Ahad, Januari 29, 2012

SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG | Membina penulis kreatif melalui bimbingan penulisan


KECENDERUNGAN dan minat orang ramai terhadap dunia penulisan kreatif ini turut melahirkan banyak institusi bimbingan selain agensi kerajaan yang sedia ada. Program bimbingan atau bengkel penulisan sering dianggap sebagai salah satu elemen penting dalam pemantapan karya. Meski pun terdapat penulis yang tidak pernah menyertai sebarang bengkel penulisan tetapi masih mampu menghasilkan karya yang baik. Sebaliknya, individu yang kerap menyertai bengkel penulisan pula ada yang langsung tidak menunjukkan karya mereka. Ini dapat dibuktikan kerana bilangan bakal penulis itu lebih ramai berbanding jumlah karya sastera yang dihasilkan. Dalam erti kata yang lain, aktiviti berbengkel tidak lebih sebagai pertemuan di kalangan rakan-rakan atau berkenalan dengan pembimbing. Padahal pengertian bengkel sendiri membawa maksud aktiviti penambahbaikan karya di mana setiap peserta wajib membawa karya yang sudah siap. Dalam keadaan di mana karya berkenaan memerlukan penambaikan, sepatutnya peserta yang pernah atau mempunyai karya sahaja perlu menghadiri mana-mana bengkel yang dianjurkan. Bagaimanapun, setiap penulis atau sesiapa juga yang meminatinya mempunyai pilihan masing-masing terutama sekali bagi bengkel-bengkel penulisan yang berbayar.

Novelis terkenal, Azmah Nordin hanya sekali bengkel penulisan novel yang disertainya tetapi berjaya menghasilkan puluhan novel dan ratusan cerpen sehingga puncaknya beliau merupakan salah seorang pengarang yang meraih kecemerlangan termasuklah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award 2009. Bagi saya menyertai sebanyak mungkin bengkel penulisan bukanlah suatu yang perlu difikirkan. Seharusnya difikirkan apakah yang patut dibentangkan dalam bengkel penulisan itu. Penulis yang berbakat dan mengasah bakatnya melalui latihan dan keberanian menghantar karya kepada khalayak pembaca menjadi ukuran sebenar sama ada seseorang penulis itu serius atau sebaliknya. Kita juga boleh menilai penulis yang pernah menyiarkan karyanya di media itu sama ada bermutu atau tidak bukan kerana dia sering menyertai bengkel penulisan.

Saya fikir salah satu pendekatan bimbingan yang boleh dilakukan ialah pertemuan empat mata antara pembimbing dengan peserta dalam skala kumpulan yang kecil, antara empat atau lima orang peserta. Bimbingan Program Anak Angkat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah yang saya pernah ikuti menggunakan pendekatan ini. Sasterawan Negara Dato' Haji Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala merupakan pembimbing saya dan seorang lagi penyair Sabah, Saibil Madun. Dalam pertemuan pertama, Dato' Kemala memberikan pendedahan terhadap pengertian puisi sebelum membawa kami menjelajahi ceruk rimba perpuisian, dari akar penciptaan sehinggalah ke ujana sastera yang luas. Kami diperlukan mencipta puisi-puisi itu yang kemudiannya diperiksa, dikritik, diperbaiki, diolah lagi, diperiksa lagi sehinggalah lahir sebuah karya yang sempurna. Beginilah apabila berhadapan dengan pembimbing yang cerewet. Akhirnya, kami diberi satu tugas besar dengan memilih apakah tema karya yang bakal kami hasilkan selepas pertemuan tersebut. Saibil memilih dunia laut kerana kebetulan sekali beliau amat dekat dengan laut sebagai kerjayanya, sementara saya mendekati dunia sejarah. Saya menghasilkan Balada Paduka Mat Salleh. Saibil pula menulis puisi-puisi yang indah mengenai kehidupan nelayan serta dunia laut sehingga lahir sebuah kumpulan puisi 'Laut Sebuah Ayunan'. Kedua-dua buku ini diterbitkan oleh DBP pada tahun 1986.

Seorang lagi penerima SEA Write Award dari Sabah, Allahyarham Amil Jaya pernah membimbing beberapa orang penulis yang diadakannya pada waktu malam di pejabatnya sehingga dapat menyiapkan beberapa buah novel di bawah bimbingannya. Salah seorang penulis yang berjaya diasuhnya ialah Hajah Asmiah Haji Ajamain. Konsep ini pernah juga dilakukan oleh Dr.Ramli Isin. Selain membimbing dalam bentuk kuliah beliau akan memeriksa karya yang dihasilkan termasuk yang pernah tersiar di media. Beliau menegur dan memberikan tunjuk ajar secara empat mata kepada peserta. Ketika itulah beliau sebagai pembimbing mengenali pesertanya secara dekat, mengetahui proses penulisan peserta dan pada masa yang sama memberikan input atau masukan ilmu penulisan kepada pesertanya. Ramai tokoh sasterawan tanah air mengasuh penulis-penulis Sabah sama ada di bawah anjuran DBP Cawangan Sabah atau persatuan-persatuan penulis. Antaranya Dr. Othman Puteh, Ali Majod dan A.Rahim Abdullah. Sejak program Minggu Penulis Remaja ditiadakan dan Dr.Othman Puteh kembali ke rahmatullah, kebangkitan penulis-penulis muda semakin tumpul dan perlahan. Buku-buku sastera juga tidak banyak diterbitkan.

