Jumaat, Julai 22, 2011

Merekayasa Keperluan Penulis

Agak tragik juga. Kehidupan ini sering berhadapan dengan teka teki. Kita fikir sudah menemukan jawapan dan percaya berada pada kedudukan yang selesa. Rupanya tidak. Begitu kita yakin bahawa satu pandangan sudah cukup sebagai menjelaskan kewibawan seseorang bahkan ramai lagi, tetapi menerima tanggapan yang lain pula. Saya fikir ini natijah sebuah suguhan semangat yang sukar dibendung. Akhirnya wujud beda tanggap hingga menemukan jalur-jalur polemik yang bukan-bukan.

Pada 90an kita juga berhadapan satu situasi yang hampir sama - gerakan penulis muda merisaukan penulis mapan. Bezanya satu, dulu penulis muda terjumlah ramai dan gerakan itu bersifat nasional sedangkan era ini, penulis mapan lebih menonjol berbanding yang menganggapnya muda. Dari aspek ambil peduli pengurus sastera, usaha meninjau delima yang dihadapi penulis muda merupakan satu usaha yang baik. Cuma, apakah penulis mapan tidak menghadapi delima yang sama? Soal penerbitan, penampungan karya, sifat ambil peduli pengurus sastera, apakah telah mereka terima dengan memuaskan? Kerana itu meletakkan gap-gap tertentu tidak akan menyelesaikan keperluan-keperluan kelompok-kelompok ini. Saya fikir jika masalah.media, mengapa tidak menerbitkan Wadah setiap bulan berbanding sifatnya berkala masa ini. Tidak perlu menerbitkan buletin khas semata-mata untuk menempatkan karya-karya penulis muda. Jika demikian, penulis mapan barangkali tidak salah menuntut pekara yang sama. Akhirnya usaha yang murni berubah menjadi keadaan rasa mahu yang berlambak.

Apabila karya penulis muda diterbitkan dalam bentuk buku, bagaimana penulis yang mapan, jika mahu kategori penulis diteruskan. Kehendak penulis mapan juga belum dilaksanakan sekian lama menghambat kreativiti penulis, apatah lagi kelembaban penangan karya kreatif tidak seagresif sebelumnya. Jika pengurus sastera kita mahu berlaku adil, fikirkan perkara-perkara pokok sebelum ini, misalnya merekayasa semula penataran untuk para penulis. Ia perlu dilakukan secara telus dan terancang. Konsep mentor boleh dilakukan. Penerbitan buku juga demikian. Satu perkara lagi yang perlu difikirkan iaitu mewujudkan dana untuk penulis Sabah. Dana inilah menjadi sokongan aktiviti pemerkasaan karya dan inovasi penulis. Jika tidak, jangan harap apa yang penulis hasratkan tercapai, melainkan ungkapan yang klise, semangat menjadi luntur. Beberapa tahun akan datang wujud lagi gerakan yang sama. Sampai bila-bila pun penulis tidak dapat memperkasa bakat mereka. Ini menjadi bertambah parah lagi apabila wujud ketidak sepakatan di pihak pengurus sastera, misalnya siapakah pegawai yang benar-benar bertanggungjawab mengurus penulis, karya dan aktiviti mereka. Jika bumbung rumah penulis retak di mana lagi tempat penulis bernaung?

Khamis, Julai 21, 2011

Kejujuran dan utopia

SESIAPA yang mengisi hari-harinya dengan keikhlasan dan kerendahan hati akan menemukan alam sebenarnya - sebuah perpustakaan agung. Berlimpah pengetahuan dan kebijaksanaan yang tersimpan di sana.

“Kejujuran ini umpama laut yang dalam. Di permukaan ia sentiasa bergelombang. Namun, di dasarnya tidak ada gerakan, apalagi gelombang. Hanya hening yang melukis keindahan dan kesempurnaan,” tulis penyair dan aktivis Buddha, Zenkei Shibayama dalam A Flower Does Not Talk (1966). Kejujuran juga digambarkan Shibayama seperti sakura mekar mengharum dan berguguran tanpa suara. Tanpa keluhan dan perdebatan dengan bunga-bunga lain yang turut bergayutan pada ranting yang sama.

Ia akan membuat dunia ini penuh dengan keindahan dan kedamaian, tidak ada penipuan, kekerasan atau penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk mencari kepentingan peribadi dan kelompok. Namun, cita-cita Shibayama untuk menemukan sebuah kejujuran yang hakiki hanyalah wacana utopia. Sesuatu yang mustahil untuk mewujudkan dunia yang tidak ada penipuan, tanpa peperangan dan keganasan serta sisi-sisi negatifnya.

