Isnin, Ogos 14, 2006

Bicara Pengarang: Hasyuda Abadi pegang prinsip menulis sebagai satu ibadah

Oleh Nazmi Yaakub

BAGAIMANAKAH Hasyuda Abadi menceburkan diri ke dunia sastera?
Saya menyertai Kumpulan Anak Seni pimpinan Zaiton Ajmain pada 1979 dengan pembabitan awal di bidang tarian. Saya mula menulis secara serius pada 1981 apabila menghantar karya ke akhbar secara berterusan sehingga puisi saya, Salam Buat Kekasih, memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada 1986.

Kekuatan Hasyuda dilihat pada puisi. Apakah Hasyuda bersetuju?
Benar, saya sudah menulis ratusan puisi berbanding 43 cerpen. Saya cenderung kepada puisi bukan disebabkan ia mudah, sebaliknya dekat dengan diri sehingga saya dapat menghasilkannya pada bila-bila masa. Apabila ada isu atau peristiwa yang menyentuh naluri kepenyairan, saya boleh terus menulisnya. Saya akui kadang-kala mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan sesebuah puisi.

Bagaimanakah proses kreatif Hasyuda?
Saya mencatatkan apa yang dilihat dan rasa dalam buku nota sebelum menaip catatan itu di mesin taip. Saya boleh menulis di tempat yang bising tetapi proses menjernihkan karya memerlukan saya mencari tempat yang tidak menerima gangguan orang lain.

Apakah Hasyuda menunggu atau mencari ilham?
Saya mencari ilham tanpa perlu menanti ia datang. Tugas saya di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan saya sering berada di luar bandar, sekali gus meluaskan pandangan. Saya pernah dihantar ke sebuah pulau di Kota Belud dan bertemu dengan penduduk bagi mengetahui masalah kehidupan mereka. Saya cuba menyelami kesukaran hidup mereka sehingga ada yang terpaksa meredah laut semata-mata untuk ke hospital atau tercedera akibat menggunakan bom ikan.

Apakah tema karya Hasyuda?
Walaupun saya tidak mengehadkan tema tertentu dalam karya tetapi saya lebih selesa untuk mengetengahkan unsur Islam. Ini boleh dilihat dalam kebanyakan kumpulan puisi saya seperti Akar Cahaya, Datang Kemabli, Menginai Badai, Kitab Sehabis Peristiwa dan dalam proses penerbitan, Sinar Sirna.

Mengapakah Hasyuda mengangkat tema Islam?
Saya menjadikan karya sastera sebagai usaha dakwah. Saya memperlihatkan sastera Islam berupaya membentuk peribadi penulis dan penyair, sekali gus diangkat sebagai cermin kehidupan kepada pembaca. Saya banyak terpengaruh dengan guru saya, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala dan Suhaimi Muhammad. Di Sabah, sastera berunsur Islam menjadi pilihan utama penyair.

Bagaimanakah Hasyuda memperlihatkan isu antarabangsa dalam puisi?
Saya menyorot nasib umat Islam terutama di Asia Barat yang terbabit dalam peperangan dan penderitaan orang awam. Puisi Menghidu Bisikan Api umpamanya, cuba mendekati peristiwa selepas Iraq menyerang Kuwait. Selain itu, saya turut merakam penderitaan umat Islam di Palestin.

Bagaimanakah proses penerbitan karya sastera di Sabah?
Selain tiga akhbar Inggeris yang menyediakan sisipan berbahasa Melayu dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ada kecenderungan untuk penulis menerbitkan buku. Bagi mengatasi beban kos, penerbitan buku dibuat secara bersama dengan menghasilkan antologi puisi. Penerbitan ini selalunya diadakan sempena Mahrajan Sastera Islam dan Randau Puisi. Tahun ini saja, sepuluh buku diterbitkan bagi menyemarakkan sastera di Sabah.

Apakah penulis memanfaatkan media internet?
Ada rangsangan untuk penulis mewujudkan laman web dan blog bagi menyalurkan karya mereka. Penulis Sabah juga berhubung secara maya dalam Kelab Maya Sastera Sabah. Penulisan di blog pula memantapkan cara berfikir di kalangan penulis tetapi masih baru di kalangan penulis Sabah. Saya sendiri menulis di blog http://hasyuda-abadi.blogdrive.com/.

Apakah cita-cita Hasyuda dalam dunia sastera?
Saya mahu menulis hingga akhir hayat. Moto penulisan saya ialah menulis sebagai ibadat. Selain itu, saya mahu memperbanyakkan penerbitan buku kerana penulis yang tidak menghasilkan buku, sebenarnya belum wajar diiktiraf sebagai penulis.

Rabu, Julai 19, 2006

Baca Puisi 50 Jam

Sekalung ucapan tahniah kepada DBP Cawangan Sabah atas keberhasilannya menganjur majlis deklamasi puisi terlama negara 50 jam berbanding 24 jam dalam Ratib Seribu Syair beberapa tahun yang lalu. Wujud kesungguhan yang luar biasa terutama sekali peserta yang bertali arus kecuali masa puncak tengah malam hingga subuh oleh individu yang sama. Bagusnya program ini orang ramai terlibat sama-sama mengimarahkan puisi sebagai alat yang istimewa untuk disampaikan amanat di dalamnya. Selain dapat mengenal DBP secara dekat juga mengetahui para penulis dan secara langsung menghayati karya-karya mereka yang terkumpul dalam Kumpulan Puisi 'Resam'. Lebih daripada itu, mereka yang tidak pernah membaca puisi sudah suka membaca puisi. Yang tidak pernah endahkan puisi sudah mula endahkan puisi. Yang tidak pernah faham puisi sudah mula ingin memahami puisi. Apa lagi yang sangat sukakan puisi, itulah pentas istimewa mempekasakan puisi lebih daripada biasa. Bermacam-malamlah ragam bacaan dan pendengarnya juga. Ada puisi yang seakan-akan puisi dibaca. Ada puisi yang hanya catatan-catatan biasa juga dibaca. Ada puisi yang benar-benar puisi yang bermutu tinggi dibaca. Pendengarnya juga, ada yang dengar tapi tidak menghayati. Hingar bingar menunggu giliran membaca menjadi halangan puisi-puisi itu dihayati sepenuhnya. Puisi 'bertaburan' di dalam dewan. Sungguh hebat. Puisi menjadi roh aktiviti sastera yang menjadi pilihan segelintir orang telah berubah menjadi igauan sepanjang bunyi 'tik tok' berjalan. Hinggalah sampai pada detiknya saat yang terakhir, puisi sebagai alat daripada amanatnya kepada suatu hakikat yang dicatatkan pada sekeping kertas berlogokan sesuatu yang terlama awal abad ini. Organisasi mana lagi yang mahu menyambung cabaran membaca lebih panjang lagi satu minggu atau satu bulan, tentu berfikir beberapa kali, kerana program ini bukan kerja main-main tetapi kesungguhan serta komitmen yang luar biasa.

Tahniah sekali lagi walaupun saya tidak terlibat sebagai peserta dalam program ini kecuali menjadi penonton dan saksi bebas. Sebabnya biarlah saya simpan dulu dan akan diceritakan kepada generasi akan datang jika Tuhan izinkan.

Isnin, Julai 03, 2006

Apa yang terjadi di DBP Sabah?

Persoalan ini terjadi akibat dua pucuk surat yang disiarkan sebuah akhbar tempatan di Sabah. Surat-surat itu mempersoalkan kewibawaan DBP Cawangan Sabah di bawah Pengarahnya, Encik Zubaidi Abas. Saya melihat kandungan surat-surat terbuka itu dengan fikiran yang terbuka, dengan maksud melihatnya tanpa prejudis. Persoalan yang ditimbulkan berhubung dengan masalah penerbitan (sebuah taboo yang tidak berkesudahan) dan juga soal pengurusan bantuan dana DBP. Sebagai salah seorang penulis dan juga aktiviti sastera malah mengetuai sebuah organisasi penulis, apa juga yang diutarakan penulis surat-surat itu merupakan tanggungjawab untuk sama-sama mencari jalan jawapan keluar. Namun tidak bermakna ingin campur tangan dalam kemelut yang ditimbulkan kerana DBP mempunyai integriti, kredibiliti dan akauntablitinya yang tersendiri sebagai sebuah agensi kerajaan dalam menangani apa juga persoalan yang melibatkan organisasi berkenaan.

Betul atau tidak, benar atau sekadar percakapan kosong, pada saya bukanlah soalnya. Tetapi kejujuran dan ketelusan sahaja boleh mengatasi apa juga persoalan. Ketelusan itu juga tidak harus diperhatikan bukan hanya sekadar ingin menjawab pertanyaan demi pertanyaan yang datang seperti air yang mengalir itu. Mungkin salah untuk menunding jari kepada satu pihak, walaupun niat seseorang itu barangkali bersifat global namun kita harus juga percaya bahawa sasaran yang sebenarnya apa? Meletakkan satu pihak semata-mata juga tidak mungkin boleh memberikan apa-apa kepuasan. Memang senang berkata apa juga, tetapi bolehkah dijelaskan dokumen yang membenarkan tuduhan? Mengapa serkap jarang menjadi pilihan dan menempatkan kata-kata yang liar itu pada ruangan yang tidak betul?

Saya fikir cadangan Jasni Matlani dan Ailin Nor yang saya temui hari ini wajar dilaksanakan iaitu mengumpul sejumlah penulis dan aktivitis sastera untuk menemui Pengarah DBP Sabah. Pertemuan ini merupakan suatu pernyataan sikap dan juga sokongan kepada Pengarah DBP bahawa apa juga yang dilakukan oleh DBP telah melalui landasan yang betul. Apa yang penting gerakan sastera dan bahasa harus berjalan dengan lancar dengan wujudnya tohmahan-tohmahan yang tidak disertai bukti yang berasas.

Marilah sama-sama kita satukan fikiran dan sokongan terhadap Encik Zubaidi Abas dalam menangani kemelut yang sedia ada masa ini. Perjumpaan dengan beliau dijangka berlangsung di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah pada 29 Julai 2006 jam 10.00 pagi.

Rabu, Jun 21, 2006

Mana Penulis?


Di mana penulis atau adakah penulis, adalah dua frasa yang membengkakkan fikiran kepada penganjur aktiviti sastera. Ini mahu tidak mahu, harus diakui. Namun ungkapan kedua, 'adakah penulis' itu sedikit janggal, barangkali, kerana penulis itu boleh jadi siapa sahaja yang pernah menulis waima sebuah sajak atau sebuah cerpen. Sudah boleh berang hanya disebabkan gambarnya tidak ada di dewan DBP. Ironinya di manakah mereka ini alias penulis itu ketika diperlukan untuk mengisi bangku bilik aktiviti? Bukti terakhir ialah kelmarin (19 Jun 2006) dan dua hari sebelumnya di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah. Boleh dikira kehadiran mereka, tidak lebih daripada orang-orang yang sama. Oh ya, barangkali waktunya tidak sesuai. Jadi bila masa yang sesuai? Hari Sabtu, Ahad atau malam? Panjang nafas terpaksa disedut memikirkannya. Penulis memperkatakan penulis, yang mendengarnya bukan penulis, mungkin wajar. Malangnya keadaan ini biasanya diselamatkan oleh para pelajar sekolah yang sering terpinga-pinga, apakah yang berlaku di bilik aktiviti. Menjadi malang lagi merujuk kepada dua aktiviti di DBP baru-baru ini, ketiadaan pelajar menjadikan program itu lesu. Kita tahu kuantiti biasanya tidak semestinya menjadi tanda aras keberkesanan program tetapi kualiti program itu sendiri. Namun demikian kita percaya matlamat sesebuah aktiviti itu tidak mungkin dirasai roh kejayaannya tanpa kehadiran yang ramai tetapi masih berkualiti. Kita masih bertanya di mana penulis itu berada?

Kita akhirnya mendengar jawapan yang klise: di mana-manapun sama bah! Menunggu penulis hadir bagai menanti kucing bertanduk. Barangkali perlu ada rasa 'malu' bila merasakan diri ini penulis yang tidak tahu apakah tanggungjawabnya selepas itu. Penulis yang datang kerana ingin belajar lebih mendalam tentang penulisan, tidak lebih daripada itu. Dan tanpa menafikan para penulis yang komited, yang sering bersama para penganjur walaupun tanpa undangan rasmi, harus dipuji.

Tunggu dulu, anda tentu faham mengapa tulisan ini terjadi...