Rabu, Disember 31, 2008

Sambut Tahun Baru, Perbaiki Kelemahan


Pixel Code Graphics

MINGGU ini adalah minggu yang penuh bermakna. Tahun Hijrah dan tahun Masihi akan bertukar pada minggu ini. Dua hari lalu umat Islam meraikan tahun baru Hijrah ke-1430. Perayaan ini lebih dikenali sebagai Maal Hijrah yang membawa maksud bergerak bersama hijrah. Esok pula tahun Masihi yang baru akan muncul. Tahun 2009 Masihi seperti biasa akan disambut oleh segenap lapisan masyarakat. Pelbagai program dibuat bagi menyambut tahun baru ini. Bukanlah tujuan penulis ingin menyanggah program sambutan tahun baru, tetapi sambutan itu biarlah berpada-pada dan mempunyai maksud yang jitu. Sambutan Maal Hijrah dan tahun baru sepatutnya dibuat dengan objektif memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada tahun ini dan tidak mengulanginya pada masa akan datang.

Kemunculan tahun baru ini seharusnya menjentik minda kita memikirkan apakah yang berlaku sepanjang tahun dan bagaimana pula kita akan menghadapi tahun baru nanti. Segala suka dan duka yang berlaku hendaklah dijadikan teladan dan sempadan kepada kita. Tiada gunanya tahun berlalu tanpa sebarang manfaat yang kita peroleh. Tiada manfaatnya tahun berlalu tanpa kita memperbaikinya untuk masa akan datang. Apa yang berlaku sudah tercatat sebagai sejarah. Tiada siapa dapat mengubahnya. Sejarah itu pasti berulang. Itulah lumrah alam. Oleh yang demikian, kita tidak dapat lari daripada memikirkan apa yang berlaku kepada kita.

Jika kita menyorot apa yang berlaku sepanjang tahun, tentu banyak perkara yang akan merungkai minda kita. Bersama-samalah kita meneliti kembali apa yang berlaku dan mencari jalan bagaimana mengatasinya. Umpamanya alam bersuara kerana kerakusan manusia melakukan pembangunan yang langsung tidak mengambil kira panduan yang diberikan agama. Walaupun al-Quran menegaskan gunung ganang itu adalah pasak bumi, ketamakan manusia mengatasi panduan ini kerana mereka memusnahkan pasak yang akan mengelakkan tanah runtuh dan malapetaka. Itulah sebabnya Allah memberi amaran kepada kita dengan mendatangkan musibah. Namun, ternyata Allah masih sayangkan kita kerana musibah yang melanda masih kecil berbanding musibah yang terpaksa ditempuhi orang lain di tempat lain. Ramai juga yang menanam keazaman tatkala muncul tahun baru. Namun, azam itu kebanyakannya hanya tinggal azam tanpa mendatangkan hasil. Inilah yang menjadi masalahnya kerana tiada kesungguhan di dalam merealisasikan keazaman masing-masing.

Penulis mengharapkan tahun mendatang ini akan menjadi lebih baik khususnya berkaitan perkembangan agama Islam di tanah air. Walaupun bibit penambahbaikan itu mula dirasai, ia bukannya suatu jaminan agar umat Islam berasa selesa dan menghentikan perjuangan. Walaupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam disemai, masih banyak perkara yang perlu diperkukuhkan antara NGO Islam. Walaupun keputusan beberapa kes di mahkamah berpihak kepada Islam, peguam Islam perlu menghadapi lebih banyak kes yang mencabar kedaulatan Islam pada tahun depan. Melihat kepada cabaran akan dihadapi nanti, sebenarnya sudah tiada masa untuk umat Islam berseronok dan terkinja-kinja menyambut tahun baru. Tahun baru mesti disambut dengan penuh keazaman dan komitmen agar Islam diletakkan di tempatnya.

Bukan caranya menyambut tahun baru dengan pesta liar yang langsung tidak menggambarkan adat ketimuran budaya bangsa dan agama. Bagi anak yang mula melangkah ke alam persekolahan tentulah 2009 menjanjikan kelainan kepada pelajar. Mereka perlu menyesuaikan diri dengan alam persekolahan. Begitu juga bagi pelajar lain yang bercuti lebih sebulan akan memasuki semula sekolah masing-masing. Sudah pasti ketika cuti sekolah pelbagai aktiviti dilakukan bagi memanfaatkan cuti sekolah mereka. Rutin harian persekolahan akan kembali mewarnai hari persekolahan. Penulis juga mengharapkan perpecahan di kalangan umat Islam akan dapat diperbaiki. Perpaduan antara umat Islam dan bukan Islam pula akan dapat ditingkatkan di samping saling menghormati antara satu sama lain sejajar prinsip Rukun Negara dan Keluhuran Perlembagaan dan kedudukan istimewa Islam di negara kita. Apa yang penting ialah kita menelusuri sejarah dan berpegang dengannya. Jangan sesekali mengherdik orang lain seperti kita sendiri tidak mahu diri kita diherdik. Jangan memperlekehkan orang lain seperti kita tidak mahu diri kita diperlekehkan. Perubahan minda sebegini amat penting bagi mengharungi 1430H/2009M ini. Tanpanya sudah pasti kita akan berada di takuk lama dan tidak akan menjadi contoh teladan kepada orang lain. Anjakan minda sebegini akan menjadi pemangkin kepada kita menggapai kecemerlangan pada 2009. Perjuangan tidak akan berhenti.

Perjuangan memerlukan pengorbanan. Perjuangan masih belum selesai. Oleh itu, setiap umat Islam perlu memainkan peranan masing-masing bagi menegakkan syiar Islam. Setiap orang penting dan perlu menggalas tanggungjawab masing-masing. Besar atau kecil, Allah yang menentukannya. Walaupun 2008 menyaksikan pelbagai cabaran dan dugaan yang menguji kesabaran dan perpaduan masyarakat, 2009 pasti akan menjadi pertaruhan sekiranya tiada usaha mantap memperbetulkan keadaan yang berlaku. Untuk itu pihak kerajaan, -badan bukan kerajaan, institusi dan individu perlu sedar hakikat sebenar dan tidak mementingkan diri sendiri saja. Moga tahun baru ini memberi harapan ke arah memartabatkan agama Islam di samping memelihara perpaduan rakyat pelbagai bangsa. Moga pertautan erat sebegini akan dapat diperkukuhkan tahun depan dan seterusnya. Semoga keimanan kita makin bertambah.

Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Penulis adalah Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia

Isnin, Disember 29, 2008

Sebagai renungan sempena Maal Hijrah

SEBAGAI junjungan besar yang sentiasa diagungkan oleh umat Islam, segala detik peristiwa yang berlaku dalam kehidupan Nabi Muhammad SAW sentiasa dianggap penting dan bermakna oleh masyarakat Islam.

Nabi Muhammad, bagi mereka bukan manusia biasa yang boleh diletakkan beriringan dengan sosok lain dalam sejarah kemanusiaan. Baginda adalah rasul junjungan dan insan kamil yang diutus Allah SWT bagi menzahirkan kesempurnaan akhlak manusia.

Baginda manusia paling tinggi martabat kerohaniannya dan paling disayangi Allah SWT. Walaupun Baginda seperti manusia lain, hadir dalam latar lingkungan sejarah dan geografi tertentu, peristiwa yang berlaku sepanjang kehidupan Baginda tetap mengungkapkan pengajaran sejagat yang sentiasa abadi dan segar kepada diri setiap Muslim.

Begitu juga peristiwa hijrah yang dilalui Nabi Muhammad SAW. Ia adalah detik perpindahan dakwah Nabi daripada peringkat pertama di Makkah yang penuh mihnah pesona serta cabaran yang amat mencengkam ke tahap mengancam nyawa Baginda sendiri, ke peringkat kedua di Madinah yang lebih meluas ruang dakwahnya serta menjanjikan cahaya kemenangan.

Dari segi pensyariatan agama, hijrah adalah dasawarsa baru dalam pelaksanaan undang-undang agama yang lebih berasaskan muamalah dan kemasyarakatan berbanding peringkat Makkah yang lebih tertumpu kepada pengukuhan akidah serta pandangan alam Islam. Namun, di sebalik dimensi sejarah yang selalu diulang sama ada dalam pengajian sirah atau pada siri ceramah maal hijrah, peristiwa ini sesungguhnya menyampaikan kita kepada beberapa pengajaran lebih mendalam dan amat terkait untuk kehidupan sekarang.

Antara hikmah penting di sebalik peristiwa hijrah yang harus diteladani terutama umat Islam zaman ini yang berdepan pelbagai fitnah dan cabaran ialah gambaran sikap realistik serta kebijaksanaan nabi apabila berdepan cabaran dan ancaman semasa.

Di samping hakikat bahawa Nabi Muhammad SAW ialah insan terpilih dan terbaik di kalangan seluruh makhluk Allah, insan yang mustajab doanya dan dikurnia mukjizat, kehidupan nabi juga seperti manusia lain menurut sunnatullah yang tidak lari daripada cabaran dan pedih getir kehidupan. Dengan kata lain, kehidupan Nabi Muhammad SAW juga terikat dengan batasan manusiawi yang terpaksa melalui pelbagai ranjau perjuangan hidup. Inilah yang terjelma antara lain daripada peristiwa hijrah Baginda apabila sunnatullah mengajar golongan lemah walaupun amat sukar mengalahkan pihak lebih kuat terutama yang mempunyai persediaan.

Sebagai golongan yang baru muncul, kecil jumlahnya dan kurang persiapan, tekanan serta ancaman yang ditujukan kaum Musyrikin di Makkah ternyata terlalu kuat untuk dihadapi Baginda dan umat Muslimin ketika itu. Justeru, perpindahan dari Makkah bagi menyelamatkan golongan Muslimin tidak dapat dielakkan.

Nabi Muhammad SAW perlu mencari ruang dan kekuatan baru di Madinah untuk memperkukuhkan kedudukan agama Islam. Apakah noktah pengajaran yang dapat diambil masyarakat Islam sekarang daripada hakikat hijrah Baginda?

Jika Nabi Muhammad SAW insan terpilih yang dikurniakan Allah SWT pelbagai bentuk mukjizat menyedari hakikat bahawa Baginda harus bertindak berdasarkan waqi' semasa, berdasarkan kekuatan dan kelemahan manusiawi, umat Islam dewasa ini pasti harus lebih menyedari mengenai waqi' kehidupan yang melingkungi mereka. Secara umumnya, masyarakat Islam memang berada dalam keadaan lemah. Dilihat dari segi fizikal dan ketenteraan, kekayaan ekonomi, malah kesatuan, mereka agak tertinggal berbanding masyarakat lain terutama Barat.

Namun, ada sekelompok masyarakat Islam yang gagal menyedari hakikat ini lantas bertindak seolah-seolah mereka berada di dalam keadaan yang kuat. Mereka mengambil tindakan di luar batasan waqi' semasa yang ada pada masyarakat Islam. Ini merujuk tindakan sekelompok umat Islam yang mengebom, menculik serta membunuh membabitkan manusia tidak berdosa yang berlaku sejak akhir-akhir ini. Kita tidak menafikan sebahagian peristiwa itu adalah tindak balas terhadap tindakan politik yang dilakukan kuasa besar terhadap beberapa negara Islam atau perencanaan pihak tertentu.

Namun, cara bertindak yang dilakukan ternyata tidak menguntungkan masyarakat Islam keseluruhan terutama apabila dilihat dari sudut kekuatan ummah dan kesediaan mereka menghadapi tindakan balas jika berlaku.

Kita lihat sebahagian besar tindakan seperti ini sekadar mengundang tindakan balas lebih buruk kepada masyarakat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Paling penting tindakan ini turut menggambarkan kerangka pemikiran ekstrem hasil kekeliruan mengenai ajaran Islam.

Di sinilah pentingnya pengajaran peristiwa hijrah yang merakamkan Nabi Muhammad SAW bertindak berdasarkan kekuatan dan kemampuan Baginda apabila mengambil keputusan untuk melakukan hijrah. Dengan kata lain, peristiwa hijrah memberi iktibar bahawa kita harus mengumpul kekuatan dan tidak bertindak menzahirkan kekuatan sebelum masanya, apatah lagi bertindak di luar kebijaksanaan. Sesungguhnya ini antara makna hijrah baru yang harus kita manfaatkan dalam realiti kehidupan sekarang.

Dengan menyedari bahawa umat Islam berada dalam keadaan lemah bukan bermakna kita pasrah dengan keadaan yang ada. Di samping ingatan bahawa umat Islam harus terus memperbaiki kelemahan mereka dan mempersiapkan kekuatan fizikal seperti disaran al-Qur'an, seperkara yang juga penting ialah hakikat kekuatan Islam sebenarnya masih boleh dijelmakan dalam pelbagai dimensi lain.

Misalnya umat Islam masih kuat dan kukuh dari segi kepercayaan agama dan akhlak, terutama dalam menolak fahaman yang bertentangan dengan agama. Berbanding Islam, sebahagian agama lain misalnya, sudah berkompromi dan mengorbankan doktrin agama mereka dengan membuka pintu kepada kemasukan aliran asing seperti sekularisme dan sinkretisme.

Disebabkan kelemahan sistem kepercayaan mereka, agama terbabit mengubah dasar dan kepercayaan bersesuaian dengan ideologi berkenaan. Namun, Islam berkat kekuatan pendidikan agama dan pertahanan ilmiah yang dilakukan ilmuwannya sepanjang zaman masih kukuh bertahan daripada ancaman aliran pemikiran asing.

Kekuatan Islam ini harus dipertahan dan diperkukuhkan melalui pendidikan yang betul tanpa semestinya membabitkan penzahiran dari segi kekuatan fizikal dan ketenteraan. Dari segi strategi, umat Islam memang lemah kekuatan fizikal, seharusnya mereka menumpukan perhatian dalam memperkukuhkan aspek keilmuan dan pendidikan.

Tindakan ini juga adalah jihad besar dan harus dilakukan dengan gigih dan serius, malah ia juga 'peperangan' yang membabitkan persediaan kekuatan dari segi intelektual dan keilmuan. Jika kita prihatin terhadap pembunuhan dan serangan ke atas negara Islam oleh kuasa Barat, kita juga harus lebih prihatin terhadap serangan pemikiran asing yang 'mengorbankan' dan mengelirukan jutaan masyarakat Islam.

Peperangan inilah yang nampaknya banyak dilupakan sebahagian masyarakat Islam apabila kerangka berfikir mereka amat tertumpu kepada penyelesaian daripada aspek siasah dan ketenteraan. Jika ditinjau dari segi sejarah, aspek inilah yang menjadi asas kepada pembinaan tamadun. Zat kepada kekuatan Islam, dengan kata lain ialah kekuatan kepercayaan dan keilmuan. Mungkin ini antara makna dan rahsia hijrah yang harus diingatkan kepada masyarakat Islam. Hijrah bukan sekadar berpindah kepada suasana baru, malah juga mengembalikan diri kita kepada suasana yang kita sudah pun berada sebelumnya.

Jika sebelum ini tamadun Islam terletak kepada kekuatan iman dan ilmu, marilah kita berusaha berhijrah dengan mengembalikan kekuatan itu kepada umat Islam.

oleh
Mohd Farid Mohd Shahran
Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Ahad, Disember 28, 2008

Hadiah Masa Yang Telah Berlalu

Pada penghujung detik tahun muhasabah diri memandang kembali masa lalu. Banyak peristiwa menghimpunkan kenangan, manis berbaur hiba, jaya bergaul gagal, gembira bercampur duka. Begitu banyak meraih kejayaan begitu juga perkara-perkara yang dirancang yang tidak kesampaian. Barangkali ada hikmahnya biar pun sebesar debu. Menghitung jumlah detik, masa berlalu dengan begitu pantas sekali, sedar tak sedar hari ini adalah puncak 1429 Hijrah sedang esok bermulanya Muharam 1430 Hijrah yang memberikan ruang baru untuk melangkah di hari muka sebagaimana doa yang dipanjatkan petang tadi setelah mengakhiri doa penutup takwim. Yang telah berlaku menjadi sejarah, menjadi ingatan dan kenangan yang terpahat sepanjang hayat. Tidak semua mungkin dapat diingat melainkan beberapa peristwa yang benar-benar berbekas di kalbu.

Tidak dapat digambarkan dengan kata-kata beberapa kejayaan yang dianggap cemerlang datang tanpa mengira waktu. Tidak kurang rasa kehilangan yang benar-benar menghiba rasa. Tidak juga percaya sesuatu yang tidak dijangka terjadi. Air mata tidak mampu menghadang jika ia terjadi dan harus terjadi. Kata-kata menjadi sirna, lidah kelu, pandangan berpinar dan akhirnya sirna tanpa suara. Selebihnya redha, rela dan pasrah.

Kehidupan ini tidak mungkin sempurna. Sebagai insan yang tidak sempurna tetap mengharapkan kesempurnaan walaupun sedikit. Biar apapun, saya tetap bersyukur kerana Yang Maha Esa menganugerahkan pelbagai kejayaan dan pelbagai dugaan. Tahun yang baru berlalu itu meletakkan saya pada satu tahap yang amat mencabar. Dalam bidang sastera tempatan saya pernah 'bermuhasabah' dengan pihak DBP Cawangan Sabah, berkonfrantasi terhadap beberapa perkara melalui suara yang sedikit 'keras' meskipun niat sebaliknya demi kelestarian sastera secara menyeluruh. Memang ada hikmahnya. Alhamdulillah saya telah berlembut dan kembali seperti biasa, apatah lagi sebagai pemimpin serta aktivis sastera, tindakan drastik saya tidak harus diperpanjangkan. Apa yang penting dan diutamakan ialah apa yang harus diberikan untuk sastera.

Saya menerima Anugerah Penyair Islam Sabah 2008, suatu hadiah peribadi yang tidak pernah difikirkan sebelumnya. Saya sentiasa mensyukuri apa juga rezeki yang diberikan Allah. Ini juga sebagai hadiah yang tidak mungkin saya lupakan kerana bukan mudah menerima keyakinan insan lain dalam keadaan saya yang serba kekurangan. Beberapa hari kemudian, ketika berada di Bali, Indonesia saya menerima berita tentang Hadiah Sastera Perdana menerusi sebuah puisi saya yang terbit di Dewan Sastera pada tahun 2005 berjudul 'Tsunami Bukan Hanya Nama'. Malah kejayaan menjadi berganda apabila sebuah lagi puisi saya yang bertajuk 'Sebagai Ayah Entah Apakah Yang Dihargai, Anak' telah tersenarai sebagai antara karya terbaik Hadiah Sastera Sabah 2006/2007. Syukur alhamdulillah.

Tahun yang baru berlalu ini juga meletakkan saya setingkat dalam kerjaya saya di Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia apabila dinaikkan pangkat yang kemudiannya diletakkan di Bahagian Pendidikan Pengundi. Berada pada satu tingkat bermakna satu tingkat tanggungjawab perlu digalas dan amanah harus saya lestarikan. Dalam keluarga pula saya menerima menantu di hujung tahun. Kebahagiaan begitu dinikmati apabila tampak wajah-wajah ceria orang-orang yang saya sayangi - bonda, ayahanda, isteri dan anak-anak serta seluruh keluarga.

Alhamdulillah, walau apapun yang dianugerahi Ilahi, dalam rasa gembira atau rasa duka, semuanya harus berjalan seiring tanpa melupakan segala pemberian-Nya itu pasti mengandungi hikmah sebagaimana rasa hiba saya kerana 'kehilangan' yang tidak dapat diungkapkan di sini. Kesedihan atau kehibaan juga dirasai orang lain malah lebih tinggi darjat kesedihan dan kehibaan masing-masing. Mudah-mudahan 'hijrah' yang dinikmati ada hikmah yang dapat dipelajari, direnung seterusnya dijadikan panduan untuk menjejak masa-masa yang mendatang. InsyaAllah.

Rabu, Disember 24, 2008

Penerbitan DSC: Kewibawaan DBP Cawangan Sabah

ANTOLOGI KARYA PEMENANG HADIAH SASTERA SABAH 2006/2007
Penerbitan Antologi Karya Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 dengan tajuk 'Di Sebalik Cermin' (DSC) sebagaimana terpampang di atas merupakan suatu kesempurnaan yang amat dihargai, bukan sahaja dirasai oleh para pengarang yang karyanya termuat di dalamnya, bahkan impak yang amat besar kepada para penulis keseluruhannya. Sebelum ini kita tidak dapat melihat bahkan menatap sebuah kompilasi karya yang terbaik dilakukan bersekali dengan majlis penyampaian hadiah. Ini suatu kejutan, juga merupakan suatu pembaharuan. Penerbitan buku DSC ini menjadi lebih mudah kerana dilakukan sendiri oleh pihak DBP Cawangan Sabah sendiri. apabila adanya peralatan cetak serta kemahiran stafnya. Kelebihan ini telah mengangkat secara langsung kewibawaan DBP khususnya Cawangan Sabah dalam upayanya memberikan penghargaan kepada para penulis. Kelestarian aktiviti sastera juga semakin dirasai sejak akhir-akhir ini. Secara positif saya merasakan bahawa wujud suatu penjenamaan semula gerak kerja warga DBP, sudah tentulah kewibawaan ini diungkayahkan dengan pencernaan pandangan, teguran dan tidak kurang pentingnya kesediaan melakukan pembaharuan. Kita berharap kecemerlangan yang kita nikmati ini terus dipertahankan. Apatah lagi semangat yang kental Pengarah DBP Cawangan Sabah, Encik Zubaidi Abas menyatakan hasrat yang tinggi terhadap pelestarian gerakan sastera dan bahasa, mengangkat selibriti para sasterawan melalui pengiktirafan karya mereka. Tindakan ini sudah amat memadai difikirkan oleh seluruh masyarakat agar sedar sastera dan bahasa perlu terus dimantapkan menerusi rangkaian karya, aktiviti literasi sastera dan pemuliharaan bahasa secara terus dan telus. Bagi pihak para penulis, saya merakamkan ucapan terima kasih di atas keprihatinan DBP Cawangan Sabah terhadap para penulis di negeri ini. Mudah-mudahan juga tahun 2009 bakal menjelmakan pelbagai program sastera yang lebih dinamik walaupun semua maklum tentang dunia  yang sedang berhadapan dengan kelembaban ekonomi. Tetapi, berbekalkan kekuatan daya fikir para penulis mudah-mudahan kita dapat mempertahankan keutuhan, kewibawaan, kesungguhan serta keperkasaan mengharungi kehidupan. *6 buah buku antologi karya pemenang Hadiah Sastera juga turut diterbitkan selain DSC. Sehingga catatan ini ditulis hanya 7 buah buku termasuk DSC berada di rak buku Pustaka Iqbal Nazim (mini perpustakaan saya). Buku-buku tersebut bertajuk 'Kuntum Berputik'  (Hadiah Sastera Sabah 1990/1992), 'Angin di Bawah Gunung' (Hadiah Sastera Sabah 1992/1993), Lintasan Cinta' (Hadiah Sastera Sabah 1994/1995), 'Nembiluk' (Hadiah Sastera Sabah 1996/1997), 'Ega' (Hadiah Sastea Sabah 1998/1999), 'Waktu' (Hadiah Sastera Sabah 2004/2095) dan 'Di Sebalik Cermin' (Hadiah Sastera Sabah 2006/2097). 

Ahad, Disember 21, 2008

Ulasan Puisi 'Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai, Anak'

Puisi 'Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai, Anak' mengungkapkan perasaan si ayah terhadap kehidupan yang diharap dimengerti oleh anaknya. Perasaan itu diungkapkan menerusi pertanyaan 'entah apakah'. Namun begitu, terserlah keistimewaannya yang tersendiri - tidak sekadar bertanya tetapi dalam masa yang sama menghantar jawapan terhadap permasalahan yang melingkari kehidupan.

Meskipun susunan kata-kata di dalam puisi tersebut menyerupai prosa, namun kesan estetikanya dapat dirasakan, terutama penampilan unsur anafora yang menunjukkan nada penegasan - selaras dengan mesejnya.

sebagai ayah entah apakah
yang pernah dihargai, anak
dulu membelai manja...
...
sebagai ayah entah apakah
yang pernah dihargai, anak
melebihi hayat seorang ibu...
...
sebagai ayah entah apakah
yang pernah dihargai, anak
menyalur halus kasih sayang...
...
sebagai ayah entah apakah
yang pernah dihargai, anak
memandang ada duka...
...


Meskipun puisi ini agak panjang (lima rangkap dengan 53 baris) namun pemikiran yang ingin disampaikan dapat ditelusuri dengan teratur dan lancar. Setiap rangkap menghantar persoalan yang berlainan tetapi persoalan itu tetap didasari mesejnya yang satu iaitu mencuba menyedarkan anaknya apa yang berlaku di sekeliling (masa lalu, masa kini dan masa akan datang) perlu dijadikan iktibar dan teladan dalam mengharungi kehidupan ini.

Kata 'sebagai' berjaya berfungsi sebagai penanda wacana ang mengikat keseluruhan puisi ini. Meskipun puisi ini panjang, namun penanda wacana ini merupakan tali yang memungkinkan idea yang terkandung di dalamnya tidak terpisah-pisah. Ia kekal dalam kesatuan.

(Dipetik daripada Antologi 'Di Sebalik Cermin' hasil Karya Pemenang Hadiah Sastera 2006/2007 terbitan DBP Cawangan Sabah Kota Kinabalu, muka surat xlix-l)

Sekitar Penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2006/2007

Barisan penerima penghargaan Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 bergambar kenangan bersama Yang diPertua Negeri Sabah, Tun Haji Ahmad Shah Abdulah, YB Encik Bolkiah Ismail, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah dan Encik Zubaidi Abas, Pengarah DBP Cawangan Sabah selepas penyempurnaan Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 di Dewan Besar DBP Cawangan Sabah, Teluk Likas Kota Kinabalu.



Kenangan terbaru di sisi sahabat-sahabat Ikatan Penulis Sabah (IPS). Kiri sekali ialah Noraishah Madin, Ony Latifah Osman, Dr Ramzah Dambul, Abd Naddin Hj Shaiddin, Mohd Azrone Sarabatin dan Mabulmaddin Hj Shaiddin. Paparan foto ini kurang jelas, maklum saja dirakam oleh jurugambar amatur, tidak lain puteri saya Syahfierah @ Adek. Sebab itu senyuman Ony dan Naddin kurang jelas, begitu pun mereka tetap anggun dan bergaya terutama Mabul, lihat aksinya...


Dari Pitas - Saibil Madun menerusi puisinya berjudul 'Perjalanan di Waktu Petang' tersiar dalam Jendela Sabah, Ogos 2007. Di kiri Saibil merupa penyair yang berasal dari Beaufort (daerah ini pun apa kurangnya, telah melahirkan putera-puteri sastera di Sabah...). Ammy Manja namanya atau yang asli Abdul Manaf Kamaruddin. Puisinya bertajuk 'Sesudah Kumiliki Keris Kesedaran' tersiar dalam Wadah, Mac 2007. Tahniah dan syabas Saibil dan juga Ammy.




Bersama-sama penulis yang menerima penghargaan Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 daripada Tun Ahmad Shah Abdullah - (dari kiri) Tajudin Padis, Hj Alipah Jambuaan, Mohd Zain AH, saya dan NR Rahim. Tajudin seorang anggota polis kini berkhidmat di Serian Sarawak, Haji Alipah amat dikenali di kalangan penyair yang sering memenangi peraduan puisi Hari Kebangsaan, Mohd Zain AH ini 'sifu' bagi kebanyakan penyair muda di Kudat suatu ketika dulu, bertugas di Pitas. Kemudian di sebelah kanan sekali ialah NR Rahim, mempunyai kelebihan tersendiri dalam berkarya mahupun cara hidupnya. Bagi yang rapat dan dekat dengannya, mereka tahu apa yang saya maksudkan. Mereka ini antara penulis genius yang wajar sekali mendapat perhatian.


Ini rakaman istimewa bersama sahabat-sahabat saya - (dari kiri) Mohd Azrone Sarabatin, Abd Naddin Hj Shaiddin dan Mabulmaddin Hj Shaiddin, bersantai di Pejabat IPS DBP Cawangan Sabah selepas majlis penyampaian hadiah.







Bersama Faridah Abd Hamid, Hajah Mariam Omar dan Brahim Samad juga antara penerima Hadiah Sastera Sabah 2006/2007. Faridah menjadi penulis cerpen yang amat meningkat akhir-akhir ini. Brahim yang juga dikenali sebagai Ardiana juga amat produktif menulis cerpen di media tempat di Sabah, manakala Hajah Mariam pula bukanlah orang baru dalam dunia penulisan kreatif di Sabah. Puisi dan cerpennya amat menyengat, juga merupakan salah seorang penulis anak angkat DBP sebelum saya. Sesekali menulis, wah sengatan diksi, keindahan serta mesej yang dibawanya dalam karya tetap masih mampu dipertahan. Tahniah.


*Catatan tentang hadiah sastera kali ini akan menyusul. Lihat di sini.


Khamis, Disember 18, 2008

Buat JY dan Rosnah

Benar. Ada saat insan melalui peristiwa yang memilukan di satu tempat, di tempat yang lain ada insan yang menikmati suasana yang berbeza. Mensyukuri anugerahi Ilahi atas apa juga yang diberi dan di'ambil' oleh-Nya. Kehidupan kita ini ditentukan oleh Allah. Benar juga kegembiraan dan kesedihan sentiasa datang dan menghampiri kita semua. Saat apa dan bagaimana, amat kurang kita maklumi namun ia akan datang juga. Misalnya kegembiraan sahabat karib saya, JY yang baru menyambut kelahiran puterinya yang ke-3 daripada lima orang cahayamata - Umi, Hamim, Amira dan Haikal. Saya juga menggembirainya, Rosnah selamat bersalin. Alhamdulillah. Mereka adalah sebahagian saudara saya yang amat akrab. Saat Rosnah (yang biasa di kalangan sahabat memanggilnya RR) sarat beberapa hari lepas bersedia juga menemani JY serta anak-anak ke kampung saya demi memeriahkan majlis perkahwinan Syahzierah.

2.
Ummu Zulaikha elZahra... wah indah nama itu, sahabatku. Sudah tentulah nama ini punya pengertian peribadi yang amat manis buat JY dan RR, dan tentulah juga bibit-bibit kebahagiaan melebihi segalanya. Saya barangkali akan memanggil anak kecil itu 'Eka' atau 'Zahra', menjadi peneguh serta simpulan kasih sayang antara anda berdua dan juga keluarga.

Tahniah sahabatku, moga zuriat yang lahir ini memberikan rezeki dan rahmat yang bertambah buat saudara sekeluarga. InsyaAllah.

Buat Jamaludin dan Rosidah

Hitam putih kehidupan sentiasa dialami setiap insan. Kata-kata klise ini meskipun demikian terus memaknai usia yang kita punya. Setiap individu mengalami babak-babak yang amat gembira dan juga babak-babak yang amat memilukan hati. Dengan itu juga kehidupan lebih hebat, mendewasakannya dan mematangkan. Saat gembira kita tidak harus terlalu gembira kerana saat bersedih kita telah melupakannya.

Pagi-pagi hari ini saya diimbau pengalaman masa lalu, bahkan seawal pagi tadi puteri bongsu saya memaklumkan sebuah SMS tiba memaklumkan anak salah seorang rakan sepejabat telah kembali ke rahmatullah sekitar jam 2 pagi sebentar tadi. Memang anak itu telah sakit sejak selepas dilahirkan lantaran dilahirkan tidak senormal bayi-bayi biasa. Saya menggambarkan melihat wajah ayah dan ibunya, Jamaludin Iskandar dan Rosidah Daud dan dapat merasai perasaan sedih mereka. Saya percaya apapun juga yang dihadapi, mereka telah terlalu tabah mengharungi peristiwa sedih itu kerana mereka tahu bahawa peluang untuk hidup lebih lama amat tipis buat anak sulung mereka ini. Moga Allah memberikan tempatnya sebagaimana hamba-hambaNya yang telah menyambut panggilannya terlebih dahulu. Saya sekeluarga mengucapkan takziah dan berharap mereka bersabar menghadapi kesedihan ini. Marilah sama-sama kita menghadiah Al-Fatihah untuk arwah.


Rabu, Disember 17, 2008

23 PENULIS MENANG HADIAH SASTERA SABAH 2006/2007

KOTA KINABALU: Novel "Bungalina" karya Dr.Chacho Haji Bulah dan Novel "Gadis Adikara" karya Ruhaini Matdarin mendahului senarai pemenang Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 yang diumumkan di ibu negeri, pagi kelmarin.

Novel Bungalina memenangi Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 bagi kategori Novel Dewasa manakala Novel Gadis Adikara menang bagi kategori Novel Remaja," kata Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Zubaidi Abas.

Mereka adalah antara 23 penulis diumumkan sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2006/2007, iaitu hadiah sastera paling berprestij di negeri ini yang diadakan sejak 1990.

Zubaidi berkata, Hadiah Sastera Sabah itu diadakans ebagai salah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan terhadap peranan dan sumbangan para penulis
Sabah khususnya dalam penghasilan karya yang baik dan bermutu untuk bacaan masyarakat.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Majalah Etnik oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Bolkiah Haji Ismail.

Sementara itu, dua cerpen karya Faridah Abd Hamid iaitu "Bintur Dua Alam-NST 17 Disember 2006'"dan "Rokok Kirai Tembakau Keningau-Wadah Dis 2007 ' menang HSS bagi kategori cerpen manakala dua cerpen Mad Sakiran Haji Sulaiman bertajuk `Tuah Badan-Wadah Dis 2006 ' dan `Gelombang 3S-Jendela Sabah 2007 ' juga turut dipilih sebagai cerpen terbaik daripada 275 cerpen yang disiarkan sepanjang tahun 2006 dan 2007.

Cerpen-cerpen lain yang memenangi Hadiah Sastera Sabah ialah "Azam Sebuah Harapan-Harian Ekspres 19 Feb 2006 " karya Sundukan Kiulu," Tumpas- Harian Ekspres 1 Januari 2006 " karya Ardiana, "Bu' Santah (Masri Judah) Wadah Dis 2007, Di Sebalik Cermin-Wadah Sept 2006" karya Siti Aisyah Mat Saad, "Kerbauku Milikku-Jendela Sabah Ogos 2007 " karya Amil Jaya dan "Contohi Aku-New Sabah Times 27 Ogos 2006" karya Tajuddin Padis.

Sepuluh buah cerpen ini mempunyai empat faktor yang mampu meletakkannya sebagai cerpen yang mempunyai kekuatan dan keupayaan untuk berdiri sebagai karya-karya yang bermutu.

Empat faktor yang menjadi titik penilaian ialah pertama; Kekuatan tema iaitu pesan daripada persoalan yang menyangkut ruang hidup manusia dalam konteks penyampaian nilai, kedua; kekuatan cerita iaitu kesinambungan jalur cerita yang mampu memberikan kesan pemikiran, emosi dan logik,ketiga; Kekuatan bahasa iaitu olahan bahasa yang menarik dan berkesan serta mempunyai nilai estetik dan keempat; kekuatan struktur iaitu watak, plot, latar, teknik, dan corak penulisan yang kemas dan teratur.

Bagi Genre Drama, dua skrip drama terpilih daripada 27 buah skrip drama pentas yang dinilai. Dua skrip drama iaitu "Impian Orang-orang Kecil" karya Tasia Arlina Ismail- Anjung Apresiasi DBPCS 2006 , dan "Kubur" karya Abdul Rahman Ahmad Nafiah-Anjung Apresiasi DBPCS 2006 dipilih sebagai pemenang Hadiah Sastera Sabah kerana dua buah karya itu dinilai sebagai karya yang bersifat sejagat dari segi cerita dan pemikiran , yang dianggap lebih komunikatif sebagai hasil teaterm apabiola dipentaskan dan lebih penting akan terhasil sebagai sebuah pementasan yang teaterikal bentuknya.

Panel penilai juga telah memilih tiga esei sebagai pemenang bagi kategori Esei dan Kritikan. Esei-esi itu bertajuk Kelalagan: Analisis Awal Pascakolonialisme tulisan Jasni Matlani yang tersiar dalam Jendela Sabah Ogos 2006, dan esei karya Julis Mokujal bertajuk " Teknik Pengungkapan: Satu Perbicaraan Terhadap Puisi Jasni Matllani"yang tersiar dalam wadah Dis 2006 dan "Wacana Penentangan Feminisme Terhadap Patriarki: Satu Pembicaraan Karya Mistrine Radin-Jendela
Sabah 2006".

Sementara itu, sepuluh buah puisi terpilih menerima Hadiah Sastera Sabah 2006/2007 daripada sejumlah 1,106 buah puisi yang dinilai.

Puisi-puisi itu ialah "Pulangkan Hayatmu ke Laut" karya Mohd.Zain A.H (Jendela sabah Dis 2007), "Perjalanan di Waktu Petang' karya Soibil Madun (Jendela Sabah Ogos 2007, "Catatan Harian: Menjejak Rumah Peribadi" karya Alipah JN-Jendela Sabah Ogos 2007 Hujan Petang di Kundasang karya Jasni Matlani Mac 2007, "Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai, Anak-Karya Hasyuda Abadi Harian Expres 18 Jun 2007", "Berteduh di Lazuardi Biru" karya Sri Padma-Wadah Dis 2006, "Surat dari Desa Pedalaman," karya Jair Sulai-Wadah Mac 2006, "Menjadi Burung-Burung" Karya NR Rahim-Wadah Mac 2007, "Sesudah Kumiliki Keris Kesedaran" karya Ammi Manja-Wadah Mac 2007 dan "Bukan Untuk Kita" karya Jariah Haji Taha-Jendela sabah Ogos 2006.

Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Sabah itu akan diadakan pada 20 Disember ini di Dewan Besar DBP) Sabah oleh Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima Haji Ahmadshah Abdullah.

Sumber: Kemsas

Ucapan Penghargaan

Saya bersama Adik, Azrul, Zierah dan Isteri


Lebih 300 jemputan hadir seisi keluarga, saya berasa amat bersyukur dan teramat berterima kasih serta amat menghargai. Pertama kerana telah melaksanakan tanggungjawab sebagai ayah untuk anak perempuan saya. Keduanya, dapat merapatkan hubungan silaturrahim dengan warga desa serta saudara mara dan sahabat handai yang datangnya daripada merata tempat dekat dan jauh. Seterusnya memberikan rasa bahagia ahli keluarga saya yang banyak menyalurkan komitmen. Namun saya fikir ia lebih daripada itu selain sebagai sumbangan kekeluargaan. Ayah, emak, adik beradik, adik-adik ipar, ayah dan emak saudara, anak-anak saudara, adik-adik sepupu seterusnya jiran tetangga tanpa mengenal masa dan tenaga membuktikan rasa bersaudara itu amat bermakna daripada segala-gala.

Kenangan telah tercipta bagi keluarga kami dan dalam peribadi seluruh ahli keluarga. Barangkali masing-masing juga menyimpan persepsi yang amat indah dan belajar daripada segala peristiwa manis dan apa juga kekurangan yang terkesan. Memang tiada insan yang lekang daripada masalah dan kekurangan. Sebagai pengalaman sulung bagi saya majlis besar sebuah keluarga besar tentulah meninggalkan kenangan indah yang tidak semudah itu dilupakan. Ini saya kesan tatkala balik ke Kota Kinabalu, emak saya terkedu semasa saya memeluknya. Malah saya fikir beliau telah melakukan yang terbaik untuk saya anak sulungnya dan juga buat isteri serta anak saya, Syahzierah. Keluarga saya amat kecil namun ini tidak bermakna terhambat oleh angka yang kecil kerana apabila seluruh keluarga kami berkampung di rumah besar kami, angkanya telah mencecah 40 orang.

Saya percaya apa yang saya alami juga dialami oleh orang lain. Kehadiran warga desa, saudara mara dan sahabat handai yang jauh dan dekat menggambarkan keakraban dan saling menghargai selain sebagai kelaziman budaya masyarakat berbilang bangsa dan agama. Sahabat-sahabat saya juga telah menyambut undangan saya terutama sekali sahabat karib saya Jasni Yakub yang menceriakan lagi suasana majlis sejak pagi hingga larut malam apabila beliau bertindak sebagai juruacara dibantu oleh anak saudaranya. Abang Mak Konggo juga. Saya tidak dapat melupakannya kerana walaupun jauh sanggup juga datang malah menyajikan lagu dangdut yang memang saya sering mendegar beliau mendendangkannya. Anak-anak buah saya dari Ikatan Penulis Sabah (IPS), ahli-ahli BAHASA yang diketuai Cikgu Ramli Jusoh juga hadir, walaupun tanpa ketua mereka Jasni Matlani yang sedang bermesyuarat PPSB di Kuala Lumpur. Saya cukup gembira menerima seorang demi seorang daripada mereka meskipun terpaksa berjalan kaki lebih 100 meter lantaran terpaksa meletakkan kereta di sepanjang jalan untuk ke rumah kami.

Syukur Alhamdulillah, itulah yang saya sering ucapkan. Begitulah juga yang diungkapkan oleh besan saya Sdr Arun dan Isterinya serta seluruh saudara mara mereka yang turut memeriahkan majli perkahwinan anak mereka. Saya juga bersyukur kerana keluarga saya semakin membesar. Juga sudah mula berjejak di sebelah utara Sabah yang sebelum ini telah merentas Nabawan, Weston, Tenom, Tawau, Labuan dan Bongawan dengan suku bangsa Murut, Berunai, Kadazan, Banjar, Jawa, China dan Sungai.

2.
'Poco-poco' begitu digemari di desa saya. Tak terkira berapa kali JY mengajak atas permintaan hadiri menjejaki rentak lagu tersebut. Begitu asyik sekali. Bahkan saya tidak pernah menyaksikan dua kakak sebelah rumah 'dirasuk' rentak tarian tersebut. Pada saya dan kebanyakan orang juga barangkali bersetuju bahawa tarian ini memerlukan tumpuan dan disiplin, menggerakan setiap langkah begitu teratur, seragam, seiring menjadikan persembahan menerusi tarian beramai-ramai ini menjadi begitu menarik sekali. Tidak sahaja orang-orang dewasa tetapi juga kanak-kanak terpanggil untuk berada di tengah-tengah perkarangan rumah kami.

3.
Tiba-tiba sahaja saya menyanyi lagi 'Oh Fatimah'. Saya suka menyanyia seperti orang lain juga malangnya suara saya kurang sesuai, nafas semput dan pendek kata tiada aura sebagai penyanyi. Begitu pun kita rupanya perlu punya daya sedia supaya tidak 'merah muka' bila dipanggil untuk melakukannya. Sekurang-kurang tahu nada lagu. Berkaraoke bukanlah mudah juga. Namun jika lagu 'Oh Fatimah' atau 'Widuri' serta beberapa buah lagu Ebit G. Ade atau nyanyian kumpulan rock Amuk bolehlah saya bawa. Memang selalunya lari... dalam erti kata tidak sesedap orang yang memang pandai menyanyi. Masa kecil saya pernah dibawa oleh guru saya, Cik gu Ibrahim Mohamed (Raja Guru, seorang penulis) dan belajar menyanyi. Cik gu Ibrahim (atau juga digelar Cikgu Lazim) pandai main gitar. Saya tidak ingat kugiran yang disertainya pada hujung tahun 60-an dulu di kampung saya. Dengan lagu yang saya tahu bertajuk 'Lagu Tiga Kupang'. Hetam saja, saya tidak pernah melupainya. Samalah ketika saya membaca puisi di sebuah panggung wayang yang kini hanya tinggal kenangan. Memang jarang-jarang mendengar Ketua Satu IPS menyanyi... tentulah menjadi ingatan yang lain.

4.
Kehadiran Nadin Haji Salleh, seorang pegawai penting di DBP Cawangan Sabah menyerlahkan semangat saya sebagai tuan rumah. Memangpun beliau juga berasa dari daerah yang sama dan katanya pernah berkempen pilihan raya di kampung saya. Kehadirannya pada saya sudah cukup memadai mewakili seluruh staf DBP Cawangan Sabah. Saya faham lokasi desa dengan ibu kota amat jauh, 100 lebih kilometer. Memang bermakna sekali melihat undangan yang datang dari sejauh itu. Apa lagi jika datangnya dari Tawau, Tenom, Keningau, Kota Belud, Kudat... Berbaloi sebenarnya sesekali menjejaki desa yang begitu selesa dituju dengan jalanraya yang bagus walaupun barangkali ada sesetengah lokasi jalanrayanya tinggi rendah dan turapan aspalnya sekadar ditampal di sana sini.

5.
Orang-orang yang tidak kelihatan ialah ahli-ahli yang berhormat (YB) kami. Tidak apa-apa jika mereka tidak hadir walaupun sepatutnya mereka menyambut undangan rakyat jagaan mereka. Namun begitu pada saya ketidakhadiran mereka bukanlah perkara yang penting, barangkali berbaloi juga disebabkan saya bukan mereka 'amat kenali' selain diperlukan bila mereka perlu, didekati bileamereka mahu mendekati. Itu pun apabila masanya tiba. Masa pilihan raya segalanya dekat, mesra, akrab, berbudi dan seumpamanya. Dan ini lumrah... Tidaklah perlu jauh hati. Akhirnya orang-orang seperti mereka akan mendekati waima orang-orang kecil seperti kami. Orang-orang kecil biasanya menjadi amat bermakna suatu ketika walaupun banyak ketika orang-orang kecil menjadi terlalu kerdil.

Rabu, Disember 10, 2008

Membelah Kabut

1.Seorang telah berkata 'melupakan seseorang dengan membencinya', tapi kata hatiku 'melupakan seseorang dengan menyayanginya'.

2.Ukhuwah insan tak pernah luntur walaupun ada orang memandangnya kabur.

3.Persahabatan itu juga terapi malangnya menjadi api kerana gagal menunjangkan akarnya iaitu kepercayaan.

4.Kehidupan di dunia jambatan antara kebatilan dan keb
enaran. Kebenaran menepis sifat2 angkuh, kesumat dan sombong yang mengagungkan kelemahan fikiran.

5.Banyak berkata bisa membenihkan dosa. Kurang berkata melayarkan buruk sangka. Bersederhana perlu bijaksana.


Isnin, Disember 08, 2008

Persahabatan

Persahabatan menyebabkan kita sering mengingati orang-orang yang dekat di hati walaupun mereka berada pada jarak yang jauh, walaupun di mana mereka berada. Kini telah ada alat yang lebih mengakrabkan, lebih mendekatkan rasa persahabatan itu. Pada bila-bila masa tanpa mengira jarak dan waktu, kita boleh saling bersapaan, saling interaksi memberi dan menerima pesanan sebagai sebuah ingatan yang maha luhur. Pelbagai ucapan memaknakan ingatan itu waima hanya sebaris ayat biasa. Namun yang penting suatu hantaran bererti betapa dekatnya rasa silaturahim. Meskipun ada juga yang sudah melupai kita, memadamkan ingatan-ingatan terhadap sahabat-sahabatnya. Sebagai menghargainya walaupun tidak pasti apakah masih ada ingatan menjelma dalam fikiran, kita tetap meninggalkan ingatan seperti sebelumnya tanpa sedikitpun goyah. Saya amat menghargai kehadiran pesanan-pesanan ringkas para sahabat tanpa mengira usia.

PERLIMBAHAN CINTA

Bagaimana dapat kusisih matahari ketika kubuta, cahaya menenggelamkan kelam detik itu membelah kabut menikmati fana, dengan qiam mengalunkan diam memamah kalimat khusyuk di rimbaNya. Bagaimana dapat kuberbisik jika ingatan telah kering oleh api kesumat, memandang dalam denyut riwayat yang penat memerikan kalimat. Bagaimana dapat kupanah langit yang membawa tasbih yang tak mampu kuhisab, menanti di bumi sebelum membumikan fanaku dalam seru kun faya kun. Bagaimana dapat kupapah ke liku lorong memahami segala kembara lara, mengakar ingatan yang subur laksana ara menyaksikan sunyi sejuta bunyi. Telah sirna sukma, tak mampu kumiliki keupayaan memaknakan betapa debunya wujudku. Ya Rabb, hanya Engkau mendengar dan memahami setiap ungkap senyap hamba-hambaMu, kuserah khusyukku di perlimbahan cintaMu sepenuh jiwa tanpa goyah.


HASYUDA ABADI
Lumadan, Beaufort.
10 zulhijjah 1429H.

Sabtu, Disember 06, 2008

Nilai Kemuliaan

Ibubapa anak menantu, Azrul dan Syahzierah, selepas majlis akad nikah

"Kemuliaan hidup hanya dapat dicapai setelah kita tua. Ketuaan membawa kemuliaan dan tanggungjawab."

Tentu sahaja ungkapan ini sesuatu yang bukan biasa-biasa. Datangnya daripada sahabat saya, Abd Naddin Shaiddin. Kemuliaan dan tanggungjawab, pada saya menjadi pakaian yang paling dihormati menjadikan kedua-dua hal ini ukuran keberadaan dalam sebuah keluarga, misalnya. Ungkapan yang saya anggap amat bermakna ini merupakan responnya selepas memaklumkan puteri saya, Syahzierah selamat diijabkabulkan selepas solat Jumaat kelmarin. Sebagaimana yang dirancang pada 14 Disember depan majlis meraikan pernikahan mereka akan berlangsung di kampung kelahiran - Lumadan, Beaufort.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana majlis pernikahan berjalan dengan teratur. Namun yang paling penting keberadaan kedua-dua belah pihak walaupun lebih ramai daripada pihak lelaki dari Kudat. Sahabat saya JY dan adik ipar saya Tuan Haji Haron Hj Ahmed menjadi saksi pernikahan tersebut. Saya juga menerima ucapan tahniah daripada sahabat-sahabat yang dekat terutama selain Abd Naddin seperti Dinda Sasjira dan Oney Latifah Osman. Terima kasih.

Sama-sama kita mendoakan perkahwinan anak perempuan sulung saya ini menerima rahmat, diberkati, agar dicurahi rezeki serta perpanjangan sehingga ke titik usia di dunia ini.


Khamis, Disember 04, 2008

Rabu, Disember 03, 2008

Hadiah Sastera Sabah

1.
Masyarakat penulis dan sasterawan di Sabah sedang menanti kesimpulan penilaian Hadiah Sastera Sabah 2006-2007, hingga saat ini belum diumumkan secara rasmi. Ada juga maklumat yang sampai di telinga saya tentang para pemenang, kononnya lebih kepada para penulis yang mapan. Malah menurut sumber, ada penerima yang baru dalam sesuatu genre tetapi lebih matang menghasilkan karyanya terutama esei kritikan sastera dan novel remaja. Bagi puisi, khabar itu lagi memaklumkan para penyair tersohor semacam suatu kelahiran semula kerana ramai daripada mereka merupakan penulis muda yang hebat di sekitar tahun 80-an dan 90-an. Saya tidak akan menyebut nama-nama mereka, kebetulan memang ramai yang rapat dan saya kenali. Nantikan sahaja pemaklumannya daripada Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah sebagai sekretariat Hadiah Sastera Sabah.

2.
Baru-baru ini diadakan majlis pertemuan dengan beberapa tokoh sasterawan dari daerah Tuntong Negara Brunei Darussalam di DBP Cawangan Sabah. Mereka juga diraikan dengan majlis makan malam, persembahan kebudayaan dan baca puisi. Lawatan mereka pada asasnya cukup bermakna dalam rangka merapatkan hubungan antara negara, antara budaya serumpun, antara penulis-budayawan-masyarakat setempat dan pertukaran maklumat, karya serta perkhabaran aktviti sastera, bahasa dan budaya di tempat-tempat masing. Pada saya, tiada batas yang menghalang hubungan-hubungan yang disebutkan tadi dilakukan kerana kebetulan Sabah dan Brunei DS berada di pulau yang sama. Tutur bahasa yang serupa. Budaya yang tidak banyak berbeza. Barangkali hanya paspot sahaja yang membatasi pergerakan. Saya fikir inipun tidak menyebabkan pertukaran maklumat terbantut. Kita sentiasa menggunakan apa juga saluran yang kita miliki walaupun bertemuan empat mata secara fizikalnya lebih sempurna. Betullah seperti dikatakan oleh Encik Zubaidi Abas tentang lawatan balas yang diutarakan rombongan tersebut yang tidak boleh dijanjikan saat ini. Namun ramai sependapat masih luas terbentang ruang saling mengakrabi melalui program-program yang bakal dilaksanakan. Jalur pertemuan sentiasa diungkayahkan seperti Dialog Borneo-Kalimantan, Pertemuan Sasterawan, Dialog Teluk di samping aktiviti-aktiviti sastera dan bahasa yang berkala sifatnya. Malah yang paling terkini menerusi sebuah festival sastera, budaya dan perpaduan anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang bakal dinaungi kerajaan Pusat dan Negeri serta badan-badan penulis tempatan. Yang Dipertua BAHASA, Jasni Matlani membuka pintu untuk wakil-wakil atau badan-badan berkaitan yang berminat menyertai festival berkenaan yang melibatkan negara-negara jiran seperti Brunei DS, Indonesia dan Singapura.

3.
Kadang-kadang saya terfikir bagaimana suasana tidak dapat mengubah sesuatu. Walaupun dunia terus berkembang dengan segala macam bentuk, ragam, rentak yang boleh diterima umum namun ada kalanya perkembangan itu tidak dapat mengubah sikap seseorang. Mereka merasa telah merdeka, telah menikmati makna kemerdekaan, merasa berkebolehan terhadap banyak perkara, mereka telah mampu berdiri di hadapan dunia dengan bangganya - namun semua itu tidak memberikan kesan terhadap sikap yang sepatutnya turut berubah.

Sebagai Ayah Entah Apakah Yang Pernah Dihargai, Anak

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
dulu membelai manja menjadi majnunnya malah seawal bayi merah, mengawal waktunya, sering juga berjaga waktu matahari tiba sinar pertamanya memberikan cahaya, sederap langkah sebelum itu merangkak di bawah asuhan dan pandai berjalan, berlari sendiri

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
melebihi hayat seorang ibu, ada makna akrab yang mendekatkan naluri kasih lebih daripada insani lebih daripada segalanya, waktu-waktu berlalu dan berarus tanpa pernah berkata apa atau memandang silih berganti hari-hari yang membesarkan melihat suntimu kini lebih daripada itu, bijak memilih pilihan bau cuaca dan kegemaran pada mata seorang anak dara

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
menyalur halus kasih sayang biar apa pun yang harus datang dan menghalang, malang atau walang, derita atau ria suka bahkan menyimpan rahsia peribadi, memahami raung ruang remaja, mengerti malah erti cinta biarpun cuma anak-anak hingusan yang baru membesar didewasakan bacaan atau tontonan zaman

sebagai ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak
memandang ada duka yang bertamu di dalamnya, nestapa api yang membakar perih pedih pilu luluh! ungkapan apa lagi, anak suara ini hanya lagu-lagu yang didendangkan tanpa makna bukan sebuah gerakan kasih sayang yang luhur sambil hanya melihat celoteh sentiasa saja terjadi dan terjadi. dan sajak ini terjadi diabadikan di sini dengan derai air mata

sebagai ayah entah apakah yang pernah menghargainya, anak!


:: Tersiar di Akhbar Harian Ekpress, Sabah
:: Salah sebuah puisi yang menerima Hadiah Sastera Sabah 2006-2007
:: Klik ulasan puisi di sini.

Isnin, Disember 01, 2008

Insan Seni Itu Cepat 'Mengaus'

1.
Tentu sahaja bunyinya tidak sama, maksud saya persepsi tentang rasa. Memilih jalan sendiri, diami dunia diri sendiri tanpa memerlukan sesiapa pun. Namun masih juga perlu orang lain sebelum 'ketiadaan' terjadi, sebagai sebuah titik. Selepas inilah baru sepatutnya tak akan ada sesiapa perlu ambil tahu ketika 'ketiadaan' benar-benar ada.

2.
Saya membaca puisi-puisi Utusan Borneo keluaran Isnin (1 Disember 2008) bermula dari bawah. Maha Sabah menulis puisi berjudul 'Pelantar Ekonomi', disusuli puisi Along Nor Hakim (Nilai dan Erti yang Tidak berharga), Hajah Rokiah Hj Abdul Latif (Perjalanan Ini) hinggalah kepada bait-bait pantun penulis veteran kami Hajah Dayang Salmah Salam (Gurindam Jiwa).

Citarasa agak berbeza terhadap puisi-puisi yang disajikan dari segi bentuk dan persembahan, begitu juga dalam pemilihan diksi yang 'kurang menyengat'. Tanpa bermaksud mengulas puisi di ruangan ini, pun begitu makna ataupun intipati puisi-puisi yang disiarkan minggu ini tidak patut dipandang sepintas lalu, perlu direnung dan dihayati maksud yang tersirat. Biar apapun, sesuatu karya itu tetap sarat dengan makna yang tersendiri.

Saya terhenti seketika apabila membaca 5 bait pantun Hajah Dayang Salmah Salam (Ibu Dg Salmah) insan seni yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas, yang pada hemat saya menjelaskan isi hatinya yang begitu nanar oleh masa-masa di usia yang senja. Mengenali penyair ini, saya tahu dan faham apabila segala pergerakan semakin dihadkan oleh keadaan (matanya yang terjejas terutamanya), merasakan bahawa dunia sudah melupakan. Dunia sudah tidak mempedulikan. Dunia juga seakan-akan menyediakan sebuah takdir diri inilah yang paling menderita. Begini bila merasakan kesendirian yang sebenarnya. Padahal tidak begitu kerana ada Dia yang lebih dekat dengan kita. Bagi insan seni yang maha halus jiwanya, yang begitu sensitif dan cepat 'mengaus' barangkali rasa-rasa sedemikian menjadi pilihan sama ada sengaja atau sebaliknya.

Sesungguhnya dunia seni dengan dunia realiti mempunyai batas perbezaan bagi citarasa seorang insan seni. Walaupun dikelilingi anak-anak, cucu dan cicit yang ramai, dia tidak dapat menikmati keindahan dunia seninya yang dibayangi para sasterawan dan penikmat karya sastera tulisannya. Ketika sehat semuanya hebat, ketika tenat tak siapa yang melihat. Laras pertuturan tentu jauh berbeza; antara anak-anak dengan dirinya, antara dirinya dengan cucu dan cicitnya. Mereka tentu amat jauh untuk mengenali apatah lagi mendekati dunia bahasa pantun, syair, gurindam, sajak apatah lagi untuk memahami makna diksi sebuah puisi yang sarat dengan kiasan serta maksud berlapis atau sebuah novel yang kaya dengan falsafah dan sebagainya.

Teman-teman dan sahabat handainya ialah para sasterawan. Dunianya dunia sasterawan. Dan kini setelah jalan penghubungnya sudah semakin kabur, telah merasakan bahawa jambatan ke kesinambungan percakapan seninya kian sirna - hanyalah kata-kata mampu menyuarakan rasa hatinya. Puisi, pantun, cerpen dan kenangan-kenangan kini lebih mengakrabi. Selebihnya harapan dan doa-doa. Seperti doa-doa yang sering kami panjatkan untuknya. Tiada kata secantik bahasa, tiada ingatan seakrab persahabatan yang tulen dan agung.

3.
Saya merasakan apa yang Ibu Dayang Salmah rasakan ketika ini dahkan selamanya. Mari kita sama-sama hayati pantun-pantun beliau yang terkini, saya fikir:

Sungai Papar membelah kota,
Perahu nelayan mudik ke hulu;
Sudah lama saya menderita,
Tiada teman dan menteri ambil tahu.

Laju-laju perahuku laju,
Laju sampai ke Pulau Gaya;
Biar lupa kain dan baju,
Janganla lupa kepada saya.

Ketam padi di sawah Mak Yah,
Sayang parangku tidak berulu;
Sudah lama saya tidak dapat berkarya,
Jiwaku tidak seriang dahulu.

Naik kereta menuju kota,
Singgah Kinarut membeli sayur;
Sejaku diserang penyakit mata,
Kini sudah mengjadi kabur.

Sorong papan tarik papan,
Papan ditarik jatuh di paya;
Mungkin sudah ditakdir Tuhan,
Nasib badan apakan daya.

(Utusan Borneo, 1 Disember 2008)


5 buah Sajak

(1)
Pedang
-kepada diri

kalau sekali ini kau tertusuk pedang
apakah khabar ini tersebar lagi di angkasa
dan memberitahumu sebuah nestapa menyerupai
detak insaf yang tergema di anjung hijrah.


(2)
Di Mata Pedang

apakala telah tiba di puncak jejak kau hantar selendang yang bertukar kepada pedang. bermulalah senandung ramah berubah rima sebagai gumam meredah gelombang pedoman. di manakah pedoman itu, katamu. tidak selendang tapi di mata pedang, ujarku. pedoman ialah tajam pedang menusukkan hikmah menzahir makna yang berhayat di matanya. selendang telah membebat hikmah bukan luka tajam pedang kerana selama kau tau selendang dan pedang tersimpan di anjung kasih sayang, sekali terluka masih tertatang lembut perlindungan.

(3)
Sirna

apabila semua sirna kau tahu makna
suatu ketiadaan berlaku tetapi cahaya
telah menyembunyikan keadaan itu kau
tetap memandangnya dengan jelas selepas
bebas dari alam butamu.


(4)
Gemersik Bisik

kaca-kaca yang kutemui malam ini rupanya cermin yang pecah yang tak sanggup memandang diriku kepada titik sebuah perjalanan panjang. kukumpul kaca-kaca yang berkecai itu dalam resah yang tak terkata dalam derita menaakul citra yang tak tersibak hijabnya. kudengar gemersik bisik sesuatu yang datang menatang kekuatan yang enggan memautkan semula serpihan kaca hingga terungkap ucap silap yang disait-siat pedang hukuman malu memandang wajah yang didewasakan pengalaman. kuberteleku memahami citra di hadapan damai malam menyimpan kaca-kaca di dasar pandangan paling dalam.


(5)
Hanya Dia

yang mendengarmu ialah suara
yang melihatmu ialah pandang
yang menyapamu ialah diam
yang mengingatmu ialah detik
yang memulangkanmu ialah uzlah
yang mengqiamkanmu ialah nur
yang menitikkanku hanya Dia.

Ahad, November 30, 2008

Saat Seperti Ini Tentang Sebuah Puisi

Siapakah yang termakan cili ... teringat cetus erti peribahasa lama yang relevan sekiranya wujud nilai sahsiah diri yang baik tanpa membiarkan setiap aksara dan abjad dipersatu memancarkan makna, meskipun lebih diam dan mendalam. Sebuah puisi sentiasa hidup dengan tanggungjawab kerana apapun juga yang ingin dipersembahkan ia bukan sekadar luahan rasa bahkan mengobjekkan sesuatu agar difahami, dimengerti, dinikmati dan akhirnya apakah sebuah makna itu memberikan 'tusukan' yang tepat. Tentu sahaja sebuah kepuasan tercerna. Puisi juga merupakan kepuasan. Meleraikan kekusutan. Juga, sebuah terapi yang memberikan nikmat. Soalnya, apakah akan berakhir di situ?

Pagi ini saya menghayati sebuah puisi berjudul 'Geluk Rasa' tersiar di media tempatan (Harian Ekspress - Kota Kinabalu, Sabah). Penyairnya terlalu dekat dalam kehidupan yang agak sulit untuk dikongsikan di sini, di saat ini. Jelasnya puisi ini bagaikan sebuah tikaman, bagaikan busur panah yang menembusi ruang kalbu secepat kilat. Namun bagi penyairnya, itulah hakikatnya seperti apa yang dialaminya, tentunya - pedih, kecewa, lara dan rasa-rasa yang seumpamanya.

Tidak mudah melupakan setiap bait yang diungkapkan.

2.
Belajar untuk menghargai. Terkenang ramai orang yang pernah datang dan berusaha untuk menghargai. Hati budi, rupanya bukan semudah mengenal sesuatu secara fizikal. Citra diri tidak mungkin sama dengan sesiapa pun. Nilai kenal lebih banyak pada luaran sambil kehalusan dalaman hanyalah terletak kepada 'kebarangkalian' dan 'kebetulan'. Tidak semua yang ditemui memiliki kesempurnaan yang diperlukan. Waima yang terlalu dekat, masih juga wujud lompang hingga terdorong kepada gambaran yang kabur, keyakinan yang rendah, prasangka yang menggunung.

Akhirnya, merelakan saat-saat indah itu berlalu dan berlalu hingga sampai ke suatu titik yang tiada siapa berani merubahnya kecuali Yang Maha Agung.

3.
Sebuah azam terus terbina. Mudah-mudahan segala langkah dan gerak fikir lahir pada akal zahir dan rahsia mengikut jalan-jalan yang lurus dan kudus. Masa lalu menjadi pedoman yang tidak diingkari sebagai pemuka ke arah perjalanan yang lebih indah dan bahagia. Keindahan dan Kebahagaiaan yang hakiki.

4.
Saat seperti ini...

Sabtu, November 29, 2008

Keutamaan 10 Hari Pertama Bulan Zulhijah

“Demi Fajar! Dan malam yang sepuluh! Dan yang genap dan yang ganjil!” [89:1-3]

Allah SWT telah memberkati Jumaat sebagai hari yang terbaik dalam seminggu, Ramadan sebagai bulan terbaik dalam setahun, dan 10 hari terakhirnya sebagai hari-hari terbaik di bulan Ramadan. Serupa dengan hal itu Dia juga telah menyatakan sepuluh hari pertama di bulan Zulhijah sebagai masa yang penuh dengan kebaikan.

