Ahad, Disember 31, 2017

Aktiviti HA Sepanjang 2017


MAC 2017

Nadwah Sastera Islam
Bicara Proses Penulisan Sastera Islam
sempena Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam
Nusantara kali ke-6 2017 Membakut Sabah

APRIL 2017

Peperiksaan Semester Januari 2017
Universiti Terbuka Malaysia (OUM)

10/4/2017 - Adat Istiadat Melayu
12/4/2017 - Filem dan Teater Melayu
13/4/2017 - Pelancongan dan Produk Budaya
22/4/2017 - Keusahawanan

4/4/2017
Festival Penulis Sabah 2017
Baca Puisi di Park Tang Dynasty Hotel
Kota Kinabalu

5/4/2017
Festival Penulis Sabah 2017
Baca Puisi di Institut Pendidikan Guru Kent
Tuaran Sabah

15/4/2017
"PUISI ADALAH ..."
Sempena Festival Penulis Sabah 2017
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA)
Kampung Gudon Kota Kinabalu

di SM Sains Sabah Tuaran

MEI 2017

5-6/5/2017
Perhimpunan 1000 Penulis
PWTC Kuala Lumpur


MEI 2017

5-6/5/2017
Perhimpunan 1000 Penulis
PWTC Kuala Lumpur


JULAI 2017

16/7/2017
Majlis Rumah Terbuka
Hari Raya Aidil Fitri 2017
Perkarangan Rumah Puisi Hasyuda Abadi
Kampung Gudon Manggatal
10.30 pagi


27/7/2017
Kursus Pengendali Makanan
Hotel Sri Perkasa
Kota Kinabalu
9.00 pagi

29/7/2017
Pelancaran Buku
Puncak Iqra'
Papar
10.00 pagi


OGOS 2017

5/8/2017
Panel Bicara Karya Eceran
Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah
9.00 pagi


8-10/8/2017
Menghadiri Majlis Konvokesyen
Diploma Syahfierah
Politeknik Kuching
Sarawak


Peperiksaan Semester Mei 2017
Universiti Terbuka Malaysia
OUM
14/8/2017 - Pengantar Kebudayaan & Kesenian Melayu
16/8/2017 - Islam & Kebudayaan Melayu
20/8/2017 - English for Workplace Comm

SEPTEMBER 2017

28/9/2017
Bicara Karya & Forum Sastera
Sabah dan Sarawak di Pentas Global
Kota Kinabalu

29/9 hingga 1/10/2017
Dialog Teluk
Hotel Seri Malaysia
Lawas, Sarawak

OKTOBER 2017

12/10/2017
Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan
Peringkat Negeri Sabah
Dewan Amil Jaya DBP
Cawangan Sabah Kota Kinabalu

14/10/2017
Berbalas Pantun Peringkat Negeri Sabah
Anjuran JKKNS dan BAHASA
dan Majlis Penyampaian Hadiah
Peraduan Menulis Karya Pilihan
anjuran Lembaga Kebudayaan Sabah
Kompleks JKKNS Kota Kinabalu

NOVEMBER 2017

11-12/11/2017
Bengkel Produk Homeopati
Anjuran Zarras Medicare
Rumah Ngaji Baitul Muqaddam
Kg Gudon Manggaral Sepanggar

18-19/11/2017
Bengkel Memasak
Anjuran Tarbiyatun Nisa Tuaran
dengan Kerjasama Rumah Ngaji Baitul Muqaddam
Tarbiyatun Nisa Tuaran

28/11/2017
Majlis Penyampaian
Hadian Sastera Perdana Malaysia
Dewan Bahasa dan Pustaka
Kuala Lumpur

DISEMBER 2017

12/12/2017
Majlis Pelancaran
Sayembara Menulis Puisi
Mahrajan Persuratan Islam Nusantara
Wisma MUIS
Kota Kinabalu

15-16/12/2017
Penggambaran Program TV
Inspirasi Borneo
Rumah Puisi Hasyuda Abadi
& Rumah Ngaji Baitul Muqaddam
Kota Kinabalu

31/12/2017
Program QuranHour
BaitulMuqaddam 
Rumah Ngaji BaitulMuqaddam
Kota Kinabalu

31/12/2017
Program QuranHour
Negeri Sabah
Masjid Negeri Sabah, Sembulan
Kota Kinabalu

Keratan akhbar 2017







Mandala 2018 - harapan-harapan untuk sastera Sabah

Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com

HARI ini betul-betul penghujung tahun 2017. Sesekali menoleh kembali ke belakang barangkali sesuai dibuat pada hari ini. Sesekali kita melihat semula apa yang telah berlaku paling tidak sesuatu yang kita laksanakan sama ada berjaya mahu pun sebaliknya. Biasanya di sinilah apa yang kita impikan telah dirai dan diraih hasilnya. Pada masa yang sama impian tinggal sebagai impian atas masalah atau kendala yang dihadapi.

Setiap di antara kita sudah pasti mempunyai sikap masing-masing terhadap apa yang diperkatakan di atas. Ada yang mengambil sikap semua itu tidak perlulah difikirkan sangat. Apa yang penting baginya ialah melakukannya sedaya mampu. Ada yang ingin menilai sama ada hal-hal yang ingin diraih itu mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) atau sasaran utama tahunannya. Seperti yang bermajikan, mereka mempunyai sistem pengukuran perkhidmatan yang disampaikan kepada pelanggan. Dalam sektor perniagaan atau industri semua ini amat penting. Keuntungan dan kerugian selalunya diambil perhatian dari sudut sasaran ini.

Dalam dunia persuratan juga ada yang menggunakan pendekatan begini. Pada penghujung tahun telah dijadualkan senarai sasarannya dengan seboleh-bolehnya menghasilkan jumlah karya tertentu. Nah, apakah bagi anda ini memadai apabila mencapai sasaran yang dibuat itu menandakan anda telah berjaya untuk tahun tersebut? Sejauh mana nilai dalam karya-karya itu memberikan sesuatu nilai yang besar. Katakanlan novel anda dinobatkan sebagai peraih hadiah sastera kebangsaan, sejauh mana novel tersebut memberikan impak kepada pembaca. Apakah ada ahli masyarakat yang berubah setelah membaca naskhah karya yang terbaik itu? Ada tidak sajak-sajak yang benar-benar dinikmati pendengar? Misalnya pada tahun 2017 ini sebuah antologi puisi yang ditulis khusus kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, apakah sikapnya terhadap puisi-puisi yang ditulis itu? Kita percaya sudah pasti ada sesuatu kesan yang dirasai pemimpin kita ini. Alhamdulillah, tahun 2018 ini sebuah lagi kompilasi karya kreatif akan diterbitkan khusus buat YAB dan kali ini genre cerpen sedang diungkahkan.

Sumbangan para sasterawan tidak harus dipandang ringan sebenarnya. Setiap diri daripada mereka memiliki pandangan yang tersendiri terhadap sesuatu perkara. Sebagaimana para pemimpin yang berdedikasi dalam kepemimpinannya juga mempunyai sesuatu nilai untuk diterjemahkannya kepada khalayaknya. Khalayak pemimpin adalah rakyat yang dipimpinnya atau rakyat yang menyokongnya. Bagi sasterawan pula khalayaknya sudah tentu lebih luas lagi. Sasterawan tidak cukup mempunyai sebuah disiplin semata-mata apabila menuangkan pemikirannya di dalam karya-karyanya. Paling tidak seseorang sasterawan mempunyai pengetahuan yang luas terhadap alam persekitaran, sewajibnya mendalami dunia bahasa yang meluas, senario politik dan budaya masyarakatnya, bidang antropologi dan sosiologi serta dispilin-disiplin kejiwaan yang dia harus miliki. Sudah tentu seseorang sasterawan itu bukanlah calang-calang insan jika ingin menjadikan dunia sastera dan kesenimanannya sebagai sebuah kerjaya yang serius.

Wajarlah juga dalam memberikan penghargaan kepada para sasterawan itu harus dilihat secara lebih meluas lagi. Setelah meraih pelbagai anugerah persuratan baik dalam negeri di Sabah ini sendiri mahu pun di Kuala Lumpur bahkan di peringkat Nusantara, sasterawan yang berwibawa memang wajar diperingati. Menghargai mereka jangan tunggu setelah ketiadaannya di dunia ini. Berilah apa pun juga namun itu masih belum mampu menyamai peranan yang telah ia mainkan sepanjang kehidupannya.

Tahun 2017 adalah tahun terbaik buat penulis Sabah. Kita telah menyaksikan tiga orang tokoh sasterawan iaitu Datuk Haji Hussain Kasau, Datuk Jasni Matlani dan Datuk Haji Jalidar Abdul Rahim telah dinobatkan anugerah tertinggi sempena hari jadi Tuan Yang Terutama Yang DiPertua Negeri Sabah. Beberapa orang yang lain juga telah diiktiraf berdasarkan pencapaian masing-masing dalam dunia persuratan terutama kepada mereka yang terlibat sebagai pendidik dan aktivis persuratan.

Lebih menggembirakan para penggiat sastera dan kesenian di negeri Sabah berikutan pengumuman peruntukan RM3 juta oleh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman semasa membentangkan bajet negeri Sabah bagi 2018. Keprihatinan pihak Kerajaan ini ternyata bakal meningkatkan keghairahan golongan penulis dan aktivis sastera di negeri Sabah berkarya seiring dengan aspirasi kerajaan dalam membangunkan negeri ini sesuai dengan dasar TN50.

Ketika memberikan respon terhadap pengumuman itu, Datuk Jasni Matlani, Presiden BAHASA berkata agihan peruntukan itu benar-benar memberi manfaat dalam membantu persatuan penulis membiayai kegiatan penulisan mahupun pertemuan sastera di negeri ini, khususnya Festival Penulis Sabah, dan juga Mahrajan Persuratan Islam Peringkat Nusantara yang bertaraf serantau. Dengan peruntukan itu diharap membantu menghasilkan lebih banyak buku dan karya kreatif seterusnya mengangkat martabat para penulis Sabah yang benar-benar memberikan sumbangan yang besar di negeri ini.

