Ahad, Disember 01, 2013
Sesuatu Tentang Orang
Kebenarannya, baik buruk, jahat
atau tidak bukanlah faktor penentu nasib manusia. Dimensi dasar nilai hidup
manusia adalah baik dan buruk, benar dan salah, indah dan tidak indah,
sebenarnya belum cukup. Masih ada dimensi mendasar lainnya.
Ada orang mengucapkan sesuatu dan
melakukannya. Ada orang mengucapkan tetapi tidak melakukan. Ada yang melakukan
tetapi tidak mengucapkan. Ada yang tidak mengucapkan dan tidak melakukan
bersama kepelbagaiannya.
Ada orang yang tahu sedikit
tentang sedikit hal. Ada orang tahu banyak tentang sedikit hal. Ada orang tahu
sedikit tentang banyak hal. Ada yang tak tahu banyak tentang banyak hal dengan
kepelbagaiannya.
Ada orang mengkritik dan
memberikan jalan keluar. Ada orang mengkritik tetapi tidak dapat memberikan haluan
keluar. Ada orang memberi jalan keluar tanpa mengkritik. Ada orang tidak
mengkritik dan tidak memberi jalan keluar dengan kepelbagaiannya juga.
Ada orang berjuang
berteriak-teriak, dan melaksanakan perjuangannya. Ada orang berjuang tidak
berteriak tetapi mewujudkan perjuangannya. Ada orang berjuang dan tidak sibuk
mengumumkan di media bahawa ia berjuang kerana teriakan mengganggu strategi
perjuangannya. Ada orang berteriak-teriak dan tidak berjuang dengan segala
kepelbagainya.
Ada orang yang mengerti dan
mengerti bahawa ia mengerti. Ada orang mengerti tetapi tidak mengerti bahawa ia
mengerti. Ada orang yang tidak mengerti tetapi mengerti bahawa ia tidak
mengerti. Ada orang yang tidak mengerti dan tidak mengerti bahawa ia tidak
mengerti, juga dengan kepelbagainnya.
Ada orang sedang berdagang dan
memusatkan diri, perlu pelayanan terhadap pelanggannya. Ada orang berdagang
sibuk pada apa kemahuannya terhadap pelanggan sehingga lupa apa mahunya
pelanggan. Ada pedagang yang tidak peduli amat pada kemahuan pelanggan dan
tidak memberikan perhatian kepada apa mahunya sendiri dalam berdagang.
Ada orang berperang dengan
berbekal semangat dan keyakinan untuk menang, dengan menghitung cuaca, medan
dan musuh. Ada orang berperang sangat teliti menyelidiki kekuatan cuaca, medan
dan musuh sehingga tidak sempat menghitung kekuatan dan kelemahannya sendiri.
Ada orang berperang sibuk membanggakan kehebatannya sehingga merasa tidak perlu memperhitungkan lawan. Ada orang
yang berperang yang atas musuh tidak terhitung dan atas dirinya sendiri juga
tak terhitung dengan segala kepelbagaian dan ragamnya.
Ada orang sangat khusyuk dengan
prinsip dan idealisme dan sangat sungguh-sungguh memikirkan strategi terapan
prinsipnya. Ada orang yang total memegang prinsip sampai tidak punya kekuatan
dan waktu untuk memikirkan bagaimana menerapkannya. Ada orang yang habis
usianya untuk tata kelola dan tata kerapan sampai tidak ada prinsip yang
tersisa, di dalam dirinya. Ada orang tidak peduli pada prinsip dan tidak
sungguh-sungguh melakukan apapun.
Ada orang ingin memberikan
kebahagiaan kepada orang lain dalam keadaan dirinya tidak bahagia. Ada orang
memikirkan itulah kebahagiaan yang terbaik diberikan olehnya tanpa sedikit pun
penghargaan kerana tidak memahami apa yang diberikan itu soal bahagia atau
tidak. Ada orang tidak peduli bahagia atau sebaliknya kerana yang penting
baginya dirinya bahagia.
Memperaga diri dengan nawaitu
yang baik asalnya untuk kegembiraannya, dengan wajah dan penampilan yang
sempurna, sebenarnya titik tolaknya itu tidak berhasil apabila bukan semua
orang menyukai atas alasan tertentu. Ada orang merasa cukup cantik tapi cantik itu lahir di luar. Ada orang di luar
jelek sedangkan penampilan jiwanya cukup mempesona baik dan menjadi ingatan ramai
orang.
Ada orang cukup kaya seperti
tidak menerima makna kekayaannya. Ada orang cukup miskin tetapi menerima
kekayaan yang melimpah ruah daripada Ilahi. Walaupun kaya, yakin diri ketika
bercakap dan dengan bangga memberikan keputusan atau pandangan, dia begitu
diberikan perhatian kerana kekayaannya dan kedudukannya dalam masyarakat.
Kerana miskin atau tarafnya tidak begitu berada, jarang didengar kata-katanya
malah sesuatu yang benar sering ditafsir salah. Inilah kepelbagaian nasib
manusia.
Memberi makan anak-anak sekolah
dengan memberikan makan ibu atau bapa guru ada orang membeza-bezakannya. Untuk
murid seketul daging ayam yang dikerat kecil, untuk ibu atau bapa guru dua
ketul daging ayam yang dipotong besar dan enak masakannya. Orang memberikan
beza kerana kedudukan dan kerana siapa dia. Orang memberikan tempat duduk yang
empok untuk VIP sambil orang-orang kampung hanya kerusi kayu yang tidak
beralas. Jika beralas dibezakan warnanya, dengan beza itu kita tahu untuk siapa
dan kepada siapa, memang itulah kepelbagaiannya.
Benar bahawa ketika mencari
sempurna mesti tidak terjumpa kerana kita mencari, padahal ia datang tanpa disedari
dan ungkapan itu bukan daripada diri sendiri melainkan nilaian oleh yang lebih
arif. Macam sang ayam jantan, macam juga sang bebek, macam juga sang pungguk, macam
sang helang, macam juga sang gajah atau sang belang yang sering dijadikan
analogi kehidupan manusia. Gagah, garang, besar, temberang, bersuara besar dan
seumpama dengannya tidak akan kelihatan demikian apabila nilaian atau tafsiran
dibuat selain dirinya sendiri, selain diri kita sendiri.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Ahad, Oktober 20, 2013
Pintu-pintu Laman Sastera
BUKAN selalu
kita mengalami peristiwa yang menguja. Bukan juga selalu kita mengungkapkan
sebuah apresiasi terhadap masa lalu. Zaman kegemilangan tidak bermula tanpa peristiwa namun
peristiwa tidak mungkin dapat kita lihat dan rasai tanpa usaha merakam,
menyimpan dan menjaga sebaiknya. Bukan juga mudah mewujudkan sebuah
khazanah tanpa minat yang mendalam. Apakah keperluan sebuah khazanah itu tanpa
mengambilkira kepentingannya selain disebabkan minat atau keinginan sebagai
apresiasi kita terhadap masa sudah?
Kita sering mendengar tokoh-tokoh budayawan
dan sasterawan yang memiliki khazanah masing-masing. Mereka melalui zaman yang
terbaik kerana berjaya merakamkan setiap peristiwa tidak semata-mata dengan
ingatan. Tidak semua insan yang berjaya dalam zamannya mampu mengingat dengan
sempurna setiap detik peristiwa. Namun mereka yang berakal, kreatif dan
sentiasa menyayangi masalalu tidak akan membiarkannya berlalu begitu sahaja.
Ingatan itu harta paling berharga tetapi
tidak mungkin dapat dikongsikan jika tidak diceritakan. Seandainya ia tidak
dipindahkan misalnya dalam bentuk tulisan, lukisan, imej-imej dan sebagainya,
sudah tentu tiada apa yang mampu diterjemahkan mengenai suatu zaman yang
sewjarnya kita hargai. Suatu masa yang begitu memberikan nilainya untuk
sesebuah generasi.
Setiap generasi memiliki khazanah
masing-masing dalam apa juga bidang tidak terkecuali berkaitan dengan sastera,
bahasa dan budaya. Intelek mereka tersimpan di situ bersama citra generasi
sebelumnya. Setiap generasi juga sudah pasti melahirkan individu-individu yang berwawasan
dan agung. Kita begitu mengaguminya atas dasar pemilikan itu.
Pengajaran masa sudah tidak akan berjaya
dihayati hanya seandainya bahan-bahan berbetuk fizikal tidak disimpan dengan
baik, tidak dipelihara dengan sebaiknya, tidak dirawat dengan sesempurnanya dan
tidak dijaga oleh orang-orang yang mempunyai kesungguhan tertentu terhadapnya.
Khazanah merupakan harga yang tidak akan sama nilainya dengan apa pun. Khazanah
adalah harta masa depan untuk masalalu yang sentiasa hidup kerana ada yang
beriltizam menghidupkannya.
Sebagai pencinta
karya sastera, kita sewajarnya sentiasa beriltizam agar bahan-bahan sastera dipelihara dan
bahkan dipulihara. Di Sabah, beberapa orang tokoh besar kita memiliki mini muzium
sendiri, misalnya Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussuf melalui Dangau
Budayanya di Papar. Koleksi beliau menjadi rujukan ramai ilmuan dan pelajar
universiti. Datuk Haji Jamdin Buyung, penyair Sabah yang tidak asing, juga merekayasa
sebuah muzium mini di rumahnya di Putatan. Keunikan muzium keluarganya ini
terserlah kerana ketelitiannya mengumpul data, fakta dan juga foto-foto lama.
Beliau juga meletakkan salasilah keluarganya dengan begitu lengkap. Kita juga
boleh mengikuti sejarah gerakan sastera sejak awal. Selain kedua tokoh ini,
Allahyarham Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) juga menyimpan kumpulan buku
yang besar. Haji Hussain Kasau dan Jasni Matlani juga demikian, ribuan judul
buku boleh ditemui di rumah mereka. Namun demikian, memiliki atau menyimpan
sesuatu khazanah itu tidak bererti andainya ia tidak dipulihara dengan ciri-ciri
bersistem.
Semasa melawat
Laman Sastera K.Manis, sasterawan Brunei baru-baru ini, saya dan rakan-rakan begitu teruja dengan
penampilan ruang khazanahnya, dari luar sehingga ke dalam. Di luar laman,
K.Manis membina sebuah tugu buku gergasi yang menempatkan secara simbolik pintu-pintu
yang memuatkan puisi-puisi pentingnya mengikut dekad. Sebelum masuk ke pintu
laman sasteranya, terdapat sebuah ruai aktiviti. Menarik sekali, K.Manis atau
nama sebenarnya Haji Moksin Haji Abdul
Kadir, memulakan mukadimahnya dengan menyebut 'pintu' sebagai salah sebuah
puisi yang terdapat di bahagian depan laman sasteranya. Melawat laman sastera
K.Manis, saya teringat Dangau Budaya Datuk Haji Shuhaibun. Persamaan mereka
menyimpan apa sahaja bahan tulis termasuklah kad-kad undangan perkahwinan.
Bezanya Datuk Haji Shuhaibun mengumpul kad-kad hari raya. Beliau juga merekod
kehadiran pengunjung.
Kecenderungan
ini merupakan suatu kelaziman
dalam kalangan seniman yang begitu menghargai apa sahaja yang mempunyai nilai
sentimentalepada si pengumpul. Sesetengahnya menghargai pemberian orang lain.
Sesetengahnya pula mencari benda-benda yang disukai seperti tongkat, majalah-majalah
lama, gasing, nota-nota catatan dan sebagainya. Semua itu begitu bernilai,
menguja bagi para pengunjung, memberikan aspirasi dan inspirasi buat generasi
selepasnya untuk mengagumi, menghargai, mengetahui, mempelajari seterusnya
mendalami sesetengah artifak itu dari sudut sejarah dan asal usul.
Haji Hussain
Kasau misalnya, menterjemahkan pemikirannya lebih ke hadapan apabila meletakkan
konsep 'iqrak' dalam usaha mengangkat sastera sebagai sebahagian daripada penyebaran
ilmu. Beliau menamakan sebuah lokasi menarik miliknya sebagai 'Puncak Iqrak'
dengan iltizam menempatkan para ilmuan, pengkaji serta pelajar berserasehan mengenai
isu-isu berkaitan sastera dan budaya. Saya fikir lebih ramai mereka yang
berkemampuan mewujudkan mini perpustakaan masing-masing. Jika K.Manis di Brunei
tumpuannya kepada genre puisi, apa salahnya pengarang di Sabah memilih genre
cerpen atau novel sebagai mauduk simpanan untuk dijadikan rujukan. Bukan
sekadar koleksi buku tetapi kajian, hasil kajian, rakaman, keratan akhbar dan
majalah disediakan sebegitu informatif sebagai bahan rujukan.
Para penulis
juga boleh mewujudkan
pusat hentian di rumah masing-masing, seperti yang pernah saya singgahi di
Lantera Timor Jakarta, selenggraan sekumpulan graduan yang begitu mencintai
ilmu. Di hentian ini mereka mengatur pelbagai program berkaitan sastera, tontonan
filem, diskusi buku dan jualan buku-buku yang terpilih. Tentu sekali banyak
manfaat yang diterima selain atas sebab kepelbagaian itu menjadi pilihan para
penulis mengikuti sesi perkongsian sebagai mengisi masa lapang, apa tah lagi
seandainya bidang-bidang yang disebutkan tadi merupakan kecenderungan mereka
secara khusus. Sesiapa sahaja yang datang di ibu kota boleh singgah, memesan
minuman atau makanan, mengakses internet melalui kemudahan wifi yang
disediakan, sambil membaca buku dan surat khabar. Di situ juga boleh dijadikan
hentian pertemuan para penulis, ahli persatuan, pelajar dan sebagainya.
Para penulis
semakin ingin memaknakan pemikiran mereka. Penulis juga begitu teruja untuk
memperlihatkan kesungguhan mereka. Apa salahnya, dengan sedikit sumbangan
mereka menggerakkan usaha pemartabatan sastera itu melalui pintu rumah
masing-masing. Seperti kata K.Manis, bukankah dalam kehidupan
kita begitu banyak sekali pintu yang harus dilalui. Semoga pintu rezeki terus
terbuka buat kita membesarkan ruai sastera kita masing-masing.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Langgan:
Catatan (Atom)