Ahad, Disember 01, 2013

Kenangan di Padang, tak puas memandang





















PUSTAKA IQBAL NAZIM

Sesuatu Tentang Orang


 
ANDAIKATA seluruh Negara ini tidak ada lagi terlibat dengan rasuah di semua peringkat dan keadaan, tidak ada kejahatan, keserakahan, maksiat atau segala macam nilai kacau lainnya, meski tidak dengan serta merta lalu menyebabkan warga Negara ini semuanya menjadi begitu selamat dan lebih merentas ke arah kemajuan yang menyeluruh.

Kebenarannya, baik buruk, jahat atau tidak bukanlah faktor penentu nasib manusia. Dimensi dasar nilai hidup manusia adalah baik dan buruk, benar dan salah, indah dan tidak indah, sebenarnya belum cukup. Masih ada dimensi mendasar lainnya.

Ada orang mengucapkan sesuatu dan melakukannya. Ada orang mengucapkan tetapi tidak melakukan. Ada yang melakukan tetapi tidak mengucapkan. Ada yang tidak mengucapkan dan tidak melakukan bersama kepelbagaiannya.

Ada orang yang tahu sedikit tentang sedikit hal. Ada orang tahu banyak tentang sedikit hal. Ada orang tahu sedikit tentang banyak hal. Ada yang tak tahu banyak tentang banyak hal dengan kepelbagaiannya.

Ada orang mengkritik dan memberikan jalan keluar. Ada orang mengkritik tetapi tidak dapat memberikan haluan keluar. Ada orang memberi jalan keluar tanpa mengkritik. Ada orang tidak mengkritik dan tidak memberi jalan keluar dengan kepelbagaiannya juga.

Ada orang berjuang berteriak-teriak, dan melaksanakan perjuangannya. Ada orang berjuang tidak berteriak tetapi mewujudkan perjuangannya. Ada orang berjuang dan tidak sibuk mengumumkan di media bahawa ia berjuang kerana teriakan mengganggu strategi perjuangannya. Ada orang berteriak-teriak dan tidak berjuang dengan segala kepelbagainya.

Ada orang yang mengerti dan mengerti bahawa ia mengerti. Ada orang mengerti tetapi tidak mengerti bahawa ia mengerti. Ada orang yang tidak mengerti tetapi mengerti bahawa ia tidak mengerti. Ada orang yang tidak mengerti dan tidak mengerti bahawa ia tidak mengerti, juga dengan kepelbagainnya.

Ada orang sedang berdagang dan memusatkan diri, perlu pelayanan terhadap pelanggannya. Ada orang berdagang sibuk pada apa kemahuannya terhadap pelanggan sehingga lupa apa mahunya pelanggan. Ada pedagang yang tidak peduli amat pada kemahuan pelanggan dan tidak memberikan perhatian kepada apa mahunya sendiri dalam berdagang.

Ada orang berperang dengan berbekal semangat dan keyakinan untuk menang, dengan menghitung cuaca, medan dan musuh. Ada orang berperang sangat teliti menyelidiki kekuatan cuaca, medan dan musuh sehingga tidak sempat menghitung kekuatan dan kelemahannya sendiri. Ada orang berperang sibuk membanggakan kehebatannya sehingga merasa  tidak perlu memperhitungkan lawan. Ada orang yang berperang yang atas musuh tidak terhitung dan atas dirinya sendiri juga tak terhitung dengan segala kepelbagaian dan ragamnya.

Ada orang sangat khusyuk dengan prinsip dan idealisme dan sangat sungguh-sungguh memikirkan strategi terapan prinsipnya. Ada orang yang total memegang prinsip sampai tidak punya kekuatan dan waktu untuk memikirkan bagaimana menerapkannya. Ada orang yang habis usianya untuk tata kelola dan tata kerapan sampai tidak ada prinsip yang tersisa, di dalam dirinya. Ada orang tidak peduli pada prinsip dan tidak sungguh-sungguh  melakukan apapun.
 
Ada orang ingin memberikan kebahagiaan kepada orang lain dalam keadaan dirinya tidak bahagia. Ada orang memikirkan itulah kebahagiaan yang terbaik diberikan olehnya tanpa sedikit pun penghargaan kerana tidak memahami apa yang diberikan itu soal bahagia atau tidak. Ada orang tidak peduli bahagia atau sebaliknya kerana yang penting baginya dirinya bahagia.

Memperaga diri dengan nawaitu yang baik asalnya untuk kegembiraannya, dengan wajah dan penampilan yang sempurna, sebenarnya titik tolaknya itu tidak berhasil apabila bukan semua orang menyukai atas alasan tertentu. Ada orang merasa cukup cantik tapi  cantik itu lahir di luar. Ada orang di luar jelek sedangkan penampilan jiwanya cukup mempesona baik dan menjadi ingatan ramai orang.

Ada orang cukup kaya seperti tidak menerima makna kekayaannya. Ada orang cukup miskin tetapi menerima kekayaan yang melimpah ruah daripada Ilahi. Walaupun kaya, yakin diri ketika bercakap dan dengan bangga memberikan keputusan atau pandangan, dia begitu diberikan perhatian kerana kekayaannya dan kedudukannya dalam masyarakat. Kerana miskin atau tarafnya tidak begitu berada, jarang didengar kata-katanya malah sesuatu yang benar sering ditafsir salah. Inilah kepelbagaian nasib manusia.

Memberi makan anak-anak sekolah dengan memberikan makan ibu atau bapa guru ada orang membeza-bezakannya. Untuk murid seketul daging ayam yang dikerat kecil, untuk ibu atau bapa guru dua ketul daging ayam yang dipotong besar dan enak masakannya. Orang memberikan beza kerana kedudukan dan kerana siapa dia. Orang memberikan tempat duduk yang empok untuk VIP sambil orang-orang kampung hanya kerusi kayu yang tidak beralas. Jika beralas dibezakan warnanya, dengan beza itu kita tahu untuk siapa dan kepada siapa, memang itulah kepelbagaiannya.

Benar bahawa ketika mencari sempurna mesti tidak terjumpa kerana kita mencari, padahal ia datang tanpa disedari dan ungkapan itu bukan daripada diri sendiri melainkan nilaian oleh yang lebih arif. Macam sang ayam jantan, macam juga sang bebek, macam juga sang pungguk, macam sang helang, macam juga sang gajah atau sang belang yang sering dijadikan analogi kehidupan manusia. Gagah, garang, besar, temberang, bersuara besar dan seumpama dengannya tidak akan kelihatan demikian apabila nilaian atau tafsiran dibuat selain dirinya sendiri, selain diri kita sendiri.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Oktober 20, 2013

Pintu-pintu Laman Sastera



BUKAN selalu kita mengalami peristiwa yang menguja. Bukan juga selalu kita mengungkapkan sebuah apresiasi terhadap masa lalu. Zaman kegemilangan tidak bermula tanpa peristiwa namun peristiwa tidak mungkin dapat kita lihat dan rasai tanpa usaha merakam, menyimpan dan menjaga sebaiknya. Bukan juga mudah mewujudkan sebuah khazanah tanpa minat yang mendalam. Apakah keperluan sebuah khazanah itu tanpa mengambilkira kepentingannya selain disebabkan minat atau keinginan sebagai apresiasi kita terhadap masa sudah?

Kita sering mendengar tokoh-tokoh budayawan dan sasterawan yang memiliki khazanah masing-masing. Mereka melalui zaman yang terbaik kerana berjaya merakamkan setiap peristiwa tidak semata-mata dengan ingatan. Tidak semua insan yang berjaya dalam zamannya mampu mengingat dengan sempurna setiap detik peristiwa. Namun mereka yang berakal, kreatif dan sentiasa menyayangi masalalu tidak akan membiarkannya berlalu begitu sahaja. Ingatan itu harta paling berharga  tetapi tidak mungkin dapat dikongsikan jika tidak diceritakan. Seandainya ia tidak dipindahkan misalnya dalam bentuk tulisan, lukisan, imej-imej dan sebagainya, sudah tentu tiada apa yang mampu diterjemahkan mengenai suatu zaman yang sewjarnya kita hargai. Suatu masa yang begitu memberikan nilainya untuk sesebuah generasi.

Setiap generasi memiliki khazanah masing-masing dalam apa juga bidang tidak terkecuali berkaitan dengan sastera, bahasa dan budaya. Intelek mereka tersimpan di situ bersama citra generasi sebelumnya. Setiap generasi juga sudah pasti melahirkan individu-individu yang berwawasan dan agung. Kita begitu mengaguminya atas dasar pemilikan itu.

Pengajaran masa sudah tidak akan berjaya dihayati hanya seandainya bahan-bahan berbetuk fizikal tidak disimpan dengan baik, tidak dipelihara dengan sebaiknya, tidak dirawat dengan sesempurnanya dan tidak dijaga oleh orang-orang yang mempunyai kesungguhan tertentu terhadapnya. Khazanah merupakan harga yang tidak akan sama nilainya dengan apa pun. Khazanah adalah harta masa depan untuk masalalu yang sentiasa hidup kerana ada yang beriltizam menghidupkannya.

