemusatan bahan sastera dan budaya seluruh borneo dan kalimantan, pentokohan individu dan buku dan juga melestarikan aktiviti rantau ini dalam sebuah portal bersama sejajar dengan teknologi global.

Lazim bagi sebuah dialog. Hanya kematangan saja yang sebaiknya digunakan untuk menilai tiras kejayaannya. Dialog itu sendiri pun belum berakhir, hanya ditangguhkan untuk pertemuan selanjutnya di Brunei Darussalam pada tahun 2007. Tempoh dua tahun itu, saya kira memberi ruang terbaik untuk merealisasikan kesimpulan yang telah diungkayahkan dalam sidang pleno. Kemsas belum mendapatkan maklumat kandungan kesimpulan yang dimaksudkan. Sekadar bayang-bayang dan cerita di luar dewan, saya dengan beberapa orang rakan berpendapat agar anugerah persuratan yang bakal diwujudkan itu melihat kepada realiti yang sebenar. Pihak yang berkenaan wajar memilih ketokohan apabila tokoh itu merupakan sasterawan yang konsisten dalam dunia persuratan dan penghasilan buku merupakan keutamaan. Jika tidak, apa yang terjadi tokoh yang diangkat nanti merupakan tokoh yang 'itu-itu juga' dan tidak ada peluang kepada mereka yang lebih layak tanpa mengira usia. Saya suka merujuk kepada penobatan tokoh sebelum ini sama ada disediakan oleh kerajaan negeri mahupun pusat sehingga kepada badan-badan bukan kerajaan.

Mudah-mudahan melalui ruangan di Kemsas ini, kita boleh menjana lebih banyak pandangan sebagaimana pandangan membina daripada Jasni Matlani, Haji Ismaily Bongsu, Dr. Haji Chacho Hj Bulah dan Hassan Saprin ketika sesi dialog.

Saya amat bertuah kerana mendapat tempat untuk menyampaikan serba sederhananya kewujudan siber sebagai pilihan para penulis untuk menyampaikan karya. Secara sengaja memaparkan Kemsas dan esastera.com di samping contoh terbaik daripada milis-milis yang wujud di Indonesia seperti Cybersastera.net. Pada yang sudah biasa dengan dunia siber, saya fikir tidak memberi masalah besar. Budaya berkarya di siber bukanlah bermaksud menjadikannya kekal, tetapi sebagai wahana atau ruang pilihan yang lain jika tidak mendapat tempat di media konvensional. Isu itu memang menarik untuk menjadi dialog tetapi masa terlalu singkat sehingga ada peserta yang emosional marah apabila tidak diberikan peluang bercakap. Kertas pembentangan yang banyak tidak dapat diimbangi dengan jangka masa yang relatif pendek. Inilah realitinya di mana-mana juga. Tetapi para peserta dalam Dialog Borneo Kalimantan VIII ini cukup bertuah kerana berkesempatan mendengar kesemua pembentangan. Jika dalam pertemuan seumpama yang lain, terjadi pembentangan yang serentak masanya. Terakhir semasa saya berada di Perhimpunan Penulis Muda Nasional di Pontian Johor awal bulan Mei lepas. Para peserta yang mendengar pembentangan kertas kerja saya dan rakan-rakan lain tidak berpeluang mengikuti perbincangan terhadap pembentagan kertas kerja di bilik yang berbeza.

Saya berhadap peluang terus diberikan untuk lebih ramai lagi penulis terlibat dalam aktiviti seumpama ini di tempat-tempat lain. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Pengarah DBP Cawangan Sabah kerana berjaya melaksanakan Dialog Borneo Kalimantan ke-VIII ini. Pada saya, saya tidak melihat yang kecil kerana yang kecil itu hanyalah peristiwa biasa terjadi di mana-manapun. Saya lebih memandang yang besar kerana yang besar itu ialah cita-cita, visi dan harapan semua sasterawan dan budayawan rantau ini untuk menjana lebih senergik segala saranan dan pemaparan budaya dan sastera oleh para pemakalah terpilih daripada kelima-lima wilayah (Brunei DS, Kalimantan, Sabah, Sarawak dan Labuan) di rantau Borneo Kalimantan.

Ahad, Jun 26, 2005

Mencari Mega Karya

M u k a d i m a h

DAYA MELAHIRKAN MEGAKARYA DI SABAH SEHARUSNYA dipengaruhi oleh beberapa unsur asas bagaimana ia berkembang dan menjadi besar apabila penilaian dibuat secara tuntas. Ini sekali gus melatari kelahiran sasterawan sama ada yang dibina menerusi program penataran atau yang terbina secara semula jadinya. Dalam ungkayah ke arah menyediakan prasarana persiapan ini para sasterawan biasanya akan melalui elemen-elemen yang terjalin akrab yang mewarnai kelangsungan mereka menggulati sastera. Elemen-elemen berkenaan ialah fenomena berkaitan perubahan, penghayatan budaya ilmu, keazaman dan usaha yang gigih di kalangan sasterawan berkenaan serta kelangsungan program pemartabatan karya sastera dan sasterawan itu sendiri. Maka, sudah sampai waktunya pula kita tumpukan pemerhatian kepada isu-isu sastera di persada global dan sedaya mungkin menginsafkan kita betapa perlunya usaha yang berterusan agar gagasan-gagasan kemegahan kita seperti Wawasan 2020 atau Sabah Baru yang sedang berlangsung sekarang menjadi daya pacu perubahan cara dan tindak para sasterawan menterjemah isu-isu terbabit sejajar dengan persaingan global masa kini; kepekaan para penganalisis sastera melakukan penilaian terhadap setiap inti pati dan nilai maknawi karya sastera dan di tengah-tengah mereka ini melebarkan kilauan permata nilai maknawi sastera berkenaan kepada masyarakat keseluruhannya.

F e n o m e n a P e r u b a h a n
Fitrah manusia sejak dilahirkan ke alam fana ini sentiasa berhadapan dengan fenomena perubahan, sama ada yang berada di luar kawalannya ataupun akibat keinginannya sendiri. Keinginan merubah inilah yang membuahkan kegiatan bercita-cita. Misalnya keinginan menjadi seorang yang berjaya dan dengan itu menikmati kehidupan yang bahagia. Lebih besar daripada itu, mungkin kita bercita-cita menjadi agen perubahan, seperti membawa bangsa kita menjadi suatu bangsa yang dihormati serta diteladani di pentas global. Kesungguhan menepati cita-cita ini telah merangsang manusia yang kerdil untuk mewarnai sejarah hidupnya. Kini, kita dapat melihat akan kepelbagaian sumbangan bangsa-bangsa silam dan masa kini. Dalam lembaran sejarah, kita dapat menikmati akan sumbangan-sumbangan tamadun-tamadun besar yang pernah menguasai dunia.

Bagi menghadapi perubahan, mustahaklah diperlengkap bukan sahaja dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran tetapi, tidak kurang pentingnya, mengisi kekuatan rohani. Masyarakat kita di negara ini, sekarang dan akan datang hendaklah mempunyai nilai hidup yang penuh dengan cabaran serta mengatasi masalah-masalah yang pelbagai rupa. Barangkali kita boleh menjangka corak kehidupan baru sekeliling kita itu dapat melahirkan bentuk kebudayaan yang lebih segar dan dinamis. Pusaka tradisi yang indah dan bernilai dipelihara serta disesuaikan dengan iklim dan persekitaran baru. Inilah perkembangan yang benar-benar kita ingini dan menjadi matlamat segala langkah dan usaha kita hari ini.

Budaya merubah untuk menjadi seseorang atau suatu bangsa yang berguna kita kenali sebagai pembangunan insan. Di negara kita sendiri pun kita mempunyai cita-cita besar. Wawasan 2020 misalnya, menuntut kita bersama-sama membangunkan sebuah negara yang maju bagi mengisi abad 21. Begitu juga Gagasan Sabah Baru yang menjadi dasar pengukuhan politik, ekonomi dan penjanaan pembangunan di negeri Sabah sedang ligat dilaksanakan.

Sudah tentu dalam membahaskan dan mengisi cita-cita besar ini para sasterawan mempunyai saham yang besar. Para sasterawan telah diberi gelaran seperti 'pembentuk peribadi rakyat', 'pembentuk pemikiran dan akhlak masyarakat' dan 'pemimpin zamannya'[1]. Tanggapan serta harapan pemimpin negara dan negeri serta rakyat menggunung. Sudah pasti para sasterawan tidak akan menjauhkan dirinya daripada tanggungjawab besar ini. Kalau begitu, mari kita merenung sejenak persoalan-persoalan seperti apakah kita sudah bersedia menjadi sasterawan harapan bangsa, harapan agama dan harapan negara? Apakah yang akan menjadi bekalan bersama kita sebagai persiapan ke arah itu? Apakah kita sedar mana karya yang dilihat sebagai karya semata-mata dan mana karya yang boleh digali ilmunya, berguna untuk pembaca yang menghayatinya?

Kita harus memperkuatkan karya atau genre kesusasteraan dan ilmu kesusasteraan untuk mengatasi persepsi masyarakat terhadap kesusasteraan yang difahami sebagai karya semata-mata tetapi tidak sekali gus sebagai ilmu[2].

P e n g h a y a t a n B u d a y a I l m u
Dari pandangan Islam, Syed Othman Alhabshi (2003) menjelaskan bahawa ilmu ialah sesuatu yang pasti yang terbit daripada kebenaran yang mutlak yang harus kekal di sisi manusia dan diterima oleh hatinya (al-qalb). Konsep ilmu ini datang daripada perkataan yaqin yang sememangnya mempunyai maksud benar dan pada masa yang sama membina keamanan, keselamatan dan ketenangan dalam hati. Oleh itu, ilmu tidak boleh berada dalam bentuk tekaan yang bijak atau sangkaan yang mungkin mengandungi unsur syak yang akan bertukar atau berubah demi masa atau tempat. Apabila syak wujud, walau sedikit sekali pun, ia bukan lagi suatu kebenaran yang mutlak, ia juga tidak lagi akan menenangkan hati dan dengan itu bukan lagi dianggap ilmu.

Takrif budaya ilmu bermaksud budaya yang berlandas dan dipimpin oleh ilmu. Ia juga merupakan iltizam serta amalan masyarakat yang meletakkan ilmu sebagai nilai asas dan tertinggi sekali dalam sistem nilainya. Budaya ilmu juga difahami sebagai kewujudan suatu keadaan di mana setiap individu akan melibatkan dirinya baik secara langsung atau tidak dengan aktiviti-aktiviti keilmuan pada setiap kesempatan melalui perbincangan, diskusi, percambahan idea dan tindakan bersandarkan ilmu[3]. Seseorang atau sesuatu bangsa yang mengamalkan budaya ilmu akan sentiasa meletakkan ilmu sebagai kunci ke arah kebaikan, kemakmuran, kemajuan dan kejayaan diri atau bangsanya.


Jadi, apabila kita bercakap tentang orang yang berilmu, atau pun tentang budaya ilmu, maksudnya ialah, orang atau masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan pemahaman yang global, yang menyeluruh, tentang hakikat alam ini sebagai ciptaan Allah yang tauhid[4]. Ahli sains tidak lengkap ilmunya jikalau dia hanya pakar dalam bidangnya yang kecil, yang dikatakan khusus, sekiranya persepsinya tidak meluas, tidak celik budaya, tidak mengetahui atau memahami perkara-perkara lain seperti sejarah, budaya, sastera, ekonomi, keadaan sosial dan politik negaranya, atau tentang bidang-bidang ilmu yang lain, walaupun secara umum, sebab semua perkara dan bidang yang lain itu kait-mengait dan bantu-membantu, untuk teorinya dan perasaannya dengan manusia dan masyarakat sekitarnya secara lebih realistik, di samping menjadikan dia lebih sedar akan keterbatasan ilmunya yang khusus untuk memahami hakikat hidup dan alam sejagat ini secara global


C i r i – c i r i B u d a y a I l m u
Ciri-ciri individu atau masyarakat yang menghayati budaya ilmu ialah:
· Kecintaan yang tinggi sepanjang hidup terhadap ilmu
· Menghayati idealisme perjuangan kebenaran
· Memberi keutamaan kepada usaha-usaha penerokaan, pembangunan
dan penyebaran ilmu
· Menghormati serta mengiktiraf para ilmuwan dan institusi-institusi
keilmuan, dan
· Menolak pandangan dan amalan yang tidak berasaskan ilmu dan kebenaran.

Ciri-ciri ini akan terserlah dalam kehidupan sesiapa juga yang menghayati budaya ilmu, kerana pembudayaan ilmu telah ditanam dan disuburkan dengan baik sejak kita atau bangsa kita dilahirkan. Ciri-ciri budaya ilmu juga akan mapan selagi kita mempunyai niat dan keazaman yang tinggi untuk sentiasa mendampingi ilmu. Budaya ilmu ini tidak akan subur, apatah lagi bertahan lama, dalam diri atau bangsa yang hanya berpura-pura atau bermusim-musim komitmennya.

P r a s a r a n a P e m b a n g u n a n
B u d a y a I l m u
Budaya ilmu juga tidak akan terbentuk dengan sendirinya. Pembentukannya memerlukan usaha dan perancangan yang rapi. Bagi menjayakan pembentukan serta memapankan pembangunan budaya ilmu, kita sekurang-kurangnya perlukan persediaan beberapa prasarana ataupun subbudaya, iaitu:
· Budaya membaca
· Budaya berfikir
· Budaya menyelidik
· Budaya berbincang dan musyawarah
· Budaya berkarya

Gabung jalinan kesemua subbudaya ini amat dituntut sama ada dalam diri individu atau bangsa, sebagai contoh, adunan kesemua subbudaya ini dalam diri seseorang sasterawan akan memperkuatkan landasan asasnya agar berkecimpung dalam dunia penulisan secara serius dan amanah. Atas pandangan ini, maka persediaan bagi menjayakan kesuburan dan kemantapan kesemua subbudaya ini adalah diperlukan sekiranya kita benar-benar mengharapkan barisan sasterawan yang berwibawa. Persediaan ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi mutu penulisan, malah akan membantu kita menepati tuntutan zaman agar kita sama-sama menangani cabaran semasa dan akan datang demi kepentingan bangsa, agama, negara dan manusia sejagat.


Tidak dapat disangkal juga bahawa ilmu menjadi prasyarat dalam persaingan di tengah arus perdana kemajuan sejagat. Cabaran teknologi maklumat sesungguhnya mengangkat isyarat kepada kita untuk menguasai ilmu dan kemahiran dalam memastikan kita tidak tertinggal dan ditinggalkan oleh orang lain. Sasterawan tidak terlepas daripada daya untuk membina diri dengan nilai-nilai keilmuan, dengan karya yang juga tidak sekadar lontaran emosi, tetapi memiliki pemikiran, sentuhan keinsafan serta pesan dan pedoman kepada ummah untuk membentuk peradaban. Para sasterawan juga tidak hadir sekadar untuk berkelana dengan ilham tetapi mengisi fikrah dan karya dengan ilmu dan menggilap kecintaan ummah dengan nilai-nilai hubbul ilm wal ulamak yang menjadi paksi dalam membina kecemerlangan. Upaya ini menurut Arifin Arif (1998), menghimbau kita untuk meneruskan hijrah dalam pelbagai dimensi, termasuk peningkatan terhadap penghayatan terhadap nilai ilmu.


Sewajarnya kita ingat bahawa penulisan bukan seperti bidang pembangunan fizikal yang boleh disiapkan dengan cara pasang siap atau dengan cara peminjaman. Ini disebabkan penulisan terletak di hadapan sedangkan pemasangan atau peminjaman berada di belakang. Selagi sasterawan tidak dapat menduduki tempat utama di hadapan, selagi itulah penulisan itu masih di peringkat rendah. Kita harus menumpukan kepada pembinaan kewibawaan, kerana hanya tulisan atau karya yang berwibawa sahaja yang menjamin dunia penulisan bermartabat. Kewibawaan ini pula hanya dapat diperoleh melalui kombinasi pelbagai unsur, iaitu ilmu, pengalaman, ketekunan, kekuatan dan ketajaman berfikir. Kehilangan satu unsur dalam kombinasi ini akan mengurangkan kewibawaan sesuatu tulisan. Tanpa satu unsur itu, seseorang penulis tidak mampu mencerna dapatan orang lain dan dapatannya sendiri yang akhirnya menjadikan tulisannya itu dangkal.


Hal ini mempunyai hubungan dengan minda iaitu konsep abstrak yang merujuk kepada keupayaan pemikiran dan pemerhatian yang mencerminkan daya intelektual seseorang, atau sesuatu kelompok atau bangsa berkenaan[5]. Perkembangan minda bergantung pada interaksi seseorang dengan persekitarannya, khususnya dengan alam sekeliling, dengan keadaan budaya termasuk alam spirituil dan ideologi, sistem pendidikan (formal dan tidak formal), di samping keadaan politik, sosial dan ekonomi masyarakat pada sesuatu zaman. Minda terbentuk dalam sejarah, bukannya sesuatu yang semula jadi atau diberi. Dengan kata lain, minda ialah sesuatu yang dinamik, yang tertakluk pada hukum perubahan seiring dengan perjalanan sejarah dan perkembangan masyarakat.

G a g a s a n A s a s
Bagaimanakah meletakkan sastera yang dihasilkan oleh sasterawan di Sabah berada bersama-sama megakarya-megakarya yang lain dalam peta sastera Malaysia? Kita memang mampu melakukannya kerana para sasterawan kita juga mempunyai kesungguhan dan keusahawanan terhadapnya. Sasterawan dapat memainkan fungsinya dalam masyarakat mampu melahirkan lebih ramai golongan cendekiawan dan berupaya mendominasi hala tuju dan menjana situasi bertindak sebagai nukleus untuk mencipta citra masyarakat[6].

Sebagai gagasan asas kita harus melahirkan lebih ramai sasterawan yang mencetuskan fikrah minda mereka untuk tatapan masyarakat, menjadi sekumpulan manusia yang menjadi rujukan kerana mereka adalah pencetus idea-idea baru. Selayaknya mereka menjadi jurutera sosial andainya mereka dapat berperanan sebagai katalis atau pemangkin. Sasterawan adalah agen perubahan sama ada cara berfikir, tingkah laku dan sikap masyarakat. Justeru sebagai agen perubahan, mereka juga harus mempunyai keterampilan yang hebat dan mengagumkan. Di sinilah pentingnya para sasterawan di Sabah membentuk imej dan keterampilan agar menjadi cerminan dan ikutan yang menghala kepada kesempurnaan.

Mungkin kelembapan industri buku di negeri Sabah memberi sedikit banyak kesan ke arah pendewasaan para sasterawan yang mapan mahupun yang baru berkecimpung dalam dunia sastera. Namun begitu, fenomena ini tidak harus dijadikan sebab terbantutnya usaha pembesaran dan penyejagatan sasterawan dan karya sasterawan berkenaan. Malah sudah ada keberanian yang dilakukan oleh sasterawan ini menerbitkan dan mencetak sendiri buku masing-masing. Di tempat-tempat lain perkara ini bukan baru namun begitu kita harus menghargai pengorbanan yang ditunjukkan oleh para sasterawan generasi baru[7] ini.

