Sabtu, Ogos 12, 2017

MEMBINA PENULIS KREATIF

Oleh: HASYUDA ABADI
hasyuda@gmail.com
BARU-BARU ini saya dilibatkan dalam program bicara karya yang dinamakan SUNTIK di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Dalam program ini saya diberikan peranan memilih sebuah puisi terbaik dan sebuah puisi yang perlu suntikan. Karya-karya yang dimaksudkan ini merupakan puisi-puisi yang pernah disiarkan di media massa tempatan sepanjang bulan Julai 2017.

Ketika membaca, sebanyak 30 buah karya puisi yang disiarkan, saya dapati banyak sekali yang memerlukan pemantapan. Penulis-penulis yang terlibat ini termasuk mereka yang mapan seperti Mahmud Jahar, Sabahuddin Senin dan Kembara Muda. Kedudukan mereka sebagai penulis yang mapan memang tidak kita ragui. Saya tidak menghadapi masalah dengan puisi mereka. Terdapat juga penulis yang memang sentiasa mengisi ruang sastera di surat-surat khabar tempatan misalnya R.Disma, Slem Maribin, Hanafiah MZ, Nor Aisyah Maidin dan Ramlie Jalimin Jainin. Nama-nama ini disusuli dengan penulis-penulis baharu antaranya Gabriel Kimjuan, Norima Zain, Umairah Aisyah, Darmata Haji Matlan, Chacho Mohama dan Rozeline Vitalis

Saya memilih karya Nor Aisyah Maidin berjudul ‘Terbanglah’ yang tersiar di Utusan Borneo disebabkan beberapa hal; antaranya kejayaannya memilih tema yang baik, pemilihan diksi yang mempesona dan segar di samping keindahan gayabahasa yang bernas. Berdasarkan ukur tara sebuah puisi yang baik saya fikir Nor Aisyah berjaya menggunakan tipologi puisi yang indah berbanding puisi-puisi yang lain. Bentuk lirik yang dipilihnya juga turut digunakan oleh Ramlie Jalimin Jainin. Namun kesatuan diksi dalam puisinya memerlukan pemerhatian lebih lanjut. Maknanya perlunya pembacaan lebih daripada sekali sehingga kesatuan diksi yang saya maksudkan memikat naluri pembaca. Saya juga mengamati karya-karya Chacho Mohama. Chacho bukanlah penulis muda tetap penulis baharu yang matang kerana usianya. Mengingatkan nama ini saya fikir puisi-puisi beliau yang terdapat dalam Antologi Puisi - Kepimpinan Musa Aman dalam Puisi” lebih bertenaga. Saya mencadangkan supaya Chacho (bahkan penulis-penulis yang lain juga) mengelakkan puisi yang terlalu pendek. Puisi pendek dibolehkan sekiranya kesepaduan puisi itu wajar.

Daripada pengamatan terhadap puisi-puisi sepanjang bulan Julai tersebut, sukalah saya nyatakan bahawa para penulis perlu banyak membaca karya-karya para penulis tersohor. Mereka perlu juga berguru dan rajin bertanya kepada yang mahir dalam genre ini. Saya perhatikan ramai penulis yang disebutkan menulis di media sosial namun kekerapan menyiarkan puisi sedemikian belum menjamin karya menjadi lebih baik tanpa suntikan tertentu. Para penulis perlu berani berinteraksi dengan tokoh-tokoh tertentu. Begitu mereka berani mencipta gayabahasa, keberanian juga dituntut ketika berhadapan dengan rakan-rakan yang melakukan teguran atau apabila kritikan dilakukan oleh pembicara yang kritis.

Ketika memberikan pandangan terhadap puisi-puisi yang
disiarkan di media massa di Sabah melalui program
S U N T I K.
Selain banyak membaca dan kerap berinteraksi dengan rakan-rakan penulis, program penataran atau bimbingan penulis juga antara langkah terbaik membina kreativiti penulis. Program bimbingan atau bengkel penulisan sering dianggap sebagai salah satu elemen penting dalam pemantapan karya. Meski pun terdapat penulis yang tidak pernah menyertai sebarang bengkel penulisan tetapi masih mampu menghasilkan karya yang baik. Sebaliknya, individu yang kerap menyertai bengkel penulisan pula ada yang langsung tidak menunjukkan karya mereka. Ini dapat dibuktikan kerana bilangan bakal penulis itu lebih ramai berbanding jumlah karya sastera yang dihasilkan. Dalam erti kata yang lain, aktiviti berbengkel tidak lebih sebagai pertemuan dalam kalangan rakan-rakan atau berkenalan dengan pembimbing. Padahal pengertian bengkel sendiri membawa maksud aktiviti penambahbaikan karya di mana setiap peserta wajib membawa karya yang sudah siap. Dalam keadaan  di mana karya berkenaan memerlukan penambaikan, sepatutnya peserta yang pernah atau mempunyai karya sahaja perlu menghadiri mana-mana bengkel yang dianjurkan. Bagaimanapun, setiap penulis atau sesiapa juga yang meminatinya mempunyai pilihan masing-masing terutama sekali bagi bengkel-bengkel penulisan yang berbayar.

Novelis terkenal, Azmah Nordin hanya sekali bengkel penulisan novel yang disertainya tetapi berjaya menghasilkan puluhan novel dan ratusan cerpen sehingga puncaknya beliau merupakan salah seorang pengarang yang meraih kecemerlangan termasuklah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award 2009. Sasterawan yang dijolok sebagai pengamal feminis ini turut membimbing ramai penulis khususnya dalam genre novel dan cerpen. Jasni Matlani, penerima SEA Write Award 2015 juga turut membuka ruang kepada para penulis baharu dan malah yang mapan mendalami dunia penulisan baik novel mahupun cerpen. Beliau banya mengadakan bengkel-bengkel penulisan kreatif. Malah terlibat dalam program-program sastera di luar negara. Selain Azmah dan Jasni, seorang lagi penulis yang berjaya iaitu Ruhaini Matdarin juga sering berkongsi ilmu penulisan. Di Sabah kita tidak kekurangan pakar sastera kreatif, tinggal para penulis sendiri melakukan pilihan mereka.

Seorang lagi penerima SEA Write Award 1992, Allahyarham Amil Jaya pernah membimbing beberapa orang penulis yang diadakannya pada waktu malam di pejabatnya sehingga dapat menyiapkan beberapa buah novel di bawah bimbingannya. Salah seorang penulis yang berjaya diasuhnya ialah Hajah Asmiah Haji Ajamain. Konsep ini pernah juga dilakukan oleh Dr.Ramli Isin. Selain membimbing dalam bentuk kuliah beliau akan memeriksa karya yang dihasilkan termasuk yang pernah tersiar di media. Beliau menegur dan memberikan tunjuk ajar secara empat mata kepada peserta. Ketika itulah beliau sebagai pembimbing mengenali pesertanya secara dekat, mengetahui proses penulisan peserta dan pada masa yang sama memberikan input atau masukan ilmu penulisan kepada pesertanya. Ramai tokoh sasterawan tanah air mengasuh penulis-penulis Sabah sama ada di bawah anjuran DBP Cawangan Sabah atau persatuan-persatuan penulis. Antaranya Allahyarham Dr. Othman Puteh, Allahyarham Ali Majod dan A.Rahim Abdullah. Sejak program Minggu Penulis Remaja ditiadakan dan Dr.Othman Puteh kembali ke rahmatullah, kebangkitan penulis-penulis muda semakin tumpul dan perlahan. Buku-buku sastera juga tidak banyak diterbitkan. Sehinggalah terjadinya suatu kebangkitan baharu atau ledakan penerbitan yang luar biasa pada 2012 apabila Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengorak langkah drastik. Penulis-penulis Sabah bangkit!

Peranan DBP Cawangan Sabah dalam membina para penulis kreatif juga tidak harus dipandang ringan. Meskipun pada masa ini agensi tersebut membekukan penerbitan beberapa genre sastera, namun usaha yang telah dilakukan seperti bengkel pembinaan judul dan perolehan manuskrip novel serta cerpen amat membantu. Kita terpaksa mengakuri gerakan sastera khususnya bidang penerbitan agak terbatas atas kekangan kewangan. Namun para penulis perlu mencari punca yang lain agar gerakan sastera tidak semata-mata mengharapkan dana pihak Kerajaan. Para penulis yang mampu hendaklah mencari pilihan yang lain misalnya menerbitkan sendiri manuskrip mereka. Ini bermakna para penulis perlu mengeluarkan dana dari poket mereka. Jika tidak, manuskrip yang baik apabila tidak sampai kepada khalayak pembaca, dunia sastera akan tenggelam.

Program bimbingan penulisan kreatif di mana-mana juga memang menjadi agenda penting untuk membina dan melahirkan penulis-penulis baharu. Mereka yang berbakat akan digilap dari semasa ke semasa. Penganjur perlu sekali mencari bakat-bakat muda ini khususnya mereka yang benar-benar komited mendapatkan pembimbing yang berwibawa. Apapun juga bunyinya, para penulis yang menggunakan peluang menyertai program-program bimbingan penulisan perlu menjana kreativiti mereka seperkasa mungkin. Dengan begini, peluang untuk didedahkan kepada program yang lebih besar menjadi milik mereka, misalnya Program Penulisan Kreatif Mastera atau Program Penulisan Antarabangsa Iowa. Amerika Syarikat.

Pada sisi yang lain, para penulis perlu juga akur terhadap ukur tara dalam dunia penulisan khususnya karya kreatif. Catatan saya pada minggu lepas diharapkan boleh menjadi sebahagian daripada banyaknya ‘vaksin’ dalam suntikan memperkasa serta membugar para penulis. Penulis yang berwibawa sudah tentu akan menggunakan pengalaman dan pengetahuannya melahirkan karya yang berdaya tahan. Berdaya tahan sebagai rujukan generasi akan datang dan menjadi ‘master piece’ khazanah sastera kemudian hari.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Jumaat, Ogos 11, 2017

Rumah Puisi dan Pustaka Iqbal Nazim

  
Oleh Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
DENGAN izin Allah juga Rumah Puisi Hasyuda Abadi menerima kehadiran para penulis dan penggiat susastera sekitar Kota Kinabalu dalam Progam Nge’teh dan Baca Puisi pada pagi 22 April 2016. Rumah puisi yang disebut oleh Prof Dr Siti Zainon Ismail (sasterawan dan budayawan Malaysia) sebagai ‘RupHA’ mempunyai dua misinya iaitu pertama menempatkan khazanah buku-buku yang saya miliki dan kedua menjadikannya sebuah premis susastera dalam menggerakkan kegiatan-kegiatan persuratan para penggiatnya. Ada juga yang bertanya mengapa rumah puisi? Jika ada rumah terbalik sebagai satu tarikan pelancongan yang terletak di Tuaran, Sabah, sebagai satu jenama yang dikenali sudah tentu tiada bersalahan jika ada rumah puisi.

Rumah puisi pada saya bukan semata-mata berfungsi puisi dalam corak aktivitinya bahkan akan menyumbang ke arah kepelbagaian kegiatan yang menarik. Seperti pernah saya saksikan sosok sebuah rumah puisi di Ain Angek, Sumatera iaitu Rumah Puisi Taufik Ismail, saya berazam menamakan rumah keluarga sebagai rumah puisi di mana di dalam rumah itu ada koleksi buku, ada kegiatan-kegiatan sastera, jualan buku, ada kafe dan sebagainya. Alhamdulillah, sebahagian impian itu saya telah terlaksana.

Saya namakan pustaka di RupHA sebagai Pustaka Iqbal Nazim atau P.I.N. Pustaka ini merupakan impian dan khazanah keluarga. Ini sahaja harta yang akan saya wariskan. Tiada aset yang lebih bermakna dan bernilai dari sebuah rumah kecil yang kami sekeluarga diami. Rumah Puisi saya bersama isteri tercinta, penyair Sahara Jais dan anak-anak serta cucu-cucu tersayang. Di sinilah saya mengajak rakan-rakan bermusyawarah, berbincang, berserasehan, menjernihkan fikiran dan sebagainya. Di sini akan disemai rasa persahabatan dan persaudaraan.

PIN ditubuhkan pada 2009 bermula di Ramin 8 Taman Puterajaya Telipok kemudian berpindah ke lokasi baharu apabila Rumah Puisi Hasyuda Abadi siap dibina pada 2010. Pada 2015 pula PIN telah ditambahbaik.

Pustaka mini ini menyimpan lebih kurang 7 ribu judul buku yang meliputi pelbagai bidang seperti sastera, agama, politik, budaya dan majalah. 80 peratus merupakan bidang sastera dengan pecahan genrenya seperti Puisi, Cerpen, Novel, Drama dan Kajian Sastera. Majalah-majalah yang tersimpan di pustaka ini pula berkaitan dengan dunia sastera tempatan dan luar negara seperti Brunei dan Indonesia seperti Dewan Sastera, Dewan Budaya, Dewan Bahasa, Pelita Bahasa, Horizon, Wadah dan majalah-majalah berkala. Selain itu, majalah-majalah keagamaan seperti Solusi, Anis, al-Ustaz dan majalah-majalah lama yang sudah tidak dikeluarkan lagi pada masa ini. Koleksi buku-buku ini mulai tersimpan sejak awal 1980-an. PIN juga ada mengumpul majalah-majalah lama seawal 1960-an berkaitan dengan dunia hiburan seperti Majalah Filem, Purnama Filem dan Mustika Filem.

Selain mengumpul khazanah buku, PIN juga ditubuhkan sebagai pondok membaca di Kampung Gudon di samping mengadakan aktiviti-aktiviti sastera dan khidmat sosial yang lain seperti kelas Iqrak dan al-Quran.

Ungkayah ini adalah sebagai permulaan kepada suatu pendekatan susastera yang lebih besar sebenarnya. Bukankah susastera itu merupakan rangkaian kehidupan manusia secara fitrah? Kehidupan yang memerlukan komunikasi melalui bahasa, nilai dan juga pelbagai ciri semiotik tidak mungkin melepaskan elemen sastera tersebut. Dalam pergaulan seharian sastera merupakan warna yang mendekatkan kita antara satu sama lain, meskipun barangkali bahasa kita berbeza. Allah menyukai keindahan, sebab itu sastera memberikan refleksi yang amat utuh buat umat manusia.

 Walaupun ada sesetengah orang yang menulis secara langsung namun kita percaya dia juga sukakan keindahan. Mungkin keindahan yang difahaminya berbeza dengan apa yang kita fahami. Apa yang kita inginkan sebuah karya itu mengandungi nilai-nilai yang positif. Pada sisi yang lain, ada juga pandangan bahawa tidak semestinya bahasa yang santai itu begitu polos secara literasinya namun masih mempunyai makna berlapis yang mengindahkan karya berkenaan.


PIN menyimpan pelbagai genre sastera, pelbagai jenis buku yang mungkin tidak semua orang menyukainya. Persoalannya sudah tentu bukan pada sosok bahasa atau pendekatan penulisnya tetapi intipati atau abstraksi karya berkenaan memberikan impak pemikiran yang bernilai mulia. Ahli falsafah tersohor, Rene Descartes, pernah mengatakan, “Membaca buku yang hebat ibarat mengadakan dialog dengan para cendekiawan yang cemerlang daripada masa lampau.  Pemikiran mereka terus hidup dan berpengaruh sehingga kini. Mereka menuangkan gagasan mereka yang terbaik semata-mata.”

Pernyataan Descrates ternyata benar apabila mengingatkan kata-kata Sayidina Ali,”Ikatlah ilmu dengan menuliskannya.” Menulis bagai mengikatkan sesuatu. Seolah-olah penulis, pada saat tulisannya lahir dan dapat dibaca oleh dirinya sendiri atau orang lain, melakukan semacam akad atau perjanjian. Sang penulis berjanji bahawa hal yang ditulisnya itu benar menurut pemahamannya dan dia terikat dengan hal yang dituliskan.


Ternyata buku yang hebat benar-benar mempengaruhi manusia dan zamannya, benar-benar mengusik dan menyentuh jiwa, memaknakan hidup pembaca. Sepanjang sejarah, buku mampu membuat orang menangis, ceria, gembira, ketawa bahkan bangun menentang ketidakadilan. Itulah kesan yang pernah dirasakan apabila membaca karya Shahnon Ahmad dalam Ranjau Sepanjang Jalan atau novel Salina karya A.Samad Said. Demikian juga dari Pramoedya Ananta Toer dalam
Cerita dari Blora atau Gadis Pantai, J.K. Rowling dengan siri Harry Potter, Sayidina Ali dengan Nahjul Balaghah, Hamka dengan di Bawah Lindungan Ka’bah, Karl Marx dengan Das Kapital, Imam al-Ghazali dengan Ihya-Ulumiddin dan banyak lagi. Penulis terkenal Amerika, Barbara Tuchman mengatakan, “Buku adalah pengusung peradaban. Tanpa buku, sejarah menjadi sunyi, sastera bisu, ilmu pengetahuan lumpuh dan fikiran menjadi kaku.”

Kita percaya setiap rumah ada koleksi buku masing-masing. Tertakluk kepada minat yang dimiliki. Mungkin sang isteri meminati novel-novel sambil sang suami tertumpu kepada buku-buku politik. Dengan cara memiliki itu tidak seia menyebabkan buku bukanlah suatu keutamaan dan dianggap aset dalam keluarga. Bagaimanapun, berbeza dengan emak mertua saya, beliau begitu sayangkan majalah-majalah lamanya yang diterbitkan sekitar tahun-tahun 50-60an, apabila saya beria-ia memulihara koleksi klasiknya itu, beliau sering mengingatkan supaya menjaga dengan baik. Pengalaman saya ketika bersama Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf yang menamakan terataknya ‘Dangau Budaya’ pula amat menyedihkan kerana hasrat membina sebuah khutub kanah bersebelahan rumahnya tidak tercapai sehinggalah beliau kembali ke rahmatullah. Rumahnya begitu sarat dengan pelbagai koleksi buku dan artifak budaya, sayang sekali andai semua itu tidak disimpan di satu tempat yang lebih baik.

