Isnin, November 23, 2015

Sastera sebagai sebuah dunia…


FENOMENA sastera tanah air yang gemilang! Yang pasti ungkapan ini menarik juga untuk diperkatakan. Tumpuan kepada dua hal iaitu mengenai fenomena dan sastera tanah air. Fenomena bermaksud suatu kenyataan atau kejadian yang dapat diberikan perhatian (Kamus Dewan Edisi Keempat). Sastera tanah air merujuk kepada semua jenis aktiviti berkaitan dunia penulisan kreatif. Dimaksudkan juga sastera tanah air bagi mana-mana bentuk sastera yang mendominasikan penglibatan pembawa tradisi yang aktif dan pasif. Pembawa tradisi yang aktif apabila individu atau kumpulan individu yang terlibat secara sedar dan secara langsung. Sedangkan pembawa tradisi yang pasif melibatkan semua pihak dalam sesuatu masyarakat secara tidak langsung mengikuti sesebuah bentuk atau genre sastera yang ada.

Apakah peristiwa-peristiwa yang menjadi fenomena dalam dunia sastera kita kini? Banyak sekali. Dunia sastera mutakhir telah meledak dengan hebatnya. Sama ada kita sedari atau tidak, kenyataannya dunia sastera kita sedang mengalami satu fenomena. Masyarakat sastera semakin dibiasakan oleh gelombang hedonisme yang memberatkan kepada semangat kemenangan. Penggiat memberikan tumpuan terhadap kemenangan hinggakan objektif sastera telah berubah. Imej sastera telah dijenamakan sebagai imej melebihkan kehebatan paling hebat. Individu berlumba-lumba mengejarnya.

Ini situasi yang tidak dapat dielakkan. Ia juga menuntut setiap generasi mengetengahkan metodologi-metodologi tertentu dalam karya, menyebabkan terdapat segelintir penulis yang kaku dan lesu tanpa melahirkan apa-apa akhirnya bekerja keras agar aliran semasa tidak menyebabkan mereka tertinggal. Kini tiada lagi insan penulis yang tertinggal. Mereka begitu sensitif dan mengatakan bahawa dunia sekarang adalah sastera. Bayangkan sastera itu sebuah dunia.Hebat bukan?

Kata sesetengah orang, penulis itu tidak mungkin berhenti menulis kerana begitu dia berhenti bermakna dia berhenti berfikir. Menulis itu suatu kegiatan berfikir. Tidak ada apa dalam karyanya jika tidak ada perkara yang terhasil daripada aktiviti berfikir. Merakam peristiwa yang kemudiannya diterjemahkan sebagai bahan baca yang mengandungi elemen-elemen baru untuk pembaca berfikir juga tidak dapat lari daripada medan berfikir.

Seorang penulis yang berjaya menyelesaikan sebuah cerpen misalnya sekali duduk, terhasil setelah ia puas atau berhempas pulas berfikir. Apakah bahan yang diperolehinya itu boleh menjadi sesuatu yang berfaedah untuk dinikmati pembaca, sudah menjadi unsur penting hingga dia merenung jauh, jauh atau dalam, dalam sekali. Begitu juga apabila melihat gunung-ganang, pandangan kalbunya boleh menyeberangi ke segala ceruk rimba. Apabila merenung kegelapan malam, dia boleh memandang kelahiran esok pagi bahkan hari-hari yang berlalu lama dulu. Inilah kelebihan penulis yang berfikir. Sastera sebagai sebuah dunia pelik dan luar biasa!

Apakah pembaca memahami atau menerima apa yang difikirkannya, itu persolan lain. Baik atau tidak sesebuah karya itu soal kemudian. Setelah diedar atau diterbitkan, karya itu sudah sebahagiannya menjadi yang lain, bukan seperti asal. Orang boleh membuat apa sahaja tanggapan. Puisi atau sebuah cerpen bahkan novel dan drama sekalipun, orang akan membuat tafsiran yang berbeza-beza. Jika dikatakan penulis sudah ‘mati’ setelah karyanya dibaca orang lain, ini berkaitan dengan persepsi di mana penulis menyerahkan kepada pembaca, pentelaah, pengkaji, penilai, pengkritik dan sebagainya memberikan tanggapan tanpa campur tangan penulis.

Sesetengah pembaca barangkali menekuni tulisan Suhaimi Haji Muhammad tanpa masalah mungkin orang lain tidak, begitu juga karya Kemala, Usman Awang, Mana Sikana, A.Ghafar Ibrahim, Muhammad Haji Salleh, Johan Jaafar, Marzuki Ali, Azmah Nordin, Yatim Ahmad, Jasni Matlani, Noraini Osman, Ruhaini Matdarin, Mabulmaddin Shaiddin dan seumpamanya. Orang kata ada cara untuk mencari makna sesebuah karya itu. Gunakan tanda atau perlambangan. Cari pendekatan atau aliran penulis-penulis berkenaan. Hampiri latar kehidupan penulis karya berkaitan. Dan bermacam-macam lagi, tidak payah diceritakan. Orang yang tahu asam garam dunia sastera, lebih faham apakah rahsia dalam fikiran setiap penulis. Mungkin juga memenatkan.

Berfikir itu bukan sekadar kerana bersastera. Berhujah tentang sesuatu perkara dalam konteks yang lain juga boleh terjadi. Sastera ini, kata Khalil Gibran, kadang-kadang hanyalah singgahan orang yang letih berfikir perkara-perkara yang rutin. Dia melepaskan masalahnya di arena sastera. Jadilah juga sebuah ciptaan yang dangkal dan asal siap, kurang nilai seninya, kurang diksi yang mencabar, dan inilah karya yang mungkin diterima lantaran mudah difahami. Sedangkan mereka yang benar-benar menggilai sastera yang sudah berani membenarkan pilihan diksi di luar kebiasaan, diletakkan di suatu kamar lain. Terdapat ada penulis yang ingin menulis dalam semua genre walaupun kekuatannya hanya pada satu genre. Dia menulis novel, cerpen, drama dan puisi. Bila menghasilkan puisi, karyanya tidak begitu kukuh berbanding karya-karya prosa. Nilai estetikanya kurang menyerlah, pemilihan diksinya kurang dinamik, teknik penulisannya juga kurang bertenaga.

Mengukuh kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan tekun. Mohammad Diponegoro pernah mengatakan, “satu-satunya nasihat bagi pengarang muda ialah sesuatu yang mungkin sangat baru bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis?” Ya, kenapa tidak? Tidak sedikit penulis terkenal yang berawal dari kesenangannya dalam hal membaca.

Bacalah buku apa saja untuk menangkap gaya setiap penulis. Membaca juga membuat kita tahu apa yang membuat sebuah tulisan itu bagus serta memperluas kosa kata. Tapi begitu tiba waktunya menulis, kita harus mulai dengan gaya kita sendiri. Mulailah menulis apa saja yang anda tahu. Tulislah apa yang anda alami dan apa yang anda rasakan. Itulah yang kulakukan, pesan J.K. Rowling.

Bagi penulis generasi baharu, sudah sampai masanya diutarakan pendekatan yang lebih profesional agar tidak berlaku anggapan ada penulis yang diabaikan. Dengan kata-kata lain, sewajarnya digembelingkan usaha penjabaran ilmu penulisan ini dari bawah. Program penataran sastera kreatif di peringkat remaja harus dihidupkan semula. Ini tidak berhenti setakat ini tetapi membawa mereka yang berbakat dan berpotensi itu mendalami lagi dunia penulisan kreatif pada tahap yang kedua seterusnya tahap-tahap yang lanjut.


Peranan dunia persuratan dalam kalangan generasi muda cukup bermakna, sebab itu generasi muda yang meminati dunia penulisan kreatif harus diberikan perhatian. Sikap mandiri dan ingin berdikari mengikut rentak fikiran serta hal tuju generasi yang mahukan kebebasan, hak memasarkan buah fikiran yang menyimpang daripada kebiasaan, sewajarnya dielakkan. Kini kita sedang menghadapi gerakan penulis generasi baru atau generasi Indies atau hiliran yang berani mengatakan kumpulan mereka mustahil untuk duduk bersama-sama dengan para penulis yang konvensional. Ini juga antara fenomena terhadap sastera mutakhir. Apapun juga yang menjadikannya suatu fenomena, ia akan melalui gelombang demi gelombang situasi atau keperluan yang akhirnya akan menemukan satu titik. Demikian halnya ketika ucapan tahniah yang terus berkumandang di mana-mana media, fenomena kemenangan yang tidak terlepas daripada tohmahan, kritikan, rasa tidak puas hati dan pelbagai garapan pemikiran yang ada kalanya tidak rasional, kita anggap sahaja ia sekadar fenomena yang sementara. Inilah sastera, sebuah dunia, yang kita sedang mengalaminya.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Rabu, September 30, 2015

TSIM sebagai pintu sefahaman dan keragaman budaya Indonesia-Malaysia


Pemakalah TSIM 2015
(Dari Kiri) Kemala, Maman, Arba'ie dan Nunung 
SEKEMBALI dari Bandung Indonesia, semua rakan termasuk saya membawa balik masalah kesihatan yang sama. Saya rupanya tidak bersendirian apabila ketua delegasi Malaysia yang juga Presiden Numera Malaysia, Dato’ Dr  Ahmad Khamal Abdullah (Kemala) menemui doktor; begitu juga Dr Arba’ie Sujud dan isterinya Dr. Asiah Abdul Rahman dan  Abizai memaklumkan situasi yang sama. Sebenarnya empat rakan saya juga lebih awal terkena. Dr Raja Rajeswari Seetha Raman dan suami, Shirley Idris dan Amelia Hashim lebih awal menderita. Ujian juga namanya dan menurut kata Sastri Bachri yang mengetuai barisan panatia Temu Sastra Indonesia-Malaysia (TSIM) barangkali kami tidak betah oleh sambel pedas yang disajikan. Rupanya, rakan-rakan dari Indonesia juga ‘menikmati’ penderitaan yang sama. Lalu apa puncanya? Sajian, cuaca atau pencemaran? Sesuatu yang telah berlalu hanya menjadi cerita dan pengajaran barangkali, agar bersiap untuk menghindari daripada penderitaan begini, di masa akan datang.
Dato' Kemala
Presiden NUMERA

Mukadimah catatan ini tidaklah begitu penting. Saya ingin mengongsikan pengalaman ketika menyertai TSIM 2015 ini yang bermula pada 18 September dan selesai pada 20 September 2015 di Bandung. Acara TSIM ini sudah pernah berlangsung beberapa sebelumnya yang berlangsung di Padang Sumatera Barat dan Jakarta. Pertemuan kali ini menggalas tema yang besar iaitu  Bahasa-Sastra Negara Serumpun dalalm Perspektif Sejarah dan Masa Depan.

Ditinjau daripada perspektif sejarah dan masa depan, bahasa dan sastera di Negara-negara serumpun merupakan fakta dinamis yang selalu menarik untuk dikaji. Di antaranya bakal ditemukan relevansinya dengan cara merujuk kepada naskhah-naskhah lama. Seterusnya kajian mengenai kemungkinan-kemungkinan konsep serta hasil kebahasaan dan kesusasteraan dalam kekinian menjadi petanda kedinamisan sebuah bahasa dan sastera, seperti halnya pada puisi-puisi generasi 2000 Malaysia-Indonesia dan perkembangan tematik pada novel-novel kotemporari. Demikian juga kedudukan kesusasteraan sebagai kebudayaan sesebuah bangsa menjadi hal yang sangat menarik untuk kajian, baik itu dalam wujud novel, cerpen mahupun puisi-puisi yang dapat mencerminkan sosio-budaya dari suatu bangsa.

Upacara Perasmian TSIM 2015
Seminar TSIM 2015 ini diadakan atas kerjasama antara Panitia TSIM dengan Fakulti Ilmu Budaya Universiti Padjajaran, Bandung yang berlangsung setengah hari di kampus Unpad Djatinagor. Seminar ini menjunjung beberapa tujuan iaitu menggali dan mengembangkan pemikiran untuk peningkatan kesalingfahaman (mutual-intelligibility) antara bahasa dan sastera Negara Serumpun. Kedua, menggali dan mengembangkan pemikiran untuk kemajuan intelektualiti serta pengembangan teori dan karya sastera lintas serumpun. Ketiga, menggali dan mengembangkan pemikiran untuk peningkatan pengkajian terhadap teks sejarah bahasa dan sastera Negara lintas serumpun dan keempat, untuk menggali dan mengembangkan pemikiran ke arah peningkatan pemberdayaan apresiasi sastera Negara serumpun.

Ketua Panatia TSIM 2015
Sastri Bachri
Mengunjungi Universiti Padjajaran Bandung sering menjadi idaman ramai orang terutama di Malaysia. Pada saya yang secara kebetulan menjadikan itu sebagai tujuan sekaligus menyerahkan waktu di salah sebuah kampusnya. Begitu melenguhkan juga, seperti kata Dato’ Kemala kerana jarak dari pintu harus melewati beberapa buah tangga. Saya yakin keletihan itu akan terbayar juga akhirnya kerana di situlah fokus pertemuan pembicaraan pemikiran dalam TSIM ini. Seminar tersebut menemukan 6 orang ilmuan daripada kedua-dua Negara serumpun menggalas tugas sebagai pembicara utama. Dari Malaysia terdiri daripada Dato’ Kemala sendiri, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud dan Dr. Raja Rajeswari Sheeta Raman. Manakala Indonesia diwakili Maman S Mahayana, Dr Wahya M. Hum dan Dr. Muhammad Adji.  

Abizai dan Hasyuda
mewakili Malaysia
Dato’ Kemala membuka minda peserta terhadap judul tulisannya, Puisi Generasi 2000 Malaysia-Indonesia, Antara Dinamisme, Keindahan dan Kemungkinan Baharu. Beliau membuka kata dengan menyebutkan tokoh-tokoh penyair besar Indonesia sebagaimana pernah disebut oleh Popo Iskandar. Mereka adalah Rendra, Taufiq Ismail dan Sutarji Calzoum Bachri. Di Malaysia melalui Abdul Rahman Napiah menamakan tiga penyair Malaysia sezaman yang pada hematnya berhasil iaitu Muhammad Haji Salleh, Kemala dan Baha Zain. Tetapi kini situasi sudah memasuki abad ke-21, alaf baharu yang mula memperlihatkan suatu perubahan yang mengglobal dengan persoalan yang lebih sulit dengan permainan sosio-politik-ekonomi lokal yang mesti juga memperkirakan permainan kuasa-kuasa besar dunia antarabangsa yang ikut menanam pengaruh dan kadangkala membikin ‘onar’ yang bukan-bukan ke Negara dunia ketiga. Penyair Indonesia dan Malaysia Generasi 2000 sewajarnya peka  dengan situasi tersebut dan merebut tempat dan wadah kesenian puisinya selepas saudara-saudara tuanya yang terdahulu.

Begitu Dato’ Kemala membuka ruang sambil melakukan beberapa perimbangan banding karya-karya Afrizal Malna dengan Sahrunizam Abdul Talib. Beliau juga memberitahu melalui tulisan Korrie Layun Rampan senarai panjang Angkatan 2000 penyair Indonesia, antaranya Afrizal Malna, Abidah el-Khalieqy, Cecep Syamsul Hari, Acep Zamzam Noor, Agus R.Sarjono, Ahmadun Yosi Herfanda, Jamal D.Raman, Medy Loekito, Soni Farid Maulana, Wiji Thukul, Wowok Hesti Prabowo, Nanang Suryadi dan ramai lagi. Malaysia yang tak tinggal di belakang juga meletakkan nama-nama yang cekal memberikan karya-karya mereka dalam media arus perdana. Disebut Dato’ Kemala nama-nama seperti SM Zakir, Arisel BA, Marsli NO, Hasyuda Abadi, Soibil Madun, Amran Daud, Rahimidin Zahari, Shamsuddin Othman, Ijamala, Mohd Razali Yusof, Abizai, Sahrunizam Abdul Talib, Ami Masra, Raja Rajeswari, Nimoiz TJ, Mohd Nazim Subari dan Poul Nanggang.

Penulis bersama Dr Arba'ie Sujud
Pensyarah dari UPM
Saya juga tertarik dengan apa yang dinyatakan oleh Maman S. Mahayana berbekas pertanyaan yang panjang: apa maknaya sastera sebagai teras pengucapan budaya? Bukankah sastera sekadar karya imaginatif yang di dalamnya berkecamuk berbagai peristiwa fiksional? Bagaimana mungkin karya imaginatif dan fiksional itu dapat digunakan sebagai sesuatu yang utama dan penting, sebagai hakikat, inti, susbtansi, asas atau dasar pengucapan budaya? Bukankah sastera sebagai salah satu produk budaya sebuah komuniti, sebagaimana dikatakan Ernst Cassirer: sekadar berfungsi mimetis, peniruan atau segala yang terjadi dalam kehidupan manusia? Lalu bagaimana pula sastera dapat menerjemahkan kebudayaan yang melahirkannya, mengungkapkan kondisi masyarakat yang melingkarinya, dan mendedahkan ideologi yang dilesapkan pengarang sebagai kreatornya? Kesusasteraan Indonesia atau kesusasteraan Malaysia atau kesusasteraan bangsa mana sekalipun pada dasarnya merupakan potret sosial budaya masyarakatnya. Ia berkaitan dengan perjalanan sejarah bangsa itu dan merupakan refleksi kegelisahan cultural dan sekaligus jug merupakan manifestasi pemikiran bangsa yang bersangkutan. Bahkan, begitu dekatnya sastera menggambarkan kehidupan sosio-budaya sesuatu komuniti tertentu. Bahkan Maman mengatakan bahawa sastera merupakan tanggapan evaluatif sasterawan atas berbagai peristiwa yang terjadi dalam lingkungan masyarakat.

Maman yang menyatakan bahawa sastera Indonesia itu berasal dari sastera Nusantara bukan dari sastera Melayu, telah memperkirakan beberapa usul berkaitan dengan usaha memajukan dan mengakrabkan kesusasteraan Indonesia-Malaysia. Antaranya yang banyak itu saya fikir yang terbaik ialah berhubung dengan usulnya agar mempertimbangkan pendirian sebuah bangunan yang bernama ‘sastera serumpun’ sebagai pintu masuk untuk menciptakan kesefahaman tentang perbezaan dan keberagaman budaya masing-masing dengan tetap dilandasi atau dijiwai oleh semangat serumpun.

Dua tokoh besar TSIM ini telah membina sebuah pemikiran yang amat besar, Belum lagi dievaluasi tanggapan para pemakalah yang lain, juga mencetus pemikiran-pemikiran yang tidak kurang pentingnya. Sayang ruangan ini amat terhad. Maka, saya mempunyai pemerhatian sendiri bahawa, pertemuan yang kerap antara para sasterawan Malaysia dan Indonesia dalam apapun versi atau kumpulan yang ada, pasti menggendong persoalan harapan di hadapannya. Sudah tentu para penggiatnya akan terus menyatakan kesediaan untuk sering langsung berdiskusi, berganti maklumat, bertukar karya dan bekerjasama dengan kesabaran berterusan yang luar biasa.







©Pustaka Iqbal Nazim

Selasa, Ogos 25, 2015

Tak Melupai Jasa DBP Cawangan Sabah


Sebagai penulis kelahiran Sabah saya tidak pernah melupai jasa yang dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Ramai penulis bermula dari situ termasuklah saya. Antara kejayaan DBP cawangan ini ialah Program Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah. Pada 1987 saya menyertai program ini di bawah asuhan Dato' Kemala. Program ini antara aktiviti bimbingan penulisan anjuran DBP Cawangan Sabah yang terbaik diperkenalkan pada 1985. Saya bersama penyair Saibil Madun bertuah selepas Obasiah Hj Othman (Novel/1985) dan Siti Rahmah Ibrahim dan Hajah Mariam Omar (Cerpen/1986). Selain menerima bimbingan, matlamat utamanya ialah menerbitkan karya sebagai produk program ini. Alhamdulillah Saibil berjaya menghasilkan 'Kumpulan Puisi Laut Sebuah Ayunan' manakala saya menulis sebuah puisi balada (Balada Paduka Mat Salleh). Buku-buku ini diterbitkan pada 1988. DBP secara keseluruhannya tidak pernah kontang dengan aktiviti penataran, bimbingan dan sebagainya. Pada 1997 saya menjadi penulis pertama dari Sabah bersama Dr Hazami Jhari, Uthaya Sangkar dan Mattaib Nordin dipilih menyertai Program Penulisan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) di Indonesia.    Lebih tiga dekad, seingat saya DBPlah yang terus memperkasa bidang penulisan kreatif ketika saya menyertai Kumpulan Anak Seni (1979-1990) dan Ikatan Penulis Sabah (1990 hingga kini). DBP Sabah yang dipimpin oleh para pengarah yang dedikasi seperti Encik Kamaruzzaman, Haji Mohd Ariffin Siri, Haji Hamdan Yahya, Datuk Haji Ismail Abbas (Allahyarham), Encik Osman Ismail, Encik Zulkifli Salleh, Haji Hamzah Hamdani, Encik Zubaidi Abas (Allahyarham), Haji Jamaluddin Mohd Sulong, Hajah Asmiah Ajamain (Allahyrhamah) dan kini Puan Aminah Awang Basar terus siaga memperkasa agensi ini. Tahniah!        
        Sejak sekian lama para penulis berhadapan dengan pelbagai isu khususnya penerbitan. Hal ini terus berlangsung hingga kini termasuklah para penulis Sabah. Alhamdulillah juga alternatif para penulis di seluruh negara dinikmati melalui ITBM. Semakin ramai penulis mempunyai peluang menerbitkan buku masing-masing. Ada yang lebih daripada sebuah, namun lebih penting ialah persoalan penerbitan sekurang-kurangnya telah dapat diselesaikan

Kini DBP kembali diperkasakan khususnya penerbitan. Kami di Sabah berharap DBP Cawangan Sabah turut memperkasakan aktivitinya agar selari dengan kecenderungan penerbitan buku kebangsaan. Penulis tidak harus terlalu bergantung kepada ITBM sedangkan DBP juga mempunyai ruang yang terbaik agar turut diterokai. Kedua-dua agensi ini amat penting buat kita, masyarakat dan negara. Selain penerbitan, penataran, pemugaran dan bimbingan juga perlu diperhebatkan mengikut keperluan dan pendekatan yang lebih realistik. Dengan nilai duit yang semakin mengecil, penyediaan kewangan untuk menampung aktiviti yang turut semakin menyusut, penulis harus menyedari bahawa bergantung sepenuhnya kepada kerajaan perlu diubah.

Di pihak kerajaan Negeri khususnya pula sewajarnya turut serta mengambil peranan. Perkara ini sudah terlalu lapuk untuk diperkatakan, sedangkan beberapa buah negeri di Semenanjung dan Sarawak telah bertindak mengangkat sastera sejajar dengan keperluannya dan malah terus dimartabatkan. Di Sabah, pengaugerahan sastera digalas oleh DBP yang tidak mampu memberikan sesuatu yang lebih besar berbanding beberapa negeri yang dimaksudkan. Kerajaan Negeri sepatutnya telah lama memberikan perhatian, soalnya tidak pasti apakah dalam kabinetnya tidak ada suara yang kuat atau suara yang kuat itu tidak dianggap perlu disegerakan. Akhirnya, segera pun bukan maka para penulis menerima apa adanya daripada agensi yang begitu komited iaitu DBP sendiri. Syabas DBP! Kita hanya berdoa agar ada yang lebih baik di masa mendatang jika tidak berlaku pada masa ini. Perjuangan akan terus dilangsungkan. InshaAllah.


Sabtu, Ogos 15, 2015

Doa untuk Malayisa, macam ada yang tidak ngam!



Biar gambar berbicara.




Penulis alergik kritik!

 
PENULIS dan pengarang harus bersabar jika merasakan menjadi penulis atau selepas itu pengarang yang disegani tidak melalui cabaran yang tersendiri, berbanding menukar haluan. Misalnya menjadi ahli politik, atau tukang masak, meniaga buku atau buat kek. Apa bezanya, bukankah di sana-sini juga ada cabaran? Penulis dan pengarang tidak dapat lari daripada hal-hal berkaitan rempah ratus kepengarangan. Kita memang mahu apa yang kita buat dibaca orang. Tetapi bukan semua orang suka apa yang kita buat. Bagaimanapun ini bukan hadangan. Jika anda fikir menulis ini sekadar menulis tanpa mengikuti pandangan orang lain, misalnya penilai, pembimbing atau teman-teman, tiada juga masalahnya.

Saya pernah terjumpa seorang sahabat yang 'tewas' meneruskan projek penulisannya semata-mata tidak bersetuju karyanya dirombak pembimbingnya. Peristiwa ini berlaku sedekad yang lalu. Sahabat saya ini tidak lagi menulis sampai sekarang padahal beliau pernah menerima Hadiah Sastera Sabah, cerpen-cerpennya juga bagus sekali dan amat prolifik ketika itu. Apabila novelnya dirombak habis, katanya,baik dia tidak tulis langsung. Saya suka ketegasannya itu dan memang tidak wajar juga tindakan pembimbing tanpa membuat perbincangan terlebih dahulu.  

 Berlaku juga dalam sebuah peraduan, seorang penulis menang sayembara menulis novel, bila hendak diterbitkan, novel itu terpaksa dibaiki. Apabila terbit orang tidak tahu novel itu bukanlah karya asli penulisnya. Saya ingat nama novel itu tapi tidak perlulah disebut. Begitu juga nama pengarangnya yang masih aktif hingga kini malah menjadi penggiat aktif NGO sastera di Sabah. Beracam-macam ada, jika mahu diceritakan. Misalnya jika saya bagi tahu ada juga pengarang terkenal yang menyunting karya popular bernafas erotik. Memang tidak wajar kan? Saya fikir kepelbagaian cabaran harus diharungi. Mungkin ada dalam kalangan kita suka pada cabaran. Cabaran itu sahabat yang baik. Tidak mustahil juga segelintir penulis yang tidak sukakan cabaran. Ada penulis yang tidak senang apabila karyanya dikritik. Belum lagi dirinya sebagai penulis dikritik! Saya juga pernah dan sering tersentak apabila dikritik. Ini lumrah.

Realitinya kita masih lemah. Kita berusaha untuk memperbaiki. Kekuatan mental kita perlu. Selalunya saya abaikan sahaja sebab saya tahu ada penulis lain yang gemar buat provokasi. Kita ini lemah, banyak yang perlu dipelajari. Saya selalu ingatkan diri saya agar jangan pernah mengalah. Kita buat sahaja. Apabila ada yang memperkatakan buah fikiran kita dan mempertikaikannya pula, hadapilah dengan sabar. Bahkan kita berhak mempertahankan kerana karya itu kita punya. Orang boleh bagi pandangan dan kita juga boleh bagi pandangan kita. Tiada dosanya juga. Lainlah niat kita menyimpang, misalnya ingin menghasut atau menabur fitnah atau memburuk-burukkannya.

Barangkali elok juga kita sama-sama ikut catantan kali ini sedikit sebanyak tentang kritikan yang tidak ramai gemari terutama yang alergi kritik. Mereka tidak mahu untuk dikritik, ini salah siapa? Hal ini disebabkan juga sering seorang kritikus bertindak sebagai algojo. Kritik yang dilontarkan sering bersifat rekayasa dan subjektif. Apalagi dalam perkembangan dunia seni sekarang, ada kalanya juga kritikus tidak mengikuti lajunya arus perkembangan dunia seni, yang kenyataannya sudah semakin mengglobal. Akhirnya sering terlihat seniman sebagai seorang yang diletakkan sebagai terdakwa.

Berdasarkan kasus tersebut, ternyata ramai seniman mati di tengah jalan. Gejala ini sangat merugikan pertumbuhan kreativiti seniman dan perkembangan kesenian di tengah-tengah masyarakat pendukungnya. Untuk itu dalam tulisan ini akan dipaparkan  pendekatan terhadap kritik seni dari berbagai sisi, seperti kritik sebagai penilaian atas nilai, sebagai media informasi, motivasi dan kritik sebagai tolak ukur, yang pada gilirannya dapat membantu kelancaran pertumbuhan seni pada masa datang.

Sebagai sebuah kritik yang difungsikan untuk menilai suatu nilai seni dari objek kritikan, banyak hal yang harus diperhatikan. Dari masalah teknik dan tidak teknik serta unsur penunjang dari objek kritikan yang mendalam, penilaiannya perlu diketahui dan difahami oleh seorang pengkritik dalam melancarkan kritikannya.

Memang menilai sebuah nilai seni tidak semudah menilai "dua tambah dua sama dengan empat”. Nilai di sini ibarat sesuatu yang tersembunyi di balik hijab. Ia lebih merupakan sesuatu yang bersifat abstrak yang terjadi dalam sebuah karya seni. Kita tidak langsung dapat mengatakan bahawa pertunjukan sebuah tari tersebut mengalami kegagalan, dengan kata lain kurang dapat memprojeksikan konsepnya ke dalam sebuah koreografi atau sebuah konsep bunyi yang diprojeksikan dalam aplikasi komposisi muzik.

Menurut Kwant (1975: 19): Kerana berkisar pada nilai-nilai, maka kepekaan terhadap nilai harus memegang peranan pokok dalam kritik. Kalau kepekaan terhadap nilai itu tidak ada, kritik menjadi tanpa hormat. Orang yang mampu memberikan kritik seni hanyalah dia, yang peka terhadap nilai-nilai artistik yang ada dalam sebuah karya seni.

Dalam memberikan penilaian ada hal-hal tertentu yang perlu diperhatikan iaitu seperti aspek teknik dan tidak teknik. Kedua aspek ini sangat menentukan seorang kritikus dalam melancarkan kritikannya. Yang dikatakan aspek teknik adalah hal-hal pokok dalam sebuah karya seni. Hal-hal yang pokok tersebut misalnya untuk seni tari adalah penari, pemuzik, alat muzik pencahayaan, komposisi, kostum, rias dan koreografi tari secara menyeluruh seperti: desain lantai, desain atas, ruang, dinamik, dramatik, dan transisi, kemudian ‘property’ dan ‘setting’. Kedua, untuk muzik adalah pemuzik, alat muzik, melodi, ritem, dan komposisi muzik yang dimainkan, desain dinamik, dramatik, dan harmoni.  Ketiga, untuk teater adalah pemain (aktor dan aktris), pencahayaan, dialog, bloking, kostum dan rias, mimik atau ekspresi, akting, alur cerita yang didesain, terakhir ‘property‘ dan ‘setting’. Dan, keempat, untuk seni rupa (tidak pertunjukan) seperti : jenis cat, jenis kampas, jenis kuas, komposisi ruang, komposisi warna, arah dan dimensi, teknik projeksi.

Dalam aspek tidak teknik kita lebih banyak berbicara secara ekstrinsik dari sebuah karya seni. Hal-hal yang bersifat ekstrinsik perlu dipertimbangkan, sebab aspek ini sangat terkait dengan keberhasilan sebuah karya seni. Aspek tidak teknik dapat dijabarkan sebagai berikut; pertama adalah aspek pendidikan dan pengetahuan seniman, selanjutnya kedudukan di lapangan (seperti adanya insiden dalam sebuah pertunjukan), psikologis, saranan dan prasarana, cerita atau naskhah dalam tari dan teater, lingkungan tempat tumbuhnya seorang seniman, latar belakang budaya, waktu (waktu dalam proses), judul dan sinopsis, klasifikasi seni (kontemporer, kreasi, tradisi, modern, post modern, happening art).

Pada persoalan kritik sebagai penilaian dirasa perlu membedah objek kritikan dengan sistematika penilaian. Sistematika sangat efektif dalam menentukan objektivitinya sebuah penilaian. Di sini sengaja kita bicarakan masalah objektiviti, hal ini lebih disebabkan untuk menghindari kritik yang berniat jahat, atau kritik yang bermuara hanya pada rasa senang atau tidak senang pada suatu objek.

Sistematika yang akan dilakukan adalah sistematika analisis dan penilaian. Kedua sistem ini dapat dilakukan pada semua objek seni. Sebelum melakukan analisis perlu adanya data. Data yang diperlukan adalah data tentang objek tersebut yang bersifat tidak teknik seperti : idea (gagasan), judul, sinopsis, naskhah cerita, jenis karya, bentuk penyajian, abstraksi karya, biodata seniman, konsep garapan, gambaran karya terdahulu, jenis klasifikasi seni (kontemporer, kreasi, natural, tradisi, happening art) dan sebagainya. Seluruh data perlu difahami.

Dalam melakukan analisis perlu mensingkronisasikan data dengan apa yang dilihat (apa yang disaksikan). Di sini tempatnya seorang kritikus, mempertemukan antara aspek teknik dan tidak teknik. Pertemuan kedua aspek ini pada gilirannya diharapkan menghasilkan penilaian yang objektif.

Langkah selanjutnya masuk pada tahap apa yang dinamakan penilaian. Dalam penilaian sudah ada sebuah pernyataan dan kesimpulan yang akan dilontarkan. Pada kenyataan kedua ini sudah dapat dinyatakan tingkat keberhasilan dan tingkat kegagalan. Di sini juga sudah dapat dilontarkan tentang nilai artistik dan estetik terhadap sebuah objek kritik.Sebagai hasil penilaian, perlu adanya argumentasi yang melatar belakangi pernyataan tentang nilai tersebut. Argumentasi diperoleh setelah melakukan analisis pada kenyataan pertama.

Apabila dikaitkan kenyataan yang panjang ini dengan pemilihan judul sesebuah karya, juga menuntut hujah yang konkrit terutama sekali setelah judul sesebuah karya itu ditolak oleh penilai atau penerbit. Sering kita dengar segelintir penulis yang tidak berpuas hati lantaran terjadinya perubahan-perubahan yang tidak sewajarnya dilakukan. Seperti dinyatakan di awal catatan ini, sehingga menyebabkan penulis terbabit patah hati lalu meninggalkan dunia penulisan buat selama-lamanya. Apakah penulis ini bersalah? Apakah penulis ini alergik kritik? Mungkinkah semua penulis harus menolak pandangan orang lain kerana haknya untuk mempertahankan karya yang sudah diberikan sepenuh tumpuan. Nah, mencari jawapannya sudah tentu bukan ditujukan kepada satu-satu pihak. Penulis perlu bersikap terbuka, begitu juga para penilai, pembimbing dan penyelaras projek. Mungkin ini bukan sebuah kesimpulan tetapi sebagai penulis, kita harus sentiasa bersikap terbuka ketika berhadapan dengan cabaran-cabaran begini dan bersiap sedia menolak anggapan penulis itu alergik kritik!

PUSTAKA IQBAL NAZIM




Selasa, Ogos 11, 2015

Menoleh kebangkitan Keranda 152

KERANDA 152


Anak Melayu
panas dadamu membakar baju
kita arak Keranda 152
ke arah perkuburan Parlimen

Sepuluh tahun nafas itu terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi

Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya

Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu

Usman Awang
1967




Sasterawan Negara Datuk Usman Awang telah menghasilkan puisi protes Keranda 152 pada 1967. Puisi ini membawa satu kebangkitan kalangan pejuang-pejuang bahasa apabila Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan yang dibentangkan di Parlimen ketika itu tidak menggambarkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Fasal 152 Perlembagaan.
Disebabkan keengganan kerajaan menolak keputusan yang dibuat di Parlimen, para pejuang bahasa mengadakan perhimpunan besar-besaran di perkarangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Mac 1967. Tujuannya untuk melahirkan protes kerana orang politik gagal meletakkan bahasa Melayu di tempat yang telah tertulis dalam Perlembagaan.
Tragedi bahasa Melayu yang membawa kepada perarakan Keranda 152 ke Parlimen itu berlaku sepuluh tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Dalam usia kemerdekaan yang dianggap masih muda kalangan tokoh politik Melayu telah lupa tentang peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Kalangan tokoh politik Melayu ketika itu kelihatan tidak ada semangat untuk memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu, semua ini terpancar daripada keputusan di Parlimen yang meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tidak sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Kemarahan perjuang bahasa dan rakyat jelata tidak ada agenda politik di sebaliknya. Mereka berjuang demi bahasa Melayu yang mulai dipijak selepas sepuluh tahun merdeka.
Malangnya bahasa Melayu. Ini kerana selepas tragedi Keranda 152 empat dekad lalu, bahasa Melayu terus terpinggir dan dipinggirkan oleh kalangan politik Melayu sendiri. Ketika ini bahasa Melayu hanya pada nama saja menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Tetapi segi praktisnya bahasa Melayu berada di tempat tercorot. Bahasa Melayu tidak diasuh menjadi bahasa perpaduan ketika orang politik sibuk bercakap tentang perpaduan kaum.
Apakah kita memerlukan perhimpunan Keranda 152 yang kedua untuk menyedarkan kalangan pembuat dasar supaya bahasa Melayu diletakkan di tempat yang dimuliakan dalam Perlembagaan? Ketika pejuang bahasa dianggap kolot dan anti establishment, gerakan memartabatkan bahasa Melayu tetap diteruskan.
Petikan ucapan bekas Ketua Pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail pada perhimpunan Keranda 152 40 tahun lalu wajar menjadi renungan pembuat dasar. Kata Syed Nasir, " Saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat."



Kalau ditoleh sejarah silam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa bagi kerajaan Melayu- Islam, bahasa persuratan, bahasa undang-undang dan menjadi alat pengembangan agama Islam di Nusantara sejak abad ke 13. Bukan itu saja malah menjadi lingua franca perdagangan dan sosial sejak ratusan tahun dulu. Kemudian pada 1957 bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan.
Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu tidak pernah berhenti. Hari ini dan esok Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Persatuan Penulis Nasional (Pena), DBP dan banyak persatuan penulis serta NGO Melayu lain menganjurkan Hari Pejuang Bahasa 152. Acara yang akan dijadikan acara tahunan ini berlangsung hari ini dan esok di Rumah Gapena, Rumah Pena dan Balai Budaya DBP.
Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad memberitahu, mulai tahun ini Hari Pejuang Bahasa 152 akan dijadikan acara tahunan untuk mengingatkan kembali kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan dan berusaha meletakkan bahasa Melayu di tempat yang wajar dalam pembangunan negara masa kini.
Menurutnya, Kalam yang mengepalai Hari Pejuang Bahasa 152 dengan sokongan banyak persatuan penulis dan NGO Melayu gembira kerana mendapat sokongan pelbagai pihak untuk menganjurkan acara penting bagi memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini. Sokongan itu diharap boleh memberi isyarat kepada pembuat dasar supaya berhati-hati menggubal sesuatu dasar yang melibatkan masa depan dan kepentingan bahasa Melayu.
Puisi Keranda 152 mengutarakan rasa kekecewaan Usman Awang kepada bangsanya, iaitu Orang Melayu. meskipun orang Melayu memegang kuasa atau suara teramai di Parlimen tetapi gagal meletakkan bahasa Melayu pada tempat yang sewajarnya. Orang Melayu seolah-olah telah menjadi kelu dan bisu terhadap bahasanya sendiri. Sekiranya pada waktu itu kedudukan bahasa Melayu tidak dapat dipertahankn, maka tidaklah pelik seandainya kebelakangan ini terdapat orang Melayu secara nyata merendah-rendah dan mengetepikan bahasa Melayu.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Selasa, Ogos 04, 2015

Anekdot Gergasi Seekor Toyol


DI SEBUAH negeri yang hilang dari sejarah, terjadi kegalauan penduduknya apabila perkhabaran adanya seekor toyol yang tidak diketahui asal usulnya. Ada yang memberitahu toyol itu dipelihara oleh seorang bomoh di hujung bukit. Ada yang bersangka dia dibawa oleh seorang saudagar bintang kebesaran dari tanah besar. Bahkan ada maklumat bahawa toyol itu sesat dari negeri seberang. Banyak sekali spekulasi. Banyak juga persepsi mengenainya. Seekor toyol kini menjadi gergasi pula! Ikuti anekdot ini.

Beberapa orang perempuan sedang bersembang di bawah sebuah batu besar.  Tetapi yang rancak bercerita hanya dua orang. Seorang perempuan gempal dan tinggi, wajahnya sedang-sedang tetapi matanya tidak bertumpu ketika melihat temannya. Seorang lagi kurus kecil, rambutnya kekuningan akibat cuaca di pulau. Si perempuan gempal inilah yang membawa cerita tentang seekor toyol sedang bermaharajalela di pulau.

'Betul, kalau tidak percaya, nanti aku panggil di Kiram mata biru itu.,' katanya apabila si perempuan kurus itu mengulangi keengganannya untuk percaya, sebagaimana hari-hari sebelumnya.

'Manalah ada. Kalau ada habislah duit aku kena kebas! Lagipun banyak mana duit orang-orang di pulau ini.' Sambil ketawa terbahak-bahak, si perempuan kurus, mengusap-usap mukanya.

'Kau jangan sombong sangat, kalau toyol itu sampai di bilik rumahmu, rasalah nanti,' sambungnya.

'Cubalah, aku terajang si ketot itu. Bila dia pengsan aku ikat tangan dan kaki dia. Kemudian aku masukkan ke dalam reban ayam, biar dia tinggal bersama ayam. Eh, jangan, jangan reban ayam, habislah ayam-ayam aku nanti. Aku gantung dia di kandang babi, baru dia rasa kena kerjakan oleh babi-babi itu!' Perempuan kurus itu pun bangun dan menari-nari. Dia melompat-lompat. Kemudian dia menangkap akar-akar yang berjuntaian di atas batu besar itu. Dia mula bernyanyi.

Toyol
Toyol
Toyol
kalau kau toyol
marilah ke sini...
marilah ke mari
kita sama-sama menari
kita sama-sama menyanyi....

Perempuan gempal itu mula naik angin kerana dia seperti diperolok dan dipermainkan. Dia juga bangun dan membetulkan celananya yang hampir terlondeh. Tanpa menghiraukan perempuan kurus itu, dia  berteriak sekuat hati. 'Toyol! Mari kau ke sini! Tunjukkan muka kau!' Besar sekali suaranya hingga anak-anak ayam yang lalu bertempiaran lari. Begitu juga budak-budak yang bermain-main di situ menghindarkan diri daripada kumpulan perempuan itu. Perempuan-perempuan yang lain mulai beredar. Barangkali budak-budak dan para perempuan itu berfikir, dua orang perempuan ini memang sudah hilang akal. Perempuan gempal ini bertempik lagi sambil menghentak-hentakkan kedua-dua belah kakinya. Bergegar-bergegar badannya. 'Tengoklah, sekejap lagi toyol itu akan keluar dari hutan.' Sambil menunjukkan kedua-dua tangannya ke arah hutan di atas bukit pulau itu.

Terdiam perempuan kurus itu. Matanya liar melihat ke kanan dan ke kiri. Dia lepaskan dirinya daripada tali akar yang melingkari dirinya. 'Hei, aku tanya ni. Aku fikir kau sukakan toyol itu, jangan-jangan kau dapat sesuatu dari dia ar? Betulkan? Betulkan?' Perempuan kurus itu mendekati. Disentuhnya hidung pesek perempuan gempal itu. Dia seperti mendesak.

'Kau gila!' Perempuan gempal itu ketawa.

'Kenapa tidak, kan toyol itu banyak duit. Kau bilang dulu, si toyol itu sering berjalan dari pulau ke pulau. Dia sudah ambil banyak duit orang. Silap-silap duit para orang kaya di tanah besar. Duit orang miskin. Duit para nelayan. Kau jangan tipu ya?'

'Hei, perempuan kurus kering, jangan kau fikir aku gempal kerana kenyang dari toyol itu. Aku ada laki. Aku ada anak. Mereka semua bekerja. Mereka rajin cari duit. Bukan macam kau. Laki kau pemalas. Asyik meminta sahaja. Layak macam pengemis. Ya, betul memang mengemis!' Perempuan gempal itu kembali duduk di bawah batu besar. Dia ambil daun sirih. Dia taruh kapur dan pinang yang sudah dikupasnya di rumah.

'Jangan hina laki aku. Biarpun dia begitu, dia tetap laki aku. Aku bini dia yang  sangat sayangkan dia dan patuh pada dia. Kita ni manusia yang asa otak. Fikirlah sedikit. Memang kita susah. Apa sahaja yang laki aku bawa pulang kami terima. Bersyukurlah. Hidup bersederhana sahaja. Tidak mengada-ngada. Kau itu lain, selalu belayar ke seberang. Aku fikir-fikir manalah kau mampu. Anak beranak lagi tu, makan angin. Aku tahu, jadi macam kami ni hidup susah dan tidak mahu susahkan orang, tengok sahaja. Laki aku cakap, biarlah. Jika kita mahu kita pergi biarlah bersampan. Tidak payah pakai kapal besar. Sampai juga kita ke bandar tu. Ini negeri kita, pulau ini tempat kita. Jangan cepat terpengaruh. Kita tidak tahu orang lain itu dapat duit dari mana? Diorang curi barangkali, atau si toyol itu yang beri!'

Panjang celotehnya. Perempuan kurus itu tidak mahu berhenti bercakap. Walau pun perempuan gempal berusaha untuk memotong kalimahnya. 'Aku percaya kau dapat duit dari toyol itu kan?' Diulangi lagi kenyataannya. Perempuan gempal itu diam.

'Nah, kalau diam, betullah tu kan?'

'Tapi, kau jangan bagi tahu orang lain. Kalau kau mahu aku boleh minta tolong dia,' perempuan gempal itu tidak dapat mengelakkan dirinya lagi. 'Kalau si Kiram Mata biru itu tahu, habislah aku. Kau tidak tahu, dia tu sukakan sangat anak perempuan aku. Bila dia bagi tengok duit dia, laki aku mula mulai risau.'

'Kenapa dia risau?'

'Kenapa tidak, apalah kerja si Kiram mata biru tu. Duit dia banyak. Aku ingat dia ni yang jadi toyol tu.'

'Kenapa pula begitu?'

'Mana bah ada toyol sekarang ni. Ya rasa, gergasi si Toyol tu si Kiram nilah.'

Aduh, si perempuan kurus menggaru-garu kepalanya. Angin mula berhembus agak berat. Malam sedang tiba.

'Patutlah tu, dia boleh bawa kapal, besar!'

'Dia tu pintar. Pandai bercakap tapi putar ular!'

'Kau pula kenapa dengar cakap dia?'

'Payah ni nak cakap, aku mahu anak aku senang. Nanti dapat tinggal di bandar. Lama sudah aku tinggal di pulau ini. Di pulau ini apa yang ada.'

'Jangan begitu, kita dibesarkan di pulau ini. Sama-sama kita membesar di sini. Susah, susah juga. Tapi, apa boleh buatlah, itu nasib kau. Anak kau juga. Jangan sampai nanti di tanah besar dia diabaikan. Buat kerja yang bukan-bukan. Bukan kau tidak tahu banyak cerita di bandar tu. Tidak bagus budak-budak perempuan berada di sana kalau belum sampai masanya.'

'Tidak boleh dielak sudah ni. Laki aku sudah setuju. Dengan syarat si Kiram mata biru bagi kami kesenangan. Kami tahu dia boleh bagi. Kalau orang-orang luar dia boleh bantu kenapa kami tidak? Nah, besok lusa, diorang bagi bintang kebesaran di tanah besar itu kepada orang luar itu, siapa tahu kan?'

Perempuan kurus sepatutnya mahu juga berhujah, tapi dia berfikir semula. Kalau dia mahu bercakap antaranya begini: 'ada masanya orang mahu senang tapi bukan senang hidup senang. Dia tidak mahu susah dulu baharulah senang. Maka, caranya senangkan orang dengan gigih, pandai bercakap, bercakap untuk kepentingan diri siapa peduli. Asalkan muka nampak baik. Semua orang percaya.' Tapi dia tidak mahu bercakap lagi. Dia diam. Dia hanya menyimpul senyuman. Entah mengapa.

Rupanya, si perempuan gempal mahu berangkat pulang. Si Kiram mata biru sedang menuju ke rumahnya. Ada persoalan dalam fikiran perempuan kurus itu, siapakah yang bersama si Kiram bermata biru itu? Dia nampak dua mahluk bersama si Kiram,  seorang ketot dan seorang besar tinggi menggalah yang menggendong mahluk ketot, pada masa itu.

Pasti ada sesuatu, fikirnya, lalu dia segera beredar balik ke rumah. Berlari-lari anak meredah gelap. Bayangkan andai ada gergasi dan seekor toyol benar-benar berada di bilik rumahnya. Dia harus siap sedia untuk melawan segala kejahatan. Lariannya semakin kencang. Palis-palis!



PUSTAKA IQBAL NAZIM

BICARA KARYA - Kumpulan Puisi 'Mahagar'

MENELUSURI KEINDAHAN DALAM 'MAHAGAR'
KARYA NORJANNAH M.A.

SABAH menjadi antara negeri-negeri di Malaysia yang melahirkan ramai penulis berbakat termasuk dalam kalangan wanita. Penulis-penulis seperti Suhani S., Zaiton Ajamain, Rubiah Nordin, Sairah Haji Antin, Dayang Aminah Ali, Sal
bia Mahmud disusuli oleh Mariam Omar, Siti Rahmah G Ibrahim, Anas Ansayu Ogos, Obasiah Haji Osman, Siti Hadiah Abdul Mutalib seterusnya nama-nama seperti Ruhaini Matdarin, Faridah Abdul Hamid, Pena Alam, Ony Latifah Osman, Sahara Jais, Ramlah Abd Rashid, Dayangku Masturah Pengiran Ismail, Kathirina Susanna Tati, Norjanna M.A, Jaliha Jaman dan ramai lagi. Dalam genre puisi sebahagian nama-nama besar telah disebutkan. Daripada nama-nama itu,  Suhaini S atau nama sebenarnya Datuk Hajah Noraini Datuk Salleh, Zaiton Ajamain dan Sairah Haji Antin merupakan penerima anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah. Anugerah ini adalah sebuah penghargaan yang dikhususkan kepada para penulis beragama Islam yang telah mencapai satu tahap kecemerlangan dalam bidang penulisan di negeri Sabah. Lebih daripada itu kecemerlangan paling berprestij yang pernah diraih oleh penulis wanita di Sabah ialah melalui anugerah SEA Write Award yang diterima oleh novelis terkenal Azmah Nordin.

Dalam perkembangan penulisan kreatif di Sabah, jumlah para penulis sentiasa bertambah termasuklah dalam genre puisi. Dari segi gender, penulis wanita menjadi pesaing yang luar biasa dengan penulis lelaki terutama sekali novel dan cerpen. Namun bagi puisi, golongan hawa ini masih jauh ke belakang apabila diambil kira dari segi penerbitan buku dan bahkan karya-karya eceran di media arus perdana. Berbanding novel, hanya sebilangan kecil penulis-penulis yang berwibawa mengambil inisiatif mengumpulkan karya-karya mereka untuk diterbitkan sebagai karya buku persendirian. Buku-buku yang telah diterbitkan misalnya karya Zaiton Ajamian berjudul 'Bagai Layang-Layang' pada tahun 1991, Kumpulan Puisi 'Pelayaran' karya Rubiah Nordin, Kumpulan Puisi 'Bisikan Nurani' karya Dayang Salmah Salam, Kumpulan Puisi 'Perahu' karya Ramlah Abd Rashid dan Kumpulan Puisi 'Mahagar' karya Norjannah Mohd Adnan.

Dari segi penghasilan buku-buku puisi persendirian di Sabah, kelahiran Mahagar dan Perahu dianggap sebagai satu fenomena ledakan dunia penerbitan yang luar biasa di Malaysia. Namun kedua-dua buku agak berbeza disebabkan Perahu merupakan hasil peraduan penulisan anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2013 sedangkan Mahagar lahir atas inisiatif penulisnya apabila ITBM diberikan mandat menerbitkan buku-buku sastera oleh Kerajaan Malaysia. Kebangkitan para penulis begitu terserlah apabila dalam tempoh dua tahun di mana para penulis Sabah juga ikut sama-sama mengambil peluang ini.

Dalam tulisan ini, Mahagar akan diberikan tumpuan. Pengarangnya, Norjannah M.A bukanlah seorang penulis baharu lahir kerana beliau telah menceburkan dirinya  dalam bidang penulisan sejak 1989 tetapi terhenti pada tahun 1991 apabila berhijrah  dari Sabah ke Pulau Pinang. Beliau aktif semula menulis pada tahun 2010 seterusnya melahirkan sebuah buku puisi pertamanya, Setia Mengalir. Setia Mengalir diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) pada 2011. Di peringkat awal, Norjannah cenderung menghasilkan cerpen. Menurut catatan Zaiton Ajamain yang memperkatakan Setia Mengalir, sungguhpun bidang penulisan cerpen memberikan ruang yang cukup luas untuk mengongsikan segala cerakinan dan cerapan pemerhatian serta pemikiran berbending genre puisi yang bergantung besar kepada pengungkapan segala rasa melalui pemilihan kata atau ungkapan yang amat terbatas, akhirnya Norjannah memilih genre puisi.

Dalam Mahagar, yang mengandungi 49 buah puisi, ini mengekalkan pendekatan Norjannah menggarap persoalan-persoalan diri, merakamkan kasih akan Maha Pencipta dan rakaman episod-episod kehidupan yang dilaluinya. Semasa menerima buku kecil daripada penulis yang berasal dari Kampung Batangan Tuaran ini, kata pertama yang menjadi persoalan ialah makna 'mahagar' itu sendiri. Ternyata kata 'mahagar' tidak terdapat dalam Kamus Dewan atau mana-mana kamus yang dirujuk. Pada blurb buku ini memberikan jawapan bahawa Mahagar ialah sebuah nama, rasa kasih yang mengikat dan rasa bersalah yang menjelma. Mahagar adalah nama adik bongsu pengarang.

Kepengarangan Norjannah M.A. keseluruhannya tertumpu kepada aspek keTuhanan. Meskipun secara organiknya, beliau telah mengadaptasi rentetan kehidupan diri dan pengalamannya dalam dunia yang teradun bersama-samanya persoalan kemasyarakatan, cinta dan kasih sayang. Norjannah M.A telah melalui jerih perih kehidupan di negeri orang begitu lama. Beliau intim dengan dirinya sendiri. Dalam situasi ini Norjannah M.A harus memiliki kekuatan atau jati diri yang luar biasa. Sebuah catatan penting pernah ditulisnya dalam buku Setia Mengalir: saya sering mengingati pesan ibu saya, Surip Salmi Balanting. Katanya, sayangi orang-orang yang ada di keliling kamu, biarpun mereka akan menyakiti kamu dan kamu harus selalu sabar kerana Tuhan sayang orang-orang yang sabar. Kata-kata ibu saya banyak mengajar saya untuk menghargai makna sebuah kasih sayang kasih sayang mengajar saya bermuhasabah, mengenal diri dan mengenal Tuhan.

Pelbagai cabaran diharunginya, Norjannah memberikan jawapan:

'Dalam ujian-Nya aku sudah siap
di setiap gelanggang
aku harus tenang
sabah dan tabah
dan yang penting
aku harus lebih bijaksana
mengemaskan sebuah kapal
sebelum meneruskan pelayaran'
('Inilah Jawapan', m.s 4)

Seputar menelusuri rahsia kehidupan tanpa disedari kita sebenarnya sedang menyembunyikan suara yang amat mendekam di dalam fikiran. Sesuatu yang tidak mungkin mampu dibongkar dalam keadaan yang biasa namun demikian diksi sebagai kalimah puitis sentiasa mewarnai episod demi episod pencitraan. Di situ moral perkisahan batiniah dipelihara. Persetiaan sebagai insan yang lembut tetapi tabah mengakari ciptarasa seorang penulis. Sebagai wanita yang hebat dan menjadikan suara ibunya sebagai ikon dalam mengharungi ujana perjalanan hidup, Norjannah M.A tidak pernah gentar meneroka cabaran hidup. Kata kunci sebagai pegangannya iaitu kembali kepada yang Haq. 'Cinta Sempurna', suara jiwanya berkata:

Saat pintu hijrah mengetuk diri
dalam lindungan rahmat-Nya
percikan dari Nur hikmat-Mu
melalui musim-musim luka
menongkah arus takdir-Mu
sabar dalam duga yang mencabar
mengembalikan iman menyeberangi takwa
(Cinta Sempurna, m.s. 3)

Insan yang sensitif terhadap perjalanan kehidupan yang penuh dengan pelbagai rahsia, sentimen dan nilai sentiasa akan menghargai masa lalunya. Sesetengah individu tidak ingin mengingati kembali peristiwa yang laluSebuah sentimen akan melabuhkan tanggapan yang mungkin di luar dugaan biasanya wujud pandangan yang negatif. Sedangkan kehidupan yang dianugerahi Allah s.w.t merupakan sesuatu yang harus dinikmati dengan positif. Natijahnya, persengketaan tidak pernah kunjung selesai. Norjannah M.A menulis bahawa 'syurga bukan lagi pilihan, falsafah diri menjadi pertikaian' (Persengketaan, m.s. 16).

Kesedaran sebagai penulis Muslimah yang penuh dengan susila dan adab, Mahagar antara karya yang wajar diberikan perhatian. Walaupun, Norjannah M.A merupakan seorang mualaf seluruh jiwanya tumpah ke arah adabiah seorang Muslimah sejati. Jiwa seperti ini harus berada di dalam setiap diri penulis. Sifat persuratan dalam Islam, seperti ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi, rahimahullah, 'gabungan isi kandungan yang luhur dengan bentuk yang luhur' diisyaratkan dalam al-Quran seperti berikut:

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan  kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat (tegak) sedikit pun. Allah             meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (14: 24-27)

Kesusasteraan yang demikian sifatnya, menurut Mohd Affandi Hassan, hanya dapat dilahirkan oleh para penulis yang beradab, yang beriman, yang mengerjakan amal salih. Al-Quran mengutuk penulis (penyair) yang berbohong, munafik, yang bermain dengan mata-kata tanpa tujuan yang baik dan pendirian yang benar.

Dalam Mahagar, pengarang mengutus perasaan cintanya secara beradab, misalnya dalam'Sajak kepada Awan Indah':

Kupinjam bahasamu awan indah
kerana aku merindumu
pada alur liku diksi puisimu
adalah roh akrab menyatu
menyeberangi rindu
bicara tentang Mahizatul Hasanah
tentang nafsu mutmainah
terapung di ujana kalbu
menterjemah makna ratib qasidah
memelihara sinar agar tak lebur dek cahaya

(Sajak kepada Awan Indah, m.s. 51)

Sebelum itu, melalui puisi 'Si Baju Merah di Negeri Rembulan', pengarang meceritakan kerinduannya. Impian sebuah pertemuan yang tertangguh diungkapkan melalui objek 'baju merah' yang menggambarkan sebuah rindu yang berkobar sedang 'di Negeri Rembulan' menyatakan hasrat yang bertarung dalam kesamaran. Norjannah M.A merakamkan isi hatinya,

mengucap salam menyapa Jannah
zikir kasih tidak bernoktah
istikharah rindu membius ke jiwa kejora
si baju merah dengarkan suara hati
bersatukan cinta di negeri rembulan?
tak rekah wajah si baju merah
semakin merimbun pohon hijau
bernyawa cinta
meski ada mega menguji langkah
keberangkatan kejora
berlabuh di dermaga setia
mencunbu malam-malam
tahajudnya.

(Si Baju Merah di Negeri Rembulan, m.s. 18)

Kesinambungan terhadap puisi-puisi indah dalam Mahagar sebenarnya mempunyai pertalian antara satu dengan yang lain. Puisi 'Nyawa Cinta' tidak terlepas daripada ikatan citraan cinta. Penciptaan puisi ini terlalu tinggi nilainya.

aku tidak membohongimu awan indah
semilir di Pulau Memutik atau cumbu bayu
di pesisir Kuala Tombol dan Pulau Manukan
aroma perkasihan saat ini adalah persetiaan
meski sesekali ada ribut yang telah terencana
menggerinjiskan doa munajat yang menghiasi
cahaya nafas mentari kita memasang sayap
terbang menyeberangi mendakap reda Ilahi
tak terungkap kata di saat aku mencari ...
(Nyawa Cinta, m.s. 74)

Mahagar mempersembahkan sebuah karya sastera kreatif yang kaya dengan unsur-unsur keindahan. Puisi harus indah. Tanpa unsur keindahan puisi tidak mungkin terbangun dalam kesatuan sebagai karya yang baik dibaca. Keindahan membentuk nilai yang membawa secara semula jadi ke arah memahami sesebuah karya. Sebagai sebuah karya kreatif, penyair melahirkan pemikirannya menerusi pembinaan kata-kata terpilih membentuk ungkapan-ungkapan dalam pelbagai jenis gaya bahasa. Penyair tidak perlu memaksa sesuatu idea atau gagasan pemikiran itu dilahirkan tanpa perenungan. Dengan renungan yang mendalam suatu kesan yang terbaik bakal dicerna.

Pengalaman atau peristiwa masa lalu dialami setiap insan. Keistimewaan merungkai semula peristiwa-peristiwa masa sudah boleh berlaku dalam kehidupan. Di dalam yang mengandungi kepelbagaian emosi seperti rasa rindu, sedih, gembira dan sebagainya. Gambaran peristiwa yang berbaur dalam keanekaragama suasana memberi impak tersendiri dalam mengungkapkan perasaan. Sikap terhadap pemikiran yang ingin dikongsikan lazimnya menceritakan tentang diri sebagai salah satu langkah pemaparan biografi dalam bentuk kreatif.

Aku akan ijab kabulkan bahasa kita
Sebagai hadiah buatmu

Apakah yang kita temukan dalam ungkapan-ungkapan di atas? Sebuah ungkapan yang amat selektif biasa tetapi indah.

berkurun lama kita tak pernah
mencari kata-kata yang paling baik
(Sajak Pengantin, m.s 46)

Konsep keindahan itu sendiri sangatlah abstrak, ia identik dengan kebenaran. Batas keindahan akan behenti pada pada sesuatu yang indah dan bukan pada keindahan itu sendiri. Keindahan mempunyai daya tarik yang  selalu bertambah,  sedangkan yang tidak ada unsur keindahannya tidak mempunyai daya tarik. Orang yang mempunyai konsep keindahan adalah orang yang mampu berimaginasi, rajin dan kreatif dalam menghubungkan benda satu dengan yang lainnya. Dengan kata lain imaginasi merupakan proses menghubungkan suatu benda dengan benda lainsebagai objek imaginasi. Demikian pula kata indah diterapkan untuk persatuan orang-orang yang beriman, para nabi, orang yang menghargai kebenaran dalam agama, kata dan perbuatan serta orang–orang yang saleh merupakan persahabatan yang paling indah.

Jadi keindahan mempunyai dimensi interaksi yang sangat luas baik hubungan manusia dengan benda, manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan, dan bagi orang itu sendiri yang melakukan interaksi.

Misalnya dalam puisi 'Akad Bahasa', keindahan yang telah dilakukan pengarang dengan memilih kosa kata yang luar biasa. Puisi bernada sinis ini ingin menyampaikan sikap sambalewa sesetengah orang terhadap sesuatu isu penting:

Masih keliru
bagai ayam putih terbang siang
ayam hitam terbang malam
air setitik dilautkan
tanah sekepal kaugunungkan

Rindumu
bagai air di daun keladi
bagai hujan jatuh ke pasir
bagai ikan terkena tuba
bagai kaduk naik junjung

Kau kembali
bagai tikus membaiki labu
Bagai diam ubi berisi
rumah siap
pahat masih berbunyi

Berhentilah
menjadi kekura
di atas dahan.
(Akad Bahasa, m.s. 53)

Pengungkapan keindahan dalam karya seni didasari oleh motivasi tertentu dan dengan tujuan tertentu pula. Motivasi itu dapat berupa pengalaman atau kenyataan mengenai penderitaan hidup manusia, mengenai kemerosotan moral, mengenai perubahan nilai-nilai dalam masyarakat, mengenai keagungan Tuhan, dan banyak lagi lainnya. Tujuannya tentu saja dilihat dari segi nilai kehidupan manusia, martabat manusia, kegunaan bagi manusia secara kudrati.

Dalam bidang puisi keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata, asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting khususnya dalam karya sastera khususnya puisi. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana, kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan memilih gaya baharu.

Menurut pandangan Dr. Sidi Gazalba, seni sebagai penjelmaan rasa keindahan umumnya, rasa keterharuan khususnya, untuk kesejahteraan hidup. Rasa ini disusun dan dinyatakan oleh fikiran sehingga ia menjadi bentuk yang dapat disalurkan dan dimiliki. Dalam pengertian "menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan adalah tiap orang terlibat dengan kesenian dalam kehidupan sehari-hari".

Justeru, setiap karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan luaran, keindahan mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat diseimbangkan dalam karya yang dicipta.

Begitulah, sukar dan payah setiap pengkarya sastera menghasilkan karya yang baik disertai dengan nilai-nilai keindahan dan estetik yang unggul. Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang menggunakan bahasa yang indah dan berkesan akal kekal dalam ingatan para pembaca yang akhirnya memberikan teladan yang baik kepada mereka.

Mahagar sudah tentu bukan sebuah karya yang selesai bagi Norjannah M.A kerana pengarang luar biasa ini mempunyai masa depan yang cemerlang dalam perpuisian tanah air. Pengarang ini yang turut menjadi antara pemerima Hadiah Sastera Sabah pada tahun 2014 percaya masa depan sastera kreatif memberikan ruang kepadanya menyatakan sikapnya terhadap perjalanan hidup. Beliau yang akrab dengan tema serta persoalan pertasdikan atau pentauhidan hamba-Nya sangat signifikan dalam sebahagian besar karya-karyanya. Kebijaksanaan Norjannah M.A bermain dengan kata-kata, memilih diksi yang sesuai memberikan kekuatan kepada semua karyanya dalam Mahagar.  Bagaimanapun terdapat kekurangan yang amat nyata dalam Mahagar iaitu ketiadaan penjelasan kosa kata-kosa kata bahasa Arab dalam bentuk glosari. Secara keseluruhan, Mahagar memberikan kepuasan nilai keindahan yang tersendiri yang boleh dipertanggungjawabkan. Kesimpulan yang sederhana ini diyakini memberi iltizam yang lebih tinggi agar Norjannah M.A mampu mempertingkatkan lagi tahap kepengarangannya sekali gus memartabatkan puisi sebagai genre yang disukai generasi masa kini.


BIBLIOGRAFI

Hamidah Abdul Hamid. (1995). Pengantar Estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Affandi Hassan. (1992). Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norjannah M.A. (2011). Setia Mengalir. Wilayah Persekutuan Labuan. PERWILA.

____________ (2013). Mahagar. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Suwardi Endraswara. (2002). Metodologi Penelitian Sastra Epistemologi, Model, Teori dan Aplikasi. Jakarta. CAPS.


PUSTAKA IQBAL NAZIM