Selasa, September 12, 2017

KOTA TAMADUN BANGSA PERSPEKTIF PENYAIR


Pendahuluan

SEBAGAI penyair saya selalu memandang sesuatu itu  tidak mendasar seperti adanya. Sesuatu yang akan berlaku tentulah disebabkan sesuatu yang lain samada kita menyedarinya atau tidak. Saya percaya sesuatu itu ada puncanya yang mengakarkan apa juga peristiwa. Tanpa mengambil kira apakah peristiwa itu besar atau kecil. Peristiwa akan mendasar kepada pembinaan kemanusiaan dari pelbagai hala seperti pemikiran, cara hidup, harapan atau cita-cita, kebenaran dan pengalaman. Sesuatu peristiwa sentiasa menjanjikan kerana kehidupan sentiasa menyedarkan kita kepada hakikat tidak akan terbina sesuatu tanpa sebarang permulaan. Setiap permulaan akan menjadikan sesuatu itu lebih besar, lebih terarah kepada pembinaan keagungan. Jatuh dan bangun sebuah bangsa misalnya akan meninggalkan pengajaran meneruskan kelangsungan kehidupan. Sebuah bangsa juga tidak akan dihormati tanpa melalui peristiwa demi peristiwa yang berharga. Kematangan bangsa juga selalu didasari kemampuan kita melalui fasa-fasa pembinaan pemikiran yang besar.
Antara  sedar dengan tidak, kita sebenarnya menjalani pola sejarah yang sama sebagaimana yang dilalui oleh seluruh umat manusia sejak zaman awal lagi. Sejarah yang kita lalui tidak jauh berbeza dengan sejarah masyarakat yang wujud sebelum kita. Walaupun kita telah menyaksikan perbezaan yang amat ketara dari segi peradaban dan perkembangan sejarah manusia, namun itu hanya  berbentuk kebendaan semata-mata. Manusia tidak pernah berbeza sejak awal lagi dari segi penggunaan akal, buah fikiran, perasaan, nafsu, keperluan berkomunikasi, dan sebagainya. Ciri-ciri ini merupakan antara unsur yang tidak mungkin akan berubah selagi manusia masih kekal dengan unsur kemanusiaannya yang semula jadi.  
Manusia mempunyai persamaan sejak zaman purba sehingga hari ini, terutama sekali dari aspek pencorakan sejarah hidup manusia. Pola yang dimaksudkan ialah pergelutan manusia dengan dirinya sendiri dalam mencari hakikat kehidupan. Manusia sentiasa dihantui oleh persoalan seperti dari mana dia datang, bagaimana dia wujud, apa matlamat hidupnya di dunia ini, ke mana dia akan pergi, dan lain-lain lagi.
Demikianlah apa yang ingin kita rasai sebagai pengamat kehidupan. Melihat cermin peribadi tak mungkin dapat menggambarkan apa-apa dengan mengabaikan perihal yang lain menerusi ketajaman sentuhan panca indera. Dalam keberadaan kita, kita merasakan ada produk yang amat berharga untuk menterjemahkan keunikan kemanusiaan ini. Di manapun kita berada, kita akan mengamati  situasi, perbezaan dan persamaan bahkan hal-hal baru yang memerlukan penelaahan. Kita menerjemah dengan memindahkan setiap rasa kepada suatu kaedah yang berbeza tetapi sentiasa menzahirkan pengalaman baru kepada orang lain. Persoalan kehidupan sedikit sebanyak akan mencerminka peribadi, sikap, pemikiran dan visi tentang sesuatu yang diperkatakan. Sebagai penyair pula, kita tidak dapat membebaskan diri daripada perkara yang berlaku di sekitarnya kerana dunia penyair adalah manusia di sekitarnya. Interaksi dengan diri sendiri, alam, masyarakat dan manusia di sekeliling akan mencorakwarnakan sikap penyair dan tanggapannya terhadap persekitaran dan persoalan yang diangkatnya dalam sesebuah produk karya. Tidak terdapat batasan baginya mengungkapkan persoalan. Persoalan adalah sesuatu yang pelbagai tanpa batasan, terpulanglah keapda kekreatifan, imaginasi, bakat dan ketajaman pemerhatian serta kepekaannya untuk mengolah persoalan sama ada besar ataupun kecil termasukalah apa yang ingin kita amati tentang kota dan tamadun bangsa.

Konsep Pembinaan Tamadun

Tamadun yang sama ertinya dengan perkataan Inggeris civilization lahir daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud `city' atau bandar. Bandar jelas dianggap tempat dan petanda kelahiran sesebuah tamadun atau peradaban  manusia. Ia sama dengan konsepsi Ibn Khaldun yang mengaitkan pertumbuhan tamadun manusia dengan kehidupan di bandar.
Namun begitu, kehidupan bandar semata-mata tidak dapat memenuhi ciri-ciri kelahiran sesebuah tamadun. Kehidupan mestilah dilengkapi oleh beberapa ciri lain, seperti wujudnya sistem pemerintahan atau tatanegara, munculnya sistem tulisan dan perundangan, wujudnya kegiatan ekonomi yang relatifnya maju dengan pengkhususan pekerjaan, serta tidak kurang penting, adanya mekanisme penguasaan sosial menerusi agama atau sistem kepercayaan. Dengan itu, kehidupan bertamadun mempunyai enam ciri asas seperti yang berikut:

      Menjalani kehidupan di bandar
Mempunyai sistem pemerintahan atau kerajaan
Mempunyai tulisan
Mempunyai sistem perudnangan
Mempunyai siastem kepercayan dan agama
Wujudnya pengkhususan dalam pekerjaan

