Sabtu, Ogos 19, 2017

Hiperbola sebalik karya sastera


oleh HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
DALAM medium sastera, penulis tidak dapat lari daripada majas-majas bombastik dan hiperbola. Ramai yang keliru dengan perkataan bombastik dan hiperbola kerana kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud yang hampir sama iaitu berkaitan dengan kata-kata yang berlebih-lebihan.

Menurut Profesor Dr. Rahman Shaari, bombastik dan hiperbola ialah perkataan-perkataan yang berlebih-lebihan atau melampau-lampau. Apa yang membezakannya ialah bombastik bermaksud kata-kata yang berlebih-lebihan, tetapi tidak mempunyai nilai keindahan. Sedangkan hiperbola pula ialah kata-kata yang berlebih-lebihan, tetapi mempunyai nilai keindahan.

Hal ini diperteguhkan oleh Dr. Jeniri Amir dalam bukunya, “Teknik Menulis Ucapan”, bahawa hiperbola sebagai seni melebih-lebihkan sesuatu daripada ungkapan bagi menggambarkan objek, idea dan sebagainya dengan memberikan tekanan secara berlebih-lebihan ataupun membesar-besarkannya untuk memberikan kesan yang kuat dan diingini.

Dalam bahasa Yunani kuno, hiperbola bermaksud berlebihan. Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan atau majas untuk menyatakan

sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya. Jenis gaya bahasa ini sering digunakan untuk meluahkan perasaan mahupun tanggapan secara melampau. Hiperbola mampu menekankan sesebuah penerangan dengan lebih mendalam. Hiperbola adalah ungkapan (pernyataan) yang berlebih-lebihan atau dibesar-besarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak bertujuan ditafsirkan secara harfiah.

Sebenarnya di dalam hiperbola terdapat dua kata (atau bentuk lain), penanda dari kata pertama yang tersembunyi (implisit) dan digantikan oleh yang kedua. Iaitu kata (atau bentuk yang lain) yang mempunyai intensiti makna jauh melebihi kata yang pertama (yang tersembunyi) tersebut. Kadang-kadang kedua kata yang dibanding muncul bersama, bahkan diantarakan oleh kata pembanding.

Sebenarnya hiperbola sering mengambil proses pembentukan jenis gaya bahasa yang lain. Kadang-kadang proses pembentukannya seperti gaya bahasa perumpamaan (simile), metafora, atau gaya bahasa lainnya. Yang penting dalam hiperbola adalah fokus perhatian terletak pada kesan intensiti makna.

Dikemukakan beberapa contoh agar membantu memahami majas hiperbola ini. Contoh pertama melalui ungkapan ini: Dengan suara menggelegar, ia berkata:”Pergi kau dari sini!” Ada perbandingan antara suara halilintar dengan suara manusia (implisit). Komponen makna penyama adalah: nyaring (keras). Komponen makna pembezanya adalah 'suara manusia' dan 'suara alam raya' yang sangat keras. Jadi, di sini digunakan bentuk metafora.

Contoh seterusnya perhatikan pada ayat ini: Tiga tahun telah berlalu sejak meninggalnya kekasihku, namun tak sedetik pun wajahnya hilang dari ingatanku.

Kata ‘sedetik’ sebenarnya mengemukakan perbandingan antara waktu yang sangat singkat, dengan waktu yang dirasakannya. Meskipun waktu yang dirasakan itu sebenarnya bukan sedetik, melainkan barangkali satu atau beberapa jam. Dalam kenyatannya, tidak mungkin dalam waktu tiga tahun orang memikirkan satu hal saja terus menerus, sampai kepada bilangan detik. Bentuk yang dipakai di sini adalah sinekdoke. Ukuran waktu yang digunakan jauh lebih sedikit (sebahagian) daripada waktu yang sebenarnya digunakan. Yang penting di sini ialah kesan yang ditampilkan. Dengan menggunakan gaya bahasa ini, intensiti makna bahasa menjadi sangat kuat.

Kita lihat lagi sebuah contoh:Secepat kilat ia berlari menuju garis penamat. Di sini bahkan perbandingan bersifat eksplisit – cepat seperti kilat. Yang dibandingkan adalah kecepatan lari manusia dengan kecepatan kilat. Jadi bentuk hiperbola di sini adalah simile.

Bagaimana dengan ayat ini: Kuman di seberang lautan nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak?

Ujaran di atas menampilkan empat hiperbola, iaitu kuman (untuk menggambarkan kesalahan yang begitu kecil), di seberang lautan (untuk menunjukkan jarak yang begitu jauh), gajah (untuk mengemukakan kesalahan yang begitu besar) dan akhirnya di pelupuk mata (untuk menampilkan jarak yang begitu dekat).

Di sini hiperbola digunakan untuk menggambarkan ukuran benda akstrak yang dikonkritkan (iaitu kesalahan) dan ukuran jarak. Ukuran itu boleh menjadi sangat besar atau sangat kecil. Ketiga hiperbola pada contoh terakhir ini mengambil proses pembentukan gaya bahasa simile dan metafora. Jadi, bila sejumlah pakar memasukkan hiperbola ke dalam gaya bahasa perbandingan, disamakan perbandingan eksplisit (simile) atau implisit (metafora) mereka mempunyai alasan yang kuat.

Pada perhatian saya, memang ramai penulis khususnya puisi tidak menyedari bahawa mereka banyak sekali menggunakan gaya bahasa hiperbola dalam karya-kaya mereka. Saya mengaku hiperbola menjadi salah satu gaya bahasa untuk menarik minat pembaca atau penikmat karya sastera. Gaya bahasa hiperbola ini sebenarnya sangat bagus sekali untuk menarik perhatian  kepada lawan bicara kita. biasanya manusia selalu tertarik dan penasaran pada hal-hal yang  luar biasa. Maka hiperbola menjadi menarik asalkan kita faham bagaimana ia digunakan dan sesuai dalam penggunaannya dalam mengantarakan kalimat-kalimat kepada penerima amanat.

Di negeri kita, saya boleh kategorikan penyair surrealis Mabulmaddin Shaiddin melalui 'Stensil Si Pari-Pari', sebuah kumpulan sajak persendiriannya bahkan sebuah lagi dalam judul ‘Doa, Cinta dan Pohon Lilit’, begitu senang dengan gaya bahasa ini. Salah sebuah sajaknya, ditulisnya seperti ini:

Seketika merentasi malam
dengan keinginan, tapi ke mana
hendakku berikan
seperti ribuan kelawar menyerang
bayang-bayang.”

(Merentas Malam, dalam Doa, Cinta dan Pohon Lilit, ms. 87)
Sebuah sajak lagi yang mempunyai unsur gaya bahasa pertentangan tetapi amat tebal dalam hiperbola yang menarik, diambil di bahagian awal:
“Ada kuminta kunang-kunang
 untuk terbang siang
 bagi melawar lingkar siang
 dan sakral alam.”

(Kuminta pada Kunang-kunang, dalam Stensil Pari-pari, ms. 101)

Bahkan saya sendiri dalam banyak puisi yang dihasilkan, unsur hiperbola begitu mesra digunakan. Jangan risau sekiranya anda dikategorikan sebagai pendukung hiperbola kerana keindahan bahasa boleh lahir dalam bentuk apapun. Indah dan mesra makna. Ikuti sebuah sajak Hasyuda Abadi berjudul ‘Berjalan ke Arah Cahaya’:

“ketika akhirnya berpuncak kegelapan
 seperti benang menarik alpaku
 sepantas kilat.”

(Kumpulan Sajak ‘Kembali di Lahad Rahsia, ms. 3)

Ungkapan-ungkapan terpilih dalam melahirkan makna yang menarik dan luar biasa, lazimnya mengkehendakkan kesediaan para penulis lebih kreatif dan berani menapakkan retorik dalam karya. Teknik retorik memerlukan kepintaran para penulis agar ia lebih terbuka. Barangkali kita masih ingat kata-kata Julis Caesar dalam karya Shakespeare: I want to bury Caesar, not praise him. Malah umat Islam biasa dengan, “Bekerjalah kamu seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya, dan bersembahyanglah kamu seolah-olah kamu akan mati esok hari.”

Lawan kepada gaya bahasa hiperbola ialah litotes. Litotes adalah teknik gayabahasa yang mengungkapkan perkataan dengan rendah hati dan lemah lembut. Biasanya hal ini dicapai dengan menyangkal lawan daripada hal yang ingin diungkapkan. Contoh terhadap pemahaman gaya bahasa ini, misalnya, ‘Akan kutunggu kehadiranmu di bilikku yang kumuh di desa’ atau ‘Wanita itu parasnya tidak hodoh.’

Semoga kita ada kesempatan membicarakan gaya bahasa ini dan gaya bahasa lain dalam penukilan kreatif dan retorik karya-karya sastera kita.


© PUSTAKA IQBAL NAZIM

Tiada ulasan: