Khamis, Januari 26, 2023
KARYA-KARYA YANG MENDAPAT TEMPAT DI DEWAN SASTERA/DEWAN MASYARAKAT/DEWAN TAMADUN
Selasa, Januari 24, 2023
KARYA YANG MEMENANGI HADIAH SASTERA
1. Salam Buat Kekasih |
- Hadiah
Sastera Malaysia 1984/1985 |
2. Tsunami Bukan Hanya Nama |
- Hadiah Sastera Perdana Malaysia |
3. Pada Hari-Hari Yang Berharga |
- Hadiah Sastera Perdana Malaysia |
1. Siklus Penyempurnaan |
- Hadiah
Sastera Sabah 1988/1989 |
2. Sajak Orang-orang |
- Hadiah
Sastera Sabah 1988/1989 |
3. Menghidu Bisikan Api |
- Hadiah
Sastera Sabah 1990/1991 |
4. Azam |
- Hadiah
Sastera Sabah 1996/1997 |
5. Akar Percakapan |
- Hadiah
Sastera Sabah 1998/1999 |
6. Tin Kosong Sebuah Lagu |
- Hadiah
Sastera Sabah 1998/1999 |
7. Mengapa Harus Berterima Kasih |
- Hadiah
Sastera Sabah 2000/2001 |
8. Tak Kedengaran Suara |
- Hadiah
Sastera Sabah 2002/2003 |
9. Nawaitu |
- Hadiah Sastera Sabah 2004/2005 |
10. Sebagai Ayah Entah Apakah yang Dihargai Anak |
- Hadiah Sastera
Sabah 2006/2007 |
11. Perlimbahan Cinta |
- Hadiah
Sastera Sabah 2010/2011 |
12. Mengakar Jihad |
- Hadiah
Sastera Sabah 2012/2013 |
13. Membuka Kebenaran |
- Hadiah
Sastera Sabah 2014/2015 |
14. Memiliki Rupa |
- Hadiah
Sastera Sabah 2016/2017 |
15. Tanpa Catatan Penghormatan |
- Hadiah Sastera Sabah 2018/2019 |
16. Pusaka |
- Hadiah Sastera Sabah 2020/2021 |
Isnin, Januari 23, 2023
IPS - Kekal dengan dukungan wasatiyyah dan istiqomah
SEBUAH PERBUALAN TENTANG USIA
Belum kutemui jawapan sejak anakku bertanya ke mana usia
kita berada. Usia di masa lepas itu apa? Apakah kunang-kunang
yang berpesta di pohon-pohon nun jauh di belantara. Atau di
awan-awan senyap di angkasa.
Setiap detik tiba ia berlalu. Semakin membesar menjadi putaran.
Kesehinggaan yang tak terbatas. Matahari dan malam, silih
berganti. Kita mengiranya dalam segala keterbatasan akal.
Bertuahlah dengan keyakinan ada dan tiada terhadap
kemahlukan kita.
Begitu kulelapkan mata, masa tak menangguhkan putarannya.
Ketika bangun telah berlalu sesuatu dan melahirkan masa sudah
demi masa sudah yang tak terisi apa pun.
Siapakah kita? Di sisi Tuhan, kita terlalu mendebu. Di sisi tuan
mungkin dianggap tuhan; apabila berfikir tahap kuasa
menjadi pengikut yang buta ada masanya. Percayalah kuasanya
tidak akan bertahan. Dia akan layu dan tak bermaya.
Hasyuda Abadi
Ahad, Januari 22, 2023
MALAYSIA MADANI PERLU DIHAYATI DAN DITERJEMAHKAN DALAM PENULISAN
SEPANGGAR: Ikatan Penulis Sabah (IPS) berperanan menterjemah dan menjayakan kerangka Malaysia Madani yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menerusi bidang penulisan kreatif.
dan Awang Abdul Muizz (duduk tiga dari kanan) bersama pimpinan IPS di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal. | ||
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud, berkata persatuan penulis berpangkalan di Sepanggar itu boleh melibatkan diri secara proaktif merealisasikan dua daripada lapan keperluan Malaysia Madani iaitu kemasyarakatan dan budaya dalam usaha memupuk masyarakat bertamadun serta menyemarakkan semangat perpaduan.
Katanya, sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berpengaruh khususnya dalam kalangan karyawan dan budayawan, pelbagai program boleh dijayakan seperti penulisan puisi, cerpen dan makalah berkaitan dasar baharu kerajaan itu.
Beliau berkata, maklumat juga boleh disalurkan menerusi pelantar media sosial seperti aplikasi TikTok untuk memudahkan IPS mendekati generasi muda yang cenderung kepada teknologi digital.
![]() |
MUSTAPHA (tengah), Rusdi (empat dari kanan), Hasyuda (tiga dari kanan),dan Awang Abdul Muizz (empat dari kiri) bersama pimpinan IPSdi Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal. |
“Persatuan penulis khususnya ahli dan pimpinan IPS berperanan menghayati dan menjayakan konsep Malaysia Madani dengan memberikan tumpuan kepada promosi nilai-nilai seperti hormat dan ihsan.
"Walaupun penduduk Sabah dilihat lebih ke depan dalam konteks hormat-menghormati, sifat ihsan kepada pelbagai lapisan masyarakat perlu diterapkan sejajar dasar baharu yang diilhamkan Perdana Menteri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan IPS 2023 di Rumah Puisi Hasyuda Abadi (RupHA) di Kampung Gudon, Menggatal, dekat sini, hari ini.
PIMPINAN dan ahli IPS yang menghadiri Mesyuarat Agung IPS
di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.
Khamis lalu, Anwar memperkenalkan 'Malaysia Madani' yang diacu berteraskan enam rukun iaitu keMampanan, kesejAhteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan lhsan sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.
Madani disasar untuk dijadikan dasar bagi setiap teras yang akan diteroka dalam usaha memperkukuh lapan keperluan iaitu ekonomi dan kewangan, perundangan, institusi, pendidikan, kemasyarakatan, budaya, bandar dan luar bandar.
Perkara ini penting bagi membolehkan usaha Malaysia melahirkan masyarakat yang berilmu, berkemahiran dan berakhlak mulia dapat direalisasikan.
Mustapha turut merujuk kepada sejarah Sabah yang telah melahirkan ramai tokoh dalam bidang pendidikan dan kemanusiaan yang boleh dijadikan contoh dan teladan kepada masyarakat untuk menjayakan konsep Malaysia Madani dalam konteks Sabah.
Beliau turut mengajak penulis di Sabah untuk menjayakan matlamat Sepanggar Sejahtera menerusi pelaksanaan aktiviti-aktiviti pendidikan, pembangunan kemahiran, kebudayaan, kesenian dan kesusasteraan.
“Saya optimis sokongan berterusan penulis-penulis Sabah, terutama yang berpangkalan di kawasan Sepanggar dapat membantu menjayakan matlamat ini,” katanya.
Dalam pada itu, Awang Abdul Muizz memaklumkan pimpinan IPS sudah merangka pelbagai program untuk bersama menjayakan konsep Malaysia Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri.
Katanya, IPS sebelum ini terbabit menjayakan pelbagai dasar yang diperkenalkan kerajaan menerusi cara tersendiri seperti pembabitan dalam penulisan berkaitan Sabah Baru pada 1994 dan ini boleh diteruskan menerusi Malaysia Madani.
Mengenai IPS, beliau berkata persatuan penulis itu merangka pelbagai program sepanjang tahun ini seperti bengkel penulisan, penerbitan, analisis karya, jerayawara sastera ke sekolah-sekolah di seluruh negeri dan pembangunan perpustakaan komuniti berkonsep Rumah Puisi Hasyuda Abadi.
"IPS amat bertuah kerana dianggotai Sasterawan Negeri Sabah iaitu Hasyuda Abadi dan lima pimpinan serta ahli persatuan tersenarai sebagai penerima Hadiah Sastera Sabah (HSS) 2020/2021 dalam pelbagai kategori menjadikan persatuan ini berada dalam kelas tersendiri dalam bidang sastera dan bahasa bukan saja di Sabah malah di peringkat kebangsaan," katanya.
HASYUDA (tengah) menyampaikan cenderamata kepada Mustapha sambil diperhatikan
Awang Abdul Muizz di Rumah Puisi Hasyuda Abadi Kampung Gudon, Menggatal.
PELUANG MEMENANGI SEA WRITE AWARD
Anugerah berprestij yang diwujudkan oleh Kerajaan Thailand sejak 1979 ini menjadi impian bagi ramai penulis negara-negara Asia Tenggara. Anugerah ini merupakan suatu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penulis, sasterawan dan seniman ulung dari negara masing-masing. Penulis yang berkelayakan merupakan seseorang yang konsisten dalam bidang persuratan. Komitmennya terhadap dunia persuratan sangat tinggi, cemerlang dan berterusan. Karya-karya hendaklah tersebar secara meluas dan diperkatakan oleh tokoh-tokoh persuratan tanah air. Sehingga kini tiga orang tokoh penulis berasal dari Negeri Sabah telah dipilih sebagai penerima SEA Write Award. Mereka ialah Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) yang menerima anugerah berprestij ini pada tahun 1992. Penerima kedua adalah Puan Azmah Nordin, seorang novelis unggul Malaysia (2009) kemudian disusuli Datuk Jasni Matlani. Tokoh penulis ini menerima SEA Write Award daripada Kerajaan Thailand pada tahun 2015.
2. Kategori yang lebih diutamakan dalam anugerah sea write award.
Apa yang saya difahamkan, kriteria pemilihan calon untuk anugerah ini tidak lagi tertumpu semata-mata kepada genre yang dikuasainya. Misalnya seorang penulis yang dicalonkan itu amat cemerlang dalam genre novel namun dia juga hendaklah terlibat sebagai aktivitis dalam gerakan sastera. Tokoh berkenaan seharusnya terlibat dalam pelbagai kegiatan seperti menjadi pemakalah, penilai peraduan penulisan di samping menyertai pelbagai program persuratan di dalam negara dan luar negara.
3. Peluang menerima anugerah sea write awar dalam kalangan penulis Sabah.
Pada saya peluang kepada para penulis di negeri Sabah meraih anugerah ini sangat tinggi. Negeri ini mempunyai ramai penulis yang berkaliber. Penulis-penulis yang gigih berkarya baik sebagai seorang penulis novel, cerpen, puisi dan drama sangat membanggakan. Dalam kalangan penulis-penulis ini sering meraih Hadiah Sastera Sabah yang dianjurkan DBP Cawangan Sabah selang dua tahun penilaian. Sebilangan besar para penerima hadiah ini merupakan penulis-penulis yang sama. Ini sebagai petanda kesungguhan mereka dalam bidang penulisan kreatif. Penulis-penulis ini banyak menulis novel, antologi cerpen dan kumpulan puisi persendirian masing-masing. Kegigihan sebilangan besar daripada mereka ini pula menerbitkan buku mereka sendiri. Ini bagi saya tidak berlaku di negeri-negeri lain. Negeri Sabah yang kaya dengan tema-tema tempatan memberi peluang kepada para penulis berkenaan mengangkat citra lokal negeri Sabah. Tema seperti ini sangat berhasil sebagai tanda aras kehebatan para penulis Malaysia berasal dari negeri Sabah.
4. Harapan terhadap peluang sea write award di negeri Sabah.
Harapan saya tentulah seimbang dengan peluang yang boleh diberikan perhatian yakni mereka yang gigih ini hendaklah menghasilkan karya yang terbaik. Pihak penilai pemilihan calon-calon SEA Write Award Malaysia perlulah melihat secara utuh terhadap kecemerlangan para penulis Sabah secara menyeluruh. Saya yakin penulis-penulis negeri Sabah juga berhak untuk sama-sama bersaing dengan para penulis di negeri-negeri lain di negara ini. Bahkan kriteria-kriteria yang ditentukan pihak penilai sangat jelas. Maka berdasarkan kepada kriteria-kriteria berkenaan, saya berharap peluang hendaklah diberikan kepada para penulis di negeri ini.
5. Sepatah dua kata bagi penulis-penulis di negeri Sabah yang mempunyai harapan besar terhadap sea write award.
Tiada kata-kata bernas lain yang boleh dikongsikan seandainya para penulis mempunyai impian meraih anugerah berprestij ini. Para penulis Sabah perlu gigih menghasilkan karya. Gigih sahaja belum memadai tetapi hendaklah menghasilkan karya-karya yang hebat. Karya-karya yang membawa citra bangsa menerusi pemikiran yang sangat tinggi. Soal mutu dan banyaknya karya tidak memberikan sebarang kehebatan kepada seseorang penulis tanpa mengambil kira hala tuju pemikiran mereka.
Oleh sebab itu karya-karya yang dihasilkan harus disebarkan secara meluas menerusi kegiatan bicara karya, bedah buku, seminar dan apa juga bentuk program yang berkaitan. Pada masa yang sama penulis hendaklah tidak menunggu ada pihak yang mengurus karya dan kegiatan mereka. Para penulis harus sentiasa bergerak secara proaktif baik melalui gerakan berkelompok mahupun secara bersendirian. Penulis hendaklah mencipta jenama sendiri. Bina jenama daripada karya-karya anda.