Rabu, November 28, 2007

Kemandulan Minda: sebuah tohmahan

Bila di Parlimen orang bercakap tentang sesuatu yang biasanya sebagai luahan semata-mata tetapi apabila luahan rasa itu sebagai tanggungjawab sosialnya saya fikir wajar juga diambil ikhtibar. Tentu sahaja ada yang kurang kena atau tidak kena. Apa yang sedia ada itu tidak sentiasa benar di mata semua orang. Dan ada ketikanya juga kita merasakan bahawa hanya kita sahaja yang betul. Orang lain itu tidak tahu apa yang kita buat itu sebenarnya tidak harus diperbetulkan lagi kerana setiap tindakan telah ditentukan justifikasinya. Namun sebenarnya taktik ini sering disalah guna. Apabila disalahguna natijahnya akan menerima tohmahan. Tohmahan inilah yang akan meletakkan jejak jelek mereka sebagai pelaksana setiap dasar. Barangkali selepas mendengar setiap butir tohmahan itu barulah berusaha mahu memperbetulkan yang difikirkan betul tetapi salah sebenarnya. Namun yang dianggap salah itu sering juga diletakkan di tempat yang salah pula dan bermulakah episod serasehan bukan-bukan. Bermulalah juga tunding menunding. Menegakkan benang yang basah. Inilah yang bermukim dalam fikiran yang mungkin pernah difikirkan orang lain. Bukan ungkapan yang sengaja diada-adakan.

Kenyataannya memang nyata. Kebenarannya memang benar. Barangkali tidak perlulah menyatakan yang benar atau yang salah. Paling penting membetulkan yang tidak betul. Yang penting juga ialah menidakkan pandangan orang lain tentang ungkapan kemandulan minda. Apakah justifikasinya sehingga wujud ungkapan begitu. Setelah 50 tahun negara kita merdeka, ada yang tega melontarkan ungkapan ini. Baik juga kita lihat semula ke dalam, jangan sekadar menerawangkan pandangan kita kepada orang lain di luar. Lihat kelemahan yang sedia ada, dan yang telah diketahui tetapi disembunyikan murnikan. Semua mahukan kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan. Namun jika lebih kepada kata-kata semata-mata atau ungkapan yang muluk semata-mata, tentulah ada yang berani berkata: ah temberang saja bah tu!

Jumaat, November 23, 2007

Khamis, November 22, 2007

Setelah Letih Bersastera

Bersastera suatu kerja mulia yang tidak perlu disukat atau diukur berdasarkan nilai yang nampak kerana memang tidak akan terukur pun. Ada waktunya kita begitu rajin, banyak berkarya (dalam kamus DBP - prolifik), banyak karya (produktif) dan ada ketikanya layu, bagaikan 'pokok separuh nak mati'. Penulis yang baru ada waktunya juga seperti pohon yang kekurangan air dan tidak cukup baja. Semangat untuk tumbuh cukup hebat tetapi apabila sudah bercambah di muka tanah semakin kurang bermaya lantaran dunia ini cukup mencabar kepada kehidupannya. Penulis, mungkin begitu. Maka seperti setelah bekerja keras, merasa letih.

Kata sesetengah orang penulis itu tak mungkin berhenti menulis kerana berhenti bermakna dia berhenti berfikir. Menulis itu suatu kegiatan berfikir. Tidak ada apa dalam karyanya jika tidak ada perkara yang terhasil daripada aktiviti berfikir. Merakam peristiwa yang kemudiannya diterjemah sebagai bahan baca yang mengandungi elemen baru untuk pembaca berfikir juga tidak dapat lari daripada medan berfikir. Seorang penulis yang berjaya menyelesaikan sebuah cerpen misalnya sekali duduk, terhasil setelah ia puas atau berhempas pulas berfikir. Apakah bahan yang diperolehinya itu boleh menjadi sesuatu yang berfaedah untuk dinikmati pembaca, sudah menjadi unsur penting hingga dia merenung jauh, jauh atau dalam, dalam. Hingga bila melihat pokok, telus tembus ke pokok-pokok lain, begitu juga bila melihat gunung ganang, pandangan kalbunya boleh menyeberangi ke segala ceruk rimba. Apabila merenung kegelapan malam, dia boleh memandang kelahiran esok pagi bahkan hari-hari yang berlalu lama dulu.

Apakah pembaca faham atau menerima apa yang difikirkannya, itu persolan lain. Baik atau tidak sesebuah karya itu soal kemudian. Setelah diedar atau diterbitkan, karya itu sudah sebahagiannya menjadi yang lain, bukan seperti asal. Orang boleh membuat apa sahaja tanggapan. Puisi atau sebuah cerpen bahkan novel dan drama sekalipun, orang akan membuat tafsiran yang berbeza-beza. Saya faham tulisan Suhaimi Haji Muhammad mungkin orang lain tidak, begitu juga karya Kemala, Usman Awang, Hatta Azad Khan, Johan Jaafar, Marzuki Ali, Azmah Nordin, Jasni Matlani, Noraini Osman dan seumpamanya. Orang kata ada cara untuk mencari makna sesebuah karya itu. Gunakan tanda atau perlambangan. Cari pendekatan penulis-penulis berkenaan. Hampiri latar kehidupan penulis karya berkaitan. Dan macam-macam lagi, tidak payah diceritakan. Orang yang tahu asam garam karya sastera, lebih faham apa rahsia rasanya. Mungkin juga memenatkan. Atau meletihkan. Bagaimana kalau penulis yang dulunya gah dalam dunia sastera, kita sudah begitu letih bersastera, melihat kegiatan sasteranya hanya sebagai kenangan, tetapi itu pilihannya untuk berhenti berfikir untuk sastera, mungkin kata orang begitu.

Berfikir itu bukan sekadar kerana bersastera. Berhujah tentang sesuatu perkara dalam konteks yang lain juga boleh terjadi. Sastera ini kadang-kadang hanyalah singgahan orang yang letih berfikir perkara-perkara yang rutin. Dia melepaskan masalahnya di arena sastera. Jadilah sebuah ciptaan yang dangkal dan asal siap, kurang nilai seninya, kurang diksi yang mencabar, dan inilah karya yang mungkin diterima lantaran mudah difahami. Sedangkan mereka yang benar-benar menggilai sastera yang sudah berani membenarkan pilihan diksi di luar kebiasaan, diletakkan di suatu kamar lain. Misalnya begini, jika puisinya dipilih dalam KOMSAS, karya itu disimpan dulu...Letih juga, namun menyeronokkan juga. Berbicara tentang sesuatu yang kurang disenangi, tidak begitu mudah difahami... Orang boleh kata itu dan ini... Orang juga terajak mencari ... katakanlah di Kemsas sekarang ada hujahan sastera yang perlu diketahui, orang di luar sana berusaha membuka milis Kemsas. Wah, berbaloi juga ungkapan Dinda Sasjira... Letih yang nikmat. Nikmat sastera berbeza rahsianya dengan rahsia-rahsia rasa yang lain. Tidak percaya mari masuk ke kamarnya...

Khamis, November 08, 2007

Catatan yang Tertangguh

Sejak beberapa hari lepas saya kepingin menulis sesuatu yang boleh difikirkan bersama. Tiba-tiba pada satu hari ketika kudapan dengan JY, deria rasa seorang yang mahukan dunia sasteranya dibangunkan dengan cara yang lebih tuntas mula gemas, apabila dia meminta saya mewara-warakan sebuah aktiviti bengkel penulisan cerpen. Bukankah bagus, usaha memberikan bimbingan kepada penulis-penulis baru dengan harapan siapa tahu dapat dibina angkatan terkini di pentas sastera kita beberapa tahun kemudian. JY mulai membayangkan apa yang ada dalam fikiran sahabat dan abangnya ini. Saya hanya tahu membuang sebuah keluahan berat saat itu. Siapalah kita, saudaraku. Itu kata saya kepada JY. Saya mahu lupakan sementara waktu hal ini. Bila membaca tulisan Abd. Naddin di Kemsas tentang pertemuannya dengan Ibu Dayang Salmah Salam yang antaranya berkaitan dengan nama-nama premis seperti hospital di Kota Kinabalu (Queen Elizabeth) dan Sandakan (Duchess of Kent), rupanya masih ada nama-nama yang sudah seharusnya digantikan. Misalnya, Maktab Perguruan Kent atau Pekan Beaufort. Tentulah akan ada ungkapan bahawa nama atau tempat yang bernilai sejarah perlu dikekalkan. Tetapi ironinya pula ada satu tempat yang langsung tidak menepati makna sebuah nama dengan unsur-unsur setempat. Apa yang saya maksudkan ialah 'Warisan Square' yang menjadi laluan ke Anjung Senja di Bandar Raya Kota Kinabalu. Istilah 'warisan' itulah yang menjadi masalah saya. Warisan apa? Abd Naddin tahu ini kerana saya pernah menghantar SMS baru-baru ini. Warisan barat? Aktiviti di situ malah lebih dekat kepada 'Little Europe' sebenarnya. Nama-nama kedai pun jauh lebih kepada untuk pelanggan-pelanggan yang berada. Ya benar barangkali di situ menjadi tumpuan para pelancong. Mungkin saja saya salah. Orang kecil yang hanya tahu makna 'warisan' itu sebagai sesuatu yang harus dihargai lantaran punya nilai masa lalu.

Sebetulnya saya berada di atas meja yang sama dengan bapak Surya Irawan ketika apa yang difikirkan belum sampai di penghujungnya. Bapa Surya Irawan? Setahun lalu saya bertemu di Kuala Lumpur, juga tanpa disangka. Orang yang pernah memberi laluan karya saya tersiar di akhbar kira-kira 26 tahun lalu berada di hadapan saya selepas tidak bertemu apabila beliau bersara sebagai editor akhbar Harian Ekspress. Kali ini di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah ketika beliau sedang mengurus dokumen perjalanan keluarga untuk ke Bandung. Beliau sudah kelihatan berusia (seperti yang anda lihat di muka depan laman web Kemsas). Kami mula bercerita apabila Pak Surya bertanya khabar IPS. Beliau menyentuh bagaimana karya-karya sastera popular yang memang baik dari segi estetikanya tetapi kosong hal-hal dalaman seperti nilai falsafah. Karya seperti ini memang menjadi pilihan lantaran mudah difahami dan memperihalkan citra semasa yang dominannya kepada golongan remaja dan dunia cinta. Diakui memang tidak salah hal-hal cinta terus menjadi intipati citraan para pengarangnya yang ramai wanita (?), tetapi dalam tempoh berapa tahun ia boleh bertahan? Pak Surya mengingatkan saya supaya menulis sesuatu yang boleh membangunkan sastera secara menyeluruh. Buat kritikan tetapi biarlah kritikan itu membina tanpa niat yang lebih kepada ingin menjatuhkan orang lain. Karya yang bernilai sastera walaupun apa pun mauduknya seperti memberi komentar harus ada unsur seninya. Pembaca malah akan merasa teruja, penulis yang karyanya dikomentar juga merasakan bahawa sesuatu teguran atau kritikan itu tidak memberikan sebarang masalah dalaman. Tidak terkongkong kepada ingin menegak benang atau mencanai kesalahan yang lebih 'kuman' padahal tanpa disedari ada kesalahan 'gajah' di hadapannya! Saya tidak pernah lupakan Pak Surya Irawan yang pernah mengatakan pada tahun 1986 di Sandakan bahawa beliau juga gemar kepada puisi-puisi eksperimen. Dan, memang benar bahawa ketika beliau menjadi Editor Bahasa Malaysia akhbar Daily Express, sastera di surat khabar kelihatannya hebat berbanding akhbar-akhbar lain yang ada ketika itu. Peluang para penulis menulis lebih banyak berbanding sekarang kecuali sebuah cerpen dan beberapa buah puisi pada penghujung minggu. Kalau pun mahu berbangga dengan wacana sastera yang ada masa ini, masih juga belum banyak memberikan ruang kepada para penulis melebarkan agenda sastera untuk difikirkan bersama khalayak ramai.

Dua manusia yang sering berada dalam fikiran saya inilah, Surya Irawan dan seorang lain Haji Hussain Qasau. Sesekali saya tidak berasa ketiadaan apabila berhadapan salah seorang daripada mereka ini. Namun untuk sastera di surat khabar, ketiadaan Surya Irawan memang amat dirasai bagi mereka yang tahu sejarah sastera di Sabah.

Jumaat, Oktober 05, 2007

Bagaimana 'Nawaitu' Tercipta

NAWAITU
Ingin dilihat besar kerana manusia
ingin dilihat kecil kerana Allah
Buat baik semata-mata kerana Allah
niatkan salawat ini kerana Allah
Merekapun datang berbodong-bodong
bersalawat beramai-ramai
Lelaki dan wanita
bersentuh bahu bersalawat memenuhkan padang
Mereka berkata, kami datang meramaikan
niat kami mengenang hijrah nabi
Namun hairan mereka ketika sampai waktunya
diangkakan bilangan ke sekian
Diberi senyum kerana mencapai rekod kehadiran
hingga habis salawat mereka berkeliaran
Padang ini sepi
mengharap redha dan restu Ilahi.
Saya tidak menyangka puisi NAWAITU menawan fahaman pihak panel penilai Hadiah Sastera Sabah 2004/2005 bagi kategori puisi. Hanya apa yang boleh saya ceritakan bagaimana puisi NAWAITU dicipta. Saya mulakan begini: satu kegilaan manusia di Sabah (di tempat-tempat lain saya fikir) ialah mencipta rekod Malaysia. Memang banyak sekali, misalnya, membuat bubu (lukah) paling besar, membina menara buah-buahan paling tinggi, mereka gasing paling besar, membaca puisi paling lama dan sebagainya lagi. Kecenderungan sebenarnya bukan kegilaan. Kecenderungan manusia di tempat saya ini menyusur pula dalam dakwah. Pada satu ketika, semasa menyambut Maulid Rasul S.A.W, dianjurkan program di Pandang Merdeka, mempelawa seramai mungkin orang Islam berkumpul. Ramailah yang datang dan menyanyikan Salawat Badar beramai-ramai. Positifnya upacara begini mengangkat agama dengan ungkapan-ungkapan kasih kepada Rasul S.A.W. Namun negatifnya program ini telah memperlihatkan kemungkinan-kemungkinan riak, tidak ikhlas dan yang lebih jelas dalam fikiran saya ialah mengapa hal-hal peribadatan ini pun direkodkan berdasarkan jumlah ramai orang mengambil bahagian. Saya menulis suasana ini dengan kesedaran yang tinggi. Memang saya pernah ditegur mengapa saya bercakap dengan lantang terutama dalam KEMSAS (Milis Kelab Maya Sastera Sabah). Natijah daripada itu saya merakamkan peristiwa tersebut dalam genre yang lain iaitu puisi. Terjadilah NAWAITU. Tentang niat seseorang terhadap sesuatu apatah lagi yang bersangkutan tentang ibadah dan akidah.

Wallahu a'lam.


Sabtu, September 15, 2007

Membedah Karya Sendiri


Bunyinya mungkin pelik tetapi bukan luar biasa, membedah karya sendiri. Ini mungkin boleh disamai dengan menceritakan proses kreatif. Para penulis sering ditanya bagaimana proses kreatif atau proses penciptaan sehingga karyanya tidak kiralah sama ada novel, cerpen atau puisi terhasil. Namun demikian, ada kalanya penulis seperti ini kesasar apabila berhadapan dengan mereka yang kurang faham tentang bedah karya sendiri ini. Penulis amatur beranggapan penulis ini 'syok sendiri' dan 'angkat bakul'. Mereka juga menanggap apakah ini salah satu cara mempromosi karya selepas menyatakan karya tersebut bermutu baik dan patut dibaca, patut dibeli untuk dijadikan idola atau contoh jika mahu terlibat lebih jauh dalam bidang penulisan.

Tentulah berbeza keadaanya jika bedah karya itu dibuat oleh orang lain, pengkritik sastera misalnya. Tentulah berbeza tanggapan. Inipun tertakluk sejauh mana niat kritikan itu dibuat. Ada kritikan promo, ada kritikan bina, ada kritikan angkat dan ada juga kritikan kawan. Idealisme seorang penulis itu berbagai-bagai. Barangkali dia boleh menghebahkan mengapa dia menulis sesebuah karya itu dengan memberi alasan-alasan terperinci kemudian diperkuat dengan elemen-elemen pembinaan hingga menyerlah sebagai sebuah karya yang diagungi. Itu pun memerlukan reaksi orang lain yang membaca. Apakah dengan pandangan beberapa orang yang rapat sudah memaksa dinobatkan itulah karya yang terbaik. Barangkali penulis ini berpandangan sudah sampai masanya para penulis bangun dari tidur dan mengkhabarkan kepada dunia bahawa 'akulah penulis yang hebat', 'aku menghasilkan sebuah novel besar', 'orang yang tidak membaca rugi besar tapi inilah buku yang terhebat dihasilkan oleh seorang aku bergelar penulis yang tiada tandingnya di negeri ini' dan sebagainya lagi. Wah, ini memberi tanda yang kurang enak didengar. Jika benarlah novel atau cerpennya atau buku puisinya itu memang versatil, sasa dengan gagasan-gagasan baru, teguh dengan buah fikir yang mampu diuji zaman kita tidak ragu-ragu untuk mengakuinya. Tapi harus bersabar dulu kerana karya besar tidak terjadi dengan masa yang terdekat tetapi bakal memakan waktu. Memerlukan juga peranan pihak-pihak lain. Bukan main sumbat, main tangkap atau main cakap sahaja.

Apapun juga terserahlah, jika ada yang begitu suka berkata 'akulah yang hebat' ya teruskan. Apa yang penting setiap langkah yang diatur akan menuju destinasi yang jujur, setiap ungkapan yang diperkatakan akan mengangkat kebenaran bukan kemegahan yang berlebih-lebihan. Saya pernah berkata bahawa zaman keemasan seseorang itu tidak akan berulang.

Menziarahi Pak Shuhaibun i

Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Pak Shuhaibun) menanggapi sastera sebagai kehidupan yang tidak pernah luntur dalam dirinya. Ini dibuktikan sehingga kini beliau terus menulis malah bersama-sama angkatan baru. Tidak pernah merasakan 'ketinggalan keritapi'. Sering juga menerima hadiah penulisan menandakan kemampuannya dalam bidang ini selain menerima pengiktirafan daripada Kerajaan yang membawa gelaran budayawan. Jejak penglibatan Pak Shuhaibun dalam dunia persuratan dan budayawan sudah bertapak berpuluh tahun. Tidak hairanlah beliau sentiasa dihormati, dihargai dan disanjungi. Insan seperti Pak Shuhaibun wajar diletakkan di tempat yang istimewa sebagai warga seni yang tidak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan. Beliau sentiasa ingin menyatakan sesuatu dalam tulisan-tulisannya bahawa dunia ini bergerak dengan kepelbagaian peristiwa, singgah dalam fikirannya, dan daripada bauran fikirannya Pak Shuhaibun menerjemah media yang dikuasainya seperti cerpen, skrip drama, puisi moden dan tradisi.

Saya amat menyenangi budayawan-sasterawan yang sudah berusia 70-an ini, kerana itu juga bersama-sama rakan di IPS melantik beliau menjadi Ahli Kehormat IPS. Setiap tahun kami melakukan ziarah ke rumahnya di Dangau Budaya Kampung Pengalat Kecil Papar. Seperti baru-baru ini iaitu pada 8 September 2007 saya bersama Ketua 2 IPS (Abd Naddin Shaiddin), Setiausaha IPS (JY), Ketua Penerangan IPS (Oneh Latifah Osman) dan AJK IPS (Rem dan Mohd Fuad) melawat beliau sekeluarga. Datin Ripah, isteri tersayang Pak Shuhaibun juga sentiasa ramah bersantai kira-kira 2 jam. Pelbagai isu kami bicarakan di majlis ziarah ini. Saya telah menyatakan beberapa isu terkini sastera di Sabah yang turut menyentuh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah. Saya mengulangi sikap saya terhadap kedudukan sastera masa kini yang berada pada tahap yang mencabar setiap individu yang bergelar penulis. Apatah lagi bagi penggiat dalam sebuah organisasi sastera yang berhadapan dengan pelbagai cabaran. Sambil menyatakan juga harapan agar para penulis di Sabah tidak cepat mengalah dengan cabaran sedia ada.

Pak Shuhaibun juga turut menyatakan hal yang sama. Namun yang lebih penting lagi beliau mengutarakan perasaan yang kurang menceriakan kehidupan senjanya kerana sering dipersenda walaupun sendaan itu berupa kesilapan orang lain yang sepatutnya tidak dilakukan. Apapun juga sebagai anak-anak yang menyayanginya kami sentiasa mendoakan kesejahteraan, keceriaan dan kesihatan yang berterusan.

Khamis, September 13, 2007

Sambulayang seorang Nandra

SAYA ingin menyatakan bahawa 'Sambulayang' masih mengekalkan tradisi produksi Teater Perdana dengan mempertahankan bentuk atau ciri-ciri sejarah penentangan rakyat pribumi terhadap penjajah kecuali 'Orang-orang Pulau'. Seperkara yang mungkin boleh dibincangkan ialah teater yang menyemarakkan Dewan Besar DBP setiap tahun sejak 2004 begitu ketara menumpukan kepada citra budaya etnik tertentu sahaja. (Mohon betulkan saya jika anggapan ini kesasar). Sekiranya teater berjaya mengangkat keinginan TYT berangkat hadir kerana pendekatan di mana manipulasi etniknya tertonjol saya fikir teater perdana tidak memberikan impak seni yang besar, sempit malah kerana andatila budaya etnik di Sabah begitu banyak jika diungkayahkan sebagai sebuah karya seni yang berprestij.

Isu kedua yang ingin saya utarakan ialah kononnya kehadiran Deddy M.Borhan dalam produksi Teater Perdana DBP Sabah kali ini disebabkan wujud kecercamerbaan di kalangan penggiat teater. Jika benar, saya fikir kebenaran ini juga telah meletakkan Deddy sebagai penggiat seni yang profesional. Meskipun beliau dikenali sebagai pendokong perfileman Melayu yang luar biasa pada suatu ketika, beliau juga mampu meletakkan dunia teater berada pada suatu tahap yang dibanggakan. 'Sambulayang' arahan Deddy mewujudkan kelainan membenarkan kenyataan Encik Zubaidi Abas, Pengarah DBP Cawangan Sabah sebelum pementasan perdana dilaksanakan. Saya tidak mengatakan inilah persembahan yang terbaik untuk slot Teater Perdana, kerana setiap produksi itu ada kelebihan dan ada juga kekurangannya. Jurang pemisah antara satu karya seni dengan karya seni yang lain tentulah terletak kepada kreativiti, 'teamwork' dan tingkat profesionalisme masing-masing. Sebagai hasil seni 'Sambulayang' cukup bermakna dalam pembangunan teater biarpun 90 peratus pelakon teater sejarah ini terdiri daripada nama-nama yang baru pertama kali beraksi di atas pentas.

Isu ketiga, berkaitan dengan skrip 'Sambulayang'. Saya ingin menyatakan pandangan peribadi saya berkaitan hal ini. Saya pernah bertanya kepada penulisnya Nandra Hitong (gambar) semasa kami mengajar Program Penghayatan Sastera dan Budaya (PPSB) di PLKN Kem Kubena Sipitang baru-baru apakah beliau dipelawa atau dijemput dalam apa-apa perbincangan tentang produksi teater perdana. Nandra sebagai nama penting dalam dunia teater di Sabah selain sebagai seorang pelukis yang berpengalaman, hanya memberikan reaksi selamba. Namun pada malam persembahan 7 September lepas, saya melihat wajahnya yang sugul serta sedih sekali. Saya melihat beliau duduk di anjung kantin DBP Sabah ditemani Karim Gullam dan seorang pegawai DBP. Ketika saya duduk bersama, saya mendengar kata hatinya. Memang beliau kecewa dan sedih kerana skrip 'Sambulayang' telah 'dihiris-hiris dan dicincang-cincang macam cendawan pada batang kayu'. Barangkali ia sekadar bayangan dalam fikiran saya sahaja (maafkan saya jika terlalu hiperbola), namun saya fikir perlu juga dijelaskan kepada penulis yang juga menggunakan nama Nandrayantirow dalam bidang penulisan kreatif tentang kedudukan yang sebenar.

'Saya tidak tahu saya harus berada di mana, makan di mana dan duduk di mana dalam majlis tadi?' adu Nandra. Saya merakam perbualan ini dengan baik sekali. Kesian dia, bunyi pesanan ringkas sahabat baik saya yang tidak hadir pada malam itu.

Kata Nandra lagi, 'Saya berada di celah-celah pemain dan tenaga produksi sehabis teater tetapi itu pun kerana diminta oleh Pengarah DBP kerana saya bukan bahagian dalam produksi'. Namun Nandra seorang yang rendah diri, bukan orang yang suka membesar-besarkan sesuatu, hanya mengambil kesimpulan bahawa apa yang dialaminya sebagai 'tetamunya sahaja yang perlu dibuai dan menerimanya dengan positif.'

Sambil ketawa kecil memandang saya membelek-belek buka cenderamata yang tidak terdapat gambarnya sebagai penulis skrip. Pada saya, penulis skrip wajar sekali dimaklumkan tentang apa sahaja yang berkaitan dengan produksi walaupun ada anggapan bahawa Nandra hanyalah penulis sedangkan skrip itu kini menjadi milik DBP namun dari segi hak inteleknya pula Nandra tetap berhak mengetahui sejauh mana berlaku rombakan skrip sebenar. Kedudukan penulis skrip biasanya berada di belakang dan dalam banyak peristiwa tidak begitu diperhatikan. Apakah para pemain kenal siapa Nandra, misalnya. Sekurang-kurangnya pihak pengurusan memaklumkan juga atau memperkenalkan ketokohannya. Sebagai contoh jika skrip 'Kursi" dipentaskan, jelaskan skrip ini dihasilkan oleh Hatta Azad Khan dengan menyebut profil beliau. Ketika Bagaton diangkat menjadi teks teater, Datuk Ismail Abas sebagai penulis asalnya dimaklumkan dan para pemain tahu dari mana cerita asal teater yang mereka akan mainkan. Begitulah seterusnya.

Apabila produksi pementasan teater mengambil teks daripada buku yang telah diterbitkan sepatutnya perlu kebenaran terlebih dahulu atas kuasa hak intelek seseorang penulis. Mungkin boleh dimaafkan jika kebanyakan penulis skrip drama yang sedia ada berada jauh dari kita tetapi jika seorang yang bernama Nandra Hitong yang berada lebih kurang 130 kilometer sahaja dari Bangunan DBP Sabah dan dengan adanya kemudahan teknologi kita fikir beliau amat berbesar hati mendengar terlebih dahulu justifikasi rombakan atau ubahsuaian skrip yang dimenanginya dalam Sayembara Menulis Skrip Drama Pentas anjuran DBP Cawangan Sabah ini.

Isu seterusanya, saya fikir teater perdana harus ditamatkan dengan program bedah karya. Pada saya ini penting apatah lagi jika program Teater Perdana ini dianggap sebagai aktiviti mega yang berbaloi dengan kosnya yang tinggi. Dengan adanya majlis bedah karya dalam bentuk diskusi atau serasehan yang dianjurkan dapat melihat kekurangan-kekurangan yang perlu ditingkatkan lagi. Yang lebih penting ialah agar produksi seterusnya bakal memberikan sumbangan lebih besar kepada dunia seni teater selain menjadikannya sebagai program khas sempena menyambut Hari Jadi TYT yang kita kasihi.

Akhir-akhir ini teater begitu semarak. Api keghairahan para penggiatnya menyala hebat. Penggiat yang pernah diam sudah mulai bangun. Mereka mula berteater keliling, mula mengembalikan zaman kecemerlangan mereka pada tahun-tahun 80-an dulu. Kalau dulu penggiat-penggiat ini 'mengusut' dengan KKBS (Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan) kini DBP menjadi payung menerusi slot Anjung Apresiasinya. Sesekali mereka menerima jasa baik daripada agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Senario ini memberikan gambaran terbaik kepada bidang teater. Namun ada kebimbangan sekiranya kedudukan teater berterusan begini atau tetap berada pada tahap sekadar mahu mengembalikan kegemilangannya semata-mata, sebaliknya tidak berusaha meletakkan teater sebagai profesion yang dihormati, hebat dan profesional.

Sudah sampai masanya penggiat teater berusaha menjadikan teater ini 'mahal' dalam pemahaman pendokongannya dan pelestariannya. Mahal dari segi pendekatan dengan membawa masuk golongan korporat dan gergasi-gergasi swasta. Namun begitu pihak kerajaan juga punya peranan yang amat besar misalnya menyediakan prasarana canggih selain keupayaan menyalurkan dana. Saya ingat apabila seorang pembantu menteri berkata suatu ketika dulu bahawa kerajaan negeri akan membina sebuah dewan atau panggung yang akan memberi keselesaan kepada penggiat teater di Sabah. Ungkapan ini diulanginya sekali lagi semasa melancarkan teater keliling Gabungan Teater Elit Sabah (GATES) di Dewan Institut Perguruan Gaya pada 3 September lepas. Pada saya tidak ada gunanya jika hanya mengulang-ulangkan kata-kata yang serupa sebagai retorik penyedap gegendang telinga dan membuat penggiat teater tersengih bukan disebabkan gembira tetapi serik. Seperti ungkapan-ungkapan yang terdengar setiap masa hampir pilihan raya umum, kita tidak mahu pentas seni dijadikan batu loncatan orang-orang tertentu yang berkepentingan. Jika ini terjadi teater hanya dinikmati oleh orang-orang yang seronok sendiri yang sepatutnya sepakat bersama-sama para pemimpin yang prihatin mengangkat seni persembahan warisan ini berada di tempatnya yang paling wajar.

Isnin, September 03, 2007

DARI DARUL SAADAH KE DARUSSALAM MENYIRAT JERNIH SELUT SASTERA

[Artikel Pilihan]
Tulisan ini pertamanya saya ingin membangkitkan fasal tiadanya penyertaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah[i] dalam pertemuan sastera rantau Borneo dan Kalimantan yang berlangsung pada 3 hingga 5 Ogos di Negara Brunei Darussalam. Apakah dialog Borneo ini hanya dilihat sebagai sebuah perjumpaan biasa sahaja tanpa melibatkan mereka yang seharusnya digalaskan tanggungjawab. Apatah lagi Dialog Borneo-Kalimantan yang kelapan berlangsung di Sandakan pada tahun 2005, dianjurkan oleh DBP Cawangan Sabah. Apakah segala usul atau rumusan yang telah disenaraikan telah diperbaiki, dimurnikan dan dilaksanakan? Malangnya kesinambungan dialog yang lalu tidak banyak disentuh menyebabkan usul yang sama diutarakan semula. Kami para peserta dialog ini tidak mahu bertanya lebih jauh tentang ketiadaan wakil DBP Cawangan Sabah, pertama mungkin memikirkan birokrasi organisasi yang harus dipatuhi dan keduanya beban kerja yang harus digalas oleh pegawai-pegawai DBP di Sabah yang jumlahnya relatif kecil sehingga harus melupakan komitmen mereka terhadap dialog berkenaan. Kita lupakan ini kerana ia sudah menjadi sejarah yang akan diingat setidak-tidaknya apabila dialog yang sama diadakan sekali lagi di luar Negara iaitu di Kalimantan Timur (KALTIM) sebagaimana yang telah dipersetujui.