Untuk membezakannya, Allah SWT memanifestasikan kesucian rentang waktu “Sepuluh Malam” ini dalam Alquran. Menurut sejumlah ulama dalam Islam, ‘Sepuluh Malam’ merujuk pada sepuluh malam terakhir di bulan Ramadan atau sepuluh hari pertama di bulan Muharam atau lima hari ganjil terakhir di bulan Ramadan, yang juga termasuk, Malam Kemuliaan, Kedua Malam Idulfitri dan Iduladha, Mi’raj, ‘Arafah, dan Malam Pertengahan (Nisfu) Syaaban. Tetapi sebahagian besar ulama itu percaya bahawa ’Sepuluh Malam’ itu merujuk pada 10 malam pertama di bulan Zulhijah. Alasannya kerana haji dilaksanakan selama waktu tersebut.

Ditambah lagi dengan adanya hari ‘Arafah yang jatuh pada tanggal 9 Zulhijah. Sepuluh hari pertama di bulan Zulhijah adalah hari-hari yang terpenting dalam setahun. Dan hari ‘Arafah adalah hari yang terpenting di antara yang sepuluh itu. Oleh sebab itu ia merupakan hari terpenting dalam setahun. Allah SWT memberikan kemuliaan terbesar kepada hamba-Nya dengan jalan mengampuni mereka. Kebahagiaan di Akhirat sangat dipengaruhi oleh pencarian terhadap ampunan Allah SWT, hari ‘Arafah adalah hari pengampunan. Rasulullah SAW bersabda bahawa Muslim yang berpuasa di hari ‘Arafah akan diampuni dosa-dosanya sepanjang tahun.

Selain itu masih ada lagi hari yang baik di bulan ini, iaitu Hari Raya Korban atau Iduladha yang jatuh pada 10 Zulhijah. Ini adalah hari di mana Nabi Ibrahim AS diuji untuk mengorbankan putera yang paling dicintainya, Nabi Ismail AS sehingga setiap Muslim dianjurkan untuk memperingati peristiwa ini dan mengambil hikmahnya.

Rasulullah SAW mengatakan bahawa sepuluh hari pertama ini adalah waktu yang mustajab untuk berdoa, memohon, solat dan ibadah lainnya. Dilaporkan dari Abu Hurayrah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada hari-hari lain yang lebih disukai Allah SWT daripada 10 hari pertama di bulan Zulhijah.” Puasa di siang harinya adalah sama dengan puasa setahun penuh, dan ibadah di malam harinya setara dengan ibadah di malam Laylat al-Qadar. (Tirmidzi dan Ibnu Majah).

‘Abd Allah ibn Mas’ud RA berkata, “Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada hari lain dalam setahun di mana suatu perbuatan baik mempunyai nilai yang sangat tinggi dibandingkan dengan hari yang sepuluh (yakni 10 hari pertama di bulan Zulhijah).” Seseorang bertanya, “Bagaimana dengan berjihad di jalan Allah SWT?” Beliau menjawab, “Bahkan dibandingkan jihad di jalan Allah SWT.” Haytami berkata, “Tabarani meriwayatkan hal itu dalam al-Mu’jam al-Kabir dan semua perawi hadis dalam rantai transmisinya adalah perawi yang sahih.

Juga diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada hari-hari yang lebih disukai oleh Allah SWT selain di 10 hari pertama bulan Zulhijah. Jadi dalam periode ini perbanyaklah tasbih (Subhanallah), tahlil (Laa Ilaha Ilallah), tahmid (Alhamdulillah), dan takbir (Allahu Akbar).” (Tabarani).

Hazrat Abu Qatadah al-Ansari RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai puasa di hari ‘Arafah (9 Zulhijah). Beliau bersabda, “Puasa itu bisa menebus dosa-dosa kecil di tahun sebelumnya dan tahun yang akan datang.” (Muslim) Puasa ini adalah Mustahab, tidak berdosa jika tidak melakukannya.

Juga diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang tetap terjaga dan melakukan ibadah di malam Idulfitri dan Iduladha, hatinya tidak akan mati ketika hati orang-orang yang lain mati.” (Targhiib)

Hazrat Muadz bin Jabal RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Jannah (syurga) adalah wajib bagi siapa yang tetap terjaga dengan niat beribadah pada malam 8, 9, dan 10 Zulhijah, malam Idulfitri dan malam Nisfu Syaaban.” (Targhiib)

Rasulullah SAW bersabda, “Siapapun yang berpuasa pada tanggal 1 Zulhijah seolah-olah ia ikut dalam Jihad di jalan Allah SWT selama 2,000 tahun tanpa istirehat sedikit pun. Bagi yang berpuasa di hari kedua seolah-olah ia telah beribadah kepada Allah SWT selama 2,000 tahun dan puasa di hari ketiga seolah-olah ia telah memerdekakan 3,000 budak di masa Nabi Ismail AS. Untuk puasa di hari keempat ia menerima ganjaran sama dengan 400 tahun ibadah. Untuk hari kelima ganjarannya setara dengan memberikan pakaian kepada 5,000 orang yang telanjang, puasa di hari ke-6 setara dengan ganjaran bagi 6,000 syuhada dan puasa di hari ketujuh, semua pintu di ketujuh neraka menjadi haram baginya dan untuk puasa di hari kedelapan, seluruh pintu syurga akan dibuka baginya.” Dalam riwayat yang lain disebutkan bahawa puasa pada hari pertama Zulhijah bagaikan telah mengkhatamkan Alquran sebanyak 36,000 kali.

Catatan: puasa-puasa tersebut adalah Mustahab, tidak ada keharusan untuk melakukannya. Selain itu kita juga dilarang berpuasa pada hari Tasyrik (hari ke-11, 12, dan 13 bulan Zulhijah) sebagaimana `Aisyah RA dan Ibnu `Umar RA meriwayatkan bahawa tidak seorang pun diperbolehkan berpuasa pada hari Tasyrik, kecuali mereka yang tidak mampu berkorban.
Sumber: NUR SUFI ILAHI

Jumaat, November 28, 2008

Dari Asnan ke dunia fana

Asnan Ismail, dia segera menghampiri saya barusan solat fardu Jumaat tengah hari tadi. Selepas bertanya khabar tentu sahaja dia akan bertanya tentang hal-hal penulisan dan aktiviti. Seperti kawan-kawan yang lain, yang tidak kerap berjumpa. Asnan juga dulunya amat rajin menulis sajak di media. Dia sebaris antara penulis paling prolifik, sektiar 80-an begitu memang ramai penulis yang baik antara yang terbaik. Objek seorang Asnan itu merefleksikan ingatan-ingatan era yang saya sebutkan, bagaimana selama sedekad tumbuh bagai rumput yang diberi baja padahal bajanya hanyalah dorongan-dorongan antara kawan dan kekerapan aktiviti yang dilaksanakan. Persatuan kesenian begitu menyerlah. Teater dan tari, begitu memberangsangkan serta menarik hati anak-anak mudah sebaya saya ketika itu. Penulis hadir seiring dengan aktivitis teater dan tari serta kesenian yang lain. Tidak begitu serius, kerana tidak ada badan penulis yang khusus saat itu. Kecuali apabila Badan Bahasa Sabah aktif semula pada pertengahan 80-an dan lahirnya Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada tahun 1990. Dan hingga kini dunia penulisan sentiasa menjadi fokus. Begitu hebat dunia penulisan ia tetap berhadapan dengan pelbagai hadangan dan cabaran. Terutama ketika membabitkan badan-badan penulis yang begitu memerlukan sokongan serta bantuan untuk menggerakan aktiviti berkaitan. Badan-badan penulis ini lebih bersifat eksklusif dalam pengertian ia disertai mereka yang memang mempunyai keterselahan bakat dalam dunia persuratan. Badan-badan kesenian dulu agak berbeza kerana ahli-ahli boleh memilih samada seni tari, seni teater, seni persuaratan, seni muzik dan seterusnya. Apabila Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukar atau nama yang lebih mesra bagi penggiat seni - KKBS, dipecahkan menjadi dua lembaga (Lembaga Sukan dan Lembaga Kebudayaan) di samping sebuah kementerian yang bertambah cabangnya seperti pelancongan dan alam sekitar, aktiviti seni hanya tampak kepada makna 'seni' yang sempit yakni bila menyebut seni ia lebih tertumpu kepada seni tari dan muzik (baca: tradisi). Dari segi pendanaan bidang tari dan muzik tradisi lebih terserlah berbanding seni persuratan. Selama ini kita tidak tahu sama ada wujud pemahaman yang jitu tentang seni persuratan. Apakah lombong emas kepada pelancongan itu hanya pada seni tari, muzik dan busana etnik. Apakah ada kesedaran tentang sejarah atau intipati budaya etnik dari sudut sastera dan bahasa? Atau menerima seadanya lantaran lombong emas tidak mungkin begitu mudah berbanding penampilan tarian dan keasyikan muzik yang dipertunjukkan kepada orang asing, antara aset utama pendapatan negara.

Perjuangan menempatkan dunia persuratan telah berlangsung sekian lama, bagaimana memartabtkan sastera etnik sebagai bahagian daripada sastera kebangsaan, yang telah banyak mengorbankan kepentingan setempat. Apakah hujahan para pejuang ini tidak seteguh para pejuang ekonomi yang lebih melebatkan keuntungan fizikal berbandingan spritual. Padahal ada ketikanya dunia seni tempatan (baca: Sabah) telah dicercamerbakan oleh kepelbagaian literasi terhadap nilai majmuk masyarakatnya. Contoh, tarian limbai ditarikan oleh penari sumazau, penari magunatip menarikan tarian daling-daling dan sebagainya. Orang luar tentu tidak sensitif tentang perkara ini. Mereka lebih mementingkan pancawarna yang ada di hadapan mereka, yang barangkali tidak pernah mereka lihat atau memang tidak ada di tempat mereka. Barangkali juga inilah yang disebut kreativiti. Saya secara peribadi sejak sekian lama tidak bersetuju tentang 'rampaian' kesenian etnik di Malaysia.
2.
2008 telah semakin menipis. Memang terlalu banyak peristiwa yang terjadi, yang tersisa dengan ingatan yang amat mendalam, sama ada secara peribadi mahupun berbentuk kumpulan. Barangkali baik juga kita pusingkan semula ingatan sepajang 11 bulan yang lalu, apa yang telah kita lakukan, hasilnya dan kesannya dalam kehidupan, ataupun tentu ada yang tidak begitu disenangi kerana kesasar daripada landasan yang terbentang. Mungkin juga apa yang diharapkan hanya menambah kemelut dalam fikiran sehingga sedikit pun tidak memberikan pulangan makna. Meskipun demikian, lazimnya kehidupan tidak mungkin segalanya putih bersih dan tidak semuanya pula hitam merugikan. Saatnya, kita merenung semula, bermuhasabah, tidak mengapa biar setiap hujung tahun inilah yang kita patut lakukan. Perulangan dan perulangan, mungkin ada yang ingin melupakan perulangan perulangan itu, ada yang ingin terus mempelajaran perkara-perkara baru walaupun ia berulang. Setidak-tidaknya ada sesuatu yang dipelajari. Ambil yang jernih buang yang keruh, yang baik dijadikan teladan, yang tidak baik jadikan landasan.

3.
Ada airmata yang mengalir. Dan saya amat merasakan bagaimana degup jantung insan yang menitiskan airmatanya di hadapan saya. Apakah demikian besar dosa saya kepadanya? Namun pada sisi yang lain saya sudah kembali ke dalam diri sendiri dan azam ini terus terpelihara sampai bila-bila. Saya pulang untuk memperjuangkan jati diri insan yang tidak pernah kemarau oleh cabaran, dugaan dan pancaroba antara manusia. Jika ada yang bertanya, tentulah dunia ini begitu misteri dan kehidupan di dalamnya cukup rahsia. Tiada siapa yang sunyi daripada mengharungi kemisterian dan kerahsaiaan kehidupan dunia fana ini. Hanya Dia sahaja Yang Maha Tahu.

Khamis, November 27, 2008

Bangun dengan Keberanian

Hari ini Khamis yang penting kepada puteri saya yang bongsu, kerana hari ulangtahunnya yang ke-13. Adik sudah remaja. Meskipun saat ini dia tidak ada di biliknya kerana bercuti di kampung, sebenarnya saya telah mencium pipinya kelmarin. Kelmarin saya tiba-tiba bercuti kecemasan untuk mengikuti Kursus Umrah di Pekan Beaufort, rupanya kebetulan itu juga memberikan kesempatan untuk menemui Adik, di samping mama dan juga bapa di kampung. Moga Adik diberikan wajah kalbu yang menjadikannya lebih matang dalam usia yang sedang berkembang. Adik ternyata anak yang manja, anak bongsu kebanyakannya begitu. Dan Adik juga sudah pantai merapi rumah dan juga menyediakan juadah adik-adik sepupunya semasa emak saudaranya bekerja waktu siang. Saat ini saya memang rindu dan saya menghantar catatan selamat kepadanya selepas jam 12 semalam.
2.
Semalam keluar minum bersama Ailin Nor dan JM di KK. Kad undangan perkahwinan anak perempuan saya baru siap dicetak oleh JM. Kad itu tidak penting dalam catatan ini tetapi percakapan kami tentang Dialog Teluk yang menarik fikiran saya. Beberapa peristiwa Dialog Teluk di Wilayah Persekutuan Labuan itu telahpun kedengaran tetapi cerita kami semalam tentang seorang penulis wanita berusia yang mengambil (sebenarnya mencuri) secara sedar puisi penyair Jair Sulai... kemudian tentang rasa kurang senang Jair untuk mengambil tindakan dihalang. Tidak mengapalah, penciplak itu pun sudah tua (saya telah menggambarkan bagaimana reaksi 'makcik' tu saat diketahui 'puisi'nya itu tidak asli). Kesian dia. Dalam kes ini, sudah tentu tiada siapa dapat mengesan berlakunya pencurian karya terutama sekali sebelum manuskrip antologi Lambaian Teluk itu diterbitkan. Individu yang wajar bertanggungjawab ialah si pencuri karya itu. Beliau perlu meminta maaf dan mengeluarkan karya yang telah terbit itu. Jika tidak antologi puisi itu tidak mungkin memberikan sebarang makna kepada dialog berkenaan dan wajar sekali dianggap ia tidak wujud.
3.
Sama ada namaya bermula dengan 'Majlis' atau 'Lembaga' merujuk kepada cadangan penubuhan agensi bagi menyelaras aktiviti sastera di negeri Sabah, apa yang penting ialah penyelarasan aktiviti tidak bertindih dengan aktiviti-aktiviti sedia ada. Kerana itu juga, penubuhan bagai mana-mana agensi yang penting begini tidak berlaku dalam masa sehari dua, sebulan dua; tertakluk kepada sejauh mana kesungguhan ataupun komitmen pihak-pihak yang berkaitan. Fokus mesti jelas di mana fikiran berjalan seiring dengan pandangan-pandangan yang dimurnikan. Barangkali kelihatannya payah tapi tidak parah, kerana bila ada usaha sentiasa akan ada jalan kejayaan. Bila mampu membuka sedikit demi sedikit minda positif insyallah akan terbuka luas jalan yang diharapkan untuk membangunkan idealisme para pejuang yang bangun dengan keberanian.

Selasa, November 25, 2008

Mendapatkan Jalan Kebahagiaan

1.
Kehidupan ini perulangan perulangan, itu yang pernah saya katakan dalam catatan kepada Abd Naddin pertama kali. Saya bahagia dengan ungkapan itu. Sejauh mana benar betulnya kita boleh sama-sama telusuri hari-hari yang berlari.

2.
Kenangan, entah sudah berapa kenangan telah tercipta, jika bukan diinginkan pun kenangan bakal dicipta dan hanya dinamakan kenangan setelah ia berlalu dan masa kini menjadi layar yang menghidupkannya. Saya berkata, kenangan adalah kelmarin yang hidup hari ini. Saya pernah katakan ini kepada seseorang yang banyak mempengaruhi. Saya katakan itu lagi kepada anak perempuan saya yang bakal mengharungi hari-hari 'besar'nya, dan dia ternyata bingung walaupun berkali-kali saya katakan dan menjelaskan. Apapun, yang jelas kenangan itu sesuatu yang wujud tanpa kelihatan dan dinikmati meski perih walaupun ada saatnya bahagia.

3.
Saya menjadi begitu haru setelah membaca sebuah sajak adik dan sahabat baik saya JY petang tadi lewat blognya. Ada air mata yang mengalir di kalbu, saya teringatkan peristiwa-peristiwa pedih yang pernah diharunginya dan juga saat-saat manis yang pernah diceritakannya. Barangkali semua yang pedih itu telah bernoktah namun tiada apa yang boleh menahan jika ada waktu yang lain ia datang juga. Lantaran sajak itu begitu mengesankan ingatan-ingatan masa lalu saya turut menyisipkannya dalam blog ini:

KASIH TELUK RINDU

Mengenang pertautan kasih diteluk rindu
mengingati kau yang sentiasa bersama
tak lenyap walau sesaat
waktu yang remaja

adaku adalah adamu
tiadaku adalah tiadamu
ada kita adalah tanda
tiada kita adalah pusara!

diteluk rindu telah kurasai angin
kudengari nyanyi pohonan rhu
dipantai waktu
kawanan burung melagukan syair
teluk persalaman yang dalam
memanjang pantai perkasihan
dari Kimanis ke Teluk Brunei

pantai teluk rindu yang memutih
kita bersama memakna teriak ombak
kita bersama mentafsir garis air
kita bersama menghala arah tuju
rindu yang satu

JY
Putera Jaya Telipok
5.30 pagi @ 18 Nov. 2001





----------------
Now playing: Nat King Cole - Love
via FoxyTunes

Cerita Bantal Buruk dan Bapa

1.
Isteri saya membebel. Katanya, ini 'bantal buruk' jangan lupa! Bukan apa, rupanya yang dimaksudkannya 'bantal buruk' tu, kamera saya. Dia merujuk gelaran itu kerana ke sana ke mari benda itulah teman saya sekarang. Pantang melihat objek-objek ganjil dan jarang-jarang dilihat termasuklah imej-imej yang saya senangi seperti bunga-bunga dan awan.

2.
Hanya tinggal kurang 3 minggu, saya akan menerima menantu. Memang merasai bahang kesibukan. Tapi yang lebih sibuk ialah emak saya dan juga adik ipar saya di kampung. Kebetulan majlis persandingan anak perempuan saya di kampung, di rumah kami. Saya amat puji adik ipar yang bertugas sebagai guru itu. Orangnya memang rajin juga merupakan seorang pekebun yang amat gigih. Di belakang rumah kami dulu adalah kebun getah; itulah sumber pencarian bapa membesarkan kami 6 beradik selain emak menjual kuih dan soto di gerai mereka. Kini kawasan ladang getah itu telah berganti wajah dengan sawit. Adik iparlah yang menggantikan tanaman itu apabila harga sawit pun memuaskan dan kebetulan pokok getah yang dulu itu sudah tidak 'bersusu' lagi.

Mudah-mudahan majlis persandingan anak gadis saya yang sulung itu berjalan dengan lancar. Insyaallah pada ahad, 14 Disember bersamaan 16 Zulhijjah 1429, sahabat handai diundang hadir.

3.
Saya senang sekali apabila sahabat baik saya JY sudah membina blognya. Nah, JY punya idealisme tersendiri. Beberapa minggu yang lalu Abd Naddin juga melakukan hal yang sama. Saya merasa kehidupan ini cukup bermakna apabila menikmati buah fikiran mereka berdua sebagaimana pemikiran-pemikiran sahabat-sahabat yang lain juga. Memang ada kalanya membaca catatan pengalaman orang lain memerikan lagi kehidupan ini. Setidak-tidaknya membuka dimensi ruang fikir yang baru sebagai pendorong baru.

4.
Teringatkan bapa. Bila adik perempuan yang bekerja sebagai Ketua Jururawat di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu memberitahu hasil pemeriksaan doktor 'kemungkinan' bapa mengidap kanser di peha, saya tergamam juga. Kelmarin bapa dibawa ke klinik swasta untuk melakukan imbasan pada ketumbuhan di peha kanannya. Kasihan bapa.

5.
Saya tetap mengingatkan Pak Shuhaibun, Pak Amil Jaya dan Babu Dayang Salmah yang seusia dengan bapa.

Antara ayat-ayat sunyi

1.
Tidak mudah melupakan sesuatu yang telah abadi bersemi dalam sanubari. Satu demi satu telah tiba dan akan tiba pada saat-saat yang berdetik itu terulit pelbagai imbau kenangan. Kenangan adalah kelmarin yang hidup hari ini. Inilah ungkapan yang diucap dalam diam yang amat dalam. Sebuah puisi tak pernah menghentikan pengalaman-pengalaman yang berlalu seperti mengalirnya darah, berdegupnya jantung dan akar fikir yang menjalar subur, mendambakan sebuah arah ke aras teratas. Dan inilah ayat-ayat sunyi yang sering menyapa perjalanan-perjalanan tersisa.

2.
Tidak mudah melupakannya walaupun diminta untuk itu.

3.
Kau tak pernah memahami mengapa sering terjadi duka menjadi riwayat peristiwa berulang dan berulang detik demi detik menyatukan gumam yang tersaring di halkum tanpa bunyi yang memberi erti saat diberitahu keberangkatan terjadi juga kau hanya mengetahui erti duka memandang jeritan sukma bersahut di celah danau rahsia rasa sekelilingmu menjelmakan bayang-bayang angan yang semakin tidak datang selain menunggu cuaca baru menyingkap hijab menyembunyikan segala segara makna.

4.
Melihatmu, Duka.

5.
Jangan lakukan lagi
meski pejam mata
sengaja saja melihatmu
ketawa,duka!