Apa yang ingin disampaikan penulis kepada khalayaknya? Siapakah khalayak tersebut?
Kita selalu bermimpi seorang raja mendeklamasikan sajak-sajaknya di hadapan rakyat jelata. Rupanya para penyair itu hanya sebesar debu yang diambil tahu oleh segelintir orang. Segelintir orang itu pun mereka yang sama. Deklamator didengari para deklamator, yakni khalayaknya hanya dalam kalangan penggiat serta peminat yang bilangannya amat terhad. Buku sajak dibeli dan dibaca oleh komuniti yang sama. Penulis bertukar buku seperti bertukar cenderamata sesama sendiri. Penulis junior hadiahkan bukunya kepada sang senior agar sang senior tahu kehadirannya. Paling tidak nantinya diapresiasi dalam makalah dan sebagainya. Agar senario ini terus berkembang malah perlu dipalu genderang sastera lebih mendunia, ia harus tak terhad dari segi khalayak.
Apresiasi karya sastera diperhebat ke seluruh pelusuk jagad bersesuaian dengan keperluannya. Kelab sastera harus diwujudkan di setiap sekolah dengan mewajibkan pelajar menghasilkan karya kreatif masing-masing. Apresiasi karya diperkasa melalui seminar di peringkat institusi pendidikan. Tentu tidak bersalahan sastera diperkasakan di peringkat kampung, kawasan taman perumahan menerusi aktiviti-aktiviti komuniti rukun tetangga dan seumpama dengannya. Di media elektronik seperti radio harus memantapkan lagi ruangan seni sastera seperti penyiaran cerpen dan pengucapan puisi diperhebatkan lagi dengan apresiasi mengikut masa yang bersesuaian buat pendengar. Para penyiar wajar kreatif supaya ruangan seni sastera itu tidak membebankan pendengar.
Nah apa yang sering menjadi halangan adalah soal dana untuk semua ini. Mungkin segelintir pengurus media tidak mengambil berat soal kepentingan sastera dalam kehidupan manusia. Hinggakan nilai sastera hanya layak disiarkan tanpa menghargai jerih perih para penulis. Penggiat sastera dipandang sebelah mata atau tak memandang sebagai sebuah profesi yang dihormati. Sasterawan hanya untuk sasterawan.
Mengapa sasterawan tidak dilibatkan sebagai juri rancangan-rancangan popular di stesen TV baik perdana mahupun swasta? Rancangan Raja Pantun yang sedang dipopularkan di sebuah stesen Tv swasta hanya melibatkan artis. Apatah lagi kualiti pantun sekadar suka-suka atau tidak lebih sebagai muatan hiburan tetapi mengabaikan nilai keindahan serta pengajaran dalam pantun itu sendiri. Sebagai sebuah warisan dan khazanah bangsa kita wajar memahami kewajaran terhadap sesuatu itu dalam satu acuan yang serius. Waima untuk berhibur atau mencari keuntungan material daripadanya, pihak penganjur patut peka terhadap nilai yang diambil itu sebenarnya mewarnai realiti rakyat Malaysia.
Sastera sebagai warisan, sastera sebagai wacana atau pentas, sastera sebagai pendidikan akal budi, sastera sebagai hiburan, sastera sebagai jati diri, sastera sebagai jambatan hububgan etnik dan apa jua ungkapan, motto, kalimah - isunya sastera harus berada di mana-mana. Khalayaknya juga berada di mana-mana yang memahami aksara, makna, bunyi, rasa, hidu, dengar dan nikmat, semuanya tergalas pada kita, samada mahu atau tidak mahu, samada sedar atau tidak sedar, samada mahu mempertanggungjawabkan atau sebaliknya.
Pustaka Iqbal Nazim
Kg Gudon Kota Kinabalu
Sabah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan