Sabtu, Disember 31, 2011

Bermula Daripada Ejaan


SAYA tidak akan bermula dengan mengatakan bahawa memahami sesuatu daripada huruf-huruf sebenarnya bukan huruf-huruf itu tetapi ejaan. Huruf-huruf hanya berupa aksara yang tidak mempunyai apa-apa maksud dan tidak boleh mandiri tanpa dibangunkan, disatukan, disesuaikan dengan sebuah mekanisme iaitu ejaan.

Kita punya pilihan sama ada mahu peduli atau tidak peduli tentang ejaan. Saya mulakan dengan ejaan nama kita sendiri.Percaya atau tidak, masih juga ada pilihan terhadap ejaan nama, misalnya nama bayi yang baru lahir mempunyai persamaan dengan orang lain. Melainkan ejaan sahaja boleh membezakannya. Bila disebut bunyinya masih sama, maknanya juga masih sama. Kecuali nama-nama Yang Maha Esa.

Zaman dahulu, ketika ibu sedang mengandung amat jarang mencadang-cadangkan nama, kalau lahir nanti anak ini akan dinamakan begini jika lelaki dan begini jika perempuan. Bila lahir, barulah mencari nama terutama ketika berurusan dengan pihak pendaftaran surat lahir. Bukankah pernah kita mendengar nama-nama yang pelik seperti Selamat kerana selamat dilahirkan, Syukur kerana bersyukur telah lahir, atau Banjir kerana ketika ia lahir kebetulan waktu banjir. Bahkan disebabkan bingung tidak tahu nama apa yang patut ditulis dipilihlah nama ini: NO NAME. Ada juga nama kawan-kawan sekampung saya yang tidak patut-patut seperti Tikus, Chichak, John Kok Babi dan sebagianya. Berbanding sekarang ini, nama bayi sudah siaga sedia. Mula mengandung lagi pasangan suami isteri berkenaan sudah merujuk buku-buku atau laman web untuk memilih nama terbaik untuk bayi mereka yang bakal lahir. Ada juga yang menggabungkan nama suami dan isteri. Nama yang pelik-pelik juga masih berlaku, yang panjang hingga entah mana satu mau digunakan untuk memanggil anak itu. Nama yang lebih daripada satu pula, akhirnya punya gelaran yang lain malah nama yang seringkas-ringkasnya.

Daripada nama ini, penulis dan penyair juga ingin mencari kelainan dalam dunia karyawannya. Wujudlah nama pena, seperti saya sendiri. Zaman awal hingga 80-an, penulis gemar menggunakan nama pena atau nama samaran. Ada sebabnya. Bukan untuk terkenal tetapi lantaran tidak mahu dikenal! Zaman penjajah, ramai penulis yang menulis tentang kebenaran terhadap pemerintah yang zalim, atau tidak menjalankan pemerintahan yang adil sering menganggap penulis sebagai pengacau dan patut dihukum. Maka lahirlah nama-nama istimewa seperti Tongkat Warant, Pungguk, Kala Dewata, Ruhi Hayat, Pengembara, S.Mala, K.Bali, Rajuna Keningau, Hantu Raya, Pena Kota dan sebagaimya. Nama-nama para pengarang zaman awal dahulu memang cukup istimewa. Mereka mempunyai sejarah sastera zaman mereka yang tersendiri. Mereka mencipta dunia kepengarangan mereka sendiri waima apapun nama yang mereka gunakan. Apa yang penting intipati karyanya. Bahan sasteranya itu lebih diutamakan. Bagaimanapun sejarah yang merakamkan karya-karya besar tak mungkin lengkap tanpa mengaitkan dengan nama-nama yang meletakkan sastera sebagai pentas perjuangan mereka.

Kepekaan terhadap nama pengarang-pengarang kita perlu ada. Kita jangan sewenang-wenangnya atau mengambil jalan mudah terhadap penggunaan nama, ejaan dan sebutan yang biasa digunakan. Saya pernah ditegur oleh Budayawa Gapena Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Allahyarham) kerana tersilap menulis namanya pada sebuah surat yang dihantar untuknya. Dia tidak kisah jika nama orang lain tersalah eja tetapi jangan sekali-kali namanya. Memang mudah mengeja nama beliau tetapi ejaannya yang betul sama sekali jarang ditemui. Memang patut beliau menegur malah memarahi sesiapapun kerana nama itu merupakan identiti mutlak. Jangan ambil mudah. Saya teringat semasa berada di wad hospital kanak-kanak baru-baru ini, seorang ibu muda meminta jururawat meminda ejaan namanya di hujung katil bayinya yang sedang dirawat. Dia mengomel dan mengadu pada kami kerana kesilapan itu. Apatah lagi dasar hospital terutama bagi wad kanak-kanak yang baru lahir memerlukan data yang betul untuk mengelak kesilapan penyerahan bayi kepada ibu masing-masing.

Nama sebenar saya juga selalu disilapkan. Bila disebut sekali memang kita boleh tulis apa sahaja. Begitu juga dengan nama pena saya, selalu terjadi kesilapan. Masalahnya kesilapan itu dilakukan oleh orang yang mahir atau boleh dikatakan tidak patut buat silap. Misalnya sebuah buku yang diterbitkan di Riau Indonesia, bayangkan nama 'Hasyida Abadi' dicetak dalam buku yang diedar juga kepada para pembesar kerajaan di Riau dan wakil-wakil penyair Korea Selatan, Thailand, Filipina, Indonesia dan Singapura. Peristiwa terkini berlaku pada sebuah buku yang memuatkan puisi-puisi saya. Bukan payah mengesan kesilapan itu sebelum buku tersebut dicetak, paling tidak jurutaip, atau pembaca pruf mampu mengesannya lebih awal. Mungkin perkara ini remeh temeh, tetapi saya masih ingat teguran idola saya Datuk Shuhaibun walaupun hanya pada ejaan nama. Apalah ada pada nama, selalu orang menyebutnya begitu, namun sebagai sebuah nama, ia juga sebuah jenama, ia menjadi hak milik yang wajar dipelihara sewajarnya.

Dalam apapun situasinya, penulis bahkan penyair yang bertanggungjawab wajar memelihara ejaan dalam karya-karya. Pastikan kesahihan ejaan berdasarkan kebakuan sistem ejaan yang digunapakai umum dan dalam konteks ini berdasarkan gaya Dewan Bahasa dan Pustaka. Jika pihak DBP pun buat silap, itu masalah luar biasa juga. Mungkin penulis merasakan dia mempunyai pilihan untuk mencipta ejaannya sendiri. Sebaiknya kebakuan berliterasi harus tidak bercanggah. Kita wajar memelihara keindahan berbahasa yang betul walaupun ramai berpendapat laras sastera itu boleh berubah atas dasar kebebasan berpoetika. Namun soal ejaan tidak semaunya diberikan kebebasan apatah lagi secara semborono.

Jika dikatakan bahawa 'Budi Bahasa Budaya Kita' atau 'Bahasa Jiwa Bangsa' tetapi jika bahasa yang semborono disebabkan oleh kecelaruan ejaan di dalamnya, di manakah budi dan budaya kita berbahasa itu diletakkan? Patutkah kecelaruan atau ketidak pekaan sesetengah penulis sendiri yang mengabaikan ejaan yang tepat disemai dalam jiwa bangsanya. Jika demikian, bertambah celarulah sikap kita dan generasi akan datang terhadap bahasa yang boleh menyatukan kita semua di negara ini hingga boleh menjadi 'Bahasa Celaru Bangsa'!

Selamat Tahun Baru 2012.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Sabtu, Disember 24, 2011

Tentang Beberapa Hari yang Lalu


PERNAHKAH anda berfikir tentang beberpa hari yang lalu? Beberapa hari yang telah berlalu dengan seribu satu peristiwa, kenangan, kemenangan, suka dan duka. Tidak mungkin hari-hari itu berlalu begitu sahaja. Meski mustahil untuk memanggilnya semula, hari-hari yang lalu itu sentiasa memberikan nilai tersendiri. Pengalaman kata orang amat mahal dan untuk membezakan antara insan dengan yang lain inilah, pengalaman. Pengalaman itu pengisian hari-hari yang mungkin biasa, luar biasa dan tanpa disedari tentang masa lalu yang bermakna.

Sesiapa sahaja memiliki pengalaman dan penyair amat mencintainya. Seorang penyair sentiasa merakamkan peristiwa-peristiwa masa sudahnya, masa sudah orang lain atau mereka yang akrab dengannya. Dia berkisah dalam bait-bait peristiwa kemudian diperindah oleh keelokan bahasa, teknik pelukisan serta penulisan yang berwibawa.

Beberapa hari yang lalu telah mengajar tentang hijrah. Suatu perpindahan ke arah kelebih baikan untuk kehidupan. Memilih jalan yang diyakini benar daripada segala kemungkinan-kemungkinan yang benar. Beberapa hari yang lalu menerima berita tentang banjir di kampung halaman yang menyuntik ingin sekali menyedut air yang tengah membuak-buak menenggelamkam kawasan rendah, ia bertahan beberapa lama kerana tiada jalan keluar hingga menyebabkan kesulitan warganya. Barangkali beberapa hari yang lalu menerima berita gembira kerana permohonan pembelian kereta telah diluluskan pihak bank. Beberapa hari yang sama sekaligus menggembirakan apabila menerima cahaya mata baru menjelangnya bulan Muharam. Kegembiraan ditawarkan kenaikan pangkat kerana perkhidmatan yang lama dan cemerlang. Bebeapa hari yang lalu juga dicerca merbakan oleh isu-isu yang meragam mengangkat menara geram. Orang lain gembira menyambut kemenangan sedangkan orang lain yang berjuang untuknya mula menyumbangkan jurang dendam.

Beberapa yang lalu ramai orang begitu taksub memperkatakan masa depan politik yang semakin dicabar dan tercabar. Mereka bangun semata-mata politik, melihat kemakmuran rakyat hanyalah retorik tetapi tidak jelas. Politik terus berada di mana-mana ceruk rantau rimba, desa dan kota, di kantor, di menara gading, di tengah sawah dan ketika lautan banjir menenggelamkan tanaman dan membunuh haiwan ternakan. Beberapa hari yang lalu tentang dunia yang terus ribut dan retak, terus dibumbui rentak muzika hantu dan citra tahayul di tengah keseronokan manusia menontonnya. Apakah sudah tidak ada wacana yang lebih membina minda, membangunkan citra bangsa yang lebih menjanjikan kekuatan untuk negara bangsanya? Atau barangkali segala yang ada sudah cukup menjelaskan bahawa dunia telah ketandusan keindahan. Retoriknya kepada ciptaan yang mengkhayalkan, manusia begitu senang menerima suntikan candu hiburan hingga ramai yang alpa dan tidak berfikir untuk apa sesebuah citra yang memabukkan itu disogokkan kepada anak-anak bangsanya yang kian lemah kerana terlalu lemah oleh kebendaan dan janji-janji serta habuan wang ringgit hingga nilai perjuangan telah hanyut jauh meninggalkan jati diri.

Seorang penyair terus merakam hari-hari indah dan tidak indah, tentang beberapa hari yang lalu yang tidak mungkin berhenti meninggalkan sesuatu berupa peristiwa. Bahkan masa hadapan itu sebentar lagi akan menjadi beberapa hari yang baru, akan berlalu dan dia terus juga menceritakan indah dan tidak indahnya. Biasa bagi orang lain tetapi luar biasa baginya. Masa berjalan tanpa berhenti, manusia mencari tanpa henti sesuatu yang boleh sahaja menggembirakannya dan boleh jadi mendukacitakannya. Hari-hari yang menjadi beberapa peristiwa dirakam dan dicatatkan, diperindahkan, dinukilkan menjadi citra yang mencabar minda sebagai penghayatan kebenaran, penghayatan kebobrokan, penghayatan kerakusan, tamak haloba tanpa titik selagi manusia berfikir dan menjadikan fikirannya benar, jujur atau sebaliknya menjadikan fikirannya sebagai anjakan untuk mencapai impian dengan cara yang kurang tepat. Atau barangkali itulah takat kemampuan yang dipunyainya dan dia berjuang untuk itu.

Sesungguhnya beberapa hari yang lalu itu berharga emas jika kita benar-benar bernas dan berawas daripada fikiran-fikiran yang tidak bernas. Apa pun peristiwa mempunyai wibawanya dalam keadaan yang indah dan tidak indahnya. Beberapa hari yang lalu tak pernah berlalu selagi manusia penyair ada dan fikiran untuknya wujud.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Jumaat, Julai 22, 2011

Merekayasa Keperluan Penulis

Agak tragik juga. Kehidupan ini sering berhadapan dengan teka teki. Kita fikir sudah menemukan jawapan dan percaya berada pada kedudukan yang selesa. Rupanya tidak. Begitu kita yakin bahawa satu pandangan sudah cukup sebagai menjelaskan kewibawan seseorang bahkan ramai lagi, tetapi menerima tanggapan yang lain pula. Saya fikir ini natijah sebuah suguhan semangat yang sukar dibendung. Akhirnya wujud beda tanggap hingga menemukan jalur-jalur polemik yang bukan-bukan.

Pada 90an kita juga berhadapan satu situasi yang hampir sama - gerakan penulis muda merisaukan penulis mapan. Bezanya satu, dulu penulis muda terjumlah ramai dan gerakan itu bersifat nasional sedangkan era ini, penulis mapan lebih menonjol berbanding yang menganggapnya muda. Dari aspek ambil peduli pengurus sastera, usaha meninjau delima yang dihadapi penulis muda merupakan satu usaha yang baik. Cuma, apakah penulis mapan tidak menghadapi delima yang sama? Soal penerbitan, penampungan karya, sifat ambil peduli pengurus sastera, apakah telah mereka terima dengan memuaskan? Kerana itu meletakkan gap-gap tertentu tidak akan menyelesaikan keperluan-keperluan kelompok-kelompok ini. Saya fikir jika masalah.media, mengapa tidak menerbitkan Wadah setiap bulan berbanding sifatnya berkala masa ini. Tidak perlu menerbitkan buletin khas semata-mata untuk menempatkan karya-karya penulis muda. Jika demikian, penulis mapan barangkali tidak salah menuntut pekara yang sama. Akhirnya usaha yang murni berubah menjadi keadaan rasa mahu yang berlambak.

Apabila karya penulis muda diterbitkan dalam bentuk buku, bagaimana penulis yang mapan, jika mahu kategori penulis diteruskan. Kehendak penulis mapan juga belum dilaksanakan sekian lama menghambat kreativiti penulis, apatah lagi kelembaban penangan karya kreatif tidak seagresif sebelumnya. Jika pengurus sastera kita mahu berlaku adil, fikirkan perkara-perkara pokok sebelum ini, misalnya merekayasa semula penataran untuk para penulis. Ia perlu dilakukan secara telus dan terancang. Konsep mentor boleh dilakukan. Penerbitan buku juga demikian. Satu perkara lagi yang perlu difikirkan iaitu mewujudkan dana untuk penulis Sabah. Dana inilah menjadi sokongan aktiviti pemerkasaan karya dan inovasi penulis. Jika tidak, jangan harap apa yang penulis hasratkan tercapai, melainkan ungkapan yang klise, semangat menjadi luntur. Beberapa tahun akan datang wujud lagi gerakan yang sama. Sampai bila-bila pun penulis tidak dapat memperkasa bakat mereka. Ini menjadi bertambah parah lagi apabila wujud ketidak sepakatan di pihak pengurus sastera, misalnya siapakah pegawai yang benar-benar bertanggungjawab mengurus penulis, karya dan aktiviti mereka. Jika bumbung rumah penulis retak di mana lagi tempat penulis bernaung?

Khamis, Julai 21, 2011

Kejujuran dan utopia

SESIAPA yang mengisi hari-harinya dengan keikhlasan dan kerendahan hati akan menemukan alam sebenarnya - sebuah perpustakaan agung. Berlimpah pengetahuan dan kebijaksanaan yang tersimpan di sana.

“Kejujuran ini umpama laut yang dalam. Di permukaan ia sentiasa bergelombang. Namun, di dasarnya tidak ada gerakan, apalagi gelombang. Hanya hening yang melukis keindahan dan kesempurnaan,” tulis penyair dan aktivis Buddha, Zenkei Shibayama dalam A Flower Does Not Talk (1966). Kejujuran juga digambarkan Shibayama seperti sakura mekar mengharum dan berguguran tanpa suara. Tanpa keluhan dan perdebatan dengan bunga-bunga lain yang turut bergayutan pada ranting yang sama.

Ia akan membuat dunia ini penuh dengan keindahan dan kedamaian, tidak ada penipuan, kekerasan atau penyalahgunaan kuasa dan kedudukan untuk mencari kepentingan peribadi dan kelompok. Namun, cita-cita Shibayama untuk menemukan sebuah kejujuran yang hakiki hanyalah wacana utopia. Sesuatu yang mustahil untuk mewujudkan dunia yang tidak ada penipuan, tanpa peperangan dan keganasan serta sisi-sisi negatifnya.

Istilah utopia itu sendiri berasal dari buku terkenal, Utopia karya Sir Thomas More pada tahun 1516. Dia adalah salah seorang pemimpin England yang bakal dilantik menjadi ketua Parlimen dan Lord Chancellor ketika Raja Henry IV turut berkuasa ke atas gereja Anglican dan Roman Katholik. More menolak untuk mengucapkan sumpah setia pada raja sebagai ketua gereja dan hukuman ke atas orang yang ingkar kepada raja adalah kematian. Dia dipancung pada tahun 1535.

