Sabtu, Disember 31, 2022

2022 - SEPUTAR AKTIVITI HA DAN KEBERHASILAN


(A) Menghasilkan sejumlah karya kreatif dan bukan kreatif seperti berikut:
14 buah puisi tersiar di media massa:
1. Percakapan Kecil Tentang Perjuangan (HE)
2. Naratif Sehabis Pemilihan (UB)
3. Di Pasar Bubar (BH)
4. Malam Kelahiran Merindu Kekasih (UB)
5.. Di Bayang Bayang (UB)
6. Masih Mahu Dilepaskan (UB)
7. Tanah (UB)
8.. Diri (UB)
9. Menuju Bendera (UB)
10. Mahu Merdeka di Musim Merdeka (UB)
11 Kisah Merpati di Hutan Kemerdekaan (ST)
12. Membuka Kamus Insaniyyah (UB)
13. Seorang Meja (UB)
14. Pasca Pilihan raya (UB)
(C) 2 buah buku kumpulan puisi persendirian:
- Melawan Kebiasaan (70 buah puisi)
- Hutan Ayah (50 buah Puisi)
(D) Pemakalah/ahli Panel Forum
- Panel Forum Festival Puisi Esei (BAHASA)
- Wacana Penyelidikan Persatuan Penulis di Malaysia (DBP)
- Nadwah Sastera Islam Serantau (DBP)
- Perkongsian Kerjaya Seorang Penulis. (SMK Taman Ria, Tuaran)
- Membimbing penulisan kreatif pelajar di SMK Libaran, Sandakan
(E) Menulis dan Membaca Puisi sempena Hari Pahlawan 2022 bertajuk: Citra Warga Tatkala Tersiat Makna Tanah Air Tercinta di Padang Bandaraya Kota Kinabalu. Puisi ini dimasukkan ke dalam buku cenderamata Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah 2022.
(F) Menganjur Program Sempena Hari Malaysia di RupHA bersama
Ikatan Penulis Sabah (IPS) pada 16/9/2022.
(G) Panel Hakim Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-35 Peringkat Negeri Sabah pada 26-27 Ogos 2022.
(H) Hadiah dan Anugerah Sastera:
1. Hadiah Puisi Ramadan 2022 dari DBP Cawangan Sabah <SYAUM>
2. Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 - Kategori Puisi berjudul 'PUSAKA' (DBP)
3. Anugerah Tokoh Seni Sastera Islam Sabah 2022 dari Kementerian Tugas-tugas Khas Sabah dan Jheains (Pengisytiharan pada 30/10/2022 di SICC)
4. Anugerah Sastera Negeri Sabah ke-3 dari Kerajaan Negeri Sabah SMJ (Pengisytiharan dijangka pada Mac 2023)
Turut dilibatkan mewakili IPS sebagai Pemerhati Pilihan raya Umum (PRU15) bagi kawasan pilihan raya P.171 Sepanggar.
2022 terus istiqomah terlibat aktif sebagai aktivis sastera dan budaya bersama IPS selaku Ketua Penasihat dan BAHASA serta PENA sebagai ahli sepanjang hayat. Di samping itu mengurus RupHA, Pustaka Iqbal Nazim, Kebuku dan Rumah Ngaji Baitul Muqaddam.
Sebagai ahli masyarakat, terlibat dalam pengurusan masjid - Masjid Al-Mujahidin Kampung Gudon Kota Kinabalu selaku Setiausaha, Pengurusan Masjid. Menyelesaikan kursus Profesional Pengurusan Masjid anjuran UMS dan Jhaeins.
Ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua terutama isteri dan anak-anak, guru-guru, keluarga dan sahabat handai seterusnya para mentor dan juga pengurus sastera khususnya DBP Cawangan Sabah.
"Move on" bagi kita semua tiada lain dengan selalu beristighfar, bersyukur, berintegriti, berwasatiyyah dan istiqomah.
Terus ke hadapan.
HA
Disediakan oleh
Jabatan Dokumentasi RupHA

Khamis, Disember 22, 2022

HASYUDA ABADI (2022)


RINGKASAN DATA-DATA HASYUDA ABADI

(Dikemaskini sehingga 6/8/2024).
1. Deklamasi Puisi pertama kali pada 1969 di Panggung Wayang Lumadan Estet, Beaufort. Berusia 9 tahun dalam Darjah 3.
2 Karya pertama tersiar pada 13.12.1980 (puisi tersiar di Sabah Times). Judul: Mengapa o Mengapa.
3. Bil. buku sendiri - 13 (puisi 11, pantun 1, cerpen 1)
4. Bil. puisi dalam 11 buah buku kumpulan puisi persendirian - 797.
5. Bil. buku puisi bersama - 75 (jumlah puisi - 150)
6. Bil. karya tersiar di media massa sehingga 1/10/2023 - 514 (sedang dikemaskini)
7. Bil. buku cerpen bersama - 2
8. Bil. buku drama bersama - 1
9. Bil. buku esei bersama - 4
10. Bil. menyelenggara buku - 5
11. Bil. karya diterjemah bahasa asing - 3
12. Terima HSPM - 3 x
13. Terima HSS - 14 x
14. Terima Anugerah Tokoh Penyair Islam ke-12 (2008)
15. Terima Hadiah Penulis Prolifik melalui Hadiah Tinta Sastera pada 1999 dan 2004.
16. Terima Anugerah Veteran Seni Dasar Warga Emas Nasional (Dwen) 2021 Kategori Penulis.
17. Terima Anugerah ASIS 2022 Kategori Tokoh Seni Sastera Islam Sabah.
18. Terima Anugerah Sastera Negeri Sabah 3 (2022).
19. Terima Anugerah Tokoh Mahrajan Persuratan Islam Nusantara 2024.
20. Ikut penataran sastera utama - Program Penulis Anak Angkat DBP Sabah (1987), Program Penulisan Mastera (1997)
21. Terlibat sebagai pembimbing bengkel penulisan
22. Terlibat sebagai pemakalah
23. Terlibat sebagai penceramah
24. Terlibat menulis teks puisi yang dibacakan pendeklamasi pilihan sempena Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Sabah dan pada Hari Pahlawan peringkat Negeri Sabah.
25. Terlibat mengurus persatuan (Kumpulan Anak Seni pada 1979-1990 - Setiausaha Kehormat - 5 tahun; IPS (1990-kini) - Ketua Satu, 20 tahun). Kini Pengerusi Kelab Penggiat Komuniti Buku Negeri Sabah (Kebuku), Timbalan Pengerusi Persatuan Baitul Muqaddam (PBM) dan merupakan Ketua Majlis Penasihat IPS. Setiausaha Masjid Al-Mujahidin Kg Gudon Kota Kinabalu. Menjadi ahli sepanjang hayat PENA (2013) dan BAHASA (2018) .
26. Terlibat menyelenggara buku puisi.
27. Terlibat menjadi penilai karya.
28. Terlibat sebagai Ketua Fasilitator dan Fasilitator PPSB di PLKN.
29. Terlibat sebagai panel hakim sayembara deklamasi puisi pelbagai peringkat, panel hakim sayembara menulis puisi Islam Asean.
30. Guru-guru utama sastera:
1. Datuk (Dr) Hajah Zaiton Haji Ajamain.
2. Allahyarham Dato Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala)
3. Allahyarham Dr Sapardi Joko Damono, Dr. Abd Hadi WM dan Taufik Ismail.
31. Guru Deklamasi Puisi: Hj Marzuki Ali.
32. Guru Gerak Tari: Allahyarham Datuk Zulkifli Zain
33. Nama Isteri: Yau Tham Ying @ Yazidah Abdullah (Meninggal: 2010), Hajah Sahara binti Jais
34. Nama Anak-anak: Syahzierah, Syahfierah, Syahierah Insyirah dan Sumayyah Zhufairah
35. Nama Adik-adik: Hassimah, Hajah Hamidah, Rosly, Melati dan Melor
36. Rakan seperguruan puisi: Sdr Soibil Madun.
37. Sahabat Karib: Abd Naddin Haji Shaiddin, Datuk Jasni Matlani, Mohd Jasni Yakub dan Ony Latifah Osman
38. Rakan persekolahan: Monsu Gudon, Subarjo Durasit, Dtk Surinam Sadikun, Ramlan Ag Adi, Basir Sukir, Yakub Ag Jaya, Mainah Karmani (Almrh), Jaini Surat, Grey Sampungol, Asiah Abu dan Jamali Mardi.

*HSPM - Hadiah Sastera Perdana Malaysia
*HSS - Hadiah Sastera Sabah
Nota: Jumlah besar puisi: 1,458 (termasuk dua buah buku yang baru disiapkan).


Disediakan oleh
Jabatan Dokumentasi RupHA


Rabu, Disember 21, 2022

Pemimpin yang mendidik


KEUNGGULAN seorang pemimpin sebenarnya bukan terletak pada kemampuannya berpidato atau menabur janji dan wang kepada rakyat, tetapi terletak pada kemampuannya membina dan mendidik umat. Kepimpinan sedemikian disebut sebagai pemimpin-pendidik atau disebut juga sebagai ‘transforming leader’ iaitu pemimpin yang mampu merubah umatnya menjadi lebih baik dan lebih unggul.

Jestru keinginan kita menerima peri pentingnya ‘transforming leader’, harus menjadikannya sebagai kriteria utama dalam proses pembentukan kepimpinan ummah. Dan, sehala dengan tanggungjawab yang besar ini oleh seorang pemimpin ialah amanah memegang tanggungjawab itu.

Dengan tegas dinyatakan bahawa tugas kepimpinan merupakan suatu amanah berat yang membawa risiko tertentu. Sebab itulah, ia harus dipercayakan kepada mereka yang benar-benar mampu. Sikap meremehkan kepimpinan sebagai suatu yang mudah, senang dan boleh disandang oleh sesiapa sahaja membayangkan kekeliruan dan ketidakfahaman yang sangat mendasar tentang erti dan fungsi kepimpinan. Fenomena ini berleluasa hari ini dengan semakin ramai berlumba-lumba mendapatkan gelaran pemimpin walaupun terpaksa menabur wang ringgit, masa dan tenaga yang banyak.

Menjelang kewafatannya, Sayyidina Umar ibn al-Khattab telah menyenaraikan sejumlah nama calon penggantinya. Ketika nama anaknya sendiri (iaitu Abdullah ibn Umar) dimajukan orang, beliau dengan spontan menolaknya seraya berkata: cukuplah seorang sahaja dari keluarga Umar yang akan menjadi korban api neraka. Demikian contoh orang yang faham dan menginsafi beratnya amanah kepimpinan dan besarnya risiko ukhrawi nanti jika tanggungjawabnya tidak dilaksanakan dengan sempurna.

Umar ibn Abdul Aziz, khalifah yang terkenal dengan keadilannya itu dikatakan pernah terpegun semalaman ketika menatap sebaris ayat tentang pertanggungjawaban para penguasa zalim di hari Mahsyar nanti (as-Saffat:22). Ia benar-benar ketakutan, apakah dirinya termasuk dalam kelompok penguasa  zalim yang disebut dalam ayat tersebut. Begitulah orang yang tahu beratnya tanggungjawab menjadi pemimpin hinggakan orang yang sudah terkenal adil di mata manusia, masih takut menghadapi penghakiman Tuhan.

Ketidakfahaman terhadap erti dan fungsi kepimpinan adalah suatu bahaya. Ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan kuasa kepimpinan itu sendiri. Gejala penyalahgunaan kuasa atau ‘abuse of power’ terjelma dalam pelbagai bentuk seperti penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan diri, menggunakan wang rakyat untuk kegunaan peribadi dan sebagainya.

Kuasa bukan suatu hadiah, tetapi amanah. Al-Qur'an menggambarkan perilaku orang-orang yang diberi kuasa dan tahu makna fungsi kekuasaan yang diamanahkan kepadanya itu melalui ayat 41 Surah al-Hajj, yang bermaksud: Dan orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Demikianlah kesedaran tentang erti tanggungjawab yang menjadikan seseorang sentiasa mengabdi kepada Tuhan, menyucikan diri dan hartanya dengan menyantuni golongan miskin, berbakti kepada manusia dengan membimbing mereka kepada kebaikan dan menyelamatkan mereka daripada kejahilan.

Peranan pemimpin bukan sekadar menyetujui apa yang diperakukan oleh orang-orang bawahannya. Yang namanya pemimpin ialah one who guides, directs, conducts…’ iaitu seorang yang mampu memberikan panduan, pengarahan dan bimbingan. Peranan pemimpin seperti yang disebut oleh Peter F.Ducker ialah …sets the goals, set the priorities and sets and maintains standards.’ (menetapkan matlamat, menyusun urutan keutamaan serta menentukan piawaian yang baku dan mempertahankannya). Ini bermakna pemimpinlah yang harus memutuskan semuanya itu, bukan pegawai-pegawai bawahannya.

Sebagai pemandu umat, pemimpin harus tahu ke mana umat hendak dibawa. Dalam kaitan ini, al-Qur'an mengingatkan: Ikutilah orang-orang yang tidak meminta upah dan mereka yang terbimbing dengan hidayah.(Surah Yasin: 21). Ayat tersebut mengisyaratkan dua kriteria penting kepimpinan iaitu seorang yang menghayati petunjuk atau hidayat Tuhan dan tidak meminta rakyat membalas budi dan baktinya.

Imam al-Ghazali dalam bukunya, al-Mustazhiriy memberikan empat syarat iaitu kuat dan berwibawa (an-najdah), bijaksana dan mempunyai kekuatan daya fikir sehingga memungkinkannya menyelesaikan pelbagai masalah (al-kifayah), bersih dan berintegriti moral (al-wara’) dan berilmu (al-ilm). Keharusan memenuhi keempat-empat syarat tersebut membayangkan betapa beratnya tanggungjawab seseorang pemimpin. 

P
embakuan syarat-syarat kelayakan tersebut juga bertujuan untuk mempertahankan kualiti kepimpinan umat. Keunggulan sesuatu bangsa banyak ditentukan oleh kualiti kepimpinan. Kerana itulah setiap kali Tuhan mahu membangun sesuatu umat, yang mula-mula dilakukan ialah mengutus pemimpin unggul yang berupa nabi bersama kitab petunjuk Ilahi. Kombinasi kepimpinan unggul dan petunjuk Ilahi itulah yang membawa keunggulan umat dan tamadunnya.

Memang tiada siapa pun yang mampu menjadi pemimpin seunggul nabi. Yang penting ialah usaha meneladaninya. Pemaparan kisah dan sejarah para nabi dalam al-Qur'an bukan untuk sekadar menglipur lara, tetapi untuk memberikan set nilai kepimpinan yang relevan dalam pelbagai konteks zaman dan lingkungan. Umumnya pemaparan kisah para nabi itu menekankan ciri kualiti khusus kepimpinan yang sesuai dengan keperluan zaman dan realiti masyarakatnya.

Nabi Shuaib a.s. misalnya, selain dari membawa prinsip tauhid, ia juga ditampilkan dengan misi khusus menegakkan etika dan nilai-nilai murni dalam bidang perniagaan dan perdagangan (Surah al-A’raf: 85). Nabi Daud a.s. ditampilkan dengan ciri kekuatan teknologi pembuatan baju besi dan Nabi Sulaiman a.s. pula ditampilkan dengan ciri kekuatan teknologi pengendalian angin (Surah al-Anbiya’: 80-81). Sementara itu kepimpinan Nabi Musa a.s. menonjolkan ciri kuat dan beramanah (Surah al-Qasas: 26), manakala Nabi Yusuf a.s. yang ditampilkan untuk menangani masalah ekonomi negara menonjolkan kepimpinan yang bercirikan daya kawal dan kekuatan ilmu (Surah Yusuf: 55).

Dalam konteks umat Islam Malaysia masa kini, kita sedang berhadapan dengan sejumlah realiti baru yang memerlukan penampilan pimpinan yang memiliki sejumlah kualiti tertentu. Kita sedang menghadapi cabaran menjayakan kebangkitan Islam, kebangkitan rantau Asia Pasifik, era perindustrian, globalisasi, ledakan informasi dunia tanpa sempadan di samping cabaran dari dalam negara sendiri dari sudut politik dan ekonomi. Semuanya itu harus digarap sekali gus. Kemampuan kita menghadapi cabaran-cabaran masa kini dengan segala perubahan bawaannya yang serba pesat, dahsyat dan penuh kejutan itu banyak bergantung kepada kemampuan kita menampilkan pimpinan yang benar-benar berkualiti, dinamik, berilmu, berwawasan dan berintegriti moral, pimpinan yang mampu melaksanakan tugas besar melahir dan mencipta tenaga, daya dan wawasan manusia.

Dalam era perubahan seperti sekarang ini pimpinan umat harus menyedari apa yang disebut sebagai perubahan-perubahan di sekitar tugas dan peranan pemimpin politik. Untuk itu mereka harus cukup mampu memperolehi maklumat tentang segala perubahan yang berlaku. Sesungguhnya dalam suasana persaingan yang sengit sekarang ini, keunggulan akan hanya dicapai oleh pihak yang paling awal tahu dan paling cepat bertindak.

Dengan kata lain, mereka harus mempunyai kekuatan intelektual dan ketajaman daya analisis. Dengan demikian mereka akan mampu membina wawasan dan mampu menggariskan matlamat yang jelas. Pemimpin yang tidak mempunyai kemampuan berfikir, yang tidak punya budaya membaca dan tidak mampu mengikuti dunia perbukuan tidak akan mampu mengangkat martabat umat di zaman ilmu, zaman yang segala-galanya harus berasaskan ilmu. Yang lebih asas dari semua itu ialah kesedaran tentang erti kepimpinan sebagai taklif (amanah dan tanggungjawab), bukannya tasyrif (kemegahan dan kebesaran).

Sesuai dengan hakikat bahawa kepimpinan adalah keteladanan, pemimpin tidak cuma harus mampu menetapkan tahap yang harus dicapai, tetapi lebih daripada itu, ia sendiri harus mampu tampil sebagai contoh penghayatan dan pencapaian tahap berkenaan. Seperti pernah dijelaskan, dalam tradisi kepimpinan Islam, pemimpin disebut sebagai imam yang membawa maksud ‘seorang yang berada di hadapan dan diikuti oleh orang ramai’.

Selasa, Disember 20, 2022

Mengolah kepekaan berpuisi

MENELUSURI proses kreatif penulisan puisi sama asyiknya dengan menulis puisi itu sendiri. Setiap penyair sudah pasti memiliki cara pandang yang berbeza tetapi secara esensial akan mengarah pada titik yang sama, yakni puisi sebagai medan ekspresi dari bayang-bayang pengalaman. Perlu diingat bahwa puisi itu mudah dipelajari tetapi isi dan mutu puisi sangat bergantung kepada intensiti penghayatan si penyair terhadap berbagai pengalaman hidup yang menarik perhatiannya. Termasuk juga dalam hal ini adalah penguasaan akan kata dan bahasa.

Meskipun penulisan puisi boleh dipelajari tetapi kenyataannya tidak mudah. Salah satu alasannya adalah bahawa seorang penyair itu harus peka terhadap keadaan jiwanya, perasaannya, dan juga terhadap seluruh pengalaman hidupnya yang bersifat fizik ataupun metafizik. Secara fizik bererti sang penyair mengalami atau melihat sendiri kejadiannya. Sedangkan secara metafizik adalah pengalaman nonragawi yang hanya berhubungan dengan perasaan (tidak dengan tubuhnya).

Kepekaan itu penting bagi seorang penyair. Sebab itulah mengasah kepekaan perlu dilakukan untuk memperlancar daya kreatif seorang penyair dalam menulis puisi-puisinya. Inilah yang nantinya akan menjadi bank naskah pengalaman seorang penyair. Dari sini pula dapat disimpulkan bahawa menulis puisi itu tidak akan lahir dari ‘ruang batin yang kosong’. Lalu bagaimana dengan imaginasi?

Imaginasi memberi gambaran yang menyenangkan ke dalam fikiran dengan menjadikan segala sesuatu lebih sempurna daripada apa yang diketahui sebelum ini. Imaginasi menghalang kita untuk berpuas hati dengan keadaan sekarang mahupun keberhasilan masa lalu, dan terus mendorong kita untuk mengejar kesenangan yang belum pernah dicuba untuk atau keutamaan yang ideal.

Kunci menuju imaginasi kreatif ialah asosiasi. Asosiasi terbentuk oleh tiga hukum iaitu: Kedekatan - kasut bayi mengingatkan kepada si bayi; Kemiripan - bila melihat gambar singa teringat gambar kucing; Kontras - seorang kerdil akan mengingatkan kepada raksasa.

Tindakan kita dalam hidup merupakan hasil asosiasi dengan keyakinan, idea dan kepercayaan yang sudah ada. Asosiasi juga bekerja melalui suara. Contohnya, saya sering mendapati bahawa waktu yang paling kreatif adalah ketika saya mendengar orang berbicara.

Menurut ‘Kamus Kata-kata Serapan Asing dalam Bahasa Indonesia’ karangan J.S. Badudu, pula  imaginasi adalah khayalan, dan daya fikir untuk menciptakan sesuatu dalam fikiran berdasarkan kenyataan atau pengalaman hidup.

Dalam menulis puisi, imaginasi itu lebih berdasar kepada pengertian kedua kerana pengertian pertama sudah terangkum di sana. Agar imaginasi kita kena atau tepat pada sasaran maka kita pun harus mampu menguasai kata-kata dan bahasa dengan baik. Kata-kata dan bahasa adalah alat untuk mengomunikasikan bayang-bayang pengalaman yang hendak diekspresikan di atas kertas.

Kalau diksi sudah dikuasai tentu pada saatnya kita akan berhadapan dengan rima dan ritma. Fungsi keduanya ini sebagai penegasan dari apa yang ingin disampaikan oleh sang penyair. Permainan unsur bunyi dalam struktur puisi akan membangun makna puisi yang bersangkutan. Jelas sudah bahawa puisi tidak hanya dibangunkan oleh sembarang rangkaian kosa kata dan gramatikal yang melahirkan pesan, tetapi juga dibangun oleh unsur-unsur estetik bunyi daripada rangkaian vokal dan konsonan yang berlagu dan berirama. 

berjalan di belakang jenazah angin pun reda
jam mengerdip
tak terduga betapa lekas
siang menepi, melapangkan jalan dunia
di samping, pohon demi pohon menundukkan kepala
di atas: matahari kita, matahari itu juga
jam mengambang di antaranya
tak terduga begitu kosong waktu menghisapnya 

Puisi di atas adalah milik Sapardi Djoko Damono yang diberi judul ‘Berjalan di Belakang Jenazah’ (lihat buku ‘Dukamu Abadi’, Bentang, 2002: 6). Sumber Sapardi dalam menulis puisinya itu jelas bermuara pada pengalamannya ketika menghantar jenazah seseorang untuk dikuburkan. Beliau berusaha menghadirkan kembali apa yang dialaminya itu dengan pilihan kata-kata yang begitu personal sifatnya.

Beliau telah mampu menemukan wilayah pengucapannya yang khas, yang jelas berbeza dengan para penyair lainnya meski dengan pengalaman menghantar jenazah yang kurang lebih sama. Namun, beliau telah berhasil merekonstruksi kembali pengalamannya itu dalam bentuk karya puisi yang terasa segar. Kesegaran semacam ini hanya akan lahir kerana penguasaan kata-kata dan bahasa dengan baik.

Mengukuh kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan tekun.

Mohammad Diponegoro pernah mengatakan, “satu-satunya nasihat bagi pengarang muda ialah sesuatu yang mungkin sangat baru bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis?” Ya, kenapa tidak? Tidak sedikit penulis terkenal yang berawal dari kesenangannya dalam hal membaca.

Bacalah buku apa saja untuk menangkap gaya setiap penulis. Membaca juga membuat kita tahu apa yang membuat sebuah tulisan itu bagus serta memperluas kosa kata. Tapi begitu tiba waktunya menulis, kita harus mulai dengan gaya kita sendiri. Mulailah menulis apa saja yang anda tahu. Tulislah apa yang anda alami dan apa yang anda rasakan. Itulah yang kulakukan. (J.K. Rowling)

Membaca bukanlah semata yang tersurat, tetapi juga yang tersirat. Bacalah alam. Bacalah peristiwa. Bacalah orang-orang yang ada di sekitar kita. Bacalah segala hal yang membuat kemanusiaan kita menjadi penting bagi orang lain, yang apabila kita tidak ada membuat orang lain merasa kehilangan. Membaca … akan membuat kita lebih bernilai. Lebih-lebih lagi jika kita membaca sendiri tulisan yang sudah kita buat, hingga mengetahui berbagai kesalahan sebelum orang lain mengetahuinya. “Perbaiki tulisan anda dengan mencari kata, membaca, dan menulis,” kata Gary Provost.

Imam Syafi’i juga mengatakan, “Goresan penaku di tengah lembaran kertas, terasa lebih indah ketimbang khayalan. Aku terjaga setiap malam untuk belajar, pada saat orang-orang lelap tertidur.” 

Isnin, Disember 19, 2022

MEMBUKA KAMUS INSANIAH


Kata-kata, kembara dan meneroka:
dibina frasa demi frasa berbaur
bersama emosi:
ada dunianya,
ada tamannya
ada gelanggangnya
ada kembara
penerokaan tak habis.
Tak ditemukan akhir
tak berakhir oleh tanda apa pun
tak tercari tetapi dicari mata pisau kata
tak luka hanya bisa dijahit sangka.
Seperti mendaki ke puncak
mengejar puncak benar
tetap jua belukar persoalan yang tebal
mekar mawar di tamannya - di meja baca
entah mampukah menyulam bahasa indah?
Masih mahukah membuka lembaran
kamus insaniah.
Membiasakan berbasa basi
berlapis maksud, bertradisi memandang cinta
sayang itu jarang membunuh dengan berang,
ukhuwwah itu santun diasuh adabiyyah
maha guru pesuruh Pencipta;
siapalah kita yang mampu mengutip bicara
dari peristiwa-peristiwa masa sudah
mengulangi tabii manusiawi
menuai hasil yang sama
dalam beza niat dan mahu
dalam beza mahu dan nahu.
Akademi RupHA
KOTA KINABALU
2022

Jumaat, Disember 16, 2022

SEULAS BICARA









DARI ‘MENGAPA O MENGAPA’ 
KE PERSADA SASTERAWAN NEGERI SABAH

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh...

DIRI

Tidak perlu menjadi sesiapa, bagaimana
berasa ingin disanjung, tetapi biarlah
tanpa apa-apa sekali pun, tanpa sanjung
apatah lagi dijunjung. Dunia hanya sandiwara,
sekejap kau apa, sekejap kau siapa, sekejap
kau tiada, memang tiada jika di sisi-Nya.
Ingin apa, ketika berbuat sesuatu, berasa sangat selesa,
mana kelayakan menyebut baik di hadapan khalayak
sama-sama meminjam, Tuhan meminjamkan semua,
mana ada apa-apa, jadi sesiapa.
Sedang diam bertafakur, akur keluar dari tumpangan,
Adalah diri yang lembah, yang diinjak-injak!

 Akademi Rupha
17/8/2022

Puisi ini menceritakan tentang hal-hal ketiadaan yang hakiki buat kita sebagai insan biasa ciptaan Allah swt. Walaupun sering difikirkan bahawa kita sering menerima sesuatu yang sangat bernilai dalam sepanjang kehidupan padahal hakikatnya kita bukan pemiliK hakiki, kita hanya meminjam apa pun kita rasai nikmatnya. Diri kita amat lembab dan mudah diinjak-injak, sangat pantas untuk menyampaikan bahawa betapA lemah kita di sisi Allah swt. Ini menjadikan lebih bersiap siaga untuk menerima realiti tanpa sebarang wap kesombongan, bangga diri, angkuh dan sebagainya lagi. Hanya kesyukuran!

        Begini kita menerima sesuatu, saya sangat gembira diberikan suatu penghormatan dengan penobatan adanya seorang sasterawan di negeri saya sendiri. Saya bersyukur untuk itu atas penilaian yang bukan kerja ringan, bukan sambalewa, bukan juga mudah dilakukan. Saya berterima kasih sebagai antara puluhan rakan seperjuangan di negeri Sabah berada di tempat ini.

            Saya gembira dalam kebiasaan yang biasa. Merasakan punya peranan yang bukan kecil agar sastera bukan semata-mata melahiran puisi yang bagus. Bahkan puisi harus membuka jalan-jalan kecil dan rumit kepada ruang yang dituju dengan aman dan membahagiakan. Sudah tentu bersama ujian-ujian yang tersendiri. Ruang fikir yang jitu.

                Dalam salah sebuah puisi berjudul 'RUMAH SASTERA' saya tulis begini: 

Sastera di tengah masyarakat
katanya tidak berjejak
bukankah sastera itu matlamatnya satu
membawa suara dari diam sunyi
ke alam makna anyaman diksi
bebas menggamit tugas
terpancar fikiran di sebalik nilai
besarnya niat menjelaskan persoalan.

            Masih ramai memandang dunia sastera sebagai dunia yang asing. Padahal tidak. Sastera itu kehidupan kita seharian. Namun lebih jauh daripada itu saya percaya bahawa ada suara dari alam sunyi membawanya ke alam makna yang lebih bebas memancarkan pemikiran. Sudah tentu setiap patah kata itu mengandung makna tertentu.

          Alhamdulillah, sukacita saya ingin menyatakan bahawa agensi penting yang memayungi keberhasilan susastera dan bahasa para penulis khsususnya di negara kita adalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Di Sabah yang telah bertapak sejak 1971 dengan pejabat yang sangat cemrlang bersama para Pengarah yang bertukar ganti - antaranya almarhum Mohd Ariffin Siri, Hj Hamdan Yahya, almarhum Datuk Hj Ismail Abbas, Sdr Zulkifli Salleh, Tuan Hj Jamaluddin, Tuan Haji Hamzah Hamdani, almarhum Sdr Zaini Ozea, almarhum Sdr Zubaidi Abbas, almarhumah Hajah Asmiah Ajamain dan kini Puan Aminah Ag Basar dan para pegawai yang dedikasi dulu sampai kini - Sdr Rusdi Awang, sebelumnya sdr Nadin Haji Salleh, Datuk Hajah Zaiton Ajamain, Hajah Jamilah Haji Ahmad, Sdr Matlin Dullah - serta staf-staf yang juga dating dan pergi hingga kini tetap juga memberikan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab mereka membina dan memperkasakan dunia persuratan. Terima kasih DBP. Dalam pada itu, sudah tentu secara peribadi saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang turut memberikan perhatian dan penghargaan sebegini. Terima kasih YAB Datuk Seri Ketua Menteri.

            Sukacita saya ingin menyampaikan rasa terharu dan penghargaan kepada pelbagai figura yang membina dan melahirkan insan ini kepada perihal kemanusiaan yang lebih bererti. Sudah tentu kepada kedua almarhum bapa dan ibu saya kerana mereka adalah guru terawal. Seterusnya kepada atuk dan nenek dan jiran tetangga. Kepada guru-guru dulu dan kini, seawal 7 tahun hingga sekarang. Guru dunia sastera saya yang bermula di pantai Putera Philip di Tanjung Aru pada 1979 ketika dipertemukan dengan kekanda Datuk Hajah Zaiton Ajamain dan rakan-rakan Kumpulan Anak Seni sehingga melahirkan sebuah puisi yang pertama tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980 bertajuk ‘Mengapa O Mengapa’. Guru puisi yang sangat disanjung almarhum Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah (Kemala), almarhum bapa Supardi Joko Damono, bapak Taufiq Ismail dan Dr Abd Hadi WM. Tidak dilupakan Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, seorang sahabat dan guru rujukan saya. Selanjutnya semasa berjuang jatuh bangun mengurus Ikatan Penulis Sabah (IPS) bersama Datuk Jasni Matlani, Sdr Abd Naddin Shaiddin, Sdr Mohd Jasni Yakub, Dr Mohd Puad Bebit, Ustazah Oneh Latifah Osman, Hajah Sahara Jais, Sdr. Liberia Stephen Akadious, Cikgu Norawi Haji Kata, Sdr Mabumaddin Haji Shaiddin, Sdr Mohamed Haji Salleh (Mat Kongo) dan ramai lagi. Kepada media massa yang menyiarkan puisi-puisi serta karya-karya saya lain terutama kepada bapak Surya Irawan, editor Harian Ekspres, almarhum bapak K.Bali, Sdr Emin Madi dari keluarga akhbar Sabah Times, Editor Sastera Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Borneo, para editor Dewan Sastera seterusnya penerbit radio di RTM Sabah yang menyiarkan skrip-skrip drama radio dan cerpen saya.

            Sahabat-sahabat dari kecil dan persekolahan awal di Sekolah Kebangsaan Lumadan Beaufort sehingga di Sekolah Menengah St John Beaufort. Lanjut ke bandaraya Kota Kinabalu yang juga menggurui kehidupan 40 tahun lebih apabila dilepaskan oleh ibu dan bapa kerana bekerja di ibu kota.

            Pastinya, isteri dan anak-anak tercinta sangat mendorong saya memperhalus skop bicara agar terangkum sehingga menjadi indah dan bermakna. Kalian figura penting dalam membangunkan RupHA - Rumah Puisi Hasyuda Abadi - yang menempatkan khazanah buku-buku Pustaka Iqbal Nazim dan rumah ngaji yang menghasratkan motto memandaikan bangsa melalui al-quran di Baitul Muqaddam.            

           Anugerah ini Allah swt yang punya. Saya hanya meminjam secubit kebahagiaan daripada kebahagiaan milik-Nya. Sebagai sesuatu yang harus saya jiwai dan percaya. Dengan kebahagiaan itu menggalas tanggungjawab tersendiri. Bagaimana sastera mampu membina dan membangunkan jatidiri insaniyyah.

 

Wallahua'lam.


Haji Sukor Haji Usin
(HASYUDA ABADI) RupHA Kg Gudon Manggatal KOTA KINABALU, SABAH.

Khamis, Disember 15, 2022

PEMENANG PUISI HADIAH SASTERA SABAH 2022

Terima kasih DBP Cawangan Sabah khususnya Puan Pengarah, Timbalan Pengarah dan editor media massa.




Isnin, Disember 12, 2022

MENGAKAR JIHAD

 

Kau tembak suatu sukma tanpa kematian, biar
sejuta jasad gugur di mana jua mereka tersungkur,
hanya jasad, dan sukma menjadi penghulu
mengepalai perarakan semarak seluruh jagat,
berkibar matahari mendegup tunjang bumi, langit
memutar awan-awan kelam, relung cahaya menyirat
wajah mengakar di kalbu, jihad! Di situkah wajah
riangmu kematian dan kebangkitan terus memburu?
Khabarkan kepada dunia ketika menawan maruah
di situlah sebuah kekalahan menanggung beban
kebebasan, tak pernah rebah membahangnya cahaya
dan cinta, jihad!

 

PUSTAKA IQBAL NAZIM

2 Mei 2011

 

Disiarkan di: Antologi Puisi ‘Kepada Sahabat’

Hadiah Sastera Sabah, 2012/2013.

Rabu, Disember 07, 2022

SIKLUS PENYEMPURNAAN

SIKLUS PENYEMPURNAAN

Adalah janji ketika janjiku
merekah pada suatu pagi
antara keluh
santai dan suci kasih ibu
baringku, rangkakku atau lariku
mewarnai usia, suria dan bulan
dan bintang-bintang memangkin deru bayu
keluku menyentuh kesempurnaan diri
ini daerahnya peti usia sebati
membului kepak, burung sepi
terbang ke pucuk ilmu abadi
kendati belum milikku lagi
dengan bekal akal sejengkal
terlalu kerdil menerawangi ilusi bersih
tanpa debu dan demikian nota kesempurnaan
janji yang bersarat sayap
terbang dari gunung ke gunung
lembah ke lembah
dan danau ke danau
menembusi musim-musim
dan waktu terpaku di dalam roh jarumnya
menyusuri kedunguan hingga tiba
mengutip bangkai daun, akar
dan tunggul
makna memautiku
mempamer segala kedunguan dan kebenaran
dan Kembali menyemai janji ketika janjiku
bercambah pada suatu pagi
antara riuh dan wangi kasih Kekasih
yang berjanji.

 

Kota Kinabalu, Sabah.
16 November 1988

 

Tersiar di: Harian Ekspres, 18 Disember 1988

Hadiah Sastera Sabah 1988/1989

 

Ahad, Disember 04, 2022

TIN KOSONG SEBUAH LAGU


 
kami sudah diajar oleh kebiasaan
kami sudah dibiasakan oleh kebudayaan
kami sudah dibudayakan oleh kedewasaan
kami sudah lali oleh kelalaian
kami sudah tak peduli
apa apa akan jadi.
 
ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangakan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan.
 
apa-apa akan jadi selepas ini
kami juga mahu bernyayi seperti kamu
tapi kami tidak akan berjanji
sesiapa akan gembira dengan nyanyian ini
sesiapa akan kaya dengan nyanyian ini
sesiapa akan menderita dengan nyanyian ini
kami akan menafikan
kata-kata bohong para pembohong
kata-kata manis para pengemis
kata-kata murni para pencuri.
 
ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangakan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan.
 
kami anak-anak kemerdekaan yang harus merdeka
ini tempat tumpah darah kami
jangan serahkan tin-tin kosong
di hadapan kemerdekaan ini
jangan gendangkan kosong tin-tin
di tengah-tengah bebas kemerdekaan kami.

ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak  datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangakan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan.
 
kami akan memilih kebenaran
kami akan memilih keperluan
kami akan memilih kepunyaan
kami akan memilih keadilan
kami akan memilih kesempurnaan
kami akan memilih keunggulan
kami akan memilih kemerdekaan.
 
jangan paksa kami mendengar ting tong
lagu-lagu kosong tin kosong
sekarang…!
 
 
Kota Kinabalu
1998
 
 
Tersiar di: Harian Ekspres, 30 Ogos 1998
 

Hadiah Sastera Sabah 1998/1999


AZAM


 
membuka pintunya setiap awal tahun
apa yang kupandang di hadapanku kocakan warna
sambil mengombak lautan kenangan
menyampaikan ujaran makna lukisan silam
 
masih betah mengumpul sesal
mengulang-ulangkan kesilapan
biar pun telah berbeza antara malam dan siang
bergegas melangkah ke tahun baru
tersipu malu
dan seperti biasa – menanti hari-hari berlari
meninggalkan pengalaman
bekas yang membangun rindu, bersilih ganti
tidur dan bangun mengunyah rasa
tak pernah punah malah sasa perkasa
 
hutan malam dan cahaya bulan yang hadir
tenggelam,
azam membuka pintunya menarik usiaku
masuk ke dalam
sementara berkata, kubertanya
dan menunggu jawabnya
menjadi tajuk perbualan kami
yang tak pernah lelah
apa lagi mengaku alah
 
Kota Kinabalu
18 Jun 1997
 
Disiarkan di: Harian Ekspres, 16 Jun 1996
 

Hadiah Sastera Sabah 1996/1997

Khamis, Disember 01, 2022

MEMILIKI RUPA


 
Di hadapan cermin ada sindirian ke rupa
sendiri, kau kata ayu yang menyamankan pandang.
Siapakah yang memandangmu? Dirimu sendiri.
 
Harus di hadapan adalah rasa malu
pada sesuatu yang hanya sementara, mengapa
bangga pada kecantikan? Malah kau ubah
pemberian Pencipta. Diciptakan cecair ditanam
di bumi diri. Oh, seperti debu, di hadapan-Nya
kau telah angkuh merosakkan ciptaan-Nya.
 
Diamkan seketika pandangan di hadapan cermin
menatap rupa dan kecantikan yang dipinjamkan-Nya
di mana celanya keindahan yang ada itu? Segalanya
sempurna. Seharusnya redha atas kesempurnaan
yang dianugerahi-Nya.
 
Toleh seketika ke belakang bagaimana
kau membersihkan diri, mensucikan segala anggota?
Lalu memandang-Nya setiap waktunya tiba.
 
Anggunmu hanya untuk yang berhak
dan kebanggaan bukan milikmu kerana siapa
yang lebih berhak memiliki rupa selain Maha Indah
yang mencipta keindahan-Nya.
 
Baitulmuqaddam, Gudon. 
26 Syaaban 1438

 

Disiarkan di: Utusan Borneo, 4 Jun 2017

Hadiah Sastera Sabah 2016/2017

Selasa, November 29, 2022

NADWAH SASTERA ISLAM SERANTAU 2022

*KESYUMULAN ISLAMIYAH PERSURATAN ISLAM

SEBAGAI PEMANGKIN KEMAKMURAN

 

Mukadimah

Kertas kerja ini berhasrat untuk mengemukakan fikrah di sekitar mauduk persuaratan Islam menjadi landasan atau pemangkin kemakmuran sejagat. Pengutamaan dan kecenderungannya lebih merupakan satu pembicaraan bagaimana sastera Islam telah memainkan peranan dalam menghubung-intimkan budaya bahasa dan sastera dan menunjangi budaya ummah khususnya di Nusantara yang lebih erat persefahaman dan keakrabannya. Memang telah banyak diutarakan perbincangan, polemik dan akhirnya teori sastera Islam yang kini menjadi asas untuk menganalisis karya-karya sastera mutakhir berasaskan sumber-sumber kesusasteraan Islam.

Al-Quran dan Hadis menggesa umat Islam supaya kembali kepada Islam yang sebenar. Allah telah menyediakan jalan yang lurus, maka kita hendaklah ikuti. Dalam konteks ‘al-hayat al-Islamiyyah’ yang ‘syumul’ dan merangkumi termasuklah budaya bahasa dan sastera, maka kita digesa merujuk budaya Islam atau ‘al-thaqafahtal-Islamiyah’ yang telah dilandasi oleh al-Quran dan Hadis (Mana Sikana, 1998: 185). Tanpa menyedari dan mentaatinya, umat Islam akan terseleweng atau diselewengkan.

Menyedari hal di atas, sebenarnya bukan sesuatu yang baharu; kerana Islam telah lama menyeru umatnya berpegang teguh dengan apa yang telah diprinsipkan. Dalam hubungan ini elok juga kita kembali kepada ilmu-Nya, semoga kita mendapat hidayah dan taufik-Nya.

 

Segompal Sejarah Persuratan Islam di Nusantara

Pembangunan sastera  Islam di Nusantara telah digerakkan  dari pengaruh dakwah dan harakat  pengislaman yang meluas antara  abad 13-16 Masihi. Gerakan Islamisasi yang bermula pada abad ke 13 Masihi itu telah membawa perubahan yang penting  dalam  sejarah kebudayaan  Melayu, dengan  penyerbuan pengaruh sufi yang  berkembang  di  abad  ke  17,  dan  “menghasilkan  pencerahan  umat  secara meluas  dan  merata  sehingga  memecahkan  monopoli  kepujanggaan  istana.” (Siddiq Fadzil, 2012:128).

Ledakan dari  gejala  Islamisasi  ini  telah  memulakan  babak  baharu  dalam sejarah persuratan Melayu-Islam, yang melahirkan umat baharu dengan pandangan agama dan kebudayaannya, umat yang melihat segala sesuatu dengan worldview tawhidik,  menyikapi  segala  sesuatu  berasaskan  etos  dan  tatanan  nilai  Islami. (Siddiq Fadzil, 2012: 3) Ini dibuktikan dari pemetaan tamadun dunia Islam yang dilakarkan Malik Bennabi, di mana kedudukan dunia Melayu diiktiraf sebagai sebuah zon tamadun Islam yang berkeperibadian Melayu-Islam (Siddiq Fadzil, 2012).

Dengan pengaliran faham dan pengaruh dari syair sufi yang berkembang di abad ke 17 itu, khazanah kesusasteraan Melayu-Islam banyak terkesan dengan corak pemikiran tasawuf, di mana sepanjang proses penyempurnaan itu sastera terus terhasil dan setiap karya mencerminkan tahap Islamisasi yang dilaluinya. (Siddiq Fadzil, 2012:179). Ini turut ditekankan oleh Mana Sikana (1983), dalam bukunya tentang sejarah perkembangan sastera Islam dan beliau mengakui yang kedatangan Islam secara lebih pesat ke pulau Sumatera ialah melalui jalan sastera tasawuf.   

Ia  jelas memberi  dampak  dalam perkembangan  pemikiran  dan nilai,  di mana  perkembangan  dan  perubahan  yang  dibawanya  cukup  menentukan, melibatkan perubahan pandangan sarwa (weltanschauung), sistem nilai dan cara hidup keseluruhannya.” (Siddiq Fadzil, 2012:141) Ia turut menjadi katalis kepada transformasi masyarakat melayu daripada “masyarakat estetik  kepada saintifik, tradisi lisan kepada budaya tulisan, alam tahyul kepada tamadun ilmu” (Al-Attas, 1990). Semua ini berlaku apabila ditunjukkan nilai-nilai Islam yang syumul bagaimana nilai-nilai mujahadah mampu menjadi katalis atau pemangkin ummah hidup bertoleransi.  

 

Nilai-nilai Persuratan Islam – Perbincangan Umum

Dalam tulisannya tentang ‘nilai kebudayaan  dalam  bahasa dan kesusasteraan  Melayu’, Al-Attas  (1975)  menekankan  pengaruh  Islam  atas kesusasteraan Melayu ini: “Tiada pernah dimanapun direnungkan bahawa sejarah bahasa dan kesusasteraan Melayu itu harus dirumpunkan sebagai sejarah bahasa dan kebudayaan Islam.” Oleh sebab itulah, menurut beliau, nilai-nilai saintifik, nilai-nilai rasionalisme yang bersendikan intelektualisme yang dibawa oleh Islam dan yang terdapat  dalam  struktur  bahasa  serta  isi  kesusasteraan  Melayu-Indonesia  yang  telah  diperislamkan  itu  tiada  pernah  dipertimbangkan  dan dibicarakan secara ilmiah.”

Inilah yang tidak diperhatikan dalam kajian-kajian Barat tentang proses kemasukan Islam yang memungkinkan penerobosan pengetahuan saintifik dan rasional ke Alam Melayu. Proses yang berpengaruh dalam menggerakkan harakat bahasa dan kebudayaan di mana agama dan penghayatannya diperluas dan dipertingkatkan, dan harakat dakwah  disemarakkan. Di saat ini  sastera memainkan peranannya yang utama sebagai saranan dakwah dan pendidikan yang merakyat  dan  memasyarakatkan  ajaran  Islam  sehingga  berlaku  transformasi ketamadunan yang sangat bererti itu.” (Siddiq Fadzil, 2012: 141).

Ketinggian  sastera  Melayu  yang  terhasil,  mendapat  sentuhannya,  dari karya-karya sufi yang mengalir di Baghdad dan Damsyik, dan tersebar di alam Melayu  dari  pengaruh  ulama  dan  pujangga  Islam  seperti  Shamsuddin  al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Abd al-Ra’uf Singkel, Bukhari al-Jauhari, Syeikh Ahmad al-Fatani, Amir Hamzah, Raja Ali Haji, dan Hamzah Fansuri dari Acheh yang menghasilkan  Mi’ratul Mu’minin, Syair  Perahu, Sharab al-‘Asyiqin,  dan Zinatul  Muwahhidin.  Ini  seperti  ditegaskan  oleh  Abdul  Hadi  W.M.,  “sebagai penyair besar  dan pencetus syair, Hamzah  Fansuri tidak hanya mempengaruhi perkembangan  sastra  Melayu  pada  abad  ke-17  dan  18  Masihi,  tetapi  juga sesudahnya.” (2012). Perkembangannya  turut  terkesan  dari  tradisi  kepenyairan Islam di tanah Arab, Parsi, dan Andalus, yang dipelopori oleh Ibnu Arabi, Sadr al-Din al-Qunyawi, Ibrahim Hakki, Lubaid, Jalaluddin al-Rumi, Najm al-Din al-Kubra,  Farid  al-Din Attar,  al-Hallaj, dan  Rabiah al-‘Adawiyah, yang terkenal dengan karya-karya puitis dan keTuhanannya.

Fenomena ini  ditanggapi  dengan  jelas  oleh  Braginsky  (1993:ix)  dalam analisisnya  yang  mendalam  tentang  sejarah  dan  pengaruh  tasawuf  yang menyebar luas di alam Melayu yang  menggerakkan  kebangkitan  sastera: “sejak akhir  abad  ke  14  terutama  sekali  abad  ke  16-17,  tasawuf  selalu  memainkan peranan  yang  sangat  penting  dalam  sejarah,  agama  dan  budaya  di  kawasan Melayu-Indonesia yang maha luas itu. Cukup dikatakan, bahawa justeru bentuk sufi ternyata bentuk yang paling sesuai dengan mentaliti rakyat di dunia kepulauan  itu,  tersebar  khasnya  Islam  di  kalangan  mereka.  Semangat toleransi yang menjadi kelaziman dalam tasawuf mazhab Ibn Arabi yang agung itu, serta juga kecekapan dan kefasihan mubaligh-mubaligh sufi yang tahu jalan-jalan menuju hati, baik para intelektual dan aristokrat yang terpelajar mahupun rakyat jelata, sangat memperindah bagi masuknya agama Islam ke dalam semua serata masyarakat.”

Ini turut membentuk tasawur Islam yang jelas dalam pandangan kosmologi Melayu, di mana “kebangunan  kembali Islam  ini  bererti  penyejagatan nilai-nilai agama  itu,  langkah  pembetulan  terhadap  penyimpangan  dalam  kehidupan  dan masyarakat,  dan  penambahan  dimensi  kepada  realiti  atau  kewujudan  itu sendiri…perubahan  pada  pendekatan  hidup,  sekurang-kurangnya  dari  segi penekanan ataupun pemberatannya, berhubung dengan alam-jagat, atau falsafah hidup.  Apabila tasawur Islam membentuk  persekitaran  atau mendefinisikan keadaan,  maka  dengan  sendirinya  pemikiran  dan  perlakuan  individu  terlibat menjuruskan kepada pembentukan manusia rabbani dan orde tauhid” (Mohamad Abu Bakar, 2003).

Perkembangan  sastera  Islam  di  abad  moden  mula  digerakkan  dengan peranan pujangga dan sasterawan dan pengaruh Islam yang pesat pada akhir 30-an.  Ini  diperkukuh  dengan  karya-karya  sastera  yang  mengalir  dari  Indonesia, yang  ditulis oleh  Hamka,  dan wacana  penting  yang  dicetuskan oleh  penggiat sastera. Gagasan  penting tentang  kesusasteraan Islam ini telah  dicetuskan oleh Yusof Zaki Yaakob  (1986). Pemikiran ini dilanjutkan dalam makalahnya, dan dari beberapa pandangan yang dilontarkan oleh S. Othman Kelantan dalam bukunya ‘Ruang Perjalanan’ yang mengungkapkan idea dan falsafahnya tentang sastera Islam.  Diskusinya  terus hangat  pada 1980  ketika tercetusnya  polemik tentang  sastera  Islam antara  Shahnon Ahmad dan Kassim  Ahmad,  yang  cuba membedah dan membongkar tradisi sastera bernafas Islam dan melihat pengaruh dan impaknya dalam masyarakat.

Dalam waktu yang sama, penghasilan  sastera  Islam  terus  dijelmakan dalam pelbagai genre, melalui karya-karya  penting Abdul  Hadi W.M.  (seperti sajak.  Tuhan, Kita Begitu Dekat), Taufiq Ismail, S. Othman Kelantan, Habiburahman El-Shirazy, Suhaimi Muhammad dan A. Samad Said.  

Puisi Al-Amin yang dihasilkan oleh A.Samad Said  setebal 317  halaman telah  diangkat  sebagai  karya  agung  yang  merakamkan  nilai  yang  puitis  dan ketinggian ungkapan sastera  yang signifikan  dan bersejarah.  Dalam naratifnya tentang  perjalanan  hidup  Nabi  (saw),  “tetap  diselitkan  dengan  pesanan-pesanan atau  nafas-nafas  rohaniah”  yang  tinggi.  Mengulas tentang  kekuatan karya  ini, penerbitnya mengungkapkan, “dari sisi gaya, puisi Al-Amin jelas memenuhi ciri-ciri  ‘puisi  liris”  yang  diadun  dengan  ciri-ciri  “puisi  naratif”  secara  harmoni. Memang  terlihat  kematangan  seorang  penyair  membentuk  urutan  tema  dan persoalan yang dilatari sejarah perjuangan seorang Nabi besar (saw).” (A. Samad Said, 2001) Ini turut menzahirkan kenyataan tentang daya kreativiti yang tulen dan kesan spiritual yang mendalam yang dizahirkan  dari  lakaran  puisi  yang ditampilkan, di  mana  “puisi  ini tidak sahaja  menunjukkan  perkembangan  daya kreativiti  dan  sensitiviti  A. Samad  Said  terus  subur,  tetapi  juga  memberi sumbangan  yang  amat  tinggi  nilainya  dalam  memperkaya  khazanah  sastera Melayu.”

Dalam komentarnya terhadap karya puitis ini, Muhammad Bukhari Lubis, mengakui kehebatan daya kepenyairan Pak Samad yang menandingi keupayaan pujangga Melayu besar di abad ke 17 dan penghasilannya ini telah memperkukuh tradisi kesusasteraan lama  dari warisan  Arab, Parsi, dan  Turki:  “tidak pernah saya lihat dalam kesusasteraan Arab, Parsi dan Turki, puisi keagamaan sebegini panjang”, manakala  Baharuddin Ahmad  pula menekankan ketinggian nilainya dan  sumbangannya  dalam penerusan  tradisi  penulisan  dan  pemekaran  sastera klasik: “selepas  gurindam Raja  Ali  Haji dan puisi  Amir  Hamzah, tiada usaha yang  kukuh dalam  genre puisi  yang  dapat  secara kreatif  meneruskan tradisi sastera agama.”  (2001).

Puisi yang tercipta ini, dalam  perkembangan  sastera  Arab, disebut  al-Madaih  al-Nabawiyah (saw) “sejenis  puisi  yang  disebarkan  oleh  ahli  tasawuf sebagai cara mengucapkan rasa cinta dan kasih keagamaan dalam bentuk sastera yang  tinggi  nilainya.  Puisi  ini  hanya  diilhamkan  oleh  kalbu  yang  penuh kebenaran dan kejujuran” (Rogayah A. Hamid, 2005: 27). Puisi At-Tariq yang dihasilkan oleh Suhaimi Muhammad, penyair surealis dan mistik  akhir abad ke-20, pula  memaparkan falsafah kesusasteraan,  hal-hal ketuhanan,  tasawuf,  dan  kebatinan.  Ia “merealisasikan  puisi  daripada  aliran mistik yang menerapkan falsafah dan pemikiran Islam sebagai titik tolak, inti sari pembicaraan  dan  penyelesaian”  Menurut  penilaian  yang  diberikan, “pembicaraan,  analisis  dan  penyelesaiannya  lebih  bersifat  Islam  dalam  konteks antarabangsa, moden dan global” (2000).

Puisi  ini  mengungkapkan  kecintaan  yang  tinggi  terhadap  al-Khaliq,  di mana  “melalui  wujud,  Suhaimi  telah  berjaya mengungkapkan  persoalan  cinta martabat  tinggi,  cinta  terhadap  al-Khaliq,  Pencipta  segala  pencipta.  (Dewan Sastera, November 1996).  Jaafar Rahim, dalam komentar dan analisisnya terhadap  kekuatan  sastera  yang  diungkapkannya  memandang  puisi  ini “mempunyai  makna  yang  amat  luas, membicarakan hubungan  dirinya dengan Ilahi,  hubungan  manusia  dengan  Ilahi  dan  sifat-sifat  ketuhanan.”  (Utusan Malaysia, 4 Sept 1996).

Ini selari dengan falsafah sufistik yang digarap dalam pengkaryaan sastera Islam yang mengungkapkan keresahan dan perjuangan insan dalam ranah kehidupannya yang menyeluruh, seperti diungkapkan oleh Haris Effendi Thahar (1982), sarjana, dan pengkritik sastera dari Indonesia, “bahawa  keresahan seorang sufi ialah keresahan manusia seluruhnya dengan segala perjuangannya.”  Habiburrahman el Shirazy melalui novelnya Ayat-Ayat Cinta, yang telah meraih ‘PENA Award Novel Terpuji Nasional 2005’ dan ‘Anugerah Penghargaan The Most Favorite Book 2005’ telah mengangkat karya Islam ke puncak pencapaian sastera yang terbaik, yang digolongkan dan lingkaran novel Islam. Nilai ijtihad dan nafas Islam yang digarap dalam karya ini dijelaskan oleh Mohd Faizal Musa “sebagaisebuahkarya  sastera  Islam,  Ayat-Ayat  Cinta karangan  Habiburrahman el  Shirazy  memuatkan  banyak  ajaran  Islam. Antara aspek ajaran Islam yang disentuh dalam novel ini adalah konsep ijtihad.” (2011). Dalam kata pengantar yang ditulisnya, Hadi Susanto, menyifatkan novel ini sebagai “kayu ukur dan pedoman  untuk pengarang muda yang  mahu  berjinak-jinak dengan  sastera  Islam.” (Mohd Faizal Musa, 2011) Menurutnya, novel ini berhasil menggarap  pesan dakwah,  tema  cinta,  latar  belakang  budaya  suatu bangsa dengan menarik, kerananya ia “perlu menjadi acuan terutama bagi penulis yang mahu berjinak-jinak untuk menulis sastera Islami.” (Susanto dalam Shirazy, 2007).  

A.  Samad Said, dalam ulasannya yang jitu dan sangat bermakna, menyifatkannya sebagai “sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan…rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib.” (A.Samad Said dalam Shirazy, 2007). Novel Imam, yang dihasilkan oleh sasterawan negara Abdullah Hussain dan telah meraih Hadiah  Novel Nasional 92/94, turut diiktiraf sebagai karya sastera  Islam  yang  penting.  ‘Imam’ dikerjakan selama tiga  tahun  enam bulan semasa  beliau  bertugas  di  DBP  Brunei,  sebagai  pegawai  kontrak yang  turut memperlihatkan  sikap  dan  pemikirannya  yang  terbuka  dan  moden.  Ia memaparkan tentang perjuangan dan kebangkitan seorang Imam (Imam Mihad) di Kampung Anggerik Desa. Dalam usahanya  menganjurkan  pembaharuan, beliau  bangkit  melakukan  revolusi  mental,  memperbetul  kepincangan,  dan menekankan  kepentingan mendalami ilmu.  

Sasterawan Negara Prof. Rahman Shaari  dalam kertas kerjanya ‘Kamar Hati dan Kamar Akal dalam Imam’ merumuskan bahawa novel ini mempamerkan keindahan  nilai estetika  Islam dengan pewarnaan  tempatan: “novel ‘Imam’ menepati novel yang berada dalam lingkungan sastera Islam yang buat masa ini  kurang diperkatakan. Saya berpendapat Abdullah Hussain ketika menghasilkan novel ‘Imam’ berada di tingkat  kesedaran  bahawa beliau  mesti menghasilkan karya yang  memuatkan asas estetika dalam Islam”  (Talib  Samat, 1998).

Karya yang menyentuh pelbagai aspek keagamaan dan sejarah ini, cuba mengetengahkan nilai pembaharuan yang digerakkan oleh kaum muda dengan mengangkat idealisme dan mencanangkan ijtihad. Ia menggembleng pemahaman asas tentang gagasan  pembaharuan dan tajdid  dan berusaha menangani ikhtilaf mazhab  dengan pandangan  fiqh yang  luas dan  landasan hukum  dan  maqasid syariat.  Tulisannya  turut  menyentuh  isu  perpecahan  masyarakat  Islam  yang berlaku hampir di semua negara Islam  kini,  “yang  dilanda kemelut perpecahan, perebutan jawatan, intrik, harta (kebendaan) dan keruntuhan moral yang terjadi di mana-mana  negara  Islam.”  Ia turut menzahirkan  kritikan  keras  terhadapkesempitan  faham  kaum  konservatif  yang  terbelenggu  dengan  taklid  dan pemahaman  agama  yang  beku  dan  sikap  yang  permisif  dan  tunduk  kepada telunjuk  pemerintah.  Tulisannya memperlihatkan sikap yang sinis  terhadap “golongan  imam  dan agama yang  menulis  teks-teks  khutbah  Jumaat  yang setengah-setengahnya tidak berpijak di bumi nyata, terlalu melebihkan golongan raja dan  memuliakannya tidak bertempat,” dengan mesejnya agar mereka turun padang melihat sendiri permasalahan masyarakat dan umat Islam (Talib Samat, 1998: 147-150).

 

Penutup

Dari perbincangan ringkas di atas, kita telah melihat dengan jelas kekuatan nilai dan perspektif khusus yang membentuk pandangan sastera Islam, seperti unsur tauhid, moral, ihsan, kebenaran, keindahan, nilai mistik, sufisme dan sebagainya. Pandangan dan idealisme yang tinggi ini telah mewarnai sastera Melayu  danmembentuk falsafah dunianya yang dinamis. Usaha penyebaran sastera Islam dan penerapan  pengaruhnya  ke rantau  ini  haruslah ditingkatkan  bagi  membangun nilai dan keperibadian  Islam yang  kental  dan  melanjutkan  pengaruhnya yang ekstensif  dalam  tradisi  pemikiran  dan  persuratan  Melayu  dan  warisan kebudayaannya, terutamanya nilai-nilai inklusivisme dan transendentalnya. Kita haruslah memperjuang dan mengangkat martabat sastera dan mempertahankankhazanah kesusasteraan Melayu-Islam dan mengetengahkan sumbangannya yang signifikan dan penting dalam menggerakkan kesedaran dan kebangkitan sastera dan “menyingkapkan tabir bagi  angkatan muda buat selanjutnya  menyelami sastera Islam yang sangat luas itu.” (Hamka, 1966: 4).

Sebagai kesimpulannya, perbincangan kertas kerja ini merumuskan bahawa persuratan Islam dapat memainkan peranannya sebagai pemangkin penting ke arah pemakmuran ummah. Jika selama ini kita menggunakan atau akan menggunakan pelbagai kaedah, teori dan metodologi luaran, namun telah terbukti usaha para pengkaji dan pemikir kita mengaplikasikan Islam sebagai turuq ke arah kejayaan menyatu padukan umat di dunia belahan sebelah sini. Yang penting daripada segala-galanya ialah kepercayaan kita terhadap Islam dan karya berunsur Islam berjaya memaikan peranan dan fungsinya. Kita yakin hanya Islam dapat membantu dan terus memperakalkan budaya, bahasa dan sastera kita. Semoga Allah memberikan berkat dan rahmat-Nya. Amin.

 

Rujukan dan bahan bacaan

A. Samad Said. 1999. Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah s.a.w. dalam Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..  

Abdul Hadi W.M. 2012, Sept 7. Jejak Sang Sufi: Hamzah Fansuri dan Syair-Syair Tasawwufnya.  Diakses dari http://jalantelawi.com/2012/09/jejak-sang-sufi-hamzah-fansuri-dan-syair-syair-tasawufnya/.  

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1975/76. “Nilai Kebudayaan dalam Bahasa dan Kesusasteraan Melayu”, Jernal Jihad, 64-72.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib.  1990.  Islam dalam  Sejarah  dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.

Al-Attas, Syed Muhammad Naquib.  2001.  Risalah  Untuk  Kaum  Muslimin. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.

Habiburrahman el Shirazy. 2007. Ayat-Ayat Cinta. Kuala Lumpur: Ar Risalah Product.  

Hamka. (1966). Lembaga Hikmat. Jakarta: Bulan Bintang.

Haris Effendi Thahar. 20 Okt, 1982. Harian Singgalang, Indonesia.

Kamariah  Kamarudin.  2010.  Antara Komersialisme  dengan  Intelektualisme dalam Novel Getaran Rindu. Jurnal Pengajian Melayu, 20 (1), 99-118.

Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad. 1987. Polemik Sastera Islam. Kuala Lumpur:  Dewan Bahasa dan Pustaka.   

Mana Sikana.  1983.  Sastera Islam di Malaysia.  Kuala Lumpur:  Penerbitan Sarjana.

Mana Sikana. 1998. Khazanah Islam: Falsafah dan Kesusasteraan. Selangor: Penerbitan Karyawan.

Mana Sikana.  2009.  Wajah  Sastera  Melayu  Singapura  Selepas  Perpisahan dengan Malaysia. Sari, 27 (2), 27-57.

Mohd.  Affandi Hassan.  1990, Januari-Jun.  Pendidikan Estetika  daripada Pendekatan Tauhid I-IV. Dewan Sastera, hh. 31-35.

Mohd Faizal Musa.  2011.  Persoalan Ijtihad dalam  Novel  Ayat-Ayat  Cinta. Alayasastra Jurnal Ilmiah Kesusasteraan, 7 (1), 1-15.   

Rogayah A. Hamid, Wahyunah Abd. Sani (penyelenggara). 2005.  Pandangan Semesta Melayu: Syair. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.. 

S. Othman Kelantan. 1987. Arah Pemikiran Sastera Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Shahnon Ahmad. 1981. Kesusasteraan Dan Etika Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd..

Siddiq Fadzil.  2012. Islam dan  Melayu: Martabat  Umat dan Daulat Rakyat. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan.

Suhaimi Muhammad. 2000. At-Tariq: Kumpulan Puisi Mistik dan Kerohanian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..  

Syed Hussein Alatas 2015. Kita dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Talib Samat. 1998. Islam di Antara Percikan Sastera dan Budaya. Batu Caves: Thinker’s Library. 


* Makalah ini dibentangkan semasa Nadwan Sastera Islam Serantau anjuran DBP Cawangan Sabah dengan kerjasama Jabatan Kesusastera Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya pada 29 November 2022.