Kreativiti sebagai suatu kriteria yang wajar ada pada seseorang sasterawan sudah tentu juga menjangkau sehingga soal-soal pemasaran karya. Seharusnya difikirkan cara terbaik agar memasarkan produk karya mereka kepada masyarakat dilakukan secara meluas dan terbuka. Kita harus membuka sasaran lebih lebar bukan semata-mata di kalangan sesama sasterawan, sarjana atau pelajar tetapi juga daripada golongan lain seperti para saudagar atau yang terlibat dengan dunia korporat, ahli-ahli politik, pemimpin tertinggi negeri atau negara, masyarakat desa dan sebagainya. Para sasterawan juga wajar tidak terlalu merendahkan diri mereka apabila berada di antara kelompok yang berkedudukan tinggi. Selain daripada itu, sebaiknya diwujudkan sebuah konsortium pemasaran karya sastera kita. Perlunya juga usaha promosi yang sistematik, paparan iklan yang lebih meluas, dan pengupayaan memperkenalkan karya dan sasterawan di peringkat nasional dan antarabangsa menerusi kemampuan ICT masa ini.

Sewajarnya juga lebih ramai sasterawan[8] kita menerima Hadiah Sastera Perdana seterusnya layak diketengahkan bagi penilaian Hadiah Sastera Mastera[9] apabila kesungguhan dan usaha rancak industri penerbitan buku dilaksanakan dengan jayanya. Ke arah sasaran ini, misi para sasterawan sudah tentu akan melipat gandakan lagi kecemerlangan mereka menghasilkan megakarya-megakarya yang hebat. Mereka akan menjadikan bahan-bahan sejarah, akar budaya, rimba kehidupan masyarakat tempatan sebagai nukleus atau pati kesusasteraan yang akan menjadi jati diri bangsa kita.

Kadang-kadang kita berfikir kecil, hidup dan bernafas di dalam kepompong sosiobudaya yang sempit. Yang ada hanyalah karya kita, keghairahan kita dan sedikit nama. Memadai kita dikenali sebagai penulis atau sasterawan sebuah atau dua buah karya sastera dan dikagumi oleh segelintir teman-teman. Lalu kita menulis untuk diri kita dan sebilangan kecil masyarakat yang menikmatinya.

Sastera Malaysia adalah sastera yang kecil, bukan kerana keupayaannya atau kerana potensi yang ada padanya tetapi kerana kita sengaja menjadikannya kecil. Yang berlaku kita sengaja membesar-besarkan yang kurang penting terutama sekali kepada hal-hal yang boleh tidak boleh, jadi tidak jadi, rajuk yang merugikan, marah yang memudaratkan dunianya sebagai sasterawan sejati dan sebagainya. Kita tidak berfikir secara besar dan berusaha secara serius untuk memperluaskan andatila sastera kita ke pengetahuan dunia. Apa yang kita lihat usaha secara persendirian. Menerbitkan buku juga secara bersendirian. Memasarkannya juga demikian. Jika demikian, bagaimana dunia boleh mendapatkan karya kesusasteraan kita?

Ambil sahaja terjemahan[10]. Bukan kita tidak berusaha menterjemah karya kesusasteraan ke dalam bahasa dunia yang lain, tetapi sejauh manakah usaha terjemahan itu tersebar? Apakah hanya tertimbun di rak-rak perpustakaan dan di kedai-kedai buku dalam negeri? Terjemahan itu harus tersebar luas bukan sahaja di perpustakaan-perpustakaan besar dunia, universiti-universiti baik malah kedai-kedai buku ternama. Sewaktu kita mengakses carian di internet, apakah senarai pendek karya kita juga terdapat di situ? Sekiranya kita mahu dikenal di mata dunia, kita harus berusaha secara agresif untuk memperkenalkan diri kita. Sebaik mana pun karya-karya sasterawan terbilang kita, sekiranya tidak diketahui oleh dunia, tidak memberikan apa-apa pengertian dan tidak akan menaikkan imej sastera kita pada kaca mata antarabangsa. Meskipun ada waktunya kita akur seperti pernah ditulis oleh Abdul Hadi W.M. (1989), antara Timur dan Barat milik Tuhan...

"ke mana pun kau berpaling yang terlihat adalah wajah-Nya. Maka kebenaran bertaburan di mana-mana, kita yang jumpa di sini cuma sebahagian kecil sahaja daripada masyarakat kepenyairan (sastera) yang jauh lebih besar. Perbezaan ras, kebangsaan, agama dan aliran sastera dan lain-lain tidak selayaknya merintangi kita untuk saling menghargai dan saling menyemak karya kita masing-masing."

G a g a s a n K h u s u s

Saya ingin merumuskan bahawa proses memperkasakan sasterawan dan karya sastera di Sabah akan melalui 'jalan yang tertutup' sekiranya tidak ditangani dengan bersungguh-sungguh. Sekurang-kurangnya tiga dot hitam yang perlu diberikan perhatian dan diketengahkan sebagai gagasan khusus ini, iaitu:

· Belum ada sasterawan Sabah yang dinobatkan dengan anugerah besar bersifat eksklusif[11] sama ada peringkat nasional, mahupun antarabangsa[12].
· Untuk mendapatkan pengiktirafan yang begini, seseorang harus ada megakarya yang diterbitkan dengan mutu penerbitan yang sempurna. Selain kualiti, keadaan ini harus juga diberatkan aspek mutu teknikal, cetakan, modus pasaran dan sebagainya.
· Kebanggaan dan martabat seorang sasterawan selalunya diukur berasaskan penghasilan buku, dan jumudnya peningkatan martabat golongan sasterawan di Sabah pula boleh dikaitkan dengan kelembapan industri penghasilan buku.

Mungkin benar bahawa prasyarat untuk mendapatkan pengiktirafan eksklusif, seseorang harus mampu menonjolkan satu megakarya dan konsisten dengan proses pembukuan karya-karya dari semasa ke semasa. Soalnya adakah memadainya dengan hanya dua kriteria ini?

