Sabtu, Disember 18, 2010

'Gigitan' Pontianak - bukan sekadar catatan perjalanan

Istana Kadriyah atau Istana Keraton Kerajaan Pontianak.

Kenangan: Tugu Khatulistiwa

 
Ziarah Makan Opu Daeng Manambun di Sebukit Mempawah


 Rehat: meneguk air kelapa muda, dalam gerai yang becak.

 
GIGITAN PONTIANAK 
Tidak Sekadar Catatan Perjalanan 
Oleh Hasyuda Abadi 

I. 
Menyeberang sempadan negara bermakna harus membawa bersama sebuah buku yang tanpanya bererti suatu masalah besar akan dihadapi. Bahkan tidak itu semata-mata, selain berbaris panjang di Tebedu juga terpaksa berjalan lagi agak sedikit jauh setelah Entikong menjabarkan peraturan negaranya sekali lagi membawa sebuah buku, merakam kesepuluhan jari dan wajah kita siap untuk difoto. Wah, kemudian bergegas ke bas membawa beg pakaian yang akan discan, segalanya termasuk buah hati saya, si Nikon yang setia. 

Sebenarnya kami bertolak dengan bas Damri, namanya, dari Bandar Kuching sekitar jam 7 pagi. Dua jam kemudian wajib diperiksa sebelum masuk laluan ke destinasi iaitu Kota Pontianak. 

Duduk bersebelahan dengan Tuan Haji Hussin Kasau (Bung Hussin) sentiasa mendengar pengkisahannya yang terlalu membahagiakan. Dia orang lama yang pernah menjadi begitu berani menulis apa-apa sahaja ketika mudanya, memberikan iltizam bahkan ilmu bantu yang berguna. Jangan bicara soal dunia politik, ia malah boleh mengatakan apa sahaja, budaya serta sejarah dan dunia buku. Ini diperteguh apabila perjalanan kami menjadi lengkap dengan adanya sahabat baik saya, Abd Naddin Haji Shaiddin. Dia ada pengalaman berjalan ke Kota Pontianak, kami merasa begitu terpesona kerana sudah ada pandu yang akan memandu kami khususnya untuk menunaikan hasrat lawatan ini. 

Seperti digambarkan oleh Bung Hussin sebelum berangkat, pertama kali kami bersantai di sebuah restoran di Plaza Tanjung Aru, sekurang-kurangnya empati lokasi utama. Pertama, tugu khatulistiwa. Kedua, istana keraton Pontianak. Seterusnya, mendapatkan buku-buku terbaik Indonesia dan akhirnya, kata bung Hussin, kalian tidak rugi jika dapat ziarah di sebuah makan pembesar Bugis di Mempawah. Apa yang dimaksudkanya itu ialah makam Opu Daeng Menambun. 

 Perjalanan begitu panjang dan betul-betul jauh. Tiga tempat disinggahi untuk rehat dan makan. Hampir sepuluh jam begitu. Memang memenatkan walaupun hanya duduk-duduk sahaja sambil menonton VCD lagu-lagu dangdut. Ewah... bergoyang-goyang juga kaki saya. Jam enam sore waktu Kota Pontianak, kami tiba, langsung mendapatkan sebuah kenderaan untuk dihantar ke Hotel Mercure, tapi sopir itu tersilap membawa ke sebuah hotel lain. Tidak tahu mengapa, mungkin disebabkan macet atau agak jauh. Kata Bung Hussin, baiknya jika menginap di Hotel Mercure itu sebetulnya ia berdekatan dengan sebuah mall. Mall ini menempatkan sebuah gedung buku, salah satu lokasi perjalanan kami di Ponianak. 

  Kota Bernama Pontianak 

Pontianak telah kujejaki, riuhnya seperti di kota-kota lain, ucapan selamat datangnya memperkenalkan rasa, cuaca dan lumrahnya sebuah perjalanan, cuma malam segera menggamit penat untuk segera istirahat menanti beberapa hari yang baru, jika bisa kupelihara makna pertemuan ini selain beberapa catatan yang sentiasa akan dikenang.

Kota Pontianak Kalbar
5 Disember 2010 

II.
Hari pertama kembara tanggal 6 Disember. Jadual kami: Tugu Khatulistiwa. Dari hotel kami berkenalan dengan seorang sopir berbangsa Bugis. Orangnya masih muda, suaranya memang memikat meyakinkan malah banyak tahu tentang hal-hal penting di Kota Pontianak. Namanya Pak Hadi. Keretanya jenis Avanza berwarna hitam. Tugu Khatulistiwa atau Equator Monument berada di Jalan Khatulistiwa, Pontianak Utara, Propinsi Kalimantan Barat. Lokasinya berada sekitar 3 km dari pusat Kota Pontianak, ke arah kota Mempawah. Tugu ini menjadi salah satu ikon pelancongan Kota Pontianak dan selaluImbang Penuh dikunjungi masyarakat, khususnya pengunjung yang datang ke Kota Pontianak. Sejarah mengenai pembangunan tugu ini dapat dibaca pada catatan yang terdapat di dalam gedung. Menariknya setiap pengunjung akan dianugerahi sebuah piagam perlintasan khatulistiwa (Certificate of Equator Crossing) yang ditandatangani oleh walikota Pontianak, H.Sutarmidji, SH.M.Hum. Piagam ini diberi kerana pengunjung telah melintasi khatulistiwa di garis 109 20' 00". Peristiwa penting dan menakjubkan di sekitar Tugu Khatulistiwa adalah saat terjadinya titik kulminasi matahari, yakni fenomena alam ketika matahari tepat berada di garis khatulistiwa. Pada saat itu posisi matahari akan tepat berada di atas kepala sehingga menghilangkan semua bayangan benda-benda dipermukaan bumi. Pada peristiwa kulminasi tersebut, bayangan tugu akan "menghilang" beberapa detik saat diterpa sinar matahari. Demikian juga dengan bayangan benda-benda lain disekitar tugu. Peristiwa titik kulminasi matahari itu terjadi setahun dua kali, yakni antara tanggal 21-23 Mac dan 21-23 September. Peristiwa alam ini menjadi acara tahunan kota Pontianak yang menarik kedatangan pelancong. 

Tugu Pertanyaan Tak ada jawapan selepas kubertanya inikah sebuah tugu yang dibawa khabarnya angin ke negeriku? Hanya sebuah toko yang sederhana dan pondok makan untukku membasahkan, di situ akalku tumpah tapi tak sempat merebak ketika kudengar bicara anak-anak kalian berada di negeri sendiri, seadanya sekali sekali orang-orang saling merakam kenangan di hadapan tugu, di bawah matahari pada garis lintang khatulistiwa yang menguja kutiba.

Tugu Khatulistiwa Pontianak

III.
Perjalanan 10 jam dari Bandar Kuching memang cukup memenatkan. Badan terasa sengal dan seperti ditarik-tarik. Ada sebuah kamar pijatan di sebuah lorong tidak jauh dari hotel. Setiap orang akan membayar 50.000 rupiah. Sambil Abd Naddin menemukan saudaranya, saya dan Bung Hussin lebih kurang sejam dipijat. Saya fikir akan mengendurkan ketegangan otot, tetapi ia sebenarnya menambah kesakitan yang sedang ada. 

Pijatan Pontianak
Merima saja dengan tenang bagaimana gentar ku saat kau sental segala urat dengan keras, telah kurasakan hirisan-hirisan yang membelah isi dan kulit, pada setiap titik kutemui detik sejati.

Pontianak
6 Disember 2010 

IV.
Tarikh 7 Disember 2010 bersamaan dengan hari pertama tahun hijrah 1432. Kami tidak meraikannya, rupanya tahun baru hijrah kami mulai di luar negeri, namun tetap sahaja dirasainya seperti berada di negeri sendiri. Ada perarakan persendirian di Kota Pontianak ini. Malah ketika melalui jalan ke Mempawah, kami terserempak dengan kumpulan berspeda, berarak dengan cara yang tersendiri. Saya tidak tahu hijrah di situ bagaimana dengan melihat sendiri sudah tentu ia merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Jalan raya mereka kuasai sebenarnya, kenderaan kami hampir diterbak. 

Hijrah di Kota Seribu Sungai Tiba hijrahnya waktu bernama usia atau masa lampau yang enggan lupa untuk segera berangkat, ketika kumelewati sungai Landak memandang saujana sosok motor dan tenat kota, tak berhenti mendengar bingar hingga kudihiburkan gudang kata-kata di perut Grand Mall, tak lagi dihirau ketika senja disembunyikan oleh doa-doa di kota seribu sungai. 

Kota Pontianak Kalbar
7 Disember 2010 

Menulis Cinta
Hujung malammu tak pernah kusesiakan, ketika sedia setia kusimpan bersama mimpi-mimpi yang sama, dapatkah lagi kukucup pipimu jika telah luruh musim-musim masa lalu? Ya, mari segera kembali memulai menulisnya walau kau jauh di ufuk sunyi, dan cinta tak pernah pergi.

Pontianak
7 Disember 2010

V.
Berbanding Bung Hussin dan Abd Naddin, saya tidaklah begitu teliti terhadap berkembangnya intipati sejarah nusantara, walaupun ia bukanlah hal baru,hanya selepas berkembara ini, telah mula melebar andatila masa sudah malah mulai tumbuh, paling tidak memperteguh apa yang telah sedia ada. Selain pengalaman saya merasakan ilmu perjalanan yang amat baik. Rencana untuk keluar dari Kota Pontianak menjadi kenyataan, apatah lagi pak sopir kami telah bersedia membawa ke Mempawah untuk langsung ke Sebukit. Di situ lokasi sebuah makam pembesar Bugis yang pernah memerintah Mempawah di abad ke-18 yang lepas. Namanya memang cukup terkenal di persekitaran Nusantara yang dikaitkan dengan Bugis Lima Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Manambun dan Daeng Kemasi. Jasadnya disemadikan di atas sebuah bukit, agak memenatkan juga, namun bukan kerana kepenatan yang diicari, justru sebuah makam yang dirumahi, maksudnya dijaga dengan baik. Di sekelilingnya merupakan hutan, diusiakan bersama saya fikir pohon-pohon tua yang menagakar. Di bawahnya merupakan sebuah sungai yang sedang mengalir deras. Banjir sebenarnya sedang berlaku ketika itu. Namun jalan kecil yang digenangi air tidak mematahkan semangat sopir kami yang kebetulan tidak pernah sampai. 

Pak Hadi bersyukur bersama kami kerana dia sendiri walau berketurunan Bugis malah selalu tidak berkesempatan semasa diajak ke makam Daeng Manambun. Daripada sosok wajahnya memang anak muda ini begini siaga untuk tiba dan selepas ini dia menjadi lebih bersedia untuk berkata apa sahaja mengenai pembesar Bugis itu. Nikon saya begitu asyik dengan keindahan hutan Sebukit, lantaran tergoda itu, saya terlupa bilangan anak tangga yang menyebabkan kami dan pengunjung yang tabah sampai diatas. Makam Daeng Menambun ini mempunyai keluasan lebih kurang 7 meter X 7 meter dan boleh menampung 20 orang sekali. Ketika itu kami turut disambut sekumpulan orang tidak jauh dari Mempawah akan memulakan upacara ziarah dan membaca surat Yasin. Pada mulanya sekadar untuk melihat-lihat, kami akhirnya ikut mengaminkan doa yang dikepalai seorang pemimpin rombongan itu. Terdapat sekurang-kurang tiga insan disemadikan dalam makam itu selain Opu Daeng Menambun. Bukit selalunya dikaitkan dengan strategi para pejuang masa lalu. Barangkali inilah juga jadi penyebab mengapa Daeng Manambun berada di Sebukit. Cuma yang tidak kelihatan sebarang tanda istana atau rumah-rumah lama sebagai bukti sebuah kerajaan pernah terjadi di situ. Jika timbul pertanyaan saya fikir dan orang lain juga, kehadiran kenderaan yang membawa sebilangan orang datang ke situ. Tanpa batas etnis atau kepercayaan agama hadir bersama niat yang tidak ketahuan. Soalnya, begitu orang memandang Daeng Manambun walaunpun datang dari daerah-daerah yang jauh. Tentu sahaja dengan kehadiran orang-orang seperti kami, menjelaskan bagaimana kebesaran seorang pemimpin Bugis di Nusantara, tetap diingat dan disanjung ratusan tahun.

Makam Sebukit
Di Sebukit ini kukira telah begitu tua dimanjakan usianya, jika dapat kuhitung jarak waktu telah jutaan jejak tiba, dengan seutuh sasa dan gagah tanpa kau fikir dalam fikir mereka itu apa-apa sahaja, yang khusus dibawa bersama rahsia diri, mengagungi bahkan damba cerahan katarsis, apa sahaja melewati pohon-pohon tua dan saujana belantara.

Makam Opu Daeng Manambun 
Sebukit Mempawah 
7 Disember 2010

Menambun
Aora Menambun telah menembus garis etnis dan agama, tanpa goyah menatap bacaan masa sudah, kau gagah dan tak
pernah menyerah hingga ranum di segala hati jagat, menimbus curiga ufukmu sudah ada di mana-mana.

Mempawah 
7 Disember 2010 

VI.
Kota Pontianak pada hari ke-4 tidak begitu menyenangkan. Buminya basah, sepajang hari hujan dan banjir mula menakluk tempat-tempat rendah. Pak Hadi setia membawa kami bertiga meredah jalan kecil di Kampung Bugis Dalam. Keriuhan masyarakat di sepanjang jalan akibat banjir disambut meriah oleh anak-anak dengan galak mandi manda, aktiviti jual beli juga berlangsung seperti biasa, speda-speda juga keluar masuk di jalan begitu banyak sekali. Rupanya inilah wajah Pontianak di hujung tahun namun menurut Pak Hadi banjir kali ini agak luar biasa, rumahnya sendiri juga sedang dinaiki air. Sungai Kapuas yang besar itu sedang mengaum! Demi masa yang begitu sedikit dan memang rencana kami pada hari terakhir ini dengan melawat Istana Kadriyah atau Keraton Pontianak. Istana ini tidak jauh hanya lebih kurang 15 minit dari pusat kota. Terletak di Kampung Dalam Bugis, Pontianak Timur. Di dalam bangunan dapat ditemui peninggalan-peninggalan kerajaan seperti kursi singgasana, pakaian, cermin pecah seribu, keris, meja giok, meriam dan sebagainya. Keraton Pontianak berukuran 30 x 50 meter, keraton terbesar di Kalimantan Barat. Terbuat dari kayu belian dan dibangun oleh pendiri kota Pontianak, Sultan Syarif Abdurrahman pada 1771. Bangunan tua yang cukup megah ini dilapisi cat kuning yang melambangkan kebesaran kerajaan Melayu. Berhadapan dengan bangunan keraton terdapat masjid Jami yang dibangun hampir bersamaan.

Kami belum mendapatkan apa yang dicari iaitu sejarah Kota Pontianak itu sendiri termasuklah bagaimana Pontinanak mendapat nama. Kami mencari cara dan untuk mendapatkan maklumat, kami mengunjungi dua buah pejabat wisata yang ada kaitan dengan sejarah serta budaya Kota Pontianak. Namun maklumat yang menyeluruh tidak juga ditemukan, hanya pada akhirnya dimaklumkan supaya mencari sebuah pubrik cetakan buku. Dan sesampai di situ kami menemui sebuah buku berjudul ‘Perspektif Sejarah Berdirinya Kota Pontianak’. Dalam buku ini memang banyak tulisan berkaitan pembangunan Pontianak dari awal hinggalah sekarang.

Catatan sejarah telah memahatkan Syarif Abdurrahman, sebagai pendiri Kesultanan Pontianak. Beliau adalah putra Al Habib Husin, seorang penyebar ajaran Islam yang berasal Arab. Tiga bulan setelah ayahnya wafat pada tahun 1184 Hijriah di Kerajaan Mempawah, Syarif Abdurrahman bersama dengan saudara-saudaranya bermuafakat untuk mencari tempat kediaman baru. Mereka berangkat dengan 14 perahu Kakap menyusuri Sungai Peniti. Waktu Zohor mereka sampai di sebuah tanjung, Syarif Abdurrahman bersama pengikutnya menetap di sana. Tempat itu sekarang dikenal dengan nama Kelapa Tinggi Segedong. Namun Syarif Abdurrahman mendapat firasat bahwa tempat itu tidak baik untuk tempat tinggal dan ia memutuskan untuk melanjutkan perjalanan mudik ke hulu sungai. Tempat Syarif Abdurrahman dan rombongan sembahyang zohor itu kini dikenal sebagai Tanjung Dhohor.
Ketika menyusuri Sungai Kapuas, mereka menemukan sebuah pulau, yang kini dikenal dengan nama Batu Layang, di mana sekarang di tempat itulah Syarif Abdurrahman beserta keturunannya dimakamkan. Di pulau itu mereka mulai mendapat gangguan hantu Pontianak. Syarif Abdurrahman lalu memerintahkan kepada seluruh pengikutnya agar memerangi hantu-hantu itu. Setelah itu, rombongan kembali melanjutkan perjalanan menyusuri Sungai Kapuas.

Menjelang subuh, 14 Rejab 1184 Hijriah atau 23 Oktober 1771, mereka sampai pada persimpangan Sungai Kapuas dan Landak Setelah delapan hari menebas pohon di daratan itu, maka Syarif Abdurrahman lalu membangun sebuah rumah dan balai, dan kemudian tempat tersebut diberi nama Pontianak. Di tempat itu kini berdiri Masjid Jamek dan Keraton Pontianak. Akhirnya pada tanggal 8 bulan Sya’ban 1192 Hijriah, dengan dihadiri oleh Raja Muda Riau, Raja Mempawah, Landak, Kubu dan Matan, Syarif Abdurrahman dinobatkan sebagai Sultan Pontianak dengan gelar Syarif Abdurrahman Ibnu Al Habib Alkadrie.

Sejarah pendirian kota Pontianak yang dituliskan oleh seorang sejarawan Belanda, VJ. Verth, dalam bukunya Borneos Wester Afdeling, sedikit berbeza dari versi cerita yang beredar di kalangan masyarakat saat ini. Dalam bukunya VJ. Verth menulis bahwa Syarif Abdurrahman, putra ulama Syarif Hussein bin Ahmed Alqadrie (atau dalam versi lain disebut sebagai Al Habib Husin), setelah meninggalkan kerajaan Mempawah mulai mengadu nasib di laut.

Di Banjarmasin ia kawin dengan adik seorang sultan bernama Ratu Sarib Anom. Ia berhasil dalam perniagaan dan mengumpulkan cukup modal untuk mempersenjatai kapal pencalang dan perahu lancangnya. Kemudian ia mulai melakukan perlawanan terhadap penjajahan Belanda.

Dengan bantuan Sultan Passir, Syarif Abdurrahman kemudian berhasil membajak kapal Belanda di dekat Bangka, juga kapal Inggris dan Perancis di Pelabuhan Passir. Abdurrahman menjadi seorang kaya dan kemudian mencoba mendirikan pemukiman di sebuah pulau di sungai Kapuas. Ia menemukan percabangan sungai Landak dan kemudian mengembangkan daerah itu menjadi pusat perdagangan yang makmur. 

Istana Lama Entah berapa lama lagi sosok bangunan dapat bertahan, jika di dalamnya hanya ditinggalkan foto-foto lama, singgahsana dan ruai peraduan, entah berapa lama kekaguman menjadi suatu pandangan masa lalu, yang telah bisu, biar apapun telah sempat dijelaskan ranumnya sejarah dilipat kemas dan disimpan dalam kotak-kotak ingatan, ketika berada di tengah istana tanya bersahutan mengunyah kesedihan. 

Istana Kadriyah, 
Pontianak 

8 Disember 2010 

 Sengketa Satu jalan telah berbagi. Sudah sampai masanya kau bersiap untuk memilih. Apakah kelak benar jua yang telah kau pegang? Pandang saujana yang Tuhan berikan, bumi tak pernah rela diperbuat sengketa. Sayang nafsu menguasai segala. Duniamu teroka api menjadi lautan yang menenggelam. Sambil akal telah dibaham gelojoh. Satu jalan telah berbagi dalam dendam-dendam yang tak sudah. 

Supadio Pontianak 
9 Disember 2010

VII. 

Puisi terakhir di atas bertajuk ‘Sengketa’, dengan sengaja ditulis. Saya memandangnya ketika berada di negeri orang tentang sengketa yang berlaku di mana-mana di dunia, dan malah di negeri saya sendiri, Malaysia. Tuhan tidak memberikan bumi ini untuk bersengketa. Ia suatu rahmat dan anugerah agar mampu ditadbir dengan sebaiknya. Orang tidak lagi peduli semua itu. Nafsu sarakahnya hanya tahu menakluk walau dengan apa cara sekali pun. Barangkali telah dianggap salah bahawa dengan sengketa itulah perjuangan. Dengan sengketa sesiapa perlu berjuang untuk mencari kebenaran. Namun yang selalu menjadi mangsa ialah rakyat jelata, mereka seumpama pelanduk yang terkapar di tengah-tengah sengketa. Negeri tidak terurus dengan baik. Orang yang maju akan terus ingin maju, dia punya wang dan dengan wang itu dia boleh berdiri di hadapan dengan bangga. Dia berupaya menukar apa sahaja termasuklah menguasai ekonomi dan membentuk budaya hidup persekitaran. 

Bilakah akan berakhir segala sengketa itu? Gigitan Pontianak begitu dirasakan waima saat selepas kami berangkat dari Supadio Airport Pontianak dan tiba di Lapangan Terbang Kuching. Batavia Air hanya sempat 20 minit menyeberangkan kami dari sempadan dua Negara. Gigitan Pontianak menjadi pengalaman yang ketika darahku kembali diulit cuaca negeri sendiri, pandangan tentang betapa luasnya andatila Sungai Kapuas dan Sungai Landak. Rumah-rumah yang terbangun di bawahnya sungai atau sui yang membawa air untuk mereka mandi dan membasuk pakaian. Di Kota Pontianak yang merimaskan untuk menelan makanan apatah lagi ketika melihat sebuah warung bakso sebenarnya ia disediakan oleh orang bukan Melayu dan apabila menemukan rumah makan di sebuah jalan yang agak jauh, ia begitu kurang sempurna. Tuga Khatulistiwa memang amat infomatif untuk mengetahui gerak matahari, tetapi masih ada kekurangan yang sebaiknya disediakan prasarana untuk para wisata atau pelancong benar-benar takjub dengan kebesaran Tuhan. Banyak yang dirasakan tidak beres di situ namun barangkali inilah dia Kota Pontianak, jika anda ingin gambarkan sebagai kota hantu yang setelah menerima ‘gigitan’nya ia tidak mudah dilupakan begitu sahaja.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Jumaat, Oktober 08, 2010

DBP sebagai sebuah akademi

SAYA amat setuju dengan sebuah pendapat bahawa berbanding Sarawak, penulis-penulis di Sabah telah jauh ditinggalkan, bukan sahaja khazanah bukunya tetapi juga bilangan tokoh muda yang begitu dibanggakan. Sarawak tidak risau kerana memiliki talen yang begitu luar biasa dalam semua genre sastera. Sebaliknya di Sabah kita tercari-cari siapakah tokoh penulis mutakhir yang benar-benar berwibawa.‌

Penulis novel Sabah boleh dikira dengan jari, satu satu, terutama jika mengklasifikasi dari segi gender, ternyata tokoh wanita lebih menguasai. Pengarang cerpen dan puisi barangkali tidaklah begitu meresahkan, hanya diperlukan kegigihan yang perlu digandakan, termasuklah usaha untuk mengumpulkan karya menjadi buku. Dari segi penerbitan buku mutakhir terbitan DBP juga amat jelas sekali kemarau yang menjadi-jadi. Memandang sekilas senario ini kita sering mendengar persoalan di manakah silapnya padahal program-program penataran telah juga dilakukan.


Katakanlah kita mengharapkan DBP sebagai sebuah akademi atau dalam pengertian mudah sebuah organisasi yang mengumpul penulis atau bakat kepengarangan, mengasuh, membimbing, membentuk mereka sebagai pengarang yang berwibawa. Seterusnya 'mera
wat' secara berterusan karya-karya yang masih 'bayi' dan tanpa henti melakukan ini secara berlanjutan. saya juga berfikir, bukan tidak boleh dilakukan oleh badan-badan NGO yang berkaitan, paling tidak sekadar membantu agensi yang disebutkan awal tadi. tetapi akhirnya sejauh mana lahirnya penulis yang berilmu, mantap dalam karya, besar menterjemah tema dan alam kepengarangannya terletak kepada sebuah organisasi yang berwibawa dan dihormati yang memiliki sistem pengurusan yang bermutu tinggi. Untuk memastikan kehendak ini lebih yakin terurus ia juga memerlukan tanda aras dari segi kos kerana dana juga menjadi elemen penting, sekiranya ini tidak dipenuhi, apa juga yang kita mahu dan impikan tidak sampai ke mana-mana. Apa juga kita harapkan terserah kepada kecerdikan para pengurus yang saya fikir prihatin, prihatin sahaja juga tidak cukup tanpa gerak kerja atau tenaga tindak yang 'alang-alang'. Syabas jika anda juga mempunyai idealisme seperti ini.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Selasa, September 21, 2010

Tentang 9 Pembaziran

"Ibnu Qayyim al-Jauziyah mengatakan ada 9 pembaziran yang sering dilakukan manusia iaitu:

Ilmu pengetahuan
- Membazir jika tidak diamalkan untuk jalan kebaikan.

Amalan
- Membazir jika dilakukan tidak dengan hati yang ikhlas.

Kekayaan
- Membazir jika dibelanjakan pada perkara yang tidak bermanfaat dan tidak diredai Allah.

Hati
- Membazir jika kosong daripada kasih kepada Allah.

Tubuh badan
- Membazir jika tidak digunakan untuk beribadah kepada Allah.

Cinta
- Membazir jika dicurahkan kepada selain Allah atau melebihi cinta kepada-Nya.

Masa
- Membazir jika tidak diurus sebaiknya.

Akal
- Membazir jika tidak memikirkan sesuatu yang bermakna kepada agama.

Zikir
- Membazir jika tidak memberi kesan kepada hati.

Wallahu'alam.

Khamis, September 16, 2010

Juara Rakyat

Lirik Lagu Kita Juara Rakyat

Ke padang…! Ke lembah kita rentasi
Ke gunung…! Ke puncak kita bimbingi
Juara warga, juara nusa
Tugasan kita semua

Amanah…! Harapan menjaga rakyat
Dipikul…! Ditanggung ke akhir hayat
Setiap rakyat, perlu dibela
Itu perjuangan kita semua

Dekati rakyat dengan mesra
Selami hasrat dengan redha
Tak kira bangsa tak kira usia
Semuanya Satu Malaysia

Korus
Kita juara rakyat
Mendukung niat… Berbakti setia
(Mandarin) WO MEN…MING ZHU YING XIONG
Membantu rakyat selesa hidupnya
(Tamil) NAAM MAKKALIN VETRIYAALARGAL
Mari gengam niat murni pemimpin kita
Kita zahirkan Barisan Nasional
Kita Juara Rakyat

(Inggeris) WE ARE THE PEOPLE’S CHAMPION
Mendukung niat… Berbakti Setia
(Iban) KITAI…PEMENANG GHAKYAT
Membantu rakyat selesa hidupnya
(Kadazan) ZIKOI NO, LAYAT NAKAHANTOI
Mari gengam niat murni pemimpin kita
Kita zahirkan Barisan Nasional

KITA JUARA RAKYAT

KITA…JUARA…RAKYAT

Lagu: Pak Ngah
Lirik: Siso Kopratasa

Hari Malaysia

Saya ucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh warganegara
yang berada di mana pun di pelusuk negara dan dunia.

Gagah perwira kemegahan nusa,
Segak sasa menunaikan janji;
Hari bahagia Hari Malaysia,
Bertaut bangsa merdeka terbukti.

Memburu rusa di tengah hari,
Rusa berkeliaran menjadi mangsa;
Hari Malaysia di ufuk sanubari,
Kita rayakan sesungguh jiwa.

16 September 2010
Sandakan, Sabah.


SELAMAT HARI MALAYSIA!

Khamis, September 02, 2010

Salam Lebaran





Saya dan isteri, Sahara serta anak-anak mengucapkan
SELAMAT HARI RAYA
AIDIL FITRI

Maaf Zahir dan Batin

Bunga Raya kemegahan bangsa,
Di mata warga dipandang indah;
Hari Raya ucapan hamba,
Maafkan segala khilap dan salah.

Awan berapung dipanah matahari,
Cahaya benderang di celah bambu;
Pulang ke kampung berhati-hati,
Keluarga tersayang sentiasa menunggu.

Daripada:

HASYUDA ABADI & SAHARA JAIS
Anak-Anak: SYAHZIERAH & SYAHFIERAH
Ramin 8, Taman Puterajaya, Telipok,
Kota Kinabalu, Sabah.


Rabu, September 01, 2010

Mentafsir Tanah Air


Sebuah tanah air yang mengalir di dadanya
darah: bukan merah, bukan putih tapi ceria!

Sebuah tanah air yang dihidupkan di dada
pusaka moyangku
di situ cicit dan cucunya membesar
bersama gelombang dan denyut waktu
berliku, berputar, bertebar
di situ cicit dan cucunya menyedut segar
udara kemerdekaan
bertahta di perdu kemenangan wira

Memenangkan sebuah hasrat globalisasi manusia
yang dimerdekakan ini adalah perjuangan
hanya kami menyata bukti kukuh benteng naluri
teguh bakti memukau peradaban dunia masakini
di bawahnya saling memberi
sejati warganya memelihara keharmonian
di sinilah anak-anak sejarah dimamah enak
dijadikan hidangan pedoman

Sebuah hasrat yang menghijaukan manusia warganya
membanteras gugat ganggu penjajah dunia baru
sebuah bangsa bongkak yang kehilangan citra cinta
sebuah peradaban yang telah sirna kemanusiaannya
menafikan kemakmuran dengan sejumlah sengketa
yang sengaja diterbithebohkan
dan ia membesar
cuba meluaskan jajah
mengerat-ngerat kebebasan yang terjamin gagah
menyiat-nyiat pejal kemerdekaan yang bermukim megah

Sebuah hasrat yang dibangunkan atas kewajipan
bahawa tanah air ini harus dimiliki
oleh bangsanya sendiri
yang lahir membesar dan mengerti maknanya
harus mengenali liku pernah dilalu
liku yang sungguhpun jauh dan berputar-putar
akhirnya berhenti bersama cinta sejati
berganding bersama sesama warga
kita sebangsa!

Apa mesti dimesrakan ketika ini
sewaktu-waktu mengimpikan sebuah hasrat di mana
anak-anak bernafas bebas
anak-anak berlari riang membesar dan membesar dewasa
membangun menari-narikan kebesarannya
melagu-lagukan kebesarannya
melagu-lagukan kebesarannya dan atas kemenangannya,
kejayaannya yang berhasil membangunkan bangsanya
memenangi hasrat bangsanya
membesarkan hasrat bangsannya
memakmurkan kejayaan bangsanya
sehingga tiada terasa sedikitpun lelah
sehingga tak terpandang bahawa liku yang dilalui itu
jauh, berputar dan panjang
sehingga tak pernah menyatakan ragu
bahawa di samping sekarang adalah genggaman kepuasan

Sebagai pewaris zaman moyangku
hasrat adalah jalan berliku yang ditempohi bersama-sama
kepada warga yang mengerti makna masadepannya
menambat tali gelombang pada dada
di sini cita-cita bersemi
ia membesar apabila dipupuk dan dimesrai
apabila seluruh warga memakmurkannya
di setiap dada mereka
dan melebar ke seluruh anggota
dan bergerak maju menguliti duri dunianya

Sebagai pewaris zaman moyangku
kami bersama seluruh kota kata
tiada sempadan menaruh kejatidirian
membaca setiap liku perjalanan yang tersejarah
pada rakaman zaman
tafsirnya mengadun cita-cita, sikap dan hasrat
ketika suatu waktu ia pecah ditebarkan
dari bendungan impian

Alangkah agungnya manusiaku yang bernaung di bawah
bendera tanah air makmur ini
dan ketika warna wajah dan gerak cergas semakin murni
tapi kecil lalu kian mengecil dan kian terpencil
jadilah moyang, wargatua yang tak diam menyimpul benang
hasrat yang menjadi warisan sejarah lampau
anak-anaklah generasi memanjangkan jangkauan itu
kembali memutar dan bermercu arah gerak hasrat bangsa
jitu cita-cita bahawa tanah air ini mutlaknya
adalah milik bangsaku sendiri

Sebuah tanah air yang mengalir di dadanya
darah: bukan putih, bukan merah tapi ceria

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Hari Hari Baru

Dengan segera segara usia membentangkan
hari-hari baru. Di manakah engkau masa lalu?
Sayu syahdu terdengar suaramu di sisi malam
ketika detik semakin tipis akhirnya jernih
bergabung di dasar katarsis diri

Tak kan kembali hanya kenangan bersahabat
akrab menghulur pedoman panji-panji syahadat
bersaksi wujud keagungan dan waadat kesetiaan
menjelangnya kalimat menjana amanat
kukuh padu hayat

Hari-hari baru tak mungkin melupaimu peristiwa
tidak juga titik yang diam apabila perjalanan
akan saling berpegangan pengalaman
meluntur duka tapi melarik tabir cita
menyerlah semarak wibawa

Kubangun semula
hari-hari baru lebih harus waspada.

RAMIN 8
TAMAN PUTERAJAYA
TELIPOK KOTA KINABALU

1 September 2010
22 Ramadan 1431H

Selasa, Ogos 31, 2010

Gurindam Kemerdekaan

mencari baju kemerdekaan bukan kain dibuat bendera
mencari semangat kemerdekaan bukan suara disalut curiga

selepas terbuka ikatan penjajahan yang panjang
diikat semula penjajahan rasa yang tak berkesudahan

selepas mengikat kuat tali persahabatan
dilepaskan pula maknanya oleh kebencian

selepas terurai kemelut orang-orang kuasa
bersatu di bawah bendera yang luntur warna

selepas menaikkan bendera jalur gemilang
bendera dibiarkan berkibar tanpa lagu kebangsaan

selepas setahun berlalu teringat bendera itu
berpuluh kedai jahit berlumba menjahit bendera baru

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Ogos 30, 2010

Kipas di Tangan


Kipas sebenarnya sudah berada di tangan
tapi sayang tak tahu bagaimana menggunakannya
dia menggaru-garu kepala dan semakin tua dia
memandang-mandang masa depan yang gemilang
memandang-mandang kalau mungkin tukang kipas
mampu menjanakan kipas yang berada di tangan.

"Tukang kipas berada di merata!" kata seorang sahabat
yang telah mulai terjana oleh hembusan kipas
yang telah dilepaskannya kepada si tukang kipas,
sambungnya, "soalnya, janakan danamu sebanyak
mungkin",kerana dia mulai papa sekarang
menanti rezeki yang tak pasti."Ini survival!"
sambil tertawa dalam seribu satu makna.

Mulailah dirasainya makna yang tersirat
dari janaan hembusan kipas itu
benar dia semakin bernama, dinamai dalam babak
demi babak asmara yang berahi tapi bukan berani.
Seperti sahabatnya, dia juga menanti pencarian
yang tidak pasti. "Apakah harus kujanakan
juga dari janaan kipas yang tersirat ini?"

Beberapa zaman berlalu. Kipas tidak lagi berada
di tangan tapi di dalam tangan nafsu.

Kota Kinabalu,
1995

Dalam Demokrasi Kami

Kami dikumpulkan di dalam petak-petak persefahaman
persaudaraan disusun dari kelopak-kelopak mawar
ghairah memperindah taman
terjalinlah temasya ibunda
meriah api di sana
meraih api di sini: warna-warna percikannya
memanggang peribadi.

Kami dihimpun musim demi musim yang sama
memperaga pameran kemanusiaan di bahu demokrasi
pemimpin dipimpin oleh jumlah undi
rakyat diatur dengan sejumlah besar janji
dengannya keadilan
dengannya juga kepalsuan membajui
rongga-rongga peribadi.

Kami dijadikan model membangunkan negeri
dengan undi ini atau sekian jumlah wang ini
politik dalam acuan keji
dalam demokrasi api membakar diri
di mana jujur ditakhtakan
atau inilah permainan warna-warna
benci-membenci dan mengalih sayang!

Kami adalah kami bagi bumi demokrasi
kami adalah tubuh kami, roh kami, hasrat kami
kami adalah negeri sentiasa dibaui undi
harapan kehidupan atau perjudian
biar bila-bila musim mengundang
bila-bila demokrasi bernafas
bumi bernafas
dan kami
bernafas...


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Ogos 29, 2010

Hanya Sebutir Debu


benar hanya sebutir debu yang tahu adanya ialah tiada berbanding adaNya yang Ada kerana Dia sentiasa Ada. berbanding debu hanyalah fana yang tidak memiliki apa-apa bergelut dalam lingkaran makna debu-debu lain di bawah sana. lantaran debu itu masih tahu wujudnya kerana masa lalu terungkap rahsia insaf yang tidak sirna dalam sinar yang tertanam jauh di perdu kalbu. debu yang diinjak-injak ini juga tidak mampu meski tahu wujudnya hanya sisa-sisa musim menyelinap di bawah tikar musalah meratapi kerdilnya tiada terpadankan kebesaran Dia. bahkan manusia yang gagah tapi sirna tahunya bahawa debu adalah titik buatnya. tak siapa mampu memandangnya tapi pasti merasai wujud debu jika memahami sesiapa jua akan sirna dalam warnanya.

KEMBALI DI LAHAD RAHSIA

Sesuatu yang menjadikan kita boleh

Seperti biasa bangun bersahur, tapi dini hari kali ini, menyemak blog sahabat-sahabat. Terpugai juga isian blog mereka, informatif, menghibur namun ada juga yang gagal ditembusi. Tak apalah yang penting mereka juga masih giat berblog dan memberikan isian yang berterusan mungkin sahaja dalam media yang lain. Sesungguhnya pilihan kita begitu banyak sekarang. Saya juga demikian, ada masanya begitu fokus kepada satu perkara lupa kepada perkara yang lain, yang sering didatangi mata dan hati para sahabat, namun apabila mendapati isian blog tiada sesuatu yang bakal mata dan hati mereka berlamaan, apalah gunanya. Lagipun isiannya tidaklah begitu besar berbanding blog orang-orang tertentu yang sensasi, menjana minda... blog yang saya punya hanya terisi dengan puisi dan anekdot. Semoga segalanya bisa dipelajari agar menjadi seseorang yang percaya bahawa sesuatu boleh menyebabkan kita juga boleh.

Sahur hampir selesai buat hari yang ke-19. Dan, saya juga menunggu detik sesuatu yang akan berkunjung beberapa hari lagi selepas Ogos menutup tirainya.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Sabtu, Ogos 28, 2010

Semangat patriotik biar mekar sepanjang masa

Oleh Mohd Yusoff Hassan
2010/08/28 (Berita Harian Online)



Generasi muda perlu miliki ketahanan mental, jati diri elak negara diceroboh anasir luar


SABAN tahun, apabila menjelangnya sambutan ulang tahun kemerdekaan negara pada 31 Ogos, semua pihak membicarakan mengenai semangat cintakan negara atau semangat patriotik. Sehubungan itu, badan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan pelbagai program dan kempen untuk memeriahkan sambutan ini.

Untuk memeriahkan sambutan ulang tahun kemerdekaan negara, perayaan ini diadakan dari 16 Ogos hingga 16 September setiap tahun di setiap peringkat, termasuk acara kemuncaknya pada 31 Ogos, yang dipenuhi dengan pelbagai acara dan membabitkan masyarakat pelbagai kaum dan anutan agama.

Dalam menghayati sambutan yang amat besar ertinya kepada negara dan rakyat ini, pelbagai aktiviti dilaksanakan yang mempamerkan daya kreativiti dan inovasi pelbagai pihak. Ini termasuk menghasilkan bendera terpanjang dalam sejarah, menghiasi Menara Kuala Lumpur dengan Jalur Gemilang dan pembinaan pintu gerbang khas. Keadaan ini amat membanggakan negara kerana semangat patriotik atau kenegaraan jelas terserlah dinyatakan pelbagai lapisan rakyat tanpa mengira kaum, agama, fahaman politik dan sosioekonomi.

Sebenarnya semangat patriotik perlu mekar di sanubari setiap warga Malaysia sepanjang masa. Malaysia adalah tanah air kita, sejak kita dilahirkan hingga akhir usia. Perayaan atau kempen sambutan hari kemerdekaan diadakan bagi mengingati tarikh atau detik negara ini bebas daripada belenggu penjajahan selama 446 tahun. Keperitan dan kesengsaraan pejuang dan rakyat negara terdahulu perlu dikenang dan disanjung oleh setiap rakyat Malaysia yang kini menikmati hasil perjuangan mereka.

Pejuang terdahulu seperti Tok Janggut, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Gajah, Dol Said, Datuk Maharajalela dan ramai lagi berkorban untuk membebaskan negara daripada belenggu penjajahan. Tekanan demi tekanan dengan kebanyakan tempat memberontak dan menentang penjajahan secara kekerasan, Inggeris mula berlembut hasil beberapa rundingan diketuai pemimpin daripada elit Melayu ketika itu.

Tugas generasi masa kini dan akan datang adalah untuk mempertahankan kemerdekaan negara daripada bentuk penjajahan. Dunia tanpa sempadan dengan pelbagai teknologi moden yang dihasilkan oleh negara maju telah mencetuskan penjajahan bentuk baru iaitu penjajahan ekonomi dan budaya. Negara maju telah bersaing untuk menguasai ekonomi, budaya dan minda negara membangun dan kurang maju. Ideologi dan acuan negara maju terus menjadi senjata untuk menguasai dunia termasuk rantau ASEAN. Penjajahan bentuk baru yang menguasai ideologi, ekonomi dan budaya amat berbahaya kerana segala kedaulatan, kebebasan dan keputusan akan ditentukan oleh kuasa luar, iaitu penjajah bentuk baru.

Generasi muda perlu memiliki ketahanan mental dan jati diri yang kuat untuk terus mempertahankan negara daripada sebarang bentuk penjajahan. Golongan tidak bertanggungjawab dan kuasa asing sentiasa mengintai peluang untuk mempengaruhi generasi muda supaya mengikut telunjuk atau rentak mereka dalam usaha menguasai negara ini.

Kealpaan kita mengatur perjalanan dan sistem pemerintahan berteraskan semangat kenegaraan lebih memudahkan anasir luar meracuni pemikiran rakyat tempatan supaya melakukan tindakan yang boleh memudaratkan keselamatan dan kedaulatan negara. Semangat cintakan negara adalah benteng paling kukuh dalam mempertahankan kemerdekaan dan maruah negara daripada segala bentuk ancaman.

Oleh itu, ketahanan diri dan semangat sayangkan negara di kalangan rakyat perlu sentiasa dipupuk memandangkan gejala negatif dan sikap tidak menghiraukan kepentingan negara kini semakin menular di kalangan generasi muda.

Akibat terlalu leka dengan hiburan, golongan muda gemar mengamalkan cara hidup bebas yang mengetepikan batas budaya dan agama serta undang-undang menjadi.

Jika ini tidak dibendung, maka lebih mudahlah bagi anasir luar untuk menyelinap masuk dan menjajah negara ini tanpa disedari.

Berbeza dengan sikap golongan muda di Malaysia, rakyat negara jiran terdekat kita iaitu Indonesia dan Thailand terbukti mempunyai semangat kenegaraan dan patriotik yang kukuh. Walaupun negara mereka dihimpit pelbagai kesukaran dan kemiskinan, sifat taat setia dan sayangkan negara amat kukuh dalam kalangan rakyat negara itu.

Berbalik kepada rakyat Malaysia yang mempunyai keselesaan dan dianugerahi Allah pelbagai kemewahan, semangat patriotik mereka amat mengecewakan. Sikap mereka yang tidak menghargai segala nikmat yang dianugerahkan Allah terhadap negara ini amat ketara.

Perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia juga tidak begitu menyerlah di kalangan mereka walaupun pelbagai program dan kempen kenegaraan dilaksanakan oleh kerajaan dari semasa ke semasa. Malah kebelakangan ini, perasaan tanggungjawab terhadap negara semakin luntur, terutama di kalangan generasi muda yang lebih gemar berseronok dengan kehidupan bebas dan segala macam jenis hiburan.

Generasi masa kini perlu menghayati sejarah perjuangan generasi terdahulu yang telah berkorban harta dan nyawa untuk memerdekakan tanah air daripada belenggu penjajah. Sudah terbukti bahawa bangsa yang berjaya dan mencipta tamadun dunia adalah bangsa yang mempelajari serta memahami sejarah perjuangan generasi sebelum mereka. Tugas kita dan generasi akan datang ialah mengekalkan kemerdekaan sedia ada dengan semangat patriotik.

Penulis ialah Penolong Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Negara Jabatan Penerangan Malaysia

Rabu, Ogos 25, 2010

Catatan Kemerdekaan

Pada 31 Ogos 2010 ini genaplah usia kemerdekaan rasmi Negara yang ke-53. Sepanjang tempoh ini sudah pasti kita sering mengingat peristiwa-peristiwa manis dan pahit para pejuang yang telah memberikan sumbangan baik dalam bentuk kekuatan secara fizikal dan mental sehingga Negara mencapai kemerdekaan. Memang benar kita harus berusaha untuk melangkah lebih jauh ke hadapan namun melihat ke belakang juga akan memberikan ingatan dan perangsang agar kita mampu berusaha lebih gigih menerusi pelbagai program yang dilaksanakan Kerajaan. Seluruh generasi harus mempersiapkan diri meletakkan maruah agama, bangsa dan Negara paling utama dalam kehidupan. Sekiranya kita lemah, tidak mampu membentuk sebuah jati diri yang kental, ampuh dan kukuh ketika menghadapi pelbagai cabaran dunia masa kini, makna kemerdekaan yang telah dikecapi oleh datuk, nenek, ibu dan ayah kita tidak memberikan sebarang makna. Kita semua ibarat akar-akar yang menjalar dan rimba yang mengukuhkan bumi sedangkan bumi itu merupakan adaptasi kepada keutuhanan sebuah Negara yang amat kita cintai.

Kemerdekaan sering kita sebut terutama sekali apabila menjelangnya bulan kemerdekaan yang disambut setiap tahun, memang begitu sinonim dengan kehidupan harian kita. Kemerdekaan yang kita fahami sebagai satu doktrin kebebasan daripada segala bentuk penjajahan. Kemerdekaan yang kerap dinyatakan para pemimpin, guru-guru dan ibu bapa kita sebagai kemenangan daripada kesusahan malah ia dianggap sebagai hijrah atau perpindahan kehidupan yang payah kepada kehidupaan yang selesa. Sesungguhnya kita begitu selesa apabila negara kita ditadbir oleh anak bangsa kita sendiri. Namun, kemerdekaan hanya berada dalam ingatan segelintir masyarakat ketika Ogos menjelma sedangkan pada masa-masa biasa mereka lupa terhadap sejarah, mereka alpa untuk meletakkan kemenangan para pejuang sebagai pemangkin untuk memelihara erti kemerdekaan. Mereka lebih suka memilih kemelut daripada bermusyawarah hingga menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan masyarakat pelbagai kaum yang cintakan keharmonian serta kedamaian. Keadaan ini juga menyebabkan segelintir masyarakat kurang memberikan tumpuan kepada pemuliharaan jati diri mereka.

Tanpa memilih tahap generasi, kita harus lebih bertanggungjawab untuk menilai kembali penghayatan kemerdekaan ini. Cuba hayati semula pengorbanan yang ditunjukkan oleh pejuang di medan hadapan seperti Leftenan Adnan, misalnya, yang sanggup berkorban menentang pejajah. Apakah di hati sanubari belia dan beliawanis hari ini mempunyai semangat juang yang kental untuk berhadapan dengan pelbagai serangan zaman moden ini? Jika kita perhatikan saban hari kita dikhabarkan pelbagai masalah sosial seperti pembuangan bayi, pelajar hamil, penagihan dadah, ponteng sekolah dan pelbagai jenis jenayah yang lain. Keadaan ini ditambah lagi oleh kesan ledakan ICT yang mempunyai pengaruh luar biasa di kalangan masyarakat moden. Apakah perjuangan yang wajar digembelengkan oleh generasi hari ini? Memang diakui bahawa pelbagai pendekatan telah dilakukan agar masalah-masalah sosial berkenaan dapat dibendung namun tanpa penglibatan ahli masyarakat semua, hasil yang diharapkan sudah pasti tidak sehebat mana. Kerana itu juga, semua kaum yang terdapat di negara kita ini harus sama-sama berganding bahu ke arah itu. Tanpa perpaduan, negara akan terdedah pelbagai ancaman dan kelemahan. Ancaman dan kelemahan ini boleh mengakibatkan kedaulatan negara terjejas dan berlaku huru-hara, rusuhan, pergaduhan kaum dan sebagainya. Saran ini sudah pasti amat bertepatan dengan tema Hari Kebangsaan tahun ini iaitu 1 Malaysia Menjana Transformasi.

Kita sebenarnya harus bersyukur ke hadrat Ilahi kerana, negara kita tidak ditimpa pelbagai musibah alam yang keterlaluan seperti gempa bumi, banjir dan sebagainya berbanding beberapa negara lain seperti Pakistan dan China. Oleh yang demikian, marilah kita bersama-sama berdoa agar negara kita yang tercinta ini terus diberikan rahmat, aman damai dan kemerdekaan yang berterusan. Agar dijauhkan juga ancaman manusia yang khianat dan ancaman alam yang menyebabkan kita menghadapi masalah.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Selasa, Ogos 24, 2010

Di Bawah Kolong Langit Kuala Lumpur

- 'ain mawaddahku

kedegilan membeku ketika sunyi
tapi di sini apakah makna sunyi
di dalam pengawasan diri
membaca setiap desir
sedang tak pernah mampu
menemu titiknoktah tingkahmu
menembusi hitam langit

aksiku mudah
berjalan tak henti dari lorong
ke arah jalan yang tak mengenali
siapakah aku di bawah langitMu
tempias hujan meredah gelisah
sahabat bergetar menghantar berita
kekasih meraung dalam rindu
anak-anak menghafaz menyatakan syukur

memang tak pernah mengerti
ketika berjalan di bawah kolong langit
di kotaraya bangsaku
bersapa pada peribadi sendiri
mengenalinya dan memahami
kami hanya tahu sebuah perjalanan
yang akhirnya menemui antara satu
pada titiknya
tapi seluruh fikirku tetap satu
'ain mawaddahku menterjemah seluruh liku
hela nafas luka dan ranum impian

hasyuda, katahati
'ain mawaddah, katakasih
menjadi alun peribadi mengepal hafal
bahtera asmaraloka belayar di bawah langitMu
dan Kuala Lumpur menyaksikan padu kalbu.

Putrajaya,
Kuala Lumpur.
13 Jun 2002.

Beburung Yang Bersahabat

Keranamu nafasku kembali
kepada pintu cuaca
yang diarak awan
angkasa bersayap memeluk
setiap sirna kunang-kunang
jangan silap ketika bersua
sekali nanti
aku burung yang bersahabat
dengan gunungganang
gua dan puteri-puteri mereka
mimpiku keranamu telah terhukum
membiarkan lautan tiada gelora
dan bulan tidak lagi memahami
dataran itu bumi.
jalan-jalan telah terbelah
menanti halkum rimbunan suara
dan seluruh buana
tergamam terhadap rahsia
sebenarnya telah diceritakan.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Hak asasi dalam Islam tak sama fahaman Barat

(Berita Harian Online - 24/18/2010)

SUATU keadaan yang sukar kepada umat Islam ketika ini ialah mereka menurut saja tamadun atau fahaman Barat. Tamadun atau fahaman yang saya maksudkan di sini ialah tamadun atau fahaman yang mementingkan materialisme dan meninggalkan nilai keagamaan dan kerohanian.

Masyarakat Islam yang gagal memahami nilai yang ada dalam Islam ini cuba mengadaptasikan ajaran Islam kepada fahaman Barat itu. Mereka cuba mencari titik pertemuan antara falsafah Islam dan Barat. Malah ada ketikanya keadaan menjadi lebih teruk selepas golongan Islam ini cuba menggantikan sistem Islam dengan sistem Barat. Keadaan ini melahirkan situasi mengambil hati, mengagungkan nilai Barat dan hasilnya membuahkan sikap diplomatik dan apologetik umat Islam terhadap Barat walaupun Islam adalah sebahagian daripada fabrik masyarakat dunia.

Sikap sebegini amat jelas dalam hal berkaitan hak asasi yang mana nilai hak asasi Barat dikagumi dan diagungkan umat Islam. Ramai ahli akademik Islam yang berusaha mencari sumber hak asasi Islam yang boleh diselaraskan atau diserasikan dengan nilai hak asasi Barat. Sikap ini menjadikan mereka terlalu berdiplomasi dan apologetik terhadap Barat mengenai hak asasi, walaupun sesuatu perlakuan itu sememangnya tidak mempunyai asas dalam ajaran Islam.

Dalam keadaan keliru, ramai intelektual Islam menggunakan terma hak asasi manusia yang disandarkan kepada Islam yang seterusnya membentuk frasa hak asasi manusia di dalam Islam. Frasa ini mengelirukan menurut Islam kerana falsafah hak asasi manusia yang disandarkan kepada Barat tidak meletakkan ketuhanan atau agama sebagai kayu pengukur.

Falsafah hak asasi Barat seperti yang disebut oleh John Locke, adalah bebas daripada Tuhan dan bebas daripada ajaran Tuhan. Locke di dalam The Two Treatises on Government berkata: Men by nature are all free, equal and independent, no one can be put out of this estate subjected to the political power of another without his own consent. Keseluruhan ajaran hak asasi manusia natijah promosi Barat menjadikan keperluan manusia (humanisme), kepentingan individu (individualisme) dan taakulan logik (rationalisme) sebagai dasar hak asasi.

Sekiranya dilihat kepada dua dokumen induk hak asasi tajaan Barat iaitu Universal Declaration of Human Rights dan juga International Covenant on Civil and Political Rights, hak asasi yang disenaraikan dengan jelas tidak mempunyai sebarang pertalian dengan agama. Malangnya kedua-dua dokumen ini menjadi kayu pengukur kepada kedudukan hak asasi di dunia. Lebih malang lagi, masyarakat Islam sendiri menganggap dokumen ini adalah sumber kepada hak asasi sejagat.

Ajaran Islam bagaimanapun tidak dapat dipisahkan daripada ajaran Allah. Semua hak asasi hendaklah disandarkan kepada ajaran agama Islam dan Allah adalah pencipta segala hak. Istilah atau penggunaan frasa hak asasi manusia di dalam Islam saya katakan mengelirukan kerana dasar hak asasi di dalam kedua-dua sistem ini amat jauh berbeza. Sistem hak asasi di dalam Islam tidak disandarkan kepada ideologi humanisme, individualisme dan rationalisme seperti fahaman Barat.
Dasar atau sistem hak asasi dalam Islam sentiasa kukuh disandarkan kepada wahyu Allah. Seterusnya sistem hak dalam Islam digerakkan atas landasan yang disediakan oleh ajaran Islam yang sudah tentu memberi ruang kepada manusia untuk menjaga kepentingan mereka dan menggunakan logik akal dalam keadaan tertentu saja bukan di dalam segenap aspek.

Perlu juga diulas di sini bahawa Islam mendasarkan hak asasi bukan saja kepada kehendak manusia semata-mata tetapi Islam juga mementingkan kedudukan agama dan kerohanian. Keadaan ini menjadikan hak asasi dalam Islam tidak semata-mata hak asasi manusia tetapi sebenarnya merangkumi hak asasi agama itu sendiri dan meletakkan agama dan Pencipta sebagai tunggak hak asasi. Oleh itu hak asasi di dalam Islam dikategorikan sebagai hak manusia dan juga hak Allah.

Kebanyakan intelektual Islam semasa tidak membincangkan secara terperinci mengenai perbezaan falsafah hak asasi antara Islam dan Barat. Dalam kebanyakan perbincangan, ramai intelektual Islam gagal menempatkan hak Allah pada tempat sesuai malah kebanyakan mereka gagal menyebut mengenai hak Allah sebagai satu komponen ketika membincangkan perkara berkaitan hak asasi.

Kegagalan memberi gambaran sebenar mengenai falsafah dan kedudukan hak dalam Islam akan menghasilkan fahaman yang salah berkaitan hak di sisi Islam. Ia seolah-olah memberikan gambaran bahawa Islam mempunyai pandangan yang sama berkaitan tujuan penciptaan manusia sebagai makhluk di muka bumi ini, sedangkan Islam menggariskan tujuan kehidupan yang berbeza. Sebagai contoh, hak asasi yang disandarkan kepada logik akal tidak akan mengiktiraf kedudukan agama dan tidak dapat melihat sekatan terhadap perbuatan untuk menukar agama. Begitu juga sekatan yang perlu terhadap hak kebebasan bersuara dan memberi pendapat.

Dalam sebarang penulisan berkaitan hak asasi, intelektual Islam seharusnya menjelaskan mengenai perbezaan mengenai falsafah hak asasi dalam Islam dan fahaman Barat. Perbezaan yang amat perlu dibincangkan termasuk tujuan kehidupan, perkara berkaitan sumber hak dalam Islam, jenis hak dan juga tujuan sesuatu hak di dalam Islam. Perkara ini adalah perkara dasar yang melatari perbincangan mengenai hak asasi seterusnya akan dapat memberikan kefahaman lebih jelas mengenai kedudukan hak asasi dalam Islam dan meletakkan hak asasi menurut perspektif Islam di tempat berbeza daripada hak asasi.

Penulis ialah Penolong Profesor Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Hadiah Sastera Perdana Malaysia dicabar

Oleh Nazmi Yaakub
(Berita Harian Online 23/8/2010)

DIALOG Orang Muda (DOM): Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), Perdana@Tidak? meminta status perdana pada HSPM oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dibuktikan melalui pemerolehan karya daripada media perdana sastera, penilaian yang berbobot dan mengambil kira pembaharuan serta pemikiran yang tinggi dalam karya.

Dialog anjuran Biro Penulis Muda PENA itu juga, menyarankan nilai hadiah terutama karya eceran dinaikkan kepada hadiah lebih lumayan berbanding RM1,000 ekoran wujudnya hadiah seumpama anjuran pihak swasta yang menawarkan hadiah lebih tinggi.

Malah dialog yang dihadiri 20 peserta itu, turut mencadangkan PENA dan penerbit swasta mewujudkan hadiah sastera masing-masing tanpa perlu bergantung kepada badan kerajaan terbabit sama ada melalui penganugerahan berbentuk wang atau sijil penghargaan.

Penyair yang juga Editor Pentas, Istana Budaya, Rahimidin Zahari, berkata konsep perdana yang bermaksud besar, hebat dan luar biasa dalam menggambarkan jati diri sastera Melayu dan Malaysia tidak berlaku dalam realiti pelaksanaan dan penganugerahan HSPM.

Takkan nilai HSPM yang diberikan oleh kerajaan untuk puisi dan cerpen hanya RM1,000 sedangkan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) bernilai RM2,500 untuk cerpen. Lebih baik saja kita masuk program realiti televisyen yang menawarkan hadiah jauh lebih tinggi.

Selain itu, kita juga melihat ada cerpen yang memenangi sagu hati dalam HSKU, menggondol HSPM, manakala cerpen yang memenangi hadiah utama tidak berjaya sedangkan panel hakim dua hadiah berkenaan adalah individu serupa,di Rumah

Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini. Rahimidin berkata, penentuan status karya dan pemilihan panel penilai itu berpunca daripada masalah besar dalam dunia sastera yang menghadapi krisis kredibiliti terhadap sarjana di semua institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Kita boleh ambil contoh analisis karya dalam Dewan Sastera yang pengulas cerpen menganggap semua cerpen adalah baik sehingga penulis muda tidak ada cara untuk meningkatkan diri dalam melahirkan karya lebih baik dan menerbitkan buku yang berwibawa.

Begitu juga panel penilai yang tidak membaca karya pengarang muda sehingga menimbulkan kesulitan bagaimana mereka mahu meletakkan neraca untuk menilai karya yang layak untuk HSPM, katanya pada dialog yang dipengerusikan AJK PENA, Muhammad Lutfi Ishak.

Rahimidin memberi perbandingan, kegagalan itu boleh dilihat pada pemilihan memoir kedua Said Zahari, Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari memenangi HSPM 2006/2007 sedangkan siri pertama memoirnya, Meniti Laut Gelora yang lebih bagus dan menyeluruh gagal meraih hadiah berkenaan.

Justeru, PENA disaran mengambil langkah drastik dengan menganjurkan hadiah sastera sendiri seperti yang pernah dilakukan pada dekad 1970-an dan sekiranya tidak mempunyai dana, cukup sekadar sijil penghargaan, selain penerbit swasta juga turut berbuat demikian.

Penulis muda, Norbulsalman Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Salman Sulaiman, berkata kelemahan ketara yang merendahkan nilai perdana pada HSPM ialah permintaan agar pengarang menghantar karya, sekali gus menyebabkan penilaiannya tidak menyeluruh apabila ada pengarang yang gagal atau enggan berbuat demikian.

Mungkin permintaan itu mengambil kira faktor HSPM menilai semua karya sehingga timbul kesulitan kepada urus setia untuk mendapatkan karya yang diterbitkan dalam pelbagai medium, tetapi masalah berkenaan boleh diselesaikan dengan melantik lebih ramai ahli jawatankuasa (AJK) untuk mendokumentasikan karya sastera.

Faktor yang merendahkan nilai perdananya juga ialah kelemahan pembukuan karya yang pernah memenangi HSPM sehingga hanya baru-baru ini saja karya berkenaan dibukukan dan itu pun membabitkan koleksi bertahun-tahun, katanya.

Salman berkata, pembukuan dan penerbitan karya yang dianggap perdana dan berprestij itu sangat penting sebagai proses dokumentasi dan rujukan termasuk sebagai kayu ukur yang boleh diambil oleh penulis baru dan muda untuk mengenai karya yang diangkat sebagai karya perdana dalam ranah sastera.

Pemenang HSPM 2002/2003, Raihani Mohd Saaid melihat sifat tidak konsisten dan tiada publisiti pada penganjuran HSPM juga menyebabkan karya pemenang tidak dijadikan rujukan, terutama apabila ada pihak yang mahu menghasilkan kajian.

Karya yang menang HSPM memang bagus, tetapi masalah tidak ada orang membacanya kerana ia tidak dibukukan berbanding hadiah lain yang lebih konsisten dan diberi publisiti.

Saya pun baru tahu puisi saya yang menang pada HSPM 2002/2003 baru dibukukan dan itu pun satu lagi masalah apabila hal itu tidak diberitahu kepada pengarang, selain karya HSPM juga tidak dijadikan teks sastera atau Komponen Sastera Dalam Bahasa Melayu (KOMSAS), katanya.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Ogos 23, 2010

Syajaratul Mahabah

GERIMIS SYAJARATUL MAHABAH

memahamimu aku lebih kembali

mengutip ranting daunan sepanjang jalan ke desa purba

gemuruhpun mula reda selepas bulan buram berlalu

langit menghulur tangan menyulam gerimis

membasah kalbu


memahamimu aku lebih abadi

menjadimu lebih berdiri mengayuh tenang berpedoman

Nur-Nya

meratip makna lebih pasrah dalam gelung rububiyah

memahami syajaratul mahabbah lebih menebarkan akaliah

memahamimu aku lebih kerap berjalan

mengendara sunyi yang bersembunyi

memelihara tebaran insaf menyatu sambil berlalu

dalam gerimis-Nya di bawah lampu bisu


HASYUDA ABADI




NUR SYAJATARUL MAHABAH

Mengakrabimu aku lebih insan
memperindah maaf dalam redha membersihkan alpa
wanginya merentasi tujuh lapisan taman nyanyi rahsia
melestarikan kebenaran yang puncak ke akar akal
menyusur kembara waras cekal di padang akidah
mewajahkan fitrah insani
putih peribadi seorang Fatimah Al Khattab

mengakrabimu aku lebih ihsan
membaca gelora lautan wajah kehidupan
memahami pelangi jawapan pada setiap resah pertanyaan
menterjemah putih cahaya bulan dan kelip bintang yang mengasyikkan
mengujanakan asrar kunjungan nur syajaratul mahabah
di sahara mujahadah
mengabadikan aku ke mawaddah keperibadianku

megakrabimu aku lebih kasih
mengungkapkan makna firman, mewadahkan sabda
merafakkan syahdu munajat di mihrab taqarrub
mendiamkan saujana Kun Nya dalam manis taqwa
memelihara rimbun mawar ukhuwah
sambil menqiamkan segala insaf
dalam nur kasih Nya
cahaya berlapis cahaya.


SAHARA JAIS

*syajaratul mahabbah = pohon cinta

Sebelum Diisytiharkan Perang

mengasah pedangkhusyukku
tajamfananya menghiris-hiris kalbu
kudahagakan riuhsepi itu
kulaparkan lazatrindu begitu

sebersit cahaya mula memukau
menjalar akarnya
ke seluruh ceruk sukma
siaga sedia
berjuang di luas alam
mengepung hanya titikku

kuserah jiwa
meski perang belum bermula.



PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Ogos 22, 2010

Katamu Perjuangan

tentu kau silap saat memberiku api
katamu itulah cahaya membuka
lorong jalan kebenaran
mengajak hati-hati putih ke hadapan
menyonsong panji-panji perjuangan

tentu kau silap saat memberiku mimpi
katamu itulah ruang menterjemah
bayang-bayang masa hadapan
gerbang jaya impian kebahagiaan
jangan henti, katamu lagi, ini perjuangan!

tentu kau silap saat memberiku nafiri
katamu itu suara jati diri
kuasa menenggelam kepalsuan duniawi
berkumpullah sekalian bijaksana
atur gerak semarakkan mara berjuang

telah sekian kali perjuangan dilafazkan
menidakkan hak yang benar
membenarkan batil yang nanar
kebenaran telah tak berharga
menjadi alat-alatan perjuangan buta

tentu kau silap apabila setiap senyap
tak pernah siap dan kata-kata tak pernah lenyap
api, mimpi dan nafiri disaji menggarap malap
perjuangan slogan yang membeku
kering dan layu.

Pustaka Iqbal Nazim,
Kota Kinabalu.
8 Feb 2009.

Membaca Puisi Hari Kebangsaan


mengulang-ulangkan lafaz
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka
merdekamerdekamerdekamerdekamerdekamerdeka

mengulang-ulangkan perarakan
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
jalurjalurjalurjalurjalurjalurjalurjalur
gemilang di seluruh pelusuk rusuk negara

mengulang-ulangkan seruan
mengulang-ulangkan harapan
mengulang-ulangkan gambaran
merdekakan mereka yang tak merdeka
merdekakan mereka yang tak memerdekakan
merdekakan mereka yang tak memerdekakan kemerdekaan
mengenangkan mereka yang bangun memerdekakan

memerdekakan fikiran
memerdekakan harapan
memerdekakan gambaran
memerdekakan seruan
memerdekakan kuasa
memerdekakan hamba
memerdekakan kamukamu
memerdekakan akuaku
memerdekakan perpaduan
memerdekakan belenggu
memerdekakan pisau
memerdekakan sasau
memerdekakan diam

mengenangkan jasasasa mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan keringatdarah mereka yang bangun memerdekakan
mengenangkan taksiapasiapa mereka yang bangun memerdekakan
selepas membaca puisi hari kemerdekaan
selepas mendengar amanat tentang hari-hari kemerdekaan
selepas mencatat matlamat berkenaan sebuah kemerdekaan
dewan yang meruangkan suara
tinggal menyepi yang akan didatangi lagi
setiap tahun dan sekali
jalurjalur gemilang berkibar sendiri
lafaz merdeka tinggal di telinga hingga didengar
nanti tahun kemudiannya berulang diulangkan lagi
habis di sini!


-HASYUDA ABADI,
IPS, 23 Ogos 2001