Khamis, Disember 22, 2022
RINGKASAN DATA-DATA HASYUDA ABADI
Rabu, Disember 21, 2022
Pemimpin yang mendidik
KEUNGGULAN seorang pemimpin
sebenarnya bukan terletak pada kemampuannya berpidato atau menabur janji dan
wang kepada rakyat, tetapi terletak pada kemampuannya membina dan mendidik
umat. Kepimpinan sedemikian disebut sebagai pemimpin-pendidik atau disebut juga
sebagai ‘transforming leader’ iaitu pemimpin yang
mampu merubah umatnya menjadi lebih baik dan lebih unggul.
Jestru keinginan kita menerima peri pentingnya ‘transforming
leader’, harus menjadikannya sebagai kriteria utama dalam proses
pembentukan kepimpinan ummah. Dan, sehala dengan tanggungjawab yang besar ini
oleh seorang pemimpin ialah amanah memegang tanggungjawab itu.
Dengan tegas dinyatakan bahawa tugas kepimpinan merupakan
suatu amanah berat yang membawa risiko tertentu. Sebab itulah, ia harus
dipercayakan kepada mereka yang benar-benar mampu. Sikap meremehkan kepimpinan
sebagai suatu yang mudah, senang dan boleh disandang oleh sesiapa sahaja
membayangkan kekeliruan dan ketidakfahaman yang sangat mendasar tentang erti
dan fungsi kepimpinan. Fenomena ini berleluasa hari ini dengan semakin ramai
berlumba-lumba mendapatkan gelaran pemimpin walaupun terpaksa menabur wang
ringgit, masa dan tenaga yang banyak.
Menjelang kewafatannya, Sayyidina Umar ibn al-Khattab
telah menyenaraikan sejumlah nama calon penggantinya. Ketika nama anaknya
sendiri (iaitu Abdullah ibn Umar) dimajukan orang, beliau dengan spontan
menolaknya seraya berkata: cukuplah seorang sahaja dari keluarga Umar yang
akan menjadi korban api neraka. Demikian contoh orang yang faham dan
menginsafi beratnya amanah kepimpinan dan besarnya risiko ukhrawi nanti jika
tanggungjawabnya tidak dilaksanakan dengan sempurna.
Umar ibn Abdul Aziz, khalifah yang terkenal dengan
keadilannya itu dikatakan pernah terpegun semalaman ketika menatap sebaris ayat
tentang pertanggungjawaban para penguasa zalim di hari Mahsyar nanti (as-Saffat:22).
Ia benar-benar ketakutan, apakah dirinya termasuk dalam kelompok penguasa zalim yang disebut dalam ayat tersebut.
Begitulah orang yang tahu beratnya tanggungjawab menjadi pemimpin hinggakan
orang yang sudah terkenal adil di mata manusia, masih takut menghadapi
penghakiman Tuhan.
Ketidakfahaman terhadap erti dan fungsi kepimpinan adalah
suatu bahaya. Ia boleh mengakibatkan penyalahgunaan kuasa kepimpinan itu
sendiri. Gejala penyalahgunaan kuasa atau ‘abuse of power’ terjelma
dalam pelbagai bentuk seperti penggunaan jentera kerajaan untuk kepentingan
diri, menggunakan wang rakyat untuk kegunaan peribadi dan sebagainya.
Kuasa bukan suatu hadiah, tetapi amanah. Al-Qur'an menggambarkan perilaku orang-orang yang diberi kuasa dan tahu makna fungsi kekuasaan yang diamanahkan kepadanya itu melalui ayat 41 Surah al-Hajj, yang bermaksud: Dan orang-orang yang Kami perteguhkan kedudukan mereka di bumi, mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kejahatan. Demikianlah kesedaran tentang erti tanggungjawab yang menjadikan seseorang sentiasa mengabdi kepada Tuhan, menyucikan diri dan hartanya dengan menyantuni golongan miskin, berbakti kepada manusia dengan membimbing mereka kepada kebaikan dan menyelamatkan mereka daripada kejahilan.
Peranan pemimpin bukan sekadar menyetujui apa yang
diperakukan oleh orang-orang bawahannya. Yang namanya pemimpin ialah one who
guides, directs, conducts…’ iaitu seorang yang mampu memberikan panduan,
pengarahan dan bimbingan. Peranan pemimpin seperti yang disebut oleh Peter
F.Ducker ialah …sets the goals, set the priorities and sets and maintains
standards.’ (menetapkan matlamat, menyusun urutan keutamaan serta menentukan
piawaian yang baku dan mempertahankannya). Ini bermakna pemimpinlah yang
harus memutuskan semuanya itu, bukan pegawai-pegawai bawahannya.
Sebagai pemandu umat, pemimpin harus tahu ke mana umat
hendak dibawa. Dalam kaitan ini, al-Qur'an mengingatkan: Ikutilah
orang-orang yang tidak meminta upah dan mereka yang terbimbing dengan hidayah.(Surah
Yasin: 21). Ayat tersebut mengisyaratkan dua kriteria penting kepimpinan iaitu
seorang yang menghayati petunjuk atau hidayat Tuhan dan tidak meminta rakyat
membalas budi dan baktinya.
Imam al-Ghazali dalam bukunya, al-Mustazhiriy memberikan
empat syarat iaitu kuat dan berwibawa (an-najdah), bijaksana dan
mempunyai kekuatan daya fikir sehingga memungkinkannya menyelesaikan pelbagai
masalah (al-kifayah), bersih dan berintegriti moral (al-wara’) dan
berilmu (al-ilm). Keharusan memenuhi keempat-empat syarat tersebut
membayangkan betapa beratnya tanggungjawab seseorang pemimpin.
Pembakuan syarat-syarat kelayakan tersebut juga bertujuan
untuk mempertahankan kualiti kepimpinan umat. Keunggulan sesuatu bangsa banyak
ditentukan oleh kualiti kepimpinan. Kerana itulah setiap kali Tuhan mahu
membangun sesuatu umat, yang mula-mula dilakukan ialah mengutus pemimpin unggul
yang berupa nabi bersama kitab petunjuk Ilahi. Kombinasi kepimpinan unggul dan
petunjuk Ilahi itulah yang membawa keunggulan umat dan tamadunnya.
Memang tiada siapa pun yang mampu menjadi pemimpin
seunggul nabi. Yang penting ialah usaha meneladaninya. Pemaparan kisah dan
sejarah para nabi dalam al-Qur'an bukan untuk sekadar menglipur lara, tetapi
untuk memberikan set nilai kepimpinan yang relevan dalam pelbagai konteks zaman
dan lingkungan. Umumnya pemaparan kisah para nabi itu menekankan ciri kualiti
khusus kepimpinan yang sesuai dengan keperluan zaman dan realiti masyarakatnya.
Nabi Shuaib a.s. misalnya, selain dari membawa prinsip
tauhid, ia juga ditampilkan dengan misi khusus menegakkan etika dan nilai-nilai
murni dalam bidang perniagaan dan perdagangan (Surah al-A’raf: 85). Nabi
Daud a.s. ditampilkan dengan ciri kekuatan teknologi pembuatan baju besi dan
Nabi Sulaiman a.s. pula ditampilkan dengan ciri kekuatan teknologi pengendalian
angin (Surah al-Anbiya’: 80-81). Sementara itu kepimpinan Nabi Musa a.s.
menonjolkan ciri kuat dan beramanah (Surah al-Qasas: 26), manakala Nabi
Yusuf a.s. yang ditampilkan untuk menangani masalah ekonomi negara menonjolkan
kepimpinan yang bercirikan daya kawal dan kekuatan ilmu (Surah Yusuf: 55).
Dalam konteks umat Islam Malaysia masa kini, kita sedang
berhadapan dengan sejumlah realiti baru yang memerlukan penampilan pimpinan
yang memiliki sejumlah kualiti tertentu. Kita sedang menghadapi cabaran
menjayakan kebangkitan Islam, kebangkitan rantau Asia Pasifik, era
perindustrian, globalisasi, ledakan informasi dunia tanpa sempadan di samping
cabaran dari dalam negara sendiri dari sudut politik dan ekonomi. Semuanya itu
harus digarap sekali gus. Kemampuan kita menghadapi cabaran-cabaran masa kini
dengan segala perubahan bawaannya yang serba pesat, dahsyat dan penuh kejutan
itu banyak bergantung kepada kemampuan kita menampilkan pimpinan yang
benar-benar berkualiti, dinamik, berilmu, berwawasan dan berintegriti moral,
pimpinan yang mampu melaksanakan tugas besar melahir dan mencipta tenaga, daya
dan wawasan manusia.
Dalam era perubahan seperti sekarang ini pimpinan umat
harus menyedari apa yang disebut sebagai perubahan-perubahan di sekitar tugas
dan peranan pemimpin politik. Untuk itu mereka harus cukup mampu memperolehi
maklumat tentang segala perubahan yang berlaku. Sesungguhnya dalam suasana
persaingan yang sengit sekarang ini, keunggulan akan hanya dicapai oleh pihak
yang paling awal tahu dan paling cepat bertindak.
Dengan kata lain, mereka harus mempunyai kekuatan
intelektual dan ketajaman daya analisis. Dengan demikian mereka akan mampu
membina wawasan dan mampu menggariskan matlamat yang jelas. Pemimpin yang tidak
mempunyai kemampuan berfikir, yang tidak punya budaya membaca dan tidak mampu
mengikuti dunia perbukuan tidak akan mampu mengangkat martabat umat di zaman
ilmu, zaman yang segala-galanya harus berasaskan ilmu. Yang lebih asas dari
semua itu ialah kesedaran tentang erti kepimpinan sebagai taklif (amanah
dan tanggungjawab), bukannya tasyrif (kemegahan dan kebesaran).
Sesuai dengan hakikat bahawa
kepimpinan adalah keteladanan, pemimpin tidak cuma harus mampu menetapkan tahap
yang harus dicapai, tetapi lebih daripada itu, ia sendiri harus mampu tampil
sebagai contoh penghayatan dan pencapaian tahap berkenaan. Seperti pernah
dijelaskan, dalam tradisi kepimpinan Islam, pemimpin disebut sebagai imam yang
membawa maksud ‘seorang yang berada di hadapan dan diikuti oleh orang ramai’.
Selasa, Disember 20, 2022
Mengolah kepekaan berpuisi
MENELUSURI proses kreatif penulisan puisi sama asyiknya dengan menulis puisi itu sendiri. Setiap penyair sudah pasti memiliki cara pandang yang berbeza tetapi secara esensial akan mengarah pada titik yang sama, yakni puisi sebagai medan ekspresi dari bayang-bayang pengalaman. Perlu diingat bahwa puisi itu mudah dipelajari tetapi isi dan mutu puisi sangat bergantung kepada intensiti penghayatan si penyair terhadap berbagai pengalaman hidup yang menarik perhatiannya. Termasuk juga dalam hal ini adalah penguasaan akan kata dan bahasa.
Meskipun penulisan puisi boleh dipelajari tetapi kenyataannya tidak mudah. Salah satu alasannya adalah bahawa seorang penyair itu harus peka terhadap keadaan jiwanya, perasaannya, dan juga terhadap seluruh pengalaman hidupnya yang bersifat fizik ataupun metafizik. Secara fizik bererti sang penyair mengalami atau melihat sendiri kejadiannya. Sedangkan secara metafizik adalah pengalaman nonragawi yang hanya berhubungan dengan perasaan (tidak dengan tubuhnya).
Kepekaan itu penting bagi seorang penyair. Sebab itulah mengasah kepekaan perlu dilakukan untuk memperlancar daya kreatif seorang penyair dalam menulis puisi-puisinya. Inilah yang nantinya akan menjadi bank naskah pengalaman seorang penyair. Dari sini pula dapat disimpulkan bahawa menulis puisi itu tidak akan lahir dari ‘ruang batin yang kosong’. Lalu bagaimana dengan imaginasi?
Imaginasi memberi gambaran yang menyenangkan ke dalam fikiran dengan menjadikan segala sesuatu lebih sempurna daripada apa yang diketahui sebelum ini. Imaginasi menghalang kita untuk berpuas hati dengan keadaan sekarang mahupun keberhasilan masa lalu, dan terus mendorong kita untuk mengejar kesenangan yang belum pernah dicuba untuk atau keutamaan yang ideal.
Kunci menuju imaginasi kreatif ialah asosiasi. Asosiasi terbentuk oleh tiga hukum iaitu: Kedekatan - kasut bayi mengingatkan kepada si bayi; Kemiripan - bila melihat gambar singa teringat gambar kucing; Kontras - seorang kerdil akan mengingatkan kepada raksasa.
Tindakan kita dalam hidup merupakan hasil asosiasi dengan keyakinan, idea dan kepercayaan yang sudah ada. Asosiasi juga bekerja melalui suara. Contohnya, saya sering mendapati bahawa waktu yang paling kreatif adalah ketika saya mendengar orang berbicara.
Menurut ‘Kamus Kata-kata Serapan Asing dalam Bahasa Indonesia’ karangan J.S. Badudu, pula imaginasi adalah khayalan, dan daya fikir untuk menciptakan sesuatu dalam fikiran berdasarkan kenyataan atau pengalaman hidup.
Dalam menulis puisi, imaginasi itu lebih berdasar kepada pengertian kedua kerana pengertian pertama sudah terangkum di sana. Agar imaginasi kita kena atau tepat pada sasaran maka kita pun harus mampu menguasai kata-kata dan bahasa dengan baik. Kata-kata dan bahasa adalah alat untuk mengomunikasikan bayang-bayang pengalaman yang hendak diekspresikan di atas kertas.
Kalau diksi sudah dikuasai tentu pada saatnya kita akan berhadapan dengan rima dan ritma. Fungsi keduanya ini sebagai penegasan dari apa yang ingin disampaikan oleh sang penyair. Permainan unsur bunyi dalam struktur puisi akan membangun makna puisi yang bersangkutan. Jelas sudah bahawa puisi tidak hanya dibangunkan oleh sembarang rangkaian kosa kata dan gramatikal yang melahirkan pesan, tetapi juga dibangun oleh unsur-unsur estetik bunyi daripada rangkaian vokal dan konsonan yang berlagu dan berirama.
berjalan
di belakang jenazah angin pun reda
jam
mengerdip
tak
terduga betapa lekas
siang
menepi, melapangkan jalan dunia
di samping,
pohon demi pohon menundukkan kepala
di atas:
matahari kita, matahari itu juga
jam
mengambang di antaranya
tak
terduga begitu kosong waktu menghisapnya
Puisi di atas adalah milik
Sapardi Djoko Damono yang diberi judul ‘Berjalan di Belakang Jenazah’ (lihat
buku ‘Dukamu Abadi’, Bentang, 2002: 6). Sumber Sapardi dalam menulis puisinya
itu jelas bermuara pada pengalamannya ketika menghantar jenazah seseorang untuk
dikuburkan. Beliau berusaha menghadirkan kembali apa yang dialaminya itu dengan
pilihan kata-kata yang begitu personal sifatnya.
Beliau telah mampu menemukan wilayah pengucapannya yang khas, yang jelas berbeza dengan para penyair lainnya meski dengan pengalaman menghantar jenazah yang kurang lebih sama. Namun, beliau telah berhasil merekonstruksi kembali pengalamannya itu dalam bentuk karya puisi yang terasa segar. Kesegaran semacam ini hanya akan lahir kerana penguasaan kata-kata dan bahasa dengan baik.
Mengukuh kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan tekun.
Mohammad Diponegoro pernah mengatakan, “satu-satunya nasihat bagi pengarang muda ialah sesuatu yang mungkin sangat baru bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis?” Ya, kenapa tidak? Tidak sedikit penulis terkenal yang berawal dari kesenangannya dalam hal membaca.
Bacalah buku apa saja untuk menangkap gaya setiap penulis. Membaca juga membuat kita tahu apa yang membuat sebuah tulisan itu bagus serta memperluas kosa kata. Tapi begitu tiba waktunya menulis, kita harus mulai dengan gaya kita sendiri. Mulailah menulis apa saja yang anda tahu. Tulislah apa yang anda alami dan apa yang anda rasakan. Itulah yang kulakukan. (J.K. Rowling)
Membaca bukanlah semata yang tersurat, tetapi juga yang tersirat. Bacalah alam. Bacalah peristiwa. Bacalah orang-orang yang ada di sekitar kita. Bacalah segala hal yang membuat kemanusiaan kita menjadi penting bagi orang lain, yang apabila kita tidak ada membuat orang lain merasa kehilangan. Membaca … akan membuat kita lebih bernilai. Lebih-lebih lagi jika kita membaca sendiri tulisan yang sudah kita buat, hingga mengetahui berbagai kesalahan sebelum orang lain mengetahuinya. “Perbaiki tulisan anda dengan mencari kata, membaca, dan menulis,” kata Gary Provost.
Imam Syafi’i juga mengatakan, “Goresan penaku di tengah lembaran kertas, terasa lebih indah ketimbang khayalan. Aku terjaga setiap malam untuk belajar, pada saat orang-orang lelap tertidur.”