Sabtu, Ogos 05, 2017

MEMBACA, MENGUKUR TARA NILAI PUISI


Oleh: Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
SEMASA membaca dan memaknai puisi, umumnya pembaca selalu menggunakan beberapa ukuran. Di tangan pembaca biasa ada ukurannya yang tersendiri. Di tangan pembaca tegar juga demikian. Begitu juga di tangan penilai karya sastera malah mengakarkan ukur tara yang lain pula. Ukur tara penilaian atas keaslian, kebenaran, kualiti dan keindahan puisi sesungguhnya pelbagai dan beragam.

Apabila suatu ketika kita memiliki waktu senggang dan mengisinya dengan membaca puisi, mungkin kita akan memperoleh kesan selama membaca dan setelah selesai membaca puisi tertentu. Kesan itu akan sangat bergantung pada minat dan tujuan yang hendak dicapai: mungkin untuk mendapatkan hiburan ringan yang segar, untuk melepaskan fikiran yang kacau, dan membaca puisi yang memenuhi keinginan; mungkin kita akan menyimpulkan bahawa puisi itu tergolong sebagai puisi yang baik, indah dan berkualiti. Diam-diam, kita telah menggunakan sebuah ukuran yang bersifat peribadi dan subjektif yang berdasarkan kesenangan. Ukuran serupa itu disebut ukuran kesenangan.

Ada waktunya kita ingin lari daripada pelbagai kemelut di sekitar untuk bersendirian; mencari jarak dan tidak terlibat dalam persoalan yang rumit; persoalan yang tidak mungkin diselesaikan secara mudah oleh kita sendiri. Dan dalam diri kita itu menunggu sekian banyak kerinduan, kerinduan yang mendamba perasaan, yang menunggu pengucapan; menunggu bahasa kita sendiri menyuarakannya. Apakah ia dinamakan kesenian, keindahan, puisi atau hanya sebuah catatan biasa, terserahlah istilah apa yang hendak kita gunakan. Penulis, pengarca, pelukis, pemuzik, eseis, malah penari pun selalu merindukan kesendirian itu sebagai yang paling berharga, iaitu untuk mendengar bisikan hati kita sendiri di tengah-tengah kesibukan dunia.

Sayangnya kata-kata yang tersusun, walaupun menjadi bahasa pengucapan, tidak mungkin pula mengungkapkan kerinduan dan keindahan itu, kerana kata-kata begitu ia menjadi sebuah teks, ia adalah suatu realiti yang lain. Kata-kata pun bergantung maknanya dengan merujuk kepada kata-kata lain, dan bukan kepada realiti dalaman yang dilambangkannya. Teks puisi dan realiti adalah dua kewujudan yang berbeza, dan pengarang terpaksa membebaskannya untuk ditanggapi pembaca dalam acuan persepsi dan tafsirannya yang merdeka.

Puisi secara definisi mudahnya merupakan ‘satu entiti bahasa perasaan yang terungkap pada darjat bahasa yang paling tinggi’. Di dalamnya tergumpal limpahan perasaan yang diungkapkan melalui bait-bait kata yang mulus. Puisi yang lahir dari jiwa dan disuburkan oleh perasaan akan mengalir ke dalam jiwa masyarakatnya bagai air jernih di kolam.

Seperti takrifan William Wordsworth: "Puisi bersumber daripada limpahan perasaan yang kuat secara tiba-tiba. Bersamanya ada rentak, ada kata, dan ada perasaan yang dihubungkaitkan melalui bahasa yang dalam lagi pukal.''

Sebenarnya, puisi harus ditentukan oleh sifat-sifat dan bentuk yang berautonomi. Puisi yang memerlukan masa untuk difahami lazimnya akan bertahan lebih lama kerana bersandarkan nilai perasaan dan intelek penciptanya. Lambat-laun ia akan berupaya menjadi puisi yang bermutu dan berkesan.

Dr Ramzah Dambul dalam prakata bukunya ‘Deja Vu Cinta Pencari Katarsis’ merungkaikan bahawa puisi bukan sejenis wacana atau hikayat. Yang mana penulis diberi kesempatan yang cukup luas untuk memberitahu pembaca, secara panjang lebar, apa yang mereka belum tahu dan perlu tahu. Puisi cuma satu naratif pendek yang cuba mengajak pembaca berkongsi rasa emosi yang mengalir secara natural. Puisi tidak dituntut berhujah, kecuali jika genre ini sengaja dipesong menjadi prosa bertele-tele.

Percaya dan yakinlah, betapa sekalipun ringkas sesebuah puisi itu, ia tetap memiliki roh tersendiri. Bersamanya terpancar aura minda dan arca keintelektualan penciptanya yang memacu bahasa sebagai medium perantaraan antara karya dengan masyarakatnya.

Justeru, sekalipun bahasa yang digunakan oleh pemuisi agak sukar difahami, kita tidak harus terlalu mudah meletakkan puisinya sebagai tidak jelas apatah lagi sebagai karya yang kabur. Bukankah daya sensitiviti setiap individu itu berbeza?

Acap kali kita mendengar keluhan bahawa puisi sukar sekali difahami, sulit dihayati, atau payah dimaknai sehingga jika menemukan puisi yang menurutnya sulit difahami dan dihayati lantas menilai bahawa puisi itu kurang bagus dan bermutu rendah. Jika anda berperilaku seperti itu, diam-diam anda telah menggunakan ukuran menilai puisi berdasarkan kemudahan memahami, yang disebut 'intelligibility'. Ukuran mudah memahami tidak dapat digunakan sepenuhnya dalam menilai suatu puisi kerana puisi yang bernilai tinggi memang memerlukan pemusatan fikiran dan pengerahan pengalaman batin serta wawasan keilmuan yang memadai tentang aspek-aspek puisi.

Seseorang mungkin saja tertarik pada sebuah puisi kerana puisi itu mengungkapkan pengetahuan atau pengalaman baharu, atau sebaliknya ada seseorang yang tertarik pada puisi yang mengungkapkan sesuatu yang sudah dikenalinya, yakni sesuatu yang berada dalam pengetahuan dan pengalamannya, maka diam-diam seseorang itu telah menerapkan ukuran pragmatis. Ukuran pragmatis bersandar pada kesenangan, kemudahan memahami, tema puisi sesuai dengan selera, pengetahuan dan pengalaman pembaca.

Selain ukuran pragmatis, ada ukur tara yang disebut ukuran didaktis. Ukuran didaktis ini bersandar pada sebuah anggapan bahawa puisi yang indah dan berkualiti ialah puisi yang mampu memberikan nilai positif, yang menyampaikan pesan pembinaan moral dan keperibadian, serta meningkatkan taraf kematangan pembaca.

Ukur tara lain yang kerap dipakai untuk menilai keindahan dan kualiti puisi ialah ukur tara ekspresi. Di dalam pelaksanaannya, ukuran ini selalu dihubungkan dengan keaslian dan kejujuran. Masalah keaslian dan kejujuran ini tentu saja mengandung dan mengundang masalah rumit. Kejujuran di sini ialah kesungguhan dan kedalaman fikiran penyair dalam menyatakan suatu konsep. Penyair hendaknya memperlihatkan kepada pembaca bahawa hasil kreatifnya merupakan pemikiran dan pendalaman persoalan yang ingin diungkapkan melalui puisi. Ukur tara lain yang juga diterapkan untuk menilai kualiti dan keindahan puisi ialah ukuran kebenaran. Puisi yang memiliki kebenaran mampu membayangkan atau mencerminkan kehidupan atau peristiwa kehidupan yang ada kebenaran dan dalam konteks ini ialah kebenaran yang ideal.

Dari berbagai rujukan dan pengalaman, terdapat juga beberapa ukuran terhadap puisi yang berkualiti. Pertama, berkait dengan puisi yang komunikatif. Banyak puisi yang dipandang kurang berkualiti lantaran kurang komunikatif terutama sekali puisi yang menggunakan simbol peribadi. Perihal 'komunikatif' ini harus disikapi secara lentur, sebab semua puisi yang komunikatif mudah jelas sebagai tidak berkualiti. Pengertian 'komunikatif' ini hendaklah difokuskan kepada bentuk interaksi-dialektif, pesan komunikasi itu tertangkap namun tidak semuanya difahami kerana puisi selalu menyimpan misteri dan jarak pemaknaan. Puisi yang mampu menggoda pembaca untuk terus mendedahkan pesan komunikasi, akan tergolong puisi komunikatif yang berkualiti.

Puisi yang berkualiti turut menunjukkan adanya keteraturan. Keteraturan puisi bergantung pada sistem puisi, kod bahasa, pengemasan pesan, penggunaan peranti keindahan bahasa dan kedalaman makna pesan. Ada keteraturan antara bahasa sebagai alat pemapar dan isi pesan yang dipaparkan. Stylistika, retorika, etika menjadi benang merah yang mewarnai puisi yang teratur. Bagaimana pun juga selain cerdas bergaya, beretorika, juga mampu mengemas pesan yang indah. Puisi-puisi Kemala dan Sapardi Joko Damono bahkan A.Samad Said boleh menjadi model terhadap kenyataan pesan indah ini.

Seterusnya, setiap puisi yang berkualiti menunjukkan adanya integrasi semua unsur, aspek, dan komponen pembentuk puisi. Di dalam puisi berkualiti terdapat keserasian antara isi, bentuk, bahasa, dan ekspresinya. Integrasi atau perpaduan antara isi, bentuk, bahasa, dan ekspresi ini menjadi pertaruhan bagi puisi berkualiti.

Sebuah puisi berkualiti juga lahir kerana adanya penemuan. Seperti ilmuan dihargai oleh masyarakat lantaran penemuan ilmiahnya yang baharu sehingga memperkaya ilmu, maka penyair yang hebat akan sanggup menawarkan adanya penemuan. Penemuan di sini mungkin berhubung dengan estetika, pola pengucapan, teknik pemaparan, dan pengemasan pesan yang mempesona. Penyair yang benar-benar intens, serius, dan mampu menjelmakan sikap, visi dan misinya dalam ekspresi yang tepat di dalam puisi-puisi yang digubahnya turut tersangkut melahirkan kualiti tersendiri. Puisi berkualiti memiliki kadar ekspresionisme yang tinggi sebagai realisasi kepekaan penyairnya. Elok barangkali kita menelaah puisi-puisi mistik penyair Suhaimi Haji Muhammad untuk menangkap penemuan-penemuannya.

Melalui penemuan yang baharu mampu memberikan penghiburan spiritual, batiniah, rasa senang, puas, mempesona, dan mungkin membius pembacanya. Jika ada pembaca yang larut ke dalam puisi, itu pertanda puisi berkenaan memiliki kualiti. Puisi berkualiti tidak pernah membosankan saat dibaca, waima membacanya berulang kali. Siapa tahu satu hari nanti, lahir penulis unggul dengan karya-karyanya yang unggul lalu mengungguli gelaran ‘Raja atau Ratu Penyair’ yang ingin kita capai. Insya Allah.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

CIRI PUISI ISLAM YANG BAIK


Sifat penulisan dalam Islam seperti yang ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi rahimahullah - "Gabungan isi kandungan yang luhur dengan bentuk yang luhur". 

Hal ini termaktub dalam Al-Quran dalam surah Ibrahim:

Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: Kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Ia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup. Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri) dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya. (14:24-27) 

Kesusasteraan yang demikian hanya dapat ditulis oleh para penulis yang mempunyai akhlak yang baik, beriman dan mengerjakan amal soleh serta mempunyai pengetahuan yang mendalam dalam bidang agama. Al-Quran mengutuk penulis-penulis yang berbohong, munafik, yang bermain dengan kata-kata tanpa sebarang tujuan atau dengan kata lain sekadar menginginkan populariti semata-mata. Kutukan itu terkandung dalam ayat-ayat yang berikut: 

Mahukah Aku khabarkan kepada kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun? Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa, Yang mendengar bersungguh-sungguh (apa yang disampaikan oleh syaitan-syaitan itu), sedang kebanyakan beritanya adalah dusta. Dan penyair-penyair itu, diturut oleh golongan yang sesat tidak berketentuan hala. Tidakkah engkau melihat bahawa mereka merayau-rayau dengan tidak berketentuan hala dalam tiap-tiap lembah (khayal dan angan-angan kosong)? Dan bahawa mereka memperkatakan apa yang mereka tidak melakukannya? Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh (dari kalangan penyair-penyair itu) dan mereka pula mengingati Allah banyak-banyak, serta mereka membela diri sesudah mereka dianiaya dan (ingatlah), orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman, akan mengetahui kelak, ke tempat mana, mereka akan kembali. (2:221-227) 

Intisari ayat-ayat dalam dua kutipan daripada Al-Quran ini jelas menunjukkan bahawa kaum penulis, dalam Islam, diwajibkan membentuk peribadi yang sempurna berasaskan konsep insan yang diajarkan oleh wahyu dan pada waktu yang sama ia harus menentukan isi kandungannya tidak melanggar batas-batas syariat, dan dengan menjadikan kalimah tayyibah sebagai pegangan dalam berkarya. 


