Rabu, Februari 08, 2023

Khazanah Hadijah

 

usai usia kita memilih arah perjalanan
membiarkan bara masa menyala
dalam kalbu masih mendengar tawa
dan bicara bocahmu, bocahku
menunggu kartu di hujung minggu
mengintai santai menikmati indah kata-kata
cair coretan lebur dalam minda
kini mulai bertebaran mencapai ingatan
 
tertumpu kepada khazanah masa lalu
meski bagai lukisan yang bersatu
di hujung makna warna, akrab rasa itu
sentiasa menimang kenang-kenangan
- jeti yang sepi di hadapan kuala teluk padas
       desa nelayan yang tampan merawai kehidupan
 
masih kuhidupkan aroma malam-malam di hadapanmu
khazanah yang berdenyut ketika sesekala tiba
jalan yang mati dan daerah pinggir yang sunyi
masih kuterima wajah pernah membawa pengalaman
jauh berpergian ke daerah lain yang menenggelamkan
                    keakraban.
 
 
Hasyuda Abadi,
Weston,

22 Ogos 2005

Ahad, Februari 05, 2023

Bolehkah sastera kanak-kanak Malaysia buka lembaran baru?



Oleh: Nur Hasliza Mohd Salleh dan Syaza Norazharuddin

Masihkah kita ingat akan kisah dongeng Bawang Putih Bawang Merah, Pak Pandir yang tergadai tanah dan anak derhaka Si Tanggang? Juga kepada lagu-lagu rakyat yang sering menjadi siulan kanak-kanak seperti Rasa Sayang Hey, Chan Mali Chan dan Ikan Kekek. Bukan itu sahaja, ibu bapa juga sering mendodoikan anak-anak yang hendak tidur dengan lagu-lagu tersebut.

Jika kita masih ingat, kedai-kedai buku juga pernah dipenuhi dengan buku-buku cerita rakyat yang menjadi kegemaran kanak-kanak. Pelbagai tajuk-tajuk buku yang menarik membuatkan buku-buku cerita dongeng menjadi kegilaan kanak-kanak.

Ini semua sebahagian daripada karya-karya sastera, bukan sastera biasa tetapi ianya sastera kanak-kanak iaitu hasil-hasil kreatif yang berupaya membantu golongan muda itu belajar dan mengenali budaya masing-masing. Bukan sahaja di Malaysia, hampir di seluruh dunia mempunyai identiti sastera kanak-kanak mereka yang tersendiri.

Di negara Barat, buku cerita kanak-kanak seperti “The Tale of Peter Rabbit”, siri “Harry Potter” dan “Alice in The Wonderland” amat dikenali di mata dunia sehinggakan terdapat naskah-naskah terjemahan melebihi 30 bahasa dan dicetak berulang kali. Kini di Malaysia, sastera kanak-kanak semakin menyepi.

Siaran kisah-kisah dongeng kanak-kanak di televisyen sudah diganti dengan iklan jualan secara langsung. Lagu-lagu rakyat kini sudah jarang didengar, malah tiada lagi yang asli. Kebanyakannya, lagu-lagu baru yang sudah diubah dengan elemen muzik yang baru. Di kedai-kedai buku juga jarang kelihatan buku-buku cerita kanak-kanak dipaparkan pada pengunjung. Tiada lagi sambutan hangat dari kanak-kanak dan ibu bapa terhadap karya-karya kreatif sastera tempatan.

Di manakah silapnya? Adakah era digitalisasi meminggirkan sastera kanak-kanak?Perbincangan akademik mendapati, digitalisasi sangat mendukung karya sastera kanak-kanak dengan memperkenalkan judul-judul dalam bentuk e-books. Ini membuktikan perkembangan digital tidak meminggirkan hasil sastera tersebut.

Jika diteliti semula, ramai orang dewasa terutama sekali ahli sastera sebenarnya membaca kembali buku cerita di zaman kanak-kanak yang memberi impak kepada mereka. Ini boleh dilihat dalam karya-karya mereka yang meletakkan unsur-unsur kisah dongeng dan cerita rakyat seperti yang diadaptasi daripada sastera kanak-kanak. Jadi, mengapa sastera kanak-kanak tidak boleh boleh dianggap sebagai satu cabang sastera yang penting dan utama dalam membangunkan masyarakat?

Peranan sasterawan?

Perkara ini patut menjadi perhatian para sasterawan negara di arus perdana. Dengan anugerah dan gelaran yang diberi, sastera seharusnya hidup dalam jiwa setiap lapisan masyarakat dan bukan dikaitkan hanya satu kelompok sahaja.