Sesungguhnya tidak ada definisi fizikal yang mutlak mengenai megakarya. Sifat megakarya itu adalah abstrak, subjektif dan relatif. Megakarya tidak muncul dan tidak lahir hanya kerana adanya seorang sasterawan berbakat besar tiba-tiba menghasilkan sebuah megakarya. Megakarya tidak mungkin tercipta di hujung pena seorang sasterawan semata-mata. Megakarya adalah konsep yang dicipta oleh 'sekumpulan individu tertentu' yang berperanan mengguna, menilai dan mengapresiasi sesebuah karya. Jadi, soalnya di sini bukannya 'adakah para sasterawan Sabah mempunyai megakarya atau tidak?' Persoalan yang lebih relevan ialah 'siapakah yang mahu memegakaryakan dan memegahkan karya para sasterawan Sabah?' Pengkritik sastera? Namun begitu berapa ramai penulis kritikan di Sabah yang konsisten? Apakah peranan yang diberikan oleh para sarjana di pusat pengajian tinggi di Sabah, misalnya Universiti Malaysia Sabah (UMS)?

Hakikatnya semua orang berlumba-lumba menghasilkan karya kreatif tetapi memandang usaha-usaha kritikan ini hanya sebagai tugas golongan akademik semata-mata. Ini ditambah lagi apabila pengkritik sastera kita biasanya daripada kalangan sasterawan itu sendiri[13]. Kita sering membaca kritikan-kritikan sastera di dada akbar dan majalah tempatan, namun batasannya hanya di situ dan tidak pula mahu melebarkan sayap kritikan mereka ke dunia sastera nasional. Program pembicaraan karya sastera kita juga tidak disebarluaskan misalnya menerusi media-media masa nasional.

Karya kreatif sebagai sebuah karya jarang sekali boleh menjadi megakarya jika tidak disusuli dengan elemen-elemen perbahasan dalam bentuk prosa tentang nilai-nilai dalaman karya tersebut. Kadangkala, sebuah karya yang sangat baik dan bermutu, mati terkubur kerana ia hanya dibaca sebagai karya kreatif semata-mata tetapi tidak dibicarakan tentang bentuk persembahan dan olahan pemikirannya. Misalnya novel Salina (A. Samad Said). Sewaktu ia mula dihasilkan dulu, impaknya kepada pengguna sastera di Malaysia begitu kecil. Bukan setakat tidak mampu menjadi megakarya, malah gagal memenangi hati penilai sayembara penulisan yang disertainya ketika itu. Hanya pada pasca 1970-an, apabila tema dan falsafah yang tersirat dalam novel ini mula dibahaskan oleh para pengkritik barulah Salina diangkat menjadi sebuah megakarya. Kesimpulannya, jika tidak kerana usaha kritikan barangkali sampai sekarang novel Salina hanya dianggap sebagai sebuah novel yang biasa, dan bukan sebuah novel yang dianggap sebagai satu percubaan berani untuk merubah gaya pengkaryaan novel Melayu pasca-perang[14].

Salman Rushdie, sebagai contoh lain, seorang penulis berketurunan India yang boleh dikatakan sebagai distinctively average[15] dari segi bakat penulisan. Karyanya dianggap biasa saja. Tapi mengapa karyanya "Satanic Verses"[16] (Surah Syaitan) boleh mendapat pencalonan The Man Booker Prize[17] bagi kategori fiksyen (1988) dan menang pula anugerah Whitbread Novel Award[18] pada tahun yang sama? Mengapa "Satanic Verses" boleh menjadi salah sebuah karya kreatif yang besar di dunia? Mudah saja, kerana sesudah kontroversi elemen Islam dalam karya tersebut tercetus maka ratusan pengkritik sastera di seluruh dunia telah mengulas, menilai dan membahaskan karya tersebut - dari segala segi dan dimensi. Natijah daripada perbahasan dan kritikan inilah yang telah mengangkat "Satanic Verses" sebagai sebuah megakarya. Jika novel ini dibaca hanya sebagai sebuah novel, nescaya novel ini tidak akan dianggap megakarya sampai bila-bila sekali pun.

Akhirnya kita harus kembali memandang wajah kita, sama ada generasi yang lalu atau generasi masa kini, dalam menangani isu yang berbangkit. Tidak ada sebarang faedah ditudingkan jari lantaran ingin menyalahkan pihak lain. Isu ini tidak pernah selesai, timbul dan tenggelam sebagaimana timbul dan tenggelamnya sasterawan kita. Namun begitu gagasan khusus terhadap isu ini masih relevan untuk diketengahkan agar jalan yang terbentang luas masa ini dan masa depan memberikan peluang kepada para sasterawan kita memantapkan lagi kreativiti mereka dan pada masa yang sama peluang harus juga diberi untuk mengetengahkan karya mereka di peringkat yang lebih tinggi.

P e n u t u p
Saya berhasrat untuk menegaskan bahawa apa juga gagasan yang di senarai pendek menuntut kesungguhan kita memacu hala tuju yang sesuai bukan secara sambil lewa atau hangat yang bermusim. Kita tidak mahu terus berada di dalam kepompong persekitaran yang statik yang membelenggu corak pemikiran kita dan dalam proses menggemilangkannya masih disanggah segala macam kelemahan yang bertali arus sejak berzaman. Sedangkan wawasan kecemerlangan harus berjalan seiring bersama kedinamikan para sasterawan dan juga keberkesanan pembangunan fizikal dan spirituil yang diamalkan.

Kita cukup menyedari bahawa dunia ini sedang dihambat dengan pelbagai cemeti perubahan yang bersifat megakarya dan megahnya globalisasi yang meranapkan ciri-ciri yang unik dan istimewa. Dalam keadaan ini kita perlu melihat peranan kita sebagai sasterawan yang akan membantu ke arah menyerlahkan budaya ilmu yang berpaksikan keaslian negara bangsa kita. Dengan benteng yang kukuh ini, insya-Allah kita akan menampilkan keberkesanan realiti negara maju beracuan kita sendiri, mampu menampilkan megakarya-megakarya sastera yang megah oleh para sasterawan yang berfikiran besar dan berpandangan jauh ke hadapan. Para sasterawannya pula berpeluang mengangkat persoalan tempatan ke persada global menerusi aktiviti penulisan yang konsisten, sistematik, kritis dan membina malah cemerlang, gemilang dan terbilang. Inilah cabaran para sasterawan generasi hari ini.


R u j u k a n


A.Aziz Deraman (2000), "Bahasa dan Kesusasteraan dalam Pembinaan Negara Bangsa".Tamadun Melayu dan Pembinaan Bangsa Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Hadi W.M. (1989). Masjid, Kepenyairan Timur dan Barat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdul Rahman Embong (2003). "Faktor Ideologi Politik dan Budaya dalam Penutupan Minda Melayu Islam". Isu dan Proses Pembukaan Minda Orang Melayu Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Arifin Arif (1998). Sastera Islam Menelusur Qarnul Jadid. Kota Kinabalu: Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dll.

Dr. Datu Bandira Datu Alang al-Haj (1999). Sasterawan: Nukleus Sosialisasi Masyarakat Alaf Baru. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Dr. Mohammed Haleem Haji Razi (1995). Budaya Ilmu: Ke Arah Pemantapannya di Kalangan Penulis di Sabah. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

Hassan Ahmad (2002). "Budaya Ilmu". Imbasan (Edisi Kedua). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Johan Jaaffar (1989). Sastera Malaysia untuk Dunia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Othman Alhabshi (2003). "Masyarakat Ilmu, Ekonomi Ilmu dan Masyarakat Islam". Isu dan Proses Pembukaan Minda Orang Melayu Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Jumaat, Jun 03, 2005

Sekelopak Kata 2

Orang bestari berkata: lidah lebih tajam daripada pedang, aku berkata: pedang ada di lidahmu lebih cepat membunuhmu tetapi pedang di akalmu lebih cepat membunuh musuhmu.

Sekelopak kata

Buat tak cakap
lebih baik daripada cakap tak buat...

Khamis, Jun 02, 2005

BIODATA HASYUDA ABADI

HASYUDA ABADI  dilahirkan pada 1 September 1960 di Kampung Lumadan, Beaufort, Sabah. Ayahnya berketurunan suku Murut, berasal dari daerah Tenom, Sabah. Ibu Hasyuda Abadi berketurunan suku Jawa, berasal dari daerah Beaufort. Lima orang adik Hasyuda terdiri daripada seorang lelaki dan empat orang perempuan.   

Hasyuda Abadi menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan (SRK) Lumadan, Beaufort pada 1967-1972 kemudian meneruskan pendidikannya di Sekolah Menengah St John Beaufort sehingga  Tingkatan Lima aliran Sains pada 1973-1978.

Hasyuda Abadi dibesarkan dalam sebuah keluarga yang relatif susah di era ketika Sabah (North Borneo) masih berada dalam jajahan British. Hasyuda Abadi pula lahir di era yang sama yakni beberapa tahun sebelum kemerdekaan diberikan kepada Sabah. Hampir 90 peratus masyarakat di tempat kelahirannya bekerja di sebuah estet getah. Estet Lumadan adalah antara estet-estet getah yang luas di Sabah ketika itu. Bagaimana pun, ayahnya telah membeli sebidang tanah seluas dua ekar di mana di situlah ayahnya membina rumah yang amat tipikal sebagai bahagian daripada landskap perkampungan tradisi yang wujud sehingga kini.

Hasyuda Abadi lahir dan dibesarkan di rumah yang serba biasa seperti kebanyakan kemampuan yang dimiliki jiran-jiran ayahnya. Suasana kehidupan desa yang harmoni yang menjadi riuh ketika di tengah dan hujung bulan ketika pekerja estet menerima upah mereka. Pada suasana inilah Hasyuda Abadi telah didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang digemari pekerja dan penduduk kampung seperti sukan bola sepak, sabung ayam dan aktiviti seni pentas. Estet Lumadan mempunyai sebuah pasar dan sebuah panggung wayang. Panggung wayang ini agak besar juga. Setiap bulan akan ditayangkan filem-filem Hollywood, Bollywood, Malaysia dan Indonesia. Bagi pekerja estet yang meminat dunia hiburan mereka melibatkan diri dengan akviti pentas bangsawan, sandiwara, lawak jenaka, persembahan kugiran dan tarian. Di pentas inilah Hasyuda Abadi beraksi buat pertama kali membaca sajak ketika dalam darjah tiga. 

Suatu ketika dahulu Hasyuda Abadi pernah bercita-cita menjadi seorang guru tetapi cita-citanya itu tidak menjadi kenyataan.  Semasa di sekolah menangah, setelah lulus peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE), beliau naik tingkatan empat dalam aliran sains. Hasyuda Abadi amat meminati subjek matematik. Sehabis menduduki peperiksaan Malaysian Certificate of Education (MCE) beliau merantau ke Kota Kinabalu pada tahun 1979 dan mendapat tawaran kerja tetap di Jabatan Penyiaran Malaysia.  6 tahun kemudian Hasyuda Abadi berpindah ke Pejabat Pilihan Raya Negeri Sabah sehingga beliau bersara pilihan pada tahun 2015.

Di awal perkenalannya dengan dunia kesenian Hasyuda Abadi terlibat sebagai seorang penari kebudayaan. Beliau menyertai Kumpulan Anak Seni, ketika itu di bawah pimpinan Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain. Minat kepada dunia penulisan sebenarnya lahir secara kebetulan apabila gerakan kesenian yang luar biasa mengetengahkan aktiviti-aktiviti sastera dan teater. Hasyuda Abadi dan rakan-rakannya diberi tunjuk ajar oleh Datuk Hajah Zaiton Ajamain dalam bidang penulisan puisi. Disebabkan keghairan masa muda ketika itu, Hasyuda Abadi kian meminati sastera, menulis puisi dan menulis rencana sastera di media massa dan menyertai kegiatan-kegiatan di tempat lain. Pengalaman manisnya ketika menerbitkan buku antologi puisi secara stensilan menjadi suatu inspirasi ingin terus cenderung menjadi penulis.

Bersama Kumpulan Anak Seni, Hasyuda Abadi pernah menjawat Setiausaha Kehormat selama tiga tahun. Antara kegiatan besar yang beliau turut terlibat menganjurkan program pengucapan puisi patriotisme di Auditorium Yayasan Sabah, persembahan drama tari ‘Putera Rambang Rambunut’ di Maktab Perguruan Kent Tuaran di samping sering menyertai pertandingan tarian dan drama.

Karya pertama Hasyuda Abadi merupakan sebuah karya protes bertajuk ‘Mengapa oh Mengapa’ tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980. Beliau juga menulis cerpen, rencana sastera dan rencana umum selain menulis skrip drama radio.

Pada peringkat awal, bentuk tulisan Hasyuda Abadi begitu dipengaruhi karya-karya Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain, kerana beliau merupakan guru pertama dalam dunia seni dan penulisan. Selepas itu melalui kewibawannya menulis secara prolifik dalam pengkaryaan serta sering menyertai bengkel penulisan dan aktiviti persuratan, beliau berjaya menguasai dunia persuratan khususnya puisi mengikut acuan dan bentuknya sendiri. Karya-karya Hasyuda Abadi tersiar secara merata dalam media massa di Sabah seperti Harian Ekspress, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo kemudian di media massa nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Hasyuda amat prolifik mulai tahun 1981 apabila hampir setiap minggu karyanya tersiar di media massa di Sabah.

Pada 1985, sebuah karyanya bertajuk Salam Buat Kekasih yang tersiar di Harian Ekspres pada 17 November 1985 telah terpilih sebagai penerima Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985. Kemenangan puisi Hasyuda Abadi ini merupakan kesinambungan penulis-penulis terdahulu dari negeri Sabah iaitu Datuk Haji Jamdin Buyung, Tuan Haji Hashim Jeffri dan Saidi Lampoh (S. Mala) dengan tempoh yang sangat langka.

Pada tahun 1987, beliau mengikuti Program Penulis Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah di bawah asuhan penyair terkenal Malaysia, Dato’ Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala). Pada tahun 1997, Hasyuda Abadi bernasib baik kerana terpilih menyertai Program Penulisan Majlis Bahasa dan Sastera Asia Tenggara (Mastera) di Pusat Pengembangan Bahasa, Jakarta. Program anjuran Mastera ini dibimbing oleh Dr. Sapardi Joko Damono, Dr. Abdul Hadi W.M dan Taufiq Ismail.

Hasil daripada Program Penulis Anak Angkat telah melahirkan buku puisi sejarahnya berjudul Balada Paduka Mat Salleh. Buku ini telah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1989. Buku puisi panjang ini berlatar belakangkan sejarah perjuangan seorang pahlawan Negeri Sabah menentang Inggeris pada 1896-1900. Buku ini dianggap satu-satunya buku puisi sejarah yang dihasilkan penulis Sabah dan Malaysia ketika itu.

Apabila Ikatan Penulis Sabah (IPS) ditubuhkan pada 1990, Hasyuda Abadi mengambil keputusan menyertainya dengan iltizam untuk turut serta meredah gelora sastera mutakhir ketika itu. IPS digerakkan oleh sekumpulan anak muda diketuai Jasni Matlani dan rakan-rakannya di sekitar Kota Kinabalu membawa mesej baharu agar suara penulis-penulis muda perlu didengar oleh massa. Hasyuda Abadi pernah memimpin IPS selama dua dekad (1998 hingga 2018). Beliau juga merupakan ahli sepanjang hayat dalam Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA). Hasyuda Abadi juga terlibat dalam penubuhan Institut Penilaian Sastera (INPES) bersama-sama Datuk Dr Haji Janathan Kandok dan Abd Naddin Haji Shaiddin. INPES mempunyai landasan yang mandiri dalam visinya mengangkat sastera sekaligus mengiktiraf pengarang di lokaliti ia lahir dan dibesarkan.

Kegiatan persuratannya yang rancak di Negeri Sabah sepanjang 4 dekad telah menajamkan mata pena Hasyuda Abadi. Beliau begitu giat melahirkan puisi-puisi tanpa berasa jemu. Hasyuda Abadi sering menyertai dan memenangi Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah bermula tahun 1988. Kegiatan ini berlangsung setiap tahun bersempena dengan Malam Pengucapan Puisi Berunsur Islam di Negeri Sabah.

Beberapa penganalisis sastera tanah air pernah  memberikan komentar mereka terhadap karya-karya Hasyuda Abadi. T. Alias Taib misalnya, pernah memberi sebuah tanggapan kepada Hasyuda dalam Dewan Sastera, April 2000 bahawa Hasyuda Abadi, tampaknya, berusaha memberikan ungkapan asli dan imaginatif. Dharmawijaya dalam Dewan Sastera pada Mei 2003 berpandangan, karya Hasyuda Abadi memperlihatkan ketelitiannya dalam pendayagunaan bahasa.

Sasterawan Negara, Dato Dr. Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) melihat peningkatan Hasyuda Abadi menerusi epik dan sejarah, namun suaranya juga mulai mendekam pada yang Islami. Sejak bila Hasyuda Abadi berubah? Kemala bertanya. Agaknya selepas dia faham makna cinta sejati. Api cintalah yang bernyala di mata Umar Al-Farid dan Iqbal, tapi cinta dan cinta saja tidak bererti andainya tidak dicantas duri dan ranjau yang menutup kebenaran. Apakah bezanya temaram (pancaran) bulan dilangit dan bayangan bulan di danau (tasik)? Kemala pernah mengasuhnya dulu, mungkin kini Hasyuda Abadi menurut Kemala, sudah melalui denainya sendiri.

Datuk Jasni Matlani ketika menganalisis dunia kepenyairan Hasyuda Abadi menurutnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya. Namun yang pasti, setiap karya puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya.

Menurut Jasni, Hasyuda Abadi merupakan salah seorang penulis yang amat konsisten dalam bidang kepenyairan di Sabah. Penulis ini mencipta rekod dalam sejarah sastera Sabah sebagai penulis yang amat menyerlah dalam genre puisi selama 40 tahun secara berterusan. Kata Socrates, setiap orang mempunyai matahari dalam hatinya, dan Hasyuda Abadi mengetahui beliau memiliki matahari yang baik untuk semua orang, bukan matahari yang boleh menyebabkan manusia di sekelilingnya terbunuh. Hasyuda Abadi mengisi keperluan manusia terhadap matahari dengan caranya sendiri, melalui puisi-puisinya yang bervariasi, dengan permainan kata-kata yang indah dan mesejnya yang menggugah hati nurani manusia dan membijaksanakan. Walau apa pun alasannya, karya puisi penyair ini meskipun kritis, tetapi selalu membawa manusia keluar daripada jaring kegelapan dan berhijrah ke dunia baharu yang bermandikan cahaya. Apabila memikirkan hal ini, matahari yang ada di dalam diri penyair ini sesungguhnya menerangi orang lain dengan begitu indah dan mengagumkan.

 Berbeza dengan beberapa penyair Sabah, Malaysia yang pernah kita mesrai karyanya, Hasyuda Abadi memilih jalur fikir yang agak tersendiri. Ini pandangan jujur Prof. Madya (ts) Dr Ramzah Dambul, Timbalan Naib Cancelor Universiti Malaysia Sabah. Ketika ramai penyair lain gemar berbicara tentang konflik dalaman diri (sama ada melibatkan gelora cinta, idealisme, kerohanian atau pencarian nur jiwa) – penyair ini keluar dari kongkongan begitu. Beliau lebih cenderung memberi kritik sosial. Yang ditujukan kepada pelbagai ceruk komuniti dan entiti-entiti manusiawi yang terolah di persekitaran.

Narudin seorang komentar sastera di Indonesia menyatakan, secara komparatif, puisi-puisi Hasyuda Abadi mengingatkan pada puisi-puisi demonstrasi Taufiq Ismail dan puisi-puisi pamflet W.S. Rendra. Namun, letak perbezaannya, Hasyuda Abadi tengah terus mendobrak tradisi puisi Melayu di Malaysia dengan bentuk puisi prosais. Dengan demikian, Hasyuda Abadi mengikut Narudin sebagai salah satu penyair kontemporer Sabah, Malaysia.

Pemapilan terhadap kesungguhan Hasyuda Abadi sebagai penulis yang kosisten di Sabah dan Malaysia amnya terserlah melalu Hadiah Sastera Sabah (HSS) yang diraihnya pada setiap kali penilaian dijalankan. Karya-karya Hasyuda Abadi menjadi penerima HSS pada tahun 1989, 1991, 1998, 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2012, 2014 2016, 2018 dan 2020 bagi genre puisi dan cerpen. Selepas Hadiah Sastera Malaysia (HSM) 1984/1985, Hasyuda Abadi meraih Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) pada 2008 dan 2019. Hasyuda Abadi juga merupakan pemenang Hadiah Utama Peraduan Menulis Puisi Berunsur Islam 2011 anjuran DBP Cawangan Sabah melalui kumpulan puisinya berjudul 'Perlimbahan Cinta'. Penulis ini juga turut memenangi Hadiah Menulis Cerpen (Juara) dan Puisi (Naib Juara) berunsur Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri sempena Karnival Kesenian Islam 2011.

Skrip drama pentas Hasyuda Abadi berjudul “Takungan Bayu” telah memenangi hadiah kedua dalam Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah pada tahun 1995. ‘Takungan Bayu’ merupakan adaptasi kepada perubahan politik di Negeri Sabah melalui proklomasi ‘Sabah Baharu’ pasca pilihan raya umum negeri Sabah pada 1994. Skrip terdapat dalam buku antologi ‘Unduk Ngadau’ terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pencapaian Hasyuda Abadi dalam bidang penulisan yang lain ialah Hadiah Penyajak Terbaik Berita Sabah (1997), Hadiah Tinta Sastera kategori puisi (1999 dan 2004) dan Hadiah Karya Sulung (2002). Hasyuda telah menghasilkan lebih 1,000 buah puisi di pelbagai media, 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas/radio. Puisi-puisi Hasyuda dimuatkan dalam kumpulan puisinya: ‘Balada Paduka Mat Salleh’ (DBP, 1989), ‘Akar Cahaya’ (IPS, 1997), ‘Datang Kembali’ (IPS, 1997), 'Menginai Badai' (DBP, 2004), 'Sirna Sirna' (DBP, 2006) dan 'Kembali di Lahad Rahsia' (Iris, 2008), 'Suara yang Terbuka' (ITBM, 2014) dan ‘Kelahiran Sekuntum Cermin’ (Iris, 2018). Cerpen-cerpen Hasyuda dihimpunkan dalam Kumpulan Cerpen 'Sepasang Sayap Jelita' (Inpes, 2004). Sebuah buku himpunan pantun karya Hasyuda Abadi juga diusahakannya melalui projek penerbitan DBP dalam buku 'Usul Mengenal Asal' (IPS, 2014). Puisi-puisi Hasyuda Abadi juga turut diterbitkan secara bersama dengan para penulis lain di Malaysia, Negara Brunei Darussalam, Thailand, Filipina, Korea Selatan dan Indonesia melalui 65 buah antologi puisi, antologi cerpen (3 buah), antologi skrip drama pentas (1 buah) dan antologi esei sastera (3 buah).

Puisi Hasyuda Abadi pernah dibacakan semasa majlis perbarisan Hari Kebangsaan peringkat negeri Sabah dan Perayaan Hari Malaysia di Kota Kinabalu. Di samping aktif sebagai penulis, Hasyuda Abadi juga sering diundang menjadi pembimbing bengkel-bengkel penulisan baik oleh DBP Cawangan Sabah, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah, Jabatan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Sabah, Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Pertubuhan-pertubuhan Bukan Kerajaan (Ngo) di Sabah. Beliau juga pernah terlibat sebagai Ketua fasilitator dan fasilitator Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) Khidmat Negara di Sabah. Hasyuda Abadi juga merupakan pemula untuk progam SUNTIK yang diusahakan oleh beberapa orang penulis dengan kerjasama DBP Cawangan Sabah.

Dalam aktiviti antarabangsa Hasyuda pernah menyertai KL Poetry Reading 2000 di Kuala Lumpur dan Pahang, Korean-Asean Poet and Literature Festival di Riau, Indonesia (2011), Baca Puisi Dunia Numera di Kuala Lumpur (2014), Temu Sastra Indonesia-Malaysia (2015), Perhimpunan Budayawan Sastrawan Negara Serumpun di Jogjakarta (2016) dan banyak lagi program persuratan yang lain.

Hasyuda Abadi juga turut menyumbang dalam penulisan esei kritikan. Pada sisi ini, beliau pernah menjadi kolumnis di Utusan Borneo Sabah yang disiarkan pada setiap hari Ahad selama lima tahun. Ruang pojok beliau ‘Sesekali Menoleh ke Belakang’ memaparkan pemikiran, ulasan dan apresiasi dunia kesusasteraan semasa.

Pada masa ini Hasyuda Abadi mengurus Akademi RupHA (Rumah Puisi Hasyuda Abadi) yang menempatkan mini perpustakaan - Pustaka Iqbal Nazim dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam.  Perpustakaan mini ini menyimpan lebih 6 ribu judul buku pelbagai jenis termasuklah yang berkaitan dengan agama, politik, sastera, budaya, ensaiklopedia, majalah dan sebagainya. Pustaka ini dibuka kepada umum terutama para pelajar pengajian tinggi yang berhampiran. Pustaka ini pernah meraih hadiah pertandingan sudut bacaan di rumah anjuran DBP Cawangan Sabah pada 2020.

Atas keprolifikan dan ketekalan Hasyuda dalam dunia penulisan, Hasyuda telah dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah 2008. Anugerah ini telah disampaikan oleh Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah, Tun Ahmad Shah Abdullah.  Hasyuda Abadi juga menerima bintang-bintang kebesaran di peringkat persekutuan - Pingat Pangkuan Negara daripada Yang DiPertuan Agong pada 2008 dan daripada Yang DiPertua Negeri Sabah - Bintang Kinabalu (B.K) pada 2005 dan Bintang Seri Kinabalu (B.S.K) pada tahun 2013.