Isnin, Disember 11, 2023

Sastera untuk Rakyat


Bersama Datuk Hj Hussain Kasau (kanan) dan
Datuk Jamdin Buyong (kiri)


Sastera ialah suatu seni penting dalam kehidupan manusia Melayu- Nusantara, dan dicipta berterus-terus sejak ribuan tahun yang lalu. Kita melihat sejumlah manusia - raja dan pahlawan, permaisuri dan puteri, jejaka dan gadis yang dilukis sebagai watak-watak sempurna, tanpa cacat celanya. Di dalamnya, dilukis dengan warna dan berus imaginasi, ditambah dengan bahasa baik. Demikianlah kita membacanya dan menikmati dunia ini serta dirangsang untuk menurut contoh di depan kita.


Sastera itu benar dalam maksud paraleInya, dalam maksud simbolik atau metaforanya dan maksud bayangan situasinya. Walaupun tidak nyata, namun makna umum masih dapat ditarik daripada sesebuah cerita atau puisi. Oleh itu kebenarannya berbayang tentang manusia dan kehidupan. Malah, beberapa sifat dan kecenderungan umum - seperti berperang, berdamai suka fitnah menfitnah, dan berasmara. 

Kita lihat sastera Melayu selalu juga membawa pengajaran, teladan dan contoh untuk dikuti oleh khalayaknya.


Sastera Melayu secara kolektif boleh dikesan cita rasanya kerana yang baik dan indah selalu diulang, dan juga mendapat respons yang baik daripada khalayaknya. Sastera dan seni memanusiakan, menghaluskan watak dan mendirikan peribadi khalayak. Sastera mengajar secara tidak langsung dan mengesan bawah-sedar, maka kesannya lebih lama dan kekal.

Isnin, November 20, 2023

Ahad, November 19, 2023

Penulis kreatif, pengarang dan pengolahan kata

WRITING is an adventure – menulis adalah suatu pengembaraan, demikian kata Ernest Miller Hemingway (21.7.1899 – 2.7.1961), sasterawan besar Amerika yang karya-karyanya ditandai dengan jiwa dan nafas pengembaraan yang luar biasa. Dialah pengarang yang amat berpengaruh yang dicabar kehidupannya oleh dua peperangan dunia dan perang saudara Sepanyol. Pendapat ini didukung oleh para pengagumnya, khususnya para sasterawan Amerika Latin (misalnya Pablo Neruda dan Gabriel Gracia Marquez) dan sasterawati Afrika Selatan Nadine Gordimer serta Milan Kundera, sasterawan Cheko. Saya sebagai pengagum Hemingway, juga merasakan hal tersebut: menulis adalah pengembaraan. 

Yang dimaksud dengan ‘pengembaraan’ di sini adalah bukan pengembaraan secara raga semata-mata, melainkan paduan daripada kekayaan batin dan intelektual, imaginasi (kreativiti dan pengembangannya) serta kosa kata (penguasaan bahasa). Paduan itu dirangkai menjadi suatu tulisan melalui proses yang disebut proses kreatif. 

Dalam Kamus Besar Dewan, (DBP, 2005) kata ‘kreatif’ bermaksud memiliki daya cipta; atau memiliki kemampuan untuk menciptakan. Jadi, proses kreatif adalah proses mencipta sesuatu dan konteks dalam tulisan ini adalah mencipta tulisan atau menulis, baik  tulisan yang bersifat fiksi mahupun bukan-fiksi. Mereka yang menulis fiksi disebut pengarang dan mereka yang menulis bukan-fiksi disebut penulis. Seorang penulis boleh menjadi pengarang, tetapi pengarang pada umumnya sedikit yang menjadi penulis. Hambatannya, menjadi penulis diperlukan topangan rujukan yang lebih luas dan mendalam, apalagi bila yang bersangkutan menulis tulisan yang bersifat ilmiah. Tetapi bukan bererti bahawa menjadi seorang pengarang itu lebih mudah dibandingkan menjadi penulis. Sebab, baik untuk menjadi pengarang mahupun penulis, kedua-duanya memerlukan modal utama iaitu memiliki dorongan yang kuat untuk menulis (the strong will to write) atau dalam jargon penulisan kreatif  disebut ‘lapar menulis’ (tidak sekadar haus). Dapat dibayangkan, bagaimana jika kita lapar (kelaparan) harus cari makanan. Tentunya, jalan apa pun ditempuh, bukan? Matlamatnya adalah makan, harus makan atau ketika kehausan, minum secukupnya hingga menemui rasa puas yang diperlukan. Dalam kes ‘lapar menulis’, jalan apa pun ditempuh, it’s goal is do writing (matlamat akhirnya ialah menulis). 

Jadi, jika kita ingin menjadi penulis atau pengarang, untuk mencapainya adalah menulis – 'do writing, do it soon, very soon, don’t be postponed'. Sayangnya, ramai pihak yang ingin menjadi pengarang atau penulis tetapi hanya sebatas ‘ingin’ kerana tidak juga menulis. Alasannya, sulit memulai, tidak punya waktu, takut salah, malu atau tidak ada inspirasi atau idea yang sesuai untuk ditulis. Akhirnya, proses menulis pun tertunda. 

Benar, untuk memulai menulis memang memerlukan proses kreatif iaitu dimulai dengan adanya idea (kekayaan batin dan intelektual) sebagai bahan tulisan. Pengalaman saya, idea itu diperolehi setiap saat, bila mahu menulis. Sumber utamanya adalah bacaan, pergaulan, perjalanan, kontemplasi, monolog, konflik dengan diri sendiri mahupun dengan di luar diri kita, pemberontakan (rasa tidak puas), dorongan mengabdi, muhasabah diri, kegembiraan, mencapai prestasi, tuntutan profesion dan sebagainya. Semuanya itu dapat dijadikan gerbang untuk mendorong memasuki proses kreatif menulis. Kuncinya adalah mempunyai hasrat yang kuat untuk menulis yang sebelumnya telah saya sebut sebagai 'the strong will to write' sebagai modal utama untuk mulai menulis. Kini telah ramai yang boleh menulis dan mengarang. Di media sosial, FB misalnya, ramai boleh menulis laporan-laporan ringkas dan mengarang puisi, anekdot dan seumpamnya. 