Sastera selalu disalah anggap sebagai bahan bacaan untuk orang tua. Seorang penulis dan aktivis sastera dari Gerak Malaysia Nursyuhaidah A Razak merasakan peranan sasterawan arus perdana dalam memperkasa pengaruh sastera kanak-kanak masih kabur.

“Sastera itu harus tetap dengan fungsinya iaitu pendidikan dan pencerahannya kepada masyarakat. Dalam konteks sastera kanak-kanak, tema yang lebih besar seperti anti rasuah dan pendidikan politik boleh diserap dalam karya sastera,” katanya kepada MalaysiaNow.

“Ini kelompongan kita. Sastera arus perdana negara belum bersedia mengangkat tema-tema begini.”

Gerak Malaysia adalah satu gerakan oleh sekumpulan anak muda yang aktif menulis dan menganjurkan program sastera bersama ahli akademik dan penggiat sastera dalam negara dan luar negara seperti Indonesia dan Singapura. Atas sebab itu, terdapat usaha membawa masuk sastera kanak-kanak dari negara luar melalui kerja terjemahan. Sebuah penerbit buku yang sedang menempa nama, The Biblio Press mengakui perkembangan buku kanak-kanak sangat perlahan menybabkan ianya sukar untuk dijual.

Bagaimanapun selepas setahun menubuhkan anak syarikat, Biblio Kids untuk penerbitan khusus kanak-kanak, satu trend yang baik mula dikesan. Pengasasnya Kiridaren Jayakumar berkata, pihaknya memilih untuk menerbitkan karya sastera kanak-kanak disebabkan minatnya di waktu kecil sekitar umur tujuh hingga sembilan tahun. Katanya, ketika itu perkembangan buku kanak-kanak termasuk terjemahan dari luar negara sangat aktif dilakukan.

“Buku-buku sebegitu buatkan saya minat bahasa Melayu dan juga membaca sejak umur tujud atau sembilan tahun. Selain Harry Potter, Buku-buku (terbitan) Oxford fajar, mereka juga ada buat buku-buku cerita dan hikayat dulu-dulu.

“Kami rasa kenapa benda (sastera) ini untuk dewasa saja kalau kanak-kanak pun boleh juga,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, syarikat penerbitannya kini dalam fasa akhir menerbitkan beberapa hikayat dan kisah pahlawan Islam. Terbaru, Biblio Press menterjemah karya sastera kanak-kanak dari Perancis yang amat tersohor bertajuk “Le Petit Prince” atau dalam bahasa Melayu, Putera Kecil. Tambahnya, beberapa judul baru juga dijangka keluar di pasaran dalam tahun ini hasil kerjasama dengan penulis buku tempatan.

“Sebenarnya saya rasa buku yang dah bertahan selama berdekad dan berabad tahun ni, sangat penting untuk dibaca oleh semua kanak-kanak.

“Kalau dari sudut sastera kanak-kanak kita memang ketinggalan jauh dari Indonesia. Kalau sastera kanak-kanak memang kurang karya untuk dibaca dan kalau tak ada buku untuk mereka baca, tak boleh salahkan mereka guna gajet.”

Satu hakikat yang mungkin kita terlupa, sastera kanak-kanak bukan untuk hiburan mereka semata-mata tetapi satu alat pembangunan bangsa.

KEPENTINGAN SASTERA DALAM KEHIDUPAN


Oleh: Nisah Haron

Kata Sasterawan Negara, Dato’ Shahnon Ahmad, sastera ialah seismograf kehidupan. Apa itu seismograf? Menurut Kamus Dewan, seismograf ialah alat bagi mengukur kekuatan gempa bumi. Jadi, mengapa perkataan seismograf dipilih? Itu makna yang bersifat literal ataupun harafiah. Seismograf dalam erti kata lain ialah kayu ukur ataupun penyukat kepada kehidupan.

Cuba lihat kehidupan hari ini. Seni dan sastera wujud daripada persekitaran yang ada. Perhatikan bahawa satu masa dahulu, lagu dangdut kedengaran di mana-mana. Pada ketika itu, Indonesia melalui zaman hedonisme yang melampau hinggakan Presidennya pun tumbang. Kini lagu-lagu dari Indonesia sudah berubah. Seiring dengan perubahan pola dan cara hidup masyarakatnya.