Perjumpaan-perjumpaan di kalangan penulis di cafe atau di kedai-kedai buku juga merupakan satu kaedah penataran sastera yang baik sekali. Saya perhatikan aktiviti yang diungkayahkan oleh penulis-penulis mutakhir kita di Sabah seperti Ruhaini Matdarin, Pena Alam, Faridah Abdul Hamid dan beberapa orang yang lain boleh membentuk satu kumpulan penulis yang sentiasa siaga. Dalam pertemuan seperti itu mereka membincangkan karya atau buku, bertukar minda terhadap ilmu penulisan yang mereka miliki atau menggarap bentuk penulisan yang pernah mereka baca atau pelajari. Penulis yang berilmu sesungguhnya membentuk nilai karya yang hebat kerana karya yang sarat dengan ilmulah yang diperlukan oleh pembaca. Ilmu yang dimaksudkan di sini juga bermaksud dari segi teknik dan teori penulisan. Bagaimana Azmah Nordin mampu menghasilkan puluhan novel jika beliau tiada ilmu yang ditemuinya, begitu juga novelis Sabah yang sedang menempa nama di negara ini, Ruhaini Matdarin telah menjanjikan sesuatu kepada dunia sastera tanah air apabila menghasilkan cerpen dan novel yang avant garde.

Bimbingan secara atas talian juga merupakan kaedah mutakhir. Azmah Nordin merupakan penulis yang amat komited membimbing menerusi kaedah ini. Sejak tiga tahun lalu bimbingannya menerusi laman blog Sastera bukan sahaja menerima sambutan yang baik bahkan telah melahirkan penulis-penulis novel yang berjaya. Misalnya Ummu Anas, salah seorang peserta bimbingan Azmah memenangi tempat ketiga sayembara novel dan skrip drama kanak-kanak dan remaja, 2009-2010 dengan novelnya yang berjudul SATU. Selain Ummu Anas, peserta-peserta yang kini meyakini bakat mereka antaranya Pena Alam, Ara Aranam dan Dayangku Masturah. Kita boleh mengikuti perkembangan atau jika ingin menyertai bimbingan penulisan Azmah Nordin bolehlah mengakses blognya di alamat http://azmahnordin.blogspot.com. Bimbingan ini percuma dan tidak memerlukan banyak pergerakan. Namun hasilnya tetap membanggakan dengan syarat adanya kegigihan dan kesabaran peserta.

Saya sudah lama berkeinginan untuk menyentuh tentang Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Program ini yang bermula pada tahun 1986 dianggap paling istimewa kerana peluang menerima bimbingan intensif daripada sasterawan berwibawa tanah air. Para penulis yang terpilih juga terdiri daripada disiplin penulisan yang beragam dari sekompleks novel hinggalah kepada genre bukan prosa. Dianggap paling istimewa juga kerana hasil karya bimbingan itu mendapat jaminan untuk diterbitkan. Bila memperkatakan tentang 'jaminan untuk diterbitkan' ia memberikan warna impian di kalangan peserta. Bagaimanapun, beberapa isu yang sering menjadi perbualan santai di kalangan mantan penulis anak angkat ini tidak dapat dielakkan misalnya ada karya yang sudah dinilai tetapi belum juga diterbitkan dan terdapat juga manuskrip yang hilang di tangan pengurusan. Persoalan ini pernah menjadi kontroversi yang agak mencabar pihak penganjur meskipun ia sudah berlalu begitu lama.

Pada masa yang sama pihak pengajur juga mempersoalkan sikap acuh tak acuh dan kurangnya kesungguhan atau komitmen di kalangan penulis-penulis anak angkat untuk menyiapkan progam ini. Penulis memang diakui memiliki kerenah yang tersendiri. Ada yang terlalu berpegang dengan prinsip. Para sasterawan yang dilantik sebagai ayah atau ibu angkat para penulis anak angkat ini juga memiliki prinsip dan pengalaman yang beragam. Di sini terjadinya pertembungan keracuan prinsip. Namun begitu pertembungan ini rupa-rupanya telah mengabaikan hasrat atau matlamat program iaitu untuk melahirkan penulis yang terlatih dan menerbitkan karya yang bermutu di kalangan penulis muda.

Dalam satu kajian yang dilakukan oleh Haji Hamzah Hamdani pada tahun 2004, daripada 27 orang penulis anak angkat hanya 11 buah karya yang telah berjaya diterbitkan. Yang lain - dinilai (3), diperbaiki (2), tiada catatan (10). Melihat kepada angka tersebut tidak sampai separuh daripada penyertaan program ini melaksanakan tanggungjawab mereka. Penilaian ini dibuat hanya berdasarkan kepada buku yang ada di pasaran. 11 buah buku yang diperolehi hasil program ini ialah Pungkad (Obasiah Hj Osman), Balada Paduka Mat Salleh (Hasyuda Abadi), Laut Sebuah Ayunan (Saibil Madun), Serpihan Musim (Siti Rahmah G Ibrahim dan Mariam Omar), Pesta Demokrasi (Janathan Kandok), Susuk Tingkayu (Juri Durabi), Api Laut Merah (Ariffin Arif), Lakaran Perjalanan (Jaafar Abdul Wahid) dan Konflik Protagonis dalam Novel Pilihan Sabah (Julia Unggai).

Di Sabah, program bimbingan penulisan kreatif memang menjadi agenda penting untuk membina dan melahirkan penulis-penulis baru. Mereka yang berbakat akan digilap dari semasa ke semasa. Penganjur perlu sekali mencari bakat-bakat muda ini khususnya mereka yang benar-benar komited mendapatkan pembimbing yang berwibawa. Apapun juga bunyinya, para penulis yang menggunakan peluang menyertai program-program bimbingan penulisan perlu menjana kreativiti mereka seperkasa mungkin. Dengan begini, peluang untuk didedahkan kepada program yang lebih besar menjadi milik mereka, misalnya Program Penulis Anak Angkat DBP atau Program Penulisan Mastera.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Selasa, Januari 24, 2012

SEBONGKAH BATU YANG INGIN DIPECAHKAN

Sebongkah batu yang ingin dipecahkan
menunggu musim demi musim dibesarkan
di atasnya kalian siaga berdiri memberi bukti
mencerminkan daripada sebongkah batu
menjadi kerikil-kerikil yang lebih kecil
yang lebih terampil membangunkan insan
ketika kalian ingin membina jalan dan jambatan
membangunkan istana dan rumah-rumah pembesar
monumen sejarah dan kompleks hiburan
berakar raga ekonomi bangsa
atau mendirikan rumah anak-anak yatim
membesarkan sekolah serta madarasah
masjid dan surau atau kuil dan gereja
masing-masing tampil beradu di atas bongkah batu
lidah berhujah, minda berhujah, telinga berhujah
dan suara bergema meriuh alam pertelingkahan
bagaimana memecahkan batu di atasnya mereka beradu
di atasnya mereka memburu tingkah dan khilaf musuh
di atas batu membunuh dan dibunuh
di atas rusuh khianat dan sumpah setia
musim demi musim tiada bersudah
menunggu batu retak dan pecah
dan yang kalian hanya merasainya
berbalah lebih terserlah!

Pustaka Iqbal Nazim
Taman Putera JayaTelipok
Kota Kinabalu
24 Januari 2012

Sabtu, Januari 14, 2012

SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG | Bengkel penulisan kreatif , suatu ketika...



INDONESIA bukanlah segala-galanya tetapi bagi para seniman, negara jiran ini begitu menguja. Hubungan semula jadi menyebabkan Indonesia sentiasa diperlukan sebilangan rakyat negara ini, saya fikir begitulah juga di sebaliknya. Wujud rasa saling memerlukan, misalnya keperluan tenaga kerja atau tenaga ilmuan dan tentu sahaja berkaitan dengan wisata di beberapa tempat di sana. Wacana sastera turut diwarnai pengalaman Indonesia secara mandiri selain disebabkan kerjasama mengenai penggunaan ejaan yang baku, pelestarian bahasa dan sastera menerusi majlis-majlis yang ditubuhkan seperti Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), contohnya. Lebih daripada itu, hubungan intim di kalangan sasterawan yang sering bertemu dalam program-program sastera serantau menyebabkan Indonesia menjadi pilihan untuk mendalami dunia sastera, malah buku-buku sastera dan kajian sasteranya begitu disenangi. Kini wujud pula kecenderungan melancarkan buku di kalangan segelintir sasterawan Malaysia di negara berkenaan.

Saya mempunyai pengalaman tersendiri semasa mengikuti program penulisan puisi di Jakarta pada tahun 1997. Ketika itu usia sastera saya agak hijau, mendalami ilmu perpuisian di Indonesia memang menyeronokkan. Saya merasa bahagia sekali apabila Dewan Bahasa dan Pustaka menamakan saya sebagai salah seorang penyair muda Malaysia menjadi peserta program penulisan Mastera ini. Saya tidak dapat membayangkan betapa bertuahnya ketika itu terutama sekali dapat berinteraksi dengan ramai pengarang besar Indonesia seperti Taufiq Ismail (editor kanan majalah Horison), Prof Dr.Sapardi Djoko Damono (Dekan Fakulti Sastera, Universitas Indonesia) dan Dr. Abdul Hadi W.M. ( kurator Bayt Al-Quran dan Muzeum Istiqlal) kerana kebetulan mereka menjadi pembimbing utama bengkel puisi Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) yang saya hadiri. Mereka memang mempunyai pengalaman yang tidak diragui. Pengalaman mereka dalam dunia sastera khususnya puisi cukup luas.

Bengkel Puisi Mastera pertama ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia ketika itu, Prof Ing Wardiman Djojonegoro bersekali dengan pelancaran Bulan Bahasa dan Sastera Indonesia 1997. Aktiviti tahunan Pusat Pembinaan dan Pengembangan Bahasa Jakarta ini menyediakan program-progam yang menarik. Antaranya, Sayembara Penggunaan Bahasa Indonesia, Sayembara Mengarang Siswa, Lomba Deklamasi Siswa, Dialog Sastera dan Pameran Kebahasaan. Peserta-pesertanya terdiri daripada para pelajar, kakitangan kerajaan (karyawan) dan sasterawan Indonesia.

Saya melihat apresiasi sastera dan penggunaan bahasa yang baik harus dimulai di peringkat remaja. Golongan ini yang rata-rata berada di alam persekolahan dan institusi pendidikan tinggi memberi pulangan yang berkesan dalam usaha menyemai bibit budaya kita. Memang ini sudah diamalkan di Malaysia. Sebab itu ceramah dan dialog sastera di samping program-program khusus kepada golongan ini begitu diambil kira. Apatah lagi sastera tidak diajar secara meluas di sekolah-sekolah di Indonesia. Keadaan ini amat berbeza di negara kita. Dari tahap satu hinggalah ke peringkat universiti, sastera tidak asing di kalangan pelajar kita. Rakan-rakan penyair muda Indonesia terkejut apabila kami nyatakan buku karya pengarang kontroversi mereka, Pramoedya Ananta Toer pernah menjadi buku teks pelajar-pelajar Tingkatan Enam di Malaysia.

Saya menemukan beberapa kelainan dan menjadi pengalaman saya hasil daripada Bengkel Puisi Mastera ini. Pertama, kami mendapat kebebasan yang banyak dan ini memberi ruang kepada para peserta berinteraksi secara berkesan dengan peserta-peserta lain dan para pembimbing serta pihak panatia. Bagaimanapun, keadaan ini tidak sesuai dengan kebiasaan di Malaysia yang menitikberatkan disiplin dan menepati masa. Saya akui disiplin dan mengambil kira masa begitu tidak diambil perhatian langsung oleh para peserta. Masa begitu banyak terbuang dan pihak panatia menganggapnya sebagai biasa.

Kedua, kami dibahagikan kepada tiga kelompok atau kumpulan dengan menggunakan nama penyair-penyair terkenal di ketiga-tiga negara iaitu Usman Awang (Malaysia), Baharuddin H.O (Brunei) dan Amir Hamzah (Indonesia). Saya diletakkan dalam kelompok Amir Hamzah bersama-sama dengan Husnul Khuluqi, Drs. Ahmad Syubbanuddin Alwy, Widodo Arumdono dan Hajah Shaharah Dato Paduka Haji Abdul Wahab. Pembahagian kumpulan ini pernah saya perkenalkan dalam Khemah Sastera IPS yang pertama di Binsulok, Membakut pada tahun 1997.

Biasanya pembahagian peserta dalam kelompok tidak begitu meyakinkan tetapi dalam bengkel ini adalah sebaliknya. Inilah kelainan ketiga yang saya alami. Setiap kelompok akan diketuai oleh seorang penyair yang bertindak sebagai pendamping. Pendamping-pendamping didatangkan dari setiap negara. Semua negara yang mengambil bahagian telah menghantar wakil sebagai pendamping kecuali Malaysia yang berhalangan di saat-saat akhir. Kelompok saya diwakili oleh Acep ZamZam Nor, penyair dan pelukis terkenal yang berasal dari Tasikmalaya, Jawa Barat.

Selain bertindak sebagai pembantu pemimbing utama, pendamping berperanan sebagai pengantara dalam bengkel. Mereka menjadi pengerusi kepada perbincangan para peserta sambil bertindak mencatat setiap isi diskusi dan akan melaporkannya kepada panatia selesainya bengkel tersebut. Pembimbing utama mengikuti perbincangan sepanjang sesi tetapi tidak campur tangan ketika perbincangan berjalan. Akhirnya mereka akan berinteraksi dengan para peserta apabila waktunya tiba. Mereka akan memberi tunjuk ajar, pandangan dan komen berhubung dengan topik, menceritakan sejarah penulisan dan sejarah kepenulisan masing-masing.

