Selasa, November 12, 2002

Kritik Bijaksana

MEDIA kita memang memerlukan karya-karya sastera yang mempunyai nilai sastera yang baik apabila ramai penulis mengambil bahagian. Penulis yang dimaksudkan ialah mereka yang mempunyai ciri-ciri profesi sebagai penulis yang berwibawa. Bersedia menerima pandangan, kritikan dan sebagainya di samping itu tentulah memberikan penilaian yang bijaksana terhadap segala pandangan, kritikan dan teguran pihak ketiga. Namun demikian sebagai penulis juga kita perlulah memilih apakah kriteria kritikan itu; sama ada membina atau tidak. Dan sudah tentu menolak apa jua yang memberikan pandangan yang hentam keromo, membabi buta atau apa yang Bang Maily istilahkan 'mengkritik macam hantu' yang perlu penghujahan seterusnya. Kita punya pilihan ketika menghadapi keadaan begini, samada melihat dari sudut pandangan peribadi atau secara menyeluruh; atau membiarkan saja ia berlalu. Maknanya sesiapa pun yang memperkatakan baik buruk, rendah tinggi, besar kecilnya karya-karya sastera penulis, mereka dipersilakan. Penulis wajar mendengar sambil pada masa yang sama menilai. Jika apa yang diperkatakan itu tidak betul menyalahi kriteria kritikan yang sebenarnya, tidak salah penulis memberikan respons yang lebih bijaksana. Jika si pengkritik itu tersilap wajar dibetulkan (seperti Haji Ismaily Bongsu lakukan dan juga Ailin sendiri terhadap Sepat).

Pada saya hanya kritikan yang membina saja yang harus kita ambil perhatian. Jika ada yang sekadar ingin buat kacau tidak perlulah dilayan. Kita harus membina jati diri, profesi dan juga kematangan terhadap dunia yang kita miliki ini. Orang lain tidak tahu dunia kita, dunia seni yang harus bergaul bersama semua jenis manusia termasuklah individu seumpama 'sang sepat' itu. Namun begitu, kita mesti menjaga imej kita. Kita mesti menjadikan dunia kita ini sentiasa memberi makna. Kita berhujah dengan cara yang lebih bijaksana, lebih matang. Memang tidak semua karya penulis diterima orang walau bagaimana agungnya penulis itu sekali pun.

Sebagai penulis, saya turut tidak setuju dengan cara tidak matang yang dilakukan oleh pengkritik 'babi buta' itu. Walaupun apa yang ditulis oleh sang sepat itu tidak dibaca umum melainkan disampaikan oleh Ailin Nor dan Haji Ismaily Bongsu, namun begitu saya percaya apa yang dibincangkan itu tidak menjadi bahang yang bakal membakar sebuah dunia seni yang harus dipunyai seramai manusia yang mungkin. Sayang sekali sang sepat amat buta tentang sastera kita khususnya di Sabah kerana beliau mungkin melihat berdasarkan tanggapan yang memang negatif dan niat yang salah.

Mudah-mudahan selepas Ramadhan ini kita dapat melakukan pembicaraan sastera secara lebih kritis, kreatif dan berdedikasi. Kita memerlukan disiplin kritikan yang baik. Biasanya kritikan akan ditumpukan hanya kepada karya secara lahiri dan karya secara roh. Namun tidak salah menjadikan penulis dijadikan asas awal proses menulis resensi atau kritikan. Apabila kita kenal penulis mudahlah melakukan pembedahan karya. Tetapi apabila niat asal menulis kritikan itu salah maka maknanya juga membawa maksud yang hanya akan melukakan orang lain.

Tahun hadapan IPS akan mengadakan banyak perbincangan karya sastera yang antaranya akan membicarakan karya-karya yang tersiar di media-media tempatan dan juga luar Sabah. Sekurang-kurangnya sebulan sekali. Kami juga akan menganjurkan seminar sastera lebih kerap walaupun terpaksa mencari biaya sendiri. Tahun ini pihak-pihak yang sepatutnya membantu kami tidak banyak memberikan komitmen mereka. Biaya ala kadar tentu tidak dapat membantu. Acara baca cerpen akan dihidupkan semula tahun depan di samping baca puisi yang akan menampilkan tokoh-tokoh deklamator muda yang berpotensi. Cadangan Ailin hari ini mengenai Sekretariat Penulis Muda diharap dapat dipanjangkan dan dilaksanakan. Ramai penulis muda yang mungkin tidak mahu bersama IPS atau Bahasa tetapi boleh membangunkan Sekretariat yang dimaksudkan itu. Kami sentiasa memberikan sokongan. Tetapi di pihak Bahasa mungkin berbeza kerana Bahasa yang mewakili Gapena juga telah menubuhkan Sekretriat Penulis Muda Gapena. Bagaimanapun para penulis muda masih boleh menyatukan tindakan yang baik untuk merealisasikannya. Pada saya tindakan awal yang paling baik ialah mempertemukan badan-badan penulis, penulis-penulis muda dan penggerak sastera di Sabah. Untuk ini, IPS menunggu perkembangan selanjutnya. Insyaallah.


11 November 2002

Sabtu, Oktober 26, 2002

Kemelut Sastera di tengah kemelut pembinaan bangsa

SUDAH sampai waktunya riak sastera di Sabah memusatkan ke arah satu falsafah yang perlu diperjuangkan. Seluruh penulis wajar turut memberikan reaksi bersama pandangan atau pendapat yang baru dan bernas. Malah menjadi harapan semua pihak agar perbincangan terbuka begini dapat dijadikan landasan yang berterusan ke arah mencapai kedinamikan pemartabatan sastera kita. Tentulah berlaku pandangan-pandangan yang berbeza namun perbezaan itu tidak akan menjadi jurang tetapi menyatukan cebisan-cebisan hujah kepada penggubalan satu gagasan yang jitu, murni dan utuh. Dalam erti kata yang lain kita mampu memberikan jawapan yang konkrit terhadap permasalahan pokok ketika melihat gelombang sastera Melayu di Sabah.

Kita merasakan bahawa sastera Melayu di negeri ini berlangsung dalam keadaan yang seadanya. Pengertian ‘asal ada’ itu sebenarnya harus dilihat dari pelbagi dimensi berdasarkan fakta yang kukuh. Tentulah keterlaluan jika mengatakan bahawa sastera di negeri Sabah kering, tidak berhala tuju. Bahkan kita terlalu fakir untuk mensyukuri peranan yang telah dimainkan oleh agensi kerajaan yang sedia ada seperti Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dan Majlis Bahasa dan Sastera Sabah dua badan utama yang menjadi tonggak utama dalam gerakan sastera dan bahasa Melayu di Sabah. Banyak perancangan dilakukan untuk menyemarakkan gerakan sastera kita dengan pelaburan dana yang bukan sedikit. Para penulis terus diberi perhatian dengan penyediaan program latihan dan penghargaan seperti Hadiah Sastera Sabah, Hadiah Tinta Sastera, Hadiah Penyair Islam Sabah di samping menyediakan ruang kepada para penulis menyalurkan bakat dan pemikiran mereka. DBP Cawangan Sabah misalnya mempunyai bangunan besar yang menyimpan khazanah ilmu yang amat berharga. Malangnya kemudahan yang ada tidak dimanfaatkan dengan sebaiknya bukan sahaja di kalangan para penulis atau persatuan penulis tetapi para pengurus sastera itu sendiri yakni pegawai dan kakitangannya. Bagaikan ada jurang antara mereka dengan para penulis tidak semata-mata jarak yang memang turut menjadi hambatan dan penyebab utama.

Kita harus mendalami ilmu untuk membina sesuatu tamadun meski di manapun pusaran ilmu itu berada sekalipun. Pemikiran bangsa kita mesti maju, terbuka dan telus. Pandangan yang sempit harus diketepikan malah wajib dikikis daripada minda kita. Kita mesti melihat sesuatu secara menyeluruh. Mungkin kita melihat ada kebenaran di antara bobroknya sesebuah organisasi atau institusi di dalam masyarakat kita. Kita juga melihat kebatilan di mana-mana sehingga menjadi menyebab manusia kreatif menjadi daif untuk menjelaskan rangkap-rangkap absurd di dalam kemelut permasalahan masyarakatnya. Akhirnya bangunlah beberapa insan yang ingin menjelaskan, yang ingin mendapatkan penjelasan dan yang ingin menyatakan kemelut itu dari perspektif mereka.

Namun begitu apa yang diutarakan terlalu remeh temeh. Tidak adakah persoalan baru yang lebih berfaedah diperkatakan, dibahas, dihujah dan diperolehi pemikirannya. Kita merasakan betapa sempitnya ruang legar untuk sebuah atau beberapa buah persoalan terkini menjadi bahan perdebatan. Sepatutnya pada masa ini kita tidak lagi berbicara tentang penulis yang hilang. Kita tidak juga harus bercakap mengenai royalti atau honororium. Kita tidak lagi menghujahkan penulis-penulis yang kampungan yang tidak mampu keluar daripada kepompong peribadi, menulis seadanya, tidak menulis isu-isu yang besar, hal-hal yang global dan mencabar. Kita harus berpandangan terbuka. Melihat isu daripada pintu yang luas bukan lewat lubang dinding. Ertinya kita hanya mampu mengintai tetapi tidak menyatakan berlakunya kepaduan pemikiran walaupun ia bermula daripada sebuah cerpen yang remeh temeh atau bait-bait puisi yang langsung.

Bukan bermaksud tidak menghargai pandangan orang lain tetapi menyatakan sesuatu yang lumrah itu tidak akan membantu apa-apa pun. Memang ada juga baiknya jika niat yang tersirat itu akan menambahbaik gerakan sastera dan bahasa bangsa kita. Tetapi sekiranya hasrat yang sebenarnya hanyalah sekadar memanaskan gelanggang lebih baik pengisiannya itu dipenuhi dengan wacana yang lebih bermakna. Kita berikan ruangan untuk membahaskan karya-karya sastera kita. Kita pelawa penulis yang berwibawa ke dalam. Kita adakan perjumpaan untuk mengagih-agihkan tugasan. Kita boleh lakukan dengan cara yang lebih berkesan dan terancang. Saya fikir penulis memerlukan ruang yang lebih untuk menyalurkan bahasan pemikiran mereka. Pihak media massa khususnya editor sastera di surat-surat khabar harus komited dalam penyediaan ruangan ini. Bukan asal ada sahaja. Bukan ala kadar saja. Peranan mereka amat besar. Tidak mengapa penulis tidak diberikan apa-apa tetapi memadailah ruang yang tetap disediakan. Penulis menyimpan mata pena mereka atau menutup suiz komputer mereka tetap beralasan. Mereka hilang juga beralasan. Mereka timbul semula juga beralasan. Sesiapapun tidak boleh melontarkan pertanyaan itu dan ini kerana apapun punca graf sastera kita yang tidak menentu mempunyai alasan yang tersendiri. Begitu juga dengan kedudukan penulis. Mungkin kita tersilap meletakkan kedudukan seseorang tokoh itu di persada sastera kita walaupun sebenarnya dia tidak memiliki sebarang bahan bercetak yang meyakinkan kita sendiri.

Perubahan sikap tidak hanya ditekankan kepada sebelah pihak semata-mata. Selain penulis kita juga mengharapkan perubahan yang sama di kalangan pengurus sastera itu sendiri. Pengurus sastera wajar menjalinkan hubungan dua hala dengan para penulis. Penulis juga diminta lebih proaktif dengan tidak menyerahkan bulat-bulat harapan di bahu pengurus sastera terbabit. Mereka juga harus memahami antara satu sama lain. Tetapi jika kita tidak mahu bertolak ansur sudah tentulah kita tidak mampu membawa apa-apa kepada tamadun fikrah kita sebagai saksi yang harus dipegang generasi akan datang terhadap kebenaran citra masa lalu. Dalam pada itu kita ingin menjadikan pertemuan-pertemuan fikrah di kalangan penulis diwujudkan sebagai salah satu daripada gagasan perbincangan ini. Tentulah juga gagasan ini memintal peranan dan tanggungjawab penulis, persatuan penulis serta agensi-agensi yang mengurus sastera itu sendiri agar saling menyatukan permasalahan, perdebatan, perhujahan dan pandangan. Langkah ini pula mesti berterusan tanpa musim. Kita secara terus menerus mengajak penulis menganjakkan paradigma fikrah mereka yang seharusnya juga tanpa musim. Malah pada tahap yang paling penting mampu mencapai falsafah sebenar kehadiran kita sebagai golongan pemikir di tengah-tengah kemelut peradaban bangsa kita pada hari ini. Di tengah-tengah kemelut pembinaan bangsa kita yang dikaburi tanda dan nilai jatidiri yang masih goyah.

Kota Kinabalu,
25 Oktober 2002 .

Khamis, Oktober 17, 2002

PAPARAN, KACA DAN BUNGA YANG BERGUGURAN DALAM CERPEN ‘PAPARAN’: SATU ANALISIS UMUM :


SAYA ingin merakamkan terima kasih kerana diberi ruang untuk menyampaikan sesuatu yang sederhana sifatnya tetapi tetap membantu untuk menyemarakkan sastera Melayu kita di negeri ini khususnya di Sandakan ini sendiri. Barangkali tugas saya kelihatannya tidak semudah yang disangkakan kerana diminta membahaskan cerpen hasil karya salah seorang penulis yang prolifik dari daerah Sandakan. Barangkali juga perbahasan ini tidak memadai disebabkan batas yang terhad mengajak anda sama-sama membantu saya agar ruang yang disediakan pada hari ini memberi makna yang amat mendalam.

Pengarang atau penulis memang mempunyai ruangnya sendiri walaupun kebanyakan orang secara jelas tidak menyedarinya. Ia bermula dari buah fikir yang mengalir melalui mata pena (papan kekunci dan monitor) yang akhirnya mengembang di atas kertas yang terbatas sifatnya. Keterbatasan itu kemudian beralih pula ke pentas yang lebih terbuka. Inilah ruang kita mewacanakan selembar pemikiran yang dilontarkan oleh penulis dan antara kita semua yang hadir pada hari ini akan memberikan reaksi yang saling berbeza tetapi menambah yang belum ada. Saya yakin pemikiran para pengarang di mana saja tidak ada batasnya apa lagi bernoktah. Mereka tidak kenal apakah noktah bagi seribu satu bentuk yang bergejolak dalam minda, dalam diri dan dalam batin. Pengarang yang tanpa henti meredah resah dan gundah mendepangkan dadanya dan kebijaksanaan olah bahasanya tidak akan mengalah seterusnya beralih kepada dunia-dunia yang lain selain dunia sastera. Seorang pemimpin negara tidak dapat melupakan dunia sastera untuk menyampaikan amanat politiknya. Seorang teknokrat atau pakar gigi juga demikian apatah lagi dalam batin bertembung segala macam perihal kehidupan yang harus diluahkan. Kerana sastera adalah darah daging mereka. Tanpa manusia sastera bukan apa-apa tetapi tanpa pengarang manusia tidak mungkin mengenali babak-babak kehidupan yang penuh dengan kepelbagaiannya itu.

Lazimnya, dalam proses kreativiti seringkali mempelawa setiap peristiwa yang berlaku menjadi pengamatan dan penghayatan seseorang pengarang. Apakah setiap pengarang mampu menggerakkan instuisinya untuk menghayati setiap peristiwa dan menyusun kata-kata yang hebat untuk merumus kembali setiap peristiwa itu menjadi sebuah cerita yang cukup baik dan berkesan untuk dihayati dan diamati oleh pembaca? Atau pun si pengarang hanya mengarang seperti kerja seorang pengukir, yang hanya menyalin gambar bunga teratai ke meja atau kerusi? Fenomena ini menjadi kayu ukur untuk membicarakan cerpen ‘Paparan’ karya Siti Azizah Sahaji yang tersiar dalam Akhbar Harian Ekspress pada 15 September 2002.