Cuba lihat pula lambakan pasaran buku hari ini. Penerbit buku kini lebih ghairah menerbitkan buku-buku yang bertemakan cinta dengan nafsu murahan. Mengapa? Kerana ada pasarannya. Perhatikan bagaimanakah bangsa Melayu hari ini? Secara kasarnya sudah berani hanyut dengan hiburan-hiburan yang sia-sia. Anak-anak muda menangis meraung jika gagal menyertai program-program realiti. Penonton pun sama meraung-raung apabila ada peserta yang gagal ke peringkat yang selanjutnya. Ibu bapa juga mengucapkan “Alhamdulillah, anak saya terpilih dalam program realiti tv ini.”

Jadi, tidak cukupkah kita hanya berhibur, berhibur dan berhibur hingga tiada suatu pun yang kita tinggalkan untuk ruang berfikir ataupun ruang ta’akul – ruang penafsiran.

Sastera pula bukan sekadar buku cerita, bukan sekadar puisi. Bagi saya, sastera ialah suatu seni kata-kata bagi menyampaikan sesuatu yang bermanfaat untuk tamadun, mengajak pembacanya berfikir dan mendorong pembaca melakukan kebaikan serta menimbulkan rasa insaf.

Jadi apa pentingnya sebuah buku cerita dalam kehidupan?

Sebuah karya sastera yang mewakili bangsa dan negaranya akan memberikan beberapa perkara, antaranya :

  • jati diri
  • patriotisme
  • rasa syukur

Membaca puisi-puisi A. Samad Said, misalnya, menemukan saya dengan banyak perkara. Kecintaannya terhadap bahasa, kritikan sosialnya yang lembut tetapi dalam makna dan juga rakaman peristiwa yang diabadikan dalam karyanya. Begitu juga dengan karya-karya Usman Awang yang banyak berbicara tentang kedamaian dan keseimbangan masyarakat.

Cuba-cubalah membaca karya Siti Zainon Ismail, sama ada cerpennya ataupun puisi-puisinya yang penuh kewanitaan tanpa meninggalkan akarnya yang gemilang. Sebagai penyair dan ahli akademik, Siti Zainon telah merantau ke seluruh dunia, namun karya-karyanya masih segar mempertahankan jati dirinya sebagai wanita Melayu Islam yang sejati.

Di kalangan penulis yang lebih muda, bacalah karya-karya SM Zakir, Faisal Tehrani, Siti Jasmina Ibrahim dan Nisah Haji Haron. Pendek kata, mereka ini bukan penulis yang hanya menggarap kisah cinta yang selapis, terlalu polos ataupun bersifat superficial. Penulis-penulis ini telah berjaya menyampaikan suatu mesej yang jauh lebih dalam berbanding usia mereka.

Dari aspek kelulusan dan kerjaya, penulis-penulis muda hari ini bukan sekadar berkelulusan sastera. Terdapat ramai penulis muda (berusia bawah 40-an) yang mempunyai latar belakang disiplin yang berbeza tetapi dapat menjadi penulis yang baik.

Mengapa mereka ini boleh menulis? Satu perkara penting yang ada dalam diri penulis-penulis ini ialah jati diri yang disebutkan tadi. Para penulis ini tahu akan identiti dirinya sebagai bangsa Melayu dan sedar diri bahawa, jika bukan merekalah yang melangsungkannya. Siapa lagi?

Lantas, apa pula peranan kita sebagai pembaca karya sastera?

Pilihlah bahan bacaan yang boleh menjentik pemikiran yang tinggi. Carilah bahan bacaan yang diiktiraf sebagai kesusasteraan Melayu tinggi yang boleh membangkitkan rasa kemanusiaan, kerana itulah peranan sastera yang utama : melahirkan rasa kemanusiaan dalam diri manusia.

Sastera sebagai satu elemen kehidupan bukannya untuk diasing-asingkan. Sastera tidak boleh bercampur dengan sains, ataupun sastera tidak boleh bercampur dengan ekonomi, perubatan, kejuruteraan, perakaunan dan sebagainya. Sastera itu boleh wujud dalam mana-mana cabang ilmu yang ada. Itulah kelebihannya.

Ada pihak yang menyatakan sastera ini berbelit-belit. Satu perkara yang langsung akan disampaikan dalam bentuk yang berkias-kias. Bagi saya, di situlah seninya penyampaian orang Melayu. Sebagai contoh, perhatikan tulisan Bapak Tenas Effendy dalam bukunya “Ungkapan Tradisional Melayu Riau” tentang peranan seorang anak :


Pertama anak manusia
Anak yang tahu asal jadinya
Yang tahu membalas guna
Kecil cencilak padi
Besarnya cencilak padang
Kecilnya duduk mengaji
Besarnya tegak sembahyang
Mengaji syarak dengan adat
Mengaji salah dengan silih
Mengaji aib dengan malu
Mengaji untung dengan rugi

Yang kuat mememang amanat
Yang setia memegang amanah
Duduk tahu akan dirinya
Tegak tahu akan maruahnya
Cakapnya berhingga-hingga
Baiknya berpada-pada
Sifatnya berpatut-patut
Patut bergaul sama sebaya

Patut duduk dalam majlis.

Andainya, kata-kata ini dikatakan secara langsung, kesannya tidak akan sama. Mesej yang cuba diperkatakan dalam ungkapan ini ialah, jadilah anak yang baik dan berguna kepada ibu bapa, masyarakat dan tanah air. Namun, mesej ini disampaikan dalam bentuk yang indah.

Kata-kata ini tidak wujud dalam bahasa lain. Kalau ada pun, ia dalam bentuk yang berbeza. Pantun Melayu, contohnya, tidak wujud dalam mana-mana tamadun bukan Melayu. Pantun menjadi subjek kajian sarjana Barat yang hairan betapa hebatnya orang Melayu mencipta pantun. Mereka cuma ada quatrain – kata-kata dalam empat baris satu rangkap. Tetapi, orang Melayu boleh mencipta pantun dengan 2 baris pembayang dan 2 baris maksud. Kedua-duanya mempunyai perbezaan tetapi ada perkaitan. Contoh:


Buah cempedak di luar pagar,
Ambil galah tolong jolokkan;
Saya budak baru belajar,
Kalau salah tolong tunjukkan.

Pantun ini menujukkan akal budi orang Melayu pada zaman itu. Frasa di luar pagar, menujukkan melangkau had ataupun batasan kemampuan. Galah itu pula simbol bantuan dari luar. Jika bantuan dalam dirinya, mungkin frasa yang berbeza digunakan, misalnya ambil jari. Sedangkan kalau kita pernah lihat pokok cempedak, ia berbuah pada bahagian batang dan rendah pula. Itu menunjukkan betapa ‘budak’ tadi terlalu kecil sifatnya hinggakan buah cempedak yang yang rendah itu pun tidak boleh dicapainya, kerana dia berada ‘di dalam pagar’ sedangkan buah cempedak tadi di luar pagar.

Oleh itu, dia memerlukan bantuan untuk mengambilnya. 2 baris tadi pula digabungkan dengan baris “saya budak baru belajar / kalau salah tolong tunjukkan”. Perhatikan juga pemilihan kata yang santun iaitu “tolong”. Orang Melayu mempunyai sifat santun yang terpancar dalam bahasas dan karya sastera. Inilah yang tidak boleh kita tinggalkan. Saya teringat kepada petikan puisi Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul “Melayu”.

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun.
....
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara'
....

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
.....
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan.

....

Semua ini hanya boleh ditemui dalam buku-buku sastera. Bukan sekadar buku-buku cerita yang hanya menggarap tema cinta biasa. Carilah keluarbiasaan dalam membaca. Bukan sekadar membaca cerita yang serupa dengan formula yang sama. Ya, cinta itu indah. Namun, cinta itu juga luas maknanya dan cinta juga dalam sifatnya.

Apabila kita melihat seorang gadis yang cantik, mengapa mesti jatuh cinta pada kecantikannya sahaja. Mengapa terhenti setakat itu? Jatuh cintalah kepada Dia yang mencipta kecantikan itu. Dialah meminjamkan kecantikan tersebut kepada gadis itu. Satu hari nanti, kecantikan itu akan diambil kembali. Sanggupkah nanti, kita bercinta dengan gadis yang sudah tidak cantik itu? Tetapi, kalau kita mencintai Dia yang mencipta kecantikan itu, nanti akan timbullah perasaan yang lebih dalam. Kecantikan gadis itu bukan lagi dilihat kepada sesuatu yang zahir tetapi apa yang terpancar daripada dalam diri.

Apa lagi kepentingan sastera dalam kehidupan? Dalam sastera ada ilmu. Penulisnya bertungkus-lumus memasukkan suatu ilmu yang boleh pembaca manfaatkan. Ilmu hanya boleh digali. Ilmu itu tidak datang sendiri. Ilmu bukan sahaja diperoleh melalui buku-buku teks. Tetapi aplikasi sesetengah ilmu itu boleh juga ditemui dalam karya sastera. Novel saya Mencari Locus Standi memasukkan ilmu perundangan dalam bentuk cerita. Sesiapa yang membacanya akan mengutip banyak hal tentang dunia perundangan, kehidupan pelajar undang-undang dan aplikasi undang-undang itu sendiri.

Kata Za’ba dalam syair Kelebihan Ilmu:


Ilmu itulah gemala sakti,
Sinarnya cerah cahaya sejati,
Asal puncanya lamun didapati,
Sukar bercerai sehingga mati.

Sejarah telah pun merakamkan bahawa tokoh-tokoh sarjana di dalam dunia sains Islam seperti

· Al-Harth ibn Kaladah (Ahli perubatan Islam terawal dan juga seorang pemuzik berkebolehan)

· Al-Kindi (Bapa Falsafah Islam dan sasterawan)

· Al-Razi (tokoh perubatan dan pemuzik)

· Al-Farabi (tokoh falsafah dan pemuzik)

· Ibn Yunus (pakar astronomi dan sasterawan yang kreatif serta penyair paling prolifik)

· Ibn Maskawaih (doktor yang berpengetahuan luas dalam bidang bahasa, sastera dan ilmu-ilmu klasik)

· Ibn Sina (tokoh multi-disiplin yang memulakan pengajiannya di bidang bahasa dan sastera)

· Ibn Haitham (Sarjana sains dan falsafah yang juga menulis tentang sastera)

dan ramai lagi merupakan tokoh-tokoh multi-disiplin yang menjadi sastera sebagai sebahagian daripada pengisian jiwa dan rohani mereka.

Hal yang sama turut berulang pada zaman permulaan di Andalus. Nama-nama seperti Abu Al-Sult ibn Abdul Aziz, Ibn Al-Sayid Al-Batalyausi, Ibn Bajjah dan Ibn Khaldun tidak boleh dicicirkan daripada senarai sasterawan Islam yang turut menguasai cabang-cabang ilmu yang lain.

Islam berada di puncak ketamadunannya apabila ramai di kalangan sarjana ini mempunyai kemahiran yang tinggi di dalam pelbagai bidang. Rekod-rekod yang mereka tinggalkan menunjukkan bahawa masyarakat pada zaman ini tidak mengkategorikan setiap ilmu yang ada lantas menghalang golongan tertentu daripada melintasi disiplin ilmu yang lain. Sarjana dunia Islam ini dapat dilihat sebagai mereka yang amat mencintai ilmu dan mempelajari setiap ilmu serta benar-benar mempraktikkan kata-kata ‘tuntutlah ilmu dari dalam buaian hingga ke liang lahad’.

Kesimpulannya, sastera itu ialah sebahagian daripada kehidupan. Usah dinafikan kepentingannya.

* Kertas ini pernah dibentangkan di Kolej MARA Banting di hadapan pelajar yang bakal ke luar negara untuk melanjutkan pelajaran.

PERANAN SASTERA DALAM KEMERDEKAAN

PADA 31 Ogos 2020, genaplah 63 tahun kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu (yang kemudian membentuk Malaysia pada 16 September 1963). Apakah hubungan antara kemerdekaan dengan sastera? Inilah antara persoalan yang sering terabai dalam pertimbangan kenegaraan.

Jika diumpamakan dengan suatu pelayaran, sastera selama lebih enam dekad ini berada dalam olengan ombak, sekejap terlambung ke udara, sekejap terasak ke dinding bahtera. Begitupun, sastera tidak pernah lenyap ditelan gelombang. Lantaran sastera ialah sari pati psikologi manusia, pakaian budaya bangsa dan teras ideologi peradaban, mana mungkin sastera akan terbunuh dalam olengan ombak.

Sesungguhnya, seluruh rakyat negara merdeka ini wajar diberi kesedaran tentang pentingnya kesusasteraan. Dalam ranah persuratan tanah air, peranan sastera dalam pemugaran semangat kebangsaan atau perjuangan menuntut kemerdekaan sudah terkesan sebelum muncul sastera bercetak.

Ishak Haji Muhammad telah menulis novel Putera Gunung Tahan pada 1937 (judul asalnya Hilang Di Mata), sebuah novel yang mengemukakan ideologi penentangan terhadap kolonial British. Menurut Ishak: “Tiap-tiap orang kulit putih yang datang ke Malaya hendak mencari wang dan keuntungan dan bukan semata-mata hendak memimpin atau menaungkan bumiputera negeri ini.” Oleh itu beliau menulis Putera Gunung Tahan sebagai ‘alat perjuangan menuntut kemerdekaan, keadilan dan menghalau penjajah’.

Dalam dekad 1940-an, lahir juga karya yang berlatarkan sejarah penjajahan Portugis di Melaka. Ahmad Bakhtiar menyampaikan pandangan antikolonialnya secara halus dengan menyusuri sejarah penjajahan Portugis dan seterusnya mendefinisikan identiti bangsa Melayu sebagai umat yang agung. Impiannya ini dimuatkan dalam novel ringkasnya, Panah Beracun, Keris Melaka, Korban Keris Melaka, Cantek Melaka, Darah Melaka, dan Rahsia Keris Puteh.

Selepas merdeka 1957, nasionalisme dalam karya sastera sudah berubah, bukan lagi untuk menuntut kemerdekaan tetapi untuk meneguhkan nasionalisme dan jati diri rakyat. Harun Aminurrashid telah menulis novel Panglima Awang (1958), sebuah novel fenomenal dan mendapat sambutan hangat daripada khalayak kerana kandungannya yang dianggap dapat menimbulkan kemegahan bagi bangsa Melayu.

Novel itu mengangkat watak orang Melayu sebagai pengeliling dunia yang pertama, bukannya Ferdinand Magellan sebagaimana yang dicanangkan dalam buku-buku sejarah orientalis. Oleh itu, karya tersebut memberikan kemenangan moral kepada rakyat Tanah Melayu yang sekian lama terbelenggu dalam penindasan psikologi dengan anggapan bahawa bangsa kulit putihlah yang agung, manakala peribumi ialah bangsa tanpa tamadun.

Pada tahun 1965 Arena Wati menyingkap citra watak barat yang menjadi dalang memporak-perandakan Tanah Melayu selepas merdeka dalam novel Lingkaran. Latar zaman penciptaan novel itu, iaitu sejurus selepas merdeka, menjadi asas kepada pemikirannya, yakni kuasa barat masih memperlihatkan pengaruhnya dalam pembangunan Tanah Melayu.

Arena Wati merepresentasikan watak barat yang melakukan konspirasi neoimperialisme secara negatif. Pencitraan barat sebegini bercorak wacana balas yang bertujuan memugar semangat bangsa timur untuk mengenali identiti sendiri sebagai umat merdeka.

Melalui Peraduan Novel Sempena 10 tahun Merdeka 1967 terhasillah novel Pulanglah Perantau (Aziz Jahpin, 1971), Interlok (Abdullah Hussein, 1971), Meniti Buih (Alias Harun, 1971), Badan Bertuah (Ismail Salleh, 1971), Merpati Putih Terbang Lagi (Khadijah Hashim, 1972) dan Sandera (Arena Wati, 1971).

Motif pengarang novel Pulanglah Perantau ialah memunculkan identiti nasional sebagai manusia baharu selepas merdeka tanpa takut-takut lagi mempersoalkan legasi neokolonialisme. Dekad 1970-an pula melahirkan subgenre yang sesuai dengan zamannya, iaitu novel pembangunan sebagai pengisi ruang kemerdekaan.

Ini dapat dilihat dalam Kemelut (Shahnon Ahmad, 1977), Kembali Bergelut (Muhd. Mansur Abdullah, 1976), Permata-Permata Di Lumpur (Muhd Mansur Abdullah, 1978), Srengenge (Shahnon Ahmad, 1973), Saga (Abdul Talib Mohd. Hassan, 1976), Perjudian (S Othman Kelantan, 1973) dan Arca Berdiri Senja (Baharudin C.D.1978).

Dalam dekad 1980-an dan 1990-an, peranan sastera membawa citra zamannya dan sekali gus pembentuk pemikiran untuk zaman tersebut. Arena Wati yang banyak memberikan responsnya kepada barat telah menghasilkan karya yang bersifat global, yakni menyatukan wira-wira bangsa timur untuk menentang hegemoni Barat.

Misalnya, novel Bunga Dari Kuburan (1987) berlatarkan Amerika Syarikat dengan segala macam permasalahannya serta pandangan negara penjajah terhadap Asia Tenggara. Melalui Kuntum Tulip Biru (1987) pula negara Eropah cuba ‘dirosakkan’ dengan sabotaj yang imaginatif. Dalam novel itu digambarkan komplot rakyat bekas tanah jajahan yang mengembalikan semula luka lama terhadap penjajahnya.

Sebenarnya banyak lagi karya sastera yang telah memainkan peranan untuk membina negara secara psikologi dan pembudayaan. Karya sebegini mengiringi perubahan landskap politik tanah air, daripada zaman penjajahan, selepas penjajahan dan seterusnya mematahkan ancaman neokolonialisme yang tidak henti-henti.

Kini, dalam zaman pascamodenisme apabila berlaku pembauran antara kebenaran dengan kepalsuan, sehingga muncullah agenda pluralisme dan liberalisme dan datang pula era Revolusi Industri 4.0 yang bersendikan kepintaran buatan, cabaran memaknakan kemerdekaan semakin gencar.

Keadaan sudah semakin sukar untuk dipulihkan, terutamanya apabila landskap pendidikan di negara ini tidak tersusun dalam satu jalur yang sepunya, yakni sistem pendidikan kebangsaan dan sekolah satu aliran.

Setelah melihat gejala ini barulah kerajaan berhasrat memperkukuhkan ideologi kebangsaan yang dicitrakan oleh Rukun Negara.Oleh yang demikian, gerakan sastera wajar mengambil kedudukan yang strategik dengan perencanaan yang kreatif dan imaginatif untuk memperkukuhkan ideologi Rukun Negara dalam diri dan peribadi anak bangsa.

Penghasilan karya sastera yang halus olahannya tetapi kuat ideologinya perlu disuburkan dan dijadikan sarana pembinaan sahsiah.

Dalam kata lain, sastera perlu diberi tempat yang penting dalam pembinaan sahsiah anak bangsa dan pengukuhan negara bangsa.

Jangan lagi dicampakkan sastera ke dalam lautan sehingga ia terkapai-kapai kelemasan.

* Dr Mohamad Saleeh Rahamad ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia. Beliau mengajar di Jabatan Pengajian Media Universiti Malaysia

SASTERA DAN PERANAN SASTERAWAN

KALA kita memperkata tentang kesusasteraan, hal itu tidak dapat dipisahkan dengan manusia dan masyarakat. Sastera hidup kerana adanya hubungan ini. Erti kesusasteraan kepada kehidupan manusia dilihat dalam dua sudut pandangan, iaitu sudut pandangan yang lama dan yang baharu, sesuai dengan hakikat sastera itu sendiri yang berkembang dari segi bentuk, jenis, dan fungsinya. Sastera berkembang mengikut perubahan zaman dan tuntutannya. Keadaan ini memberi kesan terhadap erti sastera kepada kehidupan manusia.

Mata pelajaran Kesusasteraan Melayu mula diperkenal pada 1957. Matlamatnya untuk membolehkan pelajar menjiwai unsur dan nilai murni dari segi kerohanian, kemanusiaan, kemasyarakatan, kebudayaan, kewarganegaraan, menanam perasaan bangga dan cinta tanah air dalam satu wawasan budaya kebangsaan yang dihasratkan tercapai. Peranan utama sastera ialah membina insaniah dalam kehidupan manusia.

dalam masyarakat berasaskan sains dan teknologi seperti di Malaysia, kehadiran sastera sangat bererti. Tanpa sastera, masyara-kat maju kehilangan unsur penting kehidupannya. Hakikat ini ditegaskan oleh John Naisbitt (1999), melalui bukunya yang bertajuk High Tech High Touch, mengatakan bahawa ada teknologi (high tech) yang memabukkan manusia kerana mencengkam semangat manusia dan meningkatkan pencarian manusia tentang makna atau kepastian. Hasilnya, manusia berada dalam keadaan yang kompleks, dan sering pula terperangkap dengan hubungan yang bersifat paradoksikal antara teknologi dengan usaha mencari makna.

Sehubungan dengan itu, Naisbitt menyarankan manusia agar mencari teknologi yang memelihara kemanusiaan, dan menolak teknologi yang merosakkan atau meng-ganggu kemanusiaan. Beliau menyarankan manusia melihat seni, cerita, drama, agama, alam semula jadi, dan masa sebagai aspek yang penting. Yang disebutkannya sebagai high touch itu merujuk kepada keperluan dalam kehidupan manusia yang mementingkan sains dan teknologi. Di sini nyata sastera dapat dikelaskan sebagai high touch yang perlu dalam kehidupan masyarakat maju, seperti masyarakat di Malaysia. Bagaimanakah sastera dapat bererti sebagai high touch seperti yang dimaksudkan oleh Naisbitt? Sastera bukan sekadar bahan bacaan, tetapi lebih daripada itu.

Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad (1991) menegaskan bahawa sastera sebagai seismograf kehidupan, iaitu sastera bukan sahaja mencatatkan tetapi menganalisis perihal manusia dan masyarakat. Melalui sastera, banyak yang dapat dipelajari. Bagi Shahnon, sastera sangat diperlukan untuk melengkapkan nilai sesuatu masyarakat. Melalui sastera, masyarakat juga dapat mempelajari sejarahnya untuk memperbaik kehidupan mereka.

Aristotle meletakkan sastera lebih utama berbanding dengan sejarah kerana sastera dapat meramalkan masa hadapan masyarakat itu. Sastera mampu menembusi batas kemungkinan. Kemungkinan sastera melihat masa hadapan masyarakat ada hubungannya dengan keupayaan sastera untuk memberikan kebijaksanaan kepada pembacanya dengan membawa pembaca melihat dirinya dan persekitarannya.

Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang, mencatatkan bahawa sastera meliputi semua aspek kehidupan manusia secara meluas. Sastera ialah satu bentuk seni yang menggunakan bahasa. Melalui bahasa, keperihalan manusia dan kemanusiaan dibangunkan dengan penuh kesedaran tentang mesej dan keindahan. Laras bahasa sastera berbeza daripada laras bahasa harian dan sains. Pemilihan kata yang teliti, unsur bunyi yang dijaga rapi, dan irama yang tersusun indah membawa pembaca menikmati bahasa sastera.

Mesej yang disampaikan dengan bahasa yang terpilih memberi kekuatan keindahan kepada karya sastera dan menyuburkan penghayatan pembaca. Unsur denotasi dan konotasi membawa bahasa sastera ke lembah ketaksaan dan ketaksaan ini mengundang pentaf-siran yang memberi ruang kepada pembaca untuk membina imaginasi dan korelasi bagi mendapat satu mesej mental dan imej ini muncul bersama dengan rangsangan emosi.

Ekoran itu, pembaca menikmati satu pengalaman estetik yang memberikan nikmat yang tersendiri. Melalui bahasa, sastera dikarang dan digubah menjadi seni yang indah. Melalui bahasa yang terpilih, sastera menggambarkan kehidupan manusia yang halus dan dipersembahkan secara yang paling indah.

Sastera dapat menjadikan pembaca memahami kehidupan dengan lebih berfalsafah, iaitu dapat menerima keperihalan tentang manusia dan masyarakat yang kadangkala sukar untuk di mengertikan oleh fikiran rasional. Sememangnya kehidupan manusia ini penuh dengan kemungkinan yang tidak terduga dan sastera mampu menjelaskannya. Pengarang ialah manusia kreatif yang memiliki kemampuan berfikir, berimaginasi, dan berbahasa untuk menghasilkan karya, sama ada puisi, novel, cerpen, ataupun drama. Manusia dan masyarakatnya ialah bahan mentah yang sangat penting kepada pengarang. Keperihalan manusia dan masyarakat menjadi ilham kepada pengarang untuk berkarya. Maka, karya dilihat sebagai cermin masyarakat yang melalui proses pemilihan, pentafsiran, dan penilaian pengarangnya. Lantaran itu, karya sastera sangat menarik untuk dibaca bukan sangat hanya itu cermin kehidupan, tetapi juga sebagai pandangan alternatif kepada apa-apa yang kita lihat dan fikirkan tentang manusia dan masyarakatnya.

Sastera membawa dunia baharu kepada pembaca dan dunia ini memperkaya pembaca dalam konteks emosi dan intelek. Sastera berupaya memberikan pendidikan kepada emosi dan intelek pembaca.

Masyarakat yang maju ialah masyarakat yang mampu berfikir tentang kehidupan dan sastera bererti kerana memiliki kemampuan ini.

Sastera seni perasaan, lantaran itulah di Barat subjek kesusasteraan amat penting. Hatta, di Amerika Syarikat, untuk melayakkan seseorang itu bergelar Mejar dalam pasukan keselamatan, wajib belajar subjek kesusasteraan. Malah dalam bidang profesional seperti perubatan juga, satu subjek yang wajib untuk mengambil bahagian dalam apa-apa jua bidang sastera, sama ada kesenian, muzik, seni tampak, dan sebagainya. Hal inilah yang kurang difahami masyarakat di Malaysia akan kepentingan sastera dalam kehidupan.

Sasterawan Negara Profesor Emeritus Dato’ Dr. Shahnon Ahmad, menyatakan bahawa kesusasteraan berperanan sebagai satu cabang kesenian yang berteraskan cinta. Cinta di sini maksudnya cinta kepada keindahan dan cinta kepada kebenaran.

Karya kesusasteraan dicipta oleh para sasterawan untuk membangunkan peribadi manusia supaya cinta akan keindahan dan cinta akan kebenaran.

Sasterawan Negara Datuk (Dr) A. Samad Said (1997) pula menyatakan bahawa peranan sastera sebagai rakaman dan renungan interaksi insan seni dengan masyarakat dan masalah mereka. Setiap karya yang tercipta, sedikit sebanyak mendekatkan insan seni itu kepada sebahagian kecil cakerawala Tuhan yang luas, di samping menggarapkannya dengan sesama makhluk yang sama-sama mencari dan sama-sama menikmati dan sama-sama terhukum oleh getar kehidupan. Oleh latar dan pengaruh itu, sastera mestilah berkhasiat untuk batiniah dan minda manusia.