Ahad, Jun 10, 2012

Manifestasi kecintaan menerusi puisi

 
PUISI, bagi para pengkaji dan pencinta seni kreatif dilihat sebagai satu manifestasi daripada kecintaan manusia yang tinggi terhadap hidup, kehidupan manusia, kemanusiaan, alam dan segala isi alam yang diciptakan Tuhan. Wujud interaksi fizikal dan spirituil yang kelak dapat memperkaya pengalaman hidup kita. Kerana itu menurut Lim Swee Tin (2000), puisi mempunyai sihirnya sendiri dalam satu jalinan atau tautan yang akrab atau intim dan mesra kepada penggemar ataupun pencintanya.

Dalam kajian dan telaah kesusasteraan kreatif, puisi sebagai salah satu ciptaan sastera dikatakan terbina daripada elemen-elemen strukturnya seperti tema dan pemikiran, unsur gaya bahasa dan mesej yang dikatakan mengiringi setiap kelahiran karya. Tetapi apakah hanya itu yang ada dalam sesebuah puisi?

Puisi sehingga kini telah menjadi saluran yang berkesan bagi karyawannya menyampaikan buah fikiran, pendirian hidup dan perjuangan. Disebabkan puisi intim dengan pembaca dan sesuai dengan sifatnya yang khusus, kesannya jadi mendalam. Anda kajilah sejarah Perancis, bukankah pemimpin di Amerika Latin menggunakan puisi untuk menyalurkan perjuangan bangsa mereka sehingga ada penyair seumpama Pablo Neruda lahir sebagai seorang negarawan terbilang di negaranya.

Puisi sebenarnya merupakan sebuah karya kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar.

Demikianlah puisi yang dalam sejarah kesusasteraan dunia dikatakan sudah berusia ribuan tahun. Tradisi kesusasteraan kita pula mula menyambutnya sejak awal abad ke-20, dan hari ini ia menjadi genre yang cukup penting di tengah-tengah peradaban yang getir dan sukar. Apakah yang mendorong seseorang menghasilkan puisi? Mengapakah corak pengucapan sebegini yang dipilih? Mengapakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan rasa gusarnya terhadap bangsa Melayu melalui puisi? Dalam sebuah puisi karyanya, Tun Dr. Mahathir menegaskan tentang perjuangan bangsa yang harus dilakukan dengan upaya yang tinggi: Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku/kerana masa depan belum tentu/menjanjikan syurga/bagi mereka yang lemah.

Kecenderungan masyarakat termasuk para pemimpin menulis atau membaca puisi membuktikan bahawa kesenian warisan ini menjadi saluran penting pelahiran atau peluahan perasaan dan menjadi salah satu alat bagi menyatakan citra diri, menyampaikan pandangan atau kritikan, malahan mencetuskan pemikiran intelektualisme mereka terhadap isu-isu penting. Kita telusuri sahaja puisi Usman Awang (1929-2001) berjudul 'Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya', penyair dengan amat tajam mengkritik pihak-pihak berwajib yang memusnahkan tumbuhan semulajadi dengan rakusnya di bandar raya beralaskan matlamat pembangunan. Perbuatan ini telah terjadi di mana-mana tempat di negara kita ini terutama di bandar-bandar yang sedang mengalami proses pembangunan. Begitu juga pernyataan sinis Usman terhadap umat Melayu dalam puisinya bertajuk 'Melayu'. Namun jika kita perhatian senario terhadap beberapa insiden di negara kita yang melibatkan sesetengah orang Melayu akhir-akhir ini, apakah inilah impak puisi tersebut apabila kita membaca kenyataan di bawah ini: Melayu itu berani jika bersalah/kecut takut kerana benar/janji simpan di perut/selalu pecah di mulut/biar mati adat/jangan mati anak.

Baha Zain pula telah menulis 'Menangguh Kebenaran' menyindir orang-orang kota yang gemar berdusta, hidup berpura-pura dan rendah moralnya. Dalam puisi-puisi siri 'Rangkas Bintung'nya, W.S.Rendra memberontak terhadap penindasan, kekejaman dan kebobrokan pemerintah terhadap rakyat. SN Dato' A.Samad Said kini menjadi lebih jelas menjadikan puisi sebagai jalur pemikirannya terhadap pemerintah. Pengaruh puisi terhadap kehidupan masyarakat kita memang kukuh tanpa disedari. Di Sabah kita juga mempunyai puluhan penyair yang turut menggarap hal-hal yang tidak jauh beza pemikiran mereka dengan para penyair yang ternama di seluruh nusantara. Misalnya Ariffin Arif dalam Kumpulan Puisinya bertajuk 'Api Laut Merah', Soibil Madun (Lautan Sebuah Ayunan), ABM Fajeer (Taufan), Jalidar Abdul Rahim (Tanah Kerinduan), Zaiton Ajamain (Bagai Layang-Layang), Jair Sulai (Sungai Hayat), Dayang Salmah Salam (Bisikan Nurani) dan saya sendiri melalui 'Akar Cahaya', 'Datang Kembali', 'Menginai Badai' dan 'Kembali di Lahad Rahsia' serta puluhan lagi antologi puisi yang dicetak menjadi taman ungkapan-ungkapan para penyair menyalurkan kehadiran mereka sebagai perakam peristiwa dan pencetus zaman mendatang.

Kita wajar menelaah puisi-puisi yang tersebar lebar dalam bentuk buku atau media-media yang lain di samping terus memperkaya karya untuk berkongsi nikmat cinta di tengah-tengah kemanusiaan yang diasak oleh pelbagai kerenah, kemahuan, harapan dan impian. Di tengah-tengah insan hipokrit. Di tengah-tengah kemelut dahsyatnya mentaliti masyarakat yang memandang kemewahan lebih utama berbanding nilai cinta dan kasih sayang.

UTUSAN BORNEO 10 Jun 2012

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: