Sabtu, Disember 31, 2022
2022 - SEPUTAR AKTIVITI HA DAN KEBERHASILAN
Khamis, Disember 22, 2022
RINGKASAN DATA-DATA HASYUDA ABADI
Rabu, Disember 21, 2022
Pemimpin yang mendidik
KEUNGGULAN seorang pemimpin
sebenarnya bukan terletak pada kemampuannya berpidato atau menabur janji dan
wang kepada rakyat, tetapi terletak pada kemampuannya membina dan mendidik
umat. Kepimpinan sedemikian disebut sebagai pemimpin-pendidik atau disebut juga
sebagai ‘transforming leader’ iaitu pemimpin yang
mampu merubah umatnya menjadi lebih baik dan lebih unggul.
Jestru keinginan kita menerima peri pentingnya ‘transforming
leader’, harus menjadikannya sebagai kriteria utama dalam proses
pembentukan kepimpinan ummah. Dan, sehala dengan tanggungjawab yang besar ini
oleh seorang pemimpin ialah amanah memegang tanggungjawab itu.
Dengan tegas dinyatakan bahawa tugas kepimpinan merupakan
suatu amanah berat yang membawa risiko tertentu. Sebab itulah, ia harus
dipercayakan kepada mereka yang benar-benar mampu. Sikap meremehkan kepimpinan
sebagai suatu yang mudah, senang dan boleh disandang oleh sesiapa sahaja
membayangkan kekeliruan dan ketidakfahaman yang sangat mendasar tentang erti
dan fungsi kepimpinan. Fenomena ini berleluasa hari ini dengan semakin ramai
berlumba-lumba mendapatkan gelaran pemimpin walaupun terpaksa menabur wang
ringgit, masa dan tenaga yang banyak.
Menjelang kewafatannya, Sayyidina Umar ibn al-Khattab
telah menyenaraikan sejumlah nama calon penggantinya. Ketika nama anaknya
sendiri (iaitu Abdullah ibn Umar) dimajukan orang, beliau dengan spontan
menolaknya seraya berkata: cukuplah seorang sahaja dari keluarga Umar yang
akan menjadi korban api neraka. Demikian contoh orang yang faham dan
menginsafi beratnya amanah kepimpinan dan besarnya risiko ukhrawi nanti jika
tanggungjawabnya tidak dilaksanakan dengan sempurna.
Umar ibn Abdul Aziz, khalifah yang terkenal dengan
keadilannya itu dikatakan pernah terpegun semalaman ketika menatap sebaris ayat
tentang pertanggungjawaban para penguasa zalim di hari Mahsyar nanti (as-Saffat:22).
Ia benar-benar ketakutan, apakah dirinya termasuk dalam kelompok penguasa zalim yang disebut dalam ayat tersebut.
Begitulah orang yang tahu beratnya tanggungjawab menjadi pemimpin hinggakan
orang yang sudah terkenal adil di mata manusia, masih takut menghadapi
penghakiman Tuhan.
Ketidakfahaman terhadap erti dan fungsi kepimpinan adalah
suatu bahaya. Ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan kuasa kepimpinan itu
sendiri. Gejala penyalahgunaan kuasa atau ‘abuse of power’ terjelma
dalam pelbagai bentuk seperti penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan
diri, menggunakan wang rakyat untuk kegunaan peribadi dan sebagainya.
Kuasa bukan suatu hadiah, tetapi amanah. Al-Qur'an menggambarkan perilaku orang-orang yang diberi kuasa dan tahu makna fungsi kekuasaan yang diamanahkan kepadanya itu melalui ayat 41 Surah al-Hajj, yang bermaksud: Dan orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Demikianlah kesedaran tentang erti tanggungjawab yang menjadikan seseorang sentiasa mengabdi kepada Tuhan, menyucikan diri dan hartanya dengan menyantuni golongan miskin, berbakti kepada manusia dengan membimbing mereka kepada kebaikan dan menyelamatkan mereka daripada kejahilan.
Peranan pemimpin bukan sekadar menyetujui apa yang
diperakukan oleh orang-orang bawahannya. Yang namanya pemimpin ialah one who
guides, directs, conducts…’ iaitu seorang yang mampu memberikan panduan,
pengarahan dan bimbingan. Peranan pemimpin seperti yang disebut oleh Peter
F.Ducker ialah …sets the goals, set the priorities and sets and maintains
standards.’ (menetapkan matlamat, menyusun urutan keutamaan serta menentukan
piawaian yang baku dan mempertahankannya). Ini bermakna pemimpinlah yang
harus memutuskan semuanya itu, bukan pegawai-pegawai bawahannya.
Sebagai pemandu umat, pemimpin harus tahu ke mana umat
hendak dibawa. Dalam kaitan ini, al-Qur'an mengingatkan: Ikutilah
orang-orang yang tidak meminta upah dan mereka yang terbimbing dengan hidayah.(Surah
Yasin: 21). Ayat tersebut mengisyaratkan dua kriteria penting kepimpinan iaitu
seorang yang menghayati petunjuk atau hidayat Tuhan dan tidak meminta rakyat
membalas budi dan baktinya.
Imam al-Ghazali dalam bukunya, al-Mustazhiriy memberikan
empat syarat iaitu kuat dan berwibawa (an-najdah), bijaksana dan
mempunyai kekuatan daya fikir sehingga memungkinkannya menyelesaikan pelbagai
masalah (al-kifayah), bersih dan berintegriti moral (al-wara’) dan
berilmu (al-ilm). Keharusan memenuhi keempat-empat syarat tersebut
membayangkan betapa beratnya tanggungjawab seseorang pemimpin.
Pembakuan syarat-syarat kelayakan tersebut juga bertujuan
untuk mempertahankan kualiti kepimpinan umat. Keunggulan sesuatu bangsa banyak
ditentukan oleh kualiti kepimpinan. Kerana itulah setiap kali Tuhan mahu
membangun sesuatu umat, yang mula-mula dilakukan ialah mengutus pemimpin unggul
yang berupa nabi bersama kitab petunjuk Ilahi. Kombinasi kepimpinan unggul dan
petunjuk Ilahi itulah yang membawa keunggulan umat dan tamadunnya.
Memang tiada siapa pun yang mampu menjadi pemimpin
seunggul nabi. Yang penting ialah usaha meneladaninya. Pemaparan kisah dan
sejarah para nabi dalam al-Qur'an bukan untuk sekadar menglipur lara, tetapi
untuk memberikan set nilai kepimpinan yang relevan dalam pelbagai konteks zaman
dan lingkungan. Umumnya pemaparan kisah para nabi itu menekankan ciri kualiti
khusus kepimpinan yang sesuai dengan keperluan zaman dan realiti masyarakatnya.
Nabi Shuaib a.s. misalnya, selain dari membawa prinsip
tauhid, ia juga ditampilkan dengan misi khusus menegakkan etika dan nilai-nilai
murni dalam bidang perniagaan dan perdagangan (Surah al-A’raf: 85). Nabi
Daud a.s. ditampilkan dengan ciri kekuatan teknologi pembuatan baju besi dan
Nabi Sulaiman a.s. pula ditampilkan dengan ciri kekuatan teknologi pengendalian
angin (Surah al-Anbiya’: 80-81). Sementara itu kepimpinan Nabi Musa a.s.
menonjolkan ciri kuat dan beramanah (Surah al-Qasas: 26), manakala Nabi
Yusuf a.s. yang ditampilkan untuk menangani masalah ekonomi negara menonjolkan
kepimpinan yang bercirikan daya kawal dan kekuatan ilmu (Surah Yusuf: 55).
Dalam konteks umat Islam Malaysia masa kini, kita sedang
berhadapan dengan sejumlah realiti baru yang memerlukan penampilan pimpinan
yang memiliki sejumlah kualiti tertentu. Kita sedang menghadapi cabaran
menjayakan kebangkitan Islam, kebangkitan rantau Asia Pasifik, era
perindustrian, globalisasi, ledakan informasi dunia tanpa sempadan di samping
cabaran dari dalam negara sendiri dari sudut politik dan ekonomi. Semuanya itu
harus digarap sekali gus. Kemampuan kita menghadapi cabaran-cabaran masa kini
dengan segala perubahan bawaannya yang serba pesat, dahsyat dan penuh kejutan
itu banyak bergantung kepada kemampuan kita menampilkan pimpinan yang
benar-benar berkualiti, dinamik, berilmu, berwawasan dan berintegriti moral,
pimpinan yang mampu melaksanakan tugas besar melahir dan mencipta tenaga, daya
dan wawasan manusia.
Dalam era perubahan seperti sekarang ini pimpinan umat
harus menyedari apa yang disebut sebagai perubahan-perubahan di sekitar tugas
dan peranan pemimpin politik. Untuk itu mereka harus cukup mampu memperolehi
maklumat tentang segala perubahan yang berlaku. Sesungguhnya dalam suasana
persaingan yang sengit sekarang ini, keunggulan akan hanya dicapai oleh pihak
yang paling awal tahu dan paling cepat bertindak.
Dengan kata lain, mereka harus mempunyai kekuatan
intelektual dan ketajaman daya analisis. Dengan demikian mereka akan mampu
membina wawasan dan mampu menggariskan matlamat yang jelas. Pemimpin yang tidak
mempunyai kemampuan berfikir, yang tidak punya budaya membaca dan tidak mampu
mengikuti dunia perbukuan tidak akan mampu mengangkat martabat umat di zaman
ilmu, zaman yang segala-galanya harus berasaskan ilmu. Yang lebih asas dari
semua itu ialah kesedaran tentang erti kepimpinan sebagai taklif (amanah
dan tanggungjawab), bukannya tasyrif (kemegahan dan kebesaran).
Sesuai dengan hakikat bahawa
kepimpinan adalah keteladanan, pemimpin tidak cuma harus mampu menetapkan tahap
yang harus dicapai, tetapi lebih daripada itu, ia sendiri harus mampu tampil
sebagai contoh penghayatan dan pencapaian tahap berkenaan. Seperti pernah
dijelaskan, dalam tradisi kepimpinan Islam, pemimpin disebut sebagai imam yang
membawa maksud ‘seorang yang berada di hadapan dan diikuti oleh orang ramai’.
Selasa, Disember 20, 2022
Mengolah kepekaan berpuisi
MENELUSURI proses kreatif penulisan puisi sama asyiknya dengan menulis puisi itu sendiri. Setiap penyair sudah pasti memiliki cara pandang yang berbeza tetapi secara esensial akan mengarah pada titik yang sama, yakni puisi sebagai medan ekspresi dari bayang-bayang pengalaman. Perlu diingat bahwa puisi itu mudah dipelajari tetapi isi dan mutu puisi sangat bergantung kepada intensiti penghayatan si penyair terhadap berbagai pengalaman hidup yang menarik perhatiannya. Termasuk juga dalam hal ini adalah penguasaan akan kata dan bahasa.
Meskipun penulisan puisi boleh dipelajari tetapi kenyataannya tidak mudah. Salah satu alasannya adalah bahawa seorang penyair itu harus peka terhadap keadaan jiwanya, perasaannya, dan juga terhadap seluruh pengalaman hidupnya yang bersifat fizik ataupun metafizik. Secara fizik bererti sang penyair mengalami atau melihat sendiri kejadiannya. Sedangkan secara metafizik adalah pengalaman nonragawi yang hanya berhubungan dengan perasaan (tidak dengan tubuhnya).
Kepekaan itu penting bagi seorang penyair. Sebab itulah mengasah kepekaan perlu dilakukan untuk memperlancar daya kreatif seorang penyair dalam menulis puisi-puisinya. Inilah yang nantinya akan menjadi bank naskah pengalaman seorang penyair. Dari sini pula dapat disimpulkan bahawa menulis puisi itu tidak akan lahir dari ‘ruang batin yang kosong’. Lalu bagaimana dengan imaginasi?
Imaginasi memberi gambaran yang menyenangkan ke dalam fikiran dengan menjadikan segala sesuatu lebih sempurna daripada apa yang diketahui sebelum ini. Imaginasi menghalang kita untuk berpuas hati dengan keadaan sekarang mahupun keberhasilan masa lalu, dan terus mendorong kita untuk mengejar kesenangan yang belum pernah dicuba untuk atau keutamaan yang ideal.
Kunci menuju imaginasi kreatif ialah asosiasi. Asosiasi terbentuk oleh tiga hukum iaitu: Kedekatan - kasut bayi mengingatkan kepada si bayi; Kemiripan - bila melihat gambar singa teringat gambar kucing; Kontras - seorang kerdil akan mengingatkan kepada raksasa.
Tindakan kita dalam hidup merupakan hasil asosiasi dengan keyakinan, idea dan kepercayaan yang sudah ada. Asosiasi juga bekerja melalui suara. Contohnya, saya sering mendapati bahawa waktu yang paling kreatif adalah ketika saya mendengar orang berbicara.
Menurut ‘Kamus Kata-kata Serapan Asing dalam Bahasa Indonesia’ karangan J.S. Badudu, pula imaginasi adalah khayalan, dan daya fikir untuk menciptakan sesuatu dalam fikiran berdasarkan kenyataan atau pengalaman hidup.
Dalam menulis puisi, imaginasi itu lebih berdasar kepada pengertian kedua kerana pengertian pertama sudah terangkum di sana. Agar imaginasi kita kena atau tepat pada sasaran maka kita pun harus mampu menguasai kata-kata dan bahasa dengan baik. Kata-kata dan bahasa adalah alat untuk mengomunikasikan bayang-bayang pengalaman yang hendak diekspresikan di atas kertas.
Kalau diksi sudah dikuasai tentu pada saatnya kita akan berhadapan dengan rima dan ritma. Fungsi keduanya ini sebagai penegasan dari apa yang ingin disampaikan oleh sang penyair. Permainan unsur bunyi dalam struktur puisi akan membangun makna puisi yang bersangkutan. Jelas sudah bahawa puisi tidak hanya dibangunkan oleh sembarang rangkaian kosa kata dan gramatikal yang melahirkan pesan, tetapi juga dibangun oleh unsur-unsur estetik bunyi daripada rangkaian vokal dan konsonan yang berlagu dan berirama.
berjalan
di belakang jenazah angin pun reda
jam
mengerdip
tak
terduga betapa lekas
siang
menepi, melapangkan jalan dunia
di samping,
pohon demi pohon menundukkan kepala
di atas:
matahari kita, matahari itu juga
jam
mengambang di antaranya
tak
terduga begitu kosong waktu menghisapnya
Puisi di atas adalah milik
Sapardi Djoko Damono yang diberi judul ‘Berjalan di Belakang Jenazah’ (lihat
buku ‘Dukamu Abadi’, Bentang, 2002: 6). Sumber Sapardi dalam menulis puisinya
itu jelas bermuara pada pengalamannya ketika menghantar jenazah seseorang untuk
dikuburkan. Beliau berusaha menghadirkan kembali apa yang dialaminya itu dengan
pilihan kata-kata yang begitu personal sifatnya.
Beliau telah mampu menemukan wilayah pengucapannya yang khas, yang jelas berbeza dengan para penyair lainnya meski dengan pengalaman menghantar jenazah yang kurang lebih sama. Namun, beliau telah berhasil merekonstruksi kembali pengalamannya itu dalam bentuk karya puisi yang terasa segar. Kesegaran semacam ini hanya akan lahir kerana penguasaan kata-kata dan bahasa dengan baik.
Mengukuh kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan tekun.
Mohammad Diponegoro pernah mengatakan, “satu-satunya nasihat bagi pengarang muda ialah sesuatu yang mungkin sangat baru bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis?” Ya, kenapa tidak? Tidak sedikit penulis terkenal yang berawal dari kesenangannya dalam hal membaca.
Bacalah buku apa saja untuk menangkap gaya setiap penulis. Membaca juga membuat kita tahu apa yang membuat sebuah tulisan itu bagus serta memperluas kosa kata. Tapi begitu tiba waktunya menulis, kita harus mulai dengan gaya kita sendiri. Mulailah menulis apa saja yang anda tahu. Tulislah apa yang anda alami dan apa yang anda rasakan. Itulah yang kulakukan. (J.K. Rowling)
Membaca bukanlah semata yang tersurat, tetapi juga yang tersirat. Bacalah alam. Bacalah peristiwa. Bacalah orang-orang yang ada di sekitar kita. Bacalah segala hal yang membuat kemanusiaan kita menjadi penting bagi orang lain, yang apabila kita tidak ada membuat orang lain merasa kehilangan. Membaca … akan membuat kita lebih bernilai. Lebih-lebih lagi jika kita membaca sendiri tulisan yang sudah kita buat, hingga mengetahui berbagai kesalahan sebelum orang lain mengetahuinya. “Perbaiki tulisan anda dengan mencari kata, membaca, dan menulis,” kata Gary Provost.
Imam Syafi’i juga mengatakan, “Goresan penaku di tengah lembaran kertas, terasa lebih indah ketimbang khayalan. Aku terjaga setiap malam untuk belajar, pada saat orang-orang lelap tertidur.”
Isnin, Disember 19, 2022
MEMBUKA KAMUS INSANIAH
Jumaat, Disember 16, 2022
SEULAS BICARA
DARI ‘MENGAPA O MENGAPA’
KE PERSADA SASTERAWAN NEGERI SABAH
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Waramatullahi Wabarakatuh...
DIRI
Tidak perlu menjadi sesiapa, bagaimana
berasa ingin disanjung, tetapi biarlah
tanpa apa-apa sekali pun, tanpa sanjung
apatah lagi dijunjung. Dunia hanya sandiwara,
sekejap kau apa, sekejap kau siapa, sekejap
kau tiada, memang tiada jika di sisi-Nya.
Ingin apa, ketika berbuat sesuatu, berasa
sangat selesa,
mana kelayakan menyebut baik di hadapan
khalayak
sama-sama meminjam, Tuhan meminjamkan semua,
mana ada apa-apa, jadi sesiapa.
Sedang diam bertafakur, akur keluar dari
tumpangan,
Adalah diri yang lembah, yang diinjak-injak!
Akademi Rupha
17/8/2022
Puisi ini menceritakan tentang hal-hal
ketiadaan yang hakiki buat kita sebagai insan biasa ciptaan Allah swt. Walaupun
sering difikirkan bahawa kita sering menerima sesuatu yang sangat bernilai
dalam sepanjang kehidupan padahal hakikatnya kita bukan pemiliK hakiki, kita
hanya meminjam apa pun kita rasai nikmatnya. Diri kita amat lembab dan mudah
diinjak-injak, sangat pantas untuk menyampaikan bahawa betapA lemah kita di
sisi Allah swt. Ini menjadikan lebih bersiap siaga untuk menerima realiti tanpa
sebarang wap kesombongan, bangga diri, angkuh dan sebagainya lagi. Hanya kesyukuran!
Begini kita menerima sesuatu, saya sangat
gembira diberikan suatu penghormatan dengan penobatan adanya seorang sasterawan
di negeri saya sendiri. Saya bersyukur untuk itu atas penilaian yang bukan
kerja ringan, bukan sambalewa, bukan juga mudah dilakukan. Saya berterima kasih
sebagai antara puluhan rakan seperjuangan di negeri Sabah berada di tempat ini.
Saya gembira dalam kebiasaan yang biasa. Merasakan
punya peranan yang bukan kecil agar sastera bukan semata-mata melahiran puisi
yang bagus. Bahkan puisi harus membuka jalan-jalan kecil dan rumit kepada ruang
yang dituju dengan aman dan membahagiakan. Sudah tentu bersama ujian-ujian yang
tersendiri. Ruang fikir yang jitu.
Dalam salah sebuah puisi berjudul 'RUMAH SASTERA' saya tulis begini:
Sastera di tengah masyarakat
katanya tidak berjejak
bukankah sastera itu matlamatnya satu
membawa suara dari diam sunyi
ke alam makna anyaman diksi
bebas menggamit tugas
terpancar fikiran di sebalik nilai
besarnya niat menjelaskan persoalan.
Masih ramai memandang dunia sastera sebagai dunia yang asing. Padahal tidak. Sastera itu kehidupan kita seharian. Namun lebih jauh daripada itu saya percaya bahawa ada suara dari alam sunyi membawanya ke alam makna yang lebih bebas memancarkan pemikiran. Sudah tentu setiap patah kata itu mengandung makna tertentu.
Alhamdulillah, sukacita saya ingin menyatakan bahawa agensi penting yang memayungi keberhasilan susastera dan bahasa para penulis khsususnya di negara kita adalah Dewan Bahasa dan Pustaka. Di Sabah yang telah bertapak sejak 1971 dengan pejabat yang sangat cemrlang bersama para Pengarah yang bertukar ganti - antaranya almarhum Mohd Ariffin Siri, Hj Hamdan Yahya, almarhum Datuk Hj Ismail Abbas, Sdr Zulkifli Salleh, Tuan Hj Jamaluddin, Tuan Haji Hamzah Hamdani, almarhum Sdr Zaini Ozea, almarhum Sdr Zubaidi Abbas, almarhumah Hajah Asmiah Ajamain dan kini Puan Aminah Ag Basar dan para pegawai yang dedikasi dulu sampai kini - Sdr Rusdi Awang, sebelumnya sdr Nadin Haji Salleh, Datuk Hajah Zaiton Ajamain, Hajah Jamilah Haji Ahmad, Sdr Matlin Dullah - serta staf-staf yang juga dating dan pergi hingga kini tetap juga memberikan kesungguhan melaksanakan tanggungjawab mereka membina dan memperkasakan dunia persuratan. Terima kasih DBP. Dalam pada itu, sudah tentu secara peribadi saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah yang turut memberikan perhatian dan penghargaan sebegini. Terima kasih YAB Datuk Seri Ketua Menteri.
Sukacita saya ingin menyampaikan rasa terharu
dan penghargaan kepada pelbagai figura yang membina dan melahirkan insan ini
kepada perihal kemanusiaan yang lebih bererti. Sudah tentu kepada kedua
almarhum bapa dan ibu saya kerana mereka adalah guru terawal. Seterusnya kepada
atuk dan nenek dan jiran tetangga. Kepada guru-guru dulu dan kini, seawal 7
tahun hingga sekarang. Guru dunia sastera saya yang bermula di pantai Putera
Philip di Tanjung Aru pada 1979 ketika dipertemukan dengan kekanda Datuk Hajah
Zaiton Ajamain dan rakan-rakan Kumpulan Anak Seni sehingga melahirkan sebuah
puisi yang pertama tersiar di Sabah Times pada 13 Disember 1980 bertajuk ‘Mengapa
O Mengapa’. Guru puisi yang sangat disanjung almarhum Datuk Dr Ahmad Khamal
Abdullah (Kemala), almarhum bapa Supardi Joko Damono, bapak Taufiq Ismail dan
Dr Abd Hadi WM. Tidak dilupakan Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif, seorang
sahabat dan guru rujukan saya. Selanjutnya semasa berjuang jatuh bangun
mengurus Ikatan Penulis Sabah (IPS) bersama Datuk Jasni Matlani, Sdr Abd Naddin
Shaiddin, Sdr Mohd Jasni Yakub, Dr Mohd Puad Bebit, Ustazah Oneh Latifah Osman,
Hajah Sahara Jais, Sdr. Liberia Stephen Akadious, Cikgu Norawi Haji Kata, Sdr Mabumaddin
Haji Shaiddin, Sdr Mohamed Haji Salleh (Mat Kongo) dan ramai lagi. Kepada media
massa yang menyiarkan puisi-puisi serta karya-karya saya lain terutama kepada
bapak Surya Irawan, editor Harian Ekspres, almarhum bapak K.Bali, Sdr Emin Madi
dari keluarga akhbar Sabah Times, Editor Sastera Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Borneo, para editor Dewan Sastera seterusnya penerbit
radio di RTM Sabah yang menyiarkan skrip-skrip drama radio dan cerpen saya.
Sahabat-sahabat dari kecil dan persekolahan
awal di Sekolah Kebangsaan Lumadan Beaufort sehingga di Sekolah Menengah St
John Beaufort. Lanjut ke bandaraya Kota Kinabalu yang juga menggurui kehidupan
40 tahun lebih apabila dilepaskan oleh ibu dan bapa kerana bekerja di ibu kota.
Pastinya, isteri dan anak-anak tercinta sangat mendorong saya memperhalus skop bicara agar terangkum sehingga menjadi indah dan bermakna. Kalian figura penting dalam membangunkan RupHA - Rumah Puisi Hasyuda Abadi - yang menempatkan khazanah buku-buku Pustaka Iqbal Nazim dan rumah ngaji yang menghasratkan motto memandaikan bangsa melalui al-quran di Baitul Muqaddam.
Anugerah ini Allah swt yang punya. Saya hanya meminjam secubit kebahagiaan daripada kebahagiaan milik-Nya. Sebagai sesuatu yang harus saya jiwai dan percaya. Dengan kebahagiaan itu menggalas tanggungjawab tersendiri. Bagaimana sastera mampu membina dan membangunkan jatidiri insaniyyah.
Wallahua'lam.
Khamis, Disember 15, 2022
Isnin, Disember 12, 2022
MENGAKAR JIHAD
Kau tembak suatu
sukma tanpa kematian, biar
sejuta jasad gugur di mana jua mereka tersungkur,
hanya jasad, dan sukma menjadi penghulu
mengepalai perarakan semarak seluruh jagat,
berkibar matahari mendegup tunjang bumi, langit
memutar awan-awan kelam, relung cahaya menyirat
wajah mengakar di kalbu, jihad! Di situkah wajah
riangmu kematian dan kebangkitan terus memburu?
Khabarkan kepada dunia ketika menawan maruah
di situlah sebuah kekalahan menanggung beban
kebebasan, tak pernah rebah membahangnya cahaya
dan cinta, jihad!
PUSTAKA IQBAL NAZIM
2 Mei 2011
Disiarkan di: Antologi
Puisi ‘Kepada Sahabat’
Hadiah Sastera
Sabah, 2012/2013.
Rabu, Disember 07, 2022
SIKLUS PENYEMPURNAAN
SIKLUS
PENYEMPURNAAN
Adalah janji
ketika janjiku
merekah pada suatu pagi
antara keluh
santai dan suci kasih ibu
baringku, rangkakku atau lariku
mewarnai usia, suria dan bulan
dan bintang-bintang memangkin deru bayu
keluku menyentuh kesempurnaan diri
ini daerahnya peti usia sebati
membului kepak, burung sepi
terbang ke pucuk ilmu abadi
kendati belum milikku lagi
dengan bekal akal sejengkal
terlalu kerdil menerawangi ilusi bersih
tanpa debu dan demikian nota kesempurnaan
janji yang bersarat sayap
terbang dari gunung ke gunung
lembah ke lembah
dan danau ke danau
menembusi musim-musim
dan waktu terpaku di dalam roh jarumnya
menyusuri kedunguan hingga tiba
mengutip bangkai daun, akar
dan tunggul
makna memautiku
mempamer segala kedunguan dan kebenaran
dan Kembali menyemai janji ketika janjiku
bercambah pada suatu pagi
antara riuh dan wangi kasih Kekasih
yang berjanji.
Kota Kinabalu,
Sabah.
16 November 1988
Tersiar di: Harian Ekspres, 18 Disember 1988
Hadiah Sastera Sabah 1988/1989
Ahad, Disember 04, 2022
TIN KOSONG SEBUAH LAGU
kami sudah diajar oleh kebiasaan
kami sudah dibiasakan oleh kebudayaan
kami sudah dibudayakan oleh kedewasaan
kami sudah lali oleh kelalaian
kami sudah tak peduli
apa apa akan jadi.
ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangakan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan.
apa-apa akan jadi selepas ini
kami juga mahu bernyayi seperti kamu
tapi kami tidak akan berjanji
sesiapa akan gembira dengan nyanyian ini
sesiapa akan kaya dengan nyanyian ini
sesiapa akan menderita dengan nyanyian ini
kami akan menafikan
kata-kata bohong para pembohong
kata-kata manis para pengemis
kata-kata murni para pencuri.
ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangakan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan.
kami anak-anak kemerdekaan yang harus merdeka
ini tempat tumpah darah kami
jangan serahkan tin-tin kosong
di hadapan kemerdekaan ini
jangan gendangkan kosong tin-tin
di tengah-tengah bebas kemerdekaan kami.
ting tong tin kosong
ting tong tin kosong
lagu kamu nyanyikan waktu hujan tak datang
lagu lama kamu gembirakan waktu akan
datang harapan-harapan
lagu lama kamu dendangakan ketika nak
datang tumpuan kebijaksanaan.
kami akan memilih kebenaran
kami akan memilih keperluan
kami akan memilih kepunyaan
kami akan memilih keadilan
kami akan memilih kesempurnaan
kami akan memilih keunggulan
kami akan memilih kemerdekaan.
jangan paksa kami mendengar ting tong
lagu-lagu kosong tin kosong
sekarang…!
Kota Kinabalu
1998
Tersiar di: Harian Ekspres, 30 Ogos 1998
Hadiah Sastera Sabah 1998/1999
AZAM
membuka pintunya setiap awal tahun
apa yang kupandang di hadapanku kocakan warna
sambil mengombak lautan kenangan
menyampaikan ujaran makna lukisan silam
masih betah mengumpul sesal
mengulang-ulangkan kesilapan
biar pun telah berbeza antara malam dan siang
bergegas melangkah ke tahun baru
tersipu malu
dan seperti biasa – menanti hari-hari berlari
meninggalkan pengalaman
bekas yang membangun rindu, bersilih ganti
tidur dan bangun mengunyah rasa
tak pernah punah malah sasa perkasa
hutan malam dan cahaya bulan yang hadir
tenggelam,
azam membuka pintunya menarik usiaku
masuk ke dalam
sementara berkata, kubertanya
dan menunggu jawabnya
menjadi tajuk perbualan kami
yang tak pernah lelah
apa lagi mengaku alah
Kota Kinabalu
18 Jun 1997
Disiarkan di: Harian Ekspres, 16 Jun 1996
Hadiah Sastera Sabah 1996/1997
Khamis, Disember 01, 2022
MEMILIKI RUPA
Di hadapan cermin ada sindirian ke rupa
sendiri, kau kata ayu yang menyamankan pandang.
Siapakah yang memandangmu? Dirimu sendiri.
Harus di hadapan adalah rasa malu
pada sesuatu yang hanya sementara, mengapa
bangga pada kecantikan? Malah kau ubah
pemberian Pencipta. Diciptakan cecair ditanam
di bumi diri. Oh, seperti debu, di hadapan-Nya
kau telah angkuh merosakkan ciptaan-Nya.
Diamkan seketika pandangan di hadapan cermin
menatap rupa dan kecantikan yang dipinjamkan-Nya
di mana celanya keindahan yang ada itu? Segalanya
sempurna. Seharusnya redha atas kesempurnaan
yang dianugerahi-Nya.
Toleh seketika ke belakang bagaimana
kau membersihkan diri, mensucikan segala anggota?
Lalu memandang-Nya setiap waktunya tiba.
Anggunmu hanya untuk yang berhak
dan kebanggaan bukan milikmu kerana siapa
yang lebih berhak memiliki rupa selain Maha Indah
yang mencipta keindahan-Nya.
Baitulmuqaddam, Gudon.
26 Syaaban 1438
Disiarkan di: Utusan
Borneo, 4 Jun 2017
Hadiah Sastera Sabah 2016/2017
Selasa, November 29, 2022
NADWAH SASTERA ISLAM SERANTAU 2022
*KESYUMULAN ISLAMIYAH PERSURATAN ISLAM
SEBAGAI PEMANGKIN KEMAKMURAN
Mukadimah
Kertas kerja ini berhasrat untuk mengemukakan fikrah di sekitar mauduk persuaratan Islam menjadi landasan atau pemangkin kemakmuran sejagat. Pengutamaan dan kecenderungannya lebih merupakan satu pembicaraan bagaimana sastera Islam telah memainkan peranan dalam menghubung-intimkan budaya bahasa dan sastera dan menunjangi budaya ummah khususnya di Nusantara yang lebih erat persefahaman dan keakrabannya. Memang telah banyak diutarakan perbincangan, polemik dan akhirnya teori sastera Islam yang kini menjadi asas untuk menganalisis karya-karya sastera mutakhir berasaskan sumber-sumber kesusasteraan Islam.
Al-Quran dan Hadis menggesa umat Islam supaya kembali kepada Islam yang sebenar. Allah telah menyediakan jalan yang lurus, maka kita hendaklah ikuti. Dalam konteks ‘al-hayat al-Islamiyyah’ yang ‘syumul’ dan merangkumi termasuklah budaya bahasa dan sastera, maka kita digesa merujuk budaya Islam atau ‘al-thaqafahtal-Islamiyah’ yang telah dilandasi oleh al-Quran dan Hadis (Mana Sikana, 1998: 185). Tanpa menyedari dan mentaatinya, umat Islam akan terseleweng atau diselewengkan.
Menyedari hal di atas, sebenarnya bukan sesuatu yang baharu; kerana Islam telah lama menyeru umatnya berpegang teguh dengan apa yang telah diprinsipkan. Dalam hubungan ini elok juga kita kembali kepada ilmu-Nya, semoga kita mendapat hidayah dan taufik-Nya.
Segompal Sejarah Persuratan Islam di Nusantara
Pembangunan sastera Islam di Nusantara telah digerakkan dari pengaruh dakwah dan harakat pengislaman yang meluas antara abad 13-16 Masihi. Gerakan Islamisasi yang bermula pada abad ke 13 Masihi itu telah membawa perubahan yang penting dalam sejarah kebudayaan Melayu, dengan penyerbuan pengaruh sufi yang berkembang di abad ke 17, dan “menghasilkan pencerahan umat secara meluas dan merata sehingga memecahkan monopoli kepujanggaan istana.” (Siddiq Fadzil, 2012:128).
Ledakan dari gejala Islamisasi ini telah memulakan babak baharu dalam sejarah persuratan Melayu-Islam, yang melahirkan umat baharu dengan pandangan agama dan kebudayaannya, umat yang melihat segala sesuatu dengan worldview tawhidik, menyikapi segala sesuatu berasaskan etos dan tatanan nilai Islami. (Siddiq Fadzil, 2012: 3) Ini dibuktikan dari pemetaan tamadun dunia Islam yang dilakarkan Malik Bennabi, di mana kedudukan dunia Melayu diiktiraf sebagai sebuah zon tamadun Islam yang berkeperibadian Melayu-Islam (Siddiq Fadzil, 2012).
Dengan pengaliran faham dan pengaruh dari syair sufi yang berkembang di abad ke 17 itu, khazanah kesusasteraan Melayu-Islam banyak terkesan dengan corak pemikiran tasawuf, di mana sepanjang proses penyempurnaan itu sastera terus terhasil dan setiap karya mencerminkan tahap Islamisasi yang dilaluinya. (Siddiq Fadzil, 2012:179). Ini turut ditekankan oleh Mana Sikana (1983), dalam bukunya tentang sejarah perkembangan sastera Islam dan beliau mengakui yang kedatangan Islam secara lebih pesat ke pulau Sumatera ialah melalui jalan sastera tasawuf.
Ia jelas memberi dampak dalam perkembangan pemikiran dan nilai, di mana perkembangan dan perubahan yang dibawanya cukup menentukan, “melibatkan perubahan pandangan sarwa (weltanschauung), sistem nilai dan cara hidup keseluruhannya.” (Siddiq Fadzil, 2012:141) Ia turut menjadi katalis kepada transformasi masyarakat melayu daripada “masyarakat estetik kepada saintifik, tradisi lisan kepada budaya tulisan, alam tahyul kepada tamadun ilmu” (Al-Attas, 1990). Semua ini berlaku apabila ditunjukkan nilai-nilai Islam yang syumul bagaimana nilai-nilai mujahadah mampu menjadi katalis atau pemangkin ummah hidup bertoleransi.
Nilai-nilai Persuratan Islam – Perbincangan Umum
Dalam tulisannya tentang ‘nilai kebudayaan dalam bahasa dan kesusasteraan Melayu’, Al-Attas (1975) menekankan pengaruh Islam atas kesusasteraan Melayu ini: “Tiada pernah dimanapun direnungkan bahawa sejarah bahasa dan kesusasteraan Melayu itu harus dirumpunkan sebagai sejarah bahasa dan kebudayaan Islam.” Oleh sebab itulah, menurut beliau, “nilai-nilai saintifik, nilai-nilai rasionalisme yang bersendikan intelektualisme yang dibawa oleh Islam dan yang terdapat dalam struktur bahasa serta isi kesusasteraan Melayu-Indonesia yang telah diperislamkan itu tiada pernah dipertimbangkan dan dibicarakan secara ilmiah.”
Inilah yang tidak diperhatikan dalam kajian-kajian Barat tentang proses kemasukan Islam yang memungkinkan penerobosan pengetahuan saintifik dan rasional ke Alam Melayu. Proses yang berpengaruh dalam menggerakkan harakat bahasa dan kebudayaan di mana agama dan penghayatannya diperluas dan dipertingkatkan, dan harakat dakwah disemarakkan. Di saat ini sastera memainkan peranannya yang utama sebagai saranan dakwah dan pendidikan yang “merakyat dan memasyarakatkan ajaran Islam sehingga berlaku transformasi ketamadunan yang sangat bererti itu.” (Siddiq Fadzil, 2012: 141).
Ketinggian sastera Melayu yang terhasil, mendapat sentuhannya, dari karya-karya sufi yang mengalir di Baghdad dan Damsyik, dan tersebar di alam Melayu dari pengaruh ulama dan pujangga Islam seperti Shamsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri, Abd al-Ra’uf Singkel, Bukhari al-Jauhari, Syeikh Ahmad al-Fatani, Amir Hamzah, Raja Ali Haji, dan Hamzah Fansuri dari Acheh yang menghasilkan Mi’ratul Mu’minin, Syair Perahu, Sharab al-‘Asyiqin, dan Zinatul Muwahhidin. Ini seperti ditegaskan oleh Abdul Hadi W.M., “sebagai penyair besar dan pencetus syair, Hamzah Fansuri tidak hanya mempengaruhi perkembangan sastra Melayu pada abad ke-17 dan 18 Masihi, tetapi juga sesudahnya.” (2012). Perkembangannya turut terkesan dari tradisi kepenyairan Islam di tanah Arab, Parsi, dan Andalus, yang dipelopori oleh Ibnu Arabi, Sadr al-Din al-Qunyawi, Ibrahim Hakki, Lubaid, Jalaluddin al-Rumi, Najm al-Din al-Kubra, Farid al-Din Attar, al-Hallaj, dan Rabiah al-‘Adawiyah, yang terkenal dengan karya-karya puitis dan keTuhanannya.
Fenomena ini ditanggapi dengan jelas oleh Braginsky (1993:ix) dalam analisisnya yang mendalam tentang sejarah dan pengaruh tasawuf yang menyebar luas di alam Melayu yang menggerakkan kebangkitan sastera: “sejak akhir abad ke 14 terutama sekali abad ke 16-17, tasawuf selalu memainkan peranan yang sangat penting dalam sejarah, agama dan budaya di kawasan Melayu-Indonesia yang maha luas itu. Cukup dikatakan, bahawa justeru bentuk sufi ternyata bentuk yang paling sesuai dengan mentaliti rakyat di dunia kepulauan itu, tersebar khasnya Islam di kalangan mereka. Semangat toleransi yang menjadi kelaziman dalam tasawuf mazhab Ibn Arabi yang agung itu, serta juga kecekapan dan kefasihan mubaligh-mubaligh sufi yang tahu jalan-jalan menuju hati, baik para intelektual dan aristokrat yang terpelajar mahupun rakyat jelata, sangat memperindah bagi masuknya agama Islam ke dalam semua serata masyarakat.”
Ini turut membentuk tasawur Islam yang jelas dalam pandangan kosmologi Melayu, di mana “kebangunan kembali Islam ini bererti penyejagatan nilai-nilai agama itu, langkah pembetulan terhadap penyimpangan dalam kehidupan dan masyarakat, dan penambahan dimensi kepada realiti atau kewujudan itu sendiri…perubahan pada pendekatan hidup, sekurang-kurangnya dari segi penekanan ataupun pemberatannya, berhubung dengan alam-jagat, atau falsafah hidup. Apabila tasawur Islam membentuk persekitaran atau mendefinisikan keadaan, maka dengan sendirinya pemikiran dan perlakuan individu terlibat menjuruskan kepada pembentukan manusia rabbani dan orde tauhid” (Mohamad Abu Bakar, 2003).
Perkembangan sastera Islam di abad moden mula digerakkan dengan peranan pujangga dan sasterawan dan pengaruh Islam yang pesat pada akhir 30-an. Ini diperkukuh dengan karya-karya sastera yang mengalir dari Indonesia, yang ditulis oleh Hamka, dan wacana penting yang dicetuskan oleh penggiat sastera. Gagasan penting tentang kesusasteraan Islam ini telah dicetuskan oleh Yusof Zaki Yaakob (1986). Pemikiran ini dilanjutkan dalam makalahnya, dan dari beberapa pandangan yang dilontarkan oleh S. Othman Kelantan dalam bukunya ‘Ruang Perjalanan’ yang mengungkapkan idea dan falsafahnya tentang sastera Islam. Diskusinya terus hangat pada 1980 ketika tercetusnya polemik tentang sastera Islam antara Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad, yang cuba membedah dan membongkar tradisi sastera bernafas Islam dan melihat pengaruh dan impaknya dalam masyarakat.
Dalam waktu yang sama, penghasilan sastera Islam terus dijelmakan dalam pelbagai genre, melalui karya-karya penting Abdul Hadi W.M. (seperti sajak. Tuhan, Kita Begitu Dekat), Taufiq Ismail, S. Othman Kelantan, Habiburahman El-Shirazy, Suhaimi Muhammad dan A. Samad Said.
Puisi Al-Amin yang dihasilkan oleh A.Samad Said setebal 317 halaman telah diangkat sebagai karya agung yang merakamkan nilai yang puitis dan ketinggian ungkapan sastera yang signifikan dan bersejarah. Dalam naratifnya tentang perjalanan hidup Nabi (saw), “tetap diselitkan dengan pesanan-pesanan atau nafas-nafas rohaniah” yang tinggi. Mengulas tentang kekuatan karya ini, penerbitnya mengungkapkan, “dari sisi gaya, puisi Al-Amin jelas memenuhi ciri-ciri ‘puisi liris” yang diadun dengan ciri-ciri “puisi naratif” secara harmoni. Memang terlihat kematangan seorang penyair membentuk urutan tema dan persoalan yang dilatari sejarah perjuangan seorang Nabi besar (saw).” (A. Samad Said, 2001) Ini turut menzahirkan kenyataan tentang daya kreativiti yang tulen dan kesan spiritual yang mendalam yang dizahirkan dari lakaran puisi yang ditampilkan, di mana “puisi ini tidak sahaja menunjukkan perkembangan daya kreativiti dan sensitiviti A. Samad Said terus subur, tetapi juga memberi sumbangan yang amat tinggi nilainya dalam memperkaya khazanah sastera Melayu.”
Dalam komentarnya terhadap karya puitis ini, Muhammad Bukhari Lubis, mengakui kehebatan daya kepenyairan Pak Samad yang menandingi keupayaan pujangga Melayu besar di abad ke 17 dan penghasilannya ini telah memperkukuh tradisi kesusasteraan lama dari warisan Arab, Parsi, dan Turki: “tidak pernah saya lihat dalam kesusasteraan Arab, Parsi dan Turki, puisi keagamaan sebegini panjang”, manakala Baharuddin Ahmad pula menekankan ketinggian nilainya dan sumbangannya dalam penerusan tradisi penulisan dan pemekaran sastera klasik: “selepas gurindam Raja Ali Haji dan puisi Amir Hamzah, tiada usaha yang kukuh dalam genre puisi yang dapat secara kreatif meneruskan tradisi sastera agama.” (2001).
Puisi yang tercipta ini, dalam perkembangan sastera Arab, disebut al-Madaih al-Nabawiyah (saw) “sejenis puisi yang disebarkan oleh ahli tasawuf sebagai cara mengucapkan rasa cinta dan kasih keagamaan dalam bentuk sastera yang tinggi nilainya. Puisi ini hanya diilhamkan oleh kalbu yang penuh kebenaran dan kejujuran” (Rogayah A. Hamid, 2005: 27). Puisi At-Tariq yang dihasilkan oleh Suhaimi Muhammad, penyair surealis dan mistik akhir abad ke-20, pula memaparkan falsafah kesusasteraan, hal-hal ketuhanan, tasawuf, dan kebatinan. Ia “merealisasikan puisi daripada aliran mistik yang menerapkan falsafah dan pemikiran Islam sebagai titik tolak, inti sari pembicaraan dan penyelesaian” Menurut penilaian yang diberikan, “pembicaraan, analisis dan penyelesaiannya lebih bersifat Islam dalam konteks antarabangsa, moden dan global” (2000).
Puisi ini mengungkapkan kecintaan yang tinggi terhadap al-Khaliq, di mana “melalui wujud, Suhaimi telah berjaya mengungkapkan persoalan cinta martabat tinggi, cinta terhadap al-Khaliq, Pencipta segala pencipta. (Dewan Sastera, November 1996). Jaafar Rahim, dalam komentar dan analisisnya terhadap kekuatan sastera yang diungkapkannya memandang puisi ini “mempunyai makna yang amat luas, membicarakan hubungan dirinya dengan Ilahi, hubungan manusia dengan Ilahi dan sifat-sifat ketuhanan.” (Utusan Malaysia, 4 Sept 1996).
Ini selari dengan falsafah sufistik yang digarap dalam pengkaryaan sastera Islam yang mengungkapkan keresahan dan perjuangan insan dalam ranah kehidupannya yang menyeluruh, seperti diungkapkan oleh Haris Effendi Thahar (1982), sarjana, dan pengkritik sastera dari Indonesia, “bahawa keresahan seorang sufi ialah keresahan manusia seluruhnya dengan segala perjuangannya.” Habiburrahman el Shirazy melalui novelnya Ayat-Ayat Cinta, yang telah meraih ‘PENA Award Novel Terpuji Nasional 2005’ dan ‘Anugerah Penghargaan The Most Favorite Book 2005’ telah mengangkat karya Islam ke puncak pencapaian sastera yang terbaik, yang digolongkan dan lingkaran novel Islam. Nilai ijtihad dan nafas Islam yang digarap dalam karya ini dijelaskan oleh Mohd Faizal Musa “sebagaisebuahkarya sastera Islam, Ayat-Ayat Cinta karangan Habiburrahman el Shirazy memuatkan banyak ajaran Islam. Antara aspek ajaran Islam yang disentuh dalam novel ini adalah konsep ijtihad.” (2011). Dalam kata pengantar yang ditulisnya, Hadi Susanto, menyifatkan novel ini sebagai “kayu ukur dan pedoman untuk pengarang muda yang mahu berjinak-jinak dengan sastera Islam.” (Mohd Faizal Musa, 2011) Menurutnya, novel ini berhasil menggarap pesan dakwah, tema cinta, latar belakang budaya suatu bangsa dengan menarik, kerananya ia “perlu menjadi acuan terutama bagi penulis yang mahu berjinak-jinak untuk menulis sastera Islami.” (Susanto dalam Shirazy, 2007).
A. Samad Said, dalam ulasannya yang jitu dan sangat bermakna, menyifatkannya sebagai “sebuah novel yang sangat memujuk dan menghiburkan…rasanya memang sesekali kisah cinta yang Islami begini sempat disampaikan dengan penuh tertib.” (A.Samad Said dalam Shirazy, 2007). Novel Imam, yang dihasilkan oleh sasterawan negara Abdullah Hussain dan telah meraih Hadiah Novel Nasional 92/94, turut diiktiraf sebagai karya sastera Islam yang penting. ‘Imam’ dikerjakan selama tiga tahun enam bulan semasa beliau bertugas di DBP Brunei, sebagai pegawai kontrak yang turut memperlihatkan sikap dan pemikirannya yang terbuka dan moden. Ia memaparkan tentang perjuangan dan kebangkitan seorang Imam (Imam Mihad) di Kampung Anggerik Desa. Dalam usahanya menganjurkan pembaharuan, beliau bangkit melakukan revolusi mental, memperbetul kepincangan, dan menekankan kepentingan mendalami ilmu.