More sebenarnya mengimpikan sebuah negara yang dimiliki bersama. Semua orang menikmati pendapatan yang sama, makan dan bekerja dalam sebuah komuniti yang adil. Tidak ada perbezaan dan penindasan. Di negara impian More tersebut, masalah-masalah politik tidak boleh dibahas secara terbuka. Namun, tanpa disedari, idea-idea utopia tersebut telah membuka ruang kepada konsep komunisme yang kemudiannya berkembang menjadi sebuah ideologi yang sangat dikagumi di Eropah pada penghujung abad ke-19.

Sama seperti Shibayama, pandangan More hanya sebuah impian. Buktinya, hingga kini, penyalahgunaan kuasa, penyelewengan, rasuah dan korupsi tetap hidup, malah semakin membiak. Contoh yang paling mudah adalah di Malaysia. Penahanan dua pegawai kanan Jabatan Imigresen untuk membantu siasatan kes rasuah berhubung urusan pengeluaran visa bagi kemasukan pekerja asing baru-baru ini membuktikan gagalnya wacana utopia Shibayama dan More tersebut.

Kes tersebut adalah yang terbaru. Mungkin masih banyak kes-kes yang masih dalam siasatan. Kita tidak tahu sejauh mana kegiatan-kegiatan penyelewengan, rasuah dan sebagainya yang menafikan impian kedua-dua pemikir tersebut. Selain, Shibayama dan More, gagasan negara utopia oleh Karl Marx (terkandung dalam Das Kapital), jauh lebih spesifik. Dia bercita-cita menghapuskan semua hak milik pribadi dan mewujudkan kepentingan bersama. Ia bertujuan melahirkan sebuah masyarakat yang adil tanpa perbezaan kelas antara kaum borjuis dengan kaum buruh, sekali gus menghapuskan penguasaan satu kelas sosial ke atas kelompok sosial yang lain.

Konsep utopia tersebut adalah berangkat daripada pemikiran Marx yang mengangkat sosialisme setelah beliau melontarkan teori tentang pembebasan kaum buruh daripada tekanan borjuis.

Kemuncak utopia versi Marx adalah meletusnya revolusi dan akan terbentuk sebuah masyarakat tanpa peranan pemerintah. Ini sangat penting bagi mengelakkan munculnya anarki atau lebih membahayakan lagi hancurnya suatu negara (chaos). Maka, kemudian muncullah pemikiran Marx tentang konsep negara utopia yang dilihat hanya merupakan imaginasi, khayalan ataupun sebuah pesimisme ideologi.

Hakikatnya, setelah keruntuhan komunisme dan menandakan kemenangan kapitalisme, negara-negara dunia tetap berada dalam ruang utopia. Ia berhadapan dengan situasi yang lebih rencam - isu-isu korupsi, rasuah, jenayah, penindasan, kronisme dan sebagainya. Di Malaysia misalnya, kita mungkin tidak pernah terfikir seseorang dituduh menggunakan kedudukan atau posisi politik mereka untuk kepentingan peribadi walaupun mempunyai kewangan yang baik dan sebagainya.

Hernan de Soto dalam The Mistery of Capital : Why Capitalism Triumph in the West and Fails Everywhere Else (2001) banyak menjawab `misteri’ tersebut walaupun pembahasannya lebih tertumpu kepada kapitalisme di negara-negara Dunia Ketiga. Beliau antara lain menjawab pertanyaan tentang kegagalan negara dunia ketiga menerapkan sistem kapitalisme yang begitu baik dan berjaya di Barat seperti di Amerika Syarikat dan Eropah Barat tetapi ternyata ‘gagal’ di Negara-negara Dunia Ketiga.

Banyak negara miskin bekas jajahan negara-negara Eropah tidak tahu apakah kegagalan menerapkan kapitalisme merupakan kesalahan mereka atau memang sistem ekonomi kapitalisme itu pada dasarnya tidak sesuai untuk diterapkan di negara-negara berkembang. Ada kupasannya yang agak menarik. Kegagalan tersebut berkaitan dengan isu-isu penyelewengan, rasuah dan kronisme serta kelemahan birokrasi di segelintir negara Dunia Ketiga yang sukar dikikis oleh pemerintah hingga menjejaskan kapitalisme.

Mungkinkah pandangan Shibayama, Marx dan de Soto mempunyai kaitan dengan Malaysia? Seperti kata de Soto dalam satu lagi karyanya, The Other Path: The Invisible Revolution in The Third World (1989), negara Dunia Ketiga kadang-kadang sukar untuk keluar daripada cara dan coraknya.


UTUSAN MALAYSIA ONLINE

Selasa, Mei 17, 2011

Sastera: Pengaruh dan Kecenderungan Semasa


ERA yang lalu telah dicipta sebagai sejarah. Gerakan apa sekali pun demikian sudahnya. Kegiatan kesenian pun sama. Kecenderungan para aktivis akan berakhir jua pada satu tempoh tertentu, ia akan dimulakan lagi oleh generasi baru. Begitulah putarannya - bermula dan berakhir, kemudian bermula lagi. Senario alami, yang patah tumbuh dan berganti. Ada gerakan baru sastera, kononnya terjadi masa ini, entah apakah ada benarnya. Pada saya ia bukan gerakan baru tetapi lebih merupakan satu putaran masa lalu yang baru dimulakan, satu gerakan masa sudah dijenamakan generasi massa. Natijahnya menyebabkan dunia seni sastera tidak kelihatan dewasa, belum sempat ke arah itu, ia mati tiba-tiba.

Hari ini juga bakal menjadi masa lalu dan kita berada di dalamnya ketika itu. Sebagaimana politik yang ikut memberi warnanya pada zamannya, juga ikut mendominasikan gerakan sastera. Pengaruh politik bagaikan air yang sedang sarat selepas hujan lebat di daerah ulu, begitu mudah menjadi ikutan masyarakat. Gerakan sastera oleh tokoh-tokoh politik ini pernah mendominasi Bahasa dan Gapura. Elemen politik juga membentuk pecahan-pecahan kumpulan penggiat sastera seperti Perpesa dan APMS yang telah kemudiannya terbentuk Bahasa dan Gapura. Dua persatuan penulis ini mengalami jatuh dan bangun. Kecuali Bahasa, Gapura terus tenggelam apabila tokoh-tokoh politik yang membayanginya kehilangan pengaruh dalam dunia politik mereka. Bahasa juga tidak bebas daripada pengaruh elemen politik namun ia mampu ditangani sehingga terus bergerak sebagai sebuah persatuan penulis yang dihormati dan menjadi kepercayaan satu-satunya persatuan penulis di Sabah yang menganggotai GAPENA hingga kini.

Puisi bergema tanpa sempadan apabila pemimpin politik sendiri menulis dan membacakan puisinya di arus perdana, ini diikuti ramai dan menjadi gelombang yang hebat. Puisi-puisi mereka diadaptasi menjadi lagu. Betapa besar pengaruh politik di situ. Sastera mekar di media elektronik dan ada medannya di kaca TV kerana menterinya amat meminati puisi. Surat khabar pernah mempunyai kerangka sastera yang hebat ketika ketua pegarangnya seorang penggerak sastera yang berpengaruh. Editor surat khabar juga turut mempengaruhi setinggi mana tahap kreativiti puisi dan cerpen yang ia kelolakan. Pengaruh ini bagaimana pun hilang apabila editornya bertukar. Di Sabah, kita boleh perhatikan paksi ini. Utusan Borneo menjadi pilihan penulis mapan berbanding Daily Express dan New Sabah Times.

Begitu juga yang terjadi di agensi-agensi seperti DBP di Sabah. Kita boleh perhatikan paksi pemimpin-pemimpinnya berdasarkan pengaruh dan citarasa mereka. Saya percaya anda yang pernah ada pada era yang lalu itu dapat melihatnya kembali. Dan kita ingin kembali pada pasca abad 20 ini, apakah benar wujud gerakan baru dengan bergemanya pencarian hal tuju sastera di samping kedengaran suara yang lebih berani menyatakan sasteranya sudah mati! Mari kita bincangkan hal ini secara dewasa dan hujahan yang kental.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Jumaat, Mei 13, 2011

SASTERAWAN DIDAHULUKAN PENCAPAIAN KARYA DIUTAMAKAN


KITA inginkan juga kemeriahan dunia persuratan sebagaimana pernah dilalui pada dekad-dekad yang lalu. Terlalu banyak peristiwa untuk sastera yang dirakam tidak terjadi lagi ketika ini. Maksud saya, peristiwa yang seharusnya diwarisi generasi kini telah senyap, bahkan boleh juga diungkapkan sebagai telah berkubur tanpa sebarang tanda.

Selalu dicari jawapan kepada pertanyaan ini: di manakah silapnya? Sekali lagi saya ingin berkata bahawa mencari kesilapan menyebabkan terlalu banyak hal-hal remeh-temeh ditemui. Menyalahkan pihak itu dan ini, individu itu dan ini yang hanya membuang waktu tanpa titik padahal jawapannya yang tepat ialah bagaimana mengatasinya.

Sering kedengaran masalah besar kegiatan sastera buntu, berbantut dengan ketara sekali disebabkan kendala kewangan. Mana-mana agensi berkaitan akan mencatatkan demikian. Seakan-akan sudah ada cop mohor untuk meletakkan jawapan yang sama. Tetapi memang benar jawapan ini betul-betul 'kurang tepat'. Ironinya ada aktiviti yang tidak begitu berkaitan tetapi tidak timbul pula soal kewangan. Inilah yang menyebabkan aktiviti persuratan menjadi layu, lesu, malas, lemas dan sebagainya lagi. Namun begitu bila mengingatkan wujud satu tanggungjawab yang lain bahawa dunia sastera tidak semestinya tertakluk kepada ada atau tidak ada kewangan, kita tidak menghadapi masalah untuk melakukan apa juga program berkaitan. Kita sudah begitu lali dengan ungkapan klise, kami minta maaf kerana tidak dapat menyediakan dana dan seterusnya. Dan apabila memberikan dana, kita dikejar pula untuk memberikan laporan tentang aktiviti yang dijanjikan padahal kita telah pun melakukan banyak aktiviti yang masih relevan dan menepati keperluan pemberian sesuatu dana itu.

Kerana itu saya setuju, para penulis atau penggiat bidang persuratan membuat kerja dengan gigih. Kita perlu menyatukan buah fikiran untuk mengangkat dunia sastera, dunia penulis itu dengan cara kita sendiri. Kita perlu wujudkan gerakan bertindak yang lebih efisyen, berhala tuju, bernas, berani, bermutu, tepat, telus dan sebagainya lagi kerana inilah jalan terbaik untuk menentukan dunia penulisan itu lebih dihormati. Berbeza dengan dunia kewartawanan, penulisan kreatif tidak dilihat boleh memberikan sebarang pulangan kepada mereka yang berkepentingan. Padahal inilah dunia yang sukar diterokai, hanya mereka yang memiliki bakat hebat sahaja boleh melakukannya. Sayangnya bakat yang hebat itu sering sekali diperlekeh. Jika seorang menteri boleh mengatakan citra kaum penulis ini tempatnya di muzium, apatah lagi orang awam yang lain, memperlihatkan sejauh mana sikap seseorang itu terhadap sastera kreatif. Apabila menteri yang bercakap tentang retorika seni budayanya ia hanya berupa salutan emas sedang di dalamnya kosong belaka. Seni budaya masih tertumpu hanya kepada busana dan aksesori, alatan muzik, irama etnik, tarian tradisi, langskap warisan dan tidak ketinggalan gambar-gambar kuno yang lusuh dalam lipatan sejarah masa sudah. Ini perlu diubah, perlu juga dibetulkan sebagai persepsi yang lebih sempurna, lebih menyeluruh agar dunia mengetahui bahawa dalam keunikan bangsa kita terwujud di dalamnya pelbagai elemen yang perlu didalami.

Cerita-cerita rakyat misalnya, merupakan bahagian penting kehebatan sastera bangsa kita yang harus dibanggakan, yang telah pun berkembang sesuai dengan peredaran masa. Kreativiti rakyat mencipta kisah berdasarkan peristiwa demi peristiwa membentuk sahsiah dan pemikiran masyarakat yang mewakili bangsanya. Mengapa kita tidak merasa bahagia atau setidak-tidaknya beruntung memiliki kumpulan genius yang kreatif menerusi mata pena para penulis hebat tersebut.

Kehadiran para sasterawan tidak begitu ketara berbanding profesion yang lain dalam sebarang upacara rasmi negeri. Saya melihat, apabila para penulis sendiri tidak dilibatkan dalam upacara sastera itu sendiri, apatah lagi bagi majlis-majlis rasmi kerajaan! Kepelikan ini pada saya perlu dibetulkan dan siapakah yang bertanggungjawab membetulkannya?

Melihat kembali peranan yang perlu difikirkan oleh mana-mana agensi yang diberikan amanah mengikut bidang masing-masing, kita mungkin boleh mengingatkan jangan sekali-kali mengabaikan golongan apa pun yang mereka benar-benar terlibat. Dalam konteks sastera, penulis wajar diutamakan. Sealiran dengan slogan 1 Malaysia, kita selaraskan slogan ini: sasterawan didahulukan, pencapaian karya diutamakan. Apabila ramai tokoh sasterawan veteran kita meninggalkan kita dan dunia sastera selamanya, kita tidak dapat meletakkan sesiapa kerana siapakah 'sesiapa' itu dalam barisan utama penulis yang ada masa ini. Tolong bantu saya siapakah barisan penulis yang telah mencapai status sasterawan yang ditinggalkan oleh tokoh-tokoh seperti Datuk Haji Ismail Abas (Amil Jaya), Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Haji Harun Haji Salleh, K.Bali (menyebut beberapa nama utama). Setakat ini keadaan ini belum jelas dan tidak ada yang berani mengatakan apa-apa pun. Pada pengamatan penulis nama-nama ini wajar diberi keutamaan misalnya Azmah Nordin, Haji Ismaily Bongsu, Emin Madi, Hajah Zaiton Ajamain, Jasni Matlani dan Hassan Saprin berdasarkan pencapaian genre masing-masing selain tokoh-tokoh yang masih ada seperti Datuk Haji Jamdin Buyong, Datuk Hajah Noraini Datuk Salleh, ABM Fajeer, Surya Irawan, Datuk Mohd Yaman Haji Ahmad Mus, Datuk RM Jasni dan Hajah Dayang Salmah Salam.

Kita telah berjaya di peringkat Asia Tenggara apabila Amil Jaya (Datuk Haji Ismail Abas) dan Azmah Nordin dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award. Pencapaian kedua-dua tokoh ini memang tidak perlu diragui, Azmah misalnya telah menggarap kreativitinya melalui karya-karya roman yang cukup hebat. Amil Jaya tokoh pemikir yang telah meninggalkan banyak bahan rujukan untuk tatapan anak bangsanya. Kedudukan ini perlu diperhebatkan. Bukan semata-mata lebih ramai penerima anugerah berprestij Asia Tenggara itu dari Negeri di Bawah Bayu ini. Tidak semestinya begitu selagi para penulis tidak membuktikan kemampuan mereka menulis buku dan teruji berjaya mengangkat intipati sastera dengan cemerlang.

Hampir setiap dua tahun, Hadiah Sastera Sabah (HSS) telah menilai karya-karya penulis Sabah, terutama novel yang wajar dihimpun semula sebagai bahan analisis terpenting. Beberapa orang penulis terbaik seperti Azmah Nordin, Ramlee Awang Murshid, Chacho Haji Bulah, Jusang Bolong, Ismail Salleh telah melakar nama melalui novel-novel yang diperakukan tinggi nilai sasteranya. Novel-novel seperti Bungalina, Pei Pan, Syumul, Iradat, Dukanya Abadi, Ralat (menyebut beberapa buah novel HSS) perlu digali agar sukma sasteranya dapat diperkatakan lebih meluas berdasarkan teori atau pendekatan sastera sedia ada. Para pelajar yang mengambil jurusan sastera boleh memilih karya-karya tersebut sebagai mauduk kajian mereka sebagaimana pernah dilakukan oleh Jasni Matlani yang membicarakan novel Pei Pan (lihat Kumpuan Esei Sastera Sabah Dalam Kritikan terbitan DBP, 2008). Kajian terhadap nilai sastera dan identiti yang mengehakmilikkan penulis-penulis tersebut sebagai sasterawan tersohor menjadi kesinambungan generasi penulis-penulis terdahulu. Cara begini merupakan antara langkah terbaik mengangkat lebih jauh karya-karya berkenaan, apatah lagi usaha membawa penulis dan karya sastera ke mercu mahakarya Sabah di landasan Nasional.

Bagi dekad-dekad mendatang, kita mengharapkan kelahiran karyawan-karyawan yang cemerlang dalam semua genre sastera. Dari sekarang kita perlu meletakkan satu tanda aras bagaimana meletakkan seseorang untuk mencapai kedudukannya melalui karya-karya yang dihasilkan. Dari semasa ke semasa penulis lahir dan berkembang, karya sastera diterbitkan begitu banyak sekali; sudah tentu ada kewajarannya mewujudkan satu panel untuk menilai, memilih dan menentukan tahap-tahap penulis dan tahap-tahap teks yang telah melalui hujahan dan uji kaji, yang memiliki keindahan tulen, kebaikan dan kebenarannya.

Pustaka Iqbal Nazim
Kota Kinabalu

Rabu, Mei 11, 2011

Pasca Diskusi Sastera: Hala Tuju Sastera Sabah

Bukan komentar, sebagai satu dokumentasi yang amat penting, perbincangan sastera yang dianggap hangat bagi dekad kedua abad 21 di Sabah. Perbincangan yang berlangsung lebih 2 jam di Sudut Penulis DBP Cawangan Sabah pada 29 April 2011 tidak habis di situ. Kesinambungannya berpindah dari SP ke media massa malah media alternatif - Facebook.

Perbincangan ini dijangka berlarutan kerana sudah kelihatan unsur-unsur serangan yang dianggap kurang sehat. Penulis beranggapan keadaan ini lumrah, tanpa polemik suara sastera kita akan lesu, paling tidak, gerakan ini memberikan satu tanda baru kepada para penulis untuk menyatakan pendirian masing-masing. Apakah hala tuju masih relevan diperkatakan? Apakah sudah memadai apa yang diperkatakan selama ini cukup untuk meletakkan sastera di Sabah berada dalam situasi yang selesa? Apakah telah ditentukan tanda aras sesebuah karya sekaligus meletakkan nilai serta identiti kesusasteraan kita di sini? Belum lagi soal keprihatinan kerajaan terhadap gerakan sastera yang berumbang ambing yang tidak jelas. Begitu juga kedudukan agensi yang menjadi payung para penulis yang kurang dimesrai penulis, sejauh mana keberadaan agensi tersebut pada abad ini berbandinga dekad-dekad yang lalu, yang dibuktikan lebih cemerlang. Apakah puncanya?

Masih banyak lagi perlu diperkatakan. Malah diskusi 2 jam itu memang tidak cukup. Ia perlu diperhebatkan lagi di masa akan datang dengan meletakkan tajuk-tajuk khusus sebagai asas perbincangan.


Sebagai dokumentasi, dipaparkan keratan-keratan akhbar untuk tatapan kita bersama.

[Klik foto untuk paparan terbaik]











Lagi kupasan isu hala tuju Sastera di Sabah. Klik di sini [:]






PUSTAKA IQBAL NAZIM




Khamis, Mei 05, 2011

Pandangan Perjuangan

Selepas kau membunuh dan kau terlepas
kerana perjuangan katamu dan mereka yang berada di dalamnya menulis sejarah ini
sebagaimana masa akan datang membacanya semula dengan pandangan yang berbeza daripada makna juang yang berjurang

Generasi masa depan akan menghakimi apakah masa lalu kita sebuah sejarah atau gemuruh luka tercipta menjadi citra yang diperagakan atas nama perjuangan. mereka berkata pejuang tulen adalah insan yang membebat lukanya tanpa zaman kerana sejarah manusia tak pernah berbeza, berulang meniti peristiwa demi peristiwa, hanya kebenaran menghentikannya bukan sekarang bukan masa depan kerana ketikanya tak pernah diberitahu Tuhan.


PUSTAKA IQBAL NAZIM
3 Mei 2011

Selasa, Mei 03, 2011

Mengakar di Kalbu, Jihad!

Kau tembak suatu sukma
tanpa makna kematian
biar sejuta jasad gugur
di mana jua mereka tersungkur,
hanya jasad, dan sukma menjadi penghulu
mengepalai perarakan, semarak
seluruh jagat berkibar matahari
degup tunjang bumi
langit memutar awan-awan kelam
relung cahaya menyirat wajah
mengakar di kalbu, jihad!
di situkah wajah riangmu
kematian dan kebangkitan
terus memburu?

PUSTAKA IQBAL NAZIM
2 Mei 2011

Ahad, Mei 01, 2011

Luka Lelaki Malang

Luka lelaki malang itu adalah luka dari seluruh raganya
mempamer kerut garis-garis duka terhumban
ke jurang-jurang dalam dendam-dendam tiada kesudahan.

luka lelaki malang itu adalah luka bicara kesirnaan makna
diancam caci dan ancaman ditapis ego remuk kehidupan.

luka lelaki malang itu mencabut denyut angkuh tanpa waras
adalah nafas ganas dan keras remuk damainya hitam dunianya

Lelaki yang malang itu kerdut zaman
jiwa buram kemanusiaan

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, April 25, 2011

Sastera di Arus Perdana: Bukan Sekadar Monolog




MENGAPAKAH kita masih bercakap tentang hala tuju; apakah selama ini sastera Melayu di Sabah khususnya tidak menemukan sasarannya, gagal mengenengahkan misi sastera dan intipatinya kepada masyarakat, nilai seninya tidak dinikmati, penulis syok sendiri tanpa visi, misi percetakan yang ikut cuaca kepimpinan organisasi percetakan berkenaan, atau disebabkan penulis Sabah dipinggirkan dalam arus sastera perdana?

Apabila membicarakan tentang masa depan atau hala tuju (?) mahu tidak mahu hal-hal berkaitan dengannya ialah soal masa sudah. Masa sudah yang panjang pernah menjadi kebanggaan dalam konteks sastera dan perkembangannya. Lahir pada zaman-zaman gemilang penulis-penulis hebat diikuti generasi seterusnya juga melahirkan barisan penulis yang disegani. Malangnya di Sabah keriuhan itu terhenti di akhir abad 20. Dunia sastera di Sabah hanya digahkan oleh promosi sejarah masa sudah. Bukan bererti melupakan masa sudah yang bergema emas, generasi malah wajar mengetahui, memahami, mendalami warna sastera, warna fikrah generasi penulis yang kini telah meninggalkan masa lalu mereka. Namun dampak kecetekan dalam memaudukkan citra jika tanpa mengaitkan hal-hal lapuk yang telah pun damai bersama sejarahnya. Sekarang kita sepatutnya menggarap mauduk bernas sastera mutakhir. Paling tidak abad 21 ini, sepatutnya kita boleh dengan bangga mengangkat sasterawan Sabah bersama kejayaan karya mereka sebagai khazanah sastera yang diakui perkasa di Nusantara.

Namun setelah 10 tahun berlalu, cuba buktikan berapa ramaikah sasterawan Sabah yang telah dilahirkan, berapa buah buku terbaik yang telah diterbitkan dan diperkasakan? Dalam tempoh dekad yang sama ini, buktikan juga program penataran sastera yang konsisten bagi melahirkan penulis sebagaimana meriahnya penataran sastera sebelum ini melalui Minggu Penulis Remaja (MPR) dan yang seumpama dengannya yang diakui berjaya. MPR telah hilang begitu sahaja, begitu juga Program Penulis Anak Angkat. Sayang sekali.

Penulis datang dan pergi, itu bagi insan yang tidak berhala tuju kerana satu ketika ia menjadikan medan penulisan sebagai katarsis diri semata-mata. Realitinya begitulah, nilai sastera telah jauh menyimpang, pada zaman awal semangat bersastera berorientasikan 'seni untuk seni' dan 'seni untuk masyarakat' sebagaimana angkatan awal di Semenanjung Tanah Melayu. Kini ia kian tumpul, soal seni dan masyarakat tidak lagi bernaung sebagai niat atau moral tetapi lebih kepada nilai material, atas alasan keperluan zaman. Penulis menunggu peraduan, penulis menunggu honororium, bila semua ini tiada mereka kurang berkarya. Media massa diisi oleh penulis generasi baru tetapi tidak diimbangi kehadiran penulis-penulis mapan. Pertemuan penulis jauh berjarak, penulis juga jarang berjumpa, jarang mengikuti program-program serasehan yang jarang dilakukan menjadi bahagian-bahagian kecil senario sastera di Sabah bergerak perlahan.

Memang benar antara persoalan yang sentiasa berlegar dalam pemerhatian kita ialah penganalisis khazanah sastera di Sabah. Sayang sekali Sabah mempunyai pusat pengajian yang mengajar sastera, Sabah juga tidak kurang graduan, guru-guru cemerlang namun semua ini tidak memberikan sumbangan yang sungguh-sungguh. Khazanah sastera kita hanya mengisi rak-rak buku dan rak-rak fail di perpustakaan dan pusat dokumentasi. Kita perlu mencari jawapan kerana khazanah sastera itu akan diusik apabila ia diperlukan oleh para pelajar pusat pengajian atau individu yang menyiapkan kerja kuliah. Buku-buku yang bertahun terbit tidak pernah diperkatakan melainkan bagi penulis-penulis yang terpilih. Ironinya lagi bila bercakap tentang karya kreatif terutama oleh sarjana di luar mereka hanya kenal Amil Jaya, Harun Hj Salleh, Azmah Nordin, Jasni Matlani (sekadar menyebut beberapa nama). Padahal kita memiliki nama-nama lain misalnya Emin Madi, Chacho Hj Bullah, Obasiah Hj Osman, Juri Durabi, Soibil Madun, Awang Karim Kadir, Raden Othman (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka merupakan penulis mapan yang dikenali melalui novel, puisi, cerpen dan drama. Namun tiada analisis terperinci dilakukan terhadap karya penulis-penulis ini. Akhir-akhir ini senario peraduan mengembalikan demam sayembara yang turut melahirkan penulis sayembara. Dari segi kehadiran dalam gelanggang sastera ia dilihat amat positif namun keadaan ini tidak boleh merobah kecenderungan moral kepenulisan, jika karya-karya yang diakui terbaik itu tidak dibawa lebih jauh ke dalam sukma penelitian. Dalam dekad terakhir ini kita gagal menentukan karya atau buku yang terbaik dan menyebut sasterawan yang terbaik bagi mewakili dekad atau generasinya. Satu ketikaa dulu saya pernah mempersoalkan karya-karya besar kita dan hingga kini ia hanya sekadar untaian rasa kerana tidak melihat usaha meletakkan tingkat karya para penulis Sabah. Nah, lihat sekarang hasilnya kita hanya hebat pada segala pesta, persidangan, perkampungan dan sebagainya tetapi apakah yang ada ungkapan yang lebih baik daripada itu yakni masa dan wang ringgit yang dihabiskan. Apakah akan berlaku nanti ialah apabila sastera hanya dipandang apabila 'nilai perlu' begitu menguntungkan dan menjadi nilai bantu mencapai hasrat yang tersirat sedangkan kita tidak menyedarinya.