Seorang bibliofil akan memburu buku ke mana-mana sahaja untuk koleksi peribadinya.
Murah mahal buku tidak menjadi persoalan, asalkan buku itu dapat dimlikinya. Beberapa tahun lepas, saya bersama dua orang sahabat menjadi ‘penggila buku’ kerana sanggup terbang ke Indonesia semata-mata membeli belah buku. Saya pecaya ini bukan disebabkan kami penulis tetapi lebih daripada sebagai bibliofil. Sahabat saya Abd Naddin Haji Shaiddin, seorang wartawan siap siaga dengan catatan buku-buku yang perlu sahaja ketika dalam pencarian di gedung buku. Beliau meminati sejarah nusantara, seperti seorang lagi sahabat Tuan Haji Hussain Qasau yang juga mentor kami. Saya biasanya mencari buku-buku kajian sastera, karya-karya sastera terkini dan buku-buku yang bernilai klasik dan sukar didapati. Kegilaan yang barangkali dianggap orang ialah apabila beli belah buku itu berharga jutaan rupiah! Kini beliau memiliki sebuah pustaka 'Arena Pustaka Subhan Amanna Gappa' yang terletak di Puncak Iqra', Papar, Sabah.

Tidak dapat dibayangkan, berapakah jumlah buku di pustaka Haji Hussain Qasau di Puncak Iqra'. Begitu juga koleksi buku Abd Naddin di rumahnya, yang belum saya kunjungi. Sedang saya baru mampu mengumpul empat ribu lebih judul buku. Jumlah yang kecil ini menarik minat saya menempatkan sebuah khutub kanah di dalam rumah. Pada penghujung tahun 2015, saya telah membesarkan pustaka yang kecil itu untuk memberi keselesaan kepada ahli keluarga dan juga teman-teman termasuklah para pelajar universiti yang berkunjung. Mudah-mudahan sahaja pustaka ini memberi kegunaan kepada yang memerlukan tidak semata-mata dalam kalangan ahli keluarga, malah lebih penting lagi ialah budaya membaca itu menjadi minat utama.

Dengan motto: penghubung ilmu, di sinilah cinta diabadikan buat sesiapa jua yang memafaatkan. Ada masanya kita ibarat daun dan membiarkannya kering dan reput sendiri, namun saya redha andai daun itu nanti biarlah menjadi baja untuk menumbuhkan dengan suburnya bibit-bibit di persekitarannya. Ini hanyalah analogi biasa yang lazim kita pandang di sekeliling. Malah pada setiap kejadian itu terlahir sesuatu yang bermakna. Saat bersendirian dan merasa tiada apa-apa, eloklah kembali muhasabah dan membaca. Biarlah semadi kita di dalam himpunan buku-buku yang masih terus dicari dan dibaca.


 PUSTAKA IQBAL NAZIM

Selasa, Ogos 08, 2017

PUISI: M E N C A R I R A K Y AT


MENCARI RAKYAT

Mencari suara rakyat, di manakah ia berlaku sepatutnya?
Apakah di sepatu pemimpin atau di lidah sejati rakyat?
Aku bingung apabila yang berkata tentang rakyat,
hak rakyat, mahunya rakyat, dahulunya rakyat itu
hanya para pemimpin. Para marhaen menghafal, hanya
mampu berzikir. Barangkali aku hanya penyair menulis
cuaca bumi, mencari budi, mencara diksi, bukan suara 
tetapi mendegup jiwa! Sebagai suara yang didiamkan
sementara menunggu fajar sebenar menjelang.

KOTA KINABALU

13 Mac 2016

PUISI : L A M B U T I T



Citanya bukan melompat tetapi berjalan, kata sang lambutit, mahu kurobah dunia bapa. Citanya mahu terbang seperti helang, katanya lagi, agar bangsaku berkuasa menakluk dunia.

Begitu gahnya cita, lambutit berenang-berenang dengan riang. Saat belajar berjalan tak ditemukannya langkah. Dicoba tanpa enggan tak juga mampu berjalan. Semula jadi gerakannya tak mungkin melangkah.

Ketika bertanya, jawab bapa, kita tak kan jadi apa-apa kerana kita telah sempurna. Manfaatkanlah takdir tanpa malu dan tanpa memalukan bangsa.

Semporna, Sabah.

15 Januari 2013

*Lambutit = anak katak