Sasterawan Negara Prof. Rahman Shaari dalam kertas kerjanya ‘Kamar Hati dan Kamar Akal dalam Imam’ merumuskan bahawa novel ini mempamerkan keindahan nilai estetika Islam dengan pewarnaan tempatan: “novel ‘Imam’ menepati novel yang berada dalam lingkungan sastera Islam yang buat masa ini kurang diperkatakan. Saya berpendapat Abdullah Hussain ketika menghasilkan novel ‘Imam’ berada di tingkat kesedaran bahawa beliau mesti menghasilkan karya yang memuatkan asas estetika dalam Islam” (Talib Samat, 1998).
Karya yang menyentuh pelbagai aspek keagamaan dan sejarah ini, cuba mengetengahkan nilai pembaharuan yang digerakkan oleh kaum muda dengan mengangkat idealisme dan mencanangkan ijtihad. Ia menggembleng pemahaman asas tentang gagasan pembaharuan dan tajdid dan berusaha menangani ikhtilaf mazhab dengan pandangan fiqh yang luas dan landasan hukum dan maqasid syariat. Tulisannya turut menyentuh isu perpecahan masyarakat Islam yang berlaku hampir di semua negara Islam kini, “yang dilanda kemelut perpecahan, perebutan jawatan, intrik, harta (kebendaan) dan keruntuhan moral yang terjadi di mana-mana negara Islam.” Ia turut menzahirkan kritikan keras terhadapkesempitan faham kaum konservatif yang terbelenggu dengan taklid dan pemahaman agama yang beku dan sikap yang permisif dan tunduk kepada telunjuk pemerintah. Tulisannya memperlihatkan sikap yang sinis terhadap “golongan imam dan agama yang menulis teks-teks khutbah Jumaat yang setengah-setengahnya tidak berpijak di bumi nyata, terlalu melebihkan golongan raja dan memuliakannya tidak bertempat,” dengan mesejnya agar mereka turun padang melihat sendiri permasalahan masyarakat dan umat Islam (Talib Samat, 1998: 147-150).
Penutup
Dari perbincangan ringkas di atas, kita telah melihat dengan jelas kekuatan nilai dan perspektif khusus yang membentuk pandangan sastera Islam, seperti unsur tauhid, moral, ihsan, kebenaran, keindahan, nilai mistik, sufisme dan sebagainya. Pandangan dan idealisme yang tinggi ini telah mewarnai sastera Melayu danmembentuk falsafah dunianya yang dinamis. Usaha penyebaran sastera Islam dan penerapan pengaruhnya ke rantau ini haruslah ditingkatkan bagi membangun nilai dan keperibadian Islam yang kental dan melanjutkan pengaruhnya yang ekstensif dalam tradisi pemikiran dan persuratan Melayu dan warisan kebudayaannya, terutamanya nilai-nilai inklusivisme dan transendentalnya. Kita haruslah memperjuang dan mengangkat martabat sastera dan mempertahankankhazanah kesusasteraan Melayu-Islam dan mengetengahkan sumbangannya yang signifikan dan penting dalam menggerakkan kesedaran dan kebangkitan sastera dan “menyingkapkan tabir bagi angkatan muda buat selanjutnya menyelami sastera Islam yang sangat luas itu.” (Hamka, 1966: 4).
Sebagai kesimpulannya, perbincangan kertas kerja ini merumuskan bahawa persuratan Islam dapat memainkan peranannya sebagai pemangkin penting ke arah pemakmuran ummah. Jika selama ini kita menggunakan atau akan menggunakan pelbagai kaedah, teori dan metodologi luaran, namun telah terbukti usaha para pengkaji dan pemikir kita mengaplikasikan Islam sebagai turuq ke arah kejayaan menyatu padukan umat di dunia belahan sebelah sini. Yang penting daripada segala-galanya ialah kepercayaan kita terhadap Islam dan karya berunsur Islam berjaya memaikan peranan dan fungsinya. Kita yakin hanya Islam dapat membantu dan terus memperakalkan budaya, bahasa dan sastera kita. Semoga Allah memberikan berkat dan rahmat-Nya. Amin.
Rujukan dan bahan bacaan
A. Samad Said. 1999. Al-Amin: Riwayat Hidup Rasulullah s.a.w. dalam Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..
Abdul Hadi W.M. 2012, Sept 7. Jejak Sang Sufi: Hamzah Fansuri dan Syair-Syair Tasawwufnya. Diakses dari http://jalantelawi.com/2012/09/jejak-sang-sufi-hamzah-fansuri-dan-syair-syair-tasawufnya/.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1975/76. “Nilai Kebudayaan dalam Bahasa dan Kesusasteraan Melayu”, Jernal Jihad, 64-72.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 1990. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu. Kuala Lumpur: Angkatan Belia Islam Malaysia.
Al-Attas, Syed Muhammad Naquib. 2001. Risalah Untuk Kaum Muslimin. Kuala Lumpur: Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam.
Habiburrahman el Shirazy. 2007. Ayat-Ayat Cinta. Kuala Lumpur: Ar Risalah Product.
Hamka. (1966). Lembaga Hikmat. Jakarta: Bulan Bintang.
Haris Effendi Thahar. 20 Okt, 1982. Harian Singgalang, Indonesia.
Kamariah Kamarudin. 2010. Antara Komersialisme dengan Intelektualisme dalam Novel Getaran Rindu. Jurnal Pengajian Melayu, 20 (1), 99-118.
Kassim Ahmad & Shahnon Ahmad. 1987. Polemik Sastera Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mana Sikana. 1983. Sastera Islam di Malaysia. Kuala Lumpur: Penerbitan Sarjana.
Mana Sikana. 1998. Khazanah Islam: Falsafah dan Kesusasteraan. Selangor: Penerbitan Karyawan.
Mana Sikana. 2009. Wajah Sastera Melayu Singapura Selepas Perpisahan dengan Malaysia. Sari, 27 (2), 27-57.
Mohd. Affandi Hassan. 1990, Januari-Jun. Pendidikan Estetika daripada Pendekatan Tauhid I-IV. Dewan Sastera, hh. 31-35.
Mohd Faizal Musa. 2011. Persoalan Ijtihad dalam Novel Ayat-Ayat Cinta. Alayasastra Jurnal Ilmiah Kesusasteraan, 7 (1), 1-15.
Rogayah A. Hamid, Wahyunah Abd. Sani (penyelenggara). 2005. Pandangan Semesta Melayu: Syair. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..
S. Othman Kelantan. 1987. Arah Pemikiran Sastera Malaysia. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Shahnon Ahmad. 1981. Kesusasteraan Dan Etika Islam. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd..
Siddiq Fadzil. 2012. Islam dan Melayu: Martabat Umat dan Daulat Rakyat. Selangor: Akademi Kajian Ketamadunan.
Suhaimi Muhammad. 2000. At-Tariq: Kumpulan Puisi Mistik dan Kerohanian. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka..
Syed Hussein Alatas 2015. Kita dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Talib Samat. 1998. Islam di Antara Percikan Sastera dan Budaya. Batu Caves: Thinker’s Library.