Saya ingin menjurus langsung kepada sastera di Sabah yang secara peribadi saya berpendapat harus melalui cabaran-cabaran yang lebih besar lagi. Sebelum ini pun sastera kita ternyata terumbang-ambing merentas cabaran-cabaran yang sedia ada. Sastera sering dikaitkan dengan kegiatan. Pelaksanaan kegiatan pula memerlukan kos dan komitmen. Dan dua perkara inilah yang sering menjadi hambatan besar untuk melangsungkan kegiatan-kegiatan sastera. Malah melihatnya secara meluas misalnya untuk merasakan turut serta dalam gerakan kebangsaan dan antarabangsa, sastera di Sabah masih berada di tahap yang biasa. Bukan tidak ada yang terjadi tetapi ia lebih bersifat pesta semata-mata, ada kalanya bersifat 'asal ada', 'asal jadi' atau 'tidak apa' (contohnya, ada yang berpendapat kalau tidak ada sekalipun tiada siapa rugi, negarapun tidak menerima kesan apa-apa bagi sesetengah orang yang buta sastera). Maksud saya jelas iaitu bagaimana golongan sasterawan kita bekerja keras menghasilkan karya sastera tetapi berapa ramaikah yang ingin mengetahui peranan yang dimainkan oleh para sasterawan ini dalam pembangunan Negara, pembangunan minda bangsanya atau pembangunan kehidupan rakyat? Sastera hanya dilihat sebagai sesuatu yang mustahil memberi sebarang impak dalam kehidupan manusia. Anak-anak menjadikan aliran sastera sebagai pilihan terakhir setelah sains tidak memberikan harapan kepadanya dalam akademik. Walaupun pengajaran dan pembelajaran kesusasteraan Melayu telah dimasukkan dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah menengah namun ia lebih kepada untuk melahirkan pelajar yang mempunyai ketrampilan dalam bahasa, dan menghargai serta menghayati Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Negara. Pendedahan dan apresiasi genre sastera yang ditekankan masih bersifat 'orientasi peperiksaan'. Tiada sukatan apakah para pelajar itu telah menerima sastera sebagai bahagian dalam kehidupannya sepertimana mereka belajar mengira, membaca dan menulis. Sistem 3M yang menjadi asas kepada kemajuan para pelajar seharusnya asas-asas sastera juga patut ditekankan kepada mereka seawal prasekolah lagi.

Jika kita amati betul-betul sastera sebenarnya sudah ada dalam kehidupan kita. Hanya kita tidak menyedari kehadirannya yang secara fitrah itu. Mungkin juga kita tidak dapat membezakan mana yang sastera dan kelaziman kehidupan kita. Misalnya cara kita berhadapan dengan sesama manusia, haiwan, alam dan sebagainya lagi sebenarnya kita telah pun berada dalam lingkungan bersastera. Dalam kehidupan tradisi di desa-desa bagaimana peristiwa-peristiwa adat dilakukan dalam bentuk yang amat tinggi nilai-nilai sasteranya. Pergi jauh ke kota-kota besar, sastera juga menjadi pengimbang kepada kemelut kehidupan manusianya. Nilai-nilai yang murni sering dijadikan batasan apabila wujud sifat-sifat negatif yang melanggar norma kehidupan berorganisasi. Para pemimpin menggunakan langgam atau laras bahasa yang indah dalam penyampaian yang berkesan dan apatah lagi untuk mengekalkan pengaruhnya apabila tiba masanya mereka patut kekal bergelar pemimpin bangsanya. Sesiapa juga yang berada di pasar ikan, dalam bas, di pusat beli belah dan sebagainya menceritakan seribu satu hal dengan pendekatan sastera walaupun cara komunikasinya berbeza-beza; tidak kira sama ada mereka berbangsa Melayu, China, India, Kadazan, Iban, Bugis, Benggali, Orang Asli, Inggeris, Perancis, Jepun dan sebagainya. Saya telah menceritakan hal ini kepada para pelatih Program Latihan Khidmat Negara yang mengikuti Program Penghayatan Sastera dan Budaya dalam latihan mereka. Sastera itu tidak asing dalam kehidupan harian tetapi sejauh manakah kita memahami keberadaan sastera itu perlu diberitahu seawal anak-anak berada di sekolah sepertimana saya maksudkan tadi. Namun begitu, saya tidak nampak kesan yang besar elemen sastera diterima para pelatih PLKN yang hanya didedahkan selama 18 jam sahaja dalam tempoh 2 atau tiga hari untuk satu-satu peringkat program.

Memberi penghargaan kepada para penulis menjadi topik perbualan komuniti sastera khususnya para penulis yang merasakan kehadirannya dalam komuniti sastera. Kita mahu SEA Write Award diberikan kepada penulis Sabah bukan terhenti setelah Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) meraihnya beberapa lama dulu. Penulis-penulis Sabah sepatutnya turut berada dalam senarai calon penerima, bukan terhad kepada penulis-penulis besar di Semenanjung semata-mata. Sabah dan Sarawak juga mempunyai permata sastera yang tidak kurang hebatnya dalam kehadiran mereka sebagai penulis Malaysia. Apakah dengan kehadiran Jong Chian Lai dari Sarawak tampil di istana Raja Thai pada tahun 2006 melengkapkan keberadaan penulis dalam konteks Malaysia? Bukan bermaksud bahawa penulis bekerja semata-mata mengharapkan penghargaan. Penulis yang ideal dengan prinsip hidupnya mempunyai alasan sendiri apabila bercakap tentang penghargaan, anugerah, hadiah dan sebagainya. Duit bukan segala-galanya dalam kehidupan namun dengan nilai duit yang ada itu juga memberikan kesempatan para penulis menajamkan fikirannya semata-mata untuk memberikan kesedaran kepada orang lain. Rakyat yang miskin harus diberikan perhatian sewajarnya, rakyat yang kaya harus membantu mereka yang tidak bernasib baik, rakyat yang lupa diingatkan, rakyat yang leka disedarkan, rakyat yang tidak amanah ditegur, rakyat yang jenayah diinsafkan selepas melalui era hukuman. Konsep saling ingat mengingatkan ini amat relevan dengan tanggungjawab penulis. Rujukan-rujukan dalam bentuk buku tidak mungkin dapat ditemui tanpa penulis. Penulis yang masyhur dan berilmu memerlukan pembaca dan pembaca itu tentulah mereka yang mempunyai nilai beli yang baik. Kemudahan-kemudahan bacaan di perpustakaan juga akan kelihatan kosong tanpa buku yang memberikan cerminan kehidupan yang harus dicontohi. Seharuslah penulis menerima apa yang pernah diberinya itu sebagai penghargaan. Memang berbaloilah para penulis mendapatkan sedikit wang rakyat setelah pusingan keperluan dan tanggungjawab ini berputar.

Tidak semua penulis menerima Hadiah Sastera. Misalnya Hadiah Sastera Sabah yang berlangsung hanya memberikan penghargaan kepada karya-karya terbaik hasil kerja 27 orang penulis atau kurang apabila ada penulis yang menerima hadiah berganda. Bayangkan ratusan penulis yang lain, bagaimana dengan hasil kerja mereka itu? Saya tidak gemar bercakap tentang jumlah hadiah yang kecil untuk sebuah karya yang tidak harus dinilai berdasarkan jumlah wang yang disediakan. Namun ada baiknya kita kembali kepada matlamat hadiah sastera diwujudkan. Memberikan wang, sijil penghargaan … saya berfikir perlu ada sesuatu yang lain selepas ini. Tidak hanya digahkan dengan tetamu utama yang hadir. Pameran penulis yang ketinggalan zaman. Persembahan sambalewa yang tidak selektif. Sambil ucapan tahniah yang kedengaran hanyalah ungkapan basa basi kehidupan kita bermasyarakat. Saya menerimanya tanpa masalah. Apa yang saya fikirkan apakah impak daripada peristiwa besar ini (untuk para penulis dan sasterawan)? Habis selepas semua orang beredar? Habis selepas tetamu utama masuk ke perut kereta? Habis setelah para penulis berbual dan memberikan kata-kata yang penuh dengan kiasan sastera: selamat berjumpa lagi tahun hadapan! Bagaimana dengan karya-karya yang menang itu? Di mana karya-karya yang memenangi hadiah sastera sebelum ini. Adakah serasehan karya para pemenang dibuat? Adakah pertemuan rakyat dengan para penulis yang menerima hadiah sastera ini? Saya tahu semua ini tidak difikirkan atau mungkin difikirkan tetapi tidak tahu bagaimana mahu dilakukan. Mahu dilakukan tetapi apakah berbaloi dengan hasilnya kelak? Hasilnya nanti apakah berbaloi dengan kos yang perlu dikeluarkan?

Perlu ada kesinambungan dalam apa juga program yang dianjurkan. Perlu ada skala atau gred kerja yang sistematik dan profesional. Sayang sekali Majlis Bahasa dan Sastera Sabah sudah tidak bermaya melakukan sesuatu untuk komuniti sastera di Sabah. Saya tidak ingin memberikan tekanan kepada DBP Cawangan Sabah yang banyak melakukan aktiviti sastera di Sabah walaupun ada sesetengah aktiviti itu tidak memberikan faedah kepada sastera secara menyeluruh. Misalnya program yang dikaitkan dengan penciptaan rekod[ii] atau teater perdana yang dianjurkan itu selari dengan matlamat sebenar DBP di Sabah. Banyak dana yang disalurkan untuk aktiviti-aktiviti ini menyebabkan aktiviti-aktiviti asas tidak dilaksanakan. Kerana itu kita harus membantu agensi ini. Menerusi persatuan penulis yang ada seperti BAHASA dan juga IPS di Kota Kinabalu, WARISAN di Sandakan, PERWILA di Wilayah Persekutuan Labuan, banyak kerja boleh dilakukan agar sastera dan bahasa tidak dianggap sebagai keperluan sampingan semata-mata. Disentuh apabila terpaksa atau dipaksa menyentuhnya apabila isu mengenainya dibahaskan secara meluas. Walaupun begitu, persatuan-persatuan penulis juga terhad kepada kemampuannya juga. Saya pernah menyatakan dalam Dialog Borneo-Kalimantan ke-9 di Brunei baru-baru ini bahawa agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dan swasta juga harus memainkan peranan aktif mereka. Persatuan penulis tidak seperti persatuan-persatuan sukan, kesenian dan belia yang menerima bantuan setiap tahun. Tidak ada rekod menyatakan bahawa IPS misalnya menerima sekian-sekian peruntukan untuk melaksanakan aktiviti sastera dan bahasa. Soalnya agensi mana yang boleh menyalurkan sebarang dana untuk persatuan penulis? Tidak ada agensi khsusus yang menjaga persatuan penulis selain DBP. Di Sabah DBP merupakan cawangan yang berpusat di Kuala Lumpur yang tertakluk kepada birokrasi yang ketat. DBP di Sabah bukan milik kerajaan Negeri Sabah tetapi kerajaan Pusat. Kalau sukan ada Lembaga Sukan Sabah. Kalau kebudayaan ada Lembaga Kebudayaan Sabah. Kalau penulis, apa yang ada? Kita tahu sukan, apakah peranannya baik wilayah, kebangsaan dan antarabangsa. Kebudayaan kita juga tahu lebih kepada kesenian dan tarian atau warisan yang lebih bersifat pesta. Sedangkan penulis (baca: Sabah sahaja) hanya dilihat sebagai 'hamba abdi' yang melukut di tepi gantang. Mengapa 'hamba abdi'? Pada saya secara peribadi, kerana mereka bekerja dan bekerja, menulis dan menulis, mengerah fikirannya tanpa mengira masa tanpa diberikan perhatian. Ada masanya mereka menerbitkan buku dengan kos sendiri yang tidak mungkin menerima keuntungan pun. Sebab itu juga saya cadangkan agar kerajaan Negeri Sabah mewujudkan sebuah jabatan untuk menerbitkan buku para penulis Sabah. Mungkin Jabatan percetakan kerajaan boleh diberikan peranan ini.

Setiap hujung minggu kita membaca karya penulis-penulis di media massa[iii]. Tidak kurang daripada 2 atau 3 buah cerpen dan lebih 10 buah puisi disiarkan untuk tatapan umum. Ini bermakna sebulan kita akan membaca 12 buah cerpen 40 buah puisi atau 144 buah cerpen dan 480 buah puisi setahun. Ini tidak termasuk karya penulis Sabah yang disiarkan dalam media lain seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Wadah, Jendela Sabah dan majalah-majalah lain di luar negeri Sabah. Begitu banyak karya sastera yang terbiar sebenarnya. Saya akui ini berlaku. Karya-karya cerpen dan puisi yang berlambak itu hanya dijadikan koleksi sahaja tanpa sebarang usaha melestarikannya lebih luas seperti membuat kajian atau bedah karya atau yang lebih tepat bicara karya. Aktiviti ini amat penting jika kita mahu menjadikannya penting. Serasehan sastera yang pernah dilakukan oleh BAHASA atau IPS malah program-program berkaitan yang anjurkan di Sudut Penulis oleh Unit Sastera DBP Cawangan Sabah memberikan pengertian yang amat bermakna kepada penulis keseluruhannya. Memang yang dibicarakan itu karya dan bukan penulisnya, namun begitu karya tanpa penulis menjadi ungkapan yang janggal. Kerana itu perlu ada seorang pengkaji mengutarakan makalahnya yang turut dihadiri penulis berkenaan. Program ini patut diadakan berterusan. Setiap bulan wajib. Saya masih ingat cadangan yang pernah ditimbulkan selepas bengkel penulisan kritikan tahun 2006. Senarai tugas yang diberikan seolah-olah sebagai penyedap rasa. Ketika itu ramai yang ingin tampil menulis kritikan walaupun ternyata bukan bidangnya. Buktinya jelas. Penulis yang benar-benar cendrung dalam bidang kritikan juga yang masih praktis menulis. Selain Jasni Matlani dan Asmiaty Amat, siapa lagi. Kehadiran Cikgu Ramli A.R. sebagai pengulas puisi majalah Wadah yang terbit 3 atau 4 kali setahun amat dialu-alukan. Saya faham mengapa usaha kita mencari bakat penulisan kritikan ini masih mengekalkan situasi yang sama. Sesungguhnya bidang ini bukan gelanggang permainan sebagaimana kita boleh bermain kata-kata menerusi puisi atau berhujah melalui plot dan teknik penulisan dalam novel atau cerpen. Meskipun baik puisi, novel atau cerpen juga memerlukan kajian yang mendalam agar karya itu lahir sebagai sebuah karya yang diakui, kritikan harus lebih daripada itu. Kritikan tidak semudah kita mengkreatifkan peristiwa yang kita nampak, dengar dan baca. Kritikan harus melalui latihan-latihan yang menyeluruh, kajian yang berpunca, hujah yang berjejakkan fakta yang bukan khayalan, semata-mata impian atau ilham yang datang demi menyedapkan naluri para pembaca.

Saya ingin mencadangkan supaya kita sering mengadakan pertemuan. Mungkin idea ini lapuk dan ketinggalan namun sebagai aktivis sastera atau pengamal sastera yang komited saya fikir ada keperluan supaya para pemikir berjumpa sekurang-kurangnya sebulan sekali atau dua bulan sekali. Tidak perlulah di tempat yang besar atau jumlah peserta yang ramai. Yang penting ada isu atau topik, ada penyertaan yang positif para penulis, kesediaan berkongsi pandangan dan menyatukan segala persoalan dalam rumusan terhadap isu pokok. Rumusan-rumusan ini boleh menjadi rujukan atau menjadi bahan yang akan dipanjangkan dalam pertemuan-pertemuan sastera yang lebih besar sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Dari sini kita juga bakal melakarkan idealisme pemerkasaan sastera sebaris dengan keperluan rakyat. Kita juga bakal mengetengah ketokohan penulis yang terus melaksanakan amanah menterjemah pemikirannya. Selama ini apapun juga buah fikiran yang ditampilkan ia sering disembunyikan oleh corak penulisan dan susun ayat atau diksi yang berlapis makna. Hanya pengkaji sahaja yang mampu meletakkan kedudukan penulis sama ada wajar atau tidak wajar mengangkat ketokohan seseorang penulis atau sasterawan kita. Saya fikir DBP Cawangan Sabah menerusi Unit Sasteranya atau Unit Penerbitan khususnya editorial Wadah/Jendela Sabah harus memainkan peranan ini. Majalah Wadah dan Jendela Sabah sebagai pemangkin aktiviti persuratan para penulis di Sabah harus melihatnya secara positif. Penulis memberikan komitmen mereka melahirkan karya-karya yang diperlukan sewajarnyalah karya-karya penulis Sabah menjadi keutamaan. Ada ketikanya terdapat juga karya penulis bukan berasal dari Sabah disiarkan dalam Wadah. Kita harus sensitif bahawa di Malaysia banyak media boleh memuatkan karya penulis-penulis yang dimaksudkan (misalnya Dewan Sastera, Berita Minggu dan Minggu Malaysia). Biarlah Wadah atau Jendela Sabah itu dikhususkan hanya kepada penulis Sabah sahaja tanpa sebarang rasa prejudis misalnya memberikan syarat tertentu sebelum sesebuah karya itu dapat disiarkan.

Penulis tidak pernah berkata bahawa suatu hari nanti mereka akan menjadi 'seseorang' secara muluk-muluk. Apa yang mereka miliki hanyalah khazanah karya yang dihasilkan walaupun usia kreatif mereka ada yang tidak panjang. Mereka sentiasa diingat dan dikenang. Kita melihat wajah mereka di atas dinding pameran atau dalam buku biografi penulis. Kita melihat senarai karya yang panjang walaupun karya-karya yang disenaraikan itu kebanyakannya tidak dibukukan. Terlalu tinggi penghargaan kita terhadap penulis atau sasterawan yang lahir sebelum kita. Kita amat menghormati mereka kerana mereka bahagian daripada kita yang mengimarahkan aktiviti sastera. Namun di sisi yang lain apakah penghormatan itu juga lahir dari setiap hati masyarakat yang mengetahuinya? Apakah sikap pemerintah Negeri Sabah untuk meletakkan kedudukan para penulis atau sasterawannya ini?

Ketika meninggalkan jeti Muara di Brunei Darussalam menuju ke Pulau Labuan selepas menyertai Dialog Borneo-Kalimantan ke-9, sambil menikmati gelombang samudera Laut Cina Selatan saya mengingat-ingat masa lalu yang sering membetuk persoalan yang sama, seputar dunia sastera bermula dan bermula lagi dengan topik yang serupa. Penulis bercakap mengenai dunianya yang bersendirian hingga menghijrahkan bidang ini kepada bidang yang menjanjikannya harapan-harapan baru. Namun saya percaya selepas memahami dunia sastera ini sebenarnya mereka akan kembali sepertimana kembalinya burung tempua ke sarangnya apabila usianya mencecah petang dan setelah tiada sesiapa lagi yang berada di sekelilingnya selain 'burung-burung kerdil' seperti saya. Ketika itu apakah mereka masih mampu menjernihkan lopak fikir mereka, kita tidak dapat memberikan apa-apa selain mengandaikan zaman keemasan itu biasanya berlaku hanya sekali.

Nota Kaki:
[i] DBP Cawangan Sarawak juga hanya diwakili oleh seorang pegawainya sebagai pembentang kertas kerja.

[ii] Aktiviti-aktiviti yang dikaitkan dengan Malaysian Book of Record (MBR) ialah Puisi Ria dan Sendait Ria yang diadakan selama 50 jam tanpa henti. Ini akan disusuli lagi dengan aktiviti Syair Ria dengan jumlah jangka masa yang sama untuk dicatatkan dalam MBR.

[iii] Di Sabah, media massa yang dimaksudkan ialah New Sabah Times, Daily Express dan Borneo Post.

Sabtu, September 01, 2007

Memerdekaan Program Sastera

Saya telah berkata bahawa melakukan kegiatan sastera harus penuh komitmen, profesional dan berterusan. Bukan hangat-hangat najis burung, tidak juga melengahkan tugasan yang dipertanggungjawabkan. Jangan juga menyatakan kesanggupan tetapi sebenarnya tidak, bila tertangguh sasaran orang ramai tentulah dikembalikan kepada organisasi yang berkenaan.

Memang ada jawapan tetapi apakah jawapan itu semata-mata menjadi alas agar cacat celah yang ada didalamnya tidak diketahui. Kadang-kadang mengambil mudah, buat kerja asal jadi. Tidak kreatif. Entah sedar atau tidak, ada kegiatan yang meniru orang lain. Anda bolehlah fikir-fikirkan atau mengingat-ingat apa yang saya maksudkan ini. Ada sesuatu dalam kepala saya mengapa persatuan penulis tidak diberikan sebarang tanggung jawab menganjurkan pertemuan penulis.

Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat menyambut merdeka kepada semua penulis. Makna merdeka tentulah berbeza bagi mereka yang tahu dan tak tahu. Tak kisahlah bagi penulis, merdeka memberi erti yang tersendiri dan dalam minda kita, merdeka tidak hanya setakat kenangan sejarah negara terlepas daripada belenggu penjajah tetapi lebih jauh daripada itu. Kemerdekaan dalam kehidupan. Kemerdekaan dalam menyatakan fikiran. Kemerdekaan terhadap cabaran-cabaran. Orang akan marah jika kita kata kita belum merdeka. Sesetengah orang kita masih terjajah, orang akan kata kita siapa berani membuat penilaian.

Kadang-kadang orang tidak merdeka bila dengan mudah menilai seseorang tanpa membuat penelitian rapi. Tidak kibarkan bendera kita dikata tidak merdeka dan sebagainya. Kita telah berada di Negera tercinta ini dalam makna merdeka 50 tahun dan dalam konteks Malaysia 44 tahun. Tiada masalah apa-apa untuk kita merayakan kemerdekaan dengan cara masing-masing. Dalam diam sekalipun. Apa yang penting kita telah menghargai kemerdekaan ini.

Saya juga suka mengucapkan tahniah kepada pengurusan akhbar Borneo Post (dalam edisi Bahasa Melayu Utusan Borneo) kerana membuka semula lembaran sastera yang bermula hari Isnin yang lalu. Ruangan ini memang ditunggu-tunggu. Utusan Borneo memang mempunyai keupayaan sendiri kerana ia ditangani oleh kakitangan yang celek sastera. Kita berharap kehadiran ruangan sastera di UB ini memberi laluan atau peluang kepada para penulis meluncurkan karya masing-masing. Mungkin UB boleh melakukan lebih baik lagi berbanding akhbar lain misalnya menyiarkan genre sastera yang pelbagai. Maksud saya begini: dalam masa sebulan hanya minggup ertama, kedua dan ketiga sahaja UB menyiarkan cerpen dan puisi. Ini bermakna ada 3 buah cerpen dan 6-10 buah puisi disiarkan. Pada minggu keempat, ruangan sastera ini diisi dengan kritikan sastera, ulasan terhadap cerpen dan puisi yang disiarkan minggu-minggu sebelumnya.

Dengan ini saya fikir aktiviti persuratan lebih terarah dan terancang. Hanya mungkin masalah yang timbul nanti ialah siapakah yang akan diberikan tanggungjawab mengisi slot bicara karya ini? Siapa akan memberikan saguhati kepada penulis kritikan ini? Saya akan membincangkan hal ini dalam IPS untuk memungkinkan slot kritikan sastera ditangani para penulisnya. Namun yang penting agar lebih ramai penulis akan tampil menulis. Kita sama-sama semarakkan aktiviti persuratan dan yang berkaitan dengannya sambil terus menghadapi dengan tabah setiap cabaran yang terus menerpa datang. Kita juga harus sama-sama memberikan sokongan kepada sesiapa juga atau agensi manapun melaksanakan program-program sastera secara konsisten dan cemerlang.

1 September 2007

Sabtu, Ogos 18, 2007

KEMERDEKAAN: Antara ketahuan dan ketaktahuan

Kali ini saya ingin menulis tentang sikap tahu atau ketahuan dengan sikap tidak tahu atau ketaktahuan terhadap sesuatu, dalam apa juga konteks pengertiannya tidak berbeza. Ada yang menganggap dunia ini miliknya, misalnya dunia sastera itu kepunyaannya dan orang lain tidak tahu apa yang dia tahu berkaitan sastera itu. Namun begitu, apakah dia tahu bahawa apa yang ada dalam ketahuan itu juga dipunyai orang lain yang pada firasatnya tidak tahu apa-apa. Wujud semacam sikap tinggi diri, tidak suka mendengar kata-kata orang lain, angkuh, bodoh sombong, tidak mahu bertolak ansur dan sebagainya lagi yang mempunyai pengertian yang sama. Sampai suatu ketika peristiwa demi peristiwa terjadi, ada pengalaman baru dilalui. Malangnya fikirannya yang kebal bebal itu tidak pernah menikmati pengalaman yang mendidiknya menjadi seseorang yang boleh diubah oleh pengalaman tersebut. Sikap bodoh sombongnya semakin mengujanya menjadi seseorang yang amat tahu tetapi tidak tahu bahawa ketahuannya itu hanyalah gambaran peribadinya semata-mata. Orang ini mencari kebencian kerana kebencian bakal menjadikan dirinya fokus atau punca percakaran. Sambil mereka yang tahu bahawa ketaktahuannya itu tidak bermakna dia tewas. Biarlah beralah kerana tidak ada pertandingan dalam kehidupan, tetapi memaknakan kehidupan itu dengan pengalaman yang dimurnikan.

Mungkin bunyi tulisan ini pelik dan berbelit-belit. Saya percaya sahabat-sahabat saya yang namanya Oneh, Mabul dan Abd Naddin masih ingat perbualan kami di sebuah kedai minum yang sering kami singgahi. Isunya mudah saja. Dan fokus saya hanyalah kepada sikap sesetengah orang yang mahu apa yang ada dalam fikirannya diterima orang lain secara mandatori. Pandangan orang lain tidak penting. Alasannya amat semborono tanpa memikirkan keperluan majoriti, kehendak ramai tidak ada dalam kotak fikiran yang membezakannya dengan orang lain yang pernah berada di tempatnya sekarang. Sebagai pengurus sastera, misalnya pelanggannya ialah para penulis dan aktivitis sastera itu sendiri atau orang ramai yang berada dalam lingkungan komuniti sastera berkenaan. Apa yang terjadi kuasa yang ada lebih mengarah kepada kotak yang telah dibentuknya. Kotak-kotak ini tidak boleh dibentuk lagi melainkan ada pihak dalam kotak itu berani menyatakan sesuatu. Mungkin orang ini mula jadi tidak popular dan dipinggirkan, dicop sebagai tidak berdisiplin, tidak mengenang jasa, tidak menghormati orang lain dan sebagainya. Apa tah lagi jika didapati orang kota kini mempunyai ideologi atau isme yang berbeza.

Barangkali perlu kembali kepada fitrah, kembali kepada tiada untuk menjadi ada semula. Apakah semudah itu? Jika bersalah, ucapakan saja: maafkan saya. Cukupkah dengan kata-kata itu? Bagaimana dengan hati yang dilukai, berbaloikah hanya dengan toleransi sebagai 'pekeras'nya? Benarlah apa yang pernah diucapkan oleh seorang sahabat saya di Brunei baru-baru ini, kita sudah terlalu banyak memberi walaupun harga yang kita beri itu telah meletakkan kita di atas keserbasalahan yang amat payah diungkapkan. Mungkin saya suka meminjam ungkapan Mabul, kita mengalah bukan bermakna kalah. Saya ingin menambah perjuangan kita bukan untuk menang. Menang atau kalah sudah berlalu. Dalam kehidupan kita bukan peperangan yang berada di hadapan tetapi keluhuran. Kebebasan dan kemerdekaan kita yang sebenarnya. Kita merdeka tidak hanya dengan kibaran jalur gemilang semata-mata. Perpaduan yang diwara-warakan bukan terletak hanya pada simbol yang dibuat-buat. Paksi kita cukup jelas, tolak ansur harus diterima dengan ikhlas dan ketelusan rasa tanpa mengharapkan belas atau balas.

Inilah antara ketahuan dan ketaktahuan kita secara menyeluruh. Mungkin kita tewas dalam beberapa hal tetapi kita menang dalam perkara yang lain. Namun sekali lagi saya ingin pegang prinsip bahawa kemegahan tidak terletak pada cara kita bergembira, jika kegembiraan itu masih diratapi oleh bangsa kita sendiri yang lebih banyak ketaktahuannya terhadap makna kemerdekaan itu.

18 Ogos 2007

Jumaat, Ogos 17, 2007

Optimis Sastera

Banyak yang boleh dibuat sahabat-sahabat semua. Diam diam atau riuh rendah kita, yang penting hasilnya ada. Orang tua dulu pernah kata diam-diam ubi beriisi kan. Itu yang baik berbanding bercakap lebih hasilnya tidak ada.

Saya teringat kata-kata ini dari mulut Hazami Zahari (DBP Kuching) semasa menyampaikan pembentangan kertas kerjanya di Brunei (Dialog Borneo). Terlalu banyak teori dan cadangan-cadangan yang berbentuk hiperbola semata-mata tidak mungkin memberikan hasil yang diingini jika tidak disusuli kerja keras yang berterusan.

Memang ada kerja kita, menerusi Badan Bahasa dan Sastera Sabah (nama baru BAHASA) dan IPS. Dalam pertemuan saya, rakan-rakan Bahasa dengan ahli-ahli PEKASA (kerabat baru GAPENA), PUTERA dari Miri, PERWILA Labuan dan ASTERAWANI Brunai menganjurkan Simposium Sastera Borneo. Program ini merangkumi wilayah Sabah, Sarawak, Labuan dan Brunei bergilir-gilir diselenggara oleh persatuan-persatuan penulis di wilayah-wilayah berkenaan. Program ini bermula di Miri seterusnya Sabah, Sarawak, Berunei dan Labuan sehinggalah keenam-enam persatuan yang ada melaksanakan tanggungjawab ini.

Justifikasi program ini memang besar dan berbobot khusus untuk kita sebagai generasi sastera di wilayah kita ini. Pada saya tidak ada siapa lagi yang sanggup melakukan aktiviti sebegini jika bukan kita yang komited dan juga optimis terhadap gerakan sastera yang semakin berhadapan dengan pelbagai cabaran domistik dan global. Kerana itu kita harus hidupkan dunia sastera dengan cara kita yang kita rasa mampu dan sesuai untuk kita lestarikan. Saya bermaksud bahawa tanpa bantuan kewangan daripada sesiapa kita masih mampu melakukan sesuatu.

Selama ini kita ingin berusaha secara mandiri biarpun kecil-kecilan. Jangan sampai dipersoalkan bahawa penulis atau aktivitis sastera itu mata duitan! Memang benar bahawa duit amat penting untuk sesuatu yang diharapkan menjadi. Namun jika niat dan hasrat daripada sebarang aktiviti sastera itu semata-mata kerana mahukan duit, baik undurlah dari sekarang. Ya, ini boleh dibuktikan tetapi biarlah yang memakan cili itu rasanya apa bila senario ini berlaku di hadapan kita. Isu surat-surat terbang atau hantaran pesanan ringkas tentulah tidak berbaloi untuk sastera kita yang harus diperkasakan oleh individu yang suci hatinya, murni mulia jiwanya, yang agung hebat nawaitunya. Kita boleh membuat pertimbangan, apakah aktiviti yang paksinya wang itu telah melahirkan produk yang tidak lekang oleh cuaca zaman? Biasanya kreativitinya beku, buntu, layu, kuyu dan tidak membangunkan minda manusiawi kita. Kreatifnya itu-itu saja, tidak berani keluar daripada kepompongnya.

Saya setuju dengan pandangan Mabulmadin Shaiddin dan pilihannya dalam berkarya. Kalau kita buat perkiraan tidak ramai penulis yang bertahan sebagai penulisyang optimis terhadap dunia sastera selain musim-musim yang bertandang. Sesekali ada kepulangan... dan entahlah apakah boleh bertahan sehingga musimnya ituberlalu.

17 Ogos 2007

Isnin, Julai 30, 2007

Di hadapan kita

Kami bercerita, pada mulanya tentang persiapan untuk taklimat petugas-petugas pilihan raya, tiba-tiba dia bertanya untuk kepastian: Encik Sukor khabarnya seorang penulis ya? Saya senyum tanda mengiyakan dan sedikit bangga setidak-tidak orang nombor dua Ketua Jabatan Pengurusan SPR tahu ada anak buahnya menghasilkan sastera. Beliau bercerita dan bertanya sesekali misalnya trend penulis masa kini. Beliau juga membaca tapi tidak banyak tahu perkembangan sastera selain pengalamannya semasa menuntut di USM. Suaranya yang garau (sesuai sebagai fasilitator atau penceramah) mengingatkan saya kepada Musa Masran dan juga beberapa sahabat seperti Nandra Hitong.

Sambil minum petang di gerai goreng pisang berhampiran sebuah superstor di Tawau, sempat juga menjeling cara seniman dengan orang yang lalu lalang. Kami bercerita tentang masalah orang Melayu namun pada saya itu tidak penting kerana segala persoalan masa kini sentiasa berkembang menjadi lebih besar lagi. Sebagai seniman segala peristiwa yang aneh-aneh sudah tidak asing lagi telah tanak dalam bakaran fikiran. Orang kita sudah berani membunuh anak sendiri, jadi haruan sudah ramai dihukum, bunuh dan bakar atau mendera juga bakal menerima hukumannya, menipu dalam kepelbagaian cara, ketidak rasionalan dalam cara bertindak sering menjadi perbualan di mana-mana juga; orang kaya menindas yang kurang kaya (macam cerita filem hindustan), pendatang asing lebih mewah kerana keberanian mereka meneruskan kehidupan walaupun menghalalkan yang bukan hak mereka, buli membuli, menghukum anak-anak sekolah secara berlebihan, murid yang tidak hormat guru dan berbagai-bagai lagi yang kini sering disebut 'dalam keadaan terpencil'.

Apakah peranan penulis di sini? Ada, banyak malah. Kalaulah saya penulis, katanya, banyak novel saya yang tidak sekadar menyertai novel-novel popular, murahan dan picisan itu. Novel yang serius harus punya fikiran yang serius. Ya, saya faham katanya lagi, novel yang sebegitu bukan pilihan pembaca yang majoritinya anak-anak remaja. Saya hanya seorang pengurus sebuah jabatan Kerajaan. Tapi saya bangga kerana anda menulis puisi, cerpen dan tulisan-tulisan yang walaupun acuannya sastera tetap memberikan sumbangan kepada bangsa dan negara. Entah tiba-tiba beliau bertanya apakah saya masih ingat Yahya Abu Samah. Dalam fikiran saya tentu saja seorang penulis cerita-cerita 'nakal'dan ghairah suatu ketika dulu. Apa yang membuat saya terharu hanya satu iaitu apabila beliau berkata bahawa Izi Yahya yang baru sahaja meninggalkan kita adalah anak kepada novelis itu.

Dan masa pun berlalu. Saya berada di Kota Kinabalu dan meneruskan cita-cita saya dalam bidang penulisan sebagai seseorang. Tiada siapa tahu bahawa ketika kecil saya juga adalah pengembala kambing dan nakal. Kerap dibuli rakan sebaya yang lebih besar. Namun tidak pernah mengkhabarkan kepada ayah walaupun cikgu menghukum masa di Sekolah. Saya tahu memberitahu mereka bermakna bakal menerima hukuman yang berganda. Dan saya memandang dua anak gadis saya. Masa depan mereka. Anak-anak jiran dan sahabat-sahabat saya. Banyak yang bakal diceritakan dan menjadi bahan cerita generasi masa depan.

30 Julai 2007

Ahad, Jun 03, 2007

Baca Karya Hasyuda

MENGINAI BADAI - Koleksi puisi Hasyuda Abadi yang diterbitkan oleh Dewan bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada tahun 2004 atas inisiatif Pengarahnya ketika itu, Tuan Haji Hamzah Hamdani. Buku ini memuatkan 133 buah puisi yang ditulis sejak tahun 1997 hingga tahun 2004. Temanya pelbagai meliputi keagamaan, kritikan sosial serta isu-isu seputar yang berlaku sekitar tahun-tahun berkenaan. Blog ini menyediakan pautan untuk memberikan peluang sesiapa juga di merata tempat di dunia membaca serta menghayati puisi-puisi yang terkumpul. Moga memberikan manfaat bersama. Selama membaca.





Kumpulan Puisi SINAR SIRNA diusahakan penerbitannya oleh DBP Malaysia pada tahun 2006. Penerbitan buku ini melalui pelbagai liku, bermula daripada cadangan menyatukan puisi-puisi ini bersama dengan empat penyair lain di Sabah hinggalah kepada pindaan judulnya yang asal iaitu 'Lebur yang Abadi'. Namun demikian, DBP Cawangan Sabah telah mengambil inisiatif untuk menjadikan setiap penyair yang karya-karya mereka dikemukakan ke DBP Kuala Lumpur dicetakan secara perseorangan, maka lahirlah buku seperti yang ada lihat sendiri. SINAR SIRNA memuatkan 160 buah puisi pilihan yang saya tulis pada tahun 1988 hinggalah tahun 2005. Sekiranya anda mahu membaca kandungannya sila klik sahaja dan nikmatilah puisi-puisi tersebut. Selamat membaca.



KEMBALI DI LAHAD RAHSIA - Koleksi puisi terkini saya, mencantumkan 114 buah puisi yang bernafaskan Islami. Kebanyakan puisi-puisi ini berbentuk lirik dan bersuara secara batini. Beberapa buah puisi pernah diterbitkan dalam majalah dan buku-buku sebelumnya. Buku ini dipecahkan sebanyak 3 iaitu Berjalan ke Arah Cahaya (32 buah puisi), Lebur dalam KerahsiaanNya (68 buah puisi) dan Usikan Kalbu (14 buah puisi). Lirik dalam Usikan Kalbu mempunyai pengaruh dengan tulisan Anisah Mai yang terdapat dalam Tasauf Moden - Abuya Hamka. Moga puisi-puisi ini memperoleh kebaikan untuk bacaan kita bersama. Sebagai insan biasa, saya berpegang kepada ibadah, menulis sebagai suatu ibadah. Selamat membaca.

Buku ini menghimpunkan 300 rangkap pantun yang saya karang beberapa tahun lalu. Pantun-pantun dalam Usul Mengenal Asal ini sebahagian besarnya adalah ingatan-ingatan dan pengalaman masa lalu, juga catatan perjalanan yang saya gubah sebagai pembayang. Maksud pantun menggabungkan pelbagai tema peribadi, adab dalam masyarakat, keagamaan, kasih sayang dan patriotisme. Pantun-pantun berkenaan saya bahagikan kepada lima bahagian: Bersantun Berbahasa (24 rangkap), Memimpin Rindu (54 rangkap), Ufuk Pasrah (48 rangkap), Usul Mengenal Asal (60 rangkap) dan Kalau Bukan Kehendak Hati (60 rangkap).


SUARA YANG TERBUKA ialah nama lain dari suara yang terdengar “nyaring”. Begitulah judul buku puisi Hasyuda Abadi, penyair senior Malaysia, Suara yang Terbuka: Kumpulan Puisi (Kuala Lumpur, 2014). Buku puisi ini dibagi ke dalam tiga bagian subjudul: 1) Suara yang Terbuka (mengandung 24 puisi), 2) Luka-luka Sejarah (mengandung 16 puisi), dan 3) Mimpi Sejarah (mengandung 29 puisi). Pembahagian ini tentu saja hanya sekadar pembahagian puisi secara tematik yang longgar. Pada hakikatnya, puisi-puisi Hasyuda Abadi saling berkaitan pesannya satu sama lain.


Memperkatakan karya puisi Hasyuda Abadi, kadang-kadang saya menghela nafas kagum. Bahasa dan ungkapannya selalu segar dan memukau. Nuansa dan jangkauan puisinya sangat luas, puisinya mempunyai beberapa tingkat pengertian yang perlu digali dan dijernihkan maknanya. Kadang-kadang dipenuhi kejutan dan keajaiban. Puisinya membuka peluang yang mampu membimbing kita meneruskan kehidupan. Kata Horace, seorang penyair Roman, sastera itu bersifat “Manis dan berguna”, saya menganggapnya seperti madu, yang mempunyai khasiat yang banyak, tetapi selalu tidak diperdulikan orang. Sifat madu biasanya manis, tetapi sukar didapatkan, apa lagi madu berkualiti tinggi. Sesiapa yang memerlukannya terpaksa memanjat pohon yang tinggi, dalam hutan tebal yang penuh rintangan. Begitulah analoginya jika kita hendak menelaah karya puisi yang dihasilkan Hasyuda Abadi. Justeru itu, puisi beliau yang termuat dalam buku kumpulan puisi Musim Perubahan di Negeri Kami ini harus dibaca dan dihadam dengan tenang dan penuh renungan. Sebahagian besarnya saya anggap sangat berkualiti dan mampu menjana ketamadunan bangsa dan negara, proses mendapatkannya atau menghasilkannya, saya fikir, bukan mudah. Hutan yang dilalui mungkin terlalu tebal. Ranjaunya mencabar.

Rabu, Mac 14, 2007

Membina atau apa?

Saya selalu berfikir apakah melakukan sesuatu itu asal ada, asal jadi atau asal apa-apa saja ... sehingga ada waktunya entah apa yang dilakukan itu benar-benar memberi input bermanfaat atau dalam makna yang mudah: membina.

Masanya sudah tiba kita berubah, memang sewajarnya berubah. Setiap tahun terutama di awal tahun, ramai orang menambah azam masing-masing, agar lebih baik. Tentulah begitu, bukan bertambah teruk! Apa yang ingin saya sampaikan melalui mesej ini ialah peranan yang harus dimainkan oleh agensi yang diberi amanah membina penulis. Anda tentu faham agensi ini. Malangnya saya sering keliru malah sedikit sebal mengapa agaknya tidak jelas peranan yang dimainkan benar-benar meyakinkan, misalnya dalam usaha membina penulis baru, perencanaannya lebih terarah. Adakan bengkel penulisan cerpen yang bakal dianjur untuk penulis baru pada penghujung bulan ini di Kota Kinabalu. Tumpuan juga kepada diberikan kepada pelajar sekolah menengah. Usaha ini bagus tapi kurang menjanjikan. Mengapa tidak anjurkan satu program yang lebih luas. Adakan Minggu Penulis Remaja. Kalau mahu, saya ulangi kalau mahu sesuatu yang berhasil baik, saya fikir program ini sahaja yang mampu membina (yang benar2 membina). Mengapa tidak jadikan pengalaman lepas sebagai justifikasi?

Kalau dilihat cara penganjuran begini sama saja seperti badan-badan penulis, buat bengkel cerpen, bengkel puisi dan sebagainya sekadar suatu apresiasi. Bukankah agensi ini lebih berautoriti, punya dana dan memiliki kemudahan-kemudahan lain. Buatlah satu minggu yang sesuai. Kumpulkan para pelajar terpilih daripada sekolah-sekolahyang telah dikenal pasti. Lantik pembimbing yang benar-benar bertauliah. Rancangkan hasilnya hingga menjadi sebuah manuskrip yang akhirnya menjadi bacaan, kajian dan seterusnya. Ini sekadar pandangan bukan mengajar (maaf). Jika baik ambil, jika tidak, tidak mengapa abaikan saja. Membina penulis bukan menjadikan orang sekadar tahu menulis tetapi lebih daripada itu. Antaranya belajar untuk terus mempelajari tugas penulis yang tidak pernah ada noktahnya.

14 Mac 2007

Rabu, Februari 28, 2007

Sastera Serius vs Sastera Pop

Tidak ada yang mudah untuk membina sesuatu, sebagaimana membina tembok! Namun pasti ada caranya yang paling murni, meskipun ada masanya harus mengatakan tidak kepada perkara-perkara tidak memberikan pulangan jangka masa yang panjang.

Sebagaimana usaha yang berterusan dilakukan, mencelikkan penulis muda Sabah sesungguhnyatidak akan ada titiknya. Binalah apa juga; malangnya yang terjadi hanya tembok lantaran penulis-penulis ini terus terpisah atau dipisahkan oleh suatu keadaan yang sukar diramal. Kecuali beberapa orang yang pernah saya simbolkan sebagai 'bernasib baik'. Akhirnya mereka (penulis-penulis muda) bangun secara diam-diam, menulis tanpa guru. Buktinya seperti dijelaskan oleh Mabul, saban minggu karya yangt ersiar di media massa tempatan tidak menepati piawai sebuah karya yang boleh dibanggakan.

Para pengurus sastera harus bangun dari dunias edar yang panjang. Ini tanggungjawab. Tanggungjawab yang maha luhur. Jangan menganggap para pengurus sastera itu tertakluk hanya kepada agensi yang dibayar kerajaan hasil bayaran cukai rakyat, tetapi tanggungjawab ramai pihak secara bersama. Kita ada forum. Entah berapa musim serasehan berkaitan susastera diungkayahkan. Ungkapan-ungkapan klise terbang di awang-awangan dan bercempera di angkasa masa yang terus beredar. Sejumlah wacana yang pernah membicarakan perihal sastera tidak seharusnya berkubur di rak-rak buku yang disentuh sekali-sekala bila perlu oleh orang-orang yang memerlukannya. Berilah kesempatan untuk orang lain mengenengahkan pandangan dan saranan. Jika ada yang baik, ambil dan ketepi yang kurang menasabah.

Memang ada waktunya abaikan kepedulian yang tidak popular yang dijunjung segelintir insan. Mungkin insan ini kurang baik nasibnya kerana memilih dunia yang sentiasa dikayai provokasi, sentimen dan juga kontroversi. Hakikatnya, dunia ini harus bebas kerana peraturan juga sering mengurung pemikiran manusia akiba tanggapan dan pemikiran yang berat di tepi.

28 Februari 2007

Khamis, Februari 22, 2007

Gerak gempur untuk sastera, berhadapan dengan manusia dalam talam!

Apakah yang sedang bermain dalam kepala anda ketika saya mengatakan bahawa perlu sebuah gerak gempur untuk sastera di Sabah? Apakah selama ini gerakan sastera kita di sini tidak menjadi? Tidak. Tidak dan tidak. Bukan itu maksud saya.

Suatu gerak gempur perlu dilakukan. Barangkali selama ini kita hanya diasyikkan oleh suatu citra bermusim terhadap aktiviti sastera. Misalnya bila tiba musim membaca puisi, puisilah yang menjadi. Terciptalah rekod baca puisi terpanjang Negara. Ketika teater, segala sudut digunapakai untuk menjadikan aktiviti itu menjadi. Musimnya akan merundum apabila para penggiat dijurangkan oleh cara melaksanakannya. Persatuan penulis atau penggiat seni yang dimanjai oleh dana akan kehilangan motivasi gerakan seninya apabila penaja mereka sudah kurang mendengar atau melihat wajah-wajah meminta itu.

Banyak aktiviti yang hanya menjadi sejarah yang dicatatkan dalam kertas-kertas kerja. Kita tidak nampak sebarang kemajuan yang ketara berterusan. Membina penulis terjadi tetapi asal jadi, seperti dinyatakan dalam catatan yang lepas.Ini penyakit yang sukar dinafikan. Asal ada. Komitmen yang bermusim. Saya fikir kalau setiap program itu diatur dengan perancangan yang teliti akan menjadikannya kebanggaan yang tidak sekadar sesuai untuk mencantikkan sesebuah kertas kajian suatu hari kemudian. Tetapi yang lebih menarik sastera tidak ada tempat melainkan terus menarik minat semua golongan termasuklah parapengarangnya. Pengarang yang komitmennya menyertai semua genre walaupun tidak boleh dikuasainya. Misalnya apabila dianjurkan bengkel kritikan, mereka pun ikutserta. Bila diadakan bengkel cerpen, ikut juga. Novel pun tidak mahu ketinggalan. Teater apatah lagi, meskipun kebolehan itu pada saya jauh panggang dari dapur.

Perlu ada tumpuan yang jelas. Inilah antara punca kita sukar mencari formula apakah genre yang dikuasai seseorang penulis. Apakah dia seorang penulis puisi yang bagus atau seorang penulis cerpen yang boleh dinobatkan sebagai penulis contoh bagi generasinya. Saya sering merenung hal ini, saya tidak tahu sama ada orang lain menerimanya. Namun inilah realitinya. Bila saya menghadiri sesuatu aktiviti penulisan, biasanya tiada orang lain. Ini gara-gara sukarnya mendapatkan peserta. Sebagai contoh ketika sebuan agensi kerajaan menganjurkan bengkel penulisan tahun lalu yang terjadi ialah bengkelitu tidak menjadi selain sekadar menghabiskan dana yang telah disediakan. Yang penting bukan pengisian tetapi asal jadi. Sebab itu perancangan perlu lebih teliti. Mengapa kita begitu gerun dengan situasi tidak ada sambutan yang positif daripada orang ramai apabila dianjurkan pelbagai program sastera. Dari segi gender, mengapa hanya golongan wanita sahaja yang sering tampil? Memang betul, senario juga terjadi di mana-mana. Di mana pemikir lelaki? Apakah golongan lelaki tidak gemar berfikir menerusi penulisan? Saya kadang-kadang bosan dengan keadaan ini. Mungkin akan terjadi juga seseorang itu akan menjauhkan dirinya lantaran keinginannya tidak tercapai. Kepuasannya tidak kesampaian. Nalurinya untuk menggalas sebuah amanah hanya menjadikansetiap kerja yang asal ada dan asal jadi semata-mata. Maka tidak hairanlah, jikaramai penulis yang datang dan pergi. Ya lumrah di mana-mana. Anehnya kita yangs udah lama tidak berkarya itu pun tetap dinobatkan jasanya walaupun hanya adas ebuah dua mengisi media. Inipun tidak teliti. Asal ada dan asal jadi.

Saya bukan orang yang tidak suka mengenang jasa orang-orang lama. Jika betul, jujurapa salahnya. Semua ini perlu digerakgempurkan. Jangan lagi diungkapkanjawapan-jawapan yang sama. Cuba fikirkan. Zaman ini bukan zaman lalu yang sering membuang masa kita memikirkannya. Sejarah hanyalah suatu peristiwa sebagai perbandingan. Masalahnya bila masa kini tidak baik, dilihatlah peristiwa yangsama di mana lalu. Perbandingan ini kurang tepat kerana masa kini sepatutnyalebih baik. Kalau betul persoalannya disebabkan masalah manusia, manusialah yang menjadi galang ganti. Jika sistem, cari jalan bagaimana sistem mengganggu perjalanan gerakan sastera perlu diubah. Apakah andaakan katakan bahawa bercakap sebenarnynya mudah? Memang saya akui bercakap memang mudah. Bilakah masanya kita tidak boleh bercakap? Ketimbang perbuatanyang hanya terjadi apabila perkara kecil dibesarkan pada hal yang lebih besarada di hadapan mata dan perlu diambil perhatian serius, tidak diberikan perhatian. Misalnya menghadapai manusia yang hidup dalam talam!

21 Febuari 2007