Sehubungan dengan perkara ini ada juga baiknya dicadangkan agar mereka ini diberi pengiktirafan oleh kerajaan dengan pemberian hadiah lumayan setanding dengan nilai yang diberikan oleh beberapa kerajaan negeri lain kepada tokoh penulis. Ramai tokoh penulis kita yang berkelayakan diraikan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Sabah bagi memberikan pengiktirafan sewajarnya atas sumbangan amat besar di peringkat negeri, kebangsaan dan serantau.Hal ini perlu diberikan perhatian bersungguh-sungguh.

Mudah-mudahan 2018 bakal melihat gerakan sastera kita terus rancak dan memberikan maksud yang lebih besar dalam kalangan penggiat. Kita berharap juga agar dapat diperuntukkan untuk membina Pusat Dokumentasi Persuratan atau Muzium Sastera di Sabah, untuk dimanfaatkan para penulis negeri ini. Di samping itu juga  dapat membantu menggerakkan industri penerbitan buku, memugarkan industri buku tempatan, bagi membantu piawaian status negeri Sabah sebagai sebuah negeri maju di Malaysia.

Seperti disebutkan tadi, tahun 2017 menjadi antara tahun terbaik buat para sasterawan dan penulis. Aktiviti sastera begitu giat dilaksanakan. Pelbagai anugerah sastera dirai dan diraih. Penerbitan buku terus mantap meskipun tidak sebanyak tahun-tahun sebelumnya. Gerakan sastera tampak diberikan perhatian. Minat orang awam juga meningkat. Dalam keghairahan merai dan meraih segala macam penghargaan serta anugerah tidak semuanya diterima tanpa polemik. Ini lumrah. Sudah pasti ada pro dan kontra. Secara tidak langsung sastera juga menghadapi senario yang menarik. Saya fikir polemik tidak akan melemahkan gerakan sastera bahkan terus diperhebatkan. Gerakan ini perlu dimantapkan sejalur dengan kehebatan disiplin-disiplin yang lain. Program Suntik adalah contoh terbaik yang dianjurkan sejak bulan Ogos 2017. Kesan terhadap program ini amat besar terutama dalam melahirkan pengkritik tempatan.

Memang tidak semua aktiviti berlangsung dengan jayanya yang wajar menerima teguran namun tidak bermakna sebarang teguran itu menjadi tular pendekatan yang tidak sihat. Profesionalisme amat penting. Jika dijalankan mengikut jalan yang benar teruskan mengikut jalan itu dengan syarat buktikan hasilnya benar-benar jitu tanpa berselindung dengan niat, mesej dan agenda peribadi atau kelompok yang menyebabkan pertikaian terjadi. Sastera hanyalah alat, andai alat itu digunakan dengan betul sudah pasti manfaatnya memberi nilai yang hebat.  Misalnya kemenangan buku Kumpulan Cerpen ‘Cerita Monyet, Anjing dan Pohon Ginkgo‘ karya Datuk Jasni Matlani, puisi eceran karya Hajah Sahara Jais berjudul ‘Mujahadah Takdir dalam Kesturi Syukur’ dan drama berjudul ‘Buang’ karya Roziah Adama dalam Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015/2016 menampakkan bagaimana nilai profesionalisme dalam berkarya.

2018 bakal menjelang bersama azam dan harapan. Apakah peranan kita semata menulis untuk menuliskan semula sesuatu untuk dijadikan renungan dan ikhtibar? Mengarang novel, cerpen, puisi atau drama, apakah untuk sekadar kepuasan jiwa atau semata-mata meraih kehendak diri atas tawaran hadiah yang lumayan? Barangkali kita berada dalam kelompok-kelompok yang berbeza tetapi kebersamaan kita sentiasa berpaksikan nawaitu yang sama. Apapun sikap kita, dunia sastera pasti menginginkan citra bangsa yang dinamis, memiliki jati diri yang hebat seterusnya menjanjikan satu paradigma sikap yang hebat dalam dunia kepengarangan dan perjuangan. Elok dalam berjuang, elok membangun fikrah bangsa, elok memartabat budaya dan sastera.

Ramai telah meletakkan sesuatu pada aras-aras tertentu mengenai masa-masa lalunya dan masa-masa yang akan menjelma. Sesungguhnya antara hari ini dan esok serta hari-hari berikutnya hanya dibezai oleh angka satu. Apakah kita akan berubah selepas itu atau sekadar menyimpan azam melakukannya hanya pada setiap awal tahun? Kita tidak sedar barangkali bahawa orang lainlah yang akan berkata kita telah melakukan perubahan. Semoga, tahun yang mendatang ini memberikan kita semua kecemerlangan dalam melanjutkan perjuangan dalam kehidupan termasuklah cabaran dunia susastera tanah air. Bagaimana kepedulian masyarakat yang semakin menirus terhadapnya. Cabaran tidak akan banyak berubah malah akan lahir cabaran-cabaran yang bersilih ganti, kerana dengan cabaranlah kita terus siaga melestarikan makna kehidupan hatta makna perjuangan yang sebenarnya. Selamat Tahun Baharu, 2018!

© 2017 PUSTAKA IQBAL NAZIM

Jumaat, Disember 29, 2017

KARYA HASYUDA ABADI PADA 2017

INDEKS KARYA KREATIF DAN TIDAK KREATIF
SEPANJANG 2017


SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG (44 artikel)

8/1     Empati Karya Sastera
15/1   Penggunaan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Basahan
22/1   Sastera Kreatif Melayu Hubungannya dengan Bahasa Basahan dan Bahasa Penulisan
5/2     Konflik di Mata Penulis
12/2   Anjakan Diri dan Karya Berbobot
19/2   Interteks dan Pengaruh dalam Karya Sastera
26/2   Sastera dan Transformasi Ketamadunan
5/3     Nilai Nila dalam Berpesan-pesan
12/3   Beberapa Hal Mengenai Penyair
19/3   Tabiat Menunding Jari
2/4     Puisi Menghidupkan Cinta
9/4     Masyarakat Sastera Memasyarakat Sastera
23/4   Sastera Berwahanakan Multimedia dan Dunia Mobil
21/5   Pintu Laman-laman Sastera
28/5   Menghayati Nikmat Cahaya Ramadan
4/6     Jangan Sekali Mengingat-ingatkan Kebaikan
18/6   Benteng Jati Sastera Melayu
25/6   Diksi-diksi Kehidupan dan Keindahannya
2/7     Bahasa Peribadi dalam Karya Sastera
9/7     Puisi Bukan Satu Utopia
16/7   Sastera dan Bahasa Ibarat Irama dan Kata-kata
23/7   Nilai Puisi dalam Keperkasaan
30/7   Kebebasan dan Penentangan Karya-karya Eksperimen
6/8     Membaca dan Mengukur Tara Nilai Puisi
13/8   Membina Penulis Kreatif
20/8   Hiperbola di Sebalik Karya Sastera
27/8   Pena dan Pengilmuan Nurani
3/9     Bahasa Patriotisme, Bendera Seorang Warga
10/9   Sastera dan Khalayaknya
17/9   Kegeniusan Umat Melayu dalam Menyatakan Kebenaran
24/9   Hijrah, Bercahayalah Kalbu
1/10   Ekokritik Sebagai Disiplin Sastera
8/10   Citra Politik dalam Sastera
15/10 Bulan Bahasa Kebangsaan
22/10 Dwifungsi Bahasa Kebangsaan
28/10 Bahasa Jiwa Bangsa Jambatan Wawasan Perdana Negara
5/11   Dunia Buku dan Daya Pikatnya
12/11 Bahasa Sastera dan Kebebasannya
19/11 Karya Sastera Sebagai Sajian Pengapresiasian Estetika
26/11 Kuasa Membaca Memperkasa Tamadun
3/12   Adab di Dalam Sastera
10/12 Adat dalam Peradaban Melayu
17/12 Memekar Sastera di Taman Tamadun
24/12 Catatan Kecil Tentang Penyair
31/12 Mandala 2018: Harapan-harapan Buat Sastera


Rabu, Disember 20, 2017

Sekitar Rakaman Inspirasi Borneo

CREW RTM

























PUSTAKA IQBAL NAZIM

Logo Baharu IPS




Saya mencadangkan logi baharu ini buat Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Setakat ini saya belum menerima sebarang komen dari AJK atau ahli IPS.
Andai tiada sebarang komen dan pandangan saya akan batalkan.

Sekian. Terima Kasih.

Memekar Sastera Islami di Taman Tamadun


Oleh HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
MENGINGATI Rasul Junjungan tidak sekadar perarakan atau ceramah bahkan ikut diimarahkan dalam bentuk kesenian dan persuratan. Di negeri ini misalnya, perayaan Maulidur Rasul begitu sinonim dengan pengungkapan-pengungkapan sastera yang mesra. Misalnya penganjuran Mahrajan Sastera Islam yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Malam Mengucapan Puisi Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Melalui aktiviti ini masyarakat telah mengenali apakah peranan penyair dalam usaha menerapkan ajaran Islam melalui karya sastera khususnya puisi.
Sesungguhnya Mahrajan Sastera Islam berlangsung dengan berjaya sekali. Nadwah sastera Islam mengenengah ramai tokoh dari dalam dan luar negara. Bidang penerbitan pula menzahirkan banyak buku puisi berunsur Islam. Sebanyak 18 buah antologi puisi telah diterbitkan sehingga tahun 2005. Antaranya Antologi Puisi Kekasih (1987), Ujana Laut Ujana Hati (1989), Al-Kahfi (1992), Kiswah Rindu (1993), Qiam (1995), Kafilah (1996), Mujaddid (1997), Tasbih Rindu (1998), Cahaya (2000), Sapaan Bonda (2002), ‘Iktikaf (2003), Nyanyian Iman  (2004) dan Hadrah Cinta (2005). Buku-buku puisi ini menjadi khazanah sastera paling penting apabila membicarakan perkembangan sastera Islam di Sabah malah sebagai sumber penting sastera Islam nasional.
Pemikiran Islami dapat diterapkan menerusi nadwah yang dianjurkan, di situ sahaja dapat menyalurkan gerakan aktiviti persuratan Islam dan seterusnya mengekalkan kehebatan Mahrajan Sastera Islam yang menjadi miliki kita sekian lama. Bagaimanapun, untuk memiliki semua ini, bergantung kepada kewibawaan dan iltizam bersama.Penulis perlu dilibatkan, aktiviti kesenian Islam harus melibatkan kelompok yang lebih luas bukan semata-mata pihak-pihak tertentu semata-mata. Kesenian Islam itu bukan hanya pada seni nasyid, seni khat, seni kompang dan sebagainya tetapi ia harus menyeluruh. Apabila bertemua dengan sahabat-sahabat lama, ada perkara yang telah dengan sengaja menjadi buah cerita, cerita-cerita itu tetap sama. Sastera kita sepatutnya semakin melebar dalam intipati kehidupan masyarakat kita, yang telah digelombangi pelbagai perubahan budaya. Tentu sahaja apabila menoleh kembali ke belakang kita inginkan kegemilangan itu terus berlangsung.
Beberapa orang penyair terbaik dari luar negara pernah dipelawa menyertai Nadwah Sastera Islam sebagai salah satu program Mahrajan Sastera Islam.  Bukan mudah bagi penulis bahkan masyarakat tempatan menemui penyair nusantara Taufik Ismail atau Abdul Hadi W.M. secara lebih dekat selain membaca puisi-puisi melalui buku-buku mereka.Melalui aktiviti ini juga masyarakat diperkenalkan dengan tokoh-tokoh penyair selain berupaya membacakan puisi-puisi Islam bahkan diangkat sebagai tokoh penyair negeri yang disegani.Penobatan Tokoh Penyair Islam Sabah meletakkan penulis dan penyair terbaik bagi Negeri Sabah berada di pentas penghargaan. Itu kenangan yang tetap segar bagi saya dan saya fikir sahabat-sahabat yang terlibat ketika itu.  Menerusi Mahrajan Sastera Islam, kita telah mempunyai tokoh penyair Islam, antaranya Pengiran Haji Adnan Pengiran Abbas (Allahyarham), Datuk Haji Jamdin Buyung, Ustaz Datuk Haji Jalidar Abdul Rahim, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Allahyarham), Datuk Hajah Zaiton Haji Ajamain, Datuk Hajah Noraini Datuk Haji Salleh, Haji Harun Haji Salleh (Allahyarham), Hajah Sairah Haji Antin (Allahyarhamah), Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Ariff, Haji A.B.M Fajeer (Allahyarham), Hasyuda Abadi dan Datuk Jasni Matlani. 
Begitu pun kita bersyukur program Mahrajan Sastera Islam masih terus berlangsung sejak 2012 dan dijadikan program tahunan kepada daerah Membakut di bawah pimpinan Datuk Haji Mohd Ariffin Haji Mohd Arif. Mahrajan Sastera Islam membuka ruang lebih luas ke Nusantara lalu mengubah nama program kepada Mahrajan Persuratan dan kesenian Islam Nusantara. Beberapa orang tokoh sasterawan Nusantara dari Indonesia, Brunei dan Malaysia sendiri diberi anugerah penghargaan. Dua buah antologi puisi turut berjaya diterbitkan iaitu ‘Sinar Sidiq’ dan ‘Hitam dan Putih’. Pada tahun 2018 program ini merupakan tahun ke-7 dan akan diselaraskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JAHIENS). Antara pengisian yang telah dilancarkan ialah Pertandingan Menulis Khat Asean dan Peraduan Menulis Puisi Islam Asean.
Perancangan yang dinamik memerlukan iltizam yang amat tinggi namun hal-hal yang lebih umbi harus diserlahkan oleh para penyair untuk mendalami sirah Rasullah SAW sebagai pembawa rahmat dan merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar.Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.
Para penyair juga boleh memperteguhkan mesej Islami mereka mengenai Rasulullah SAW dari sudut politik baginda. Kekuatan politik Nabi Muhammad telah menjadi kuat apabila umat Islam berjaya mengalahkan orang Quraisy dan menakluk kota Mekah pada tahun 629 Masihi. Dengan kejatuhan Kota Mekah, penyair-penyair Arab yang mencaci agama Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW dalam puisi mereka merasa gentar dan mulai khuatir tentang hukuman yang bakal diterima.Dengan perubahan politik tersebut, penyair-penyair Arab mulai mengubah sikap mereka dan juga tema-tema puisi yang diciptakan.
Haji Zainal Arifin Abbas dalam bukunya bertajuk  Peri Hidup Muhammad Rasulullah S.A.W (1969: 28) menerangkan bahawa, satu, dua, atau tiga bait syair yang dapat memberikan pujian yang tinggi kepada seorang pembesar dapat menjadikan seseorang itu dipandang mulia dan membuka ruang untuk hidup lebih senang. Sebaliknya, satu, dua atau tiga bait syair yang dikesan menghina para pembesar, khalifah ataupun amir-amir dapat mencelakakan penyairnya.Justeru, bukan sedikit leher penyair yang dipenggal kerana syair gubahan mereka.
Sikap Rasulullah terhadap puisi umpamanya sangat menggalakkan kerana tindak tanduk Baginda sendiri mencerminkan kegemaran Baginda terhadap puisi-puisi bermutu. Pernah dikisahkan dalam suatu perjalanan bersama seorang sahabat, Rasulullah S.A.W. telah meminta sahabat baginda mendeklamasikan puisi gubahan Umaiyah bin Abi al-Salt, seorang penyair pra-Islam. Apabila sahabat Baginda berhenti bersyair, Rasulullah S.A.W. meminta sahabat tersebut menyambung semula sehingga ke seratus baris. Setelah selesai puisi tersebut dideklamasikan, Rasulullah bersabda bahawa di dalam puisi itu, Umaiyah bin Abi al-Salt hampir menjadi seorang Muslim. 
Kegemaran Rasulullah S.A.W. terhadap puisi terserlah apabila Baginda menggunakan tenaga beberapa penyair Muslim untuk membantu menentang musuh Islam. Antara penyair-penyair tersebut ialah Hassan bin Thabit, Ka’b bin Malik dan Abdullah bin Rawahah.
Hassan bin Thabit dikenali sebagai penyair yang mula-mula mempelopori tradisi puisi memuji Rasulullah S.A.W. Lantaran itu, beliau telah dilantik dan diberi kepercayaan selaku penyair peribadi Baginda dalam usaha menangkis sindiran dan kecaman penyair-penyair musyirikin. Rasulullah pernah berdoa kepada Allah yang khusus ditujukan kepada Hassan bin Thabit iaitu, “Ya Allah tetapkanlah dan kuatkanlah Hassan dengan Ruhul Kudus.” Menurut keterangan seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah bahawa, yang dimaksudkan Ruhul Kudus ialah malaikat Jibril.
Syair yang dihasilkan oleh Hassan ke arah membela dan mempertahankan Rasulullah dari menjadi mangsa ejekan dan penghinaan orang kafir Quraisy terutamanya dalam menangkis penyair-penyair yang terdiri daripada kaum musyirikin.Dalam peristiwa perang Badar, Hassan telah membela Nabi dari serangan syair kaum musyirikin yang menghina Baginda dan ajaran agama yang dibawa oleh Baginda.Namun begitu, Hassan dapat membalas segala syair mereka secara spontan.
Rasulullah S.A.W pernah berkata kepada Hassan iaitu, “Ejeklah mereka hai Hassan dan Jibril sertaimu.” Hal demikian diperjelaskan lagi oleh Abul Faradj al Isfihany di dalam kitabnya bertajuk Al A-Ghany yang mengatakan bahawa Jibril telah menolong Hassan dengan tujuh puluh bait syair memuji Rasulullah S.A.W.
Menurut riwayat Imam Abu Daud dari Ummul Mu’minin Aisyah r.a, Rasulullah S.A.W telah mengadakan suatu tempat khas di mimbar Baginda di Madinah bagi Hassan bersyair dengan tujuan membalas penghinaan  sekalian musuh yang memomokkan Baginda dan agama Allah. Menurut riwayat Ummul Mu’minin Aisyah r.a, beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Itulah dinding antara kita dan orang munafik, tidak ada yang mencintai Hassan melainkan orang yang beriman dan tidak ada yang membencinya melainkan orang yang munafik.”
Di dalam Al-Quran Allah SWT telah menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.”  (al-Ahzab 21: 670)
Ayat di atas menjelaskan bahawa, Rasulullah S.A.W. adalah ikutan atau contoh yang baik bagi orang yang beriman iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan pahala dari Allah SWT dan mengharapkan balasan pada hari kemuliaan serta mereka sentiasa mengingati Allah. Puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W. yang dijelmakan dalam kesusasteraan Islam khususnya dalam genre puisi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Baginda merupakan salah satu usaha para penyair melahirkan rasa kecintaan dan sanjungan terhadap Rasul Junjungan. Secara tidak langsung ia dapat membawa amanat bahawa nilai-nilai terpuji Rasulullah S.A.W. wajar dijadikan panduan dan suri teladan bagi membentuk peribadi Muslim dalam menggerakkan susastera Islami di taman tamadun sepanjang zaman.


PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017

Ahad, Disember 10, 2017

Adat dalam Peradaban Melayu


oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
ADAT adalah aneka kelaziman dalam sesebuah negeri berdasarkan kepada keadaan dan situasi sesuatu masyarakat itu. Ringkasnya, adat adalah peraturan hidup sehari-hari. Ia merupakan gagasan kebudayaan yang terdiri daripada nilai-nilai kebudayaan, norma, kebiasaan, kelembagaan dan hukum adat yang lazim dilakukan di sesuatu daerah. Secara umumnya, kelaziman atau kebiasaan sesuatu perkara yang dilakukan itu telah bersebati dalam kehidupan sesuatu masyarakat; dari suatu negara, kebudayaan, waktu atau agama yang sama. Adat dapat diteruskan dengan adanya informasi yang disampaikan dari generasi ke generasi, baik secara bertulis ataupun lisan.

Adat resam atau adat istiadat yang diterima oleh sesuatu bangsa merupakan cetusan peraturan dan panduan di mana ia adalah satu garis penentu sesuatu hukum yang dilaksanakan oleh masyarakat tersebut. Sesebuah masyarakat menjalani kehidupan berdasarkan amalan nenek moyang mereka sebagai menyempurnakan atau melaksanakannya sebagai satu peraturan. Peraturan ini menjadi amalan dan kebiasaan, menjadi sifat dan tabiat manusia semulajadi di mana lama-kelamaan telah menjadi satu kemestian yang diikuti secara turun-temurun bagi mengekalkan tradisi sesuatu kaum itu. Misalnya majlis perkahwinan, upacara bercukur, anak turun tanah, berkhatan dan sebagainya.

Boleh dikatakan setiap suku bangsa mempunyai adat dengan pengertian masing-masing. Justeru, bagi memahami maksud adat sesuatu suku bangsa itu kita harus menggunakan atau memahami budaya dan falsafah hidup mereka.

Ramai sarjana juga telah membuat pelbagai penafsiran bagi istilah adat. Setiap masyarakat yang mengamalkan adat resam adalah masyarakat yang hidup bertatacara. Ini memperlihat kehidupan mereka berlandaskan norma-norma kehidupan positif yang perlu dipatuhi. Adat resam, adat istiadat dalam setiap suku bangsa itu semestinya terdapat perbezaan dan berlainan dari cara perlaksanaan dan pemakaiannya. Namun, apa juga penafsiran dan perbezaan adat dalam sesebuah masyarakat itu, tujuannya adalah serupa, iaitu untuk membentuk suatu masyarakat yang maju, dinamik dan progresif, kerana adat dapat mencerminkan jiwa suatu masyarakat atau bangsa dan merupakan suatu keperibadian dari suatu masyarakat atau bangsa.

Menurut Zainal Kling (2004), dari segi etimologis, adat berasal dari bahasa Arab yang bererti kebiasaan. Masyarakat Alam Melayu yang telah menerima pengaruh Islam dan peradaban Arab, mengetahui erti dan konsep adat. Walau demikian halnya, ternyata bahawa hampir semua masyarakat Alam Melayu atau Nusantara, baik masyarakat itu telah menerima pengaruh peradaban Islam atau tidak, telah memadukan konsep itu dengan erti yang hampir sama dalam kebudayaan mereka. Mereka ini termasuk masyarakat tradisional yang masih mengamalkan kepercayaan tradisi (animisme dan dinamisme), atau telah menganut agama Kristian—seperti masyarakat Iban, Bidayuh, Kenyah, Kayan, dan Kalabit di Sarawak; Murut, Kadazan (Dusun) di Sabah; Dayak Kalimantan; Batak Toba, Karo, di Sumatera Utara; dan Toraja di Sulawesi, dan juga suku bangsa Filipina, hingga melahirkan sebuah kesatuan dasar budaya serantau yang sangat menarik.

Dalam masyarakat tradisi Alam Melayu, konsep adat memancarkan hubungan mendalam dan bermakna di antara manusia dengan manusia juga manusia dengan alam sekitarnya, termasuk bumi dan segala isinya, alam sosiobudaya, dan alam ghaib. Setiap hubungan itu disebut dengan adat, diberi bentuk tegas dan khas, yang diekspresikan melalui sikap, aktiviti dan upacara-upacara. Adat ditujukan maknanya kepada seluruh kompleks hubungan itu, baik dalam erti intisari eksistensi sesuatu, dasar ukuran buruk dan baik, peraturan hidup seluruh masyarakat, mahupun tata cara perbuatan serta perjalanan setiap kelompok institusi.

Adat muncul sebagai struktur dasar dari seluruh kehidupan dan menegaskan ciri keperibadian suatu masyarakat. Oleh kerana itu, adat biasanya memiliki cerita atau mitos suci, watak-watak asal-usul yang gagah dan unggul, serta memberikan dasar makna terhadap setiap peristiwa dalam siklus hidup manusia, serta eksistensi institusi dalam masyarakatnya.

Dengan demikian, dalam masyarakat tradisi, adat memiliki kedudukan suci hingga mencapai martabatnya; dipancarkan oleh kelakuan yang benar serta halus; sebuah ciri kehidupan yang menyerap sistem kepercayaan, hukuman, dan denda. Setiap individu yang melanggar, menyelewengkan, melebihi, mengurangi, atau menafikannya, akan menerima balasan dan hukuman, baik melalui pemegang kekuasaan adat itu sendiri maupun Tuhan dalam kepercayaan mereka. Sebaliknya, setiap yang berhasil melaksanakan adat, akan berkuasa, berwibawa, juga memegang, menjalankan, dan patuh kepada adat. Dengan demikian, adat memberi makna konfigurasi yang mendalam, serta makna kestrukturan dalam sebuah masyarakat dan kebudayaannya. 

Adat merupakan identiti yang berfungsi untuk mengintegrasikan seluruh masyarakat dan kelompok kecil masyarakat tersebut. Setiap kelompok akan dikenali oleh kelompok lain dengan perbezaan adatnya. Dalam rangka ini, adat juga menjadi identiti subkultur tertentu, seperti masyarakat Melayu membezakan adat orang Kelantan, Melaka, Perak, Johor, Deli, Riau, Bengkulu, Bangka-Belitung, Palembang, Kutai, Pontianak, dan lainnya. Demikian pula konsep yang sama dipergunakan untuk membezakan atau mengenali orang asing di luar konteks masyarakat Melayu.

Kegagalan kultural orang bukan Melayu, dalam rangka mengikuti cara orang Melayu duduk, makan, atau bersalaman pada upacara perkawinan misalnya, adalah kerana adat yang mereka gunakan berbeza dengan adat Melayu. Jika kesalahan adat ini berlaku sesama masyarakat Melayu, maka dengan sendirinya ia akan mendatangkan hukuman atau sanksi. Paling tidak seseorang itu dilarang berbuat atau menyebut sesuatu, kalau pun tidak dimarahi dengan hukuman tidak tahu adat atau tidak beradat. Dengan demikian adat memiliki fungsi (pengenalan) dan juga normatif (hukuman). Kedua fungsi ini berlaku dalam rangka hubungan manusia dengan sesama manusia, dan manusia dengan alam (baik alam kasat mata mahupun alam ghaib).

Menurut Tenas Effendy salah satu yang dihindari oleh orang Melayu adalah ia tidak tahu adat atau tidak beradat. Pernyataan ini bukan hanya sekadar hinaan, yang dimaknai secara budaya adalah kasar, liar, tidak bersopan santun, tidak berbudi—tetapi juga ia tidak beragama, kerana adat Melayu adalah berdasar pada agama. Jadi tidak beradat sinonim maknanya dengan tidak beragama (2004:57).

Ungkapan adat Melayu menjelaskan, biar mati anak, jangan mati adat mencerminkan betapa pentingnya eksistensi adat dalam kehidupan masyarakat Melayu. Dalam konsep etnosains Melayu, dikatakan bahawa mati anak duka sekampung, mati adat duka senegeri, yang menegaskan keutamaan adat yang menjadi anutan seluruh lapisan masyarakat dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa, dan bernegara. Dari sisi lain, makna ungkapan adat biar mati anak jangan mati adat mengandung makna bahawa adat (hukum adat) wajib ditegakkan, walaupun harus mengorbankan keluarga sendiri. Maknanya adalah adat adalah aspek mendasar dalam menjaga harmoni dan konsistensi internal budaya, yang menjaga keberlangsungan struktur sosial dan kesinambungan kebudayaan secara umum. Jika adat mati maka mati pula peradaban masyarakat pendukung adat tersebut.

Menurut Husin Embi et al. (2004:85), masyarakat Melayu kaya dengan adat-istiadat, yang diwarisi secara turun-temurun dari satu generasi ke generasi berikutnya. Komitmen yang ditunjukkan oleh masyarakat Melayu terhadap adat ini, jelas tergambar dalam ungkapan berikut ini.

Kecil dikandung ibu,
Besar dikandung adat,
Mati dikandung tanah.

Biar mati anak,
Jangan mati adat.

Laksmana berbaju besi,
Hidup berdiri dengan saksi,
Adat berdiri dengan tanda. 

Lebih jauh menurut Tenas Effendi (2004:58), masyarakat Melayu menyatakan bahawa: Apa tanda Melayu sejati? Adat resamnya pakaian diri. Apa tanda Melayu terbilang? Adat dipakai pusaka disandang. Apa tanda Melayu bertuah? Memegang amanat ia amanah. Jadi contoh ideal seorang Melayu adalah ia memahami, menjalankan, dan menghayati adat. Sehingga ia akan selalu menggunakan adat dan pusaka budaya dalam kehidupannya, dan ia menjadi orang yang amanah (salah satu contoh ideal kepemimpinan dalam Islam).

Pentingnya adat dalam kehidupan masyarakat Melayu adalah berfungsi untuk mengatur hampir semua sisi kehidupan, memberikan arahan dan landasan dalam semua kegiatan, mulai dari hal yang besar sampai kepada hal yang paling kecil. Adat mengajar orang untuk menjadi manusia beradab, bersopan santun, toleran, saling menghormati, tahu diri, tolong-menolong—agar dapat menciptakan suasana kerukunan dan kedamaian dalam kehidupan bermasyarakat, berbangsa, dan bernegara. Selain itu, adat Melayu bersumber dan mengacu kepada ajaran Islam. Oleh kerana itu adat dijadikan identiti setiap peribadi orang Melayu. Sesuai dengan ajaran adat Melayu, kalau hendak tahu kemuliaan umat, tengok kepada adat-istiadatnya, bahasa menunjukkan bangsa, adat menunjukkan umat.

Rujukan Kepustakaan:

Husin Embi (et al.). (2004). “Adat Perkawinan di Melaka.” di dalam, Abdul Latiff Abu Bakar dan Hanipah Hussin (ed.), 2004. Kepimpinan Adat Perkawinan Melayu Melaka. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka.

Tenas Effendy. (1994). Tunjuk Ajar Melayu. Yogyakarta: Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu. 

Tenas Effendy. (2004). Pemakaian Ungkapan dalam Upacara Perkawinan Orang Melayu. Yogyakarta: Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu
.
Zainal Kling. (2004). “Adat Melayu.” di dalam Abdul Latiff Abu Bakar dan Hanipah Hussin (ed.), 2004. Kepimpinan Adat Perkawinan Melayu Melaka. Melaka: Institut Seni Malaysia Melaka.


PUSTAKA IQBAL NAZIM © 2017