Perjuangan sekarang sudah tidak dapat disekat, misi: mahu mendapatkan hadiah dan anugerah. Ada penulis yang berhempas pulas dalam satu tempoh menghasilkan karyanya, dicetak, dipasarkan dan mendapat anugerah sastera, selepas itu dia bercuti. Mungkin ini hala tuju penulis seperti ini dan pilihannya begitu. Bukan bererti penilaian terhadap produk sastera tidak penting, ia sebagai usaha meletakkan produk sastera menjadi khazanah yang terbaik, namun penilaian tidak memberikan nilai tambah penulis jika sekadar memikirkan satu perkara iaitu wang, nama dan populariti. Bagaimana dengan intipati karya? Begitu juga soal perjuangan. Apakah perjuangan penulis sekarang? Penulis mahu karyanya dihargai, tidak diperlekeh, perlunya gerakan yang relevan dengan kehidupan semasa bukan keperluan politik yang merugikan kreativiti mereka yang memilih menang menang, pengurus sastera yang bijak, berfikiran jauh bukan bermusim atau menanti sekumpulan tenaga kerjanya yang gigih sahaja. Sebab itu kesinambungan gerakan kesusasteraan tidak berlangsung sebagaimana hebatnya gerakan sastera di Indonesia - sasterawan, karya, cetakan buku, pasaran buku berarus selari, ini belum lagi bercakap tentang karya terjemahan. Ada pembaca tegar berkata dia ingin dapatkan karya asal novel dari negara jiran itu walaupun sudah ada terjemahan dalam versi Malaysia. Pengurus sastera, pengkaji, pembuat dasar, para sarjana wajar melakukan terjemahan masa depan lebih jelas. Jika tidak percakapan tentang hala tuju penulis, sastera dan seumpama dengan tiada akhirnya, dan bercakap tentang perkara yang sama hanya membuang masa sahaja apabila perbincangan mengenainya tidak berterusan dengan susulan atau tindakan.


Agenda yang besar memerlukan pelaksana yang mahir, berfikiran jauh, terkini dan komited. Semua orang boleh berubah dalam meningkatkan usah dengan suntikan baru. Inilah situasinya yang menjadi kelaziman. Ditambah lagi dengan enigma modal atau dana, ini juga agak menghairankan. Sebab itu, yang berjaya dihasilkan boleh dikatakan alang-alang dan apa yang selalu saya katakan sebagai asal jadi. Mengapa tidak buat pendekatan untuk mengajak para sarjana, atau sasterawan mapan dan veteran terlibat. Paling tidak mengajak duduk bersama-sama dan bertindak dalam jawatankuasa pelaksana sesebuah program khususnya yang mempunyai kepentingan semasa. Bukan tidak ada, gerakan sedang berlaku, yang kurang hanyalah penglibatan yang dinamik, jelas dan bukan sembunyi-sembunyi, hinggakan aktiviti lebih kepada seronok-seronok atau syok sendiri. Sarat dengan pelbagai kelemahan dan kekurangan. Sirnanya elemen profesionalisme. Tidak hairan, akibat jumudnya idea mengundang terjadinya hal-hal yang sama, berulang dan begitu membosankan.

Kebosanan ini boleh diatasi. Kelengangan aktiviti sastera di DBP Cawangan Sabah juga boleh diatasi sekiranya pihak pengurusan menganjurkan program 'Bersama Penulis' setiap bulan. Penulis terpilih pelagai genre secara bergilir-gilir menjadi hos yang bakal menghadirkan para pelajar, insitusi awam dan swasta. Penulis-penulis ini bolehlah berinteraksi dengan pembacanya atau mereka yang ingin tahu proses penciptaan dan hal-hal yang berkaitan dengan pengalaman sebagai penulis. Program ini amat baik selain menarik minat orang ramai yang mempunyai minat dalam bidang penulisan bahkan salah satu komitmen penulis menyemarakkan dunia sastera itu sendiri.


Sebagai agensi yang mempunyai autoriti terhadap hal-hal kesusasteraan dan bahasa, DBP mempunyai kuasa untuk menentukan aras kemajuan sastera di Sabah malah di mana jua. DBP Sabah misalnya wajar mempunyai galerai penulis. Galeri ini memberikan kemudahan bantu kepada pelawat yang mengunjungi DBP. Kita memerlukan bahan-bahan yang kita nampak. Galeri ini boleh menempatkan peralatan, bahan, artifek para penulis. Kewujudan galeri yang dimaksudkan ini bakal menjadi pemangkin adanya premis yang indah tetapi penuh dengan peluang ilmu. Barulah kita boleh merasa berbangga untuk menyatakan potensi negeri Sabah sebagai dataran sastera di Nusantara.


Program bedah karya juga wajar kerap dilakukan. Betapa perlunya analisi dan perdebatan yang ilmiah selain bersifat alamiah, antara fakta dan persepsi. Saya fikir segala berbincangan harus dibawa keluar, tidak diam dalam kertas, dalam bilik perdebatan malah dalam segala kebiasaan sehabis acara. Mencari dan terus mencari dan tiada sudahnya harus difikirkan kembali. Apa jua dapatan wajar dilestari, misalnya karya-karya terbaik penulis Negeri Sabah kini, apakah masih berada di belakang atau jauh mendahului yang lain, atau lebih berani ia tidak bergerak ke mana-mana bersumberkan fakta yang dikaji. Soalnya apakah kajian telah dilakukan. Saya ikut berfikir wadah inilah sebuah gelanggang yang sesuai merungkai persoalan yang dimaksudkan. Bukan sekadar monolog tetapi kita perlu menuju arus perdana sambil membuka selebarnya andatila persepsi yang lebih luas dan bernas. Kita sama-sama berharap Persidangan Persuratan dan Kebudayaan Kebangsaan ke 2 anjuran Badan Bahasa dan Sastera Sabah yang dijangka berlangsung hujung bulan Mei disusuli dengan Perkampungan Sasterawan pada bulan Jun depan memberikan anjakan mutakhir literasi kesusasteraan di Sabah.

© PUSTAKA IQBAL NAZIM






Respon...penulis tak bernama

Ehsan seorang sahabat.


Halatuju Sastera Sabah Kabur?
Tidak dapat dipastikan sejak bila sastera Sabah wujud, dan kadang tertanya-tanya adakah terdapat jurang perbezaan di antara sastera Sabah, atau Sarawak, atau Semenanjung? Mungkinkah kerana adanya Malaysia Barat, dan Malaysia Timur menjadi penyebab utamanya? Bukankah Malaysia itu satu sahaja? Mengapa mesti dibelah secara sengaja menjadi dua bahagian sementara dua bahagian tadi berpecah lagi menjadi kelompok-kelompok kecil, dan akhirnya bergelandang seorangan ibarat lelayang putus tali?
"Siapa dia ni?"
"Penuliskah dia?"
"Di mana tulisannya pernah dikeluarkan?"
"Apa sumbangannya?"
"Berapa buah buku dihasilkannya?"
"Dia siapa nak pertikaikan aku?"
"Sepatutnya dia bercermin dahulu sebelum menegur silap itu ini orang itu,"
Ayat di atas pasti akan menjadi pelengkap kata sebaik sahaja membaca coretan yang berbunyi bak beduk nan kurang irama, tetapi tetap jua ia dipalu. Kerana apa? Hanya satu, sebagai cerminan buat insan yang mahu tahu bagaimana irama dengan lagu harus menyatu agar ia seiring, tidak sumbang, dan cacamarba.
Ada baiknya diingatkan bahawa isu membincangkan soal halatuju ini takkan pernah surut. Wacanakanlah, randaukanlah, atau seminarkanlah ia tetapi hasilnya yang didapat tetap sama, atau mungkin lebih banyak mengundang seribu satu persoalan yang sarat, dan akhirnya terpaksa dilanjutkan sesi di masa akan datang yang belum pasti ada atau tidak. Pernahkah diskusi ini berjaya atau berakhir sia-sia?
Sebatang pungar perlu dicabut terus dari akarnya bagi memudahkan proses meratakan tanah sebelum proses penanaman semula apa-apa jenis tanaman dilakukan. Maksudnya mudah, merubah sesuatu keadaan perlu dilakukan daripada akar umbi, bukannya dari batang pungar yang ditebang. Tiadalah telunjuk jari mulus ini mahu menuding sesiapa kerana pasti akan timbul jua ayat "Sehebat manapun jari telunjuk menunjuk ke hadapan, jangan ia terlupa bahawa jari yang tiga lagi menunjuk dirinya sendiri,".
Apakah sebenarnya yang berlaku? Bukankah kita hendak membincangkan soal halatuju, bukannya melempar tuju-tuju tanpa memikirkan baik buruk sebuah persoalan yang selama ini dicari-cari akan ubatnya. Ini tidak, ditambah bengkakkan lagi.
Persoalan konkrit datang dari akar umbi. Cabutlah yang ini dahulu demi memudah, atau meringankan sedikit masalah yang dihadapi. Sebaik sahaja perihal akar ini usai, maka kesulitan yang memberatkan isi kepala pun terlerai. Tidak akan ada lagi bunyi pepatah "Seperti langit hendak runtuh dan guruh berdegar-degar di langit, tetapi tempayan kita sebenarnya kosong tanpa setitis air,". Pepatah ini tidak sesuai diguna pakai andai kiranya kita berjuang di laluan yang sama. Kita tidak pernah bermusuh atau bertelingkah. Sastera seharusnya menyatukan penulis, dan ia bukan gelanggang tempur; apatah lagi seni bergocoh!
Kadang kefahaman dalam pembacaan bisa membuat minda mengarah fikir lebih jauh keluar dari fikrah manusiawi. Sama ada baik atau buruk natijahnya pasti datang dari insan yang memikirkan itu. Begitu jugalah dengan perasaan: hendaklah berusaha dengan sepenuh hati untuk tidak perasan dipersalahkan. Seperti yang telah dinyatakan tadi: sastera bukan gelanggang tempur, apatah lagi seni bergocoh! Apa yang penting sekarang ialah proses melahirkan pengkarya yang baharu (yang menulis artikel camping ini terkecuali) tanpa diskriminasi halus dari akar umbi. Pelik (sebenarnya tidak), hampir setiap kali membahas isu halatuju, akan ada ayat sebegini.
Petikan 1
"Kita hendak melahirkan karya berstatus perdana ...sebagai karya yang bukan penuh dengan warna warni cinta, tetapi kita menegurnya secara kasar dan tidak beradab, tanpa memikirkan dia adalah lebih tua daripada kita dan kita juga nanti akan menjadi tua sepertinya, suatu hari nanti. Tetapi begitulah yang berlaku, takdir sastera kita tidak pernah kabur tetapi kita sendirilah yang meludahnya ke langit sehingga ianya menjadi kabur."
Petikan 2
"Yang hendak membina gunung itu sangat kecil jumlahnya, tetapi yang hendak meruntuhkan gunung itu adalah sangat besar jumlahnya, dan sebahagian besar mereka itu adalah orang bijak pandai dan para ulama belaka,"
Petikan 3"
Apa gunanya kita mewujudkan sekolah seni di Universiti Malaysia Sabah, kalau sekolah itu tidak mampu melahirkan penulis yang boleh berdikari dan bergantung hidup dengan kerja seni dan penulisan mereka?"
Petikan 4
"kita mesti mewujudkan sekolah seni di UMS bagi memenuhi keperluan dalam melahirkan penulis aktivis sastera di negeri Sabah dan Malaysia amnya dan menjadikan bidang penulisan sebagai sumber pendapatan mereka dalam kehidupan."
Petikan 5
"Jangan kata ini bersifat materialistik, hanya semata-mata kerana anda boleh hidup mewah dengan suapan gaji kerajaan, tetapi mahu melihat penulis yang bergantung hidup dengan kerja penulisan mati kebuluran tanpa nisan."
Petikan 6
"Justeru itu, sebenarnya kita sendiri yang mengaburkan hala tuju sastera kita, hanya semata-mata kerana kita hidup selesa berbanding orang lain. Tetapi ingatlah, hidup ini mudah, sesekali kita berada di atas dan kita berada di bawah."
Enam (6) petikan di atas memadai untuk dinaikkan hari ini, sementara yang lainnya sekadar berlegar di ruang lingkup yang sama. Ibarat orang puyeng. Petikan 1 lebih kepada isu hormat insan. Maksudnya menaruh rasa hormat kepada mereka yang lebih senior. Perlukah ia diterangkan lebih lanjut? Pernahkah perang mulut antara orang lama dan baharu berakhir dengan sepak terajang, keroyok dan yang sewaktu dengannya ketika diskusi sedang berjalan? Siapa kurang ajar? Kan lebih baik menjernihkan suasana dari terus mengeruhkannya. Ini tidak, tembak dan terus menembak! Namun agak malang, tembakan tidak langsung mengenai sasaran. Jadi isu hormat harus dikeluarkan daripada topik kerana tidak ada orang yang kurang ajar kepada orang yang lebih dahulu (tua) dalam penulisan.
Petikan 2 pula lebih fokus kepada impian (sekadar pendapat sahaja). Tak perlu digendang lebih. Apa yang kurang kita tambah, yang dah ditambah kita perhalusi lagi dan lagi. Kan mudah begitu? Diskusi kita bukan gelanggang tarung penentu menang sanjung; kalah diusung. Jernihkan fikir, usah keruhkan.
Petikan 3 mengingatkan (yang menulis artikel camping ini) sejarah wujudnya UMS atas nama politik. Perlu diingatkan, dalam mana-mana jabatan, sama ada kerajaan mahupun swasta - akan timbul soal politik. Bila dah masuk bab politik, segala yang kecil akan menjadi besar, sementara yang besar akan ada perkara yang sulit sengaja disembunyikan. Ini perkara biasa. Politik, racun dan penawar ada padanya; andai baik disarung maka baiklah hasilnya, andai buruk disarung maka buruklah hasilnya. Faham-faham sendirilah.
Petikan 4, ini juga sebuah impian. Bunyinya murni namun masih ada kelompangan padanya. Memang pada asalnya tujuan sekolah seni diwujudkan tak lain demi melahirkan mahasiswa yang bisa menghasilkan karya yang ranum, seterusnya menjadikannya sebagai punca pendapatan tanpa bergantung harap dengan makan gaji dengan kerajaan. Apa kata setiap permasalahan melibatkan sesebuah institusi diajukan kepada mereka yang berada di sana kerana kita tidak mengetahui pucuk pangkal cerita. Tanya mahasiswa, tanyalah pensyarahnya tanpa perlu bermuka dua kerana bermuka dua hanya sekadar mahu mengundang sengketa, dan sengketa pula takkan habis sampai bila-bila.
Petikan 5, perlu dirujuk kembali buku arwah Othman Puteh. Benar, tak perlu hipokrit tentang honorarium, royalti, atau sasterawang kerana itu terletak pada diri masing-masing. Mewah dengan suapan gaji kerajaan? Ini namanya emosi. Tidak ada pekerja awam yang mewah dalam kerajaan melainkan melilit keliling pinggang sekalian hutang. Menulis sebagai sumber rezeki? Ya, wajar. Tiada kesalahan padanya. Ia halal. Tetapi apa yang ditulis? Baik atau buruk? Ingat, setiap perkataan dipertanggungjawabkan, bukan sahaja dunia, malah di akhirat jua. Sekarang ini, kita kepingin melahirkan aset baharu dalam bidang penulisan di mana kita kekurangan penulis yang jujur dalam penulisannya. Sebagai contoh, cerpen. Bukan sesuatu yang mudah menghasilkan sebuah cerpen. Ketelitian diperlukan dan kritik karya sendiri wajar dilakukan berulang-ulang kali sebelum karya dihantar untuk diterbitkan. Namun apa terjadi? Asal siap. Kalian bacalah sendiri.
Petikan 6, sekali lagi diingatkan, tidak ada orang yang pernah hidup selesa sebenarnya di dunia ini. Akan ada sahaja benda yang kurang. Yang berumah satu ingin menambah dua, yang berbini satu bernafsu menambah lagi bininya, yang kaya mahu menambah kaya, yang miskin mahu cepat kaya, dan banyak lagi. Susah hendak diterangkan satu persatu. Sama ada berada di atas atau di bawah bukanlah persoalan yang unik. Ia normal. Jangan disangka yang bergolek-golek itu bola selagi belum nyata berhenti ia di hadapan mata, dan mata pula mengesahkan bahawa ia adalah sebiji bola. Kajilah dengan baik dan teliti. Walaupun Allah jadikan kita ini lengkap, namun masih ada kelemahan pada diri kita yang kita tak nampak, orang lain sahaja yang menilai dan akhirnya menunjukkan sebab apa itu ini, perlu begitu begini, dan sebagainya. Apa yang perlu sebenarnya?
Menerima kritikan sebagai suatu rahmat yang akan membina diri kerana kita sendiri tahu kelemahan, dan berharap semoga perjalanan kerja yang seterusnya tidak merencat seperti yang sebelumnya. Alangkah indah kalau hujah ini diterima dek akal sihat.

Jumaat, Mac 25, 2011

Pernah Ada Sahabat, Apakah?

bertanya kepadamu
apakah pernah ada sahabat
darimu atau kepadaku
kepada sesiapa yang baru
bahkan kepada sapa tanpa wajah
tanpa suara melainkan kata-kata

bertanya kepadamu
apakah nilai dari uraian
wangi dan warna
huraian bahasa dan kata
mungkin hanya indah bermadah
sekadar cantik hiasan hanya

bertanya kepadamu
apakah pernah ada sahabat
yang tak pernah berjabat
hanya pada ungkapan hebat
pada potret kaku bernama seribu
menyebab rindu memburu
dan berakhir tersipu
malu


Grand Margherita
Kuching

Pagi di Sungai Sarawak

pagi di sini
menganyam khuduk
saat dibuka jendela kalbu
tiada siapa aku
sementara waktu berlalu
dengan diam
sapaMu jua membelah kelam
pagi di sini
menganyam senyuman
syukur diucapkan
tiada siapa aku
selain sopan menerima
segala pemberian


sungai sarawak, begitu zaman
memaknakan wujud,
biar lesu tetap saja tak bisu,
suaramu jitu menggema
melangit di pucuk santubong
menyapa sijenjang
memberiku riang.

Grand Margherita
Kuching
20 Mac 2011

Khamis, Mac 24, 2011

Wira Jiwa

apakah kau membaca sajak-sajak tenunannya benang-benang makna
diperindah bahasa bagai busana yang menghias gadis sutera santunnya
tapi aku selalu ingin membacakannya pada segala badai
pada damai awan dan gunung ganang di bawah purnama bulan

katakan apa sahaja jika benar yang meranum di halkum puncak bicara
atau merdu lagu-lagu sepanjang alur sungai diam geraknya di jiwa
zahir pada wajah tenang menjadi lebih wira berani mencari arah

renunglah sukma sajak-sajak mengajakmu segak tapi tidak berlagak
lebih baik memilih lembut santun daripada meriwayat masa sudah yang luka
kerana sejarah tidak akan mengubah peristiwa selain mengulanginya

Grand Margherita
Kuching
24 Mac 2011

Harap Hilang Derap

mendengar suara malam seperti mendengar kisah silam
berjalan-jalan kenangan tanpa menghiraukan jika hiba jua
yang tiba menikam mencarik liang riang menjadi hilang merdunya
suara.

mendengar sapa malam seperti mendengar lagu pilu
terbang di awangan awan-awan membawa ke arahmu seru
jika sayu melerai akrab yang lama kejap malangnya kerap harap
hilang derap

mendengar bayu malam seperti mendengar usik angan
berhenti menjalin ungkap biarlah berlayar di pelusuk redup
tiada hilang merdu derap segala ingatan mendakap
segalanya pulang dan berjuang.

Grand Margherita,
Kuching.

23 Mac 2011


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Mac 14, 2011

Bercerita Tentang Kampung

(Dedikasi: Subarjo Durasit, Sukar Kantong, Monsu Gudon, Asiah Abu, Basir Sukir, Zaini Surat, Jamali Mardi, Ramlan Ag Adi, Datuk Surinam Sadikun, Grey Sampungol, Yakub Pg Jaya, Mahmud Tamin dan kawan-kawan bocahku yang lain)

aku ingin menulis tentang kampungku
tak ada lagi selain awan-awan yang berlalu
seperti ingatan yang sering datang
ketika ku bertandang
kubawa anak-anak dan isteri
melihat sendiri
inilah leluhur yang pernah mahsyur
riuh rendah warga penoreh getah
injin kilang dan rel membawa muatan,
tersergam kini sebuah jambatan baru
namun sungai di situ telah pergi
jernih air hilang diganti keruh,
oh aku rindukan kawan-kawan bocahku
terjun dan mandi dari atas jambatan kayu
main 'bubut' sungguh riang tiada malu
tak kira remaja bergender apa,
rindu mendengar abang-abang bermain gitar
kugiran menggegar irama 60-an
dari kongsi pekerja hingga di panggung besar
di situ pernah puisi kugema
di situ jua para warga ladang berpesta
menghibur hati di puncak bulan,
di mana segala telah berlalu
le' mardi yang sering memotong rambutku
wak senggong yang digeruni budak-budak
silat kek mujiarto jangan silap gendang gamelan
nenek ag anak gagah di padang bola
makcik tiara bijak berpantun berjoget malah
le' karmani memimpin paluan hadrah
sentiasa sasa nyaring suara mengkhatam berzanji
serakalan dan bermarhaban
dan satu yang tak kulupa ketika bapa mengejar
kerana mencederakan muanam jiranku
juga ketika ku diarak seperti mempelai
sebagai tanda usia mencecah baligh,
oh segalanya telah tiada
ladang getah berubah wajah
ladang sawit menggamit bukit
tiada lagi aroma susu getah atau sekerap
kini berganti ciri
warga negeri beralih pergi
warga asing mengambil tempat,
aku ingin selalu menulis tentang kampungku
meski telah berlalu citra bocahku
diingsut waktu dicengkam usia.

LUMADAN BEAUFORT
6 MAC 2011

Rabu, Februari 02, 2011

Februari, sebuah puisi

(elegi buat Umi)

ia berlalu seperti bayu
selalu menyapa meraih pilu
sungguh tak luruh biar detik berlalu

bukan lagi sebuah sedih
hidup perlu berharga, dia telah pergi
tapi tak pernah pergi, sentiasa gemerlap
cahaya sebuah rahsia, jendela kalbu
memberi bisik, doa dan setia
sentiasa berputik

hari-hari mengilham makna
betapa dekat saat jauh
betap hebat dibebat rindu.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Januari 17, 2011

Kepada seorang tua yang sering membawa dirinya


telah lama sajak ini ingin kulukis di atas kanvas hidupmu
wajah yang kukenal sebagai perjalanan yang tidak difahami
apakah yang dicari? tak habis hari-hari, malam berubah siang
musim-musim mengalih tahun dan zaman, tak ada catatan
dalam fikiran atau menunda keinginan masa sudah
kerana bercerita hanyalah suatu bahasa yang memikat
tak mungkin mengikat untuk mendekat
menyebabkan sebuah kehidupan berjalan dan berlalu
melihatmu seperti selalu dan biasa

kucari sebuah ceria tapi tak mungkin mampu lagi dikutip silam
telah kaueram dalam denai diam
sebahasa usia kau lewati syurga atau neraka sama sahaja
orang-orang bagai lalang-lalang di padang-padang
atau ikan-ikan yang berjasa di kolam dan sungai kehidupan
jika yang menghulur belas ehsan benar-benar ihsan
merekalah, jika yang menghulur geram sirna rasa sayang
merekalah, yang hanya faham kesempurnaan
kau bukan sebuah keperluan

degup bandar raya terwarna oleh denyut serba mahu
tapi kau tak akan mengejar walau seinci
tak juga ada getar debar mengajak interaksi
biarlah lelah letih di atas ranjang jalanan
dan deru mobil jadi hiburan
lampu-lampu malamnya penyeri kota diri
siaga untuk esok hari-hari menjarakkan mimpi
berjalan lagi ke destinasi tanpa peduli
matahari akan datang lagi.


Bandar Raya Kota Kinabalu,
16 Januari 2011.


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Memberi Luka Itu

: peristiwa Interlok

kau memberi luka itu, dari celah-celah dalang para petualang
berang tak kenal mitos atau sejarah telah dikhabar sumbang
bengkak meranum di hati membakar nadi berdegup kencang

berlagak wira mendabik dada membangun bangga
deru bayu tidak lagi sesempurna erti merdeka
bebas dijalin erti tetapi tidak lebih kepada prasangka

kalian hanya tahu air tapi tak pernah menyelami dasarnya
kalian hanya kenal padang tapi tak pernah berlari pada keluasannya
kalian hanya kenal matahari tapi tak pernah bersyukur keindahan pada cahayanya

kau memberi luka itu, di genggaman bijak hanyalah domba
diperaga gelanggang sengaja menggoncang-goncang percaya
harmoni hanya senjata lidah tetapi menduri di hati akarnya.

Pustaka Iqbal Nazim,
Taman Putera Jaya, Telipok,
Sabah.

16 Januari 2011

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Isnin, Januari 10, 2011

U M I





umi - begitu kau hadir, tumpah darahmu sentiasa mengalir, degup jantung anak-anak yang ditinggalkan, jika demikian dewasa, remaja mereka akan berlalu jua, membaca segala riwayat hayat, saat kita membesarkan, mereka semakin faham bahawa ada yang kurang, meninggalkan di belakang tidak lagi kenangan, kerana kau selalu bergerak pada wajah, tingkah dan harapan mereka, sering kau ada bersama dan cinta kita ada pada mereka, anak-anak kita: zierah dan fierah...


PUSTAKA IQBAL NAZIM