Isnin, November 11, 2019

APRESIASI 'KEMBALI DI LAHAD RAHSIA'

Dalam kumpulan puisi ‘Kembali Di Lahad Rahsia’ Hasyuda Abadi sekali lagi tampil meneruskan keprolifikannya serta memperlihatkan setingkat lagi aras perkembangannya sebagai penyair. Dengan meneruskan kebiasaan menggunakan perbendaharaan dan ungkapan kata yang segar, beliau terus mengisahkan dirinya, masyarakatnya dan menyampaikan amanat yang menguatkan lagi keyakinan kita bahawa pengarang ini sentiasa menyatakan sesuatu yang hidup bersamanya.

            Ini dengan sendirinya menidakkan anggapan Roland Barthes bahawa pengarang itu terpisah daripada karyanya sebaik sahaja karya itu dihasilkan. Sebaliknya pengarang sebenarnya sentiasa hidup di dalam karyanya dan begitu juga kehidupan masyarakat yang diperkatakan. Hujah bahawa pengarang sudah mati selepas karyanya dihasilkan dan pembaca berhak mentafsir apa saja tentang karya atau teks yang ada di hadapannya tidak begitu sesuai dalam menanggapi karya Hasyuda Abadi.

            Kita perlu ingat bahawa penyair mempunyai persepsi dan daya intuisi tersendiri kesan daripada interaksinya dengan alam persekitaran dan alam diri. Persepsi dan intuisi inilah yang berkembang dalam karya Hasyuda Abadi, walaupun ia berubah dari satu fasa ke satu fasa dalam sejarah kepenyairannya. Justeru, pembaca mesti memahami konteks sejarah, budaya, fasa kehidupan peribadi yang membantu melahirkan puisinya. Jika penyair dimatikan selepas karyanya dilahirkan, pembaca juga  mungkin  menghadapi  kesukaran  untuk  mentafsir kod makna yang disembunyikan oleh Hasyuda Abadi di sebalik teks puisinya

            Dalam menanggapi  dan  memahami  karya   puisi Hasyuda Abadi yang termuat dalam kumpulan puisi  ini    kita perlu hidupkan penyair di dalam karyanya. Kita perlu mencari di manakah penyair berada di antara getaran kata, tingkahan konsonan dan kepelbagaian vokalnya. Di manakah dia berdiri di celah-celah kehalusan muzik bahasanya dan keindahan seni warna lukisannya. Semua ini terungkai apabila membaca 122 buah puisi yang dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu Berjalan ke Arah Cahaya, Lebur dalam KerahsiaanNya dan Usikan Kalbu

            Hasyuda Abadi telah menulis puisi lebih daripada dua dekad. Di sepanjang tempoh itu penyair ini telah melalui pelbagai getar pengalaman dan peristiwa yang akhirnya mematangkan kehidupannya. Penyair telah merempuh kisah suka duka, pertemuan dan perpisahan, gelak tawa di antara tangisan, kebencian dan kerinduan, seperti juga pengalaman yang pernah dilalui oleh manusia lainnya. Namun, di tengah-tengah itulah dunia kepenyairannya    terus   berkembang.   Di  tengah-tengah kepelbagaian rentak kehidupan itulah terjelma kata-kata dalam segala kehalusan susunannya, keindahannya dan kedalaman  maknanya. Jika pembaca hendak menyelami makna itu, pembaca juga hendaklah menyelami dunia peribadi penyairnya. Malah dalam beberapa buah puisinya yang termuat di dalam kumpulan puisi ini, watak ‘aku’ muncul dan kemunculannya lebih   sebagai penegasan kepada kehadiran penyair di dalam teks puisinya.

            Di dalam puisi Kesilapan perhatikan watak ‘aku’ ini menyesali kesilapannya:


 
            jika (ku)tahu, dari dulu (aku) bersedia,
            mungkin kau tak percaya; hakikatnya,
            (aku) tak mungkin tak melakukannya.
            jika (ku)tahu, mungkin, (aku) harus selalu
            memandang diri(ku) dari luar diri,
            memang lucu; hakikatnya,
            (aku) tak mungkin tak melakukannya.
            jika (ku)tahu, dari mula (ku)buat
            keputusan, di hadapan(ku) adalah
            ranjau-ranjau kesilapan; hakikatnya,
            (aku) tak mungkin tak melakukannya.
                                                            (hlm. 7)