Bibliografi:
Pendidikan estetika daripada pendekatan tauhid, Mohd Affandi Hassan

KRITIKAN SASTERA (Fungsi dan Ukur Tara)

FUNGSI KRITIKAN SASTERA

Wiliam K. Wimsatt & Cleant Brooks dalam bukunya bertajuk Literary Criticism: A Short History (1974) menjelaskan bahawa setiap hasil karya sastera sentiasa diharapkan dapat memberi panduan, membentuk pemikiran yang cerdas dan menjernihkan pertumbuhan pemikiran yang kritis.

Dengan kata lain, fungsi kritikan sastera menurut Wimsatt dan Brooks adalah untuk memberi panduan kepada pengarang dan juga pembaca dalam proses pengkaryaan di samping membentuk pemikiran yang cerdas dan kritis dalam kalangan pengkritik dan pembaca.

Fungsi-fungsi lain adalah seperti berikut:

1. Memperkenalkan dan mempromosikan karya sastera yang baharu dihasilkan untuk menimbulkan minat pembaca serta menghayati sesebuah karya itu.

2. Agar dapat membezakan karya sastera yang baik dan bernilai dengan karya yang tidak baik dan tidak bernilai. Ini diharapkan dapat membantu para penulis memperbaiki lagi karya daripada karya sebelumnya.

3. Untuk menimbulkan minat khalayak terhadap karya sastera apabila sesebuah karya sastera dinilai dan diterbitkan di akhbar, majalah atau jurnal. Pada masa yang sama membantu pembaca memahami dan menghayati sesebuah karya sastera yang dibaca dengan lebih jelas dan mendalam.

4. Kritikan sebagai penghubung antara penulis dengan khalayak sastera. Penulis sebagai penghasil karya manakala khalayak sastera sebagai penikmat, sementara pengkritik sebagai penghubung.

5. Membetulkan salah faham terhadap sesebuah karya sastera yang dihayati. Kritikan dapat merancakkan lagi perkembangan sastera Melayu khususnya apabila wujud pandangan, pendapat, pertimbangan, penilaian, pentafsiran dan pengadilan terhadap sesebuah karya sastera. Akhirnya dunia kritikan menjadi lebih menarik dan menjauhkan angapan-anggapan negatif pengkritik sebagai 'pembunuh penulis dan karyanya' dan mengetepikan pandangan bahawa pengkritik sebagai musuh para penulis.


UKUR TARA KRITIKAN

1. Ukur Tara Kebenaran - berasaskan ketepatan yang terdapat dalam karya sastera serta ketepatan yang terdapat dalam realiti kehidupan. Hal ini sesuai dengan pendekatan sastera sebagai dokumen sosiobudaya yang berasaskan kepada sastera sebagai ‘refleksi daripada realiti’. Bermaksud: karya sastera dilihat sebagai mencatat kenyataan sosiobudaya sesuatu masyarakat pada suatu masa tertentu. Ini yang penting: karya sastera tidak didlihat sebagai suatu keseluruhan.

Contoh:
(a) Hikayat Faridah Harum - Emansipasi wanita
(b) Nyawa di Hujung Pedang - Kekejaman Jepun

Hal ini ada hubungan dengan karya sastera sebagai satu peniruan. Pengarang akan meniru segala yang terdapat daladm kehidupan dan dijelmakan kembali dalam karya sastera.

2. Ukur Tara Keseronokan dan Pengajaran - digunakan dalam menilai sesebuah karya sastera yang bersifat tindak balas emosi atau perasaan pembaca terhadap karya sastera tersebut. Penilaian ini berdasarkan keseronokan dan pengajaran yang diperolehi oleh seseorang pembaca apabila meneliti sesebuah karya sastera. Ini juga ada kaitan dengan nilai-nilai kebaikan dan moral yang sesuai.

Pengkritik juga akan meneliti sejauh mana karya sastera memberikan kepuasan kepada pembaca. Kepuasan yang dimaksudkan ialah kepuasan yang diperolehi seseorang pembaca apabila membaca sesebuah karya. Bermaksud, setelah membaca apakah wujud reaksi rasa puas terhadap watak atau jalan cerita yang ditampilkan penulis dalam sesebuah karya.

3. Ukur Tara Keaslian - akan melihat penulis menghasilkan bukan sahaja baharu tetapi juga menampilkan keaslian yakni tidak meniru cara penulisan pengarang lain. Dalam konteks ini seseorang penulis atau pengarang mampu memperlihatkan keindividualisme. Dengan kata lain, penulis berkenaan menampilkan gayanya yang tersendiri. Ini berkaitan juga dengan identiti seseorang penulis dalam genre sastera yang dipilihnya. Menurut Mana Sikana berdasarkan Teori Teksdealisme, jika seseorang pengarang berupaya memperlihatkan keindividualismenya, maka karya yang dihasilkannya telah memperlihatkan keunggulannya.

4. Ukur Tara Kualiti - penelitian terhadap keupayaan seseorang penulis menghasilkan sesebuah karya sastera dengan mengadunkan semua elemen yang membina sesebuah karya sastera. Misalnya dalam penulisan puisi, penulis berupaya mengadunkan elemen-elemen berkaitan pembinaan sesebuah puisi seperti gayabahasa, tema, bentuk, pemilihan diksi dan sebagainya.

Jumaat, Ogos 04, 2017

DEFINISI PUISI MENGIKUT PARA PENYAIR SABAH



JASNI MATLANI
Sesungguhnya menulis puisi bagi saya selalu menghadiahkan kepuasan yang lain berbanding menulis cerpen atau novel. Dalam kepadatan kata, saya merasa seperti melakukan perjalanan jauh mencari diri. (Dongeng Perkebunan)

RAMLI A.R.
Menulis puisi bukanlah perkara mudah. Dalam kesukaran itulah hadirnya pengalaman yang indah dan menyegarkan. Kemampuan untuk mencipta tetap ada dalam setiap diri kita, selagi kita mampu memberi nafas kepada setiap pengalaman yang pernah kita lalui. Pengalamanlah yang menjadi nafas utama kepada mesej puisi-puisi saya. (Negeri Wangi)

DR RAMZAH DAMBUL
Puisi datang dari segumpal perasaan yang maha dalam. Kemudian penyairlah yang memilih kata-kata untuk menzahirkan perasaan itu, dengan hasrat orang lain juga akan turut merasakannya, sedalam yang dirasai penyair sendiri.

Puisi bukan sejenis wacana atau hikayat. Yang mana penulis diberi kesempatan yang cukup luas untuk memberitahu pembaca, secara panjang lebar, apa yang mereka belum tahu dan perlu tahu. Puisi cuma satu naratif pendek yang cuba mengajak pembaca berkongsi rasa emosi yang mengalir secara natural. Puisi tidak dituntut berhujah, kecuali jika genre ini sengaja dipesong menjadi prosa bertele-tele. (Deja Vu Cinta Pencari Katarsisi)

NIM YORZA
Ketika menyiapkan himpunan pusi yang dimuatkan di dalam buku ini, aku hilang dalam diri sendiri. Menikmati keindahan gugusan kata dan makna demi mewujudkan aku yang lain di dalam potongan-potongan ayat. Ya, aku hanya ingin hidup selamanya. Hidup di alam kata-kata, di dalam buku-buku yang akan kekal zaman berzaman. Aku ingin kekal hidup dalam ingantan insani bersama mengeksplorasi pemikiran yang digarap lewat tulisan. Aku tidak semestinya benar, namun tidak juga selalunya salah. (Hijab Merdeka)

NORAWI HAJI KATA
Menulis puisi merupakan satu tuntutan jiwa yang perlu diteruskan untuk tatapan diri dan juga khalayak pembaca. Bagi saya, puisi bukan setakat gambaran emosi semata, tetapi gambaran pengalaman penulis di sisi masyarakat di mana alam sekeliling sebagai pentasnya. Saya amat seronok jika mengalami kesepian dan memang benarlah dikatakan bahawa sepi itu indah kerana ia sebagai pendorong untuk saya terus menulis puisi. Saya amat gemar menyendiri, tetapi ada ketikanya saya amat gemar menghayati telatah manusia yang pelbagai. (Akta Batin)

SAHARA JAIS
Puisi seakan-akan menjadi tilam empuk kepada saya. Melenakan dan melegakan rasa. Zahirnya, paling tidak menjadi terapi merawat kesedihan atau kedukaan dan paling tidak menjadi suatu catatan yang menceritakan sirah atau perjalanan kalbu dalam dunia nyata. Segala ciptaan dan anugerah Allah menjadi inspirasi dan ilham yang akhirnya menjadi barisan kata-kata semanis halwa. Sesuatu yang aneh kerana nukilan puisi merupakan ilham yang misteri. Datangnya ungkapan-ungkapan yang tidak disangka-sangka dan perginya tidak akan datang semula. Ia jatuh seperti kelopak mawar lembur di tanah fikir, pergi seakan-akan bayang-bayang yang tidak tergenggam oleh jemari. (Jelita Seorang Aisyah)

HASYUDA ABADI
Puisi adalah sebuah mitos kecil tentang kemampuan manusia untuk membuat hidupnya bermakna. Puisi, pada akhirnya, bukan sesuatu yang kita lihat malah yang lebih tepat, puisi adalah cahaya yang membuat kita melihat sesuatu lebih jelas dan sesuatu itu hidup. Puisi harus sentiasa hidup dalam kehidupan. (Kembali di Lahad Rahsia)

ZAITON AJAMAIN (DATUK HAJAH)
Saya lebih senang menulis tentang diri dan Tuhan. Mungkin kerana sebagai insan-Nya, saya dalam proses mengenal dan mendekati-Nya, untuk selanjutnya mengenali diri. Saya lebih senang apa saja getar dan genta rasa yang dilalui oleh sukma, apa yang berlaku di sekeliling yang menyentuh diri, sahabat-sahabat yang akrab dan keluarga. Inilah domain saya. Sebagai seorang penyair beragama Islam, saya rasa dalam menghasilkan karya, di saming mementingkan kualiti yang tinggi, kita perlu mendekati dan memahami serta menyampaikan kebenaran. Inilah juga tuntutan Islam. Allah telah mengurniakan kita keistimewaan akal, maka kita sebagai insan-Nya hendaklah memanfaatkan sepenuhnya dan sebaik mungkin.

Rasa insaf dan sedar bahawa daya cipta, imaginasi, akal dan intuisi saya bukanlah ciptaan saya semata, tetapi anugerah Allah S.W.T yang perlu dianggap sebagai asset yang diamanahkan ke atas saya dengan penggunannya yang perlu dipertanggungjawabkan pula pada hari kemdian, memungkinkan saya akhirnya menghasilkan puisi-puisi yang berusaha mengungkapkan kerendahan hati atau rasa tawaduk, menghindarkan diri dari rasa kepongahan. (Bagai Layang-Layang)

MABULMADDIN SHAIDDIN
Puisi ialah pernyataan-pernyataan singkat tentang fikiran dan perasaan mengenai apa yang sedang dialami. Puisi merupakan bentuk-bentuk ujaran yang istimewa yang tidak mengkehendaki apa pun pandangan individu lain.


Rabu, Ogos 02, 2017

BELAJAR MENULIS SAJAK YANG BAIK

Apabila orang bertanya bagaimana untuk menghasilkan sajak yang baik, saya turut diminta menulis hal-hal kecil dan mudah untuk penulis baru atau pemula dalam menghasilkan sebuah sajak yang tidak terlihat klise.
Walhal sebenarnya tiada kerangka khusus dalam menulis puisi kepada pemula.
Pada dasarnya puisi adalah kreativiti seni, dengan penggunaan bahasa yang berkualiti pada estetika atau semantiknya. Seperti pelukis melahirkan seninya di kanvas, maka penyair menuang kata-kata dengan permainan diksi. Yang penting anda tahu bermain dengan persekitaran dan isu sebagai sumber inspirasi.
Menulislah berterusan disamping banyakkan membaca karya atau puisi yang bagus-bagus sama ada berbentuk biasa atau luar biasa, yang kaya dengan diksi bombastik atau yang bersifat penuh ambiguiti. Kemudian cubalah gali diksi tersebut perlahan-lahan dengan membacanya berulang-ulang.
Endaplah dahulu tulisan pertama anda beberapa jam atau beberapa hari, suntinglah berkali-kali sehingga anda menemukan diksi dan skruktur puisi yang lebih cocok.
Menulislah puisi dengan gaya tersendiri, anda cuma perlukan perasaan, atau debar-debar emosi serta suasana. Kerana puisi juga pada dasarnya adalah emosi sang penyair. Suasana yang anda bangunkan akan melahirkan tema yang anda kehendaki ketika itu; sama ada bersifat lucu, marah, sedih, mistik, romantik, kritis atau berbentuk kritik sosial.
Menulislah puisi dengan bebas, jangan terikat atau terikut dengan rima, walaupun sebahagian penulis puisi menekankan rima sebagai kecantikan dalam puisi. Tetapi percayalah terlalu berima pada puisi akan melahirkan puisi yang sakit dan terlalu ‘old fashion’.
Namun saya juga percaya rima yang sedikit, terbentuk dan mengalir tak terpaksakan tetaplah elok, molek duduk simpuhnya. Terlalu banyak rima akan membuat puisi anda lemas, terpaksakan dan kehilangan pola. Ini sangat berbeza dengan pola puisi klasik yang sememangnya mahal dengan rima dan adalah sesuatu yang semestinya ada.
Anda juga kena bijak bermain dengan majas dan metafora. Seringlah menjadi pemikir pada ruang-ruang yang ada untuk sinonimkan dengan metafora dan deskriptif. Seperti menyamakan perasaan gembira anda dengan fenomena alam. Bunga-bunga bermekaran atau bulan purnama. Atau melahirkan hati yang rawan dengan bulan pucat pasi.
Kerana puisi haruslah dikuasai pemilihan kata berlaras tinggi dan tidaklah sama dengan ungkapan seharian atau penulisan di buku maupun novel. Puisi dengan susunan kata yang indah, dan memiliki maksud mendalam akan membuat pembaca larut ketika menikmatinya.
Bagaimana yang dikatakan ayat biasa dibolak-balik akhirnya menjadi luar biasa dan terkesan kepada pembaca di dalam sebuah puisi?
Contoh:
Aku mendayung perahu ke hulu – ayat biasa
Perahuku berkolek ke hulu – daripada ayat biasa menjadi luar biasa hanya dengan pemadatan kata dan kata ‘mendayung’ ditukar kepada ‘berkolek’
Bagaimana pula diksi yang dikatakan lewah atau pengulangan kata yang tak perlu?
Air matamu seperti air hujan
– Hujan adalah air, jadi elakkan mengguna kalimah air ketika menggunakan kata hujan.
Angin semilir mengelus pipimu
– Semilir adalah angin dan angin adalah semilir. Hanya perlu memetik salah satu daripadanya.
Untuk pembelajaran lebih jauh, beberapa struktur puisi yang perlu anda tahu:
1. Diksi (pemilihan kata)
Sangat penting pada puisi dalam menyampaikan gagasan yang tepat dengan pemilihan kata yang luar dari lingkungan biasa.
2. Tipografi (pewajahan)
Sesuatu yang membezakan sajak, prosa atau balada adalah tipografinya. Namun perkembangan semasa membuat puisi berevolusi sesuai dengan peredaran zaman. Secara ringkas tipografi adalah penampilan fizikal puisi secara visual selain menampilkan nuansanya serta menarik minat pembaca menikmatinya.
3. Pemadatan Kata
Ini adalah ciri khas puisi dan penting diambil perhatian oleh pemula kerana puisi akan gagal bila berlaku pembaziran kata. Puisi memiliki kekhasan dalam diksinya. Satu kata dengan banyak makna sesungguhnya melautkan puisi tersebut. Dengan lain kata; satu makna yang padat dengan kata-kata akurat.
4. Imaji (susunan kata)
Adalah kemampuan penyair membentuk imaginasi dan pencitraan yang digambarkan seolah-olah pembaca turut melihat, mendengar, dan merasakan nuansa yang dibawakan dalam sajak tersebut.
5. Ton Dan Ritma (bunyi dan irama)
Bunyi dan irama atau tempo sangat berperanan dalam puisi. Bunyi akan menghasilkan tempo, keras-lembut, tinggi-rendah, pendek-panjang, sedih-gembira dengan tujuan menciptakan gelombang yang dapat memperindahkan sebuah puisi. Gaya bahasa dengan ritma yang indah akan menghasilkan kemerduan bunyi dalam puisi yang tak dapat didengar tapi dirasakan.
6. Licentia Poetica (lesen puisi)
Sesuatu yang jarang diperkatakan, dan paling enak pada saya kerana licentia poetica adalah kebebasan penyair berekspresi dan memanipulasi kata hanya sebagai menimbulkan efek dengan melanggar dan menyimpang dari kaedah tatabahasa yang sesungguhnya dalam ranah kepuisian. Maka di sini penyair adalah Tuhan.
Semoga para pemula mendapat manfaat dengan tulisan kecil ini.
Saya akhiri dengan puisi kecil untuk anda menebak-nebak hasil dari pemadatan kata namun rimbun pemaknaannya:
“Di seberang hujan,
engkaukah yang memetik dingin?
sedang rinduku diamuk gigil”
– Roketkini.com

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Julai 30, 2017

K A L A U S A Y A T A N A H A D A L A H K I T A


kalau saya 
tanah adalah kita
tetapi tanah bukan kita
katamu tanah itu jiwa  
menjaganya seperti
menjaga raga kehidupan
dan berjuang mempertahankan

kata-kata jihad
bergadai keringat 
sayang kalian tetap saja
melupakan wasiat keramat
nenek moyang yang bermatian
pantang seinci membelah keturunan

apakah ini bahasa basi
mengingkari pesan zaman
harga diri tak lagi tanah ini
masa depan adalah pembangunan
melebarkan daratan 
mengecilkan
pantai dan pesisiran

tanah jadi peluang ukuran kemajuan
namun kau kata jiwa
tanah ini jiwa kita
warga desa terus mengurus
masa depannya 
jiwa yang membesarkan keluarga
masyarakat dan bangsa
dan negeri 
basa basi ditulis di hujung mimpi
berjabat gimik segenggam janji.

ini tanah adalah kita
bagaimana ia sering ringan
dalam perbahasan 
segulung kertas tanpa jaminan
begitu berzaman menjejak impian
musim yang lazim bakal datang
fahamlah kumandang suara
paling bisa menusuk rasa.

seperti katamu tanah adalah jiwa
adalah pertiwi
kalau saya tanah adalah kita
saat segalanya telah tiada dan sirna.


Pustaka Iqbal Nazim 
Kg Gudon Manggatal.
17.4.2016

KEARIFAN SASTERA


Karya: Hasyuda Abadi
hasyuda@gmail.com
sastera menjadi sanjungan
apabila meletakkan kearifan
pada unsur-unsur tempatan

diceritakan satu persatu
ligat giat para peneraju
mencari satu demi satu

sastera dilambung julang
diperaga intinya
diteroka setiap urat asalnya

busana diheret ke depan
ukiran dilakar kesan zaman
fikiran digubah mengangkat keturunan


kearifan telah mekar berzaman
bagai bunga yang dilupakan
kini diawet seribu kemungkinan

betapa mahalnya suatu bangsa
yang kaya kearifan budaya
kini dicetera seluruh empunya

sastera pelancong
dijinjing pelancong sastera
agar terakbar seluruh buana

menjadi arif kearifannya
arif zahirnya arif kalbunya
arif fikir arif tekun ilmunya.


Pustaka Iqbal Nazim
Kampung Gudon
Menggatal

5 Jun 2015

K A L A U A K U J A D I Y B


Sebelum itu, mungkin tersilap
sebab memilih rakyat
memilihku wakil mereka

sekarang aku digelar YB
yang berhormat (ketawa)
sebab menang pilihan raya

malah cuma 5 undi bezanya
atau meski satu undi sesiapa jua
diisytihar spr sebagai pemenang

cuma YB ini lain dari biasa
dipilih oleh rakyat itu biasa
ini pula rakyat yang bagi tempat

mereka kumpul duit lunas deposit
buat tabung tampung medan berkempen
pekerja bekerja semulia hati

menang kalah bukan utama
dakwah syariat dan perjuangan
kental jati diri berwibawa menggempur lawan

jadi YB bukan untuk dihormat
dalam dewan hanya protokol dan adab
di dalam rakyat aku tetap rakyat

aku hanya saudara bagi kamu
rakyat majikanku kerana bekerja buat mereka
tak harus bangga hanya kerana menang pilihan raya

mengurus jiwa rakyat
itulah kemenangan sebenarnya
lebih lama bukan seminggu dua

kerana rakyat yang menyokong
ribuan di gelanggang dan dalam peti undi
aku patut enggan dipanggil apa-apa lagi

kalau betul YB ini diberikan
bukan kerana aku istimewa
justeru kuasa rakyatlah jua lebih berbisa

jangan alpa kuingatkan diri
kalaulah tersilap memilihku berada di  sini
hanya rakyat yang tahu menghargakan diri.

Pustaka Iqbal Nazim,
Sabah.

5 Jun 2016