Saya percaya cerpen ini telah dibaca, dihayati, dirumus dan dinilai oleh pembaca. Namun begitu sebelum perbincangan ini dimulakan ada beberapa pertanyaan yang ingin saya kemukakan sebagai bahan olahan mauduk kita. Bagaimanakah nilai sebuah cerpen yang baik dan tidak baik sebagai sebuah karya sastera. Apakah memadai apabila pengarang mampu menyediakan sebuah cerita yang menarik. Mungkin cerita yang menarik tidak menjadi penting sekiranya pengarang bijak memanipulasikan bahasanya yang indah. Atau apakah sebuah cerpen itu menjadi baik apabila dihidupkan oleh watak-watak dan perwatakan yang aneh-aneh dan luar biasa. Barangkali lebih memudahkan penerimaan pembaca sogokan segala-galanya secara lepas yang tidak memerlukan pembacaan kedua dan seterusnya. Saya akan menyentuh beberapa sudut penting cerpen ini iaitu pencitraan, amanat yang ingin disampaikan dan mengiatkannya dengan pembinaan estetika ataupun keindahan sesebuah karya.

'Paparan' adalah contoh sebuah cerpen mudah yang kurang mencabar pemikiran pembaca. Meskipun demikian tidak bermakna cerpen ini tidak memaparkan apa-apa tetapi ia tetap sarat dengan permasalahan,mesej dan amanat daripada konflik luaran hinggalah kepada konflik pokok. Cerpen ini tetap menarik kerana kebijaksanaan pengarangnya mengolah melalui gaya bahasa yang mudah di samping mewujudkan unsur-unsur suspens melalui imbas kembali yang berkesan.

Apakah permasalahan 'Paparan'? Paparan mencitrakan Ira seorang suri rumah dan juga seorang penulis cerpen dari Pantai Timur (Sandakan). Ira kecewa kerana sebuah cerpennya yang bertajuk ‘Kaca’ telah ditolak sebanyak dua kali oleh editor Bawah Bayu dan Dewan Berita dengan alasan cerpen tersebut mengandungi unsur-unsur lucah. Bayu, abang Ira menyampaikan berita penolakan ini melalui SMS. Ira berasa terlalu letih menyiapkan ‘Kaca’ dan penolakan cerpen itu telah mengganggu kosentrasinya menyiapkan sebuah lagi cerpen yang baru berjudul ‘Nur Eka’. Ira telah mencurahkan segala ilmu pengetahuannya untuk menyiapkan ‘Kaca’ yang telah diperapnya selama satu tahun. ‘Kaca’ adalah kisah benar dan garapan pengamatannya terhadap kesetiaan cinta seorang gadis yang kecundang kerana cinta. Padanya tiada niat sedikitpun mahu menampilkan cerita berunsur lucah atau cerita yang boleh merendahkan martabat kaum wanita.

Ira memberitahu abangnya Bayu bahawa bahan kreatifnya dalam ‘Kaca’ merupakan kisah seorang gadis yang Bayu kenali bernama Hayati. Hayati adalah adik angkat Bayu. Hayati gadis cantik yang berbakat besar pada tanggapan Bayu yang pernah mengasuhnya sebagai penulis skrip dan pelakon teater. Ira mengenali Hayati pun melalui kursus penulisan anjuran sebuah Persatuan Sastera di Kota Kinabalu dan kebetulan abangnya Bayu menjadi pembimbing. Hubungan Hayati dengan Bayu memang rapat sejak Bayu bertugas di Pantai Barat. Mereka tidak bertemu lagi selepas bengkel penulisan itu. Tiba-tiba mereka bersua semula di Pantai Timur (Sandakan). Hayati memerlukan rumah sewa untuk menenangkan fikirannya dan berusaha pula melupakan kekasihnya. Ia menceritakan panjang lebar kisah dan peristiwa kehidupannya. Hayati tidak mahu mengaibkan lelaki yang amat dikenali ramai dan bertugas di sebuah jabatan kerajaan. Bagi Ira lelaki itu tidak penting asalkan Hayati sedar dan ingin bertaubat di atas segala keterlanjurannya.

Selama lima bulan Ira tidak menemui Hayati selepas pertemuan mereka dan satu hari selepas Hayati menghubungi Ira meminta pertolongan, Ira mendapati Hayati hamil dan akan bersalin bila-bila masa. Ira menjadi bingung Hayati bersendirian kerana lelaki yang diharap-harapkannya tidak akan mengahwininya. Hayati telah dihantar ke hospital. Bagaimanapun Hayati dan anaknya meninggal. Pihak hospital gagal menyelamatkan Hayati kerana ketiadaan kad pranatal untuk memastikan keadaan kandungan serta kesihatannya. Hayati juga didapati kekurang darah, bayinya berkedudukan songsang di samping badan Hayati yang lemah kerana kekurangan gizi.

Ira ke apartmen sewaan Hayati dan menermui sebuah diari. Dalam diari itu tidak banyak membantunya kecuali catatan berikut: “Aku ke bank memeriksa wang kiriman yang dijanjikannya. Lima ribu ringgit untuk pengguguran! tidak mungkin! aku mencintai bayi ini sebagaimana aku mencintainya. Cukuplah dosa yang aku lakukan. Dengan wang ini aku akan membawa bayiku melihat sinar mentari”. Ira terharu kerana catatan itu menjelaskan betapa tidak bertanggungjawabnya lelaki terhadap Hayati yang terpaksa menanggung penderitaan seorang diri. Gagal mendapatkan maklumat, Ira ingin menghubungi rakan-rakan penulis yang mengenali Hayati atau Bayu abangnya tetapi Hayati pernah berpesan agar tidak memberitahu Bayu: “Terutama abang Bayu! Dia tidak boleh tahu di mana saya sekarang. Dia tidak boleh tahu apa masalah saya. Tolong kak! Kakak mesti berjanji tidak akan memberitahunya!” Ketika berada dalam bilik Hayati, Ira mengucap syukur kerana melihat sejadah menandakan Hayati tidak pernah meninggalkan solat lima waktu.

Mengenang peristiwa Hayati. Ira berasa beruntung memiliki Ardi sebagai seorang suami yang sentiasa mengambil berat tentang dirinya. Ira kemudian mencari alamat keluarga Hayati. Ira diingatkan Ardi tentang telefon genggam Hayati dan dari telefon itu terungkai rahsia tentang lelaki yang bertanggungjawab terhadap diri Hayati. Siapakah lelaki itu? Saya percaya anda tahu siapakah lelaki yang dimaksudkan pengarang dan mengapakah lelaki itu menjadi sasaran jika bukan mesej SMS terakhir yang masih tersimpan di dalam telefon genggam Hayati berhubung dengan wang dan isu pengguguran bayi. Unsur visual yang digunakan pengarang cukup realistik. Suspens sebagai pola plot cerpen dan imbas kembali pertemuannya dengan Bayu dan Hayati sentiasa mengundang pertanyaan seterusnya mengajak rasa ingin tahu pembaca terhadap kesudahan cerpen ini.

Cerpen 'Paparan' menarik perhatian saya bukan disebabkan mesejnya yang ternyata lumrah di dalam gejolak masyarakat kita sejak dahulu lagi. Walaupun lumrah, ia tetap relevan dengan permasalahan yang semakin meruncing khsusnya di kalangan remaja yang kurang mendapat didikan agama. Bukan saja didikan agama tetapi juga penghayatan terhadap pendidikannya dipelajarinya. Walau tinggi mana sekalipun pendidikan seseorang nafsu dan godaan syaitan tidak akan memilih semua itu kecuali manusia telah menghayati sepenuh hati sehingga hanya iman sahaja yang mampu menjelmakan dirinya sebagai insan di bawah kebesaran Tuhan.

Saya ingin membawa langkah minda kita bersama menatap cerpen 'Paparan' terhadap pemeriannya, gaya bahasa dan visual yang mengajak pembaca ingin terus membaca. Pembaca yang tabah tidak mungkin berhenti menikmati hidangan sebuah karya sastera walaupun mungkin karya sastera itu membosankan. Tetapi bagi 'Paparan' ini tidak terjadi kerana berlaku sesuatu yang memang sengaja diperhitungkan menjadi rahsia yang akhirnya terbongkar.

'Paparan' menyajikan kita sekurang-kurangnya empat mesej oleh pengarang. Pertama pengarang ingin memperlihatkan bagaimana kecanggihan kehidupan masyarakat kita hari ini. Melalui telefon genggam mereka boleh berinteraksi. Telefon mudah alih ini juga memberikan mesej paling mudah tetapi tetap juga mempunyai kelemahannya yang tersendiri. Kedua, sikap editor akhbar yang terlalu sempit terhadap karya-karya sastera dan penonjolan berita-berita sensasi akhbar terutama terhadap harga diri wanita. Ketiga, pengarang memerikan betapa ikatan kasih sayang amat penting dalam pembinaan sebuah keluarga. Kasih sayang juga telah memelihara kelangsungan kehidupan dengan tenteram, damai dan bahagia. Keempat, pemaparan pengarang mengenai manusia yang rakus, mementingkan diri sendiri dan tidak tanggungjawab.

Bagi sebuah cerpen tentulah amanat ataupun mesej yang sebanyak ini menjadi gangguan kepada para pembaca dengan persoalan mana satukah fokus utama pengarang. Namun pada saya fokus utama pengarang tentulah mengenai cerpen ‘Kaca’nya yang ditolak oleh dua media. Walaupun ‘Kaca’ merupakan hasil buah kreatif yang digarapnya berdasarkan kisah Hayati yang diperlakukan oleh lelaki yang tidak bertangugngjawab tetapi itulah yang sebenarnya. Pengarang mengakui sendiri bahawa:
“‘Kaca’ adalah sisi lain dari diri Hayati yang sentiasa membuatnya bermonolog dan berinnerlog. Semacam suara hati. Suara hati yang sentiasa menuntut kehidupan Hayati. Tapi satu hari Hayati telah meretakkan kaca itu. Retak oleh pelungku dosa yang bertopengkan cinta. Tapi kiranya kita … barangkali cerpen ‘Kaca’ itu harus betul-betul Ira retakkan bahkan kalau perlu Ira pecahkan sama sekali. Kerana ‘Kaca’ yang Ira suguhkan itu tidak layak dipanjang(kan). Tidak layak jadi tatapan para penatap. Tidak layak untuk tempat bercermin kerana bila ada orang yang mentap kaca tersebut khuatir orang itu akan nampak wajahnya yang sebenar.”

Saya tertanya-tanya mengapa pengarang tidak menjadikan ‘Kaca’ sebagai judul cerpen ini tetapi 'Paparan'. Mungkin saja 'Paparan' sesuai bagi pengarang kerana visual penggunaan telefon genggam yang memaparkan sesuatu seperti mesej ringkas pada paparannya. Paparan telefon genggam ini juga memaparkan waktu, nombor dan nama. Dan, rahsia yang terungkai dari telefon genggam ini mungkin mempengaruhi pengarang sehingga tidak ada tajuk lain yang lebih sesuai. ‘Kaca’ lebih tepat malah lebih metafora yang bermaksud ia lebih bernas dan baru serta lain tetapi juga akan memperindah sebagai sebuah karya yang ada kekuatan. Kekuatan sebuah karya turut dibantu oleh penggunaan metafora namun ada pembaca yang tidak menggemari metafora kerana antara metafora dan takmetafora masih jelas jurang pengertiannya. Misalnya ‘Kaca’ sebagai metafora bermakna pantulan kehidupan yang berlaku agar menjadi teladan tetapi kaca pada hemat takmetafora adalah kaca dalam pengertian harafiah sebenarnya. Bila memandang pada kaca kita akan melihat wajah kita dan tidak ada yang lain. Orang lupa bahawa metafora sebahagian dariapada sistem erti, berhubungan dengan proses pemaknaan dan dapat dimanipulasi untuk kepentingan pemaknaan. Barangkali apabila seseorang memandang cermin dia tidak saja memandang wajahnya tetapi memandang masa lalu dan masa depannya.

Begitulah juga hubungan kaca dengan cinta. Dua kata yang memiliki pisau makna yang tersendiri. Kaca boleh melihat wajah kita dan wajah masa lalu kehidupan itu. Cinta sebagai bunga yang berguguran (dalam konteks cerpen 'Paparan') - yang hanya boleh dirasai terlalu suci sehingga kesuciannya itu tidak dapat dinilai apabila berada di dalamnya. Namun manusia selalu menyalahkan cinta menjadi penyebab kemungkaran berlaku di dunia ini. Cinta dijadikan pakaian yang mudah dicomoti kotoran sedangkan kotoran itu adalah kejahilan si pemakainya, kecuaian penikmatnya dan kerakusan yang dibarai nafsu serakah. Ini dilihat secara metafora. Kita nampak kehalusannya meskipun secara implisit menuangkan makna yang berbagai-bagai, ambuigiti.

Sengaja membangkitkan betapa pentingnya metafora dalam berkarya kerana di situ wujud kehalusan yang sebenarnya dituntut. Umar Junus (Dewan Sastera:1971) menulis berbahasa adalah berkomunikasi secara sopan, patuh kepada etika dan pantang bahasa. Kesopanan berbahasa adalah penghindaran hal yang kotor. Kita berbicara tentang hal yang bersih, biasa dihubungkan dengan keindahan. Bahasa yang sopan adalah bahasa yang indah, keindahan bahasa. Pemakaian metafora dilihat dalam rangka keindahan bahasa terutama dalam pengertian estetika formal. Metafora digunakan untuk mengasilkan bahasa yang indah. ‘Sekuntum bunga’ yang metafora lebih indah daripada ‘seorang gadis’ yang takmetafora.

Memanglah munasabah bahawa dunia sastera – kemajuan dan kematangannya – adalah dunia yang hidup. Bahan-bahannya lebih diambil daripada kehidupan harian kita yang memang banyak dan sentiasa menghidangkan masalah yang takmetafora. Kita boleh berhenti selepas berjalan-jalan di pasaraya atau pasar ikan berbual-bual dengan beberapa watak harian, juga jika kita tidak berasa canggung bersantai di kedai minum mamak sisi berbual-bual dengan beberapa watak daripada laras yang lain pula, pasti kita dapat mengutip beberapa bahan menarik untuk karya kita sendiri yang metafora. Dialog harian dengan pelbagai lapisan masayarakat cepat menyediakan kita dengan bahan-bahan yang munasabah dan berjejak di bumi. Tetapi dari khalayak umum seperti itu tidakkah kita lebih didedahkan kepada sampah-sarap bahan saja? Tidak mengapa kerana sampah sarap pun masih mempunyai pengertian yang tersendiri yang tentu saja tidak menjadi karya sastera itu sebagai sampah sarap pembaca. Namun pengarang perlu lebih bertenang dan bijaksana daripada meradang dan takbur. Pengarang sepatutnya orang yang tenang hanya dengan begitu dia dapat menyaring peristiwa-peristiwa munasabah dan bermanfaat bagi masayarakat pembacanya. Pengarang juga tidak sepatutnya mudah meradang kerana dalam radangnya dia akan terdorong menulis sesuatu yang menyegankan.

Saya tidak tahu apakah cerpen 'Paparan' ini disiapkan dalam keadaan yang tergesa-gesa atau memang telah disiapkan sebegitu rapi berdasarkan disiplin yang turut dimuatkan pengarang ketika menghasilkan ‘Kaca’ dalam pencitraannya di mana ‘pengarang – Ira’ telah meminta beberapa anggota keluarganya atau sahabat terdekatnya membaca terlebih dahulu dan memberi komen atau tanggapan. Jika ada yang kurang, ‘pengarang – Ira’ dengan sabar akan memperbaikinya lagi sebelum dicetak semula. Secara menyeluruh saya merasakan bahawa cerpen ini sedang berusaha untuk menyampaikan sesuatu yang besar yang ada di dalam fikiran pengarang (yang takmetafora) samada dalam diri atau dalam batinnya. Ada sasaran tertentu yang ingin dicapainya. Namun semua ini tidak penting kerana apa yang jelas ialah cerpen ini memang sudah cukup kecuali beberapa perkara yang saya fikir wajar diambil perhatian pengarang ialah keseimbangan antara naratif monolog dengan dialog yang kelihatan bercelaru. (Rujuk teks cerpen bermula dari ayat: “Apa lagi yang boleh aku buat, bang?…” sehingga “Lalu abang bilang tak perlu hairan kerana fenomena seperti ini adalah tanda-tanda akhir zaman”). Itu satu.

Kedua, watak Bayu tidak banyak dilibatkan dalam konflik walaupun Bayu merupakan watak paling penting dalam cerpen ini. Kehadirannya hanyalah ketika Ira menerima SMS dan pemerian imbas kembali terhadap proses penciptaan ‘Kaca’ di samping kemunculan mesej terakhir untuk Hayati yang menjelaskan identiti ‘lelaki’ yang ada kaitan dengan kehidupan Hayati.

Ketiga, pemerian pengarang yang saya fikir tidak penting. Inilah yang dimaksudkan sampah sarap yang wajar diteliti daripada terjadi. Meskipun barangkali pengarang mempunyai misiyang yang tersendiri mengapa memuatkan sebuah pemerian demi ingin menyampaikan sebuat kritikan atau teguran kepada pihak-pihak tertentu. Peristiwa Ira memungut akabar “Bebas’ tidak akan mencacatkan cerpen 'Paparan' sekiranya pemerian itu ditiadakan. Setidak-tidakanya ada pemerian pengarang itu sebenarnya telah mengganggu kelancaran cerpen 'Paparan' itu sendiri. Ini saya fikir perlu diambil perhatian pengarang.

Sastera bukanlah suatu bentuk pengucapan yang emosional, yang tidak fungsional dan diluahkan begitu sahaja tanpa sebarang saringan. Sebaliknya sastera berupaya memberi sumbangan kepada manusia dengan pelbagai bentuk khazanah; di antara lainnya ialah pemikiran pengarang, cita-cita dan imaginasi, kebijaksanaan, simpati, majas yang indah dan puitis, yang ekspresif, yang penuh tuntutan etika duniawi dan kerohanian tetapi segala-gala itu hadir dengan secara halus dan tidak menggurui secara eksplisit atau polos.

Pengarang juga harus menerima realiti dan hakikat sastera sebagai pengalaman batin manusia yang diangkat dari kehidupan yang serba luas, dalam dan canggih. Dengan cirinya yang serba luas, dalam dan canggih itu pula maka pengarang harus juga berupaya memapar dan mengisinya dengan kehidupan yang luas, dalam dan canggih juga. Di sinilah baru ditemukan keseimbangan dan kewajaran bagi mencerna dan metrafasirkan kehidupan yang juga dituntut kehadiran citra kemanusiaan yang luhur, keimanan, kejujuran, realiti cinta kasih, kesetiaan, keadilan, kehalusan budi dan bukan kesenjangan, perjuangan hak asasi manusia dan bukannya penganiayaan dan pemerkosaan. Jadi, sastea yang kita hasilkan itu bukanlah sekadar hasil khayalan melulu yang tidak berjejak di jagatraya.

Secara umumnya, kita harus dapat menerima hakikat betapa karya sastera dalam apa jua genre sekalipun adalah sebahagaian dari kehidupan kebudayaan dan serentak merupakan peradaban umat manusia di jagatraya ini. Sastera tidaklah mempunyai ruang yang terbatas pada persoalan-persoalan yang subjektif atau berorientasikan pada persoalan-persoalan peribadi pengarang semata-mata. Ia haruslah secara pasti tentunya, berupaya mencakupi wadah yang luas terbentang; sekaligus merentas pandangan ke arah kehidupan yang pelbagai dimensi dan menyelurusi jauh untuk memasuki liku-liku kehidupan yang serba aneh, mencabar, komplikated dan canggih.

Pengarang sewajarnya berupaya menghasilkan karya sastera yang dapat memberikan pengalaman baru, makna baru bagi kehidupan masyarakat pembaca dengan sumbangan karya yang berupa serangkaian nilai murni dan positif yang pastinya baru dan segar bukan tidak mustahil belum pernah disogokkan oleh mana-mana bahagian dari kehidupan kita ataupun dari mana-mana bahagian karya kesenian yang lain. Kerana itulah, pengarang harus sentiasa peka terhadap setiap pergolakan dalam masyarakatnya , harus sentiasa berfikir secara kritis, rasional dan berupaya untuk menafsir setiap pergolakan itu dengan saksama dan penuh kebijaksanaan. Jestru itu, wajarlah para pengarang mengangkat dan malah harus sering membuktikan betapa sastera sebagai karya kemanusiaan selalu berusaha memaparkan pergulatan manusia itu sendiri melawan kemungkaran, menentang kesia-siaan, mendobrak keresahan, menyelongkar tipu helah manusia yang hipokrit, menangani penderitaan dan amat perlu pula merubah nasib insan bagi menentukan kelangsungan melalui jeraya kehidupan.

Walau kepada siapapun karya sastera itu ditujukan, tanpa mengambil kira khalayak sasarannya; sastera harus berupaya menampilkan dirinya sebagai pengungkap kehidupan yang dinamik, yang mempunyai riak dan gelombang, yang mengalir deras, penuh dengan konflik dan mengisi perjuangan ke arah suatu tahap yang lebih tinggi. Ia merupakan suatu sublimasi dalam proses kehidupan khalayak.

Pengarang melalui karya sasteranya, harus dapat membuka pintu dan jendela kemungkinan terciptanya daya rangsangan positif untuk khalayak merasakannya. Oleh itu, adalah wajar karya sastera itu mengandung dan kaya dengan pelbagai langgam pengukapan kehidupan yang berguna untuk memperkaya dan menjernihkan jiwa khalayak pembaca.

Sekiranya kita tekun meneliti dan menyelusuri khazanah sastera mancanegara akan ditemukan betapa dari sastera juga terserlah pelbagai falsafah dari manusia bergelar sasterawan. Falsafah itu sering pula menjadi pananda masa depan eranya. Jadi, dengan pemikiran-pemikiran yhang bernas itu sastera selalu menyumbangkan pelbagai manja hidup dengan kemungkinan-kemungkinannya, dengan nilai-nilai kebaruannya yang serentak mempunyai hikmah untuk direnungfikirkan. Sastera banyak memberi sumabngan yang bermakna dalam hidup kita. Dengan meneliti karya sastera bererti kita cuba memahami makna kehidupan itu sendiri yang dapat membina tatanilai dalam pelbagai kehidupan intelektual, pendidikan kerohanian dan hal-hal yang bersifat personal mahupun sosial.

Pengarang yang gigih memperjuangkan sikap dan falsafahnya akan mencapai tahap kematangannya yang tersendiri. Namun sebelum mencapai tingkat kematangan itu, pengarang harus berkemampuan mencipta karya yang bermutu dan ni merupakan hambatan malah tantangan pada kebanyakan pengarang. Kerana sesebuah cipta sastera yang bermutu itu haruslah sering mengemukakn pemikiran yang bernas, bersedia menampilkan subjek dengan pelbagai fenomena yang sekaligus menanganinya dengan baik untuk menemukan pemecahannya, tidak sahaja itu, malah segala fenomena dan peleraiannya haruslah pula ditampilkan dengan langgam dan pengucapan yang segar, yang baru, yang khas, yang jati diri dan ekspresif. Ia harus juga mengabdi kepada pencapaian hidup yang sejahtera lahir batin, memiliki keharmoian, rasional, penuh keadilan, tepu dengan nilai kemanusiaan dan tidak bertentangan dengan nilai-nilai yang dituntut hadir dalam sesuatu lingkungan. Jadi sastera amat wajar menawarkan kepda kita hal-hal yang amat signifikan sehingga terbukannya daya emosi dan daya fikir kita, terdorong untuk berkreatif dan mampu menyediakan kita melihat kepelbagaian hidup untuk kemudiannya memungkin kita menghujahnya dengan penuh ceria.

Seorang pengarang itu haruslah seorang manusia yang benar-benar arif, yang sungguh-sungguh kaya dengan pengalaman dalaman dan luaran. Pengarang harus memiliki pengtahuan yang sungguh luas dan dalam tentang hidup dan kehidupan, harus mempunyai pertimbangan yang bijaksana, penghayatan yang dalam dan wawasan estetika yang tinggi serta ketrampilan berbahasa yang tidak diragukan lagi. Tidak mustahil pengarang itu seseorang yang memiliki gabungan multidisiplin yang unik – berbakat seni, cendekia, religius dan arif tentang hal kemasyarakatan.

Inilah kesimpulan saya terhadap 'Paparan' secara umum yang di samping mempunyai beberapa kelemahan yang disebutkan tetapi tetap mampu berdiri teguh dengan wujudnya bentuk pemerian yang dinamik dan hidup. Saya percaya kehadiran pengarang Siti Azizah Sahaji akan menambah satu lagi mutiara penting sebaris dengan para pengarang ternama di negeri ini dan Malaysia berdasarkan kegigihan beliau menghasilkan karya-karya sastera khususnya cerpen. Memang tidak ramai pengarang cerpen dari daerah Sandakan, tidak seperti tahun-tahun 70-an dan 80-an di era sastera kelihatan seperti bunga-bunga yang berkembang segar. Namun demikian, semarak sastera kita tetap tidak ada hentinya. Ia hanya memerlukan kegigihan, keberanian, ilmu dan kesinambungan berkarya. Jangan abaikan bakat yang ada di samping itu jangan biarkan waktu yang banyak terbuang begitu sahaja. Kita semarakkan pentas sastera kerana peranan kita tidak pernah kunjung selesai.

Kampung Tanjung Aru Baru,
Kota Kinabalu.
17 Oktober 2002

Isnin, September 23, 2002

Perhimpunan Penulis yang Hilang

MESKI sedikit lewat, menghadiri majlis Perhimpunan Penulis-penulis Veteran Sabah di Pantai Bundusan, Papar merawat kerinduan terhadap penulis-penulis yang sudah lama menghilang. Pada wajah Haji Shuhaibun Yussuf (Pak Shuhaibun), insan yang berada di belakang penganjuran aktiviti dua hari ini, tergambarkan kepuasannya. Walaupun tidak semua penulis veteran dapat menghadirkan diri namun ini menjadi perintis kepada penganjuran yang lain. Tentulah bisik-bisik Pak Shuhaibun yang hinggap di telinga saya akan dibawa balik oleh Pengarah DBP Cawangan Sabah, Sdr Zaini Ozea dan Pengerusi MBSS Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad. Di Sabah DBP dan MBSS merupakan tonggak kepada keutuhan gerakan sastera dan bahasa sekali gus membina budaya baca, seni, ilmu secara berterusan di samping persatuan-persatuan penulis yang aktif seperti IPS, Bahasa dan juga Warisan.

Perhimpunan ini diisi dengan acara baca puisi pada sebelah malam 21 September dan forum dijalankan keesokannya ditenagai oleh ahli panel yang hebat iaitu Datuk Haji Halik Zaman, Datuk Haji Ismail Abbas dan Sdr. Datu Tigabelas Datu Zainal Abidin di samping Sdr. Zaini Ozea yang bertindak sebagai pengerusi. Datuk Haji Halik adalah seorang penulis puisi yang amat popular di zamannya. Beliau juga merupakan seorang ahli politik Sabah yang pernah digelar ‘Singa Berjaya’ di zaman kerajaan Berjaya menerajui negeri Sabah. Datuk Haji Ismail Abbas atau lebih dikenali sebagai Amil Jaya merupakan mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah dan penerima SEA Write's Award. Datu Tigabelas pula adalah Pengarah Jabatan Arkib Negeri Sabah.

Perhimpunan yang dirasmikan oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah telah menghimpunkan lebih 50 orang penulis baru dan lama. Antara mereka ialah Datuk Haji Murshidi Nambi, Datuk Haji Ismail Abbas, Datuk Yaman Ahmad Mus, Datuk Haji Halik Zaman, Datuk Haji Dahali Elias, Hajah Dayang Salmah Salam, Dr. Haji Abdul Aziz Ahmad, Pg. Haji Bagul Pg Hassan, Haji Masri Mohd Yassin, Ramli A.R. dan Anan Ramli. Secara umum perhimpunan ini amat bermakna kepada barisan penulis veteran. Memang banyak yang boleh disumbangkan kepada mereka sebagai penghargaan. Sungutan yang sering diluahkan di belakang perlulah dibawa lebih jauh ke dalam. Penulis bukanlah sesiapa dan apa-apa sekiranya keberadaan mereka itu tidak melambangkan makna di dalam setiap buah fikirnya. Mereka juga tidak bermakna kepada orang lain sekiranya orang lain itu tidak memandang jauh ke dalam sanubari para penulis ini.

Perlukah sebutir bintang disematkan di baju sebagai mengenang jasa mereka? Anugerah kebesaran negeri atau negara yang bagaimanakah dapat diimbangi dengan jasa yang telah mereka taburkan. Anak bangsa kita boleh ke mercu jaya kerana adanya khazanah ilmu yang dibina oleh para penulis. Namun penulis selalu saja dipinggirkan dan tidak dilihat berada sebaris dengan pemimpin besar negara!

Apabila Perdana Menteri membacakan puisi sejak akhir-akhir ini, apakah kita memandang ke arah penulis lain? Apakah PM itu seorang penyair sebaik penyair yang sedia ada? Apakah karyanya menjadi karya agung suatu hari nanti sehingga terlalu diagung-agungkan berbanding karya-karya yang dihasilkan oleh A.Samad Said, Usman Awang, Amil Jaya, Jamdin B dan sebagainya? Jawapannya mudah kerana PM seorang pemimpin yang dihormati dan apa saja yang perkatakannya akan menjadi igauan orang lain.

Walau apapun yang berlaku harga diri para penulis ini tetap berada pada tempat yang wajar iaitu sikap dan pendirian yang mereka pelihara yang perlu dihormati. Sejarah harus menghargai pendirian seseorang tanpa meletakkan sesiapapun mengikut arus yang telah ditetapkan. Saya fikir MBSS melalui pengerusinya telah dapat merasai makna dalaman para penulis kita sama ada yang masih bergerak mahupun yang hilang di telan usia dan gelombang kehidupan. Mengingati mereka tentu tidak sekadar kenangan-kenangan yang menghiburkan. Apa yang wajar kita luahkan ialah ilmu, idea, pemikiran, falsafah dan sikap mereka terhadap dunia melalui media yang pernah mereka kuasai. Sekiranya mereka sudah tidak boleh menulis tidak mengapa. Jangan dipersoalkan mengapa mereka hilang. Mengapa mereka tidak menulis atau apabila menulis tidak lagi sehebat tulisan mereka dahulu.

Penulis-penulis baru pun sudah ramai yang hilang sebenarnya. Ini juga tidak perlu dipersoalkan. Biarkanlah kerana itu pilihan mereka dan kita yang masih menjiwai, meruangi, menghidupkan rahsia sastera kita harus meneruskannya. Seperti kata Datuk Haji Halik, penulis tidak pernah bersara dan tidak pernah menjadi mantan selagi nyawa masih dikandung badan. Esok akan lahir lagi penulis-penulis baru dan akan hilang kemudian muncul dan muncul seribu penulis yang akan mengalami pusingan yang sama.

Akhirnya, kita akan menghimpunkan penulis-penulis veteran yang seterusnya!

Semoga penulis-penulis yang benar-benar ikhlas dan jujur akan menghargai apa jua yang telah mereka terima. Mudah-mudahan usaha yang dilakukan oleh Kerabat Budayawan Gapena, DBP Cawangan Sabah dan MBSS ini menjadi perangsang kepada mana-mana organisasi untuk melaksanakan perhimpunan yang lain di tempat lain pula di samping dapat mengesan lebih ramai lagi penulis-penulis lama dan baru yang menghilang. Syabas kepada Pak Shuhaibun di atas usaha murninya ini dan semua ini telah membayar penat lelah beliau dan seluruh jentera jawatankuasa penyelenggara.

22 September 2002

Sabtu, September 07, 2002

Sekitar Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf

MENGHADIRI seminar Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf tokoh budayawan yang tidak asing di kalangan masyarakat Sabah merupakan peristiwa yang amat bermakna. Haji Shuhaibun Yussuf (selepas ini Pak Shuhaibun) sebagai insan seni yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan itu sentiasa menebarkan kecemerlangan memelihara budaya bangsanya. Beliau tidak sahaja merupakan seorang budayawan yang kaya dengan khazanah koleksinya di Dangau Budaya yang sudah dikenali itu tetapi juga seorang sasterawan yang sentiasa siaga dengan idea-idea baru ketika berkarya. Pak Shuhaibun tanpa henti menggilap jatidirinya sebagai sasterawan dalam bidang-bidang yang digemarinya seperti cerpen, novel, lukisan dan skrip drama sambil pada masa yang sama mengumpul, menjaga serta menyimpan khazanah budaya - tiga aktiviti yang membuatkan beliau begitu dihargai. Maka, amat wajarlah usaha yang dilakukan Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah menganjurkan seminar untuk meneroka dan merakamkan segala pemikirannya terhadap budaya dan juga pemikirannya menerusi kilau permata karya-karya beliau.

Seminar sehari yang disempurnkan perasmiannya oleh Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad, Pembantu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah ini menyajikan tiga segmen yang menarik. Segmen sebelah pagi dimulai dengan sesi bicara seni yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Jalidar Abdul Rahim. Bicara seni diisi dengan garapan awal Pak Shuhaibun yang membicarakan sejarah susur galur penglibatan beliau dalam perkembangan budaya dan sastera di negeri Sabah.

Pak Shuhaibun dilahirkan pada 1 Januari 1935 di Kampung Pengalat Besar Papar. Ayahnya bernama Yussuf bin Hassan dan ibunya bernama Hajah Zaleha binti Bahayu. Pak Shuhaibun adalah anak sulung daripada seramai 14 orang adik beradik. Mengikut catatan K.Bali, Pak Shuhaibun memulakan pendidikan asasnya di Sekolah Jepun dan Sekolah Melayu Bongawan sebelum berpindah ke Sekolah Melayu Papar pada tahun 1943. Pada tahun 1947 beliau lulus darjah lima dan mendapat biasiswa melanjutkan pelajaran dalam aliran Inggeris di Sekolah St. Joseph Papar.hingga tahun 1952.

Bermula pada 12 Mei 1952 hingga bulan Jun 1952 Pak Shuahibun meneruskan pendidikannya di Maktab Perguruan Menggatal kemudian dipindahkan ke Maktab Perguruan Kent Tuaran pada tahun 1953. Maktab perguruan ini adalah maktab perguruan yang pertama di Sabah (Catatan K.Bali). Pak Shuhaibun menamatkan latihan perguruannya pada Mei 1954. Pada tahun 1962 hingga 1964 Pak Shuhaibun ke Australia untuk mendalami lagi pendidikan bahasa Inggerisnya.
Pak Shuhaibun, menurut K.Bali juga seorang yang amat gigih dalam menaik tarafkan pendidikannya. Beliau belajar secara persendirian tanpa kenal letih dan lulus dalam peperiksaan-peperiksaan Government Junior Certificate pada tahun 1965, Sijil Rendah Pelajaran dengan kelulusan Pangkat A (1970), Sijil Pelajaran Malaysia (1981) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (1984).

Dalam perkhidmatan dengan kerajaan, Pak Shuhaibun memulakan khidmatnya sebagai seorang guru di Government Vernacular School Labuan pada 1 Jun 1954. Pada tahun 1956 beliau mengajar di Government Primary School (GPS) Weston sebagai Guru Besar. Selepas itu iaitu pada tahun 1958 mengajar di beberapa sekolah lain termasuklah GPS Sembulan dan menjadi Pengetua Government English School (sekarang sekolah ini dikenali Sekolah Menengah Ashad, Kota Belud). Selain daripada itu Pak Shuhaibun menjadi penyelia mata pelajaran GPS seluruh daerah Kota Belud. Pada Ogos 1958, Pak Shuhaibun menjadi guru pakar dalam Bahasa Inggeris di GPS Buit Hill Putatan. Kemudian pada November 1958 beliau mengajar mata pelajaran yang sama di GPS Tanjung Aru, Jesselton. Dan pada tahun 1961 Pak Shuhaibun menjawat jawatan Guru Besar di sekolah ini.

Selepas melanjutkan pelajarannya di Australia pada tahun 1964, Pak Shuhaibun dilantik sebagai pensyarah sains dan matematik di Pusat latihan Guru-guru Bumiputera Tanjung Aru. Kemudian beliau bertugas sebagai Guru Besar di GPS Sembulan sebelum ditukarkan ke GPS Pengalat Besar sebagai Penolong Kanan Guru Besar. Pada tahun 1967 Pak Shuhaibun menjadi guru besar di sekolah tempat kelahirannya ini.
Bermula pada tahun 1968 hingga 1972, Pak Shuhaibun menjadi Penyelia Sekolah-sekolah di seluruh daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu. Pada tahun 1973 beliau dipindahkan ke Kota Kinabalu sebagai Pegawai Hisab dan Sains untuk sekolah-sekolah seluruh Negeri Sabah. Pada Januari 1974 hingga Mac 1974 Pak Shuhaibun bertugas pula sebagai Penolong Pegawai Latihan di Jabatan Pelajaran Negeri.

Dunia pendidikan Pak Shuhaibun telah berubah bermula pada 8 Mei 1974 apabila dipindahkan ke Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah. Pada mulanya Pak Shuhaibun amat keberatan meninggalkan dunia pendidikan tetapi atas desakan yang dilakukan oleh pihak atasan beliau akur dengan arahan yang dibuat. Pak Shuhaibun berkhidmat sebagai Pengelola Kebudayaan Negeri Sabah sehingga beliau bersara pada 30 Disember 1989.

Mengenal Pak Shuhaibun sebagai insan seni tentulah tidak sempurna sekiranya kita tidak menelusuri sejarah hidupnya terutama sekali hubung kait pengalamannya sebagai seorang pendidik dan juga seorang budayawan. Namun begitu dalam apa jua pertembungan yang bergelut di jiwanya, peranan Pak Shuhaibun tetap relevan dengan profesinya sebagai seorang budayawan. Sebagai pendidik, tugasnya membudayakan anak bangsa mendalami ilmu memang amat wajar. Apatah lagi pada masa yang sama Pak Shuhaibun juga merupakan seorang sasterawan. Beliau menjadi perakam kehidupan dan menterjemahkan kehidupan itu dalam bentuk yang dikuasainya. Pak Shuhaibun amat berpengalaman dan diakui menguasai selok belok akar budaya bangsanya. Beliau peka terhadap situasi masyarakat tempatan yang mempunyai pelbagai rentak dan bentuk cara kehidupan, pemikiran dan kepercayaan.

Segmen kedua seminar ini merupakan pembentangan wacana oleh dua orang tokoh yang tidak asing lagi iaitu Tuan Haji Ismaily Bongsu dan Puan Asmiaty Amat. Haji Ismaily merupakan budayawan dan juga sasterawan yang amat sinonim dengan perkembangan kesenian di Sabah di samping satu-satunya deklamator puisi yang disegani di negara ini. Manakala Asmiaty adalah seorang pemikir, pemakalah, pengkritik sastera dan juga pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dalam pembentangan wacana pemikiran Pak Shuhaibun, Haji Ismaily telah menelusuri pengalamannya selama 13 tahun bertugas di bawah Pak Shuhaibun ketika menjadi Penolong Pengelola Kebudayaan di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri. Banyak peristiwa dan pengalaman menarik dan tidak kurang juga yang meninggalkan pengajaran peribadinya hingga ke hari ini. Walaupun Pak Shuhaibun seorang yang kelakar namun kelakar beliau sentiasa sarat dengan pengajaran yang tersendiri. Pemikiran Pak Shuhaibun, menurut Ismaily, amat telus. Beliau peka terhadap perubahan budaya yang sentiasa berkembang terutama sekali dalam bidang kesenian seperti drama dan tarian.. Aktiviti kesenian ini rancak dilaksanakan dan menjadi agenda utama semasa mereka bersama-sama mentransformasikan aktiviti-aktiviti kebudayaan di Sabah. Malah kumpulan-kumpulan drama dan tarian sering mengharumkan nama negeri Sabah. Kehebatan kesenian ini sentiasa memberikan saingan yang hebat di kalangan peserta khususnya di peringkat kebangsaan sehinggalah ke hari ini.

Asmiaty pula menyelongkar akar-akar pemikiran Pak Shuhaibun menerusi cerpen-cerpennya yang termuat dalam antologi cerpen 'Dugaan Terakhir' terbitan DBP dan 'Haram' iaitu sebuah antologi cerpen bersama-sama dengan Amil Jaya dan Suhani S. Menurut Asmiaty, Pak Shuhaibun merupakan seorang penulis yang dianugerahi kepekaan yang tajam, sentiasa merasai, menghidu dan melihat segala perkara yang berlaku di persekitarannya. Selain daripada itu beliau merupakan seorang pemikir yang sentiasa segar menggarap tema yang pelbagai. Antaranya termasuklah tema-tema humor, politik, agama dan tidak ketinggalan budaya masyarakat tempatan yang sentiasa bergolak. Pak Shuhaibun telah diakui sebagai penulis yang amat prolifik menulis cerpen di Radio Sabah pada tahun 50-an dan tahun 60-an. Puncak penglibatannya ini meletakkan Pak Shuhaibun sebagai penulis yang 'berbisa' sewaktu diharamkan menulis di mana-mana media di Sabah ketika sebuah cerpennya bertajuk 'Pada Detik 12 malam' disiarkan menyebabkan beliau disoalsiat dan ditahan oleh pihak berkuasa British ketika itu. Pak Shuhaibun masih aktif menulis selepas bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada tahun 1989. Namun, agak menyedihkan kerana banyak daripada kumpulan cerpennya telah hilang di tangan penerbit dan tidak dapat ditemui hingga ke hari ini.

Pada sebelah petang forum yang bertajuk Pembentangan Pemikiran Pak Shuhaibun Yussuf dalam Pembangunan Kebudayaan di Sabah menampilkan tiga ahli panel iaitu Puan Asmiaty Amat, Haji Imaily Bongsu dan Pak Shuhaibun sambil Hajah Sairah Haji Antin bertindak sebagai pengerusi forum. Hajah Sairah sebagai seorang aktivitis teater yang tidak asing di Sabah memulakan sesi dengan paparan nostalgianya dengan Pak Shuhaibun semasa menuntut di Jakarta. Pak Shuhaibun dan Haji Ismaily menebarkan lagi pengalaman mereka mengenai seni dan budaya semasa bertugas di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Negeri Sabah. Lebih menarik isu yang ditimbulkan Haji Ismaily terhadap tarian-tarian etnik Sabah yang sudah kehilangan aslinya. Ini turut diakui Pak Shuhaibun. Misalnya tarian Daling-Daling, menurut Pak Shuhaibun, asalnya tarian ini ditarikan oleh kaum lelaki. Memang benar aktiviti kesenian juga telah mengalami revolusinya yang tersendiri. Namun demikian, walaupun tidak ada salahnya tarian-tarian etnik itu berubah tetapi adalah lebih baik sekiranya keasliannya terus dipelihara tanpa mengubah sedikitpun rentak muziknya, unik kostumnya dan lenggang liuk gerak tarinya. Inilah jawapan kepada tanggapan bahawa tarian-tarian etnik di Sabah sudah dirosakkan. (Ada istilah lain sebenarnya disebut tetapi biarlah istilah 'dirosakkan' digunakan dalam tulisan ini). Ismaily juga turut menarik perhatian para peserta mengenai dasar kebudayaan kebangsaan dengan mengaitkan ciri-ciri penting pembentukan dasar berkenaan dalam menyatukan budaya etnik yang sesuai di samping menjadikan Islam sebagai asas pentingnya. Beliau memberi contoh walaupun tarian-tarian seperti Sumazau dan Magunatip berasal daripada suku kaum Kadazan dan Murut, tarian-tarian itu kini telah dipopularkan oleh kaum yang lain. Keadaan ini telah membentuk satu paduan dalam citra budaya oleh masyarakat pelbagai kaum di negara ini. Di samping wujud keharmonian kaum dasar ini menyandarkan masyarakat kita menelusuri seni secara halus dan berhemah sebagai lambang bangsa yang unggul.

Secara umum seminar sehari ini memberi gambaran yang jelas terhadap peranan dan pemikiran tokoh yang diketengahkan. Tanggungjawab Pejabat Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sabah dan DBP Cawangan Sabah juga wajar diberikan penghargaan. Walaupun penyelenggaraan seminar ini berlangsung secara sederhana namun impaknya kepada tokoh-tokoh budayawan kita amat ketara. Kelemahan dan kekurangan setiap pengajuran aktiviti seumpama ini juga tidak dapat dielakkan. Pada masa-masa akan datang, pihak penganjur perlu juga memberi perhatian terhadap beberapa perkara penting yang terlepas pandang misalnya meletakkan karya-karya tokoh di lokasi pameran.

Pemilihan sasaran seminar ini juga perlu dipuji kerana kepelbagaian bidang profesi membantu menyalurkan mauduk utama seminar secara lebih meluas lagi. Lumrah menghadapi audiens yang kecil bagi aktiviti ilmu seperti seminar budaya ini berlaku di mana-mana sekalipun. Datuk Haji Sapawi sendiri mengakui sambutan hambar di kalangan masyarakat berbanding aktiviti kesukanan yang lebih mendapat perhatian. Bagi para peserta yang tidak jemu menghayati mauduk seminar dari pagi hingga petang, syabas diucapkan. Sekurang-kurangnya seminar ini telah memberi pengalaman baru untuk mereka. Malah ketidak sesiaan kehadiran mereka itu sebenarnya telah dibayar dengan satu nilai yang sukar dibandingkan dengan pengalaman-pengalaman yang lain. Lebih wajar lagi kerana kebanyakan peserta adalah bakal pendidik dan siswa yang sedang mendalami ilmu di pusat pengajian masing-masing. Dan bagi para penulis, seminar yang dianjurkan ini akan mengajak mereka mencontohi kegigihan Pak Shuhaibun khususnya usahanya mengumpul, menjaga dan menyimpan khazanah pelbagai bidang untuk dimanfaatkan mereka yang memerlukan.

Kita berharap aktiviti seperti ini akan diteruskan dengan menampilkan lebih ramai tokoh budayawan di Sabah sejajar dengan objetif seminar ini iaitu untuk memupuk rasa penghargaan di kalangan masyarakat terhadap tokoh budaya, mengkaji dan membincangkan pemikiran dan karya tokoh pilihan seterusnya menyamarakkan semangat cintakan kepada warisan budaya tempatan. Kita perlu juga memanjangkan seminar ini dalam wacana yang lain agar aktiviti ini tidak berakhir di Dewan Besar DBP Teluk Likas semata-mata. Usaha yang dimaksudkan ialah pembinaan sebuah laman web yang memuatkan dokumentasi bahan-bahan berharga para tokoh budaya kita. Ini amat berguna bagi memudahkan para pengkaji mendalami pemikiran tokoh-tokoh itu bahkan membantu mereka mendapatkan maklumat dengan cepat. Perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) hendaklah disambut sebagai suatu tanggungjawab murni. Sama ada kita mahu atau tidak jawapannya masih memerlukan kesediaan dan keseriusan yang berterusan.

Kota Kinabalu,
6 September 2002.

Selasa, Jun 04, 2002

15 Sifat Ego

15 sifat ego yang perlu disemak pada diri
  • Diberi jawatan rasa terhibur
  • Tidak dilantik, rasa tidak tenang
  • Kalau dia sorang pemimpin, arahannya selalu kasar
  • Kalau dia pengikut, payah mahu taat
  • Emosional dan mudah tersinggung
  • Suka berkawan dengan orang bawahan supaya dirinya nampak lebih tertonjol
    daripada orang lain
  • Mudah marah, cepat melenting
  • Payah menerima pandangan orang lain
  • Dalam majlis, tidak senang bila orang lain memberi pandangan
  • Dalam majlis, mudah memotong cakap orang lain
  • Suka memperkenalkan diri sendiri daripada memperkenalkan pemimpin dan jemaah
  • Suka pandangannya sahaja diterima
  • Lebih berminat berkawan rapat dengan orang lain daripada anggota jemaah agar terserlah kesempurnaan dirinya
  • Tidak senang kemajuan tercetus di tangan orang lain
  • Bercakap selalu dengan suara tinggi dan tidak boleh dicabar pasti tercabar