Sebagai pencinta karya sastera, kita sewajarnya sentiasa beriltizam agar bahan-bahan sastera dipelihara dan bahkan dipulihara. Di Sabah, beberapa orang tokoh besar kita memiliki mini muzium sendiri, misalnya Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf melalui Dangau Budayanya di Papar. Koleksi beliau menjadi rujukan ramai ilmuan dan pelajar universiti. Datuk Haji Jamdin Buyung, penyair Sabah yang tidak asing, juga merekayasa sebuah muzium mini di rumahnya di Putatan. Keunikan muzium keluarganya ini terserlah kerana ketelitiannya mengumpul data, fakta dan juga foto-foto lama. Beliau juga meletakkan salasilah keluarganya dengan begitu lengkap. Kita juga boleh mengikuti sejarah gerakan sastera sejak awal. Selain kedua tokoh ini, Allahyarham Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) juga menyimpan kumpulan buku yang besar. Haji Hussain Kasau dan Jasni Matlani juga demikian, ribuan judul buku boleh ditemui di rumah mereka. Namun demikian, memiliki atau menyimpan sesuatu khazanah itu tidak bererti andainya ia tidak dipulihara dengan ciri-ciri bersistem.

Semasa melawat Laman Sastera K.Manis, sasterawan Brunei baru-baru ini, saya dan rakan-rakan begitu teruja dengan penampilan ruang khazanahnya, dari luar sehingga ke dalam. Di luar laman, K.Manis membina sebuah tugu buku gergasi yang menempatkan secara simbolik pintu-pintu yang memuatkan puisi-puisi pentingnya mengikut dekad. Sebelum masuk ke pintu laman sasteranya, terdapat sebuah ruai aktiviti. Menarik sekali, K.Manis atau nama sebenarnya  Haji Moksin Haji Abdul Kadir, memulakan mukadimahnya dengan menyebut 'pintu' sebagai salah sebuah puisi yang terdapat di bahagian depan laman sasteranya. Melawat laman sastera K.Manis, saya teringat Dangau Budaya Datuk Haji Shuhaibun. Persamaan mereka menyimpan apa sahaja bahan tulis termasuklah kad-kad undangan perkahwinan. Bezanya Datuk Haji Shuhaibun mengumpul kad-kad hari raya. Beliau juga merekod kehadiran pengunjung.

Kecenderungan ini merupakan suatu kelaziman dalam kalangan seniman yang begitu menghargai apa sahaja yang mempunyai nilai sentimentalepada si pengumpul. Sesetengahnya menghargai pemberian orang lain. Sesetengahnya pula mencari benda-benda yang disukai seperti tongkat, majalah-majalah lama, gasing, nota-nota catatan dan sebagainya. Semua itu begitu bernilai, menguja bagi para pengunjung, memberikan aspirasi dan inspirasi buat generasi selepasnya untuk mengagumi, menghargai, mengetahui, mempelajari seterusnya mendalami sesetengah artifak itu dari sudut sejarah dan asal usul.

Haji Hussain Kasau misalnya, menterjemahkan pemikirannya lebih ke hadapan apabila meletakkan konsep 'iqrak' dalam usaha mengangkat sastera sebagai sebahagian daripada penyebaran ilmu. Beliau menamakan sebuah lokasi menarik miliknya sebagai 'Puncak Iqrak' dengan iltizam menempatkan para ilmuan, pengkaji serta pelajar berserasehan mengenai isu-isu berkaitan sastera dan budaya. Saya fikir lebih ramai mereka yang berkemampuan mewujudkan mini perpustakaan masing-masing. Jika K.Manis di Brunei tumpuannya kepada genre puisi, apa salahnya pengarang di Sabah memilih genre cerpen atau novel sebagai mauduk simpanan untuk dijadikan rujukan. Bukan sekadar koleksi buku tetapi kajian, hasil kajian, rakaman, keratan akhbar dan majalah disediakan sebegitu informatif sebagai bahan rujukan.

Para penulis juga boleh mewujudkan pusat hentian di rumah masing-masing, seperti yang pernah saya singgahi di Lantera Timor Jakarta, selenggraan sekumpulan graduan yang begitu mencintai ilmu. Di hentian ini mereka mengatur pelbagai program berkaitan sastera, tontonan filem, diskusi buku dan jualan buku-buku yang terpilih. Tentu sekali banyak manfaat yang diterima selain atas sebab kepelbagaian itu menjadi pilihan para penulis mengikuti sesi perkongsian sebagai mengisi masa lapang, apa tah lagi seandainya bidang-bidang yang disebutkan tadi merupakan kecenderungan mereka secara khusus. Sesiapa sahaja yang datang di ibu kota boleh singgah, memesan minuman atau makanan, mengakses internet melalui kemudahan wifi yang disediakan, sambil membaca buku dan surat khabar. Di situ juga boleh dijadikan hentian pertemuan para penulis, ahli persatuan, pelajar dan sebagainya.

Para penulis semakin ingin memaknakan pemikiran mereka. Penulis juga begitu teruja untuk memperlihatkan kesungguhan mereka. Apa salahnya, dengan sedikit sumbangan mereka menggerakkan usaha pemartabatan sastera itu melalui pintu rumah masing-masing. Seperti kata K.Manis, bukankah dalam kehidupan kita begitu banyak sekali pintu yang harus dilalui. Semoga pintu rezeki terus terbuka buat kita membesarkan ruai sastera kita masing-masing.
 


PUSTAKA IQBAL NAZIM