Modal kedua, adalah berkomitmen disertai disiplin untuk menulis. Antara lain mempuyai jadual tetap untuk menulis dan rajin mengumpulkan idea-idea yang akan ditulis. Kedua hal tersebut perlu ditaati agar proses kreatif tidak terputus. Sayangnya, kadang kegiatan rutin yang wajib kita kerjakan membuat kegiatan menulis jadi tertunda atau terbengkalai sehingga tulisan tidak pernah menjadi suatu karya. Untuk menyiasatinya, maka perlu menulis di pagi hari (dini hari) atau malam (hingga larut malam, menjelang pagi). Baik juga memanfaatkan waktu luang pada hujung minggu atau hari cuti. Soalnya hari cuti yang bagaimana bagi pengarang? Yang penting, ada waktu khususnya untuk memberi ‘ruang’ proses kreatif yang kemudian dituangkan dalam bentuk tulisan. 

Proses kreatif menulis akan terwujud dengan baik apabila adanya konsentrasi untuk menulis, menghimpun bahan yang akan ditulis, pengembangan bahan yang akan ditulis (mapping mind – menulis dalam kepala). Selain daripada itu tumpuan juga diberikan terhadap perlunya dukungan rujukan dan saranan menulis, membuat deraf yang akan ditulis juga tentukan fiksi atau bukan fiksi. Salah seorang mentor saya tidak pernah melepaskan waktu begitu sahaja tanpa membuat catatan pada buku catatannya di mana pun dia mengembara Selain itu, apabila diperlukan, berdiskusilah dengan sahabat-sahabat untuk membicarakan tulisan yang telah atau akan ditulis. 

Ini ditambah lagi dengan menyusun jadual untuk menulis disesuaikan dengan jam produktif, kemudian  bersedia siap menulis tanpa keraguan atau kebimbangan. Maknanya harus bersungguh-sungguh. Menulis bukanlah sekadar membuat kalimat, melainkan diperlukan kemampuan mengolah kata. Kata-kata yang diolah juga bukan sembarang kata, melainkan kata-kata yang telah dipilih (atau terpilih) untuk dijadikan media menulis. Kata-kata yang dipilih ini akan membuat tulisan menjadi baik atau buruk, menarik atau membosankan dan mudah atau sulit difahami pembacanya. 

Dalam teori penulisan kreatif, untuk menjadi seorang penulis atau pengarang, pertama-tama harus mampu memilih kata-kata yang akan dijadikan media tulisannya. Kerana, kata-kata ini merupakan senjata utama bagi penulis atau pengarang untuk ‘menakluk’ pembaca. Agar dapat memilih dengan leluasa, maka setiap pengarang/penulis wajib kaya atau punya koleksi kata-kata tak terbatas, untuk dirangkai menjadi kalimat. 

Pengkayaan kosa kata dapat diperoleh daripada bacaan, kamus, pergaulan dan penguasaan beberapa bahasa asing. Jangan kedekut membeli kamus; Kamus Dewan, Kamus Besar Bahasa Indonesia, Kamus Bahasa Arab, Kamus Nusantara di samping kamus-kamus sinonim, kamus peribahasa dan pelbagai kamus yang lain. Penggunaan kosa kata ini tergantung pada keperluan masing-masing (menulis untuk fiksi atau bukan-fiksi). Tentunya, keperluan pengarang dengan penulis berbeza. Masing-masing punya jargon dan gaya tersendiri. Meskipun demikian, mereka ini punya matlamat yang sama: tulisannya ingin dibaca pembaca sebanyak dan seluas mungkin. Oleh kerana itu, setiap penulis dan pengarang pada waktu menulis telah memikirkan siapa sasaran pembacanya sehingga tidak tersalah ‘tembak’. 

Tulisan yang menarik sama ada fiksi mahu pun bukan-fiksi bagi pembaca, yang utama adalah mudah difahami. Ada pun yang membuat sebuah tulisan itu mudah difahami, karya ditulis dengan kata-kata yang mudah difahami pembacanya yakni tidak banyak menggunakan istilah asing dan jargon-jargon tertentu yang tidak diketahui awam. Apabila ada kata-kata asing atau jargon-jargon tertentu, buat glosari atau penjelasannya. Ada pengarang yang gemar menggunakan kosa kata Arab tetapi agak tidak rajin menyediakan lampiran penerangan ringkas terhadap kosa kata yang digunakan, mengakibatkan pembaca terkial-kial untuk memahami. Karya ditulis dengan kalimat pendek (idealnya 10 – 15 kata, bila lebih dari itu harus ditanda dengan tanda baca yang ketat, agar pembacanya tidak tersiksa). Alur kalimat ditulis linier tidak bersifat ‘labirin’ (bertele-tele), sehingga tulisan terasa mengalir. Tidak ada pengulangan kata-kata dan tidak banyak kata sambung seperti: lalu, kemudian, kerana, jadi dan sebagainya. 

Untuk tulisan ilmiah hindari penggunaan kata-kata bersayap dan data yang tidak jelas. Untuk tulisan bukan-fiksi hindari penggunaan kata yang sifatnya memberi kesan ‘kering’. Kata bersayap diperlukan, juga bunga kata asal tidak berlebihan. Isi tulisan tidak menggurui, tetapi memaparkan atau menjelaskan sekalipun itu tulisan yang bersifat ‘pengajaran’. 

Selain tulisan dengan struktur susunan kata menjadi kalimat yang runtut dan paragraf yang tertata, sehingga tulisan mudah dicerna pembacanya. Mampu menggunakan tanda baca (dalam tulisannya) dengan tepat. Mencari pembaca sebelum tulisan diterbitkan untuk minta pendapatnya (jika diperlukan). Banyak membaca buku-buku yang disukai pembaca untuk dipelajari bahasa dan gaya penulisan para penulis atau pengarang buku-buku yang banyak penggemarnya walaupun masing-masing penulis atau pengarang idealnya punya ciri khas tersendiri. Misalnya bagi penyair Mabulmaddin Shaiddin, pengarang ini memiliki kekhasan yang lain berbanding dengan penyair Saibil Madun, begitu juga pengarang terkenal Azmah Nordin apabila memberikan perbandingan dengan Jasni Matlani. Kedua-duanya adalah penerima SEA Write Award dan amat dikenali di Asia Tenggara. 

Kemampuan mengolah kata-kata untuk dirangkai menjadi kalimat tidak bisa dimiliki oleh siapa pun dalam waktu sekejap. Melainkan, memerlukan latihan yang panjang dengan cara terus menulis dengan jadual tertentu. Bahan yang ditulis boleh apa saja, termasuk catatan harian. Kerana menulis merupakan ‘pengembaraan’ yang tidak terbatas dan itu jelas menyenangkan. Agar bentuk tulisan terus terwujud, hindari membaca tulisan yang sedang dikerjakan. Sebab, hal ini akan menimbulkan keragu-raguan kerana merasa tidak sempurna. Sehingga tulisan akan diulang-ulang dan akhirnya tidak mejadi. Maka, sebaiknya tulisan dibaca hanya bila telah selesai ditulis (kecuali menulis novel, perlu dibaca bab demi bab). 

Selain itu juga diperlukan memampuan menyunting tulisan sendiri. Penyuntingan ini berguna untuk menyesuaikan panjang tulisan dengan ruang yang akan dipergunakan untuk menyiarkan tulisan tersebut. Penyuntingan juga membantu dalam penyempurnaan kalimat, menciptakan peluang untuk mengkaji isi tulisan, gaya bahasa dan pemilihan kata-kata di samping itu peluang menciptakan daya tarik seoptimum mungkin untuk pembaca. Akhirnya, akan menonjolkan ciri khas gaya tulisan dan meletakkan tulisan yang ditulis benar-benar matang. 

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Oktober 23, 2023

Karya sastera berimpak sastera


DI NEGARA-NEGARA maju sastera menjadi salah satu komponen penting dalam mengimbangi tuntutan fizikal dan nilai insan. Kehebatan dalam industri tidak meminggirkan kesusasteraan malah diperhebatkan lagi kerana inilah faktor yang menyuntik pertimbangan kemanusiaan. Kesusasteraan tidak pernah tersisih sebagai kelas dua atau tiga kerana pembangunan fizikal tidak mampu membangunkan hal-hal yang berkaitan dengan kemanusiaan. Sebab itu  sastera mendapat tempat yang penting dalam laras pembangunan sesebuah masyarakat dan negara maju.

Sasterawan adalah pemikir. Daripada golongan ini masyarakat boleh menumpang bahtera untuk menyeberangi lautan fikir yang luas terbentang tidak bersempadan. Pada masa yang sama sasterawan membentuk pola pemikiran ke arah pembangunan bukannya pemusnahan. Setitis tinta pena sasterawan mampu mengubah segugus tanggapan terhadap sesuatu. Dari sinilah timbulnya mata pena lebih tajam daripada mata pedang dengan syarat keberanian dan kebijaksanaan menggunakan pena untuk tujuan yang membina.

Sesiapa juga termasuk pihak berwajib tidak boleh terlepas pandang terhadap peri pentingnya golongan sasterawan ketika menggubal sesuatu dasar yang menyentuh kepentingan rakyat. Sasterawan lebih memahami denyut nadi dan getar jiwa berbanding para birokrat yang ada kala kontang rasa manusianya. Hasil penulisan yang tinggi falsafahnya tidak akan lupus ditelan zaman malah terus dijadikan cermin untuk menyingkap kehebatan silam seterusnya dijadikan penyuluh masa depan.

Sebab itu peranan penulis berlaku sepanjang zaman. Saya pernah mengemukakan pertanyaan yang nakal, apakah penulis buat andainya tidak ada sebarang peraduan atau sayembara penulisan. Ikatan yang boleh disimpul dalam isu ini ialah penulis lahir bukan bersebabkan ada atau tidaknya sebarang insentif seperti peraduan atau sayembara, kerana penulis adalah pencetus idea dan tanggungjawabnya sebagai arkitek pembangunan minda manusia.

Bagi generasi persuratan di negeri ini, apa lagi yang kita tidak punya. Mekanisme pembinaan tersedia. Ada agensi diwujudkan. Ada gelanggang menunjukkan bakat. Media massa sastera, kita syarikat persuratkhabaran ditambah lagi majalah di bawah seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan. Kita juga mempunyai ramai tokoh dan ramai penulis yang berwibawa malah diakui berbakat. Meski kurang pengkaji sastera kita masih ada tokohnya yang telah dibuktikan melalui pencapaian di dalam dan luar negara. Tidak hairan satu hari nanti  sasterawan kita meraih Anugerah Sastera Negara selepas meraih Anugerah Penulis Asia Tenggara.

Kita tidak lagi bercakap hanya dalam lingkungan daerah atau negeri tetapi mencakupi nusantara dan dunia malah. Tidak bersalahan menjadikan Sabah sebagai dataran persuratan di rantau ini kerana kita mempunyai banyak kelebihan misalnya sumber alam yang kaya dengan kearifan tempatan dari sudut budaya, kepercayaan adat dan adab, politik yang matang dan sebagainya. Oleh yang demikian jangan pandang ringan apabila negeri kita mengadakan program-program yang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa. Mari sama-sama membentang idea-idea bernas dalam menanam pasak jati diri untuk sebuah masa depan yang dinamik. Maju bukan semata dari sudut pembangunan fizikal yang tampak bahkan pembinaan batiniah yang akan dijadikan benteng kekuatan kita sebagai insan yang berpedoman, berpanduan dan berwibawa.

Ada tiga hal yang setidaknya mempengaruhi perkembangan peribadi seseorang. Tiga hal itu berupa bakat, lingkungan, dan buku yang dibaca. Bakat mengarah kepada suatu pembawaan sejak lahir. Sedangkan lingkungan merupakan tindakbalas dalam merangsang bakat sebagai kesempurnaan kewujudan. Sementara buku adalah ruang khidmat untuk menandaskan idea dan gagasan-gagasan yang menawarkan ruang inspirasi. 

Salah satu bakat yang dimiliki oleh seseorang iaitu kemampuan untuk berbahasa. Secara normal, semua orang yang dilahirkan ke dunia, kemampuan berbahasa menjadi bekal pokoknya. Hal itu menjadi saranan dalam mengembangkan potensi keperibadiannya yang lain. Tinggal di mana orang tersebut berada, maka bahasa yang terbentuk adalah sesuai dengan lingkungannya. 

Sementara yang berkait dengan bahasa dan merupakan sebahagian bentuk daripada pengembangan kemampuan berbahasa adalah sastera. Dalam mencipta karya sastera konstruksi bahasa tidak akan terlepas daripadanya. Bahasa sastera merupakan bahasa pengembangan peribadi manusia yang mengarah kepada nilai estetika. Bahasa ini pada dasarnya dibentuk sama dengan bahasa-bahasa pada umumnya, iaitu melalui proses interaksi dengan lingkungan yang bertumpu pada pembawaan masing-masing. 

Seseorang menuturkan bahasa disebabkan oleh adanya wacana lingkungan, baik lingkungan fizik mahupun psikik. Lingkungan itulah yang menjadi media pemicu akan hadirnya ujaran bahasa termasuk sastera. Orang tersebut bermaksud ingin menyampaikan pesan tertentu atas fenomena yang telah diperolehinya. Oleh sebab itulah, estetika bahasa dalam sastera merujuk pada dua hal iaitu estetika struktural dan estetika semiotik. Estetika struktural (khasnya puisi) diwakili dengan adanya perwujudan nilai puitis yang berhubungan dengan diksi, rima, irama, aliterasi, asonansi, permajasan, enjambemen dan tipografi. Estetika semiotik pula berorientasikan pada makna dan nilai-nilai yang hendak disampaikan pengarang melalui karya sastera yang membekasinya. 

Untuk mencapai kedua estetika tersebut, seorang pengarang tidaklah serta merta atau secara spontan menggenggamnya. Seorang pengarang harus menempuh proses tertentu dalam menggauli dan mengintimi sastera. Proses tersebut dapat ditempuh dengan dua jalan, iaitu menghujani fikiran dengan bacaan-bacaan dan bertukar fikiran atau bertukar pengalaman dengan rakan yang sama-sama berkecimpung dengan sastera. Kedua hal itu tentunya tidak terlepas dari faktor lingkungan juga. Sebab fenomena lingkunganlah yang mengilhami akan hadirnya sebuah karya dari peribadi seseorang. 

Kedua-dua estetika di atas pada gilirannya akan menjelma sebagai suatu kekuatan yang sungguh luar biasa dalam karya sastera. Dapat dikatakan bahawa dua hal itu seiring sejalan. Yang satu sebagai jasad dan yang lainnya sebagai roh. Jasad tanpa roh maka tak ada kehidupan. Roh tanpa jasad maka tidak tampak jejak keberadaannya. 

Karya sastera adalah karya seni yang berbicara tentang masalah hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa sebagai mediumnya (Esten, 1980). Seirama dengan itu (Rusyana, 1982) menyatakan, "Sastera adalah hasil kegiatan kreatif manusia dalam pengungkapan penghayatannya tentang hidup dan kehidupan, tentang manusia dan kemanusiaan yang menggunakan bahasa." Daripada kedua-dua pendapat itu dapat ditarik pengertian bahawa karya sastera adalah karya seni, yang menggunakan alat ungkap bahasa sebagai alat penyampainya, yang esensinya adalah tentang hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan. Daripada simpulan itu kemudian dapat dimunculkan pertanyaan, "Apakah seseorang perlu belajar sastera?" Jika ya, apa hasil akhir yang diharapkan daripada pembelajaran itu? Bagaimana pembelajaran itu dilaksanakan? Logikanya pembelajaran sastera memang tidak dapat dipisahkan dengan pembelajaran bahasa. Namun, pembelajaran sastera tidaklah dapat disamakan dengan pembelajaran bahasa. Perbezaan hakiki keduanya terletak pada tujuan akhirnya. 

Kembali kepada isu pokok untuk membentuk sastera yang mantap kita harus memberi tumpuan kepada aktiviti menulis. Seperti kata Nisah Haron: menulis itu suatu kerja serius. Bukan sekadar melakar kata, menyusun ayat dan berbahasa puitis. Menulis ialah cara seseorang itu berfikir. Menulis karya kreatif pula bukan sekadar mengadun emosi dan menyatukan manusia dengan peristiwa. Ya, menulis itu penuh dengan tanggungjawab kerana sebuah karya itu bukan tempat melampiaskan luahan hati dan perasaan. Penulis juga bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca. 

Mungkin ada segelintir pengarang yang bangga kerana telah menghasilkan sejumlah buku sepanjang penglibatannya dalam dunia penulisan tetapi apakah karya-karya itu telah memberikan kesan atau sesuatu perubahan yang ketara dalam kehidupan pembacanya? Segelintir pengarang pula begitu ghairah meletakkan judul-judul buku tanpa memikirkan kesan terhadap sensitiviti masyarakat. Selain daripada itu, kegemaran yang menjadi ikutan sesetengah kumpulan penulis dalam tindak tanduknya ingin mempopularkan produk sastera melalui bentuk karya yang indah pada bahasa tetapi tidak pada mesej atau intipatinya. Maka meletakkan sastera tidak cukup berpolakan hanya kepada penobatan seseorang pengarang atau kepada sebuah karya yang luar biasa tanpa dibuktikan oleh kehebatan peristiwa atau impak yang menyatu. Akhirnya kita ingin mengatakan bahawa sastera perlu bangun secara semula jadi apabila masyarakat yang membicarakan sesuatu isu itu mampu menekuni pengajaran daripadanya secara luar biasa. 

2018 © Pustaka Iqbal Nazim

Sabtu, Oktober 21, 2023

Keperluan Kata dalam Penulisan Puisi

UNSUR utama yang paling berperanan dalam sebuah cerpen adalah tema, namun apakah tema memegang peranan yang sama pentingnya dalam sebuah puisi? Pertanyaan tersebut cukup sering dilontarkan oleh mereka yang berminat terhadap karya sastera dan mereka yang ingin mendalami puisi khususnya, namun ironisnya pertanyaan itu belum tentu dapat dijawab oleh orang yang mengaku dirinya sebagai seorang penyair sekali pun. 

Mengapa muncul hal yang demikian adalah disebabkan oleh begitu banyaknya calon penyair yang sibuk dengan fikirannya sendiri-sendiri. Para calon penyair itu terlampau sibuk dalam mengolah gagasan-gagasan untuk menjadikan karyanya sebagai sebuah karya yang fenomenal, sehingga terbebani oleh sejumlah misi untuk menyampaikan ‘sesuatu’ kepada pembacanya. Sesuatu itu boleh berupa pesan moral, khutbah, protes politik, kajian falsafah, kritik sosial, masalah cinta, masalah keluarga, atau laporan jurnalistik dengan berbagai gaya ungkap, akan tetapi si penyair lupa bahawa sesunguhnya ia tengah menulis sebuah puisi dan bukannya propaganda politik, pamflet, teks iklan, surat cinta atau berita surat khabar yang prosaik sifatnya.

 Ramai calon penyair lupa atau tidak tahu bahawa keperluan sebuah puisi sesungguhnya bukan pada masalah tema atau gagasan tetapi lebih pada kata-kata, sebagaimana ditegaskan oleh Dr.Sapardi Djoko Damono ketika mengikuti bengkel puisi Mastera di Jakarta sedikit masa dahulu, mengatakan bahawa kata-kata adalah segala-galanya dalam puisi. 

Menurut Marjorie Boulton pula, unsur-unsur pembentuk puisi dapat dilihat dari dua segi iaitu dari bentuk fizikal dan bentuk mental. Bentuk fizikal itu meliputi tipografi, diksi, irama, intonasi, enjambemen, repetisi  atau perulangan dan berbagai perangkat bahasa lainnya, sementara bentuk mental meliputi tema, asosiasi, simbol, pencitraan, dan emosi. 

Pembahasan atas setiap unsur-unsur dalam puisi adalah hal yang sangat rumit terutama saat kita tidak melihatnya dalam kaitannya dengan unsur-unsur yang lain, kerana sebuah puisi merupakan sebuah 'totalitas yang unikum', akan tetapi kesedaran seorang penyair atas keberadaan kata sebagai unsur yang paling utama dalam penulisannya akan membantu diri si penyair dalam memahami keperluan dari proses kreatif penulisan puisi itu sendiri, sekali pun tentu saja seorang penyair dituntut pula memiliki pemahaman yang sama mendalamnya atas unsur-unsur puisi yang lain sehingga ia mampu melahirkan puisi yang bagus dan berhasil. 

Kata-kata di dalam puisi adalah kata-kata yang sama sekali berbeza dengan teks dalam bentuk yang lain. Kata-kata dalam puisi memiliki peranan sangat penting kerana ia tidak saja harus mampu menyampaikan gagasan, tetapi juga dituntut untuk mampu menggambarkan imaji penyair dan memberikan impresi ke dalam diri pembacanya, sebab itu kata-kata dalam puisi lebih mengutamakan intuisi, imajinasi, dan sintesis sebagaimana dapat kita lihat daripada pendekatan puisi itu sendiri bertitik tolak dari bentuk organik puisi seperti menurut Herbert Read yang menyatakan bahawa puisi adalah ‘predominantly intuitive, imaginative, and synthetic’ sementara pilihan kata-kata dalam prosa lebih mengedepankan logika, bersifat konstruktif dan analitis. 

Intuisi di dalam puisi adalah mengacu pada kemampuan karya itu untuk menyatakan kebenaran yang dapat diterima secara universal, jadi puisi yang baik mutlak mengandungi nilai-nilai kebenaran universal (universal truth). Sementara imajinasi dalam puisi merupakan upaya kreatif untuk memperkuat kesan suatu pengalaman puitik yang hendak disampaikan oleh seorang penyair. Dengan kata lain proses penulisan genre ini sepenuhnya harus lahir melalui sebuah proses kreatif. 

Akhirnya dapat diikat bahawa puisi  merupakan sebuah sintesis kata-kata. Di dalamnya, puisi haruslah memiliki keunikan yang tidak langsung mengacu kepada sesuatu yang diungkapkannya bahkan juga ikut mengangkat pengertian yang luas dan mampu menimbulkan kesan rasa dan daya anggap yang jauh lebih mendekam serta mendalam.

Jumaat, Oktober 20, 2023

PERSURATAN ISLAMI MEMPERKUKUH INTEGRASI MASYARAKAT MADANI

MAKALAH ini akan membincangkan peranan persuratan Islami dalam memperkukuh integrasi Masyarakat Madani. Istilah madani buat pertama kalinya ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1993 hingga tahun 1998, mengungkapkannya dalam Simposium Nasional sempena Forum Ilmiah Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia pada 26 September 1995. Namun begitu, istilah tersebut telah wujud berabad lamanya, lebih lama sebelum wujudnya Malaysia dalam bentuknya yang sekarang. Dalam konteks integrasi masyarakat majmuk di negeri ini, salah satu tumpuan yang boleh diperkatakan ialah bagaimana dunia persuratan Islami mampu dikaitkan dalam jati diri masyarakat. Salah satunya adalah usaha yang lebih jauh bagaimana pendidikan dijadikan sasaran utama memahamkan masyarakat. Sasaran ini amat perlu didahulukan agar sumbangan yang tulus dan benar lahir untuk menjadi tonggak penting. Berpandukan kepada pemikiran-pemikiran tokoh persuratan Islami kita dapat merumuskan kepentingan tatakelola diri setiap individu dalam masyarakat memperkasakan semangat madani, ketamadunan sebagai faktor asasi punca kesedaran atau punca revolusi kebudayaan ini iaitu penjelasan rasional mengenai konsep yang dibawa oleh Islam.

Kata Kunci: Persuratan Islami, Madani, Integrasi

Mukadimah

SETIAP karya sastera pastinya mengandungi hal yang baik. Dalam bahasa Sanskret, sastera atau susastera berasal dari kata ‘su’ yang bererti ‘baik’ dan ‘sastera’ yang bererti ajaran, sehingga dapat diertikan bahawa susastera itu adalah sebuah ajaran yang berisi kebaikan yang ditujukan kepada manusia dengan tujuan kebaikan pula.

Sastera dalam bahasa lain sering kita sebut sebagai ‘literature’. ‘Literature’ berasal dari bahasa Latin iaitu ‘litera’ yang bererti tulisan. Literature dapat diertikan sebagai sesuatu hal yang berkaitan dengan tulisan. Akan tetapi tidak setiap tulisan dapat dikatakan sebagai sebuah karya sastera.

Pengertian sastera dalam Islam pula sastera lebih jitu kerana terasnya yang sangat kukuh iaitu berakarkan Al-Quran dan Hadis Nabi s.a.w. Fungsi  sastera  Islam  itu  untuk  menegaskan kebenaran dan  kebaikan yang  menimbulkan kesan-kesan  keindahan dan  nilai-nilai estetika yang mendalam. S.  Othman Kelantan,  dalam bukunya  ‘Arah Pemikiran Sastera  Malaysia’,  yang  menggariskan  bahawa  yang  dinamakan kesusasteraan  Islam  itu  antara  lain  ialah  karya-karya, terutama dalam bentuk kreatif,  yang  menunjukkan  kemurnian  akhlak,  moral,  meransangkan  manusia untuk berbuat baik, bersyukur kepada nikmat Tuhan dan menyedari kebesaran-Nya memberi kesan yang positif kepada manusia dan menjelaskan sesuatu yang konstruktif”.

Sesebuah karya itu dibina dalam bentuk struktur yang baik dan dalam Bahasa yang  kreatif  dan  imaginatif.  Keperluan  estetika  diperlukan  dalam  kombinasi antara bentuk dan isi.” (Utusan Malaysia, 2008)   Ini  memperlihatkan  kemurnian  nilai  estetika yang  dipadu dalam  sastera Islam,  yang  tercetus  dari  kesedaran  Tauhid  yang  tinggi,  untuk  menegakkan aspirasi  moral  dan  memperkukuh  tujuan  ketuhanan,  seperti  dijelaskan  oleh Mohd.  Kamal  Hassan  (1981):  dalam  perspektif  Islam,  penghasilan  seni  dan sastera hendaklah bertujuan, antara lain, meninggikan apresiasi manusia tentang semua nilai-nilai  yang baik, murni  dan diredai oleh Allah  s.w.t. Dan seni  dan sastera  yang tinggi  nilainya  ialah yang  boleh mendorong ke arah pencapaian tingkat ketakwaan, kemakrufan, kesolehan dan budi yang lebih mantap”.

Fungsi  ideal  sastera  Islam  ialah  memanifestasikan  pengalaman  tauhid  dan memangkin perubahan “dengan  cara dan gayanya yang  tersendiri, sastera selalu berfungsi sebagai sumber daya dorong yang kuat ke arah perubahan sosial dan budaya.” (Siddiq, 2012:137). Aspirasi perubahan ini tuntas diperjuangkan dalam penghasilan  sastera  yang  bertujuan  menyempurnakan  fungsi  transformatifnya yakni taghyir al-waqi‘ wa tahsinuhu iaitu dalam rangka merubah realiti yang ada dan memperbaikinya.Dalam merealisasikan misinya, untuk membawa pesan yang mendidik dan merubah ini, sastera Islam tidak sekadar mengungkapkan apa adanya (what is) tetapi sekali gus merangsang ke arah apa yang seharusnya (what ought to be).(Siddiq 2012). 

Madani dalam Persuratan Islam

Secara ringkasnya, masyarakat madani dapat difahami sebagai masyarakat yang membangun bersama tamadun yang menaunginya secara dalaman dan luaran. Pembangunan secara dalaman merujuk kepada kepercayaan seseorang terhadap sesuatu yang hanya difahami oleh akal dan hati dan penterjemahannya menerusi penampilan dan tingkah laku, manakala pembangunan secara luaran merujuk kepada ciri-ciri yang dapat dilihat dalam sesebuah tamadun di depan mata seperti pembangunan bandar, bentuk pemerintahan, susun lapis sosial dan sistem komunikasi simbolik.

Kedatangan Islam ke rantau ini telah banyak memberi kesedaran dalam aspek pendidikan dan ilmu pengetahuan masyarakat Melayu. Islam telah melahirkan semangat keilmuan dalam kalangan penduduknya untuk mencari dan mempelajari ilmu pengetahuan. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas bahawa; "Islam membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme bukan sahaja di kalangan istana dan kraton, malah sampai juga dengan lebih merebak di kalangan rakyat jelata". Faktor asasi yang merupakan punca kesedaran atau punca revolusi kebudayaan ini ialah penjelasan rasional mengenai konsep perihal wujud yang dibawa untuk pertama kalinya oleh Islam.

Pandangan sarjana tersebut menunjukkan kesedaran yang dicetuskan oleh Islam meliputi juga bidang keilmuan. Hal berkenaan juga menggambarkan pola kesedaran dalam aspek-aspek yang bersifat keilmuan ini yang melibatkan golongan atasan dan istana malahan juga golongan bawahan dan rakyat jelata.

Kedatangan Islam telah berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat di Alam Melayu ke arah bersifat ilmiah dan saintifik serta dapat meninggalkan era sebelumnya yang mengutamakan sesuatu yang bersifat tahyul dan khayalan untuk menuju ke sesuatu yang berbentuk realistik. Semenjak penerimaan Islam, kegiatan agama, ilmu dan pendidikan Islam diusahakan secara bersungguhsungguh oleh para ulama dan pendakwah Islam.Seluruh masyarakatnya termasuk raja dan kerabatnya, pembesar serta rakyat jelata didedahkan dengan ilmu pengetahuan Islam. Maka secara langsung atau tidak langsung telah mengubah persepsi atau tanggapan masyarakat terhadap pegangan agama, kebudayaan dan ilmu pengetahuan.

Islam sebagai ad-Din jelas memberikan imbangan yang wajar antara duniawi dan ukhrawi. Agama ini membawa penganutnya agar sentiasa berwaspada terhadap peranan masing-masing dalam semua bidang ilmu termasuk ilmu persuratan, peradaban dan kesusasteraan. Peri pentingnya ilmu persuratan (membaca, menulis dan berkarya) ini telah difirmankan Allah dalam Surah al-‘Alaq, 1: “bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan”. Adapun, tiap-tiap tingkat penglibatan ini menuntut pencapaian yang tinggi dan keredhaan Ilahi.

Sesungguhnya, Islam sangat mementingkan ilmu dalam penulisan mahupun berkarya. Penulisan yang baik lahir daripada pembacaan yang berkesan. Manakala, hasil pembacaan yang berkesan dapat dizahirkan melalui penulisan; dan menjadi cerminan diri. Maka, jelaslah bahawa Islam menuntut penganutnya untuk menambahkan ilmu pengetahuan melalui pembacaan yang mendalam. Selain itu, Islam juga menggalakkan penganutnya untuk menulis, sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah al-Qalam, 1 dan 2: “Nuun. Demi pena dan apa yang mereka tulis”. Ayat ini menunjukkan dengan jelas bahawa kepentingan penulisan dalam perkembangan ilmu; kerana ilmu dan penulisan sama sekali tidak dapat dipisahkan.

Dalam konteks ini, Sasterawan Negara Kemala, turut bersetuju bahawa penyair Islam tidak harus memisahkan diri dengan ilmu dan pengetahuan. Mereka juga perlu memiliki daya pemikiran yang kritis dan inovatif, seiring dengan konsep ta‘aquli; yang merupakan elemen penting dalam melahirkan sasterawan Islam yang mendukung nilai-nilai intelektualisme (‘akliah). Kemala turut menasihati mereka agar menghayati makna intelektualisme secara ilmiah dan sewajarnya menurut landasan Islam (Kemala, 1994: 155).

Menurut Kemala, Sastera Islam mestilah lahir dari sasterawan yang mempunyai asas akidah Islamiah yang kukuh, yang berpegang teguh pada al-Quran dan al-Sunnah (Kemala, 1989: 15). Penyair Islam yang sejati sewajarnya menghayati al-Quran dan menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama; kerana di dalam kitab suci ini sarat dengan contoh dan panduan tentang kehidupan seperti: visi, harapan, nilai ilmu, kemuliaan hati, keadilan, penderitaan, khianat, dendam, fitnah, keangkuhan, pembalasan dan pelbagai manfaat yang besar dalam al-Quran. Dengan ketakwaan yang tinggi, penyair Islam dapat menyuburkan rasa kecintaan kepada Allah SWT dan menerima hakikat bahawa kebenaran yang mutlak adalah hak milik Allah semata-mata 

Pancaran Persuratan Islam

Dalam sejarah peradaban Islam, konotasi perkataan sastera itu melambangkan sesuatu yang cukup penting dalam masyarakat. Sastera dalam Islam didefinisikan sebagai 'adabbiyyat', yang bertitik tolak daripada perkataan 'adab'. Kedudukan makna adab itu sendiri paling signifikan tercermin dalam sejarah kesusasteraan Islam seperti yang diterangkan oleh ahli sejarah tamadun Islam, Marshal S. Hodgson: “A central position in adab was held by Arabic literature: especially the poetry and the rhyme prose, which held a position of honour not accorded to any other arts. The spoken word well put moved cultivated men as nothing else in life was permitted to, and its refinements were explored by a galaxy of remarkable verbalists.” (Hodgson, 1958:452).

Mengikut Professor Syed Muhammad Naquib al-Attas, perkataan 'addaba' menyemai dan mengukuhkan adab ke dalam diri boleh diertikan juga sebagai mendidik. Makna pendidikan yang dimaksudkan oleh al-Attas bukanlah seperti mana yang kita biasa fahami yang bersifat satu dimensi bahkan merangkumi amal dan juga proses pendidikan yang menekankan penggunaan serta pengamalan ilmu secara baik dalam masyarakat. Para ilmuan Islam terdahulu telah mengikat kemas kata kunci ‘ilm (ilmu), ‘amal (amal) dan adab untuk menggambarkan konsep pendidikan yang sebenar dalam Islam iaitu ta’dib. (Al-Attas, 1980:25).

Dr. Sir Muhammad Iqbal menerusi puisinya melihat peradaban barat yang bakal menemui ‘ajal’nya kerana tamadun itu berdenyut pada degupan nadi dan nafas peradaban yang nazak kerana ia bergayut pada ranting-ranting yang rapuh. Ketika kamus Oxford menandakan peradaban sebagai peningkatan mental dan fizikal melalui latihan dan perkembangan intelektual, Syeikh Afzalur Rahman menjelaskan bahawa ‘ini bukanlah jiwa kepada peradaban, tetapi merupakan akibat dan kebenaran daripada peradaban, Semua ini ibarat daun dan buah daripada peradaban. Nilai atau harga mana-mana peradaban tidak dapat ditentukan berdasarkan keadaan luaran sahaja.

Asas penting.yang diletakkan oleh Afzalur Rahman sebagai paksi peradaban ialah bagaimana manusia melihat kehidupan, bagaimana matalamat hidup mereka, perwatakan, persiapan serta bagaimana mereka berhubung sesama manusia. (Arifin Arif: 2001: 140). Maknanya peradaban itu merujuk kepadaa kecemerlangan manusia dari sudut spiritual, akal dan fizikal. Perkara ini jugalah yang dilihat oleh al-Faruqi ketika ajaran Islam itu menyimpulkan bahawa tauhid sebagai pemberi identiti kepada tamadun Islam.

Kesebatian makna antara konsep adab dengan ilmu yang benar dan berguna, dengan amalan yang ikhlas dan betul telah dijelaskan dengan tuntas berkenaan takrif adab yang dikemukakan oleh al-Attas: “Adab ialah pengenalan dan pengiktirafan hakikat bahawa ilmu dan segala yang wujud teratur bertingkat-tingkat mengikut martabat dan darjatnya masing-masing. Serentak dengan itu adab juga ialah pengenalan dan pengiktirafan tempat yang wajar bagi seseorang berhubung dengan hakikat tersebut serta kebolehan dan potensi jasadi, akli dan rohani diri masing-masing.” (Al-Attas, 1980:26)

Oleh sebab itu kefahaman sastera yang tercermin daripada kata asal 'adabiyyat' haruslah disulami dengan kefahaman ilmu yang betul agar nilai diri dan masyarakat dapat diletakkan pada tempat yang betul sehingga lahirnya tamadun atau peradaban dalam masyarakat tersebut seperti dijelaskan oleh al-Attas: “Jikalau dalam Islam kesusasteraan itu diberi nama 'adabiyyat', maka kenyataan itu menjelaskan bahawa kesusasteraan itu dianggap sebagai penyimpan peradaban, penampung ajaran-ajaran serta kenyataan-kenyataan yang mendidik diri dan masyarakat nescaya menyerapi adab, sehingga dapat mengangkatnya naik dari taraf rendah manusia liar ke taraf luhur insan adabi. Jadi kesusasteraan mempunyai tujuan serta tugas yang berangkap dengan pendidikan umum; dia mencara-senikan ajaran-ajaran serta kenyataan-kenyataan yang memupuk adab menerusi bahasa luhur, yang menegaskan keadaan serta kedudukan hakiki pada cita-rasa insani.” (Al-Attas, 2001:121)

Penjelasan dan perkaitan sastera Islam yang menjadi asas kepada sastera ilmi tidaklah bermakna ianya beku dan jumud dari segi aspek estetikanya, malah ia turut menekankan aspek “indah dan bermakna” yang menjadi matlamat akhir sesebuah karya dalam sastera ilmi. Di sini Mohd. Affandi Hassan memetik contoh daripada al-Quran berkenaan cerita yang tersemat dalam Surah Yusuf. Menerusi ayat yang melambangkan “kesabaran yang indah” (Sabrun Jamilun, 12:18) menggambarkan kekuatan iman dan keteguhan hati dengan sifat tawakkal yang murni dan ikhlas. Sifat cinta kepada Allah yang dilakarkan oleh Nabi Yaakub timbul daripada iman yang sempurna dan cinta kepada anak nya (Nabi Yusuf) cerminan daripada kasih sayang seorang bapa sekaligus melahirkan “sabrun jamilun” tersebut.

Direnungi makna cinta kepada anak yang menimbulkan penderitaan sambil dipertentangkan dengan cinta kepada Allah yang menimbulkan tawakkal dan harapan, ia berhasil melahirkan kesan yang berbeza, dan ini sekaligus memberikan makna yang positif kepada kedua-duanya pada masa yang sama memberi gambaran berkenaan konsep taqwa. Perihal bapa yang kehilangan anaknya seperti satu kejadian biasa yang mungkin tidak menarik atau mengharukan tetapi diberi makna yang mendalam dan indah dengan penggunaan bahasa yang tepat di samping isi atau perutusan yang benar seterusnya mengetengahkan maksud indah dan bermakna yang seharusnya menjadi hakikat dan fungsi sastera dalam Islam (Mohd. Affandi Hassan, 2005: 28).

Hujah yang dikemukakan oleh Mohd. Affandi Hassan ini senada dengan apa yang al-Attas tegaskan berkenaan puisi bersifat keislaman daripada aspek “indah dan bermakna”: Puisi bersifat keislaman bukan hanya yang sekadar berdaya menyelipkan di sana-sini kalimat-kalimat keagamaan (baca: istilah Arab) seolah-olah yang demikian itu sudah cukup menunjukkan keislaman sifat dan bentuknya. Ciri-ciri yang menandakan puisi bersifat keislaman, antara lainnya, harus membayangkan kebenaran yang ditayangkan oleh budi dan rasa. Kebenaran yang tercermin dalam akal dan kalbu itu pula harus dijelmakan dalam bentuk rupacita yang menepati kisah keadaan dan yang diperjelas menuturi cerita mithali memadai perkara yang dimaksudkan. Ia juga harus mengandung pelajaran dan nasihat, memurnikan martabat ilmu dan amalan akhlakiah, menuntut penerapan keadilan serta perangai adabi dalam diri dan masyarakat insani.

Penulis puisi bersifat keislaman tentunya harus mendalami kefahaman akan Islam dan sejarah pemikiran serta tamadun Islam; sebab dengan kefahaman demikian sahajalah baharu boleh dia jadi sedar akan keadaan zamannya, akan permasalahan pokok yang terdapat di dalamnya, dan akan seterusnya pelajaran dan nasihat yang harus diambil daripadanya. Dia harus mengambil teladan daripada karya luhur pujangga lama, memahami sejarah lama serta cerita-cerita bidalan bijaksana. Dan dalam hal kepekaan terhadap keadaan semasa tiada harus membiarkan kejahilan dan kezaliman berleluasa tanpa teguran. Pandangan hidup serta pertimbangan rasa dan penilaian akalnya harus dikemukakan dalam bentuk puisi menuturi percakapan berirama menepati bawaan bahasanya.

Sesungguhnya ciri-ciri puisi yang disebut bersifat keislaman itu merupakan ciri-ciri puisi dan persajakan yang 'kulli' – yakni universal dan juga terdapat dalam kesusasteraan kebudayaan-kebudayaan yang bertamadun tinggi.” (Wan Mohd Nor, 2004: ix). Konsep kesusasteraan itu sebenarnya harus direnungkan sebagai merangkum tulisan yang meliputi bidang kebudayaan termasuk hasil agama, falsafah, sejarah, hukum dan undang-undang serta adat-adat istiadat, kesenian; ia menjelaskan sifatnya dalam mitos, dongeng, hikayat, baikpun dalam bentuk epik, roman atau sebagainya lagi; dalam prosa dan puisi dan tentu juga memasuki bidang-bidang pemikiran politik dan pendidikan – pendek kata ia meliputi bidang-bidang ilmiah yang dikaji dalam rangka ilmu-ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan. Kesusasteraan itu sesungguhnya mencerminkan tamadun, yang merupakan kehidupan intelek. (Al-Attas, 1972: 65). 

Penutup

Malaysia menjadi tumpuan, menjadi tajuk berita bukan kerana kejayaannya mencatatkan pertumbuhan ekonomi menakjubkan atau kembali menjadi harimau Asia, tetapi kerana hal-hal yang berkaitan dengan integriti. Maka keperluan besar kepada teras integrasi adalah keutuhan kepada setiap individu dalam masyarakat. Masyarakat memerlukan ilmu sebagai asas memahami, menghayati dan mendalami.

Integriti dalam mana-mana kumpulan masyarakat adalah penentu kepada kepercayaan. Sebagai pe­mimpin dan parti politik ia penentu kepada kepercayaan rakyat, dan sebagai negara ia penentu kepada kepercayaan masyarakat antarabangsa untuk berurus niaga dengan kita terutama yang membabitkan aliran masuk pelaburan.Bukti menunjukkan terdapat hubungan antara kepercayaan terhadap ahli politik, baik dari komuniti perniagaan dan rakyat dengan persepsi rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya. Berintegriti bermaksud tidak mengamalkan rasuah, memiliki stan­dard tingkah laku yang tinggi (berkaitan nilai-nilai adabbiyyat) yang membantu me­ngukuhkan kredibiliti dan kesahihan terhadap mereka yang terlibat dalam membuat keputusan dasar, menjaga kepentingan awam dan memulihkan keyakinan dalam proses pembuatan dasar.

Dalam konteks teras persuratan, boleh dirumuskan bahawa keperluan baik para pengarang dan khalayak yakni masyarakat yang hebat bagi menonjolkan peranan sastera ke arah membentuk masyarakat madani dapat diserlahkan dengan meneliti karya sastera yang dihasilkan atau pertimbangan bahawa karya sastera adalah pancaran daripada keperibadian, keintelektualan dan kebijaksanaan pengarang yang dibentuk  oleh pendidikan dan latar masyarakatnya. Sungguh jelas bahawa ilmu mejadi teras besar dalam ungkayah mempekasa jatidiri ummah keseluruhannya. Melalui karya sastera dapat dilihat kesedaran atau sikap pengarang sebagai manusia yang diberikan kelebihan oleh Allah s.w.t. dan seterusnya dapat dilihat kebijaksanaan pengarang dalam mempergunakan kelebihan tersebut dengan rasa tanggungjawab melalui daya kreativitinya untuk membangun kemanusiaan bagi mewujudkan masyarakat yang diharapkan. 

Rujukan dan Bahan Bacaan:

Ahmad Kamal Abdullah.1980. “Sastera Islam” dlm. Sekitar Pemikiran Kesusasteraan Islam. Kuala Lumpur: Gagasan Persatuan Pendidikan Islam Malaysia (GAPIM).

Ahmad Kamal Abdullah.1989. Unsur-Unsur Islam dalam Puisi Melayu Moden. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ahmad Kamal Abdullah. 2010. Simbolisme dalam Puisi Islam di Malaysia 1970-1990. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Al-Attas, S.M.N. 2019. Islam: Faham Agama dan Asas Akhlak. Kuala Lumpur: Ta’dib International.

Ampuan Dr. Haji Brahim Ampuan Haji Tengah. 2009. Fungsi Sastera. Negara Brunei Darussalam: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ariffin Arif. 2001. Kota Madani. Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS)

Ensiklopedia Sirah, jld.1. Penterjemah Zahara Salleh. 1993. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Affandi Hassan. 1992. Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd. Kamal Hassan. 1981. Konsep Keindahan dalam Islam dan Hubungannya dengan Seni dan Sastera: Suatu Pandangan Umum. Islamiyyat, 3, 39-50.

Siddiq Fadzil.  2012. Islam dan  Melayu: Martabat  Umat dan Daulat Rakyat. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan.

S. Othman Kelantan. 1987. Arah Pemikiran Sastera Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wan Daud, W.M.N. 2012. “Al-Attas: Ilmuan Penyambung Tradisi” dalam Adab dan Peradaban: Karya Pengiktirafan Untuk Syed Muhammad Naquib al-Attas, disunting oleh Mohd Zaidi Ismail dan Wan Suhaimi Wan Abdullah, 1-60. Kuala Lumpur: MPH Group Publishing.