             Walaupun dalam beberapa buah puisi lain penyair ini bereksperimen di segi bentuk dan teknik persembahan puisi, tetapi maknanya masih menyelitkan dunia peribadi penyair.  Dalam    puisi   Mula   yang   Berhenti  misalnya Hasyuda tetap menggunakan ganti nama diri ‘aku’ mengimbangi bentuk puisinya yang menggunakan teknik perulangan seperti berikut:

 
                        (aku) harap tiada henti yang bermula
                                    tiada riuh yang bungkam
                        tiada bunyi yang diam
                                    tiada damai yang dendam
                        tiada tenang yang suram
                                    tiada selesa yang gumam
                        tiada suka yang muram
                                                            (hlm. 66)


             Puisi ini tidak sahaja memperlihatkan keindahan di segi keharmonian penggunaan perbendaharaan kata, tetapi juga bentuk lahiriahnya, teknik perulangan yang digunakan penyair dalam memberikan penegasan dan keindahan makna atau imej yang hendak disampaikan. Malah lebih penting lagi ialah memperlihatkan penyair di dalam teksnya.

            Sebahagian besar puisi-puisi Hasyuda Abadi merakamkan pengalaman kerohanian memperteguhkan lagi ikatan keagamaan yang mendewasakannya. Penyair juga mengadaptasi bait-bait puisinya berdasarkan perjalanan hidup Rasulullah S.A.W misalnya dalam Merpati ketika Rasulullah S.A.W bersembunyi di gua Thur. Diikuti peristiwa orang-orang kafir yang gagal mengesan jejak Baginda:


tiba-tiba kalian ada di sini
merpati yang liar
dan labah-labah datang dari langit
 
tidak siapa tahu
kerana sarang  dan jaring 
memberi ruang  kepada sesuatu yang diburu
meyakini tiada nafas  berhembus di  situ
 
oleh pertolongan Tuhan
kau tak jadi menggaru betismu
wahai ahli-ahli kufar!
(hlm. 34)
 

Dalam puisi-puisi yang lain pendekatan penyair menyerlahkan tanggungjawabnya sebagai seorang yang ingin menyampaikan amanat atau pesan kepada seseorang yang lain. Di dalam puisi Uzlah misalnya penyair merakamkan:

 
jika kau memilih diam gembirakanlah
            hatimu, kerana diam itu uzlah. kau
            telah kembali kepada diri dan peribadi
            kau akan menemukan akar dan punca
            segala perkara.
                                                            (hlm. 111)
 
            Di dalam puisi Gemilang Muhasabah penyair mengungkapkan pula:
 
jika kau bahagia gembirakanlah hatimu
            kerana bahagia yang hakiki adalah
            anugerah Ilahi yang tidak pernah kau
            ceritakan. kau merasa bahagia apabila
rahsia semakin berada di dasar dalam
kalbumu yang tersimpan gemilang muhasabah.
                                                            (hlm. 117)

 
            Puisi-puisi di bahagian akhir dalam Kumpulan Puisi ini merupakan ungkapan-ungkapan  terapi.  Puisi-puisi tersebut mengajak kita agar menerima dengan perasaan yang terbuka terhadap apa juga peristiwa dalam kehidupan ini sama ada dalam situasi gembira, duka dan seumpamanya. Dalam Pintu Peristiwa, Hasyuda Abadi mencatatkan dengan kesedarannya bahawa:
 

jika kau menerima musibah yang berat
mahupun yang tidak kelihatan atau
kedengaran oleh sesiapa, gembirakanlah
hatimu kerana ada jawapan ketika
ditanyakan detik kau menghadapinya
dengan tabah dan menjadikannya pengajaran
atau muhasabah terhadap peristiwa
masa lalu yang mengubahmu jauh
daripada yang maha benar.
                                                            (hlm128)

 
                Membaca puisi Hasyuda Abadi yang termuat dalam kumpulan puisi ini sesungguhnya menjadikan kita merasa seolah-olah sedang membaca rahsia batin penyair. Batinnya sentiasa gundah gulana hendak berkata-kata menggali semurni mungkin makna di sebalik kehidupan di lahad rahsia yang dianugerahi Ilahi. Sebagai pembaca kita tetap merasakan kehadiran penyair di dalam teksnya. Kehadirannya sebagai salah seorang ahli dalam masyarakat yang menceterakan kehidupan sebagaimana yang dialaminya atau sebagai seorang hamba dalam mencari kasih Khaliknya.

                Tetapi pada sisi lain dunia kepenyairan Hasyuda Abadi sebenarnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya. Namun yang pasti, setiap karya puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya.


Tiada ulasan: