ABSTRAK
MAKALAH ini akan membincangkan peranan persuratan Islami dalam memperkukuh integrasi Masyarakat Madani. Istilah madani buat pertama kalinya ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1993 hingga tahun 1998, mengungkapkannya dalam Simposium Nasional sempena Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia pada 26 September 1995. Namun begitu, istilah tersebut telah wujud berabad lamanya, lebih lama sebelum wujudnya Malaysia dalam bentuknya yang sekarang. Dalam konteks integrasi masyarakat majmuk di negeri ini, salah satu tumpuan yang boleh diperkatakan ialah bagaimana dunia persuratan Islami mampu dikaitkan dalam jati diri masyarakat. Salah satunya adalah usaha yang lebih jauh bagaimana pendidikan dijadikan sasaran utama memahamkan masyarakat. Sasaran ini amat perlu didahulukan agar sumbangan yang tulus dan benar lahir untuk menjadi tonggak penting. Berpandukan kepada pemikiran-pemikiran tokoh persuratan Islami kita dapat merumuskan kepentingan tatakelola diri setiap individu dalam masyarakat memperkasakan semangat madani, ketamadunan sebagai faktor asasi punca kesedaran atau punca revolusi kebudayaan ini iaitu penjelasan rasional mengenai konsep yang dibawa oleh Islam.
Kata
Kunci: Persuratan Islami, Madani, Integrasi
MUKADIMAH
SETIAP karya sastera pastinya
mengandungi hal yang baik. Dalam bahasa Sanskret, sastera atau susastera
berasal dari kata ‘su’ yang bererti ‘baik’ dan ‘sastera’ yang bererti ajaran,
sehingga dapat diertikan bahawa susastera itu adalah sebuah ajaran yang berisi
kebaikan yang ditujukan kepada manusia dengan tujuan kebaikan pula.
Sastera dalam bahasa lain sering kita
sebut sebagai ‘literature’. ‘Literature’ berasal dari bahasa Latin iaitu
‘litera’ yang bererti tulisan. Literature dapat diertikan sebagai sesuatu hal
yang berkaitan dengan tulisan. Akan tetapi tidak setiap tulisan dapat dikatakan
sebagai sebuah karya sastera.
Pengertian sastera dalam Islam pula sastera lebih jitu kerana terasnya
yang sangat kukuh iaitu berakarkan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Fungsi sastera
Islam itu untuk
menegaskan kebenaran dan kebaikan
yang
menimbulkan kesan-kesan keindahan dan
nilai-nilai estetika yang mendalam. S.
Othman Kelantan, dalam
bukunya ‘Arah Pemikiran Sastera Malaysia’,
yang menggariskan bahawa
yang dinamakan kesusasteraan Islam
itu “antara lain
ialah karya-karya, terutama dalam
bentuk kreatif, yang menunjukkan
kemurnian akhlak, moral,
meransangkan manusia untuk
berbuat baik, bersyukur kepada nikmat Tuhan dan menyedari kebesaran-Nya memberi
kesan yang positif kepada manusia dan menjelaskan sesuatu yang konstruktif”.
Sesebuah karya itu dibina dalam bentuk struktur
yang baik dan dalam Bahasa yang
kreatif dan imaginatif.
Keperluan estetika diperlukan
dalam kombinasi antara bentuk dan
isi.” (Utusan Malaysia, 2008) Ini memperlihatkan kemurnian
nilai estetika yang dipadu dalam
sastera Islam, yang tercetus
dari kesedaran Tauhid
yang tinggi, untuk
menegakkan aspirasi moral dan
memperkukuh tujuan ketuhanan,
seperti dijelaskan oleh Mohd.
Kamal Hassan (1981):
“dalam perspektif Islam,
penghasilan seni dan sastera hendaklah bertujuan, antara lain,
meninggikan apresiasi manusia tentang semua nilai-nilai yang baik, murni dan diredai oleh Allah s.w.t. Dan seni dan sastera
yang tinggi nilainya ialah yang
boleh mendorong ke arah pencapaian tingkat ketakwaan, kemakrufan,
kesolehan dan budi yang lebih mantap”.
Fungsi ideal sastera Islam ialah memanifestasikan pengalaman tauhid dan memangkin perubahan “dengan cara dan gayanya yang tersendiri, sastera selalu berfungsi sebagai sumber daya dorong yang kuat ke arah perubahan sosial dan budaya.” (Siddiq, 2012:137). Aspirasi perubahan ini tuntas diperjuangkan dalam penghasilan sastera yang bertujuan menyempurnakan fungsi transformatifnya yakni taghyir al-waqi‘ wa tahsinuhu iaitu dalam rangka merubah realiti yang ada dan memperbaikinya.Dalam merealisasikan misinya, untuk membawa pesan yang mendidik dan merubah ini, sastera Islam “tidak sekadar mengungkapkan apa adanya (what is) tetapi sekali gus merangsang ke arah apa yang seharusnya (what ought to be).” (Siddiq 2012).
Madani
dalam Persuratan Islam
Secara
ringkasnya, masyarakat madani[1]
dapat difahami sebagai masyarakat yang membangun bersama tamadun yang
menaunginya secara dalaman dan luaran. Pembangunan secara dalaman merujuk
kepada kepercayaan seseorang terhadap sesuatu yang hanya difahami oleh akal dan
hati dan penterjemahannya menerusi penampilan dan tingkah laku, manakala
pembangunan secara luaran merujuk kepada ciri-ciri yang dapat dilihat dalam
sesebuah tamadun di depan mata seperti pembangunan bandar, bentuk pemerintahan,
susun lapis sosial dan sistem komunikasi simbolik.
Kedatangan
Islam ke rantau ini telah banyak memberi kesedaran dalam aspek pendidikan dan
ilmu pengetahuan masyarakat Melayu. Islam telah melahirkan semangat keilmuan dalam
kalangan penduduknya untuk mencari dan
mempelajari ilmu pengetahuan. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas
bahawa; "Islam membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme bukan
sahaja di kalangan istana dan kraton, malah sampai juga dengan lebih merebak di
kalangan rakyat jelata". Faktor asasi yang merupakan punca kesedaran
atau punca revolusi kebudayaan ini ialah penjelasan rasional mengenai konsep
perihal wujud yang dibawa untuk pertama kalinya oleh Islam.
Pandangan sarjana tersebut menunjukkan
kesedaran yang dicetuskan oleh Islam meliputi juga bidang keilmuan. Hal
berkenaan juga menggambarkan pola kesedaran dalam aspek-aspek yang bersifat
keilmuan ini yang melibatkan golongan atasan dan istana malahan juga golongan
bawahan dan rakyat jelata.
Kedatangan Islam telah berjaya memberi
kesedaran kepada masyarakat di Alam Melayu ke arah bersifat ilmiah dan
saintifik serta dapat meninggalkan era sebelumnya yang mengutamakan sesuatu
yang bersifat tahyul dan khayalan untuk menuju ke sesuatu yang berbentuk
realistik. Semenjak penerimaan Islam, kegiatan agama, ilmu dan pendidikan Islam
diusahakan secara bersungguhsungguh oleh para ulama dan pendakwah Islam.Seluruh
masyarakatnya termasuk raja dan kerabatnya, pembesar serta rakyat jelata
didedahkan dengan ilmu pengetahuan Islam. Maka secara langsung atau tidak
langsung telah mengubah persepsi atau tanggapan masyarakat terhadap pegangan
agama, kebudayaan dan ilmu pengetahuan.
Islam sebagai ad-Din jelas memberikan imbangan
yang wajar antara duniawi dan ukhrawi. Agama ini membawa penganutnya agar
sentiasa berwaspada terhadap peranan masing-masing dalam semua bidang ilmu
termasuk ilmu persuratan, peradaban dan kesusasteraan. Peri pentingnya ilmu
persuratan (membaca, menulis dan berkarya) ini telah difirmankan Allah dalam
Surah al-‘Alaq, 1: “bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”.
Adapun, tiap-tiap tingkat penglibatan ini menuntut pencapaian yang tinggi dan
keredhaan Ilahi.
Sesungguhnya, Islam sangat mementingkan ilmu
dalam penulisan mahupun berkarya. Penulisan yang baik lahir daripada pembacaan
yang berkesan. Manakala, hasil pembacaan yang berkesan dapat dizahirkan melalui
penulisan; dan menjadi cerminan diri. Maka, jelaslah bahawa Islam menuntut
penganutnya untuk menambahkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang mendalam.
Selain itu, Islam juga menggalakkan penganutnya untuk menulis, sebagaimana
firman Allah S.W.T dalam Surah al-Qalam, 1 dan 2: “Nuun. Demi pena dan apa
yang mereka tulis”. Ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa kepentingan
penulisan dalam perkembangan ilmu; kerana ilmu dan penulisan sama sekali tidak
dapat dipisahkan.
Dalam konteks ini, Sasterawan Negara Kemala,
turut bersetuju bahawa penyair Islam tidak harus memisahkan diri dengan ilmu
dan pengetahuan. Mereka juga perlu memiliki daya pemikiran yang kritis dan
inovatif, seiring dengan konsep ta‘aquli; yang merupakan elemen penting dalam
melahirkan sasterawan Islam yang mendukung nilai-nilai intelektualisme (‘akliah).
Kemala turut menasihati mereka agar menghayati makna intelektualisme secara
ilmiah dan sewajarnya menurut landasan Islam (Kemala, 1994: 155).
Menurut Kemala, Sastera Islam mestilah lahir dari sasterawan yang mempunyai asas akidah Islamiah yang kukuh, yang berpegang teguh pada al-Quran dan al-Sunnah (Kemala, 1989: 15). Penyair Islam yang sejati sewajarnya menghayati al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama; kerana di dalam kitab suci ini sarat dengan contoh dan panduan tentang kehidupan seperti: visi, harapan, nilai ilmu, kemuliaan hati, keadilan, penderitaan, khianat, dendam, fitnah, keangkuhan, pembalasan dan pelbagai manfaat yang besar dalam al-Quran. Dengan ketakwaan yang tinggi, penyair Islam dapat menyuburkan rasa kecintaan kepada Allah SWT dan menerima hakikat bahawa kebenaran yang mutlak adalah hak milik Allah semata-mata
Pancaran Persuratan Islam
Dalam sejarah peradaban Islam, konotasi perkataan sastera itu
melambangkan sesuatu yang cukup penting dalam masyarakat. Sastera dalam Islam
didefinisikan sebagai 'adabbiyyat', yang bertitik tolak daripada perkataan
'adab'. Kedudukan makna adab itu sendiri paling signifikan tercermin dalam
sejarah kesusasteraan Islam seperti yang diterangkan oleh ahli sejarah tamadun
Islam, Marshal S. Hodgson: [2]“A central position in adab was held by
Arabic literature: especially the poetry and the rhyme prose, which held a
position of honour not accorded to any other arts. The spoken word well put
moved cultivated men as nothing else in life was permitted to, and its
refinements were explored by a galaxy of remarkable verbalists.” (Hodgson,
1958:452).
Mengikut Professor Syed Muhammad
Naquib al-Attas, perkataan 'addaba' menyemai dan mengukuhkan adab ke dalam diri
boleh diertikan juga sebagai mendidik. Makna pendidikan yang dimaksudkan oleh
al-Attas bukanlah seperti mana yang kita biasa fahami yang bersifat satu
dimensi bahkan merangkumi amal dan juga proses pendidikan yang menekankan
penggunaan serta pengamalan ilmu secara baik dalam masyarakat. Para ilmuan
Islam terdahulu telah mengikat kemas kata kunci ‘ilm (ilmu), ‘amal (amal) dan
adab untuk menggambarkan konsep pendidikan yang sebenar dalam Islam iaitu ta’dib.
(Al-Attas, 1980:25).
Dr. Sir Muhammad Iqbal menerusi
puisinya melihat peradaban barat yang bakal menemui ‘ajal’nya kerana tamadun
itu berdenyut pada degupan nadi dan nafas peradaban yang nazak kerana ia
bergayut pada ranting-ranting yang rapuh. Ketika kamus Oxford menandakan
peradaban sebagai peningkatan mental dan fizikal melalui latihan dan
perkembangan intelektual, Syeikh Afzalur Rahman menjelaskan bahawa ‘ini
bukanlah jiwa kepada peradaban, tetapi merupakan akibat dan kebenaran daripada
peradaban, Semua ini ibarat daun dan buah daripada peradaban. Nilai atau harga
mana-mana peradaban tidak dapat ditentukan berdasarkan keadaan luaran sahaja.
Asas penting.yang
diletakkan oleh Afzalur Rahman sebagai paksi peradaban ialah bagaimana manusia
melihat kehidupan, bagaimana matalamat hidup mereka, perwatakan, persiapan
sertan bagaimana mereka berhubung sesame manusia. (Arifin Arif: 2001: 140). Maknanya peradaban itu merujuk kepadaa
kecemerlangan manusia dari sudut spiritual, akal dan fizikal. Perkara ini
jugalah yang dilihat oleh al-Faruqi ketika ajaran Islam itu menyimpulkan bahawa
tauhid sebagai pemberi identiti kepada tamadun Islam.
Kesebatian makna antara konsep adab
dengan ilmu yang benar dan berguna, dengan amalan yang ikhlas dan betul telah
dijelaskan dengan tuntas berkenaan takrif adab yang dikemukakan oleh al-Attas:
“Adab ialah pengenalan dan pengiktirafan hakikat bahawa ilmu dan segala yang
wujud teratur bertingkat-tingkat mengikut martabat dan darjatnya masing-masing.
Serentak dengan itu adab juga ialah pengenalan dan pengiktirafan tempat yang
wajar bagi seseorang berhubung dengan hakikat tersebut serta kebolehan dan
potensi jasadi, akli dan rohani diri masing-masing.” (Al-Attas, 1980:26)
Oleh sebab itu kefahaman sastera
yang tercermin daripada kata asal 'adabiyyat' haruslah disulami dengan
kefahaman ilmu yang betul agar nilai diri dan masyarakat dapat diletakkan pada
tempat yang betul sehingga lahirnya tamadun atau peradaban dalam masyarakat
tersebut seperti dijelaskan oleh al-Attas: “Jikalau dalam Islam kesusasteraan
itu diberi nama 'adabiyyat', maka kenyataan itu menjelaskan bahawa
kesusasteraan itu dianggap sebagai penyimpan peradaban, penampung ajaran-ajaran
serta kenyataan-kenyataan yang mendidik diri dan masyarakat nescaya menyerapi
adab, sehingga dapat mengangkatnya naik dari taraf rendah manusia liar ke taraf
luhur insan adabi. Jadi kesusasteraan mempunyai tujuan serta tugas yang
berangkap dengan pendidikan umum; dia mecara-senikan ajaran-ajaran serta
kenyataan-kenyataan yang memupuk adab menerusi bahasa luhur, yang menegaskan
keadaan serta kedudukan hakiki pada cita-rasa insani.” (Al-Attas, 2001:121)
Penjelasan dan perkaitan sastera
Islam yang menjadi asas kepada sastera ilmi tidaklah bermakna ianya beku dan
jumud dari segi aspek estetikanya, malah ia turut menekankan aspek “indah dan
bermakna” yang menjadi matlamat akhir sesebuah karya dalam sastera ilmi. Di
sini Mohd. Affandi Hassan memetik contoh daripada al-Quran berkenaan cerita
yang tersemat dalam Surah Yusuf. Menerusi ayat yang melambangkan “kesabaran
yang indah” (Sabrun Jamilun, 12:18) menggambarkan kekuatan iman dan
keteguhan hati dengan sifat tawakkal yang murni dan ikhlas. Sifat cinta kepada
Allah yang dilakarkan oleh Nabi Yaakub timbul daripada iman yang sempurna dan
cinta kepada anak nya (Nabi Yusuf) cerminan daripada kasih sayang seorang bapa
sekaligus melahirkan “sabrun jamilun” tersebut.
Direnungi makna cinta kepada anak
yang menimbulkan penderitaan sambil dipertentangkan dengan cinta kepada Allah
yang menimbulkan tawakkal dan harapan, ia berhasil melahirkan kesan yang
berbeza, dan ini sekaligus memberikan makna yang positif kepada kedua-duanya
pada masa yang sama memberi gambaran berkenaan konsep taqwa. Perihal bapa yang
kehilangan anaknya seperti satu kejadian biasa yang mungkin tidak menarik atau
mengharukan tetapi diberi makna yang mendalam dan indah dengan penggunaan
bahasa yang tepat di samping isi atau perutusan yang benar seterusnya
mengetengahkan maksud indah dan bermakna yang seharusnya menjadi hakikat dan
fungsi sastera dalam Islam (Mohd. Affandi Hassan, 2005: 28).
Hujah yang dikemukakan oleh Mohd.
Affandi Hassan ini senada dengan apa yang al-Attas tegaskan berkenaan puisi
bersifat keislaman daripada aspek “indah dan bermakna”: Puisi bersifat
keislaman bukan hanya yang sekadar berdaya menyelipkan di sana-sini
kalimat-kalimat keagamaan (baca: istilah Arab) seolah-olah yang demikian itu
sudah cukup menunjukkan keislaman sifat dan bentuknya. Ciri-ciri yang
menandakan puisi bersifat keislaman, antara lainnya, harus membayangkan
kebenaran yang ditayangkan oleh budi dan rasa. Kebenaran yang tercermin dalam
akal dan kalbu itu pula harus dijelmakan dalam bentuk rupacita yang menepati
kisah keadaan dan yang diperjelas menuturi cerita mithali memadai perkara yang
dimaksudkan. Ia juga harus mengandung pelajaran dan nasihat, memurnikan martabat
ilmu dan amalan akhlakiah, menuntut penerapan keadilan serta perangai adabi
dalam diri dan masyarakat insani.
Penulis puisi bersifat keislaman
tentunya harus mendalami kefahaman akan Islam dan sejarah pemikiran serta
tamadun Islam; sebab dengan kefahaman demikian sahajalah baharu boleh dia jadi
sedar akan keadaan zamannya, akan permasalahan pokok yang terdapat di dalamnya,
dan akan seterusnya pelajaran dan nasihat yang harus diambil daripadanya. Dia
harus mengambil teladan daripada karya luhur pujangga lama, memahami sejarah
lama serta cerita-cerita bidalan bijaksana. Dan dalam hal kepekaan terhadap
keadaan semasa tiada harus membiarkan kejahilan dan kezaliman berleluasa tanpa
teguran. Pandangan hidup serta pertimbangan rasa dan penilaian akalnya harus dikemukakan
dalam bentuk puisi menuturi percakapan berirama menepati bawaan bahasanya.
Sesungguhnya ciri-ciri puisi yang disebut bersifat keislaman itu merupakan ciri-ciri puisi dan persajakan yang 'kulli' – yakni universal dan juga terdapat dalam kesusasteraan kebudayaan-kebudayaan yang bertamadun tinggi.” (Wan Mohd Nor, 2004: ix). Konsep kesusasteraan itu sebenarnya harus direnungkan sebagai merangkum tulisan yang meliputi bidang kebudayaan termasuk hasil agama, falsafah, sejarah, hukum dan undang-undang serta adat-adat istiadat, kesenian; ia menjelaskan sifatnya dalam mitos, dongeng, hikayat, baikpun dalam bentuk epik, roman atau sebagainya lagi; dalam prosa dan puisi dan tentu juga memasuki bidang-bidang pemikiran politik dan pendidikan – pendek kata ia meliputi bidang-bidang ilmiah yang dikaji dalam rangka ilmu-ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan. Kesusasteraan itu sesungguhnya mencerminkan tamadun, yang merupakan kehidupan intelek. (Al-Attas, 1972: 65).
Penutup
Malaysia menjadi tumpuan,
menjadi tajuk berita bukan kerana kejayaannya mencatatkan pertumbuhan ekonomi
menakjubkan atau kembali menjadi harimau Asia, tetapi kerana hal-hal yang
berkaitan dengan integriti. Maka keperluan besar kepada teras integrasi adalah
keutuhan kepada setiap individu dalam masyarakat. Masyarakat memerlukan ilmu
sebagai asas memahami, menghayati dan mendalami.
Integriti
dalam mana-mana kumpulan masyarakat adalah penentu kepada kepercayaan. Sebagai
pemimpin dan parti politik ia penentu kepada kepercayaan rakyat, dan sebagai
negara ia penentu kepada kepercayaan masyarakat antarabangsa untuk berurus
niaga dengan kita terutama yang membabitkan aliran masuk pelaburan.Bukti
menunjukkan terdapat hubungan antara kepercayaan terhadap ahli politik, baik
dari komuniti perniagaan dan rakyat dengan persepsi rasuah, salah guna kuasa
dan sebagainya. Berintegriti bermaksud tidak mengamalkan rasuah, memiliki standard
tingkah laku yang tinggi (berkaitan nilai-nilai adabbiyyat) yang membantu mengukuhkan
kredibiliti dan kesahihan terhadap mereka yang terlibat dalam membuat keputusan
dasar, menjaga kepentingan awam dan memulihkan keyakinan dalam proses pembuatan
dasar.
Dalam konteks teras persuratan, boleh dirumuskan bahawa keperluan baik para pengarang dan khalayak yakni masyarakat yang hebat bagi menonjolkan peranan sastera ke arah membentuk masyarakat madani dapat diserlahkan dengan meneliti karya sastera yang dihasilkan atau pertimbangan bahawa karya sastera adalah pancaran daripada keperibadian, keintelektualan dan kebijaksanaan pengarang yang dibentuk oleh pendidikan dan latar masyarakatnya. Sungguh jelas bahawa ilmu mejadi teras besar dalam ungkayah mempekasa jatidiri ummah keseluruhannya. Melalui karya sastera dapat dilihat kesedaran atau sikap pengarang sebagai manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah s.w.t. dan seterusnya dapat dilihat kebijaksanaan pengarang dalam mempergunakan kelebihan tersebut dengan rasa tanggungjawab melalui daya kreativitinya untuk membangun kemanusiaan bagi mewujudkan masyarakat yang diharapkan.
Rujukan:
Ahmad Kamal Abdullah.1980. “Sastera
Islam” dlm. Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam. Kuala Lumpur: Gagasan
Persatuan Pendidikan Islam Malaysia (GAPIM).
Ahmad Kamal Abdullah.1989.
Unsur-Unsur Islam dalam Puisi Melayu Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Ahmad Kamal Abdullah. 2010.
Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.
Al-Attas, S.M.N. 2019. Islam:
Faham Agama dan Asas Akhlak. Kuala Lumpur: Ta’dib International.
Ampuan Dr. Haji Brahim Ampuan
Haji Tengah. 2009. Fungsi Sastera. Negara Brunei Darussalam: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Ariffin Arif. 2001. Kota
Madani. Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)
Ensiklopedia Sirah, jld.1.
Penterjemah Zahara Salleh. 1993. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohd. Affandi Hassan. 1992.
Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Mohd.
Kamal Hassan. 1981. Konsep Keindahan dalam Islam dan Hubungannya dengan Seni
dan Sastera: Suatu Pandangan Umum. Islamiyyat, 3, 39-50.
Siddiq Fadzil. 2012. Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan.
S.
Othman Kelantan. 1987. Arah Pemikiran Sastera Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Wan Daud, W.M.N. 2012.
“Al-Attas: Ilmuan Penyambung Tradisi” dalam Adab dan Peradaban: Karya
Pengiktirafan Untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, disunting oleh Mohd Zaidi
Ismail dan Wan Suhaimi Wan Abdullah, 1-60. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing.
[1] Istilah ‘masyarakat madani’ buat pertama kalinya ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1993 hingga tahun 1998, mengungkapkannya dalam Simposium Nasional sempena Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia pada 26 September 1995. Namun begitu, istilah tersebut telah wujud berabad lamanya, lebih lama sebelum wujudnya Malaysia dalam bentuknya yang sekarang pada tahun 1963. Malah, masyarakat madani itu sendiri telah wujud seiring dengan kewujudan tamadun manusia dan tamadun-tamadun yang dipecahkan mengikut agama, bangsa dan kawasan geografi.
[2] Kedudukan
utama dalam adab dipegang oleh kesusasteraan Arab: terutamanya puisi dan prosa
sajak, yang memegang kedudukan kehormatan yang tidak diberikan kepada seni
lain. Kata-kata yang dituturkan dengan baik meletakkan lelaki berbudaya terharu
kerana tidak ada perkara lain dalam hidup yang dibenarkan, dan penyempurnaannya
diterokai oleh galaksi ahli verbal yang luar biasa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan