Ahad, November 12, 2006

Hussain Qasau dan Juri Durabi

Hari ini kutemui mereka yang sudah lama tidak bercerita tentang sastera. Mereka mungkin kurang dikenali tetapi telah menjadi milik pencinta sastera di Sabah. Kalau anda pernah bersembang dengan mereka, nada serius tergambar pada wajah yang amat mencintai sastera. Alangkah moleknya sesekali mengajak mereka sama-sama menikmati suka dan duka sastera yang pernah dilalui dan pernah mereka tinggalkan seketika.

Haji Hussain Qasau, tidak asing kepada orang-orang politik kerana insan ini amat dekat dengan Ketua Menteri yang juga Menteri Kewangan Negeri Sabah. Namun dalam dunia sastera penglibatannya tidak banyak yang tahu bahawa suatu ketika dahulu beliau antara penulis cerpen yang amat komited. Kami bercerita sekitar setengah jam ketika Haji Hussian mengunjungi saya di Pejabat.

Selepas menyelesaikan urusan rasmi beliau penuh yakin bahawa dunia sastera Sabah dapat dimantapkan lagi sekiranya peranan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah melakukan aktivitinya berterusan. Bukan bermusim mengikut kehendak pentadbir yang silih berganti. Misalnya lagi tentang penerbitan, beliau lebih suka DBP bersikap memilih kerana sikap ini bakal meletakkan sastera atau karya penulis Sabah diletakkan di suatu tempat yang jelas. Seandainya ada sikap ambil muat sahaja demi mengambil hati atau melayan rasa jauh hati di kalangan penulis lama, ini menurutnya tidak memberikan kebaikan untuk sastera Nasional. Beliau juga lebih memilih agar karya penulis Sabah diterbitkan diKuala Lumpur berbanding penerbitan di Kota Kinabalu.

Saya menjelaskan kepadanya mengapa perlu penerbitan DBP Sabah atas alasan Kuala Lumpur tidak dapat menampung lambakan manuskrip yang harus mereka tangani. Ada sebab lain misalnya manuskrip yang tidak diterima perlu diterbitkan juga untuk merancakkan lagi industri buku penulis tempatan. Mungkin beliau kurang mengikuti perkembangan sebagaimana diakuinya sendiri, namun ada juga benarnya pandangan Haji Hussain agar sikap memilih itu juga menjadi salah satu standard DBP dalam usaha menangani keinginan para penulis menerbitkan karya masing-masing.

Entah suatu waktu yang tidak diduga saya juga bertemu dengan sahabat yang lama tidak berjumpa iaitu Juri Durabi. Dengan isterinya, saya amat terharu kerana Juri tidak banyak bezanya sejak belasan tahun meninggalkan Kota Kinabalu. Walaupun beberapa kali bersua di KLIA, namun Juri amat saya rindui dengan kelembutan, keselambaan, kerendahan hati tetapi nekad untuk sastera sebagai sebahagian daripada rutinnya. Setelah membaca beberapa buah puisi di suratkhabar tempatan, saya amat ingin sekali bertemu dengannya. Alhamdulillah, saya lebih terharu bila Juri bertanyakan kawan-kawan dan juga IPS. Mudah-mudahan Juri dapat hadir bersama-sama semasa Majlis Pelancaran Buku Dawama pada sabtu ini, 16Disember di DBP Kota Kinabalu sempena Jualan Buku Dawama dan juga Ulang tahun Majalah Wadah. Mudah-mudahan Juri yang pernah menghasilkan 'Susuk Tingkayu' produk Penulis Anak Angkat DBP beberapa tahun dulu, akan menulis lebih rancaklagi.

11 November 2006

Sabtu, Oktober 07, 2006

Licentia poetica: kovensi, pembaharuan dan penyimpangan

TULISAN ini tidak akan menyentuh sama sekali isu sebuah sajak berjudul ‘Brooch...’ yang secara rancak diperkatakan; tetapi ingin mengajak sahabat-sahabat melihat sesebuah karya (terhadap karya-karya yang lain) sama ada mempunyai unsur atau unsur-unsur yang diperkatakan.

Sesebuah karya mempunyai unsur tertentu seperti kovensi, pembaharuan atau penyimpangan. Ini tidak dapat dielakkan. Namun begitu tahap kovensi, pembaharuan atau penyimpangan tidak sama antara sesebuah karya dengan karya yang lain. Terdapat karya yang mempunyai unsur kovensi secara keseluruhannya mengandungi sedikit pembaharuan, tanpa banyak melakukan penyimpangan. Kreativiti pengarang sebenarnya menentukan sama ada sebuah karya yang dihasilkan mempunyai unsur Licentia Poetica, pembaharuan, kovensi atau peyimpangan.

Definisi konsep Licentia poetica merupakan kebebasan imaginatif dan linguistik yang diberikan kepada penyair untuk menyimpang atau meninggalkan bentuk-bentuk atau aturan yang biasa digunakan. Penyimpangan ini termasuklah daripada segi sintaksis, tatabahasa, diksi, kebenaran sejarah, anakronisme dan bentuk yang dipercayai dapat memberikan kepuasan imaginatif dan kesan metrikal. Biasanya ia digunakan dengan kesedaran untuk memperkuat karya yang dihasilkan dan tidak digunakan secara sewenang-wenang tanpa mengukur daripda sudut keindahannya (Awang Azman, 2003:36, Baldick:1991, Abrams:1990). Kebebasan dibenarkan kepda penyair untuk memantaatkan aspek bahasa bagi keperluan dalam pengucapan figuratif yang lebih berkesan, arkaik, rima dan sebagainya. Kebebasan ini bergantung pada makna akhir yang diingini penyair tersebut. Dalam konteks ini kebebasan bahasa dalam puisi lebih bebas daripada bentuk prosa lain, akan tetapi berbeza dari zaman ke zaman dan tidak kesemua kebebasan dapat dikategorikan sebagai licentia poetica (Gray, 1981:162). Hal ini demikian kerana ada kesilapan tatabahasa imaginatif yang terlalu tidak terkawal, memaparkan kesilapan tatabahasa yang lemah dan buruk dan tidak berjaya memberikan kesan yang sempurna kepada khalayak pembaca bukanlah dapat dianggap licentia poetica.

Menurut Jack Elliot Myers (1985:66) dalam The Longman Dictionary of Poetic Terms, kovensi merupakan teknik, stail dan alat yang lazim digunakan oleh penyair atau pengarang termasuk daripada segi baris, kandungan dan estetika zaman. Dalam perkembangan sastera, termasuk genre puisi, sesuatu yang dianggap inovasi pada sesuatu zaman akhirnya akan menjadi kovensi pada zaman yang lain, sebahagiannya kerana percubaan penyair untuk melakukan pembaharuan atau eksperimen dalam berkarya. Berdasarkan penyataan tersebut kovensi ialah stail, teknik atau alat yang telah biasa dilakukan dan diterima secara umumnya, termasuklah daripada segi bentuk atau isi kandungan, Hal ini menjelaskan betapa dinamiknya perubahan, khususnya dalam karya sastera. Menurut J.A.Cuddon dalam Dictionary of Literary Terms and Literary Theory (1991) konsep kovensi mempunyai kesejajaran makna dengan takrifan oleh Jack Elliot Myers. Baginya, konvensi wujud melalui alat, prinips dan bentuk tertentu yang telah diterima umum oleh pembaca dan penulis yang akan melakukan pelbagai jenis kebebasan tetapi tertakluk pada batasan dan sekatan tertentu.

Istilah pembaharuan pula merujuk kepada unsur-unsur yang belum dipakai ataupun belum begitu lama dipakai. Menurut The Longman Dictionary of Poetic (1985:146) istilah dan konsep pembaharuan berasal daripada perkataan Latin yang bermakna ‘penemuan’ dan telah digunakan di Greek dan retorik klasik sebagai penemuan suatu hujahan yang merujuk kepada keaslian dalam bentuk kandungannya. Dari aspek yang lain pula, ‘pembaharuan’ untuk suatu tempoh tertentu akan menjadi kovensi pada waktu yang lain. Hal ini berlaku apabila khayalak dapat menerima sesuatu pembaharuan yang telah dilakukan. Kini pembaharuan merujuk kepada keupayaan penulis mencipta sesuatu gaya baru dalam memerihalkan melahirkan karya kreatif. Gaya baru yang dibawanya sering menyerlahkan keaslian dan kesegaran daripada segi idea, bentuk ataupun teknik. Sejajar dengan itu, sering kali pembaharuan bertembung dengan kovensi yang telah bertunjang dalam sesuatu zaman dan genre. Dalam bidang kreatif khususnya, pembaharuan mungkin daripada segi pemilihan diksi, stail yang dipersegar dan bentuk. Namun tanpa disedari bagi sesetengah penulis yang kurang sedikit ilmunya sering menganggap apa yang dilakukannya itu suatu pembaharuan padahal hanya suatu kekalutan yang baru. Bukanlah pembaharuan apabila kebenaran sudah lama benar dan terjadi tetapi suatu keghairahan serta kepuasan peribadi semata-mata.

Istilah penyimpangan berasal daripada kata dasar ‘simpang’ (Kamus Dewan (1994:1282-1283) mendefinisikan ‘simpang’ sebagai sesuatu yang melencong atau bercabang daripada lurus. Penyimpangan bermakna perihal menyimpang daripada sesuatu. Istilah menyimpang mengungkapkan maksud ‘menjadikan melencong daripada arah asal’. A Dictionary of Stylisitcs (1995:116-118), yang merujuk istilah ‘penyimpangan’ sebagai ‘deviasi’ memerihalkan definisi dan konsep ini sebagai kelainan daripada biasa ataupun secara keseluruhannya. Kelainan mungkin mencetuskan atau melanggar peraturan biasa dalam struktur ilmu linguistik sama ada aspek fonologi, tatabahasa, leksikal ataupun semantik atau secara stilistiknya kurang biasa dan jarang dilakukan. Hal ini diperkuat dengan penggunaan unsur-unsur jalinan penulisan seperti metafora, personifikasi, arkaik dan anafora.

Nah, mungkin ditemukakan sesuatu daripada tulisan sahabat-sahabat apakah karya yang disempurnakan itu suatu yang biasa yakni konvesi atau telah terjadi penyimpangan (deviasi) atau sesungguhan suatu yang baharu. Mungkin kebebasan licentia poetica terjadi setiap ketika kita berkarya tetapi harus berawas kerana apa yang bakal dihidangkan itu hanyalah kata-kata yang terpaksa diuji keberkesanannya terlebih dahulu bukan sekadar kata-kata, stail, teknik atau citra yang sengaja menjadikannya sesuatu yang baharu akibat kebebasan yang dibenarkan. Sebaliknya, jangan risau untuk melakukan pembaharuan dalam karya, kerana saya amat suka kepada kata-kata ini: sesebuah karya yang baik akan terasa sentuhannya apabila mampu mencernanya dengan kata-kata atau diksi yang baru dan segar.

(Rujukan: Licentia Poetica)


6 Oktober 2006

Jumaat, September 15, 2006

Belajar daripada Kelemahan

Setelah tiga persembahan teater dalam slot Teater Perdana sejak 2004, memang banyak yang telah dipelajari, daripada hal-hal yang kecil sehinggalah perkara-perkara pokok atau dasar. Walaupun tidak mungkin menjadikan segalanya lengkap. Akan terjadi di mana setiap ketika kita menemui sesuatu dan mempelajari sesuatu yang baru. Ini dilengkapkan lagi menerusi panggung Anjung Apresiasi yang berlangsung setiap bulan dengan harapan telah diketepikan yang kurang; ditambah yang boleh membaiki. Kepada sesiapa juga, grup teater mana juga bahkan waima pihak penaja sekalipun, tidak mungkin mengabaikan perkara-perkara yang menjadikan aktiviti murni dalam usaha memantap martabatkan teater menuju arah yang betul, benar, kukuh dan 'abadi', hanya disedari selepas setiap kali panggung ditinggalkan sepi.

14 September 2006

Rabu, September 13, 2006

Detik-detik Perjuangan: dari kotak kecil

[Moga Allah SWT sentiasa mencucuri Rahmat ke atas roh Allahyarhamah Hajah Sairah Haji Antin. Al-Fatihah...]
Ada bezanya membaca teks pada buku dan menonton teks atas pentas. Satu situasi yang normal. Namun telah terjadi bila teks tidak diadun dengan baik dipindahkan ke atas pentas sebagaimana malam 11 September yang telah dihadiri oleh para pembesar Negeri. Maksud saya teks yang sebaik mana sekali pun begitu tertakluk kepada kearifan sutradaranya selain para pemain yang berjaya memainkan watak dan adunan elemen-eleman bantu yang lain. Misalnya fakta yang terpilih atau adaptasi yang sesuai dalam sesuatu adegan wajar diambil perhatian. Sudah tentu telah diamati teks itu sesuai untuk pentas perdana, tetapi selepas tontonan awal (preview maksud saya) apakah tidak dikesan kebenaran telah mengatasi sensitiviti masyarakat?

Di hadapan anda memang ada pelbagai dimensi manusia yang citra rasanya berbeza antara satu sama lain. Dan apabila di hadapan anda itu seorang pembesar Negeri dimensinya lebih besar lagi. Meskipun citra rasanya belum menentukan nilai mana yang baik dan tidak baik, benar atau tidak benar, sesuai atau tidak sesuai untuk dirinya. Untuk menunaikan citarasa mereka yang mendambai hiburan, pementasan perdana 'Detik-detik Perjuangan' bolehlah diberikan bintang di tahap baik.

Bagaimana pula dengan nilai-nilai yang seharusnya ditonjolkan dari teks teater tersebut? Bendera yang tiba-tiba dikibar? Mengapa bendera British? Mana Britishnya? Wajarkan Gerila Kinabalu pimpinan Albert Kwok dijadikan pejuang penting berbandung Tun Mustapha? Ini berkaitan fakta. Selain daripada itu aksi yang keterlaluan oleh beberapa pelakon yang kadang-kadang kelihatan 'lawak bodoh' yang diulang-ulangkan dalam adegan awal dan gelagat orang Jepun yang ditertawakan penonton, telah menjerumuskan sebuah persembahan perdana jatuh ke tahap biasa-biasa sahaja. Orang tua yang tak batuk tetapi buat-buat batuk (apakah orang tua semestinya batuk atau jalan terbongkok-bongkok?). Saya fikir watak Mejar General Akashi (lakonan Abd Hamid Hj Ikul) terpengaruh dengan lakonan Omar Rojik dalam filem 'Matahari' dan 'Sarjan Hasan'. Terlebih aksinya. Pertemuan Upas Rustam (lakonan Ali Annah) dan Salma (lakonan Nurul Shafiqah) di hujung cerita juga kurang dramatik, menambahkan lagi puncak pementasan kurang sentuhan.

Sekadar tepukan belum mampu melengkapkan tahap perdananya, tahap yang berbeza melainkan sedikit berbanding dengan dua buah teater yang lalu: Orang-orang Pulau dan 1897. Kita berharap tahap sedikit yang kelihatan dalam pementasan teater perdana 2006 ini akan meningkat di tahun-tahun mendatang.

12 September 2006

Selasa, September 12, 2006

Keris di Hujung Cinta

(Sebuah Puisi)
Orang-orang yang menyimpan api dalam benaknya, marak juga kemarahan itu akhirnya membakar gedung-gedung makmur bangsa yang begitu dicintai. Orang-orang yang menyimpan api dalam benaknya dari waktu ke waktu rasakan berjuta perasaan dalam dada bergalau tidak keruan. Orang-orang yang memata pameran kemewahan yang tiada mampu memilikinya meski peluh telah diperas begitu deras meski tulang belulang telah dibanting begitu keras tetap saja yang terlihat ketidakadilan disodorkan di mana-mana. Mengapa ditanyakan - apa sebab kerusuhan itu berlaku? Darah membanjir, air mata mengalir sedangkan jeritan itu tiap detik diperdengarkan meminta pertimbangan batinmu, dan seperti biasa tidak juga telingamu mendengarnya! Jemariku melukis dengan getar sepi sebuah kota yang gemuruh yang mencampakkan orang-orang kesepian itu ke dalam kemurungan mengadili kebangkitan merubah zaman semboyan menggelombang diam mimpi-mimpi namun tak ada manusia yang tak sedar mengadu nasibnya dengan peta penuh muslihat membiarkan ketukan kantor doktor menggemai rumah dan pada kerusuhan yang mungkinkah meledak di segala penjuru kita tatap wajah siapa? Selain orang-orang yang lelah benaknya penuh api, api, api yang akan membakar apa saja. Di tanganku yang gemetar dan berkematu, kota yang meledak menggigilkan harapan beralih ke pentas wawasan bangsaku sambil menghunuskan keris benar-benar di hujung cintanya.

11 September 2006

Jumaat, September 01, 2006

Penerbitan Buku dan Pemerkasaan Sastera Di Sabah


SEMUA mengharapkan sesuatu yang terbaik. Semua ingin memandang suatu gerakan yang telus. Semua juga telah menyatakan impian agar pemerkasaan sastera di Sabah khususnya dilangsungkan mengikut arus sejagat. Malah semua mahu berjuang, mahu juga berkata dengan jujur, mahu merasai penglibatan yang berterusan. Inilah senario yang terkesan dalam dialog dengan Ketua Pengarah DBP, Dato' A.Aziz Deraman yang berlangsung di Hotel Tang Dynasty, Kota Kinabalu.

Banyak persoalan yang berbuku, yang beku, yang bersembunyi, yang disembunyi dan sebagainya lagi, cuba diurai dan dihurai. Isu biasa yang lazim diperkatakan hinggalah hal-hal besar dalam rencam sastera tanah air, sedaya upaya dilebarkan untuk tindakan. Para penulis generasi baru tentulah bertuah kerana mereka disokong oleh penulis-penulis veteran seperti Datuk Khalik Zaman, Datuk Ismail Abas dan juga Haji Jalidar Abdul Rahim. Mereka menyarakan agar lebih banyak buku-buku hasil karya penulis generasi baru diterbitkan.

Datuk Ismail Abas yang pernah menerima Sea Write Award merasakan sudah sampai masanya penulis dari Sabah dicalonkan sekali lagi untuk anugerah ini. Namun dari pandangan yang jauh, saya kira ini tidak mungkin tercapai sekiranya penulis-penulis itu tidak mempunyai karya yang besar, tidak saja besar tetapi juga diterbitkan dalam bentuk buku yang sempurna sifatnya. Setakat ini, hanya Azmah Nordin saja yang mempunyai jumlah buku yang tersendiri. Pada saya, tidak ada kebanggaan apa-apa sebagai seorang penulis atau hebat digelar seorang sasterawan, sekiranya tidak mempunyai buku. Karya-karya eceran atau tulisan-tulisan dalam bentuk kertas kerja yang tersepit dalam fail-fail kurang membantu pemertabatan seseorang seperti mana ia ditempatkan sebagai seseorang dalam bidangnya.

Baik kita tanya kepada beberapa tokoh sastera kita, di manakah mereka dalam pentas sastera yang beberapa kali menerima anugerah setimpal dengan penglibatan mereka tetapi tidak mempunyai satupun buku. Haji Jalidar menyebut beberapa nama termasuklah Datuk Jamdin Buyong. Saya pernah menanyakan perkara yang sama, apakah pihak DBP juga berperanan membuat penyelenggaraan karya penulis-penulis seperti Datuk Jamdin Buyong apabila Datuk Jamdin tidak melakukannya? Namun ini tidak dijawab sewaktu majlis Wacana Penerbitan diadakan beberapa hari yang lalu.

Jangka masa penerbitan buku siap juga menjadi perbincangan penting dan KP DBP bersetuju bahawa tidak masuk akal sekiranya sebuah buku hanya mampu disiapkan dalam tempoh 10 tahun. Apatah lagi ada kisah yang mengharukan, apabila ada penulis yang tidak sempat menatap karyanya diterbitkan setelah dia menutup usianya. Ini contoh yang tidak harus terjadi beberapa kali apabila persoalan penerbitan buku ini menjadi satu isu yang berlanjutan sekian lama.

Dalam konteks DBP Sabah, ia sentiasa berubah mengikut rentak kepimpinan organisasinya dan kepimpinan pegawai projeknya. Para penulis memang bernasib baik apabila kepimpinan yang berubah itu mampu melakukan sesuatu yang terbaik. Tidak bermakna kepimpinan lepas tidak baik cuma ia perlu pengukuhan. Namun keadaan ini selalunya tidak abadi. Katakanlah manusia itu tidak statik tetapi ini realiti yang terjadi di Sabah. Kita yakin dengan kepimpinanan yang baru sekarang, persoalan penerbitan buku dapat dikecilkan seterusnya menipis untuk diperkatakan beberapa tahun kemudian. Kata Haji Ismaily Bongsu, pengarah DBP Cawangan Sabah sekarang ini *Haji Hamzah Hamdani) dilabelkannya sebagai 'kegilaan menerbitkan buku'.

Saya turut menyarankan supaya bengkel-bengkel penulisan dilaksanakan secara berterusan mengikut fasa-fasanya. Misalnya bagi penulis angkatan baru, penulis yang mantap dan penulis yang perkasa. Dengan pembahagian fasa ini, setiap generasi berpeluang menimba ilmu sesuai dengan kebolehan yang mereka miliki bila berhadapan dengan pendamping dan pembimbing. DBP cawangan Sabah boleh memanjangkan aktiviti ini kepada beberapa NGO sastera di seluruh negeri bagi membantu mereka mengembangkan sastera tanah air.

Di samping itu karya-karya biografi juga wajar dikembangkan. Genre penulisan ini memang kurang mendapat tempat berbanding genre sastera yang sedia ada. Namun ia masih mempunyai penulis yang perlu diasah dari semasa ke semasa. Bengkel-bengkel yang berterusan perlu diadakan. Semua ini memerlukan upaya yang tinggi, komitmen yang tidak sepi, ungkayah yang tidak merundum daripada pihak DBP khususnya dan NGO sastera yang berkaitan. Dalam erti kata yang lain, satu paduan kerja, perbincangan, serasehan, dialog, forum dan seumpamanya amatlah dituntut antara DBP, penulis dan pimpinan NGO yang berkenaan.

Mudah-mudahan terjadi sesuatu yang terbaik selepas majlis dialog ini dengan harapan yang bukan berakhir agar usaha mengangkat martabat sastera dan bahasa Melayu terletak di tangan semua pihak. Seperti saranan Sdr Hashim Haji Ibrahim, 'orang atasan juga wajar turut melaksanakan apa kita lakukan'.

Isnin, Ogos 14, 2006

Bicara Pengarang: Hasyuda Abadi pegang prinsip menulis sebagai satu ibadah

Oleh Nazmi Yaakub

BAGAIMANAKAH Hasyuda Abadi menceburkan diri ke dunia sastera?
Saya menyertai Kumpulan Anak Seni pimpinan Zaiton Ajmain pada 1979 dengan pembabitan awal di bidang tarian. Saya mula menulis secara serius pada 1981 apabila menghantar karya ke akhbar secara berterusan sehingga puisi saya, Salam Buat Kekasih, memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada 1986.

Kekuatan Hasyuda dilihat pada puisi. Apakah Hasyuda bersetuju?
Benar, saya sudah menulis ratusan puisi berbanding 43 cerpen. Saya cenderung kepada puisi bukan disebabkan ia mudah, sebaliknya dekat dengan diri sehingga saya dapat menghasilkannya pada bila-bila masa. Apabila ada isu atau peristiwa yang menyentuh naluri kepenyairan, saya boleh terus menulisnya. Saya akui kadang-kala mengambil masa yang panjang untuk menyelesaikan sesebuah puisi.

Bagaimanakah proses kreatif Hasyuda?
Saya mencatatkan apa yang dilihat dan rasa dalam buku nota sebelum menaip catatan itu di mesin taip. Saya boleh menulis di tempat yang bising tetapi proses menjernihkan karya memerlukan saya mencari tempat yang tidak menerima gangguan orang lain.

Apakah Hasyuda menunggu atau mencari ilham?
Saya mencari ilham tanpa perlu menanti ia datang. Tugas saya di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebabkan saya sering berada di luar bandar, sekali gus meluaskan pandangan. Saya pernah dihantar ke sebuah pulau di Kota Belud dan bertemu dengan penduduk bagi mengetahui masalah kehidupan mereka. Saya cuba menyelami kesukaran hidup mereka sehingga ada yang terpaksa meredah laut semata-mata untuk ke hospital atau tercedera akibat menggunakan bom ikan.

Apakah tema karya Hasyuda?
Walaupun saya tidak mengehadkan tema tertentu dalam karya tetapi saya lebih selesa untuk mengetengahkan unsur Islam. Ini boleh dilihat dalam kebanyakan kumpulan puisi saya seperti Akar Cahaya, Datang Kemabli, Menginai Badai, Kitab Sehabis Peristiwa dan dalam proses penerbitan, Sinar Sirna.

Mengapakah Hasyuda mengangkat tema Islam?
Saya menjadikan karya sastera sebagai usaha dakwah. Saya memperlihatkan sastera Islam berupaya membentuk peribadi penulis dan penyair, sekali gus diangkat sebagai cermin kehidupan kepada pembaca. Saya banyak terpengaruh dengan guru saya, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah atau Kemala dan Suhaimi Muhammad. Di Sabah, sastera berunsur Islam menjadi pilihan utama penyair.

Bagaimanakah Hasyuda memperlihatkan isu antarabangsa dalam puisi?
Saya menyorot nasib umat Islam terutama di Asia Barat yang terbabit dalam peperangan dan penderitaan orang awam. Puisi Menghidu Bisikan Api umpamanya, cuba mendekati peristiwa selepas Iraq menyerang Kuwait. Selain itu, saya turut merakam penderitaan umat Islam di Palestin.

Bagaimanakah proses penerbitan karya sastera di Sabah?
Selain tiga akhbar Inggeris yang menyediakan sisipan berbahasa Melayu dan majalah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), ada kecenderungan untuk penulis menerbitkan buku. Bagi mengatasi beban kos, penerbitan buku dibuat secara bersama dengan menghasilkan antologi puisi. Penerbitan ini selalunya diadakan sempena Mahrajan Sastera Islam dan Randau Puisi. Tahun ini saja, sepuluh buku diterbitkan bagi menyemarakkan sastera di Sabah.

Apakah penulis memanfaatkan media internet?
Ada rangsangan untuk penulis mewujudkan laman web dan blog bagi menyalurkan karya mereka. Penulis Sabah juga berhubung secara maya dalam Kelab Maya Sastera Sabah. Penulisan di blog pula memantapkan cara berfikir di kalangan penulis tetapi masih baru di kalangan penulis Sabah. Saya sendiri menulis di blog http://hasyuda-abadi.blogdrive.com/.

Apakah cita-cita Hasyuda dalam dunia sastera?
Saya mahu menulis hingga akhir hayat. Moto penulisan saya ialah menulis sebagai ibadat. Selain itu, saya mahu memperbanyakkan penerbitan buku kerana penulis yang tidak menghasilkan buku, sebenarnya belum wajar diiktiraf sebagai penulis.

Rabu, Julai 19, 2006

Baca Puisi 50 Jam

Sekalung ucapan tahniah kepada DBP Cawangan Sabah atas keberhasilannya menganjur majlis deklamasi puisi terlama negara 50 jam berbanding 24 jam dalam Ratib Seribu Syair beberapa tahun yang lalu. Wujud kesungguhan yang luar biasa terutama sekali peserta yang bertali arus kecuali masa puncak tengah malam hingga subuh oleh individu yang sama. Bagusnya program ini orang ramai terlibat sama-sama mengimarahkan puisi sebagai alat yang istimewa untuk disampaikan amanat di dalamnya. Selain dapat mengenal DBP secara dekat juga mengetahui para penulis dan secara langsung menghayati karya-karya mereka yang terkumpul dalam Kumpulan Puisi 'Resam'. Lebih daripada itu, mereka yang tidak pernah membaca puisi sudah suka membaca puisi. Yang tidak pernah endahkan puisi sudah mula endahkan puisi. Yang tidak pernah faham puisi sudah mula ingin memahami puisi. Apa lagi yang sangat sukakan puisi, itulah pentas istimewa mempekasakan puisi lebih daripada biasa. Bermacam-malamlah ragam bacaan dan pendengarnya juga. Ada puisi yang seakan-akan puisi dibaca. Ada puisi yang hanya catatan-catatan biasa juga dibaca. Ada puisi yang benar-benar puisi yang bermutu tinggi dibaca. Pendengarnya juga, ada yang dengar tapi tidak menghayati. Hingar bingar menunggu giliran membaca menjadi halangan puisi-puisi itu dihayati sepenuhnya. Puisi 'bertaburan' di dalam dewan. Sungguh hebat. Puisi menjadi roh aktiviti sastera yang menjadi pilihan segelintir orang telah berubah menjadi igauan sepanjang bunyi 'tik tok' berjalan. Hinggalah sampai pada detiknya saat yang terakhir, puisi sebagai alat daripada amanatnya kepada suatu hakikat yang dicatatkan pada sekeping kertas berlogokan sesuatu yang terlama awal abad ini. Organisasi mana lagi yang mahu menyambung cabaran membaca lebih panjang lagi satu minggu atau satu bulan, tentu berfikir beberapa kali, kerana program ini bukan kerja main-main tetapi kesungguhan serta komitmen yang luar biasa.

Tahniah sekali lagi walaupun saya tidak terlibat sebagai peserta dalam program ini kecuali menjadi penonton dan saksi bebas. Sebabnya biarlah saya simpan dulu dan akan diceritakan kepada generasi akan datang jika Tuhan izinkan.

Isnin, Julai 03, 2006

Apa yang terjadi di DBP Sabah?

Persoalan ini terjadi akibat dua pucuk surat yang disiarkan sebuah akhbar tempatan di Sabah. Surat-surat itu mempersoalkan kewibawaan DBP Cawangan Sabah di bawah Pengarahnya, Encik Zubaidi Abas. Saya melihat kandungan surat-surat terbuka itu dengan fikiran yang terbuka, dengan maksud melihatnya tanpa prejudis. Persoalan yang ditimbulkan berhubung dengan masalah penerbitan (sebuah taboo yang tidak berkesudahan) dan juga soal pengurusan bantuan dana DBP. Sebagai salah seorang penulis dan juga aktiviti sastera malah mengetuai sebuah organisasi penulis, apa juga yang diutarakan penulis surat-surat itu merupakan tanggungjawab untuk sama-sama mencari jalan jawapan keluar. Namun tidak bermakna ingin campur tangan dalam kemelut yang ditimbulkan kerana DBP mempunyai integriti, kredibiliti dan akauntablitinya yang tersendiri sebagai sebuah agensi kerajaan dalam menangani apa juga persoalan yang melibatkan organisasi berkenaan.

Betul atau tidak, benar atau sekadar percakapan kosong, pada saya bukanlah soalnya. Tetapi kejujuran dan ketelusan sahaja boleh mengatasi apa juga persoalan. Ketelusan itu juga tidak harus diperhatikan bukan hanya sekadar ingin menjawab pertanyaan demi pertanyaan yang datang seperti air yang mengalir itu. Mungkin salah untuk menunding jari kepada satu pihak, walaupun niat seseorang itu barangkali bersifat global namun kita harus juga percaya bahawa sasaran yang sebenarnya apa? Meletakkan satu pihak semata-mata juga tidak mungkin boleh memberikan apa-apa kepuasan. Memang senang berkata apa juga, tetapi bolehkah dijelaskan dokumen yang membenarkan tuduhan? Mengapa serkap jarang menjadi pilihan dan menempatkan kata-kata yang liar itu pada ruangan yang tidak betul?

Saya fikir cadangan Jasni Matlani dan Ailin Nor yang saya temui hari ini wajar dilaksanakan iaitu mengumpul sejumlah penulis dan aktivitis sastera untuk menemui Pengarah DBP Sabah. Pertemuan ini merupakan suatu pernyataan sikap dan juga sokongan kepada Pengarah DBP bahawa apa juga yang dilakukan oleh DBP telah melalui landasan yang betul. Apa yang penting gerakan sastera dan bahasa harus berjalan dengan lancar dengan wujudnya tohmahan-tohmahan yang tidak disertai bukti yang berasas.

Marilah sama-sama kita satukan fikiran dan sokongan terhadap Encik Zubaidi Abas dalam menangani kemelut yang sedia ada masa ini. Perjumpaan dengan beliau dijangka berlangsung di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah pada 29 Julai 2006 jam 10.00 pagi.

Rabu, Jun 21, 2006

Mana Penulis?


Di mana penulis atau adakah penulis, adalah dua frasa yang membengkakkan fikiran kepada penganjur aktiviti sastera. Ini mahu tidak mahu, harus diakui. Namun ungkapan kedua, 'adakah penulis' itu sedikit janggal, barangkali, kerana penulis itu boleh jadi siapa sahaja yang pernah menulis waima sebuah sajak atau sebuah cerpen. Sudah boleh berang hanya disebabkan gambarnya tidak ada di dewan DBP. Ironinya di manakah mereka ini alias penulis itu ketika diperlukan untuk mengisi bangku bilik aktiviti? Bukti terakhir ialah kelmarin (19 Jun 2006) dan dua hari sebelumnya di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah. Boleh dikira kehadiran mereka, tidak lebih daripada orang-orang yang sama. Oh ya, barangkali waktunya tidak sesuai. Jadi bila masa yang sesuai? Hari Sabtu, Ahad atau malam? Panjang nafas terpaksa disedut memikirkannya. Penulis memperkatakan penulis, yang mendengarnya bukan penulis, mungkin wajar. Malangnya keadaan ini biasanya diselamatkan oleh para pelajar sekolah yang sering terpinga-pinga, apakah yang berlaku di bilik aktiviti. Menjadi malang lagi merujuk kepada dua aktiviti di DBP baru-baru ini, ketiadaan pelajar menjadikan program itu lesu. Kita tahu kuantiti biasanya tidak semestinya menjadi tanda aras keberkesanan program tetapi kualiti program itu sendiri. Namun demikian kita percaya matlamat sesebuah aktiviti itu tidak mungkin dirasai roh kejayaannya tanpa kehadiran yang ramai tetapi masih berkualiti. Kita masih bertanya di mana penulis itu berada?

Kita akhirnya mendengar jawapan yang klise: di mana-manapun sama bah! Menunggu penulis hadir bagai menanti kucing bertanduk. Barangkali perlu ada rasa 'malu' bila merasakan diri ini penulis yang tidak tahu apakah tanggungjawabnya selepas itu. Penulis yang datang kerana ingin belajar lebih mendalam tentang penulisan, tidak lebih daripada itu. Dan tanpa menafikan para penulis yang komited, yang sering bersama para penganjur walaupun tanpa undangan rasmi, harus dipuji.

Tunggu dulu, anda tentu faham mengapa tulisan ini terjadi...

Sabtu, Jun 17, 2006

Main-main Teater atau Teater Main-main

Jun 2006 akan meninggalkan kita selang 14 hari nanti. Ini bermakna sudah enam bulan berlalu dengan tinggalan kenangan yang tersendiri terutama sekali aktiviti teater. Campur acara baca puisi tentu lebih besar kenangan yang disimpan dalam sanubari. Barangkali tidak ada apa-apa yang mahu diperkatakan peristiwa-peristiwa sastera yang telah memberi warna baik DBP mahupun para penggiat yang terbabit. Daripada pementasan 'Kerja Gila' hingga kepada persembahan teater muzikal 'Selendang Tanjung Sampang Mengayau' kita amat bangga sekali jika mahu membuat pertimbangan dengan tahun-tahun yang lalu bahkan senario begini memang tidak pernah berlaku selain harapan-harapan agar ia terjadi. Namun apa yang ingin dibangkitkan di sini ialah ada untaian kata yang sedikit siring mengatakan teater yang main-main itu sebenarnya main-main dalam teater. Teater sudah ada di hadapan kita tetapi teater main-main lebih menyerlah berbanding teater yang bersungguh-sungguh yang mungkin boleh mengangkat 'Kerja Gila' dan 'Keranda 199' sebagai yang terbaik setakat ini. Ada teater yang bobot dengan eksperimen tetapi eksperimen yang main-main. Asal jadi, begitu dikatakan. Soalnya, tujuan berteater ialah untuk mengangkat martabat teater itu sendiri, mengisi pentas yang sudah lama kosong untuk teater, memberi peluang kepada para penggiat teater dan sebagainya lagi. Mengapa ada makna lain apabila peluang diserlahkan oleh pihak DBP?

Apakah kerana masalah pengurusan?

Apakah kerana dengan dana yang relatif kecil, maka produknya juga harus begitu, asal jadi? (ada juga teater dana yang besar tapi hasilnya...?)

Apakah juga kerana disebabkan berlumba-lumba, para penggiat teater buat persembahan tanpa persiapan yang lebih rapi, asal jadi adanya?

Jangan lupa teater memerlukan audiens. Kekosongan dewan kerana masalah ajakan yang tidak konsisten di samping masa yang tidak sesuai, akan bertambah parah apabila audiens yang awalnya menjangka teater yang ada di hadapan mereka itu baik tetapi terjadi di sebaliknya akan menambah masalah untuk mengajak mereka datang pada kali yang seterusnya. Barangkali pihak pengurusan DBP terlalu baik hati, tanpa membuat perkiraan apakah persembahan sesebuah produksi itu baik atau tidak. Mungkin ini agak kasar. Kita yakin DBP sudah membuat pertimbangan yang wajar dan berlaku adil kepada semua pihak. Tetapi, jangan pula menggunakan peluang ini secara seadanya. Apa pun juga yang akan terjadi bagi enam bulan seterusnya sebelum angka tahun berubah, semua pihak harus mengambil kira perkara-perkara yang dibangkitkan ini supaya apa yang dilakukan itu memberi kebaikan bukan saja kepada pihak pengurusan DBP secara menyeluruh tetapi juga wang yang dibelanjakan. Aktiviti berteater bukan hanya untuk semalam atau dua malam, anda tentu faham teater itu apa, untuk apa, untuk siapa dan seterusnya lagi...

Seuntai pandangan.

Khamis, Jun 15, 2006

Antara berbaur dan kabur: Selendang Tanjung Sempang Mengayau

Bersama dua orang puteriku menonton Teater Muzikal Selendang Tanjung Sempang Mengayau menginginkan sesuatu yang tentu saja bermakna untuk dibawa pulang, setidak-tidaknya menceritakannyakepada ibu mereka di rumah. Atau mengkhabarkannya kepada rakan-rakan mereka di sekolah.

Pada awal persembahan dewan berwarna warni oleh para pemain yang masuk memberi sembah kepada penonton dan cahaya lampu mula mewarnai komestik pentas yang cantik serta berwarna-warni. Maka bermulalah pementasan satu persatu babak dan adegan yang diadun gerak tari, teater, nyanyian dan muzik. Perlahan-lahan persembahan berkembang... saya sedar bahawa sesuatu yang tidak berlaku dalam fikiran saya dan anak-anak iaitu fokus cerita teater tersebut.

Di hadapan saya ialah Kakak Hasnah Ibrahim dan Puan Salbiah Jabrin, sesekali membisikkan: aku blur. Beberapa kali selepas itu dengan ungkapan yang sama. Kecuali adegan masuk Islam. Adegan pencahayaan menandakan kilat, guruh dan ribut. Dan beberapa adegan lain membelai selendang, membuang selendang. Berbaur lagu-lagu tradisi Sabah (yang sudah tentu bukan latar Sempang Mengayau, pada hemat saya).

Kosmetik latar dan pencahayaan, barangkali bolehlah dianggap baik. Malangnya, tumpuan cerita tidak jelas. Ini menebalkan ingintahu penonton yang sebilangan besarnya pelajar. Jika orang-orang teater kabur (saya harap tidak) apatah lagi anak-anak yang sedang inign mengetahui teater. Teater ini berbaur. Berkecamuk. Dan padaadegan akhir saya terdengar ungkapan 'ok bah itu' oleh salah seorang pemainnya.

Ketika orang bertepuk tangan, Kak Hasnah menoleh kepadasaya: kamu ini memang tidak ada perasaanlah! Saya jawab: macam manajuga kak, aku sedang berfikir teater ini apa? Kak Hasnah dan Salbiah tersenyum simpul.

Ketika di luar setelah berlegar-legar mendapatkankawan-kawan, Cikgu Mohd Fuad Bebit bertanya pandangan dan saya pun memberikan pandangan iaitu kabur! Rupanya itu juga yang difikirkan olehnya dan isterinya yang sempat berkata dengan maksud yang sama. Jadi bagaimana, kalau dibuat bertimbangan persembahan teater muzikal ini tidak dapat mengatasi persembahan Malam Puisi Dundangan Kasih yang dipentaskan bulan lalu.

Lihat komentar Rem di sini.

Selasa, Jun 13, 2006

Puisi Terter

-Sebuah kritikan bacapuisi 50 jam

terjadilah peristiwa orang-orang berpuisi
yang tahu puisi dan tak tahu puisi
yang faham puisi dan tak faham puisi
yang pandai berpuisi dan tak pandai berpuisi
yang hebat membaca puisi dan tak hebat membaca puisi

semuanya terjadi
semuanya terjadi dari tak pernah menjadi pernah
semuanya terjadi dari tak endah menjadi endah
semuanya terjadi dari tak kenal menjadi kenal
semuanya terjadi dari tak enak menjadi enak
mencairkan puisi yang sembunyi di kertas
mencanang puisi yang kaku di buku
mancanai puisi yang bisu di laci

terjadilah bait-bait puisi bertebaran di atas kertas-kertas
bertaburan di lantai dipandang santai longai
orang-orang beratur seorang demi seorang berdendang
melaungkan suara dibawa terbang di seluruh ruang dewan
seorang demi seorang berdondang
menetaskan makna puisi mengalir di celah-celah lantai

kini terjadi suara dan makna tak tertangkap
tidak lagi sempat didiami dalam fikiran yang turut longlai
lelah menunggu waktu tiba waktunya
puisi demi puisi disampaikan
yang kemudiannya hening
diam dewan

dan terjadilah jawapan yang tak pernah ada
di kepala kita yang suka berpesta
gemar menulis angka
menggemakan terterterterterterterterterrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrrr!


Dewan Besar DBP,
12 Jun 2006

Ahad, Jun 04, 2006

Cemerlang dan Istiqamah

Sesungguhnya mereka yang mengatakan, ‘Tuhan kami ialah Allah’ kemudian mereka istiqamah (iaitu meneguhkan pendirian mereka) di atasnya, maka para malaikat akan turun kepada mereka dan berkata, ‘Janganlah kamu berasa takut dan janganlah bersedih hati. Bergembiralah dengan syurga yang telah dijanjikan kepadamu.’ (Fussilat, 30)
UNTUK CEMERLANG KITA perlu konsisten dengan segala kebaikan yang kita lakukan. Konsisten dalam bahasa Arab bermaksud istiqamah. Di dalam Mufarradat ar-Raghib, istiqamah atau konsisten didefinisikan sebagai berterusan berada di atas landasan yang lurus. Berhubung dengan perkataan istiqamah yang terdapat dalam ayat di atas, Abu Bakar as-Siddiq berkata, “Tetapkanlah pendirianmu dalam amalan dan perkataan.”

Uthman bin Affan berkata, “Tetapkanlah pendirianmu dengan sentiasa mengikhlaskan hati dalam setiap amalan.” Ali bin Abu Talib pula berkata, “Tetapkanlah pendirianmu dengan sentiasa melakukan amalan-amalan fardu.” Pendapat-pendapat ini menunjukkan konsisten penting untuk cemerlang terutamanya dalam perkara yang diwajibkan oleh Tuhan.

Asas-asas Konsisten
Istiqamah atau konsisten yang diterima dan diredhai Tuhan mempunyai asas-asasnya. Mengikut pandangan ulama tasawuf yang bijaksana, seperti yang dinukilkan di dalam kitab Dalil al-Falihin, “Istiqamah yang benar mestilah diasaskan di atas dua perkara iaitu iman kepada Allah dan amalan mengikut apa yang dibawa oleh nabi, zahir dan batinnya.”

Mengikut pendapat sahabat Omar bin Khattab, “Istiqamah ialah suatu keadaan di mana kamu mengikut perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang oleh agama secara berterusan dan tidak berdolak-dalik serta ke sana ke mari seperti musang.”

Salah satu punca pendidikan kita gagal melahirkan manusia cemerlang adalah kegagalan pendidik untuk konsisten dengan nilai-nilai murni yang diajar. Contohnya, di rumah ibu bapa mengajar anak-anak supaya tidak berbohong. Tetapi pada sesetengah masa, ibu bapa sendiri yang berbohong di hadapan anak-anak. Si ayah pula mengajar anak lelakinya supaya tidak merokok tetapi si ayah sendiri merokok.Para pemimpin semasa berucap menyarankan para remaja kita mencontohi golongan yang berakhlak mulia. Mereka juga disuruh berbudi bahasa. Sebaliknya, di kaca-kaca TV para artis yang rendah akhlaknya dan bukannya para ilmuwan yang ditonjolkan secara konsisten. Tambahan daripada itu, tayangan-tayangan filem yang menonjolkan adegan-adegan lucah yang langsung tidak berbudi bahasa ditayangkan tanpa segan silu untuk tontonan ramai.

Dalam ceramah-ceramah motivasi di seluruh Malaysia, saya sering mengingatkan para pendidik dan ibu bapa supaya tidak membudayakan konsep, 'Jangan tetapi boleh!'. Maksudnya, pada sesetengah masa kita berkata 'jangan' kepada anak-anak. Namun, pada masa yang lain kita berkata 'boleh' sama ada melalui lisan ataupun perbuatan kita. Apabila kita tidak konsisten atau istiqamah dengan nilai-nilai murni yang kita laungkan, hasilnya adalah kacau bilau dan runtuh akhlak.

Barsisa yang Tidak Konsisten
Barsisa adalah ahli ibadah terkenal pada zaman Bani Israel. Mengikut sahabat Abdullah bin Abbas, “Barsisa sudah beribadah kepada Allah selama tujuh puluh tahun. Untuk menyesatkan Barsisa, Iblis mengutus syaitan yang menyamar sebagai seorang ahli ibadah, untuk mendampingi Barsisa.

Kesungguhan dan ketekunan syaitan ini amat mengagumkan Barsisa dan sebelum berpisah, syaitan mengajar Barsisa satu doa yang dapat menyembuhkan segala penyakit. Sejak hari itu, Barsisa menjadi terkenal kerana kemampuannya mengubati segala penyakit sehingga pada suatu hari, syaitan telah merasuk seorang wanita yang amat jelita dan wanita itu akhirnya terpaksa dirawat oleh Barsisa. Beliau terpegun melihat kejelitaan wanita itu, dan ketika itulah syaitan memujuk Barsisa untuk melakukan zina. Lebih dari itu, syaitan menasihati Barsisa bahawa pintu taubat sentiasa terbuka dan jika beliau berzina beliau boleh terus bertaubat selepas itu.

Pujukan ini mempengaruhi jiwa Barsisa lantas beliau akhirnya melakukan zina sehingga wanita itu mengandung. Syaitan kemudiannya datang menemui Barsisa dan berkata, ‘Celaka kamu. Jika perkara ini dibiarkan, kamu akan mendapat malu. Aku mencadangkan agar kamu membunuh wanita itu, kemudian kamu bertaubat kepada Allah. Jika keluarganya bertanya tentangnya, katakan, syaitannya telah merasuknya dan dia telah melarikan diri.’

Wanita itu pun dibunuh oleh Barsisa. Syaitan begitu bergembira dan terus menemui Barsisa dengan cadangan agar wanita itu ditanam di tepi bukit. Tidak berapa lama selepas itu, keluarga wanita itu telah datang untuk menziarahinya dan mereka berasa amat terkejut selepas diberitahu wanita itu telah dirasuk syaitan dan melarikan diri ke dalam hutan. Syaitan terus memainkan peranannya dengan menjelmakan dirinya di dalam mimpi saudara-saudara wanita dan menceritakan kepada mereka tentang perbuatan Barsisa dan menunjukkan kepada mereka tempat saudara perempuan mereka ditanam. Akhirnya mayat wanita itu ditemui dan Barsisa telah didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman bunuh.

Sebelum hukuman dijalankan, syaitan datang sekali lagi kepada Barsisa dan berkata, ‘Tidakkah kamu mengenali aku. Akulah ahli ibadah yang telah mendampingimu sebelum ini. Perbuatanmu amat ter-kutuk dan kamu tidak akan dapat menyelamatkan diri melainkan jika kamu mematuhi arahanku yang terakhir, iaitu, sujud kepadaku.’ Barsisa terus sujud kepada syaitan maka matilah dia di dalam kekufuran.” Kisah ini dinukilkan di dalam Makaidu as-Syaitan oleh Taha Abdullah Afifi.

Kita sering kali gagal untuk menjadi konsisten kerana pujuk rayu syaitan yang menggiurkan. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 48 Tuhan menyatakan, “Dan ketika syaitan mencantikkan bagi mereka perbuatan mereka, dan dia berkata, 'Tidak ada seorang manusia pun yang dapat mengalahkan kamu pada hari ini, dan sesungguhnya aku adalah pelindungmu.'”

Abu Talhah yang Konsisten
Abu Talhah amat konsisten dengan perjuangan Islam. Beliau sentiasa bersedia untuk berjuang walaupun umur beliau sudah lanjut. Pada suatu masa, pada saat beliau sedang sakit, datanglah panggilan jihad. Beliau meminta anak-anaknya mempersiapkan dirinya supaya beliau dapat keluar berjihad. Walau bagaimanapun, hasrat beliau ditentang oleh anak-anaknya.

Beliau pun membaca ayat 41 dalam surah at-Taubah yang bermaksud, “Berangkatlah kamu berjuang dalam keadaan ringan ataupun berat,” dan beliau tetap berkeras untuk keluar berjuang. Anak-anaknya berkata, “(Ayah) telah berjuang pada zaman Rasulullah, Abu Bakar dan Omar dan sekarang giliran kami pula untuk keluar berjuang.” Akhirnya beliau diizinkan untuk belayar bersama-sama dengan tentera-tentera Islam untuk berperang.

Di tengah perjalanan, beliau meninggal dunia dan mayatnya hanya sempat ditanam sembilan hari selepas itu, apabila kawasan darat ditemui. Namun yang anehnya, keadaan tubuh jasadnya tidak berubah sedikit pun semasa dikafani dan disimpan. Kisah ini disebutkan di dalam al-Asas fit Tafsir oleh Said Hawa. Kesungguhan Abu Talhah dan konsistennya beliau dengan perjuangan Islam sepatutnya dicontohi oleh umat Islam pada hari ini.

Jumaat, Jun 02, 2006

PANTUN: Akal di Ufuk Pasrah

Tetak tebu tempatku mandi,
Air hangat dijerang dulu;
Jangan sedih di dalam hati,
Ada hayat boleh bertemu.

Serai ini serai layu,
Layu dijemur sabut kelapa;
Cerai ini cerai lalu,
Ada umur kita berjumpa.

Lipat kain lipat baju,
Taruh mari di atas puan;
Sekira angin menjadi batu,
Baru saya lupakan tuan.

Pondok menjadi bangsal,
Bangsal ada di hujung desa;
Usul menunjukkan asal,
Bahasa menunjukkan bangsa.

Teluk Likas indah membiru,
Menara Tun Mustapha terpacak gagah;
Andai ada belas rasamu,
Kelak nestapa tidak menggugah.

Bond Street nama dahulu,
Jalan Gaya masyhur hebat;
Kala sulit diingat daku,
Kala jaya menegur pun berat.

Tun Mustapha nama terkenal,
Limau-limauan kampung kelahiran;
Wangi cinta sayang pun kental,
Rahsia berzaman mekar kehidupan.

Putatan tempat Tun disemadikan,
Sebuah memorial mengenang jasa;
Perlu bersempat menjalani kewajipan,
Jangan tertinggal diburu masa.

Pencinta orkid merata tempat ,
Melengkap kembara di Orchid De Villa;
Waktu sakit kembali beringat,
Rasa sengsara bertaubat nasuha.

Dari Deasoka jadi Api-Api,
Kota Kinabalu gemilang bertakhta;
Dia suka daku benci,
Terjadi sayang di balai cinta.

Kampung Gombizou dihuni Rungus,
Sudah terkenal menternak lebah;
Melarut rindu ingatan membius,
Letakan akal di ufuk pasrah.

Dari Gombizou singgah di Sumangkap,
Membuat gong industri desa;
Merasa jemu berubahlah sikap,
Sama merenung silap siapa.

Dalam peta sudah terlihat,
Simpang Mengayau ombak bertemu;
Diam berkata indahnya sifat,
Fikiran kacau tidak membantu.

Pulau Banggi Pulau Belambangan,
Teluk Lung cantik dan redup;
Saat hati sudah tertawan,
Peluk gunung tidakkan cukup.

© 2006 Koleksi Pantun Hasyuda Abadi

PANTUN: Ikut Rasa Merasa

Terang bulan tanpa cahaya,
Mak Semat menenun kain;
Kupandang tuan segak bergaya,
Berkata hebat dibuat lain.

Dari hulu sampai seberang,
Seberang menyemai padi bukit;
Dari dulu hingga sekarang,
Sekarang damai diinai sulit.

Karangan jiran kampung halaman,
Kebun cempedak di sana banyak;
Panas baran bukan amalan,
Bila kehendak berlawan tindak.

Lubang Buaya di mana sahaja,
Gerun tapi itulah nama;
Tidak kaya jangan kecewa,
Tidak rugi berhemah rasa.

Pulau Manang selepas Bukau,
Orang Kedayan menjual nenas;
Mari bersenang bersenda gurau,
Pupuk kenangan jiwa terhias.

Meraba Banting semacam tempat,
Beli lokan di gerai Inuman;
Jika pening melayan penat,
Cari teman larikkan senyuman.

Sungai Kinabatangan membelah negeri,
Orang Sungai ramai di sana;
Jangan berangan memiliki isteri,
Jika cerai jadi cerita.

Menyusur liku ke Sungai Kayu,
Budak-budak gembira menyambut;
Sudah tahu perangai begitu,
Masih hendak tingkah diikut.

Sungai Manila tidak bersungai,
Korban biasa perubahan masa;
Ke mana juga usaha menilai,
Tiadalah jaya diolah sengketa.

Sandakan indah ketika pagi,
Cahaya mentari awal muncul;
Bukan mudah menerima puji,
Jika memuji mengangkat bakul.

Agnes Keith insan istimewa,
Berzaman dikenang di dalam rumah;
Bila sedih dilindungi ketawa,
Sentiasa tenang menerus langkah.

Hakcipta © 2006 Keleksi Pantu Hasyuda Abadi

Jumaat, Mei 12, 2006

GEMA YANG SAMA

(Sebuah Puisi)
masih juga gema yang sama. kami mendengar gempita laungan
di tempat yang sama. pekikan yang tiada lain. rakaman yang diulang
berulang-ulang apakah yang memberimu makna senario bangsa
yang dibesarkan suara tanpa rasa. retorika yang wangi sambil di sana-sini
hanya harapan untuk nanti disanjung apakah titik suara hanya
kegembiraan dan pesta?

HA
Betong, Sarawak,
11 Mei 2006

Selasa, April 11, 2006

Permasalahan Sastera di Sabah

KITA di Sabah ini amat beruntung kerana sentiasa dicahayakan ilmu yang tidak selalu dialami orang lain di tempat lain. Seminar demi seminar menjejakkan pengalaman kita untuk mendengar, menghalusi, menghayati mauduk demi mauduk para ilmuan yang tidak putus-putus mengisi wacana yang disediakan.

Hanya barangkali, apakah seminar-seminar ilmu itu tetap relevan dengan kehidupan kita yang serba dicerca merbakan oleh kehidupan-kehidupan materialistik tanpa menghiraukan berlakunya lambakan ilmu yang bukan-bukan. Pandangan ini memang tidak disenangi tetapi ia tetap boleh dihujahkan. Rupanya benarlah bahawa tokoh seseorang sering memberikan cerminan kepada kita. Memang kita diminta agar melupakan apa jua yang bersifat negatif terhadap sesuatu atau terhadap individu itu meski apa pun keadaannya. Yang ingin kita petik ialah buahnya yang membahagiakan, memberi guna untuk kehidupan. Malah untuk yang lebih besar kepada bangsa dan agama kita. Bangsa kita yang masih mengarahkan hala yang kurang jelas, masih diperhujah rentak dan bentuknya. Yang berkuasa itu siapa dan bagaimana kuasa itu dominan kepada bangsa kita. Kita masih mengira matematik dalam bacaan yang sentiasa diperbaiki. Eksperimen kita terus berjalan tanpa sebarang konklusi.

Kita berhujah tentang hal-hal yang biasa dan lumrah. Seorang pengarang berhujah karya kita belum mantap. Para sasterawan tidak menulis cereka-cereka yang besar dan kurang meyakinkan, tidak membantu mendewasakan Mereka tidak tampil membicarakan permasalahan global dan permasalahan lokal secara terbuka. Soal tanah yang dirampok, soal kegilaan dalam berpolitik, kegilaan mengejar harta, kegilaan menonjolkan diri dan sebagainya lagi wajar sekali dibincangkan. Mereka juga perlu keluar dari kepompong peribadi dan mengarah ke dunia luar yang kacau, bobrok, resah, derita dan sebagainya.

Masyarakat harus mengetahui dan diberi maklumat yang baru dan betul. Dalam apa cara sekalipun. Media yang mempunyai peranan besar perlu meletakkan usaha yang lebih telus dan terbuka. Apakah media sudah bertindak lebih terbuka dan bebas? Apabila kita menulis tentang kebenaran apakah lambakan justifikasi kebenaran itu berjaya sampai ke pembacaan masyarakat? Kita ingin menegakkan kebenaran bukan meletakkan kesalahan melulu kepada pihak-pihak yang ada kepentingan tetapi apakah apa yang kita fikirkan itu sedia diperkirakan kebenarannya? Teater Bagaton, sebagai contoh, tidak dapat dipersembahkan pada masanya, kerana dikhuatiri menyinggung perasaan etnik masyarakat lain. Ini seolah-olah menjelaskan betapa sempitnya pemikiran masyarakat kita. Sensitiviti mereka hanya ke arah yang kecil apabila dikaitkan dengan pembinaan bangsa Malaysia itu sendiri.

Pihak media pula mengambil sikap acuh tak acuh terhadap karya-karya sastera kita. Selain tidak memberi penghargaan sekurang-kurangnya honororium mereka juga terlalu mengabaikan mutu sesebuah karya. Akhbar mengambil mudah terhadap penggunaan Bahasa Malaysia sehingga menyebabkan karya-karya sastera dan tidaksastera kita menjadi seadanya.

Kita juga kecewa kerana tidak berlaku usaha yang serius membicarakan karya-karya sastera kita. Misalnya antologi cerpen ‘Dunia Iris’ tidak dibicarakan secara lebih ilmiah. ‘Dunia Iris’ yang dikatakan bermutu berbanding karya-karya yang tersiar dalam media massa tempatan seperti tidak diambil perhatian. Namun tentulah tidak adil membandingkan ‘Dunia Iris’ dengan cerpen-cerpen eceran yang berlambak di media massa kita. Antologi cerpen sulung Jasni Matlani ini lebih menyerlah sekiranya kita dapat membuat analisa yang kritis dengan melakukan perbandingan dengan karya-karya para pengarang terbaik kita sebelum ini seperti Daniel Jebon Jenaun, Jonathan Kandok, Zaiton Ajamain, R.Hamzah Dua di samping Azmah Nordin dan Haji Harun Haji Salleh (allahyarham) tentunya. Betapapun begitu kita harus memuji kegigihan Jasni menggunakan dana sendiri sehingga lahir sebuah antologi cerpen pada tahap ini dianggap yang terbaik. Haji Ismaily Bongsu juga pernah membicarakankan ‘Dunia Iris’ walaupun dalam bentuk ulasan promosi kerana beliau tidak memberikan kupasan yang mendalam dengan ilmu bantu yang ada.

Tentulah apabila membicarakan mauduk sastera kita akan mengaitkannya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP). Kita tidak menyedari kemampuan DBP pada masa ini jauh bezanya berbanding masa lalu walaupun kita tahu DBP seharusnya lebih baik lagi dalam mengurus hal-hal berkaitan dengan penerbitan, aktiviti dan pentadbiran lainnya. Namun begitu hanya DBP sahaja yang berhak menjawab persoalan-persoalan yang bersangkutan dan sering diperkatakan dalam media. Pandangan Haji Ismaily Bongsu dalam Kelab Maya Sastera Sabah (Kemsas) agar diadakan pertemuan untuk membincangkan kedudukan sastera di negeri Sabah secara lebih telus amat dialu-alukan. Kita perlu bersemuka dan berbincang. Kita berhak meluahkan segala yang berbuku di kalbu. Kita sedar bahawa kedudukan DBP tetap menjadi tunggak pemantapan ilmu dalam pemerkasaan bahasa dan sastera. Persoalan-persoalan yang ditimbulkan bukan baru tetapi sudah kerap ditimbulkan dan paling akhir sewaktu dialog korporat tahun lepas seingat saya banyak membicarakan hal yang sama. Tentu ada silap di mana-mana kerana ia tetap tidak mengubah ke arah rasional yang kita ingin capai. untuk itu, DBP cawangan Sabah wajar diberikan kuasa yang lebih untuk menangani permasalahan yang tidak ada kesudahannya itu. Badan ini juga perlu diberikan dana yang khas untuk menyemarakkan lagi aktiviti persuratan dengan mengambil kira peranan persatuan-persatuan penulis yang ada. Ke arah keberkesanannya, rombakan dan kajian semula terhadap tanggungjawab pegawai dan kakitangan DBP secara menyeluruh juga amat dialu-alukan.

Menyalahkan mana-mana pihak untuk mencari jalan yang terbaik tentulah bukan cara yang sesuai. Tetapi pada saya wajarlah kita mengadakan perhubungan dua hal secara terus dan telus. Tidak ada ruang yang tertutup untuk kebaikan tetapi jalan itu tentulah harus ditangani umpana menarik benang dalam tepung; benang tidak putus, tepuk tidak berserakan.

Sabtu, Mac 04, 2006

Puisi Seperti Gula-gula Getah

SAYA pernah mengutarakan pandangan mengenai puisi sebagai bahan komoditi. Dulu puisi tidak semudah sekarang dipersembahkan dalam apa jua majlis rasmi dan tidak rasmi. Tanpa mengira kedudukan puisi menjadi kunyahan yang popular. Puisi seperti gula-gula getah. Dilumrahkan bacaannya kemudian dilontar ke sana-sini seperti gula-gula getah!

Pandangan ini memang tidak popular. Saya amat cintakan puisi. Kehidupan sastera saya ditandai oleh puisi awal saya bersama Anak Seni pimpinan Zaiton Ajamain sekitar tahun 1979. Hingga sekarang puisilah mengenalkan saya dunia sastera sebenarnya. Malangnya puisi di'lacur'i oleh mereka yang tidak mengetahui rohnya yang sebenarnya. Merujuk pandangan HBI, saya setuju pembacaan puisi di RTM kurang berkesan kerana ditangani oleh orang yang tidak mahir mengenainya. Baca puisi dan baca pantun tidak lahir bersama rohnya.

Maka pantun dan puisi pun seperti gula-gula getah. Mohon tidak bersetuju persamaan yang saya buat ini kerana puisi harus berada pada tempatnya yang betul. Disampaikan dengan cara yang betul. Puisi harus dikunyah tetapi memelihara kunyahan itu, agar meresap ke dalam kalbu dan minda bangsa kita. Bukan bacaan biasa yang menjadi tontonan biasa dan dibiarkan berlalu bersama berlalunya bayu senja.

Ahad, Januari 01, 2006

2005 dan Buku

Kota Kinabalu 2005 diawali dengan majlis pelancaran buku: Bisikan Nurani karya Dg Salmah Salam, Di Kebun Amal (Ramlie A.R.) dan Taufan (A.B.M. Fajeer) terbitan DBP Cawangan Sabah. Di majlis yang sama meraikan persaraan Tuan Haji Hamzah Hamdani, Pengarah DBP Cawangan Sabah dan mengalu-alukan penggantinya Encik Zubaidi Abas. Haji Hamzah Hamdani menamatkan perkhidmatanya sebagai pengarah Dewan di Sabah selama 7 bulan dengan 7 buah penerbitan buku. Empat buku yang lain: Biografi Penulis Sabah, Pelayaran (Rubiah Nordin), Menginai Badai (Hasyuda Abadi) dan Kumplan Puisi Mahrajan Sastera Islam 2004. Tentu saja lebih banyak buku karya penulis-penulis Sabah sekiranya beliau belum bersara. Kita berharap usaha penerbitan khas ini akan diteruskan oleh pengarah yang baru. Misalnya bagi genre sastera yang lain khususnya cerpen. Jasni Matlani dan saya berbicara panajng tentang hal ini semalam. Syabas ditujukan kepada pegawai Dewan yang bekerja keras dengan komitmen yang amat tinggi terhadap usaha penerbitan ini. Tentunya kepada Sdr Japar Ungki wajar diberikan penghargaan. Bukan mudah menyelenggarakan 3 buah buku sekali gus pada satu-satu masa!

Tahniah juga kepada kekanda Fajeer, Abang Ramlie AR dan juga bonda Dg Salmah. Membaca sekali imbas buku-buku mereka saya dapat mengesan keistimewaan masing-masing: nurani, fikrah, nuansa, intuisi, harapan... Ahli-ahli Kemsas yang tidak berkesempatan menghadiri malis malam tadi di Promenade Hotel, Kota Kinabalu, bolehlah mendapatkan buku-buku ini di DBP Cawangan Sabah. Kita berharap bila buku dah terbit keberadaan ketiga-tiga penulis veteran ini terus 'bernadi' di persada sastera tanah air. Ya, menarik diungkapkan Datuk Sapawi: (dari) bisik nurani di kebun amal (ada) taufan (yang memberi cabaran).

Salam puisi.