Dari perspektif Timur-Islam, perkataan tamadun lahir daripada perkataan akarnya mudun dan mada'in yang kemudiannya membawa kepada madinah, yang secara hurafiahnya bermaksud bandar. Mungkin juga istilah Barat modern dipinjam daripada perkataan Arah mudun. Daripada akar perkataan mudun lahirlah nama bandar Madinah yang nama asalnya Yatrib. Konsep tamadun mempunyai kaitan yang rapat dengan konsep masyarakat madani yang mulai dipopularkan penggunaannya sejak kebelakangan ini. Madani, mudun dan mada'in  yang melahirkan perkataan madinah berasal daripada akar yang sama dalam konsepsinya yang paling mudah.
Penulis paling awal menggunakan istilah madani ialah Ibn Khaldun, ahli sosiologi dan sejarawan arab abad ke-14. Bagi beliau, istilah madani lahir daripada perkataan al-madaniyah yang membawa erti `peradaban kemakmuran hidup'. Kerana itu, tamadun bolehlah ditakrifkan sebagai sejumlah pencapaian dan pemerolehan dalam segala perlakuan, pemikiran dan pencapaian yang baik, halus, sopan santun bagi pembentukan peribadi, akhlak, tingkah laku serta budi bahasa yang mulia bagi individu dan juga sesuatu kelompok manusia yang membentuk sesebuah masyarakat  atau negara bangsa.
Sarjana sosiologi dari Iran, Ali Sariati (1933-1977) mengemukakan teori mengenai perkembangan tamadun manusia. Menurutnya ada dua perkara berkaitan dengan peranan manusia dalam membina tamadun iaitu fenomena migrasi atau hijrah sebagai faktor utama yang membawa kepada tumbuh dan berkembangnya tamadun manusia. Kedua ialah peranan manusia dalam menempa kemajuan. Dari segi sejarah dan apa yang tersurat, hijrah ialah peristiwa perpindahan ummah Islam dari Makkah ke negeri Habsyah dan ke Kota Madinah untuk menyelamatkan diri daripada seksaan kaum musyrikin Makkah yang memusuhi Nabi Muhammad S.A.W. dan agama Islam.
Dilihat secara lebih mendalam dan dalam erti yang tersirat, hijrah mempunyai prinsip dan falsafah sosial yang tertentu kerana hijrah telah melahirkan suatu tamadun baru yang besar. Daripada kajian Ali Shariati terhadap 27 tamadun manusia sejak zaman silam, beliau menyimpulkan bahawa tamadun lahir kerana penghijrahan manusia dari tempat asal mereka ke tempat baru. Sebaliknya, tidak terdapat sebarang tamadun yang lahir dan berkembang di kalangan masyarakat primitif yang tidak pernah berpindah dari satu tempat ke satu tempat lain. Di negara kita, tamadun Melaka yang lahir dan tiba kemuncaknya pada abad ke-15 juga adalah hasil perpindahan sekelompok kecil manusia dari Sumatera ke Temasuk dan akhirnya membuka Melaka sebagai sebuah negeri dan pelabuhan perdagangan. Begitu juga dengan kerajaan Melayu Champa di Vietnam, yang wujud antara awal kurun Masihi sehingga abad ke-18, ialah hasil penghijrahan rumpun Melayu dari kawasan Dunia Melayu Inti ke utara. Sejarah bertapak dan berkembangnya Islam di Afrika Selatan adalah akibat penghijrahan rumpun Melayu dari Alam Melayu ke sana mulai suku abad ke-17 sebagai hamba dan buangan politik penjajah Belanda. Pada hari ini membinaan tamadun baru Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur ialah hasil penghijrahan beberapa kumpulan etnik dari pelbagai wilayah dan daerah ke pusat tamadun baru tersebut. Malah bagi orang Melayu, semua mereka yang meninggalkan kampung halaman untuk mencari ilmu dan bekerja di kawasan lain telah pun melakukan penghijrahan. Secara langsung mereka memberi sumbangan penting untuk membina tamadun baru Malaysia pada abad ke-20. Malah kadar migrasi orang Melayu yang begitu tinggi ke Kuala Lumpur sejak 25 tahun yang lalu telah memacu pembangunan negara yang begitu pesat dibandingkan dengan apa yang berlaku di masa-masa sebelumnya.
     Prinsip kedua berhubung pembinaan tamadun dan kemajuan manusia hasil pemikiran Ali Shariati ialah pentingnya peranan manusia itu sendiri atau al-nas. Ini berdasarkan kepada ayat dari kitab suci al-Quran yang bermaksud: Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum (kaum=manusia) jika mereka sendiri tidak mahu mengubahinya. Di dalam al-Quran, Allah sentiasa menyeru, “Wahai orang-orang yang beriman…” atau ”Wahai manusia…”. Ini bermakna  bahawa MANUSIA itu sendirilah yang bertanggungjawab dan berperanan menentukan nasib hidup dan masa depan mereka; dan mereka diberi akal fikiran serta kudrat untuk berusaha mengubah serta mencorak masa depan mereka seperti yang direncanakan. MANUSIA meningkat kepada status yang lebih tinggi melalui ilmu pengetahuan serta menunjukkan dengan jelas kelebihan mereka berbanding dengan mahluk-mahluk yang lain. Mereka memiliki kebesaran dan kehormatan melalui pembelajaran, pertanyaan dan kajian, sebaliknya mereka akan kehilangan status tersebut jika mereka meninggalkannya dan mengikut jalan orang yang jahil. (Surah al-`Alaq : 1-5).     Dengan pendidikan, akan membawa manusia kepada kepatuhan dan kekuasaan, manakala kejahilan diakui akan membawa kepada kejahatan dan maruah  yang rendah.
     Keutamaan bagi manusia menurut al-Quran  adalah pendidikan. Melalui pendidikan manusia dapat meningkatkan harga diri mereka serta mendapat bukti tentang kewujudan Allah S.W.T. Malahan mereka akan menemui kebenaran dan kenyataan seluruh alam semesta, tingkat  pemikiran dan moral alam, juga nilai-nilai kuasa dan rahsia alam. Manusia juga dapat mengetahui cara bagaimana untuk mempergunakan kekayaan alam untuk kepentingan mereka. Segala rahsia alam yang tiada akhirnya  dan kegunaannya akan dapat diketahui oleh manusia melalui pendidikan, pembelajaran dan penyelidikan.

Kota, Tamadun dan Bangsa Sebuah Penilaian Penyair

Bagi penyair di mana-manapun di dunia ini, melihat kota sebagai sebuah lautan  yang sentiasa bergelombang; kadang-kadang memandang kota sebagai sebuah hutan belantara yang subur akibat pembajaan yang sempurna; ada waktunya penyair memetik bunga rahsia kota sebagai gelanggangnya bermain kata bersama segala hal yang menjanjikan makna tersendiri sebenarnya. Kota sebagai pusat kebanyakan aktiviti meriwayatkan kelangsungan kehidupan. Degupannya sering juga menyegarkan semula yang mula tenggelam malah sebaliknya tetapi kota tidak selamanya memberi kebahagiaan yang hakiki. Tetapi pada masa yang melahirkan benih dari pengamatan, penafsiran dan juga penghayatan yang menyediakan pengalaman baru kepada penyair itu dan orang lain. Dalam wacana ringkas ini, saya ingin mengenengahkan beberapa pencernaan fikrah beberapa orang penyair Malaysia mengenai pengamatan mereka mengenai kota dan pembinaan tamadun.
Seperti membina sebuah bangunan, hanya arkitek saja yang lebih memahami sturktur binaan. Demikian halnya bagi penghuni kota yang bertindak sebagai arkiteknya. Dari sajak `Arkitek Kota', Muhamad Haji Salleh merakamkan:

`hanya seniman peka
yang faham akan jiwa laut,
kenal gelombangnya,
alur sungai serta diam batu,
perasaan musim,
feel langit dan sabar bumi
berhak membina kota'

     Beginikah seharusnya pemilik kota yang mengimpikan keberadaannya begitu mengerti agar nikmat kota itu ditemui dalam kemungkinan-kemungkinan yang digambarkan. Penghuni kota harus menghargai keindahan alam kerana merekalah pewaris bagi membina keindahan iaitu sebuah tamadun. Kata Muhammad,

          pencipta kota ialah
          pendekar muda dengan langkah berbagai
          kelakar tua yang mengampungkan cerita
          orang bercinta yang perlukan bulan.
          dia pengukir ruang hidup
          penghias suasana sempurna
          membenarkan penemuan
          memungkinkan kemungkinannya.
Keutuhan bangsa berakarkan kepada kemantapan akal dan hati budi insan. Bagi bangsa yang besar, keberanian demi menegakkan kebenaran harus harus ditunjukkan. Kota menjadi benteng tetapi kota itu merupakan peribadi sedangkan dirinya adalah sebuah bangsa yang harus terus menerus membangunkan akalnya dalam cara yang membina. Kehidupan itu harus dinikmati dengan caranya bukan dendam dan tipu muslihat. Jasni Matlani dalam `Sesekali Waktu Bertemu Jebat di Kota Diriku', meletakkan keberadaban itu dengan penuh kesedaran. Katanya,

          `Ajarlah aku membuktikan kebenaran.
          Ajarlah aku menikam Karmawijaya dengan semangat keris pantun,
          syair dan gurindam. Ajarlah aku menghidupkan  di kalbuku rasa
          keberuntungan diri dan dilahirkan pahlawan.'

     Namun begitu, tidak pula disimpulkan kota sentiasa diimejkan sebagai suatu lubuk kebahagiaan semata-mata lantaran situasi yang hidup tanpa batas waktu. Kota digambarkan sebagai gua puaka yang menempiaskan warna malapetaka. Zam Ismail, dalam `Jalan-jalan Raya Kotaku', mencitrakan gambaran keserakahan warga kota yang telah melenyapkan keluhuran budi mereka.

          `Demikian etika di perjalanan
          budi luhur warga kotaku
          tidak lagi berlaku
          yang hadir adalah keserakahan
          memacu menghimpun kekuatan
          menghakis sopan santun'

     Kehidupan manusia setiap hari semakin berkembang maju. Mereka terlalu sibuk dengan mencari haluan hidup sama ada berasaskan kepada prinsip individu, keluarga atau masyarakat ataupun tidak. Kebanyakannya tidak mempunyai prisnip hidup walaupun memiliki ilmu pengetahuan yang tinggi kerana telah dibuai dengan kesenangan, kemewahan dan kepuasan hidup. Sebahagian yang lain pula masih mencari-cari satu pegangan hidup yang lebih berasas supaya segala  masalah dapat diatasi dengan sempurna.
     Perubahan demi perubahan berlaku dalam masyarakat yang dengan tidak disedari berlaku pelbagai gejala keruntuhan akhlak dan kesalahan serta jenayah. Perubahan ini menjadi satu persoalan apakah masyarakat merestui pada masa akan datang terbinanya satu tamadun baru atau tamadun materialisme yang mengenepikan  amalan kemanusiaan  dan nilai kerohanian atau ingin melihat wujudnya satu tamadun hendoisme Malaysia untuk dipraktikkan  oleh setiap anggota masyarakat menerusi budaya barat. Namun begitu, penyair sebagai mewakili masyarakatnya menjelaskan penegasannya bahawa masyarakat harus selalu diingatkan agar gejala yang berlaku itu tidak mencacatkan pembinaan sebuah tamadun yang dihormati. Abdul Rahim Tapah, dalam `Atas Nama Kita Sendiri', mengingatkan bahawa `setiap catatan tak semestinya disisi dengan mimpi'. Rahim membarakan lagi gelombang semangatnya agar kita `mematahkan seruling fantasi' yang telah meletakkan kita pada tempat yang bertambah mundur kerana terlalu dihiasi aktiviti kehidupan yang tidak membina. Katanya,

          `Lepaskan kecapi dan patahkan seruling fantasi. Ktia cipta
          lagu keriangan untuk zaman ini - lagu baru ciptaan kita sendiri.
          Rentaknya bakal merobohkan kota-kota purba dari mimpi dan
          kita abadikan ia dalam catatan sejarah atas nama kita sendiri.'

     Para penyair tidak dapat tidak menyatakan pendirian sekaligus juga melontarkan pertanyaan demi pertanyaan mereka tentang peristiwa serta pengalaman masa lalu. Bagaimana tamadun bangsa dapat dipertahankan oleh masyarakat industri yang dibiasakan oleh kemewahan. Jasni Matlani dalam sebuah sajaknya `Ketika Mendepani Sebuah Kota',12 menggambarkan satu suasana di mana:

`Puing-puing bencana bergasakan
dan para sahabatku yang berlari mengharung
sejarah dan citrawara perit. Inikah zamannya rohku tertusuk
belati tajam waktu dan jasadku mabuk bergelitan
di celah-celah dinding kaca hawa nafsu
sementara kebimbangan membelit dan menjerut akaliah.
Kaukah yang terkurung di sebuah kamar hitam
sambil menyedut debu keluar dari corong hayat
iklim terus buram, kehilangan sari warna
sukma menerjang. di sana kau akan menyaksikan
pementasan hari depan menggores midna
pancaroba bertelagah dan bersengketa dengan
ihtihad Mahmudah. Ijtihad Sabililah.'
Penutup

Amat jelas disedari bahawa kota atau bandar yang ditakrif sebagai pusat segala kemajuan bermula itu menjadikan kemanusiaan lebih bertanggungjawab terhadap pembinaan sebuah tamadun bangsa. Namun demikian seperti dijelaskan tadi bahawa kehidupan kota semata-mata tidak dapat memenuhi ciri-ciri kelahiran sesebuah tamadun tetapi dibantu oleh perletakan aspek-aspek yang menekankan ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, moral, undang-undang dan adat resam di tempat yang tinggi. Penghijrahan atau perpindahan daripada sebuah kota kepada bandar raya menjadi isyarat betapa warganya melangkah setapak lagi dalam peradaban dan kemakmuran hidup sebagaimana kata `bandar raya' itu sinonim dengan istilah `masyarakat madani'.13 Kerana itu juga taraf bandar raya bukan sekadar perubahan dan peningkatan kualiti dari sudut fizikal, tetapi kedudukan teratas bandar raya menuntut kesediaan warganya berusaha serta berazam meningkatkan kecemerlangan dari sudut ketahanan dalaman dengan kekuatan spiritual dan kemantapan dari aspek mental yang mana kedua-dua faktor ini menjadi teras kepada kejayaan sesebuah peradaban atau tamadun. Tamadun yang terkenal dalam sejarah manusia adalah hasil budaya yang sesuai dengan pembentukan dan pencapaian tamadun berkenaan.


RUJUKAN

Abdul Rahim Tapah, 1996. Tergantung Pada Kata. Kuala Lumpur: DBP.

Ariffin Arif, 2001. Kota Madani. Kota Kinabalu: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah.

Fariza Md. Sham, Sulaiman Ibrahim dan Ideris Endot, 2000. Dakwah dan Perubahan Sosial. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.

Jasni Matlani, 1996. Tergantung Pada Kata. Kuala Lumpur: DBP.

Muhammad Haji Salleh, 1982. Dari Seberang Diri. Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wan Hashim Wan The, 1997. Tamadun Melayu Menyongsong Abad Kedua Puluh Satu. Bangi:Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zam Ismail, 2000. Rimbun Bicara (Majlis Pentupan Pengucapan Puisi Dunia Kuala Lumpur - World Poetry Reading 2000). Kuala Lumpur: DBP.



IKATAN PENULIS SABAH,
KOTA KINABALU.

Ahad, September 10, 2017

SASTERA DAN KHALAYAKNYA


BEGITU dunia persuratan berkembang merentas zaman, menuntut setiap generasinya mengetengahkan metodologi-metodologi tertentu dalam karya, sehingga lahir segelintir penulis yang kaku dan lesu. Sambil merasakan terdapat kekurangan kononnya tidak memiliki acuan atau teori yang menyebabkan karyanya tidak tergolong sebagai karya yang berilmu, mengikuti jalur zaman, bermutu dan sebagainya, penulis menjadi buntu. Memang memahami teori-teori sastera merupakan suatu kelebihan kepada penulis namun apakah itu menjadi elemen yang mandatori wajib? Sudah tentu jawapannya adalah tidak.
    
Kata sesetengah orang, penulis itu tidak mungkin berhenti menulis kerana begitu dia berhenti bermakna dia berhenti berfikir. Menulis itu suatu kegiatan berfikir. Tidak ada apa dalam karyanya jika tidak ada perkara yang terhasil daripada aktiviti berfikir. Merakam peristiwa yang kemudiannya diterjemahkan sebagai bahan baca yang mengandungi elemen-elemen baharu untuk pembaca berfikir juga tidak dapat lari daripada medan berfikir.

Seorang penulis yang berjaya menyelesaikan sebuah cerpen misalnya sekali duduk, terhasil setelah ia puas atau berhempas pulas berfikir. Apakah bahan yang diperolehinya itu boleh menjadi sesuatu yang berfaedah untuk dinikmati pembaca, sudah menjadi unsur penting hingga dia merenung jauh, jauh atau dalam, dalam sekali. Hingga bila melihat pokok, telus tembus ke pokok-pokok lain, begitu juga bila melihat gunung ganang, pandangan kalbunya boleh menyeberangi ke segala ceruk rimba. Apabila merenung kegelapan malam, dia boleh memandang kelahiran esok pagi bahkan hari-hari yang berlalu lama dulu. Inilah kelebihan penulis yang berfikir.

Apakah pembaca memahami atau menerima apa yang difikirkannya, itu persoalan lain. Baik atau tidak sesebuah karya itu soal kemudian. Setelah diedar atau diterbitkan, karya itu sudah sebahagiannya menjadi yang lain, bukan seperti asal. Orang boleh membuat apa sahaja tanggapan. Puisi atau sebuah cerpen bahkan novel dan drama sekalipun, orang akan membuat tafsiran yang berbeza-beza. Jika dikatakan penulis sudah ‘mati’ setelah karyanya dibaca orang lain, ini berkaitan dengan persepsi di mana penulis menyerahkan kepada pembaca, pentelaah, pengkaji, penilai, pengkritik dan sebagainya memberikan tanggapan tanpa campur tangan penulis.

Sesetengah pembaca barangkali menekuni buku-buku ilmiah Dr. Mohamad Saleeh Rahamad tanpa masalah mungkin orang lain tidak, begitu juga karya kreatif Datuk Anwar Ridhwan, Dr. Faisal Tehrani, Dr. Ramzah Dambul, Prof Dr Siti Zainon Ismail, Lufti Ishak, Rafi Harumin, Dayangku Masturah, Jaya Ramba, Jong Chian Lai, Raymond Majumah, Siti Rahmah G Ibrahim dan seumpamanya. Orang kata ada cara untuk mencari makna sesebuah karya itu. Gunakan tanda atau perlambangan. Cari pendekatan atau aliran penulis-penulis berkenaan. Hampiri latar kehidupan penulis karya berkaitan. Dan bermacam-macam lagi, tidak payah diceritakan. Orang yang tahu asam garam dunia sastera, lebih faham apakah rahsia dalam fikiran setiap penulis. Mungkin juga memenatkan. Atau meletihkan. Bagaimana kalau penulis yang dulunya gah dalam dunia sastera, kini sudah begitu letih bersastera, melihat kegiatan sasteranya hanya sebagai kenangan, tetapi itu pilihannya untuk berhenti berfikir untuk sastera, mungkin kata orang begitu, kini arahnya mungkin di arena yang lain. Misalnya dia lebih suka lepak di kedai kopi bertemu sahabat  handainya. Mungkin menceburkan diri dalam dunia dagang atau memilih dunia politik dan dunia masjid. Sudah pasti untuk kembali ke dunia kreatif memberikan sedikit masalah. Namun tidak mustahil mereka mampu kembali walaupun barangkali agak langka. Hal ini dibuktikan dengan kelahiran karya para penulis yang diistilahkan sebagai ‘penulis muda yang berusia’ yang mampu menghasilkan cerpen serta puisi dengan baik.

Berfikir itu bukan sekadar kerana bersastera. Berhujah tentang sesuatu perkara dalam konteks yang lain juga boleh terjadi. Asasnya, sastera adalah alat atau jambatan.  Sastera ini, kata Khalil Gibran, kadang-kadang hanyalah singgahan orang yang letih berfikir perkara-perkara yang rutin. Dia melepaskan masalahnya di sana. Jadilah juga sebuah ciptaan yang dangkal dan asal siap, kurang nilai seninya, kurang diksi yang mencabar, dan inilah karya yang mungkin diterima lantaran mudah difahami. Sedangkan mereka yang benar-benar menggilai sastera yang sudah berani membenarkan pilihan diksi di luar kebiasaan, diletakkan di suatu kamar lain. Terdapat ada penulis yang ingin menulis dalam semua genre walaupun kekuatannya hanya pada satu genre. Dia menulis novel, cerpen, drama dan puisi. Bila menghasilkan puisi, karyanya tidak begitu kukuh berbanding karya-karya prosa. Nilai estetikanya kurang menyerlah, pemilihan diksinya kurang dinamik, teknik penulisannya juga kurang bertenaga.
Mengukuh kepunyaan dalam konteks mendalami bagaimana pencarian kata dan bahasa dalam penciptaan karya kreatif khususnya puisi perlu melalui fasa-fasa tertentu. Masa lalu sering menjadi harga yang berwibawa dan membaca segala peristiwa dengan tekun. Salah satu nasihat bagi pengarang muda ialah sesuatu yang mungkin sangat baharu bagi sebahagian mereka, iaitu membaca. Jika anda senang menulis, kenapa anda meremehkan apa yang sudah ditulis?

Bacalah buku apa saja untuk menangkap gaya setiap penulis. Membaca juga membuat kita tahu apa yang membuat sebuah tulisan itu bagus serta memperluas kosa kata. Tapi begitu tiba waktunya menulis, kita harus mulai dengan gaya kita sendiri. Mulailah menulis apa saja yang anda tahu. Tulislah apa yang anda alami dan apa yang anda rasakan. Itulah yang kulakukan, pesan Jasni Matlani, ketika menyampaikan perkongsiannya dalam program Suntik.

