Isnin, Disember 21, 2009

*Sastera Sabah Menjelang 2010

DUNIA penulisan di Sabah tidak jauh bezanya dengan iklim penulisan di tempat-tempat lain khususnya dari segi kerencaman untuk mengangkat bakat sastera yang dipunya para penulis. Persamaan yang amat ketara ialah meletakkan tanggungjawab untuk membesarkan mereka. Membesar dalam erti kata yang maha luas iaitu memberi dorongan berbentuk ilmu, memugarkan ilmu yang mereka terima menerusi latihan atau bimbingan yang berterusan. Dorongan juga boleh diberikan berasaskan semangat saling ringan minda melakukan saranan sehingga menghasilkan bukan sahaja produk sastera yang baik tetapi mutu seorang penulis yang hebat dan berwibawa, malah dihormati suatu hari nanti.

Sejak 1 dekad lalu bermula era milenium baru hingga kini memang agak sukar untuk memperolehi data yang kemaskini kumpulan penulis yang terampil sama ada novel, puisi atau cerpen bahkan kritikan sastera di Sabah. Malah saya fikir penulisan skrip drama juga. Tidak seperti pada dekad-dekad sebelumnya, saya fikir kita boleh dengan bangganya menyebut kumpulan penulis yang amat konsisten, meski sebahagian besar daripada mereka telah melupakan dunia sastera. Namun saya yakin cinta sastera sebenarnya tidak pernah luntur.

Kerana itu dicadangkan agar usaha dilakukan misalnya mengenalpasti penulis-penulis yang diakui genre penulisan mereka kemudian meminta mereka tampil untuk memperkatakan proses kreatif masing-masing. DBP Sabah misalnya mempunyai majalah Wadah dan Jendela Sabah. Gunakanlah ruang yang ada itu khusus untuk para penulis kita berkreatif dengan aktif. Peluang perlu sering diberikan kerana upaya untuk mereka tampil tidak datang dengan sendirinya. Mereka perlu didekati. Para penulis harus dimesrai, diberikan kepercayaan untuk menjelaskan siapa mereka untuk karya sastera mereka. Para penulis tidak mungkin mahu mengatakan dialah penulis yang baik. Apakah hanya dengan satu atau dua buah karya ataupun beberapa buah buku antologi puisi, misalnya mereka sudah bergelar penulis? Tentu subjektif sifatnya. Begitu juga dengan sebuah buku kumpulan cerpen, apakah gelar penulis itu sudah memadai buatnya?

Kelihatannya begitu mudah, dan ini boleh kita lihat dalam sebuah buku yang memuatkan penulis-penulis terbitan DBP Sabah. Ada kalangan individu yang tidak sepatutnya berada dalam buku tersebut, apatah lagi maklumat yang ada tidak kemaskini. Wajarkah ia dijadikan rujukan? Ia hanya berupa sejarah yang sukar membuktikan keberadaan mereka menerusi industri karya yang berterusan. Persoalannya apakah susah sangat untuk mengumpul senarai penulis yang benar-benar berwibawa? Apakah tidak ada mekanisme yang sistematik untuk melakukan usaha ini? Rasa saya tidaklah sukar sekiranya ia ditangani oleh tenaga kerja yang faham, komited, rela hati, berminat, rajin, kreatif, inovatif, berfikiran terbuka, gemar menerima pandangan dan tidak mementingkan diri sendiri. Jika sebuah agensi yang hebat tidak dapat melakukannya, siapa lagi? Berbaloikah dana yang diberikan oleh kerajaan untuk dijadikan emolumen elaun itu dan ini agar sesuatu projek yang dilakukan itu berjaya, tetapi apa yang diharapkan tidak lebih daripada hasil kerja yang amat merugikan untuk jangkamasa yang panjang.

Jangan dipersoalkan lagi apakah relevan aktiviti-aktiviti sastera tanpa melibatkan para penulis di sesuatu daerah itu, padahal aktiviti seperti itulah yang menyebabkan status kepenulisan mereka 'hidup'. Aktiviti sastera itu untuk para penulis! Ini ungkapan yang tidak boleh dipertikaikan. Inilah juga natijah mengapa penulis tidak selalu kelihatan dalam program-program berkaitan dunia penulisan itu sendiri. Ruang hadirin sentiasa diisi oleh para pelajar atau individu yang dipaksa. Sudah pasti ini bukan kesan yang diharapkan pihak pengajur, tetapi dengan mengambil kira jadinya sesebuah aktiviti bermakna sesuatu telah dilakukan, bagi melengkapi sasaran kerja para pegawai projek. Mungkin tidak lebih daripada itu!

Tidak banyak yang diharapkan menjelang 2010 untuk sastera, kecuali para penulis tidak pernah putus asa untuk menghasilkan karya sastera yang bermutu. Tidak pernah patah semangat untuk melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti anjuran DBP mahupun NGO persuratan yang ada di Sabah. Apatah lagi zaman 'mewah' sudah berlalu apabila dana untuk sastera mengalami nasib yang sama dengan urusan-urusan lain di negara kita ketika ini. Saat dunia sastera punya kelebihan dana, kita tidak mendapat bahagian yang adil apabila ada sesetengah program tidak begitu relevan dengan kos yang besar. Padahal dengan kos yang digunakan itu boleh menyelesaikan banyak aktiviti yang menguntungkan para penulis sendiri, misalnya program penataran, penerbitan dan apresiasi.

*Kesan pertemuan dengan penulis-penulis dari Utara Sabah ~ Saibil Madun, Jair Sulai dan Mastari Kanjabun di Kudat pada 19 Disember 2009. Lokasi: Restoran Rakyat, Kudat.

~ Hasyuda Abadi ~
Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu
Sabah.

Jumaat, Disember 18, 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru Hijrah dan Masihi




SELAMAT MENYAMBUT
MAAL HIJRAH 1431 DAN MASIHI 2010


PADA penghujung tahun ini, kita kembali dihadapkan pada dua pergantian tahun yang sama-sama dimaknai sebagai momentum penting dalam dinamika kehidupan umat manusia, yakni pergantian tahun Hijrah dan Masehi. Semangat yang muncul pada setiap pergantian tahun seringkali membawa kita pada imajinasi sebuah perubahan. Ya, tentu saja, kita memiliki harapan besar di balik perubahan itu agar kehidupan seterusnya jauh lebih baik berbanding kehidupan masa lalu.

Hijrah yang dilakukan oleh teladan umat sepanjang masa, Rasulullah Muhammad SAW, merupakan peristiwa heroik dalam upaya membangun kehidupan umat dari masa-masa yang kelam menuju masa-masa yang penuh pencerahan. Dari situlah semangat perubahan terus diabadikan daripada satu generasi ke satu generasi. Simbol-simbol lahiriah ketika umat Muhammad berbondong-bondong melakukan penghijrahan akibat situasi keributan yang membuat kehidupan mereka merasa sangat tidak nyaman pun telah mengalami banyak pergeseran.

Simbol-simbol lahiriah di balik peristiwa hijrah berkenaan, jelas sudah jauh bergeser maknanya. Hijrah agaknya tak harus dimaknai sebagai penghijrahan dari satu tempat ke tempat lain, tetapi justru yang lebih penting adalah bagaimana agar kita mampu berhijrah secara spiritual dan intelektual. Spiritual berkaitan dengan pengukuhan rohani secara vertikal sebagai wujud sikap kepasrahan sepenuhnya terhadap Yang Maha Esa, sedangkan intelektual berkaitan dengan kepekaan akal budi dalam membangun semangat kesetiakawanan sosial secara horizontal di tengah kehidupan nyata.

Jika kedua nilai hijrah ini dapat dan semampunya diamalkan dalam kehidupan nyata, sudah pasti nilai kehidupan kita juga sentiasa mendapat rahmat daripada Ilahi. Malah banyak lagi nilai-nilai kehidupan yang mulia lahir ke setiap diri ahli masyarakat yang amat cintakan kebahagiaan, hidup yang harmoni, bebas dari segala perbuatan mungkar seterusnya mampu bergabung membangunkan agama, bangsa dan negara dengan bijaksana.

Selamat Menyambut Tahun Baru 1431 Hijrah dan 2010 Masihi, semoga kita tetap bersemangat untuk melakukan sebuah perubahan besar pada tahun yang akan datang. InsyaAllah.


~ Hasyuda Abadi ~
Pustaka Iqbal Nazim
K O T A K I N A B A L U
M A L A Y S I A

Isnin, Disember 07, 2009

Sastera: bercerita dan berjuang

Agak langka juga bagi saya tetapi semasa menghadiri aktiviti sastera di Miri baru-baru ini mengingatkan saya betapa perlunya aktiviti seumpama ini dilakukan biarpun secara kecil-kecilan, berforum atau berdiskusi, misalnya. Saya pernah berkata apa salahnya program sastera diadakan dalam skala yang kecil tetapi berterusan. Setuju dengan saran Prof. Sahlan Mohd Saman sebuah hadiah yang besar tidak praktikal jika ia dilakukan sekali seumur hidup berbanding jumlah yang kecil tetapi berpanjangan dari satu generasi ke satu generasi.

Namun perlulah dirancang, terancang mengikut keperluannya, barulah akhirnya sampai kepada matlamat. Jika tidak, sama sahaja. Berjuang tanpa juang, samalah berapi membakar hujah malangnya terbakar sendiri menjadi debu akhirnya berterbangan di angkasa entah ke mana!

Bercerita dan berjuang, dua kata yang sepatutnya sinonim dalam usaha mengangkat maruah sastera Melayu kita. Kita berkisah tentang bangsa kita yang sentiasa dipandang kecil apabila melihat kedaifan kita sebagai pengarang. Padahal pengarang mempunyai dimensi yang hebat dalam memperkatakan fikirannya. Kemudian berjuang, memperjuangkan kebenaran apa yang difikirkannya baik buat bangsanya. Malang sekali, dua faktor ini hanya merupakan hiasan pihak-pihak yang meneguk di air keruh. Berbasa-basi memperkatakan tentang sastera namun pada masa yang lain mengambil mudah apabila meletakkan sastera dan para pendudukungnya sebagai debu di tepi jalan.

Ahli sukan negara lebih mulia berbanding seorang sasterawan yang banyak berfikir. Siapakah yang lebih mengukir jasa antara dua jaguh sukan dan sastera? Antara nama dan fikrah, sudah tentu ramai yang meletakkan sukan berbanding sebuah novel. Orang sanggup berbaris membeli tiket di stadium berbanding undangan percuma sebuah persembahan teater, misalnya. Orang sanggup menghabiskan wang menghantar SMS untuk sebuah program realiti berbanding membeli buku.

Nilai jati diri masyarakat kita tidak mudah diubah, memang mereka telah berubah tetapi perubahan budaya atau cara hidup mereka lebih cenderung kepada cara hidup yang mewah, berliburan tanpa batasan.

Para penulis wajar melihat semua ini dengan pandangan yang jujur. Tanpa berhenti untuk bercerita dan berjuang walaupun di hadapan mereka ranjau cabaran, kerenah manusia yang tidak pernah putus asa untuk menyebabkan orang lain jatuh susah. Kerenah manusia yang bodoh sombong, angkuh dan ego... semua ini asam garam peristiwa yang berlangsung dan harus diharungi

~ Hasyuda Abadi ~

Rabu, November 11, 2009

Penulis didahulukan, pencapaian karya diutamakan

Kita inginkan juga kemeriahan dunia persuratan sebagaimana pernah dilalui pada dekad-dekad yang lalu. Terlalu banyak peristiwa untuk sastera yang dirakam tidak terjadi lagi ketika ini. Maksud saya, peristiwa yang seharusnya diwarisi generasi kini telah senyap, bahkan boleh juga diungakapkan sebagai telah berkubur tanpa sebarang tanda.

Selalu dicari jawapan kepada pertanyaan ini: di manakah silapnya? Sekali lagi saya ingin berkata bahawa mencari kesilapan menyebabkan terlalu banyak hal-hal remeh-temeh ditemui. Menyalahkan pihak itu dan ini, individu itu dan ini yang hanya membuang waktu tanpa titik padahal jawapannya yang tepat ialah bagaimana mengatasinya.

Sering kedengaran masalah besar kegiatan sastera buntu, berbantut dengan ketara sekali disebabkan kendala kewangan. Mana-mana agensi berkaitan akan mencatatkan demikian. Seakan-akan sudah ada cop untuk meletakkan jawapan yang sama. Tetapi memang benar jawapan ini betul-betul 'kurang tepat'. Ironinya ada aktiviti yang tidak begitu berkaitan tetapi tidak timbul pula soal kewangan. Inilah yang menyebabkan aktiviti persuratan menjadi layu, lesu, malas, lemas dan sebagainya lagi. Namun begitu bila mengingatkan wujud satu tanggungjawab yang lain bahawa dunia sastera tidak semestinya tertakluk kepada ada atau tidak ada kewangan, kita tidak menghadapi masalah untuk melakukan apa juga program berkaitan. Kita sudah begitu lali dengan ungkapan klise, kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan dana dan seterusnya. Dan apabila memberikan dana, kita dikejar pula untuk memberikan laporan tentang aktiviti yang dijanjikan padahal kita telah pun melakukan banyak aktiviti yang masih relevan dan menepati keperluan pemberian sesuatu dana itu.

Kerana itu saya setuju, para penulis atau penggiat bidang persuratan buat kerja dengan gigih. Kita perlu menyatukan buah fikiran kita untuk mengangkat dunia sastera, dunia penulis itu dengan cara kita sendiri. Kita perlu wujudkan gerakan bertindak yang lebih efisyen, berhala tuju, bernas, berani, bermutu, tepat, telus dan sebagainya lagi kerana inilah jalan terbaik untuk menentukan dunia penulisan itu lebih dihormati. Berbeza dengan dunia kewartawanan, penulisan kreatif tidak dilihat boleh memberikan sebarang pulangan kepada mereka yang berkepentingan. Padahal inilah dunia yang sukar diterokai, hanya mereka yang memiliki bakat hebat sahaja boleh melakukannya. Sayangnya bakat yang hebat itu sering sekali diperlekeh. Jika seorang menteri boleh mengatakan kaum penulis ini tempatnya di muzium, apatah lagi orang awam yang lain, memperlihatkan sejauh mana sikap seseorang itu terhadap sastera kreatif. Apabila menteri yang bercakap tentang retorika seni budayanya ia hanya berupa salutan emas sedang di dalamnya kosong belaka. Seni budaya masih tertumpu hanya kepada busana dan aksesori, alatan muzik, irama etnik, tarian tradisi, langskap warisan dan tidak ketinggalan gambar-gambar kuno yang lusuh dalam lipatan sejarah masa sudah. Ini perlu diubah, perlu juga dibetulkan sebagai persepsi yang lebih sempurna, menyeluruh agar dunia mengetahui bahawa dalam keunikan bangsa kita terwujud di dalamnya pelbagai elemen yang perlu didalami.

Cerita-cerita rakyat merupakan bahagian penting kehebatan sastera bangsa kita yang harus dibanggakan, yang telah pun berkembang sesuai dengan peredaran masa. Kreaviiti rakyat mencipta kisah berdasarkan peristiwa demi peristiwa membentuk sahsiah dan pemikiran masyarakat yang mewakili bangsanya. Mengapa kita tidak merasa bahagia atau setidak-tidaknya beruntung memiliki kumpulan genius yang kreatif menerusi mata pena para penulis hebat tersebut.

Kehadiran para sasterawan tidak begitu ketara berbanding profesion yang lain dalam sebarang upacara rasmi negeri. Saya melihat apabila para penulis sendiri tidak dilibatkan dalam upacara sastera itu sendiri apatah lagi bagi majlis-majlis rasmi kerajaan! Kepelikan ini pada saya perlu dibetulkan dan siapakah yang membetulkannya? Melihat kembali peranan yang perlu difikiran oleh mana-mana agensi yang diberikan amanah mengikut bidang masing-masing. Kita mungkin boleh mengingatkan jangan sekali-kali mengabaikan golongan apa pun yang mereka benar-benar terlibat. Dalam konteks sastera, penulis wajar diutamakan. Sealiran dengan slogan 1 Malaysia, kita selaraskan slogan ini: Penulis didahulukan, pencapaian karya diutamakan. Apabila ramai tokoh sasterawan veteran kita meninggalkan kita dan dunia sastera selamanya, kita tidak dapat meletakkan sesiapa kerana siapakah 'sesiapa' itu dalam barisan utama penulis yang ada masa ini. Tolong bantu saya barisan penulis yang telah mencapai status yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Haji Ismail Abas (Amil Jaya), Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Harun Haji Salleh, K.Bali (menyebut beberapa nama utama).

Catatan ini akan bercambah dari semasa ke semasa. Kita berharap terserlah pandangan-pandangan lain yang lebih mencabar dapat diutarakan. Dari medan ini kita ingin menggarap buah fikiran untuk diimarahkan demi kelestarian dunia sastera, dunia persuratan dan dunia penulis itu sendiri.


~ Hasyuda Abadi ~
Ketua Satu IPS
Kota Kinabalu.

Selasa, November 10, 2009

Percakapan Tentang Seorang Zubaidi

Apabila saya menerima utusan maaf daripada Pengarah DBP Sabah, saya tidak memandang sesiapa kecuali seorang insan penting sebagai pencetus gerakan sastera, bahasa dan budaya di Sabah ketika ini dan beberapa tahun yang lalu iaitu Saudara Zubaidi Abas. Barangkali ayat panjang tadi tidak digemari oleh sesetengah orang tetapi realitinya itulah tanpa tujuan untuk 'angkat kaki' atau 'curi hati' insan berkenaan. Terlalu banyak cabaran dan rintangan yang telah dilaluinya. Saya tidak tahu mengapa ada sesetengah orang di sekelilingnya menyimpan hasrat agar seorang bernama 'Zubadi' ini digambarkan sebagai 'pengarah' yang gagal menyemarakkan sastera di Sabah.

Saya fikir utusan maaf yang saya terima baru-baru ini juga merupakan cetusan beliau sendiri agar pegawainya 'mendengar' pandangan daripada golongan penulis. (Terima kasih kepada saudara saya, Sdr Clif Kamijan, pegawai projek Sayembara Mencipta Lagu Puisi Berkumpulan baru-baru ini; tiada apa kesalahan saudara sebenarnya, hanya corak pengendalian aktiviti sahaja yang harus diperbaiki.) Bagi Zubaidi, penulis merupakan pelanggan utama agensinya, jangan sekali-kali mengabaikan mereka. Dalam banyak keadaan sejak mengenali beliau, apa juga aktiviti berkaitan dunia sastera , bahasa dan budaya akan beliau hadiri. Tidak pernah menghampakan undangan yang kami anjur malah mengambil sikap responsif apabila kami mencadangkan sesuatu aktiviti. Inilah yang wajar dicontohi. Saya mengenali ramai mantan Pengarah DBP Sabah, mereka mempunyai kecenderungan masing-masing. Sudah tentulah wujud perbezaan pendekatan antara seorang pemimpin dengan pemimpin yang lain dalam organisasi sastera dan bahasa ini. Begitu juga tentang keberkesanan program-program yang dilaksanakan. Tentu juga ada yang berpendapat pegawai-pegawai yang dedikasi juga penting bagi memastikan berjaya atau gagalnya sesebuah projek yang dilaksanakan. Kenyataan ini tiada cacat celanya, memang betul, seorang ketua perlukan kerjasama yang mantap, jujur, setia, telus daripada staf bawahan.

Secara peribadi saya berpendapat Zubaidi merupakan seorang individu yang mesra, responsif dan peka terhadap alatan sastera yang diperlukan para penulis, penggiat persuratan tanpa mengira disiplin mereka. Katakan apa saja sama ada teater, penulisan kreatif, gerakan budaya etnik dan pemugaran bahasa Kebangsaan, beliau tetap hadir melalui idea, jika tidak idea hadir bersama sokongannya. Memang Zubaidi insan biasa, kelemahannya juga tidak kurang berbanding kelebihan yang beliau miliki. Beliau begitu meyakini kemampuan staf bawahannya meskipun ada segelintir yang bersikap acuh tak acuh. Saya pernah menulis panjang lebar tentang DBP Sabah dengan jujur dan telus tanpa berselindung. Saya percaya Zubaidi menghayati tulisan-tulisan sedemikian secara positif melainkan telah disilaptafsir oleh segelintir pihak, saya tetap yakin Zubaidi bukanlah orang yang berfikiran sempit demi kebaikan agensi yang diterajuinya di Sabah. Sesungguhnya banyak perkara yang telah dilontarkannya agar dapat dilaksanakan kepada golongan penulis. Sebagai contoh, beliau menyediakan bilik untuk ahli Lembaga Pengelola DBP dan menempatkan IPS dan Bahasa bersama-sama di situ. Beliau meminta kami menganjurkan program Baca Puisi. Mengimarahkan pentas Dewan Besar DBP dengan pementasan teater. Menerbitkan buku. Penyampaian Hadiah Sastera Sabah yang menghadirkan TYT Negeri Sabah. Dan banyak lagi. Ironinya kemarau penulis yang mengunjungi DBP Sabah sekarang ini kononnya disebabkan beliau tidak melaksanakan aktiviti di premisnya. Agak menghairankan juga, siapa Zubaidi dalam organisasi berkenaan menjadi tidak jelas. Jika wujud tanggapan ini, saya menjadi antara golongan penulis yang awal bangun menentang. Jika golongan penulis sudah tidak selalu mengunjungi DBP Sabah, jangan dapatkan punca dengan menyalahkan sesiapapun, cari penyelesaian bukan penyebabnya!

Sebagai pemimpin persatuan penulis, saya tidak memilih siapakah insan yang mengetuai DBP Sabah, kerana yang lebih ditekankan ialah penyemarakan program sastera dan bahasa secara berterusan, bermutu dan bermakna. Setiap ketua wajar dihormati dan disegani. Memang banyak projek kesusasteraan yang telah berkubur beberapa tahun kebelakangan ini. Bagaimanapun, saya tidak berniat mengulasnya lagi. Apakah ini juga disebabkan oleh Zubaidi? Saya hanya ingin menggeleng-gelengkan kepala, kerana jawapannya tentu tidak!


~ Hasyuda Abadi ~

Senangkanlah Hatimu


Kalau engkau kaya, senangkanlah hatimu! Kerana dihadapanmu terbentang kesempatan untuk menunaikan yang sulit-sulit. Segala perbuatanmu dihargai orang, engkau beroleh pujian di mana-mana. Engkau menjadi mulia, tegakmu teguh. Di hadapan engkau terhampar permaidani kepujian, sebab itu engkau beroleh kebebasan dan kemerdekaan.

Jika engkau fakir miskin, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari suatu penyakit jiwa, penyakit kesombongan yang selalu menimpa orang kaya. Senangkanlah hatimu kerana tiada orang yang akan hasad dan dengki kepada engkau lagi,lantaran kemiskinanmu. Kefakiran dan kemiskinan adalah nikmat, yang tidak ada jalan bagi orang lain buat kecil hati, dan tidak ada pintu bagi kebencian.
Kalau engkau dermawan, senangkanlah hatimu! Kerana dengan kedermawanan engkau dapat mengisi tangan yang kosong, telah dapat menutup tubuh yang bertelanjang, engkau tegakkan orang yang telah hampir roboh. Dengan sebab itu engkau telah menuruti perintah hatimu dan engkau beroleh bahagia: Berpuluh bahkan beratus makhluk Tuhan akan menghantarkan pujian kepada Tuhan lantaran pertolonganmu. Kesenangan hatimu yang tadinya cuma satu, sekarang akan berlipat ganda, sebab banyak orang yang telah mengecap nikmatnya.

Kalau engkau tidak kuasa jadi dermawan, itupun senangkan pulalah hatimu! Sebab engkau tidak akan bertemu dengan suatu penyakit yang selalu menular kepada masyarakat manusia, iaitu tiada membalas guna, penghilangkan jasa. Mereka ambil kebaikan budi dan kedermawananmu itu jadi senjata untuk menjatuhkan tuduhan-tuduhan yang rendah. Saat yang demikian pasti datang kepada tiap-tiap dermawan, yang menyebabkan hati kerapkali patah dan badan kerapkali lemah, sehingga hilang kepercayaan kepada segenap manusia, disangka manusia tidak pembalas guna. Padahal langkah belum sampai lagi kepada puncak kebahagiaan dan beroleh ampunan dari Tuhan.

Kalau engkau masih muda remaja senangkanlah hatimu! Kerana pohon pengharapanmu masih subur, dahan-dahannya masih rendang dan rimbun. Tujuan kenang-kenangan masih jauh.Sebab umurmu masih muda, mudahlah bagimu menjadikan mimpi menjadi kenyataan yang sebenarnya.

Kalau engkau telah tua, senangkan pulalah hatimu! Kerana engkau telah terlepas dari medan pertempuran dan perjuangan yang sengit, dan engkau telah beroleh beberapa ilmu yang berguna di dalam sekolah hidup. Engkau telah tahu firasat, mengerti gerak geri manusia dan tahu ke mana tujuan jalan yang ditempuhnya. Oleh sebab itu segala pekerjaan yang engkau kerjakan itu kalau engkau suka lebih banyak akan membawa faedah dan lebih banyak tersingkir daripada bahaya. Satu detik daripada umurmu di masa tua, lebih mahal harganya daripada bertahun-tahun di zaman muda, sebab semuanya telah engkau lalui dengan pandangan yang terang dan pengalaman yang pahit.

Kalau engkau dari turunan yang mulia-mulia, tenangkanlah hatimu! Kerana dirimu tergambar dan terpeta di dalam hati tiap-tiap sahabat itu. Kalau engkau memang di dalam kalangan sahabat yang banyak itu, lazat rasanya kemenangan dan kalau kalah tidak begitu terasa. Lantaran banyaknya orang yang menghargai dan memperhatikan engkau, engkau dapatlah insaf, tandanya dirimu mahal dan timbanganmu berat.Yang penting adalah engkau dapat keluar dari penyakit mementingkan diri seorang, memandang hanya engkau yang benar, lalu masuk ke dalam daerah yang baru, iaitu mengakui bahawa ada lagi orang lain yang pintar, yang berfikir dan kuasa menimbang.

Jika musuhmu banyak, senangkan pulalah hatimu! Kerana musuh-musuh itu ialah anak tangga untuk mencapai kedudukan yang tinggi. Banyak musuh menjadi bukti atas sulitnya pekerjaan yang engkau kerjakan.Tiap-tiap bertambah maki celanya kepada engkau, atau hasad dengkinya, atau mulutnya yang kotor atau perangainya yang keji, bertambahlah teguhnya pendirianmu bahawa engkau bukan barang murah, tetapi barang mahal, dari celaannya yang benar-benar mengenai kesalahanmu, engkau dapat beroleh pelajaran. Mula-mula maksudnya hendak meracunimu dengan serangan-serangannya yang kejam dan keji, maka oleh engkau sendiri, engkau saring racun itu dan engkau ambil untuk pengubat dirimu mana yang berfaedah, engkau buangkan mana yang salah. Ingatlah: Pernahkah seekor burung helang yang terbang membubung tinggi memperdulikan halangan burung layang-layang yang menghalanginya?

Kalau badanmu sihat, senangkanlah hatimu! Tandanya telah ternyata pada dirimu kekayaan Tuhan dan kemuliaan nikmatNya, lantaran badan yang sihat, mudahlah engkau mendaki bukit kesusahan dan menempuh padang kesulitan.

Kalau engkau sakit, senangkan pulalah hatimu! Kerana sudah ternyata bahawa dirimu adalah medan tempat perjuangan di antara dua alam yang dijadikan Tuhan iaitu kesihatan dan kesakitan. Kemenangan akan terjadi kepada salah satu yang kuat, kesembuhan mesti datang sesudah perjuangan itu, baik kesembuhan dunia ataupun kesembuhan yang sejati.

Kalau engkau menjadi orang luar biasa, senangkan hatimu! Kerana pada tubuhmu terdapat cahaya yang terang-benderang tandanya Tuhan selalu melihat engkau dengan tenang sehingga menimbulkan kesuburan dalam fikiranmu, dilihatNya otakmu sehingga cerdas, dilihatNya matamu sehingga jadi azimat, dilihatNya suaramu sehingga jadi sihir. Bagi orang lain, perkataan dan tiap-tiap suku kalimat yang keluar dari mulutnya hanya menjadi tanda bahawa dia hidup saja. Tapi bagi dirimu sendiri menjadi cahaya yang berapi dan bersemangat, boleh meninggikan, boleh memuliakan dan menghinakan, sehingga bolehlah engkau berkuasa berkata kepada alam: “Adalah”, sehingga diapun “ada”.

Kalau engakau dilupakan orang, kurang dikenal, senangkan pulalah hatimu! Kerana lidah tidak banyak yang mencelamu mulut tidak banyak mencacatkanmu, tidak ada orang lain yang dengki kepadamu, tak ada orang yang meniatkan jatuhmu, mata tak banyak memandangmu. Itu, dihadapanmu ada puncak bukit dan engkaupun salah seorang dari anggota masyarakatmu. Rumah batu yang indah, berdiri di atas kumpulan tanah dan pasir-pasir yang kecil. Dengan demikian itu, engkau akan merasai kesenangan hati yang kerapkali tidak didapat oleh yang bibirnya tak pernah merasai air hidup dan rohnya tak pernah mandi di dalam kolam ilham.

Kalau sahabatmu setia kepadamu, tenangkanlah hatimu! Kerana pertukaran siang dan malam telah menganugerahi engkau kekayaan yang paling kekal.

Kalau kawanmu khianat, senangkan juga hatimu! Sebab kalau kawan-kawan yang khianat itu mungkir dan meninggalkan engkau, tandanya dia telah memberikan jalan yang lapang buat engkau.

Kalau tanah airmu dijajah atau dirimu diperhambakan, senangkanlah hatimu! Sebab penjajahan dan perhambaan membuka jalan bagi bangsa yang terjajah atau diri yang diperhamba kepada perjuangan melepaskan diri dari belenggu. Itulah perjuangan yang menentukan hidup atau mati, dan itulah yang meninggalkan nilai. Ketahuilah bahawa tidaklah didapat suatu bangsa yang terus menerus dijajah.

Jika engkau dari bangsa merdeka, senangkanlah hatimu! Sebab engkau duduk sama rendah dan tegak sama tinggi dengan bangsa-bangsa yang lain, ada bagimu kesempatan mencari kekuatan baru. Kemerdekaan itu mesti diisi dengan bahan-bahan yang baik, dan bagimu terbuka kesempatan yang seluas-luasnya untuk itu.

Kalau engkau hidup dalam kalangan orang-orang yang kenal akan diri dan cita-cita engkau, senangkan hatimu! Kerana di sana engkau dapat mengusahakan tenaga muda
setiap hari, dan kekuatan pun bertambah, roh serta semangat menjadi baru. Engkau bertambah subur dan tegak, menaungi lautan dan daratan.

Kalau engkau hidup dalam kalangan masyarakat yang masih rendah, yang tidak mengerti bagaimana menghargai cita-cita orang, sehingga engkau merasa ’sial-dangkal’, maka senangkanlah hatimu! Kerana dengan sebab itu engkau beroleh kesempatan jadi burung, lebih tinggi terbangmu daripada orang-orang yang patah sayap itu. Engkau boleh melayang ke suatu langit khayal, untuk mengubati fikiranmu yang gelisah, untuk melepaskan dahaga jiwamu.

Kalau engkau dicintai orang dan mencintai, senangkanlah hatimu! Tandanya hidupmu telah berharga, tandanya engkau telah masuk daftar orang yang terpilih. Tuhan telah memperlihatkan belas kasihan-Nya kepadamu lantaran pergaduhan hati sesama makhluk. Dua jiwa di seberang masyrik dan maghrib telah terkongkong di bawah satu perasaan di dalam lindungan Tuhan. Di sanalah waktunya engkau mengetahui rahsia perjalanan matahari di dalam falak, ketika fajarnya dan terbenamnya, tandanya Tuhan telah membisikkan ketelingamu nyanyian alam ini. Lantaran yang demikian dua jiwa berenang di langit khayal, di waktu orang lain terbenam. Keduanya berdiam di dalam kesukaan dan ketenteraman, bersenda gurau di waktu bersunggguh-sungguh.

Jika engkau mencinta tetapi cintamu tidak terbalas, senangkanlah hatimu! Kerana sesungguhnya orang yang mengusir akan jatuh kasihan dan ingin kembali kepada orang yang diusirnya itu setelah ia jauh dari matanya, dia akan cinta, cinta yang lebih tinggi darjatnya daripada cinta lantaran hawa. Terpencil jauh membawa keuntungan insaf, kebencian meruncingkan cita-cita dan membersihkan perbuatan. Sehingga lantaran itu hati akan bersih laksana bejana kaca yang penuh berisi air khulud, air kekal yang dianugerahkan Tuhan. Dengan sebab itu, engkau akan beroleh juga kelak tempat merupakan cinta itu, kalau tak ada pada insan, akan ada pada yang lebih kekal daripada insan. Bersedialah menerima menyuburkan cinta, walau bagaimana besarnya tanggunganmu, kerana cinta memberi dan menerima, cinta itu gelisah tetapi membawa tenteram. Cinta mesti lalu di hadapanmu, sayang engkau tak tahu bila lalunya. Hendaklah engkau menjadi orang besar, yang sanggup memikul cinta yang besar. Kalau tak begitu, engkau akan beroleh cinta yang rendah dan murah, engkau menjadi pencium bumi, engkau akan jatuh ke bawah, tak jadi naik ke dalam benteng yang kuat dan teguh, benteng yang gagah perkasa yang sukar tertempat oleh manusia biasa. Kerana tugu cita-cita hidup ini berdiri di seberang kekuasaan dan kemelaratan yang diletakkan oleh kerinduan kita sendiri.

Merasa tenteramlah selalu, senangkanlah hatimu atas semua keadaanmu, kerana pintu bahagia dan ketenteraman itu amat banyak tak terbilang kesulitan perjalanan hidup kian minit, kian baru.

Merasa senanglah selalu!

Ya Allah.. senangkanlah hatiku....selalu.. padaMu..

[dipetik dalam Prof. Dr. Hamka (1996). Tasawuf Moden. Kuala Lumpur: Darul Nu’man. Halaman 337-343.]

~Hasyuda Abadi ~

Ahad, November 08, 2009

Bersama Irama Sukma


Sebuah puisi yang kubaca pernah kau bersamanya disulam kelam kusam malam-malam hanya suara sunyi dalam mimpi-mimpi. sebuah puisi yang kubaca merakam denai yang damai memandang kupu-kupu memetik gembira bunga-bunga menghurai makna irama alir jernih suara dari kejauhan batu-batu basah. sebuah puisi yang kubaca diiring deru angin kering mengesel ranting-ranting dan dahan-dahan rimba hingga satu persatu gugur daun-daunnya bersatu di bawahnya serangga yang mengingatkanku sebuah kebun di halaman rumah membentuk rahsia sebuah puisi yang saban waktu kubaca dan kau menjelma bersama irama sukma.


© 2009 Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu,
Sabah.




~ Hasyuda Abadi ~

Ahad, November 01, 2009

Puisi dan Hakcipta Penulis




Sahabat say
a Jasni Matlani memaklumkan puisi saya 'Mengapa Harus Berterima Kasih' menang sayembara lagu puisi berkumpulan. Dia marah, bukan kera na lirik puisi saya menang tetapi kerana pihak pengajur tidak profesional menangani sayembara ini.

Bunyinya mungkin
merungkai pelbagai reaksi. Kami sengaja membangkitkan isu ini secara terbuka kerana ia melibatkan golong penulis yang harus tahu keadaan sebenar. Kami mahu ketelusan dan membicara kan soal hak yang jarang diberikan kepada para penulis yang sering dilihat sebagai bukan siapa-siapa.

Saya bagi pihak kawan-kawan penulis ingin menyuarakan keraguan tentang pengendalian aktiviti yang DBP serta beberapa organisasi di daerah Tenom, Ini tidak kena mengena dengan ungkapan 'rumah siap pahat masih berbunyi'. Kami tidak tahu adanya rumah yang baru disiapkan sehinggalah surat
khabar melaporkan! Isunya mungkin tidaklah besar sangat apabila dipandang dari sudut biasa, maksud saya sesiapapun boleh petik atau gunakan puisi sesiapapun untuk dijadikan lirik lagu, siapa tahu jika tidak diberitahu wujudnya pertandingan sebegini.

Namun begitu kami terfikir pula mengapa agaknya, apabila menggunakan puisi penulis, ia dilihat seolah-olah karya berkenaan seperti ditemui di tepi jalan, tidak tahu siapa pemiliknya. Paling tidak, memaklumkan kepada penulis, karya anda dipilih untuk dijadikan lirik lagu yang akan dipertandingkan. Dari sudut hak sebagai pemilik karya dan juga hakcipta. Ya, kami faham bahawa apapun
juga pandangan sebagai penulis, DBP telah menetapkan untuk mengangkat puisi-puisi itu sendiri, malangnya ia telah menjejaskan kehakmilikan apabila lagu itu menang misalnya, siapakah yang lebih atau setidak2nya harus meraikan kemenangan itu?

Undanglah penulis hadir. Dipohon jangan dipandang ringan. Perlulah profesional. Berintegriti dan telus. Mungkin wajar juga puisi yang telah lama tersimpan dalam rak buku pun perlu ada harga apabila terpilih. Kerana itu puisi bukan sahaja dihargai tetapi dihargakan. Inilah yang kami lihat dan harus disuarakan. Jika di pihak anda, katakanlah puisi anda merupakan antara lirik yang dipilih dalam sa
yembara ini, apakah perasaan anda tanpa pengetahuan karya anda dimanupulasi? Mungkin sesetengah orang akan kata, tak apalah biarlah, itupun DBP, bukan orang lain keluarga kita juga, lagipun diorang angkat karya kita. Biarlah. Tapi sampai bila ketidaksensitifan kita terhadap hakcipta seseorang penulis itu. Barangkali isu ini tidak pernah dijangkakan. Mungkin di luar kawalan pihak penganjur dan pegawai projek tidak pernah mengendahkan hal-hal yang terpencil ini. Saya sendiri tidak pernah berfikir panjang di mana letaknya hakcipta puisi itu sendiri sehinggalah kawan-kawan penulis menyedarkan kepada saya.

Sebagai penulis dan pemimpin sebuah organisasi penulis, kami memohon perlunya penjelasan terperinci tetang sayembara lagu puisi berkumpulan daripada pihak penganjur. Pada dasarnya usaha menganjurkan aktiviti ini cukup menarik. Puisi telah diketengahkan, Hanya cacatnya tidak melalui prosidur yang jelas. DBP memiliki standard ISO yang hebat, kami tidak fikir hal-hal yang terpencil begini terabai dan tidak dipandang serius.


~ Hasyuda Abadi ~

Rabu, Oktober 14, 2009

Merentas Perbezaan


Dulu dan sekarang, dibatasi oleh perbezaan. Dalam dunia sastera juga demikian. Perjuangan sastera dulu dan sekarang mengalami perbezaan sentuhan. Perjuangan tetap wujud tetapi tanpa sentuhan yang berkesan. Persepsi masyarakat sudah tidak begitu kelihatan. Kurang berhujah apatah lagi berani menyanggah apabila masyarakat telah dibiasakan oleh pesta yang tidak menguji minda. Sastera menjadi bukan apa-apa. Sastera terpisah, dipisahkan dengan tanggapan kuasa tidak terletak pada kata-kata indah yang berlapis makna, kuasa tidak terletak pada sahsiah jiwa yang membara. Akhirnya terjelmalah insan yang kasar, lupa akar budaya dan tonggak budi, mencipta api untuk menjadi lebih rakus. Jika mencipta pantun, pantunnya tidak lagi berpaut pada langgam yang indah, sajaknya tidak lagi membentuk metafora yang bermata makna, tidak lagi peduli betapa irama syair telah menyebabkan seni irama yang merangsang jiwa yang halus. Suara penyair dipimpin oleh ragam amarah hingga enggan mengirim sebarang kebenaran kepada sasaran. Penulis sudah tak terbimbing lagi. Mereka bangun semulajadi tetapi tidak terarah. Penulis lahir sendiri bagai anak kehilangan ibunya.




~ Hasyuda Abadi ~

Jumaat, Oktober 02, 2009

Tangisan Padang

bumi yang merekah itu telah membawamu
ke perdu keinsafan tentang yang maha besar

mendengar tangis jelaskan rahsia dahsyat
takut hiba para bonda, adik-adik tercinta
anak-anak, para bapak, kanda-kanda tersayang
saudara-saudaraku yang lain
yang telah hilang dan merasa kehilangan

musibah ini menyentuh kalbu
mendekam rasa sayu, sedih dan pilu
meski ada sempadan yang diperaturkan
kalian satu di bumi Tuhan
hulur seluhur simpati dan doa yang panjang

bumi bergetar itu hikmah keinsafan
dan tangisan yang membelah padang
menyatu patuh tiadakan goyah takwa
tiang yakin telah didirikan berzaman
semakin ampuh menerima ketentuan

di sana tangisan kudengar
dari padang kesengsaraan ujian Tuhan
terjemahan yang memancar piala keimanan.

~ Hasyuda Abadi ~

Kembali dalam fitrah

ORANG yang beriman ialah orang yang berada dalam fitrah. Beradanya manusia dalam fitrah ialah apabila tabii insan menemukan dirinya dengan tabii ihsan. Keihsanan meletakkan insan berada dalam talian rohaniah yang tinggi dengan Allah. Talian rohaniah itu apabila dihubungkan dengan rangkaian keinsanan ia meletakkan tahap penyerahan yang tulus dengan menampilkan sifat ketaatan, keakuran, ketundukan dan penerimaan yang bulat terhadap titah perintah Allah.

Keihsanan Allah kepada makhluk apabila diterjemahkan sesama insan akan memancarkan nilai yang baik sesuai dengan fitrah atau tabii diri. Apabila wujud keingkaran, kefasadan, kemungkaran pada diri insan, tahap penyerahan menjadi kerdil dan pupus dan memungkinkan manusia berada dalam lingkungan di luar fitrah.

Ramadan memberikan asas tarbiyyah rohiyyah kepada insan untuk meletakkannya semula ke dalam fitrah. Kurikulum Ramadan yang mewajibkan manusia berpuasa zahir batin, menganjurkan sunat tarawih dan tadarus, menggalakkan infak, sedekah dan mewajibkan zakat fitrah, mendorong manusia bersahur, berzikir dan berqiyam adalah skima latihan yang ingin mengembalikan manusia ke tahap fitrah yang sebaik-baiknya.

Sifat nasiyya dan ghaflah (lupa dan lalai) yang dimiliki manusia sentiasa meletakkan dirinya dalam cabaran kelemahan dan kekurangan. Akibat kelupaan, manusia menyimpang daripada landasan fitrah hingga menyebabkan unsur penyerahan, keakuran, ketaatan kepada Allah semakin tipis. Akibatnya manusia cenderung lupa diri, amanah dan tanggungjawab hingga terdorong melakukan kefasadan dan kemungkaran. Sebab itu di antara faktor penting terhadap misi kerasulan (nubuwwah) ialah mempertingkatkan manusia daripada lupa. Begitu juga tabiat lalai memang dimiliki manusia. Kelalaian mungkin berpunca daripada faktor nafsu-nafsi, pangkat dan darjat, kebendaan dan kecantikan. Ini tidak bermakna Islam menolak kehadiran nafsu, keperluan pangkat dan darjat serta kepentingan kebendaan dan kecantikan. Tetapi Islam meletakkan perimbangan yang baik supaya nafsu-nafsi tidak menjadi matlamat dalam hidup, pangkat dan darjat menyebabkan manusia sombong dan angkuh, kebendaan dan kecantikan menjadikan mereka lupa dan lalai hingga mereka tergamak melakukan sesuatu di luar batasan yang fitrah sifatnya. Sebab itu al-Quran memberikan penegasan supaya manusia jangan bersifat melampau dan melebihi batas.

Solat dan siyyam (berpuasa) adalah di antara kurikulum tarbiyyah rohiyyah yang amat penting untuk mengembalikan manusia ke dalam fitrah. Solat dan siyyam kita lakukan berulang-ulang. Ciri berulang-ulang itu memberi penegasan mengenai kelupaan dan kelalaian manusia dari landasan fitrah. Menyempurnakan ibadah khusus itu bermaksud mengukuhkan tali-temali rohaniah dengan Allah supaya kegiatan manusia sentiasa berada dalam keadaan fitrah dan takwa (concious of the Creator). Ketakwaan menjadi landasan yang memberikan kawalan dan kesedaran supaya aktiviti hati dan anggota sentiasa dipedomankan dengan keinsafan bahawa setiap apa yang dilakukan oleh manusia walau sebesar zarahpun tidak akan terlepas daripada Allah. Tunjangan ini apabila teguh pada diri manusia menjadikannya berada dalam fitrah.

Risalah ul solat (risalah sembahyang) umpamanya sekiranya dijadikan landasan dan pedoman untuk memperteguhkan iltizam kepengurusan dan kepemimpinan, akan mampu melahirkan kepemimpinan dan pengurusan berkualiti. Menghasilkan kualiti kepemimpinan dan pengurusan dari sudut pengurusan masa, keutamaan, musyawarah, pemantauan dan muhasabah yang dikaitkan sebagai faktor ibadah bukan saja bermanfaat untuk diri tetapi juga untuk organisasi.

Risalah ul Siyyam (risalah berpuasa) juga mempunyai kaitan rapat membentuk nafs dan diri supaya diri insan secara psikologinya memahami makna kelaparan dan kemiskinan, pengawalan nafsu syahwat dan nafsu perut di samping mengharapkan fadilat ibadah dan berkat amal. Pengalaman ini mengajak manusia menginsafi makna hidup dalam pengertian yang seimbang. Menyedari peranan hamba dan khalifah, tunduk kepada syariat Allah dan menampilkan daya kepemimpinan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah.

Manusia membesar dan dewasa atas tuntutan yang fitrah. Allah jadikan mata, mulut, telinga, tangan, kaki dan anggota yang lain atas fungsi yang fitrah seperti melihat, bercakap, mendengar, melakukan pekerjaan atau bergerak ke sana ke mari. Dalam Islam bukan saja fungsi pancaindera dan anggota saja yang dipentingkan tetapi lebih utama daripada itu ialah bagaimana ia digunakan. Apakah dengan mata kita gunakan untuk melihat, menonton dan menyaksikan perkara yang meningkatkan kesedaran kita mengenai kebaikan dan nilai mulia sehingga mata menjadi alat meningkatkan takwa dan iman? Atau mata digunakan untuk melihat perkara buruk yang boleh mempengaruhi minda, perasaan dan tingkah laku kita.

Apakah mulut kita gunakan untuk bercakap hal yang baik, bermanfaat dan berteraskan ilmu supaya yang mendengar menerima manfaat yang baik atau mulut dijadikan alat untuk menabur fitnah, mengumpat, mengeji dan mendustakan kebenaran sehingga menimbulkan kecoh dalam hidup dan rosak hubungan kemanusiaan.

Apakah telinga kita gunakan untuk mendengar hal yang merangsang kepada kemakrufan atau telinga digunakan untuk mengutip atau menikmati perkara yang merosak dan melalaikan. Apakah tangan digunakan untuk menulis dan melakukan kerja yang memberi faedah kepada orang lain atau tangan digunakan untuk merosakkan pemikiran atau sistem hidup bermasyarakat. Apakah kaki juga kita gerakkan untuk melangkah melakukan kerja yang bersifat amal atau pun melakukan maksiat.

Fungsi di atas dibangkitkan bagi menginsafi bahawa meletakkan manusia dalam keadaan fitrah akan hanya berlaku apabila pancaindera dan anggota zahir melakukan sesuatu sesuai dengan fitrah dan tabii insan. Sebaliknya dengan mata, kita disajikan dengan bahan lucah dan ganas menerusi gambar, bahan tontonan dalam media cetak dan elektronik, pastinya minda dan perasaan kita akan dirangsang dan dipengaruhi elemen negatif. Sekiranya hal ini berlaku, ia secara beransur-ansur menjauhkan kita dengan nilai yang fitrah. Hal yang sama boleh berlaku kepada anggota mulut, telinga dan anggota yang lain.

Imam al Ghazali dalam analisisnya membahagikan puasa kepada tiga kategori. Kategori pertama ialah puasa awam, kategori kedua ialah puasa khusus dan kategori ketiga ialah puasa khusus al khusus. Puasa awam dirujuk kepada puasa berlapar dan mengekang syahwat. Sejak terbit fajar hingga terbenam matahari, kita menghindarkan diri daripada makan dan minum atau menyempurnakan kehendak syahwat. Memang fitrah manusia perlukan makan dan minum. Paling tidak dari sudut sosial dan psikologi kita mengalami suatu keadaan iaitu berlapar itu menginsafkan kita mengenai makna kedaifan dan kemiskinan. Lazimnya dalam apa-apa masyarakatpun, kemiskinan tetap wujud sebagai suatu faktor sosial. Strata yang berbeza antara manusia memerlukan cara bagaimana ia saling dihubung dan dirapatkan. Puasa dalam membina keinsafan sosial boleh mendorong fitrah insan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik. Kesedaran tolong menolong ini akan mencetuskan ukhuwah atau faham kemanusiaan yang mendalam. Kesedaran begini meletakkan manusia berada dalam fitrah.

Kategori kedua ialah puasa khusus. Ia merujuk kepada puasa pancaindera dan anggota. Puasa khusus menumpu kepada peranan telinga, mata, mulut, tangan, kaki serta pancaindera dan anggota badan yang lain supaya berfungsi secara fitrah. Mata digunakan untuk melihat, menatap, membaca perkara yang memberi manfaat. Telinga digunakan untuk mendengar input yang tidak melalaikan dan begitu juga anggota yang lain. Dengan latihan dan kawalan yang penuh disiplin, ahli puasa akan mencapai suatu tahap tinggi dalam diri iaitu memiliki keupayaan untuk mengawal fungsi pancaindera dan anggota sekali gus mengawal nafsu makan dan syahwat.

Kategori ketiga mengikut Imam al Ghazali dalam kitabnya Ihya Ulumuddin ialah puasa khusus al khusus yang merujuk kepada puasa hati. Hati adalah faktor terpenting kepada diri manusia. Setiap amal manusia bermula daripada niat dan niat itu datangnya dari hati. Berlakunya fitnah mata dan telinga, terbitnya sifat hasad dan dengki, wujudnya rasa riak dan ujub, lahirnya kata kesat dan menghina adalah didorong oleh rangsangan hati. Hati yang fitrah sifatnya merangsang mata, telinga, mulut, kaki dan tangan ke arah yang baik kerana kebaikan adalah sesuatu yang digemari manusia dan kecelakaan sesuatu yang tidak digemari manusia.

Oleh itu, faktor hati diletakkan pada martabat paling tinggi oleh Imam al Ghazali untuk membentuk manusia menjadi fitrah. Sekiranya tarbiyyah rohiyyah hasil daripada mengikuti skima atau kurikulum Ramadan, setiap aspek dalam dan luar diri manusia digembleng ke arah pemurnian semula supaya manusia itu seolah-olah lahir kembali. Kelahiran kembali manusia dari sudut rohiyyah itu meletakkan dirinya ke dalam fitrah iaitu kelemahan yang lalu diatasi, tabiat yang merosakkan dibuang, resam perangai yang memudaratkan dihentikan sehingga manusia memiliki azam dan tekad yang baru dan lebih menginsafi diri dan amanah yang sewajarnya disempurnakan sebagai hamba dan khalifah.

Wallahu a’lam.

~ Hasyuda Abadi ~

Rabu, September 02, 2009

Persahabatan

Persahabatan menyebabkan kita sering mengingati insan yang dekat di hati walaupun mereka berada pada jarak yang jauh, walaupun di mana mereka berada. Kini telah memiliki alat yang lebih mengakrabkan, lebih mendekatkan rasa persahabatan itu. Pada bila-bila masa tanpa mengira jarak dan waktu, kita boleh saling bersapaan, saling interaksi memberi dan menerima pesanan sebagai sebuah ingatan yang maha luhur. Pelbagai ucapan memaknakan ingatan itu waima hanya sebaris ayat biasa. Namun yang penting suatu hantaran bererti betapa dekatnya rasa silaturahim. Meskipun ada juga yang sudah melupai kita, memadamkan ingatan-ingatan terhadap sahabat-sahabatnya. Sebagai menghargainya walaupun tidak pasti apakah masih ada ingatan menjelma dalam fikiran, kita tetap meninggalkan ingatan seperti sebelumnya tanpa sedikitpun goyah. Saya amat menghargai kehadiran pesanan-pesanan ringkas para sahabat tanpa mengira usia. Alhamdulillah...

~ Hasyuda Abadi ~

Selasa, September 01, 2009

Menemukan Ketiadaan

Barangkali ada satu ketika kita akan menyesal kerana terlupa mengingati saat keramat telah sampai dan membiarkan sahaja daun-daun gugur dibawa angin musim di sebalik gunungganang yang jauh. Rupanya memang benar saat itu hanyalah detik yang amat pantas, tidak terlintas di mata sesiapa akan berlaku peristiwa gugurnya helaian demi helaian daun musim sudah. Kenangan juga bukan bererti segala-galanya tertumpu pada sebuah titik walaupun lebur kehidupan menghormati betapa kehadiran sentiasa segar bertakhta dalam segala suasana. Mungkin penyesalan lebih dirasai satu saat kita menemukan ada daripada ada yang telah tiada...

~ Hasyuda Abadi ~

Isnin, Ogos 31, 2009

Luka Sengketa

LUKA SENGKETA

Karya Hasyuda Abadi, Kota Kinabalu.

Sengketa disulam halus menakluk murni
wargaku yang semakin petah berhujah
hebat menghukum kebenaran
kian angkuh melabuhkan emosi di hadapan
pentas perdebatan
perjuangan kemelut yang menjerut
martabat waras walaupun terpaksa tersisa
tersisih dari peta warga setia.

ii
Sahsiah kemahuan seharusnya teradun kental
telah memesong minda kosong wargaku
diperbudakkan melerai korpus harmoni
diperdaya dibaham sengketa menggajah juang
sia-sia dalam talun gendang perbahasan sumbang,
diriakkan lagi oleh wasangka tanpa alas
mengunci benci
memenjarakan kebenaran yang sesungguhnya benar
memendam utuh dendam-dendam sejarah
meruangi rentak retak
menangguh kenyataan wawasan persaudaraan.

iii
Mengenali jalur-jalur peta retorika kuasa
lebih baik hidupkan jantung bangsa
di tengah-tengah riak sengketa
biarpun beza ketika berhujah kata
kita junjung integrasi di bawah rumah demokrasi:
inilah rumah harmoni
inilah rumah makmur
inilah rumah impian
nilai keunggulan negara tercinta
mempercayai kekuatan yang telah dipasak
diakarumbikan sejarah kemanusiaan warganya,
siapakah pemiliknya jika bukan kita
anak-anak yang telah digembirakan oleh getar kemerdekaan
di mana telah tumpah darah kerana setia
sekali lagi: setia, sekali lagi: setia!
harus maknakan setia ini.

iv
Tarian kebenaran harus patuh pada rentak toleransi
berpadalah melimau keris ketika menghadapi
acuman sengketa kerana dendam semata
apa lagi haloba cuma akan punah dijilat api angkuhkuasa
apalah ertinya sengketa-sengketa ini ditahtakan
di atas persada citra cita
dengan derita warganya
balutlah luka ini demi sejahtera generasi
anak-anak merdeka
ceriakan minda subur kedewasaan mereka
yang menghijaukan tanah air ini
menghimbau cita-cita nusa
tanpa sepatahpun ungkap taatsetia dimuntahkan
sekali lagi: tanpa sepatahpun!

v
Bisa sengketa ini harus dilurutkan
dengan jatimesra dalam muafakat
atau renungi kemahsyuran tanah air ini
bumi pusaka bertuah yang dijelmakan aneka rumpun
dan warna budaya
berapung sentosa di tengah-tengah medan nusantara
memelihara kebenaran
bersama.

Kota Kinabalu,
November 1992.

Khamis, Ogos 06, 2009

Patriotisme Sebuah Akademi


Patriotisme sering diungkapkan oleh ramai orang. Kepada generasi muda khususnya, patriotisme mengujarkan semangat mencintai negara dan bangsa. Mencinta dengan bacaan menyayangi, memelihara dan menunaikan tanggungjawabnya sebagai anak bangsa yang merdeka. Namun ungkapan ini tidak mudah untuk dijelaskan kerana ia lebih kepada bagaimana setiap individu itu merasai 'api yang membakar jiwanya', ia tidak sekadar diucapkan tetapi dianjak sebagai benteng yang asas dalam mempertahankan bangsanya daripada 'dijajah' oleh budaya yang memecahkan tradisi, memporak porandakan paduan hala tuju bangsanya, melemahkan jati diri yang dibina dalam membangun sahsiah masyarakat majmuk sebagai pokok yang berakar tunjangkan Rukun Negara dan sebagainya.

Setiap tahun rakyat diingatkan tentang mahalnya sebuah kemerdekaan yang sedang kita nikmati sekarang. Saban tahun juga rakyat diperteguhkan semangat cintakan tanah airnya menerusi pelbagai program merakyatkan kemerdekaan. Patriotisme menjadi landas dan alatan yang amat relevan. Para pemimpin dalam institusi kekeluargaan, pendidikan di sekolah dan IPT sehingga kepada kepemimpinan masyarakat secara menyeluruh tidak pernah lupa meletakkan patriotisme berada di atas daripada segala-galanya. Persoalannya apakah rakyat menyedari diri mereka memiliki semangat tersebut? Apakah penanda aras setiap rakyat atau warganegara kita menginsafi hanya patriotisme sahaja mampu membawa negara kita terus terjamin sebagai negara yang makmur, harmoni dan membahagiakan rakyatnya?


Kita sering juga mendengar hujahan kemakmuran negara menerusi perpaduan. Setelah merdeka lebih setengah abad, kita masih berhujah tentang perpaduan, mungkin agak kerterlalu untuk dikatakan bahawa kedudukan masyarakat kita menjadi semakin lemah kerana tumpuan lebih kepada bagaimana seluruh rakyat yang beraneka etnik itu harus menjaga rasa, budaya, kepercayaan menerusi ikatan kata perpaduan. Kita harus menerima hakikat bahawa tanpa nilai-nilai cinta kita tidak dapat menikmati kebahagiaan atau kemakmuran hidup. Dengan saling timbul rasa curiga dan kurang percaya terhadap satu sama lain, kita mungkin gagal untuk sama-sama membangunkan sebuah bangsa yang merdeka. Kerana itu mencintai negara dan bangsa harus bersama seiring dengan apa juga keperluan untuk masyarakat multi etnik negara kita.

Kita jadikan semangat patriotik itu sebagai sebuah akademi. Melalui dunia pembelajaraan tentu tidak semata-mata di institusi pendidikan, ia harus terus berkembang dalam kehidupan harian. Kita mendalaminya, sebagaimana kita melalui proses kehidupan itu sendiri, ada masanya kita melalui kepayahan. Namun akhirnya kita belajar sehingga mampu meletakkan semangat tersebut sebagai sebuah jati diri yang tidak mudah diubah. Dengan itu juga tidak mudah dirobek oleh pukauan orang-orang yang tidak berpendirian (baca: tidak memiliki jati diri).

Barangkali kita boleh mencari titik kepada persoalan-persoalan yang sedang berlaku sekarang dengan kepelbagaian enigma terhadap bangsa. Terutama kepada generasi baru dan akan datang, mereka bakal melalui warna-warni nilai yang sedang terjadi sekarang. Generasi sekaranglah pembentuknya. Jika masyarakat terus dilalai dan akhirnya dilalikan oleh hujahan-hujahan yang merugikan untuk jangka masa yang panjang, tidak ada jalan lain yang lebih kukuh selain memperkasakan semangat patriotisme dan Rukun Negara sepanjang hayat di kandung badan.

~ Hasyuda Abadi ~

Sabtu, Julai 25, 2009

Berhadapan dengan manusia...

Bukan bertujuan untuk membangkitkan rasa marah atau menyinggungkan perasaan sesiapa, tidak juga bermaksud untuk menyalahi sesiapa, namun sebagai individu yang diberikan tanggungjawab menyampaikan sesuatu demi kepentingan awam, perkara ini perlu difikirkan dan diberikan perhatian secara jelas. Kita tahu populariti sering tidak menjadi penyebab untuk mendapatkan kebenaran kerana kebenaran hanya benar-benar dicapai apabila menemukan sesuatu yang tidak dapat tidak untuk menerima kebenarannya. Begitu juga apabila sesuatu yang tidak digemari pihak yang menjadi perhatian , hanya akan berakhir setelah sesuatu tindakan yang tegas diambil tanpa memikirkan apa pun risikonya. Segala-galanya demi 'kebenaran'.
Inilah persoalan yang bermain dalam fikiran saya apabila ingin melihat organisasi seperti DBP Cawangan Sabah itu mengekalkan kredibilitinya sebagai sebuah agensi yang diberikan amanah memulihara kegemilangan dan kecemerlangan bahasa dan sastera Negara. Memang benar, namanya manusia, tidak mungkin dapat mengenepikan hal-hal bersangkutan kekhilapan, kelemahan, kekurangan dan seumpamanya. Malangnya kekhilapan, kelemahan, kekurangan itu berupa ulangan-ulangan yang sentiasa berligar di hadapan kita, sentiasa menjadi intipati perbualan, pemerhatian masyarakat bahkan individu yang bertanggungjawab tidak dapat tidak wajip menyelesaikan sebarang tingkah yang berlaku.

Tidak elok juga kita mencampuri urusan sebuah agensi yang amat dihormati itu. Tetapi sebagai pengurus hal ehwal penulisan dan organisasi membabitkan penulis, saya fikir apa yang berlaku dan merugikan penulis serta dunia persuratan itu harus dicampuri, diselesaikan dalam apa cara sekali pun. Kerana itu kita berharap pihak yang dimaksudkan ini mendapatkan hala kebenaran, tegas menempatkan kewibawaannya, tidak gentar kepada sebarang kerenah sesetengah pihak yang tidak mahu memahami amanah yang telah diletakkan di bahu sebagai petugas awam. Saya fikir tidak perlulah mengatakan banyak tetang keburukan atau kelemahan manusia, tapi cukuplah kita menyedari apakah kita pernah menyedari kita bukan hidup bersendirian di dunia ini. Tanpa orang lain, siapalah kita. Tanpa keringat orang lain, siapakah kita, Tanpa fikir usaha orang lain, siapalah kita, tanpa pelaburan dan bayaran cukai orang lain siapalah kita yang hanya tahu menerima daripada memberi, apatah lagi menyedari sesuatu untuk sesuatu tanpa inginkan balasan. Apabila kita tidak mendapatkan sesuatu yang dimahukan, kita menjadi tidak rasional, mereka pula pelbagai citra yang boleh mengubah kepada fitnah dan sebagainya. Mengapa semua itu terjadi waima berada di sebuah bumbung, wujud individu yang tidak mahu bersyukur, tidak mahu menghargai, tidak mahu menerima pandangan, teguran; apatah lagi saranan kebaikan.
~ Hasyuda Abadi ~

Jumaat, Julai 24, 2009

Sastera Kesenian Islam

Beberapa hari lepas bertemu dengan beberapa sahabat lama, antaranya Ustaz Jalidar Abdul Rahim, kini telah menetap di Shah Alam, Selangor. Pernah juga saya menyaksikan persembahan nasyidnya di Astro Oasis. Daripadanya, sering mengingatkan aktiviti sastera Islam ketika beliau berkhidmat di Jabatan Agama Islam Negeri Sabah. Bersama-sama ramai tokoh seni termasuklah Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif, Allahyarham Pengiran Haji Adnan Pg Haji Abbas dan beberapa orang mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah serta penulis-penulis yang memberikan sokongan, dukungan dan penglibatan dalam program-program kesenian Islam ketika itu. Mahrajan Sastera Islam misalnya berlangsung dengan amat berjaya sekali. Nadwah sastera Islam mengenengah ramai tokoh dari dalam dan luar negara. Bidang penerbitan pula menzahirkan banyak buku puisi berunsur Islam. Tokoh Penyair Islam meletakkan penulis dan penyair terbaik bagi Negeri Sabah berada di pentas penghargaan. Itu kenangan yang tetap segar bagi saya dan saya fikir sahabat-sahabat yang terlibat ketika itu. Kini, kecuali Mahrajan Sastera Islam dan penobatan tokoh Penyair Islam masih berlangsung, walau dalam skala yang semakin mengecil, kegiatan-kegiatan itu telah diadun dengan program kesenian Islam yang lain seperti pertandingan nasyid, ukiran khat dan pertandingan paluan kompang. Nadwah Sastera Islam terpaksa mengikut acuan tertentu, misalnya, nadwah yang berlangsung baru-baru ini khususkan kepada remaja yang dihadiri oleh pelajar-pelajar sekolah menengah. Isunya bersifat remaja dengan penampilan Ustaz Jainudin Mahmud, Jasni Matlani dan Lokman Abdul Samad. Ternyata tanpa pelajar sekolah, nadwah yang cukup hebat beberapa tahun awal itu tidak mendapat sambutan daripada para penulis jika diambil kira kehadiran audiens aktiviti tersebut. Saya sendiri hanya mengetahuinya sehari sebelum program ini diadakan, itu pun disebabkan saya pada petangnya menjadi pengadil sebuah sayembara deklamasi puisi. Penulis tidak dijemput! Inilah yang terjadi sebenarnya, malah saya mendengar juga kononnya aktiviti nadwah, mahrajan dan penobatan tokoh penyair Islam akan disingkirkan daripada sebahagian besar karnival anjuran kerajaan Negeri Sabah itu. Kita berharap ini hanya cakap-cakap yang tidak benar kerana inilah sahaja pentas yang sastera Islam khususnya dapat bertapak. Pemikiran Islami dapat diterapkan menerusi nadwah yang dianjurkan, di situ sahaja dapat menyalurkan gerakan aktiviti persuratan Islam dan seterusnya mengekalkan kehebatan Mahrajan Sastera Islam yang menjadi miliki kita sekian lama. Bagaimanapun, untuk memiliki semua ini, bergantung kepada kewibawaan dan iltizam bersama. Penulis perlu dilibatkan, aktiviti kesenian Islam harus melibatkan kelompok yang lebih luas bukan semata-mata pihak-pihak tertentu semata-mata. Kesenian Islam itu bukan hanya pada seni nasyid, seni khat, seni kompang dan sebagainya tetapi ia harus menyeluruh. Apabila bertemua dengan sahabat-sahabat lama, ada perkara yang telah dengan sengaja menjadi buah cerita, cerita-cerita itu tetap sama. Sastera kita sepatutnya semakin melebar dalam intipati kehidupan masyarakat kita, yang telah digelombangi pelbagai perubahan budaya.

~ Hasyuda Abadi ~

Isnin, Julai 20, 2009

SEKITAR MAJLIS BACA PUISI TELUK LIKAS

SEKITAR MAJLIS BACA PUISI TELUK LIKAS
Anjuran Bersama
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah
dan
Ikatan Penulis Sabah (IPS)






Mohd Fuad Bebit
Hos Baca Puisi Teluk Likas


Encik Zubaidi Abas,
Pengarah DBPCawangan Sabah
melancarkan Kumpulan Puisi
'Kembali di Lahad Rahsia'
karya Hasyuda Abadi


JY - Deklamator DJ produk IPS


Ahli Kehormat IPS
Sdr. Laliman Haji Ahmad
turut membaca puisi dengan cara
yang tersendiri dan tetap memberikan makna

Sdr. Mabulmaddin Haji Shaiddin
mempunyai bakal yang pelbagai selain
menulis puisi, menulis cerpen beliau
juga seorang pengkaji budaya. Malam
itu Mabul meniup seruling kesayangannya.

Asmah Juming ini Nabi Juara Deklamasi
Puisi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah
anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara baru-baru ini.


Kanda Ali Amat Anas, veteran polis kini
bersara tetapi dunia seni tidak pernah
ada ruang persaraan baginya. Kebolehan
dan pengalamannya sentiasa diperlukan
generasi muda untuk menyemai bibit-bibit
seni negara.


Aloy dan pelajarnya
dari Kolej Komuniti Yaysan Sabah

Encik Zubaidi Abas mengucapkan penghargaan dan tahniah
kepada IPS kerana menjadikan DBP Cawangan Sabah sebagai
premis dalam menjayakan Majlis Baca Puisi Teluk Likas.
Usaha ini akan mengajak penggiat seni, penulis dan orang
ramai mendekati DBP dan dunia puisi.



~ Hasyuda Abadi ~

Jumaat, Julai 10, 2009

Novel Rohaini Matdarin

Jendela Menghadap Jalan

Jendela Menghadap Jalan
Judul : Jendela Menghadap Jalan
Harga :
RM24.00





Judul : Jendela Menghadap Jalan
Pengarang : Rohaini Matdarin
Penerbit : Utusan Publications & Distributors
Genre : Novel
Mukasurat : 283 halaman
Cetakan Pertama : 2009
ISBN : 9789676122773


Dari jendela terkuak yang menghadap jalan,
Lili mengaut beribu pengalaman
yang menerjah dari luar.

Juga menghadam makna hidup
dari isi rumah yang penuh sejarah.
Cerita datuk yang teguh memaut tradisi,
kisah nenek yang mengembara
mengutip kematangan usia;
semuanya mencantumkan keinginan Lili
untuk mengetahui falsafah di sebalik jendela itu.

MENELITI naskhah Jendela Menghadap Jalan, terbentang rentetan konflik yang ditebarkan di sana-sini lewat plot-plot yang bercapah.

Meskipun penerokaan konflik nilai diteroka secara luas dan pelbagai namun pembaca dituntun secara cermat oleh jalur naratif tunggal bersama himpunan watak yang saling berjerait.

Terdapat unsur-unsur kebetulan yang mengheret plot membongkar konflik-konflik tertentu misalnya melalui watak Lili, Geetha dan Danel.

Mereka yang bertemu pada awalnya di dalam bas ketika sama-sama pulang ke kampung halaman telah sama-sama menggeluti permasalahan yang sama di kampung mereka.

Antara konflik yang dipaparkan seperti pertembungan nilai tradisi dengan moden iaitu ilmu perubatan tradisional yang diamalkan oleh datuk Lili.

Selain konflik anak-anak muda yang berdepan nilai-nilai moden, kebejatan sosial, keruntuhan akhlak, dan juga konflik generasi iaitu pertembungan nilai antara anak dengan ibu.

Konflik dalam masyarakat desa yang berkaitan dengan soal sama ada untuk membina masjid atau sekadar kubah sahaja turut disisipkan.

Konflik ini dibangunkan secara besar-besaran sehingga pembaca dapat menikmati satu subplot yang tersendiri yang terjerait sama dalam plot utama.

Novel tempat kedua ini mengusulkan tafsiran yang terbuka kepada pembacanya dan menjadikannya karya yang menghargai intelektualiti.

Menyelami suara batin golongan remaja melalui watak Lili dapat menjadi indeks psikologi sebagai petunjuk realiti gejolak dalam diri remaja dan sekali gua berguna kepada pihak-pihak tertentu.


Sumber - Utusan Malaysia



Sila layari : Ujana Ilmu untuk menempah buku ini.


~ Hasyuda Abadi ~

Isnin, Julai 06, 2009

Sekitar Kursus Kefahaman Islam Fasa 1

KURSUS KEFAHAMAN ISLAM FASA 1
~ DAKWAH ABAD 21 ~
Anjuran Yaysan Tun Ahmad Shah
dengan kerjasama
Ikatan Penulis Sabah
di Mimpian Jadi Resort, Tuaran.
3-5 Julai 2009

Peserta bersama Pengurus Yayasan Tun Ahmad Shah
selepas Majlis Penangguhan Kursus






~ Hasyuda Abadi ~

Ahad, Julai 05, 2009

Rabu, Jun 17, 2009

Iman Yusof dan beberapa sajak lain

IMAN YUSOF

Kuingin didodoi demi iman yang melahirkan semula peribadi,
biar hanya kutahu warna silam itu habis bersih disapu wuduk
mengalir jauh menyeberangi segala istana, biarkan sunyi menjadi
ujana dan taman-taman taqarrub sayup
biarpun pedang khalid memenggalnya. Telah usai peperangan
di medan diri bertunas iman Yusof yang sabar.

Beserah, Kuantan.
16 Jun 2009.


WUDUK

Telah terbentang matahari wajah dan segala indera
demi mensyukuri nikmat serta anugerahMu. Selepas
sujud kuredha segalanya dunia dan hari akhirat.

Kuantan,
16 Jun 2009.



TAHAJUD

Wangi malam-malam syahdu, tak terhenti sepi,
semakin sunyi menyatu diri, mendambai
raja' pengabdian.

Beserah, Kuantan,
16 Jun 2009.


SEBUAH PERIBADI

Saat kupergi kau tak pernah merasai sebuah masa lalu berlalu, mesti telah diabadikan dalam ingatan yang khatam di benak malam, sentiasa utuh meski disebabkan patuh ketika kupergi kau hanya berlalu bersama arah yang kekal biarpun keabadian sirna di lahad Cinta-Nya kerana ia lebih bahagia dan sempurna.

De Rhu Resort,
Beserah,Kuantan.
16 Jun 2009.

~ Hasyuda Abadi ~

Rabu, Jun 10, 2009

Sebuah Perjalanan Panggilan Umrah

AllahuAkbar! AllahuAkbar! AllahuAkbar Walillahilhamdu...

Di kaki Bukit Gua Thur.
Teringat sebuah puisi saya
'Merpati'


Berada di tingkat atas Masjidil Haram
selepas solat Subuh.

Bersama Adik, Ipar dan Anak Saudara

Merakam kenangan di sebuah Muzium
sebelum mengerjakan Umrah sunat.


Catatan kembara akan menyusul... InsyaAllah.

~ Hasyuda Abadi ~

Selepas Wida


Sayu kutinggalkan dengan azam saat wida merelung makna taqarrub. Di tanah haram ini harumnya menyatukan rindu, tak habis sepadat zam-zam yang kuteguk selepas tawaf dan solat. Saat berjuang dengan khuduk masih nikmat wangi hajar aswad dalam suci putih ihram. Allahuakbar! Sungguh agung-Mu mensuci kalbu.


~ Hasyuda Abadi ~
Masjidil Haram,

Mekah.
31/5/2009.

Selasa, Jun 02, 2009

Bumi Kalbuku

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
menjejakkan rindu dan cinta
labbaikallah humma labbaik
labbaika lasyarika lakalabbaik
dalam bahasa doa sejahtera
suci kota bukit bukau
memukau makna

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
melangkah masuk ke rumahNya
Nabawi bertiang putih
berpayung kubah hijau
melebur cinta
Maha Agung

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
menelusuri saf-saf mengakrab
satu azam satu arah satu warna
kenal bahasa sapa salam
cermin Islam

Telah tiba di bumi Nabi Kalbuku
ziarah pancar sejarah
memautkan riadah salafi
khusyuk mengalirnya tawaduk.

~ Hasyuda Abadi ~
Masjid Nabawi
Madinah
25/5/2009

Rabu, Mei 20, 2009

BICARA EKSEKUTIF

SEKITAR MAJLIS BICARA EKSEKUTIF
Anjuran
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Negeri Sabah

Yang Berbahagia Datuk Ismail Haji Wadin, SUP
bersama Encik Salehhuddin Md Salleh
Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara
Negeri Sabah

Encik Zubaidi Abas, Pengarah DBP Cawangan Sabah
antara pegawai kanan kerajaan yang hadir.

Ahli Panel berwibawa: Nazrey Johani, Ustaz Issraq
dan Ustaz Zainuddin Mahmud

Majlis ini menarik perhatian hadirin yang terdiri daripada
kakitangan kerajaan, pendidik, penulis dan individu
yang ingin mengetahui mauduk seni dan budaya
daripada jendela luas Islam



Bicara Eksekutif dianjurkan bersempena Karnival Kesenian Islam Negeri Sabah ke-2. Program ini berkonsepkan forum mengenengahkan sebuah tajuk yang amat menarik iaitu Seni dan Budaya Mengikut Perspektif Islam. Ahli panelnya terdiri daripada Nazrey Johani dan Ustaz Zainuddin Mahmud di samping Ustaz Issraq Ramli sebagai moderator.

Objektif program ini ialah untuk menyediakan ruang berdiskusi dan perkongsian pendapat dalam menyemarakkan perkembangan seni budaya tanah air, melahirkan golongan pemikir budaya agar memberikan buah fikiran dan pendapat berkaitan seni budaya dan menyampaikan dan menyebarkan maklumat dan informasi terkini di kalangan masyarakat setempat.

Tetamu kehormat Yang Berbahagia Datuk Ismail Haji Wadin, Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah.

~ Hasyuda Abadi ~

Selasa, Mei 19, 2009

Kota buku

PUTRAJAYA 19 Mei — Kota Buku bakal diwujudkan di ibu negara menjelang akhir tahun ini untuk membuka ruang kepada penerbit dan penulis memasarkan hasil karya mereka, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata projek tersebut yang diselenggarakan oleh Kementerian Pelajaran adalah bagi membolehkan peminat sastera menikmati pelbagai karya bermutu dari pelbagai penerbitan.

Katanya, Kota Buku turut berperanan dalam memajukan sektor penerbitan dan kesusasteraan di negara ini.

“Kita sudah ada bangunan yang kita akan majukan di Kuala Lumpur.

Sebahagiannya untuk dijadikan sebagai Muzium Guru manakala sebahagian lagi sebagai Kota Buku.

“Ia akan dimulakan akhir tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM20 juta dan dijangka siap tahun depan. Pembinaannya hanya memerlukan kerja-kerja pengubahsuaian."

- BERNAMA (19/5/2009)



~ Hasyuda Abadi ~

Sabtu, Mei 16, 2009

Sebuah Kenangan























Sebahagian daripada beberapa peristiwa manis yang sempat dirakam semasa berkursus di Intan Sabah. Training of Trainers (TOT's) menjadi punca kami bersama-sama menerima ilmu, kaedah dan teknik yang betul sebagai jurulatih. Dengan bilangan yang kecil menceriakan interaksi. Saya dapat membezakan pada jam pertama memasuki Bilik Cendana 1 sehingga keintiman dapat dirasai sepertimana juga kursus-kursus yang ditempohi ramai orang. Aktiviti 'ice-breaking' cukup memberikan kesan yang istimewa.

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan memberi ruang terbaik untuk saling kenal malah teknik ini menjadi input antara ilmu yang dibawa balik ke jabatan masing-masing. Pada saya ia lebih daripada itu. Terima kasih kepada pembimbing kami Encik Azlan Ahmad (Ketua Unit Pengurusan Kewangan INTAN Sabah) yang agak simple tetapi tak pernah semudah itu mempamerkan ilmu kejurulatihan kepada sebahagian kecil jurulatih yang menyertai kursus ini. Pada saya sesi yang paling menarik selain 'ice-breaking' ialah sesi persembahan tugasan. Dalam sesi ini menjelmakan pelbagai kebolehan, kepakaran, kecenderungan yang membuatkan kami saling interaksi dan menerima elemen-elemen baru, input baru bahkan informasi baru yang kebanyakannya tidak pernah dialami.

Ada rakan yang mempersembahkan mengenai dinar, peranan Kementerian Hal Ehwal Pengguna, mengenai OKU (Orang Kurang Upaya), tentang dadah, perihal rasuah, cara-cara memancing yang betul, mengenai komunikasi, pencemaran alam, keselamatan di tempat kerja dan beberapa persembahan lain yang memang menarik. Tetapi antara yang menarik itu persembahan rakan perserta yang mengenengahkan pertunjukan CPR (Cardiopulmonary resuscitation). Sayangnya masa yang diberi untuk latihana persembahan ini hanya 5-10 minit sahaja. Bagaimanapun ia tetap mencapai apa diperlukan. Isu yang paling penting lagi kami telah memahami persiapan dan prosedur sebelum memulakan tugas mengajar dan berceramah. Rancangan Sesi Pembelajaran (RSP) perlu disediakan sebagai panduan ketika bertugas. Bukan mudah memahami apa yang diperlukan, apa yang dikehendaki atau apa yang hendak diberikan kepada audiens. Apa yang penting ialah sejauh mana objektif sesuatu pengajaran itu mampu dicapai berdasarkan kaedah yang diaplikasikan.

Saya secara peribadi menemui apa yang dicari. Setelah beberapa kali percubaan menyertai kursus TOT's ini gagal, kali ini saya merasa amat bertuah sebagaimana rakan-rakan sekursus yang lain juga. Tahniah diucapkan kepada rakan-rakan perserta. Terima kasih juga kerana memberi kepercayaan kepada sebagai penghulu kursus. (Foto diambil oleh HA)

~ Hasyuda Abadi ~