Pada hari pertama bengkel, satu sesi yang penting dijalankan dengan pembabitan wakil daripada ketiga-tiga negara menyampaikan kertas kerja mengenai perkembangan puisi dan penyair masing-masing. Malaysia diwakili oleh (Dr.) Hazami Jahari dan Mattaib Nordin dari Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Indonesia diwakili oleh Drs. Ahmad Syubbanuddin Alwy dan Cecep Syamsul Bari manakala Brunei diwakili oleh pendampingnya Haji Jawawi Haji Ahmad dan Sariani Haji Ishak dari Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.

Perbincangan cukup hangat dan menarik perhatian peserta. Buat pertama kali penyair-penyair muda dari negara-negara serantau mengenengahkan sejarah, visi, falsafah dan perjuangan penyair-penyair muda negara masing-masing. Kami memperolehi pengalaman dan maklumat baru mengenai cuaca dan alam pengkaryaan dari ketiga-tiga negara. Interaksi yang berlaku cukup mesra walaupun ada waktunya timbul masalah seperti percanggahan nilai, istilah dan citarasa akibat perbezaan persepsi. Berkenalan dengan penyair-penyair muda Indonesia dan Brunei misalnya Acep Zam-zam Nor, Agus R.Sarjono, Drs. Ahmad Syuhbanuddin Alwy, Cecep Syamsul Hari, Wowok Resti Probowo, Oka Rusmini, Iyut Fitra, Suip, Hajah Shaharah, Sariani dan lain-lainnya memberi nyawa baru untuk memahami dunia lain yang lebih global.

Kehadiran saya dalam bengkel ini sebenarnya tidak dengan tangan kosong. Saya telah mengumpul 58 buah puisi yang pernah tersiar di akhbar dan majalah. Kumpulan Puisi ‘Akar Cahaya’ dijadikan buah tangan untuk dibincangkan dalam sesi bedah karya. Sessi ini amat bermakna kepada kami kerana ruang yang disediakan telah memberi peluang kepada para peserta memberikan tanggapan, kritikan dan saranan sehingga akhirnya memperbaiki karya itu sendiri.

Perbincangan memang hangat; ada kalanya mencuit dan mencubit rasa. Saya mengesan keraguan peserta Indonesia memberikan komen mereka terhadap karya dari Malaysia dan Brunei, walaupun sesekali kritikan menenggelamkan keajaiban teknik penulisan puisi kami. Saya menerima kritikan mereka dengan hati yang terbuka kerana itulah cara yang paling berkesan bagaimana kita boleh memperbaiki diri untuk menghasikan karya yang baik dan bermutu. Saya juga tidak malu-malu mempertahankan sikap saya terhadap bentuk penulisan saya dan konsep penulisan yang diamalkan di Malaysia. Begitu juga ketika membedah puisi-puisi penyair-penyair sebaya Indonesia. Tidak timbul masalah merendahkan diri yang harus disingkir daripada diri kita. Perbezaan tidak ketara antara kami bahkan membaca karya-karya mereka kelihatan tidak banyak bezanya berbanding karya penyair-penyair muda Malaysia.

Saya juga berpeluang melawat Bogor. Memang banyak bezanya antara Jakarta dengan Bogor. Bogor seperti Kundasang di Sabah, iklimnya lembab, tiada jerebu ketika itu, sejuk dan di situ memungkinkan para seniman dapat menjana ilham dan kreativitinya. Ketika sebilangan besar menghadapi jerebu yang kronik pada penghujung tahun 1997, hujan turun dengan kerapnya di Bogor. Sepatutnya program penulisan Mastera diadakan di Puncak, Bogor sekiranya tidak disebabkan kejatuhan mata wang rupiah ketika itu. Lokasi program berpindah ke Pusat Bahasa di Jakarta,

Sebagai kenang-kenangan kami telah berpeluang melawat beberapa lokasi penting di Indonesia. Kami dibawa melawat Istana Bogor, yang menjadi tempat penginapan Presiden Soekarno dan keluarganya suatu masa dulu termasuk bilik Megawati Soekarnoputri, salah seorang pemimpin pembangkang utama Indonesia. Di dalam istana ini dipenuhi pelbagai bentuk patung, lukisan dan kelengkapan rumah yang menarik. Menurut penyelaras para pelawat, patung-patung berbentuk wanita yang terdapat di sekitar istana merupakan hadiah daripada para diplomat asing kerana Seokarno amat menyenangi wanita. Soekarno juga merupakan seorang seniman dan di dalam istana ini peluang melihat lukisan-lukisannya tentu tidak akan disesiakan terutama sekali sebuah lukisannya yang berjudul ‘Sarina’.

Kawasan istana ini luas sebenarnya. Bangunan istana amat indah, cantik dan kukuh memang wajar menjadi lambang kebanggaan warga khsususnya di Bogor sendiri. Di hadapan istana merupakan sebuah tasik yang dihiasi tumbuhan teratai. Jauh ke tepi merupakan padang yang luas, tumbuhnya pohoh-pohon rendang dan lebih menarik lagi dengan kehadiran puluhan ekor kijang.

Di kesempatan yang lain, saya dibawa pula melawat ke Bayt Al-Quran dan Muzeum Istiqlal; merupakan sebuah muzeum musyaf al-Quran dan terkumpulnya khazanah lama mengenai perkembangan Islam di Indonesia yang mula beroperasi pada 20 April 1997. Muzium ini terletak di kawasan Taman Mini Indonesia Indah. Saya berasa amat bertuah kerana mendapat peluang bermakna menjejaki muzium ini. Bukan hanya disebabkan bangunannya indah tetapi saya berpeluang melihat sendiri himpun bahan klasik khazanah Islam termasuk pelbagai corak musyaf yang berasal dari alam hias Nusantara mulai dari Aceh sampai Timor Timur, dari Tidore dan Ternate sampai ke Irian Jaya; dan juga dari Malaysia sendiri. Sebuah musyaf al-Quran yang terbesar diletakkan dalam sebuah bilik kaca. Al-quran ini terhasil dengan ukiran Musyaf Wonosobo, ditulis dengan tangan oleh Abdul Malik dan Hayatuddin, santri dari Pondok Pasentren al-Asy’ariah Kalibeber Wonosobo; dan disiapkan selama 14 bulan (16 Oktober 1991 hingga 7 Disember 1992). Dalam taklimatnya, Dr. Abdul Hadi W.M. menyatakan program muzium untuk mempelbagaikan lagi bahan-bahan pameran dan artifek-artifek lama supaya dapat dijadikan pusat rujukan utama para pengkaji di rantau ini.

Kami juga sempat melawat kantor baru majalah Horison. Ikanegara dan Taufik Ismail, sidang redaksi Horizon menceritakan sejarah majalah sastera yang berusia lebih 30 tahun itu. Majalah Horison juga turut mengalami pembaharuan apabila kurang sambutan masyarakat yang disebabkan oleh berbagai kendala. Merosotnya minat membaca bahan-bahan sastera, tiras rendah buku sastera, surutnya kritik sastera, masih berlaku larangan terhadap buku sastera, susutnya mutu dan jumlah karya sastera adalah antara lain hal-hal kronis yang harus ditangani oleh komuniti sastera Indonesia. Untuk itu,Horison memanjangkan penerbitannya ke sekolah-sekolah dengan menyediakan sisipan Kaki Langit. Kaki Langit menampung karya-karya para siswa dan guru-guru mereka di samping pemaparan karya-karya para pengarang ternama Indonesia sebagai usaha menanam apresiasi sastera di kalangan mereka. Kami juga mengajukan pemintaan agar naskah Horison dipasarkan ke Malaysia dan Brunei secara berterusan.

Berada di kota Jakarta akan menzahirkan sebanyak mungkin karya-karya kreatif kerana di sana kita akan melihat pelbagai hal yang baru terutama sekali mengenai budaya dan cara hidup yang amat kompak. Saya tidak dapat melupakan pertama kali menjamu makanan di sebuah Gerai Makan Minang setelah dipelawa oleh Drs. Abdul Rozak Zaidan, penyelaras bengkel. Kami duduk seperti biasa tanpa pelawaan pelayan. Tiba-tiba seorang pelayan lelaki membawa makanan dan meletakkan di hadapan kami walaupun tidak dipesan. Di hadapan kami pada masa itu merupakan pinggan-pinggan yang membukit, berisikan lauk-pauk yang kurang menyelerakan. Ini budaya di sini agaknya, fikir saya. Saya teringat sebuah pesan lama, masuk kandang kambing dan kerbau, dan pesan orang tua, pandai-pandailah membawa diri di negeri orang.

Dalam kesempatan yang ada, saya telah menulis beberapa buah puisi perjalanan yang dicatat semasa berada di Jakarta, Bogor, Kuala Lumpur dan berakhir di Kota Kinabalu. Melalui suntikan pengalaman baru dan penghayatan terhadap masalah sejagat, sejarah, tokoh dan hal-hal yang bersangkut-paut dengan dunia peribadi yang berbadai, saya amat produktif sekali. Buah fikiran saya mengalir deras. Saya selalu teringatkan kampung halaman, anak-anak, isteri tersayang, negara tercinta dan bangsa yang jauh tetapi dekat sebenarnya. Puisi-puisi berkenaan saya himpun di dalam kumpulan puisi 'Datang Kembali' sebagai tatapan khalayak saya - para penyair, pelajar, guru-guru saya, rakan-rakan, anak-anak kecil yang bakal dewasa bahkan para buruh yang banyak mengeluarkan keringat mereka demi merealisasikan makna pembangunan.

Pengalaman di Jakarta dan di tempat-tempat lain di Indonesia, tidak dapat diukur hanya dengan kata-kata, namun yang jelas saya banyak belajar terutama sekali bagaimana sesebuah karya itu boleh menyediakan makna yang tajam dan luar biasa hanya melalui pemilihan diksi yang tepat. Saya juga berjaya melihat bentuk, kecenderungan dan jati diri ketika mentransformasikan puisi-puisi kepada khalayak berdasarkan acuan saya sendiri.

Daripada banyak bengkel penulisan kreatif yang saya ikuti, saya berpandangan kecenderungan menyertai bengkel penulisan juga memerlukan transformasi. Peserta pula mesti bersedia sebelum mendaftarkan nama dan membawa bersama karya atau karya-karya yang sudah ada yang memerlukan kritikan atau tunjuk ajar lebih mendalam. Jika tidak , aktiviti tersebut tidak memberikan hasil yang dikhendaki kerana apabila peserta tidak bersedia dia tidak mungkin dapat memperbaiki karyanya dan akhirnya dia tidak mampu menulis sebaiknya. Pembimbing juga agak sukar membentuknya menjadi seorang penulis yang berwibawa.

Program-program penataran berupa bengkel penulisan kreatif wajar dianjurkan dari semasa ke semasa. Perlu juga dirangka, misalnya sepanjang tahun dirangkakan empat kali pertemuan. Tiga bulan pertama, kedua dan ketiga bengkel diasuh oleh para pendamping, hanya di akhir sesi barulah peserta bertemu dengan pembimbing yang terdiri daripada tokoh-tokoh penulis tertentu. Peserta harus dikenal pasti, bukan main tangkap muat atau dipilih berdasarkan minat semata-mata. Mutu karya juga tertakluk kepada mutu penulis itu sendiri.

Di Sabah program pendidikan penulis sudah cukup mantap tetapi jarang sekali dimatangkan. Banyak aktiviti berkaitan telah dihentikan misalnya Program Penulis Anak Angkat atau Minggu Penulis Remaja. Memang sayang sekali, sesuatu yang bermula dengan baik apabila dihentikan agak sukar untuk dimulakan semula. Begitu juga dengan program penulisan MASTERA, sudah sekian lama tidak melibatkan penulis terbaik dari Negeri Sabah. Bila saya menyuarakan hal ini, selalunya ia dianggap sebagai ingin menyalahkan semata-mata. Saya fikir kita perlukan keberanian untuk berterus terang demi kebaikan ramai pihak. Mudah-mudahan para penulis negeri ini terus siaga dan diberikan banyak peluang memantapkan kreativiti masing-masing.


Pustaka Iqbal Nazim


Sabtu, Disember 31, 2011

Bermula Daripada Ejaan


SAYA tidak akan bermula dengan mengatakan bahawa memahami sesuatu daripada huruf-huruf sebenarnya bukan huruf-huruf itu tetapi ejaan. Huruf-huruf hanya berupa aksara yang tidak mempunyai apa-apa maksud dan tidak boleh mandiri tanpa dibangunkan, disatukan, disesuaikan dengan sebuah mekanisme iaitu ejaan.

Kita punya pilihan sama ada mahu peduli atau tidak peduli tentang ejaan. Saya mulakan dengan ejaan nama kita sendiri.Percaya atau tidak, masih juga ada pilihan terhadap ejaan nama, misalnya nama bayi yang baru lahir mempunyai persamaan dengan orang lain. Melainkan ejaan sahaja boleh membezakannya. Bila disebut bunyinya masih sama, maknanya juga masih sama. Kecuali nama-nama Yang Maha Esa.

Zaman dahulu, ketika ibu sedang mengandung amat jarang mencadang-cadangkan nama, kalau lahir nanti anak ini akan dinamakan begini jika lelaki dan begini jika perempuan. Bila lahir, barulah mencari nama terutama ketika berurusan dengan pihak pendaftaran surat lahir. Bukankah pernah kita mendengar nama-nama yang pelik seperti Selamat kerana selamat dilahirkan, Syukur kerana bersyukur telah lahir, atau Banjir kerana ketika ia lahir kebetulan waktu banjir. Bahkan disebabkan bingung tidak tahu nama apa yang patut ditulis dipilihlah nama ini: NO NAME. Ada juga nama kawan-kawan sekampung saya yang tidak patut-patut seperti Tikus, Chichak, John Kok Babi dan sebagianya. Berbanding sekarang ini, nama bayi sudah siaga sedia. Mula mengandung lagi pasangan suami isteri berkenaan sudah merujuk buku-buku atau laman web untuk memilih nama terbaik untuk bayi mereka yang bakal lahir. Ada juga yang menggabungkan nama suami dan isteri. Nama yang pelik-pelik juga masih berlaku, yang panjang hingga entah mana satu mau digunakan untuk memanggil anak itu. Nama yang lebih daripada satu pula, akhirnya punya gelaran yang lain malah nama yang seringkas-ringkasnya.

Daripada nama ini, penulis dan penyair juga ingin mencari kelainan dalam dunia karyawannya. Wujudlah nama pena, seperti saya sendiri. Zaman awal hingga 80-an, penulis gemar menggunakan nama pena atau nama samaran. Ada sebabnya. Bukan untuk terkenal tetapi lantaran tidak mahu dikenal! Zaman penjajah, ramai penulis yang menulis tentang kebenaran terhadap pemerintah yang zalim, atau tidak menjalankan pemerintahan yang adil sering menganggap penulis sebagai pengacau dan patut dihukum. Maka lahirlah nama-nama istimewa seperti Tongkat Warant, Pungguk, Kala Dewata, Ruhi Hayat, Pengembara, S.Mala, K.Bali, Rajuna Keningau, Hantu Raya, Pena Kota dan sebagaimya. Nama-nama para pengarang zaman awal dahulu memang cukup istimewa. Mereka mempunyai sejarah sastera zaman mereka yang tersendiri. Mereka mencipta dunia kepengarangan mereka sendiri waima apapun nama yang mereka gunakan. Apa yang penting intipati karyanya. Bahan sasteranya itu lebih diutamakan. Bagaimanapun sejarah yang merakamkan karya-karya besar tak mungkin lengkap tanpa mengaitkan dengan nama-nama yang meletakkan sastera sebagai pentas perjuangan mereka.

Kepekaan terhadap nama pengarang-pengarang kita perlu ada. Kita jangan sewenang-wenangnya atau mengambil jalan mudah terhadap penggunaan nama, ejaan dan sebutan yang biasa digunakan. Saya pernah ditegur oleh Budayawa Gapena Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Allahyarham) kerana tersilap menulis namanya pada sebuah surat yang dihantar untuknya. Dia tidak kisah jika nama orang lain tersalah eja tetapi jangan sekali-kali namanya. Memang mudah mengeja nama beliau tetapi ejaannya yang betul sama sekali jarang ditemui. Memang patut beliau menegur malah memarahi sesiapapun kerana nama itu merupakan identiti mutlak. Jangan ambil mudah. Saya teringat semasa berada di wad hospital kanak-kanak baru-baru ini, seorang ibu muda meminta jururawat meminda ejaan namanya di hujung katil bayinya yang sedang dirawat. Dia mengomel dan mengadu pada kami kerana kesilapan itu. Apatah lagi dasar hospital terutama bagi wad kanak-kanak yang baru lahir memerlukan data yang betul untuk mengelak kesilapan penyerahan bayi kepada ibu masing-masing.

Nama sebenar saya juga selalu disilapkan. Bila disebut sekali memang kita boleh tulis apa sahaja. Begitu juga dengan nama pena saya, selalu terjadi kesilapan. Masalahnya kesilapan itu dilakukan oleh orang yang mahir atau boleh dikatakan tidak patut buat silap. Misalnya sebuah buku yang diterbitkan di Riau Indonesia, bayangkan nama 'Hasyida Abadi' dicetak dalam buku yang diedar juga kepada para pembesar kerajaan di Riau dan wakil-wakil penyair Korea Selatan, Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura. Peristiwa terkini berlaku pada sebuah buku yang memuatkan puisi-puisi saya. Bukan payah mengesan kesilapan itu sebelum buku tersebut dicetak, paling tidak jurutaip, atau pembaca pruf mampu mengesannya lebih awal. Mungkin perkara ini remeh temeh, tetapi saya masih ingat teguran idola saya Datuk Shuhaibun walaupun hanya pada ejaan nama. Apalah ada pada nama, selalu orang menyebutnya begitu, namun sebagai sebuah nama, ia juga sebuah jenama, ia menjadi hak milik yang wajar dipelihara sewajarnya.

Dalam apapun situasinya, penulis bahkan penyair yang bertanggungjawab wajar memelihara ejaan dalam karya-karya. Pastikan kesahihan ejaan berdasarkan kebakuan sistem ejaan yang digunapakai umum dan dalam konteks ini berdasarkan gaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika pihak DBP pun buat silap, itu masalah luar biasa juga. Mungkin penulis merasakan dia mempunyai pilihan untuk mencipta ejaannya sendiri. Sebaiknya kebakuan berliterasi harus tidak bercanggah. Kita wajar memelihara keindahan berbahasa yang betul walaupun ramai berpendapat laras sastera itu boleh berubah atas dasar kebebasan berpoetika. Namun soal ejaan tidak semaunya diberikan kebebasan apatah lagi secara semborono.

Jika dikatakan bahawa 'Budi Bahasa Budaya Kita' atau 'Bahasa Jiwa Bangsa' tetapi jika bahasa yang semborono disebabkan oleh kecelaruan ejaan di dalamnya, di manakah budi dan budaya kita berbahasa itu diletakkan? Patutkah kecelaruan atau ketidak pekaan sesetengah penulis sendiri yang mengabaikan ejaan yang tepat disemai dalam jiwa bangsanya. Jika demikian, bertambah celarulah sikap kita dan generasi akan datang terhadap bahasa yang boleh menyatukan kita semua di negara ini hingga boleh menjadi 'Bahasa Celaru Bangsa'!

Selamat Tahun Baru 2012.


PUSTAKA IQBAL NAZIM