Kita tahu mana-mana penulis yang serius dan penulis yang sekadar bermain-main di lapangan itu. Penulis yang serius mungkin serius menyertai acara-acara penataran karya sastera. Bengkel penulisan novel contohnya, diawali dengan azam yang diakhiri oleh produknya. Ini pilihan para penulis yang komited. Untuk genre-genre yang lain juga demikian. Dimulai daripada yang amatur hingga yang profesional harus dipisahkan skemanya. Sudah tentu kurang terancang apabila semua peserta disuguhkan mengenai perkara yang sama sedangkan pengalaman masing-masing penulis itu berbeza-beza. Genre pilihan mereka juga berbeza. Apa yang terjadi dalam hal ini ialah persoalan untuk membezakan antara menimba ilmu dan menambah ilmu dalam kalangan para penulis. Memperbanyakkan progam pemugaran karya yakni memberikan nilai tambah kepada para karyawan yang telah diakui metodologi penulisannya wajar dilaksanakan dan sudah pasti memberikan manfaat kepada para penulis yang mempunyai wibawa yang tinggi.

Pendekatan terbaharu dalam kalangan pengurus dunia penulisan kreatif adalah dengan memberikan ilmu kepada penulis secara intensif. Dengan peserta yang relatif minimum, peserta diwajibkan memberikan latar atau sinopsis novel atau cerpen yang bakal dihasilkan. Melalui pendekatan ini, pembimbing tidak menghadapi masalah mengetengahkan hasil bengkel kerana para penulis telah menunjukkan iltizam mereka untuk menzahirkan apa yang mereka telah fikirkan.

Bagaimana dengan penulis baharu? Sudah sampai masanya diutarakan pendekatan yang lebih holistik agar tidak berlaku anggapan ada penulis yang diabaikan. Dengan kata-kata lain, sewajarnya digembelingkan usaha penjabaran ilmu penulisan ini dari bawah. Program penataran sastera kreatif di peringkat remaja harus dihidupkan semula. Ini tidak berhenti setakat ini tetapi membawa mereka yang berbakat dan berpotensi itu mendalami lagi dunia penulisan kreatif pada tahap yang kedua seterusnya tahap-tahap yang lanjut. Pendekatan yang lain memberikan ruang kepada karya-karya mereka disiarkan dalam media massa. Penulis-penulis ini digalakkan berguru yakni menyertai mana-mana program penataran. Melalui program Suntik pula juga boleh membantu melahirkan penulis-penulis yang berwibawa.

Peranan dunia persuratan dalam kalangan generasi muda cukup bermakna, sebab itu generasi muda yang meminati dunia penulisan kreatif harus diberikan perhatian. Sikap mandiri dan ingin berdikari mengikut rentak fikiran serta hal tuju generasi yang mahukan kebebasan, hak memasarkan buah fikiran yang menyimpang daripada kebiasaan, sewajarnya dielakkan atau disempitkan jurangnya. Gerakan sastera kita harus terus disemarakkan melalui aktiviti-aktiviti bersama orang ramai yang relevan seperti pelajar sekolah, guru-guru dan ini perlu diperluaskan lagi. Misalnya berada dalam kalangan masyarakat desa menerusi masjid atau surau dan dewan-dewan orang ramai ketika mereka mengadakan program-program rakyat.

Seperti disiplin-disiplin yang digemari masyarakat, sastera juga perlu kelompok-kelompoknya yang tersendiri. Bukan semua individu dalam sesebuah masyarakat menyukai aktivti-aktiviti sastera. Maka pendekatan bersama mereka perlukan pelaksanaan yang lebih teratur. Yakni mengenalpasti setiap perancangan menepati sasaran. Para penulis juga perlu mengetahui hala tujunya. Objektifnya menulis untuk apa. Mungkin ada lagi, terserah kepada anda. Mahu menimba atau menambah ilmu itu jangan alang kepalang. Barulah sasaran gerakan sastera yang ingin dicapai sampai. Mudah-mudahan.

PUSTAKA IQBAL NAZIM