Istilah utopia itu sendiri berasal dari buku terkenal, Utopia karya Sir Thomas More pada tahun 1516. Dia adalah salah seorang pemimpin England yang bakal dilantik menjadi ketua Parlimen dan Lord Chancellor ketika Raja Henry IV turut berkuasa ke atas gereja Anglican dan Roman Katholik. More menolak untuk mengucapkan sumpah setia pada raja sebagai ketua gereja dan hukuman ke atas orang yang ingkar kepada raja adalah kematian. Dia dipancung pada tahun 1535.

More sebenarnya mengimpikan sebuah negara yang dimiliki bersama. Semua orang menikmati pendapatan yang sama, makan dan bekerja dalam sebuah komuniti yang adil. Tidak ada perbezaan dan penindasan. Di negara impian More tersebut, masalah-masalah politik tidak boleh dibahas secara terbuka. Namun, tanpa disedari, idea-idea utopia tersebut telah membuka ruang kepada konsep komunisme yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah ideologi yang sangat dikagumi di Eropah pada penghujung abad ke-19.

Sama seperti Shibayama, pandangan More hanya sebuah impian. Buktinya, hingga kini, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan korupsi tetap hidup, malah semakin membiak. Contoh yang paling mudah adalah di Malaysia. Penahanan dua pegawai kanan Jabatan Imigresen untuk membantu siasatan kes rasuah berhubung urusan pengeluaran visa bagi kemasukan pekerja asing baru-baru ini membuktikan gagalnya wacana utopia Shibayama dan More tersebut.

Kes tersebut adalah yang terbaru. Mungkin masih banyak kes-kes yang masih dalam siasatan. Kita tidak tahu sejauh mana kegiatan-kegiatan penyelewengan, rasuah dan sebagainya yang menafikan impian kedua-dua pemikir tersebut. Selain, Shibayama dan More, gagasan negara utopia oleh Karl Marx (terkandung dalam Das Kapital), jauh lebih spesifik. Dia bercita-cita menghapuskan semua hak milik pribadi dan mewujudkan kepentingan bersama. Ia bertujuan melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa perbezaan kelas antara kaum borjuis dengan kaum buruh, sekali gus menghapuskan penguasaan satu kelas sosial ke atas kelompok sosial yang lain.

Konsep utopia tersebut adalah berangkat daripada pemikiran Marx yang mengangkat sosialisme setelah beliau melontarkan teori tentang pembebasan kaum buruh daripada tekanan borjuis.

Kemuncak utopia versi Marx adalah meletusnya revolusi dan akan terbentuk sebuah masyarakat tanpa peranan pemerintah. Ini sangat penting bagi mengelakkan munculnya anarki atau lebih membahayakan lagi hancurnya suatu negara (chaos). Maka, kemudian muncullah pemikiran Marx tentang konsep negara utopia yang dilihat hanya merupakan imaginasi, khayalan ataupun sebuah pesimisme ideologi.

Hakikatnya, setelah keruntuhan komunisme dan menandakan kemenangan kapitalisme, negara-negara dunia tetap berada dalam ruang utopia. Ia berhadapan dengan situasi yang lebih rencam - isu-isu korupsi, rasuah, jenayah, penindasan, kronisme dan sebagainya. Di Malaysia misalnya, kita mungkin tidak pernah terfikir seseorang dituduh menggunakan kedudukan atau posisi politik mereka untuk kepentingan peribadi walaupun mempunyai kewangan yang baik dan sebagainya.

Hernan de Soto dalam The Mistery of Capital : Why Capitalism Triumph in the West and Fails Everywhere Else (2001) banyak menjawab `misteri’ tersebut walaupun pembahasannya lebih tertumpu kepada kapitalisme di negara-negara Dunia Ketiga. Beliau antara lain menjawab pertanyaan tentang kegagalan negara dunia ketiga menerapkan sistem kapitalisme yang begitu baik dan berjaya di Barat seperti di Amerika Syarikat dan Eropah Barat tetapi ternyata ‘gagal’ di Negara-negara Dunia Ketiga.

Banyak negara miskin bekas jajahan negara-negara Eropah tidak tahu apakah kegagalan menerapkan kapitalisme merupakan kesalahan mereka atau memang sistem ekonomi kapitalisme itu pada dasarnya tidak sesuai untuk diterapkan di negara-negara berkembang. Ada kupasannya yang agak menarik. Kegagalan tersebut berkaitan dengan isu-isu penyelewengan, rasuah dan kronisme serta kelemahan birokrasi di segelintir negara Dunia Ketiga yang sukar dikikis oleh pemerintah hingga menjejaskan kapitalisme.

Mungkinkah pandangan Shibayama, Marx dan de Soto mempunyai kaitan dengan Malaysia? Seperti kata de Soto dalam satu lagi karyanya, The Other Path: The Invisible Revolution in The Third World (1989), negara Dunia Ketiga kadang-kadang sukar untuk keluar daripada cara dan coraknya.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Selasa, Mei 17, 2011

Sastera: Pengaruh dan Kecenderungan Semasa


ERA yang lalu telah dicipta sebagai sejarah. Gerakan apa sekali pun demikian sudahnya. Kegiatan kesenian pun sama. Kecenderungan para aktivis akan berakhir jua pada satu tempoh tertentu, ia akan dimulakan lagi oleh generasi baru. Begitulah putarannya - bermula dan berakhir, kemudian bermula lagi. Senario alami, yang patah tumbuh dan berganti. Ada gerakan baru sastera, kononnya terjadi masa ini, entah apakah ada benarnya. Pada saya ia bukan gerakan baru tetapi lebih merupakan satu putaran masa lalu yang baru dimulakan, satu gerakan masa sudah dijenamakan generasi massa. Natijahnya menyebabkan dunia seni sastera tidak kelihatan dewasa, belum sempat ke arah itu, ia mati tiba-tiba.

Hari ini juga bakal menjadi masa lalu dan kita berada di dalamnya ketika itu. Sebagaimana politik yang ikut memberi warnanya pada zamannya, juga ikut mendominasikan gerakan sastera. Pengaruh politik bagaikan air yang sedang sarat selepas hujan lebat di daerah ulu, begitu mudah menjadi ikutan masyarakat. Gerakan sastera oleh tokoh-tokoh politik ini pernah mendominasi Bahasa dan Gapura. Elemen politik juga membentuk pecahan-pecahan kumpulan penggiat sastera seperti Perpesa dan APMS yang telah kemudiannya terbentuk Bahasa dan Gapura. Dua persatuan penulis ini mengalami jatuh dan bangun. Kecuali Bahasa, Gapura terus tenggelam apabila tokoh-tokoh politik yang membayanginya kehilangan pengaruh dalam dunia politik mereka. Bahasa juga tidak bebas daripada pengaruh elemen politik namun ia mampu ditangani sehingga terus bergerak sebagai sebuah persatuan penulis yang dihormati dan menjadi kepercayaan satu-satunya persatuan penulis di Sabah yang menganggotai GAPENA hingga kini.

Puisi bergema tanpa sempadan apabila pemimpin politik sendiri menulis dan membacakan puisinya di arus perdana, ini diikuti ramai dan menjadi gelombang yang hebat. Puisi-puisi mereka diadaptasi menjadi lagu. Betapa besar pengaruh politik di situ. Sastera mekar di media elektronik dan ada medannya di kaca TV kerana menterinya amat meminati puisi. Surat khabar pernah mempunyai kerangka sastera yang hebat ketika ketua pegarangnya seorang penggerak sastera yang berpengaruh. Editor surat khabar juga turut mempengaruhi setinggi mana tahap kreativiti puisi dan cerpen yang ia kelolakan. Pengaruh ini bagaimana pun hilang apabila editornya bertukar. Di Sabah, kita boleh perhatikan paksi ini. Utusan Borneo menjadi pilihan penulis mapan berbanding Daily Express dan New Sabah Times.

Begitu juga yang terjadi di agensi-agensi seperti DBP di Sabah. Kita boleh perhatikan paksi pemimpin-pemimpinnya berdasarkan pengaruh dan citarasa mereka. Saya percaya anda yang pernah ada pada era yang lalu itu dapat melihatnya kembali. Dan kita ingin kembali pada pasca abad 20 ini, apakah benar wujud gerakan baru dengan bergemanya pencarian hal tuju sastera di samping kedengaran suara yang lebih berani menyatakan sasteranya sudah mati! Mari kita bincangkan hal ini secara dewasa dan hujahan yang kental.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Jumaat, Mei 13, 2011

SASTERAWAN DIDAHULUKAN PENCAPAIAN KARYA DIUTAMAKAN


KITA inginkan juga kemeriahan dunia persuratan sebagaimana pernah dilalui pada dekad-dekad yang lalu. Terlalu banyak peristiwa untuk sastera yang dirakam tidak terjadi lagi ketika ini. Maksud saya, peristiwa yang seharusnya diwarisi generasi kini telah senyap, bahkan boleh juga diungkapkan sebagai telah berkubur tanpa sebarang tanda.

Selalu dicari jawapan kepada pertanyaan ini: di manakah silapnya? Sekali lagi saya ingin berkata bahawa mencari kesilapan menyebabkan terlalu banyak hal-hal remeh-temeh ditemui. Menyalahkan pihak itu dan ini, individu itu dan ini yang hanya membuang waktu tanpa titik padahal jawapannya yang tepat ialah bagaimana mengatasinya.

Sering kedengaran masalah besar kegiatan sastera buntu, berbantut dengan ketara sekali disebabkan kendala kewangan. Mana-mana agensi berkaitan akan mencatatkan demikian. Seakan-akan sudah ada cop mohor untuk meletakkan jawapan yang sama. Tetapi memang benar jawapan ini betul-betul 'kurang tepat'. Ironinya ada aktiviti yang tidak begitu berkaitan tetapi tidak timbul pula soal kewangan. Inilah yang menyebabkan aktiviti persuratan menjadi layu, lesu, malas, lemas dan sebagainya lagi. Namun begitu bila mengingatkan wujud satu tanggungjawab yang lain bahawa dunia sastera tidak semestinya tertakluk kepada ada atau tidak ada kewangan, kita tidak menghadapi masalah untuk melakukan apa juga program berkaitan. Kita sudah begitu lali dengan ungkapan klise, kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan dana dan seterusnya. Dan apabila memberikan dana, kita dikejar pula untuk memberikan laporan tentang aktiviti yang dijanjikan padahal kita telah pun melakukan banyak aktiviti yang masih relevan dan menepati keperluan pemberian sesuatu dana itu.

Kerana itu saya setuju, para penulis atau penggiat bidang persuratan membuat kerja dengan gigih. Kita perlu menyatukan buah fikiran untuk mengangkat dunia sastera, dunia penulis itu dengan cara kita sendiri. Kita perlu wujudkan gerakan bertindak yang lebih efisyen, berhala tuju, bernas, berani, bermutu, tepat, telus dan sebagainya lagi kerana inilah jalan terbaik untuk menentukan dunia penulisan itu lebih dihormati. Berbeza dengan dunia kewartawanan, penulisan kreatif tidak dilihat boleh memberikan sebarang pulangan kepada mereka yang berkepentingan. Padahal inilah dunia yang sukar diterokai, hanya mereka yang memiliki bakat hebat sahaja boleh melakukannya. Sayangnya bakat yang hebat itu sering sekali diperlekeh. Jika seorang menteri boleh mengatakan citra kaum penulis ini tempatnya di muzium, apatah lagi orang awam yang lain, memperlihatkan sejauh mana sikap seseorang itu terhadap sastera kreatif. Apabila menteri yang bercakap tentang retorika seni budayanya ia hanya berupa salutan emas sedang di dalamnya kosong belaka. Seni budaya masih tertumpu hanya kepada busana dan aksesori, alatan muzik, irama etnik, tarian tradisi, langskap warisan dan tidak ketinggalan gambar-gambar kuno yang lusuh dalam lipatan sejarah masa sudah. Ini perlu diubah, perlu juga dibetulkan sebagai persepsi yang lebih sempurna, lebih menyeluruh agar dunia mengetahui bahawa dalam keunikan bangsa kita terwujud di dalamnya pelbagai elemen yang perlu didalami.

Cerita-cerita rakyat misalnya, merupakan bahagian penting kehebatan sastera bangsa kita yang harus dibanggakan, yang telah pun berkembang sesuai dengan peredaran masa. Kreativiti rakyat mencipta kisah berdasarkan peristiwa demi peristiwa membentuk sahsiah dan pemikiran masyarakat yang mewakili bangsanya. Mengapa kita tidak merasa bahagia atau setidak-tidaknya beruntung memiliki kumpulan genius yang kreatif menerusi mata pena para penulis hebat tersebut.

Kehadiran para sasterawan tidak begitu ketara berbanding profesion yang lain dalam sebarang upacara rasmi negeri. Saya melihat, apabila para penulis sendiri tidak dilibatkan dalam upacara sastera itu sendiri, apatah lagi bagi majlis-majlis rasmi kerajaan! Kepelikan ini pada saya perlu dibetulkan dan siapakah yang bertanggungjawab membetulkannya?

Melihat kembali peranan yang perlu difikirkan oleh mana-mana agensi yang diberikan amanah mengikut bidang masing-masing, kita mungkin boleh mengingatkan jangan sekali-kali mengabaikan golongan apa pun yang mereka benar-benar terlibat. Dalam konteks sastera, penulis wajar diutamakan. Sealiran dengan slogan 1 Malaysia, kita selaraskan slogan ini: sasterawan didahulukan, pencapaian karya diutamakan. Apabila ramai tokoh sasterawan veteran kita meninggalkan kita dan dunia sastera selamanya, kita tidak dapat meletakkan sesiapa kerana siapakah 'sesiapa' itu dalam barisan utama penulis yang ada masa ini. Tolong bantu saya siapakah barisan penulis yang telah mencapai status sasterawan yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Haji Ismail Abas (Amil Jaya), Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Harun Haji Salleh, K.Bali (menyebut beberapa nama utama). Setakat ini keadaan ini belum jelas dan tidak ada yang berani mengatakan apa-apa pun. Pada pengamatan penulis nama-nama ini wajar diberi keutamaan misalnya Azmah Nordin, Haji Ismaily Bongsu, Emin Madi, Hajah Zaiton Ajamain, Jasni Matlani dan Hassan Saprin berdasarkan pencapaian genre masing-masing selain tokoh-tokoh yang masih ada seperti Datuk Haji Jamdin Buyong, Datuk Hajah Noraini Datuk Salleh, ABM Fajeer, Surya Irawan, Datuk Mohd Yaman Haji Ahmad Mus, Datuk RM Jasni dan Hajah Dayang Salmah Salam.

Kita telah berjaya di peringkat Asia Tenggara apabila Amil Jaya (Datuk Haji Ismail Abas) dan Azmah Nordin dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award. Pencapaian kedua-dua tokoh ini memang tidak perlu diragui, Azmah misalnya telah menggarap kreativitinya melalui karya-karya roman yang cukup hebat. Amil Jaya tokoh pemikir yang telah meninggalkan banyak bahan rujukan untuk tatapan anak bangsanya. Kedudukan ini perlu diperhebatkan. Bukan semata-mata lebih ramai penerima anugerah berprestij Asia Tenggara itu dari Negeri di Bawah Bayu ini. Tidak semestinya begitu selagi para penulis tidak membuktikan kemampuan mereka menulis buku dan teruji berjaya mengangkat intipati sastera dengan cemerlang.

Hampir setiap dua tahun, Hadiah Sastera Sabah (HSS) telah menilai karya-karya penulis Sabah, terutama novel yang wajar dihimpun semula sebagai bahan analisis terpenting. Beberapa orang penulis terbaik seperti Azmah Nordin, Ramlee Awang Murshid, Chacho Haji Bulah, Jusang Bolong, Ismail Salleh telah melakar nama melalui novel-novel yang diperakukan tinggi nilai sasteranya. Novel-novel seperti Bungalina, Pei Pan, Syumul, Iradat, Dukanya Abadi, Ralat (menyebut beberapa buah novel HSS) perlu digali agar sukma sasteranya dapat diperkatakan lebih meluas berdasarkan teori atau pendekatan sastera sedia ada. Para pelajar yang mengambil jurusan sastera boleh memilih karya-karya tersebut sebagai mauduk kajian mereka sebagaimana pernah dilakukan oleh Jasni Matlani yang membicarakan novel Pei Pan (lihat Kumpuan Esei Sastera Sabah Dalam Kritikan terbitan DBP, 2008). Kajian terhadap nilai sastera dan identiti yang mengehakmilikkan penulis-penulis tersebut sebagai sasterawan tersohor menjadi kesinambungan generasi penulis-penulis terdahulu. Cara begini merupakan antara langkah terbaik mengangkat lebih jauh karya-karya berkenaan, apatah lagi usaha membawa penulis dan karya sastera ke mercu mahakarya Sabah di landasan Nasional.

Bagi dekad-dekad mendatang, kita mengharapkan kelahiran karyawan-karyawan yang cemerlang dalam semua genre sastera. Dari sekarang kita perlu meletakkan satu tanda aras bagaimana meletakkan seseorang untuk mencapai kedudukannya melalui karya-karya yang dihasilkan. Dari semasa ke semasa penulis lahir dan berkembang, karya sastera diterbitkan begitu banyak sekali; sudah tentu ada kewajarannya mewujudkan satu panel untuk menilai, memilih dan menentukan tahap-tahap penulis dan tahap-tahap teks yang telah melalui hujahan dan uji kaji, yang memiliki keindahan tulen, kebaikan dan kebenarannya.

Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu