Isnin, Ogos 27, 2012

Pemugaran Karya Sastera, antara menimba dan menambah ilmu


BERSASTERA suatu kerja mulia yang tidak perlu diukur berdasarkan nilai yang nampak kerana memang tidak akan terukur pun. Ada waktunya penulis begitu rajin, banyak berkarya (dalam kamus DBP - prolifik), banyak karya (produktif) dan ada ketikanya layu, bagaikan 'pokok separuh nak mati'. Penulis yang baru ada waktunya juga seperti pohon yang kekurangan air dan tidak cukup baja. Semangat untuk tumbuh cukup hebat tetapi apabila sudah bercambah di muka tanah semakin kurang bermaya lantaran dunia sastera ini cukup mencabar kepada kehidupan kreativitinya. Penulis, mungkin begini, setelah bekerja keras, dia merasa letih.

Kata sesetengah orang, penulis itu tidak mungkin berhenti menulis kerana begitu dia berhenti bermakna dia berhenti berfikir. Menulis itu suatu kegiatan berfikir. Tidak ada apa dalam karyanya jika tidak ada perkara yang terhasil daripada aktiviti berfikir. Merakam peristiwa yang kemudiannya diterjemahkan sebagai bahan baca yang mengandungi elemen baru untuk pembaca berfikir juga tidak dapat lari daripada medan berfikir.

Seorang penulis yang berjaya menyelesaikan sebuah cerpen misalnya sekali duduk, terhasil setelah ia puas atau berhempas pulas berfikir. Apakah bahan yang diperolehinya itu boleh menjadi sesuatu yang berfaedah untuk dinikmati pembaca, sudah menjadi unsur penting hingga dia merenung jauh, jauh atau dalam, dalam sekali. Hingga bila melihat pokok, telus tembus ke pokok-pokok lain, begitu juga bila melihat gunung ganang, pandangan kalbunya boleh menyeberangi ke segala ceruk rimba. Apabila merenung kegelapan malam, dia boleh memandang kelahiran esok pagi bahkan hari-hari yang berlalu lama dulu.

Apakah pembaca faham atau menerima apa yang difikirkannya, itu persolan lain. Baik atau tidak sesebuah karya itu soal kemudian. Setelah diedar atau diterbitkan, karya itu sudah sebahagiannya menjadi yang lain, bukan seperti asal. Orang boleh membuat apa sahaja tanggapan. Puisi atau sebuah cerpen bahkan novel dan drama sekalipun, orang akan membuat tafsiran yang berbeza-beza.

Saya faham tulisan Suhaimi Haji Muhammad mungkin orang lain tidak, begitu juga karya Kemala, Usman Awang, Hatta Azad Khan, Johan Jaafar, Marzuki Ali, Azmah Nordin, Jasni Matlani, Noraini Osman, Ruhaini Matdarin, Mabulmaddin Shaiddin dan seumpamanya. Orang kata ada cara untuk mencari makna sesebuah karya itu. Gunakan tanda atau perlambangan. Cari pendekatan penulis-penulis berkenaan. Hampiri latar kehidupan penulis karya berkaitan. Dan bermacam-macam lagi, tidak payah diceritakan. Orang yang tahu asam garam dunia sastera, lebih faham apa rahsia rasanya. Mungkin juga memenatkan. Atau meletihkan. Bagaimana kalau penulis yang dulunya gah dalam dunia sastera, kini sudah begitu letih bersastera, melihat kegiatan sasteranya hanya sebagai kenangan, tetapi itu pilihannya untuk berhenti berfikir untuk sastera, mungkin kata orang begitu, kini arahnya mungkin di arena yang lain. Misalnya dia lebih suka lepak di kedai kopi bertemu sahabat dan kawan. Berniaga atau boleh jadi memilih dunia politik dan dunia masjid.

Berfikir itu bukan sekadar kerana bersastera. Berhujah tentang sesuatu perkara dalam konteks yang lain juga boleh terjadi. Sastera ini kadang-kadang hanyalah singgahan orang yang letih berfikir perkara-perkara yang rutin. Dia melepaskan masalahnya di arena sastera. Jadilah juga sebuah ciptaan yang dangkal dan asal siap, kurang nilai seninya, kurang diksi yang mencabar, dan inilah karya yang mungkin diterima lantaran mudah difahami. Sedangkan mereka yang benar-benar menggilai sastera yang sudah berani membenarkan pilihan diksi di luar kebiasaan, diletakkan di suatu kamar lain. Terdapat ada penulis baru khasnya yang ingin menulis dalam semua genre walaupun kekuatannya hanya pada satu genre. Dia menulis novel, cerpen, drama dan puisi. Bila menghasilkan puisi, karyanya tidak begitu kukuh berbanding karya-karya prosa. Nilai estetikanya kurang menyerlah, pemilihan diksinya kurang dinamik, teknik penulisannya juga kurang bertenaga.

Kita tahu mana-mana penulis yang serius dan penulis yang sekadar bermain-main di lapangan itu. Penulis yang serius mungkin serius menyertai acara-acara penataran karya sastera. Bengkel novel dia ikuti, bengkel cerpen dia sertai, bengkel puisi juga tidak ditinggalkan, begitu halnya bila kursus penulisan drama yang dianjurkan. Baik juga peluang untuk menimba ilmu perlu direbut yang kemudiannya memilih genre mana yang sesuai bagi dirinya. Negatifnya saya fikir tetap ada kerana sikap kurang memilih menyebabkan peluang kepada penulis yang lain mendapatkan ilmu turut terjejas. Barangkali aktiviti penataran harus berpaksikan kepada genre-genre tertentu.

Bengkel penulisan novel contohnya, diawali dengan azam yang diakhiri oleh produknya. Untuk genre-genre yang lain juga demikian. Dimulai daripada yang amatur hingga yang profesional harus dipisahkan skemanya. Sudah tentu kurang terancang apabila semua peserta disuguhkan mengenai perkara yang sama sedangkan pengalaman masing-masing penulis itu berbeza-beza. Genre pilihan mereka juga berbeza. Apa yang terjadi dalam hal ini ialah persoalan untuk membezakan antara menimba ilmu dan menambah ilmu dalam kalangan para penulis. Memperbanyakkan progam pemugaran karya yakni memberikan nilai tambah kepada para karyawan yang telah diakui metodologi penulisannya wajar dilaksanakan dan sudah pasti memberikan manfaat kepada para penulis yang mempunyai wibawa yang tinggi.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Jun 10, 2012

Manifestasi kecintaan menerusi puisi

 
PUISI, bagi para pengkaji dan pencinta seni kreatif dilihat sebagai satu manifestasi daripada kecintaan manusia yang tinggi terhadap hidup, kehidupan manusia, kemanusiaan, alam dan segala isi alam yang diciptakan Tuhan. Wujud interaksi fizikal dan spirituil yang kelak dapat memperkaya pengalaman hidup kita. Kerana itu menurut Lim Swee Tin (2000), puisi mempunyai sihirnya sendiri dalam satu jalinan atau tautan yang akrab atau intim dan mesra kepada penggemar ataupun pencintanya.

Dalam kajian dan telaah kesusasteraan kreatif, puisi sebagai salah satu ciptaan sastera dikatakan terbina daripada elemen-elemen strukturnya seperti tema dan pemikiran, unsur gaya bahasa dan mesej yang dikatakan mengiringi setiap kelahiran karya. Tetapi apakah hanya itu yang ada dalam sesebuah puisi?

Puisi sehingga kini telah menjadi saluran yang berkesan bagi karyawannya menyampaikan buah fikiran, pendirian hidup dan perjuangan. Disebabkan puisi intim dengan pembaca dan sesuai dengan sifatnya yang khusus, kesannya jadi mendalam. Anda kajilah sejarah Perancis, bukankah pemimpin di Amerika Latin menggunakan puisi untuk menyalurkan perjuangan bangsa mereka sehingga ada penyair seumpama Pablo Neruda lahir sebagai seorang negarawan terbilang di negaranya.

Puisi sebenarnya merupakan sebuah karya kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar.

Demikianlah puisi yang dalam sejarah kesusasteraan dunia dikatakan sudah berusia ribuan tahun. Tradisi kesusasteraan kita pula mula menyambutnya sejak awal abad ke-20, dan hari ini ia menjadi genre yang cukup penting di tengah-tengah peradaban yang getir dan sukar. Apakah yang mendorong seseorang menghasilkan puisi? Mengapakah corak pengucapan sebegini yang dipilih? Mengapakah mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyampaikan rasa gusarnya terhadap bangsa Melayu melalui puisi? Dalam sebuah puisi karyanya, Tun Dr. Mahathir menegaskan tentang perjuangan bangsa yang harus dilakukan dengan upaya yang tinggi: Hari ini, jalan ini pasti semakin berliku/kerana masa depan belum tentu/menjanjikan syurga/bagi mereka yang lemah.

Kecenderungan masyarakat termasuk para pemimpin menulis atau membaca puisi membuktikan bahawa kesenian warisan ini menjadi saluran penting pelahiran atau peluahan perasaan dan menjadi salah satu alat bagi menyatakan citra diri, menyampaikan pandangan atau kritikan, malahan mencetuskan pemikiran intelektualisme mereka terhadap isu-isu penting. Kita telusuri sahaja puisi Usman Awang (1929-2001) berjudul 'Balada Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandar Raya', penyair dengan amat tajam mengkritik pihak-pihak berwajib yang memusnahkan tumbuhan semulajadi dengan rakusnya di bandar raya beralaskan matlamat pembangunan. Perbuatan ini telah terjadi di mana-mana tempat di negara kita ini terutama di bandar-bandar yang sedang mengalami proses pembangunan. Begitu juga pernyataan sinis Usman terhadap umat Melayu dalam puisinya bertajuk 'Melayu'. Namun jika kita perhatian senario terhadap beberapa insiden di negara kita yang melibatkan sesetengah orang Melayu akhir-akhir ini, apakah inilah impak puisi tersebut apabila kita membaca kenyataan di bawah ini: Melayu itu berani jika bersalah/kecut takut kerana benar/janji simpan di perut/selalu pecah di mulut/biar mati adat/jangan mati anak.

Baha Zain pula telah menulis 'Menangguh Kebenaran' menyindir orang-orang kota yang gemar berdusta, hidup berpura-pura dan rendah moralnya. Dalam puisi-puisi siri 'Rangkas Bintung'nya, W.S.Rendra memberontak terhadap penindasan, kekejaman dan kebobrokan pemerintah terhadap rakyat. SN Dato' A.Samad Said kini menjadi lebih jelas menjadikan puisi sebagai jalur pemikirannya terhadap pemerintah. Pengaruh puisi terhadap kehidupan masyarakat kita memang kukuh tanpa disedari. Di Sabah kita juga mempunyai puluhan penyair yang turut menggarap hal-hal yang tidak jauh beza pemikiran mereka dengan para penyair yang ternama di seluruh nusantara. Misalnya Ariffin Arif dalam Kumpulan Puisinya bertajuk 'Api Laut Merah', Soibil Madun (Lautan Sebuah Ayunan), ABM Fajeer (Taufan), Jalidar Abdul Rahim (Tanah Kerinduan), Zaiton Ajamain (Bagai Layang-Layang), Jair Sulai (Sungai Hayat), Dayang Salmah Salam (Bisikan Nurani) dan saya sendiri melalui 'Akar Cahaya', 'Datang Kembali', 'Menginai Badai' dan 'Kembali di Lahad Rahsia' serta puluhan lagi antologi puisi yang dicetak menjadi taman ungkapan-ungkapan para penyair menyalurkan kehadiran mereka sebagai perakam peristiwa dan pencetus zaman mendatang.

Kita wajar menelaah puisi-puisi yang tersebar lebar dalam bentuk buku atau media-media yang lain di samping terus memperkaya karya untuk berkongsi nikmat cinta di tengah-tengah kemanusiaan yang diasak oleh pelbagai kerenah, kemahuan, harapan dan impian. Di tengah-tengah insan hipokrit. Di tengah-tengah kemelut dahsyatnya mentaliti masyarakat yang memandang kemewahan lebih utama berbanding nilai cinta dan kasih sayang.

UTUSAN BORNEO 10 Jun 2012

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, April 01, 2012

Tentang Hiperbola dalam karya sastera



DALAM dunia sastera, kita akan bertemu dengan perkataan bombastik dan hiperbola. Ramai yang keliru dengan perkataan bombastik dan hiperbola kerana kedua-dua perkataan tersebut membawa maksud perkataan yang berlebih-lebihan.

Menurut Rahman Shaari, bombastik dan hiperbola ialah perkataan-perkataan yang berlebih-lebihan atau melampau-lampau. Apa yang membezakannya ialah bombastik bermaksud kata-kata yang berlebih-lebihan, tetapi tidak mempunyai nilai keindahan. Sedangkan hiperbola pula ialah kata-kata yang berlebih-lebihan, tetapi mempunyai nilai keindahan.

Bagaimana pun dalam ruangan ini saya hanya akan membincangkan tentang hiperbola. Hiperbola adalah ungkapan (pernyataan) yang berlebih-lebihan atau dibesar-besarkan untuk memperoleh kesan tertentu dan tidak bertujuan ditafsirkan secara harfiah. Makalah kali ini akan berusaha mencari penjelasannya.

Sebenarnya di dalam hiperbola terdapat dua kata (atau bentuk lain), penanda dari kata pertama tersembunyi (implisit) dan digantikan oleh yang kedua. Iaitu kata (atau bentuk yang lain) yang mempunyai intensiti makna jauh melebihi kata yang pertama (yang tersembunyi). Kadang-kadang kedua kata yang dibanding muncul bersama, bahkan diantarakan oleh kata pembanding.
Sebenarnya hiperbola sering mengambil proses pembentukan jenis majas yang lain. Kadang-kadang proses pembentukannya seperti majas perumpamaan (simile), metafora, atau majas lainnya. Yang penting dalam hiperbola adalah fokus perhatian terletak pada kesan intensiti makna.

Dikemukakan beberapa contoh. Contoh pertama melalui ungkapan ini: Dengan suara menggelegar, ia berkata:”Pergi kau dari sini!” Ada perbandingan antara suara halilintar dengan suara manusia (implisit). Komponen makna penyama adalah: nyaring (keras). Komponen makna pembezanya adalah 'suara manusia' dan 'suara alam raya' yang sangat keras. Jadi, di sini digunakan bentuk metafora.

Contoh seterusnya perhatiankan pada ayat ini: Tiga tahun telah berlalu sejak meninggalnya kekasihku, namun tak sedetik pun wajahnya hilang dari ingatanku.

Kata sedetik sebenarnya mengemukakan perbandingan antara waktu yang sangat singkat, dengan waktu yang dirasakannya. Meskipun waktu yang dirasakan itu sebenarnya bukan sedetik, melainkan barangkali satu atau beberapa jam. Dalam kenyatannya, tidak mungkin dalam waktu tiga tahun orang memikirkan satu hal saja terus menerus, sampai bilangan detik. Bentuk yang dipakai di sini adalah sinekdoke. Ukuran waktu yang digunakan jauh lebih sedikit (sebahagian) daripada waktu yang sebenarnya digunakan. Yang penting di sini ialah kesan yang ditampilkan. Dengan menggunakan majas ini, intensiti makna bahasa menjadi sangat kuat.

Kita lihat lagi sebuah contoh:Secepat kilat ia berlari menuju garis penamat. Di sini bahkan perbandingan bersifat eksplisit – cepat seperti kilat. Yang dibandingkan adalah kecepatan lari manusia dengan kecepatan kilat. Jadi bentuk hiperbola di sini adalah simile.

Bagaimana dengan ayat ini: Kuman di seberang lautan Nampak, gajah di pelupuk mata tidak nampak.

Ujaran di atas menampilkan empat hiperbola, iaitu kuman (untuk menggambarkan kesalahan yang begitu kecil), di seberang lautan (untuk menunjukkan jarak yang begitu jauh), gajah (untuk mengemukakan kesalahan yang begitu besar) dan akhirnya di pelupuk mata (untuk menampilkan jarak yang begitu dekat).

Di sini hiperbola digunakan untuk menggambarkan ukuran benda akstrak yang dikonkritkan (iaitu kesalahan) dan ukuran jarak. Ukuran itu boleh menjadi sangat besar atau sangat kecil. Ketiga hiperbola pada contoh terakhir ini mengambil proses pembentukan majas simile dan metafora. Jadi, bila sejumlah pakar memasukkan hiperbola ke dalam majas perbandingan , disamakan perbandingan eksplisit (simile) atau implisit (metafora) mereka mempunyai alasan yang kuat.

Pada perhatian saya, memang ramai penulis khususnya puisi tidak menyedari bahawa mereka banyak sekali menggunakan gaya bahasa hiperbola dalam karya-kaya mereka. Saya mengaku hiperbola menjadi salah satu gaya bahasa untuk menarik minat pembaca atau penikmat karya sastera. Di Sabah saya boleh kategorikan penyair Mabulmaddin Shaiddin melalui 'Stensil Si Pari-Pari', sebuah kumpulan puisi persendiriannya, begitu senang dengan gaya bahasa ini. Bahkan saya sendiri dalam banyak puisi yang dihasilkan, unsur hiperbola begitu mesra digunakan. Jangan risau sekiranya anda dikategorikan sebagai pendukung hiperbola kerana keindahan bahasa boleh lahir dalam bentuk apapun. Indah dan mesra makna.


Referensi:

1. http://journal.ui.ac.id/upload/artikel/01_Majas%20dan%20pembentuk_Okke%20KSZ.pdf

2. http://pencintabahasa1.blogspot.com/2011/07/perbezaan-bombastik-dan-hiperbola.html

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Khamis, Mac 22, 2012

Metafora sebagai gaya bahasa dalam puisi


GAYA bahasa sering menjadi faktor penentu diterimanya sebuah karya oleh khalayak penikmatnya mahupun oleh penganalisis sastera. Bertolak daripada kenyataan ini, apakah anda menyedari puisi anda diperindah oleh gaya bahasa milik anda sendiri? Atau itulah puisi apa adanya tercipta dan terilham sekali duduk tanpa mengkaji atau meneroka gaya bahasa sebagai unsur keindahan. Mungkin sahaja anda berfikir inilah persembahan sebuah puisi sebagai sastera tulis yang sarat di dalamnya sebuah mesej besar!

Penelitian stilistika berdasarkan asumsi bahawa bahasa sastera mempunya tugas mulia. Bahasa memiliki pesan keindahan dan sekaligus membawa makna. Tanpa keindahan bahasa, karya sastera menjadi hambar. Keindahan karya sastera, hampir sebahagian besar dipengaruhi oleh kemampuan penyair memainkan bahasa. Kelenturan penyair berolah bahasa akan menciptakan keindahan khas sastera. Dengan kata lain, bahasa adalah wahana khusus ekspresi sastera.

Puisi bukanlah sebuah bentuk komunikasi atau informasi langsung melalui ungkapan-ungkapan literer. Banyak makna yang diungkap di dalam puisi yang tidak dapat disampaikan menggunakan bahasa yang biasa. Puisi memerlukan cara pengungkapan sendiri. Bahasa puisi adalah bahasa khas. Yakni, bahasa yang telah direkayasa sedemikian rupa.

Namun demikian, puisi yang baik bukanlah puisi yang sukar untuk difahami akibat penggunaan metafora semula jadi (creativa methaphor) atau metafora konvensional (lexical metaphor). Puisi yang baik adalah puisi yang mampu memberi pencerahan, inspirasi, dan makna bagi kehidupan pembacanya atau pendengarnya (jika puisi dibacakan) tanpa memerlukan masa yang panjang untuk membedahnya dengan menggunakan pelbagai referensi.

Pertanyaannya, seberapa ramaikah pembaca yang belajar atau mengetahui tentang teori semiotika; tanda puisi (poetic signs), tanda linguistik (linguistic signs); semantik, juga metafora, untuk memahami kata demi kata di dalam puisi yang merupakan “kendaraan makna” (vehicle of meaning) sehingga menemukan makna puisi (poetic meaning)?

Pengetahuan tentang sastera khususnya puisi tidak semua orang mengetahuinya. Apabila bercakap tentang tanda-tanda, perlambangan atau imajan, gaya bahasa seperti metafora atau personafikasi, hanya segelintir yang tahu waima penyair itu sendiri bahkan. Terdapat penyair yang tahunya hanya menulis puisi tanpa memikirkan atau mengambil peduli hal-hal berkaitan dengan gaya bahasa atau pendekatan karya yang dihasilkannya. Namun secara kebetulan, hal-hal yang diperkatakan ini wujud dalam karya mereka selepas dibedah atau dibicarakan oleh penganalisis sastera.

Metafora sering hadir dalam karya sastera. Zaidan Hendy (1991:69) mengemukakan bahawa metafora berasal daripada kata 'meta' dan 'phoreo' yang bererti bertukar nama atau perumpamaan. Metafora adalah majas perbandingan langsung, iaitu membandingkan sesuatu secara langsung terhadap penggantinya.

Metafora juga didefinisikan sebagai perbandingan dua perkara yang berlainan atau berbeza, tetapi mempunyai persamaan hanya di dalam konteks yang dibandingkan. Sebagai contoh, pulau dan impian adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya adalah jauh dan memerlukan usaha penyair untuk sampai ke sana. Dari kaitan ini terciptalah metafora ‘pulau impian’. Contoh yang lain kata 'sungai' yang pernah digunakan oleh beberapa orang penyair. Misalnya Hassan Jaidin telah menulis sajak yang berjodol “Sungai Peribadi”, Rahman Shaari dan Ahmad Razali menghasilkan sajak “Sungai Sejarah”. Muhammad Haji Salleh menggunakan metafora ‘sungai takdir’ dalam sajaknya “Baris-baris dari Muzium Goethe”. Jair Sulai juga menggunakan metafora ‘sungai waktu’ dalam sajaknya “Belajar Resmi Sungai Waktu'. (Zurinah Hassan, 2011).

Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Malah Dr. Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya. Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan
lebih dekat atau lebih dikenali oleh masyarakat. Selain objek alam, metafora juga dibentuk dari unsur-unsur lain seperti watak cerita rakyat dan lagenda.

Terdapat banyak puisi yang membandingkan 'sifat setia' dengan Hang Tuah, 'angan-angan tinggi' dengan Mat Jenin, dan 'pemberontakan' dengan Jebat. Di dalam sajak Dialog, karya Kassim Ahmad terdapat baris “aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani” yang membawa maksud dia akan bertindak untuk menuntut keadilan.

Walau bagaimanapun alam jagat raya merupakan sumber metafora yang paling dominan di dalam puisi Melayu (Zurinah Hassan, 2001) Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan, matahari, hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H.B. Jassin pernah menulis, “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H.B.Jassin. 1968:114) .
PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Mac 11, 2012

Percakapan Tentang Tema

SESETENGAH penyair tidak pernah memikirkan soal tema apabila dia sedang menulis puisi. Emosinya sewaktu berkarya menjurus kepada amanat atau mesej yang sedang dia fikirkan. Kreativitinya berkembang seiring bersama berkembangnya diksi-diksi indah yang membangunkan karyanya.

Tanpa disedari sebenarnya tema merupakan sesuatu yang menjadi fikiran pengarang. Menurut Waluyo (2003:17) tema adalah gagasan atau subjek pokok yang dikemukakan penyair melalui puisinya. Semua karya terkhusus karya sastera pasti memiliki tema yang merupakan pokok permasalahan yang diangkat dalam menulis karya sastera itu.


Soalnya bilakah tema itu ditemui? Penyair mempunyai pilihan kerana puisi kelihatan amat mudah berbanding genre sastera yang lain. Sebagaimana menulis cerita pendek yang lazimnya mempunyai unsur satu tema, begitulah halnya puisi, tidak mungkin berbaur campur dengan pelbagai tema.


Apa yang penting apabila penyair ingin menyampaikan amanatnya ia berpegang pada satu paksi atau fokus sebagai jalur perjalanan kreatifnya. Demikian halnya apabila penyair menyusun puisi-puisi menjadi sebuah buku kumpulan puisi persendiriannya. Penyair yang cenderung kepada kepelbagaian tema agak sulit untuk menentukan satu tema khusus dalam bukunya itu. Ini terjadi apabila dia tidak siap untuk menulis secara khas sebuah buku puisi tetapi memasuk-rojakkan semua atau sebahagian karya yang pernah disiarkan di media massa sebelum ini.


Selain pelbagai tema, ketidak tepatan pemilihan judul juga akhirnya menjebak buku puisi seperti ini sebagai karya semberono kerana judul yang dipilih tidak menggambarkan intipati tema sebenar kelahiran buku berkenaan. Tanpa menyebut judul buku-buku puisi yang dimaksudkan, saya sering menemui buku puisi seperti ini dan malah saya mengakui pernah melakukan kesilapan itu.


Kita boleh ikuti puisi-puisi tematik berdasarkan sesuatu peristiwa. Ini kelaziman pilihan ramai penyair. Contohnya pada bulan Ramadan, pembaca akan menemui puisi-puisi Islam bertemakan Ramadan di media-media massa. Semasa bencana Tsunami melanda Aceh pada tahun 2005 begitu banyak puisi mengenainya ditulis penyair. Tidak dinafikan terdapat penyair yang menulis hanya berdasarkan tema, misalnya diundang menghasilkan puisi bertemakan Hari Kemerdekaan atau berkaitan dengan tema keagamaan. Selain daripada itu dia tidak menulis puisi kecuali diminta untuk menulis. Penyair jenis ini digelar penyair tempahan kerana dia ditempah untuk menulis mengikut peristiwa dan tempoh tertentu di samping dijanjikan bayaran sagu hati tertentu. Apabila puisi-puisi tempahan ini dihasilkan amanat yang akan disampaikan oleh penyairnya mudah untuk difahami.


Perbezaan paling ketara antara menulis karya kreatif dengan bukan kreatif tentu sahaja bentuk penyampaian, laras bahasa atau gaya bahasa dan pemilihan diksi yang padat dan tepat. Puisi merupakan karya sastera yang memiliki struktur yang sangat kompleks yang terdiri daripada beberapa strata atau lapis norma. Masing-masing norma menimbulkan lapis norma di bawahnya, seperti dijelaskan oleh Rene Wellek. Lapis norma pertama adalah lapis bunyi (sound stratum). Bila orang membaca puisi, maka yang terdengar adalah serangkaian bunyi yang dibatasi jeda pendek, agak panjang, dan panjang. Lapis pertama yang berupa bunyi tersebut mendasari timbulnya lapis kedua, iaitu lapis makna (units of meaning), kerana bunyi-bunyi yang ada pada puisi bukanlah bunyi tanpa makna. Bunyi-bunyi itu disusun sedemikian rupa menjadi kesatuan kata, frasa, kalimat, dan bait yang menimbulkan makna yang dapat difahami oleh pembaca.


Puisi adalah salah satu bentuk karya sastera yang mengekspresikan secara padat pemikiran dan perasaan penyairnya, digubah dalam wujud dan bahasa yang paling berkesan. Pemikiran juga bersangkut dengan amanat samada yang bersifat intrinsik mahupun bersifat luaran. Pada umumnya penyair mengungkapkan gagasan dalam kalimat yang relatif pendek-pendek serta padat, ditulis berderet-deret ke bawah (dalam bentuk bait-bait), dan tidak jarang menggunakan kata-kata atau bahkan kalimat yang bersifat konotatif. Ini juga suatu pilihan dalam kalangan penyair itu sendiri.


Ketika ingin menentukan tema, penyair yang tegar tentu memahami bahawa struktur dan ragam puisi sebagai hasil karya kreatif terus-menerus berubah. Hal ini nampak apabila kita mengkaji ciri-ciri puisi pada zaman tertentu yang ternyata berbeza dari kekhasan puisi pada zaman yang lain. Di masa lampau misalnya, penciptaan puisi harus memenuhi ketentuan jumlah baris, ketentuan rima dan persyaratan lain. Itulah sebabnya pendeta Za'ba mendefinisikan puisi sebagai karangan berangkap. Definisi tersebut tentu saja tidak tepat lagi untuk masa sekarang kerana saat ini penyair sudah lebih bebas dan tidak harus tunduk pada persyaratan-persyaratan tertentu. Hal ini mengakibatkan pembaca tidak dapat lagi membezakan antara puisi dengan prosa hanya dengan melihat bentuk visualnya. Kerana itu, bukanlah terlalu sulit untuk penyair menentukan apakah tema pilihannya sebagai satu kecenderungan menulis puisi.


Penyair yang siap merupakan penyair yang telah terjana berpaksikan satu tujuan, satu matlamat dan satu amanat. Mungkin kenyataan ini tidak enak kepada segelintir penyair yang mampu bersikap apa saja tema baginya bukan masalah besar dan menjadi kesalahan. Saya berpendapat memilih satu tema yang jelas menjadi salah satu persyaratan penyair berkaitan diberikan biliknya sendiri. Mahu percaya mari sebutkan siapakah penyair sufi di Singapura misalnya, dengan cepat akan mengaitkan penyair Johar Buang. Di Malaysia, sudah tentu kita boleh menyebut nama-nama seperti Kemala, Shafie Abu Bakar, Ariffin Arif dan Shuhaimi Haji Muhammad. Siapakah penyair rakyat di Indonesia, pasti akan ada yang menyebut W.S.Rendra atau yang sufi pada karya-karya Kuntowijoyo. Pilihan tema mereka itulah bilik mereka dalam rumah sastera yang mereka bina.





PUSTAKA IQBAL NAZIM

Sabtu, Februari 25, 2012

SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG | Persoalan konflik daripada kaca mata penyair


KONFLIK dan sengketa merupakan sinonim dua kata yang sama makna walaupun masih saling berdiri bagi mendukung pengertian masing-masing. Kita sering mendengar konflik di mana-mana di dunia yang berhubung kait dengan idea, kepentingan, kehendak, aliran dan sebagainya antara individu atau kuasa besar yang akrab menghasilkan sesuatu yang menggemparkan.

Konflik berasal dari kata kerja Latin 'configere' yang bererti 'saling memukul'. Secara sosiologis, konflik dimaksudkan sebagai suatu proses sosial antara dua orang atau lebih (misalnya kelompok) di mana salah satu pihak berusaha menyingkirkan pihak lain dengan menghancurkannya atau membuatnya tidak berdaya.

Konflik telah menjadi bahagian daripada kehidupan manusia sejak manusia ada di dunia. Apakah pengalaman intrinsik seorang penyair terhadap konflik atau sengketa yang sedang kita saksikan kini daripada kaca mata seninya? Penyair sebenarnya tidak berhenti membaca, menikmati dan menyuburkan nikmatnya itu dalam bentuk diksi yang sebenarnya sarat dengan seribu satu pemikiran, saranan dan harapan. Begitu berat saranan difikirkan penyair begitu payah juga untuk menamatkan riwayat konflik dan sengketa kerana pengakibatan manusia itu sendiri. Selagi manusia berpaksikan kepada kemahuan, cita-cita dan keperluan yang benar baginya, konflik terus terbina, sengketa terus menjelma dalam kehidupan manusia.

Soalnya mengapa konflik? Mengapa sengketa? Kita percaya setiap konflik atu sengketa yang dialami masyarakat atau dalam kelmpok yang lebih besar didasari oleh hal-hal yang saling bersangkutan dalam kehidupan yang semakin kompleks kini. Ada empat hal yang mungkin dapat kita baca dan fikirkan bersama bagaimana konflik atau persengketaan sering terjadi.

Pertama, perbezaan individu, yang meliputi perbezaan pendirian dan perasaan. Setiap manusia merupakan individu yang unik. Setiap orang memiliki pendirian dan perasaan yang berbeza-beza antara satu dengan lainnya. Perbezaan pendirian dan perasaan terhadap sesuatu hal atau lingkungan yang nyata ini dapat menjadi faktor penyebab konflik sosial, sebab dalam menjalani hubungan sosial, seseorang tidak selalu sejalan dengan kelompoknya. Misalnya, ketika berlangsung pentas muzik di lingkungan pemukiman, tentu perasaan setiap warganya akan berbeza-beza. Ada yang merasa terganggu kerana bising, tetapi ada pula yang merasa terhibur.

Kedua, perbezaan latar belakang kebudayaan sehingga membentuk peribadi-peribadi yang berbeza. Seseorang sedikit banyak akan terpengaruh dengan pola-pola pemikiran dan pendirian kelompoknya. Pemikiran dan pendirian yang berbeza itu pada akhirnya akan menghasilkan perbezaan individu yang dapat memicu konflik.

Ketiga, perbezaan kepentingan antara individu atau kelompok. Manusia memiliki perasaan, pendirian mahupun latar belakang kebudayaan yang berbeza. Oleh sebab itu, dalam waktu yang bersamaan, masing-masing orang atau kelompok memiliki kepentingan yang berbeza-beza. Kadang-kadang orang dapat melakukan hal yang sama, tetapi untuk tujuan yang berbeza-beza. Sebagai contoh, misalnya perbezaan kepentingan dalam hal pemanfaatan hutan. Para tokoh masyarakat menganggap hutan sebagai kekayaan adat yang menjadi bahagian dari segi adat mereka sehingga harus dijaga dan tidak boleh ditebang. Para petani menebang pohon-pohon kerana dianggap sebagai penghalang bagi mereka untuk membuat kebun atau ladang. Bagi para pengusaha kayu, pohon-pohon ditebang dan kemudian kayunya diesport guna mendapatkan wang dan membuka pekerjaan. Sedangkan bagi pencinta alam hutan adalah bahagian dari persekitaran sehingga harus dilestarikan. Di sini jelas terlihat ada perbezaan kepentingan antara satu kelompok dengan kelompok lainnya sehingga akan mendatangkan konflik sosial dalam masyarakat. Konflik akibat perbezaan kepentingan ini dapat pula menyangkut bidang politik, ekonomi, sosial, dan budaya.

Keempat, perubahan-perubahan nilai yang cepat dan mendadak dalam masyarakat. Perubahan adalah sesuatu yang lazim dan wajar terjadi, tetapi jika perubahan itu berlangsung cepat atau bahkan mendadak, perubahan tersebut dapat memicu terjadinya konflik sosial. Misalnya, pada masyarakat kampung yang mengalami proses industrialisasi yang mendadak akan memunculkan konflik sosial sebab nilai-nilai lama pada masyarakat tradisional yang biasanya bercorak pertanian secara cepat berubah menjadi nilai-nilai masyarakat industri. Nilai-nilai yang berubah itu seperti nilai kegotongroyongan berganti menjadi nilai kontrak kerja dengan upah yang disesuaikan menurut jenis pekerjaannya. Hubungan kekerabatan bergeser menjadi hubungan struktural yang disusun dalam organisasi formal perusahaan. Nilai-nilai kebersamaan berubah menjadi individualis dan nilai-nilai tentang pemanfaatan waktu yang cenderung tidak ketat berubah menjadi pembahagian waktu yang tegas seperti jadual kerja dan istirahat dalam dunia industri. Perubahan-perubahan ini, jika terjadi secara cepat atau mendadak, akan membuat kegoncangan proses-proses sosial dalam masyarakat, bahkan akan terjadi upaya penolakan terhadap semua bentuk perubahan kerana dianggap mengganggu kehidupan kebiasaan masyarakat yang telah ada.

Sebagai penyair isu-isu konflik dan sengketa begitu menarik untuk digarap menjadi karya yang hebat. Kehebatannya tentu sahaja bersangkutan dengan intipati konflik yang sedang melanda manusia. Penyair bertindak sebagai pemerhati, perakam dan penganalisis perkasa yang berjasa. Dia tidak mungkin mahu memihak mana-mana individu atau kelompok. Suaranya ternyata lebih bebas sama ada ketika dia berada di luar lingkungan individu atau kelompok berkenaan. Jika tidak penyair sedemikian merupakan orang yang terikat dan harus menjaga kepentingan kelompoknya. Dengan kata lain ia akan kehilangan nikmat terhadap nilai rasa, nikai fikir atau nilai kebenarannya.

Saya pernah mengisi perbincangan fikiran saya melalui beberapa buah puisi berhubung sengketa dan konflik yang sentiasa meramahi kehidupan masyarakat di sekeliling. Sebuah puisi yang ditulis semasa berada di Pontianak Kalimantan Barat Indonesia ketika konflik keadilan sedang menjadi caturan banyak orang di negara saya.

Satu jalan telah berbagi. Sudah sampai masanya kau bersiap untuk memilih. Apakah kelak benar jua yang telah kau pegang? Pandang saujana yang Tuhan berikan, bumi tak pernah rela diperbuat sengketa. Sayang nafsu menguasai segala. Duniamu teroka api menjadi lautan yang menenggelam. Sambil akal telah dibaham gelojoh. Satu jalan telah berbagi dalam dendam-dendam yang tak sudah. (Sengketa).

Tuhan tidak memberikan bumi ini untuk bersengketa. Ia suatu rahmat dan anugerah agar mampu ditadbir dengan sebaiknya. Orang tidak lagi peduli semua itu.Nafsu sarakahnya hanya tahu menakluk walau dengan apa cara sekali pun.

Sebuah lagi puisi yang saya tulis pada tahun 1992 bertajuk 'Membebat Luka Sengketa'. Puisi ini ingin membawa pembaca menilai sendiri kebaikan dan keburukan yang terhasil daripada sekian banyak konflik dalam masyarakat. Bukankah bangsa kita sebuah bangsa yang begitu gemar memelihara semangat tolak ansur, namun zaman telah menukar kulit dan isi kemanusiaannya kepada kegemaran kepada perseteruanm konflik dan persengketaan.

Mengenali jalur-jalur peta retorika kuasa/lebih baik hidupkan jantung bangsa/di tengah-tengah riak sengketa/biarpun beza ketika berhujah kata/kita junjung integrasi di bawah rumah demokrasi:/inilah rumah harmoni/inilah rumah makmur/inilah rumah impian/nilai keunggulan negara tercinta/mempercayai kekuatan yang telah dipasak/diakarumbikan sejarah kemanusiaan warganya,/siapakah pemiliknya jika bukan kita/anak-anak/yang telah digembirakan/oleh getar kemerdekaan/di mana telah tumpah darah kerana setia/sekali lagi: setia, sekali lagi: setia!/harus maknakan setia ini. (Membebat Luka Sengketa)

Barangkali telah dianggap salah bahawa dengan sengketa itulah perjuangan. Dengan konflik sesiapa perlu berjuang untuk mencari kebenaran. Namun yang selalu menjadi mangsa ialah rakyat jelata atau kelompok yang lemah, mereka seumpama pelanduk yang terkapar di tengah-tengah sengketa. Negeri tidak terurus dengan baik. Orang yang maju akan terus ingin maju, dia punya wang dan dengan wang itu dia boleh berdiri di hadapan dengan bangga. Dia berupaya menukar apa sahaja termasuklah menguasai ekonomi dan membentuk budaya hidup persekitaran. Soalnya, bilakah akan berakhir segala konflik dan sengketa itu?


PUSTAKA IQBAL NAZIM

Sabtu, Februari 18, 2012

SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG | Bertemu Melayu Patani di Membakut


PESERTA Mahrajan Persuratan dan Kesenian Islam Nusantara yang berlangsung di Membakut baru-baru ini antaranya mewakili Patani. Walaupun kerap disebut secara diplomatik mewakili Thailand sehingga juracara tiba-tiba berbahasa Inggeris kerana kewujudan warga 'Thai' itu, sebenarnya individu yang saya maksudkan seorang pemuda Melayu Patani yang sedang berjuang mempert...ahankan tanah airnya dan juga bahasanya daripada terus dicerca merbakan oleh kerajaan Thailand. Betapa tebal semangat Melayunya saya telah kesan semenjak bertemu buat pertama kali di Pekanbaru Riau bulan Oktober lepas ketika kami menyertai Festival Penyair Korea-Asean ke-2. Pada awalnya dulu saya juga beranggapan bahawa peserta dari Thailand ini sosok tuturnya dalam bahasa Thai seperti wakil dari negara Filipina atau Korea. Rupanya tekaan saya salah. Ada tiga peserta yang bukan sahaja fasih berbahasa Melayu tetapi nama mereka juga Melayu walaupun ejaannya telah berwarna Thailand. Ketika dia membacakan puisinya di salah sebuah kampung yang merencana program-program pengisian Mahrajan iaitu di Kampung Brunei, beliau menuturi puisi dalam versi Bahasa Melayu baru kemudiannya dialih bahasa dalam bahasa Thai, saya bertanya mengapa demikian jadinya. Demikian yang apa, tanyanya pula. Bukankah lazimnya alih bahasa itu dalam bahasa Melayu tetapi anda sebaliknya. Katanya, saya orang Melayu! .

Pemuda Patani ini bernama Phaosan Jehwae, sukar juga disebut, jika Melayunya Nik Fauzan begitu. Ini adalah angkara menThaikan semua pekara termasuklah nama dan tulisan di tempat kami, jelas Phaosan semasa saya menghantarnya kembali ke Bandar Seri Begawan melalui Menumbok. Kerana itu juga kami terus berjuang untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu.

Phaosan adalah pesyarah di Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Sastera dan Sains Kemasyarakatan Universiti Islam Yala. Beliau juga merupakan alumni Universitas Negeri Jakarta dan Universitas Gadjah Mada Yogyakarta. Sejak masih menjadi mahasiswa lagi Phoasan aktif menulis karya ilmiah di pelbagai media massa peringkat regional, nasional dan dunia. Pada masa ini Phoasan menerima biasiswa daripada kerajaan Negara Brunei Darussalam di peringkat Ph.D dalam bahasa dan linguistik Melayu.

Sejak dikenali, Phoasan merupakan seorang yang periang tetapi pada saya ia mempunyai ilmu dan pengalaman sebagai perantau yang berilmu. Walaupun pada usia di awal 30-an, memang muda untuk digelar ilmuan. Namun realitinya begitulah, Phoasan telah banyak mengembara berbanding saudara adik-beradiknya yang memilih dunia rutin mereka, bukan sebagai sasterawan, kerjaya yang pernah dimarahi ayahnya sendiri.

Sebuah buku puisinya 'Mutiara dari Selokan' sebagai hadiah persaudaraan kami merakamkan pelbagai watak terjelma dalam luahan cinta, benci, marah, bosan, kesal, prihatin, simpati, ihsan dan kemanusiaan. Salah sebuah puisinya berjudul 'Bangsaku Ketakutan' diawalnya dengan ungkapan ini: Hari-hari aku rasa bingung/Memikirkan bangsaku ditelanjangi/Membunuh seperti babi gila/Manusia nihil harga dan hak manusia/Tanpa punya rasa/setiap hari ada yang terpisah dengan keluarga.

Kematian di negerinya menjadi suatu yang lumrah. Warna ketakutan sentiasa menjadi bahan lukisan kehidupan mereka. Baunya terus dihidu seperti menghidu udara untuk hidup. Dengan nada yang sinis dan malah marah diulit 'Rasa dendam dan benci bertambah dari semula/Ada yang putus asa hingga matinkering/Tempat bermainku penuh bom dan orang hijau/Di manakah tanah kami dulu?

Sebagai pemuda Patani yang berilmu dan berwibawa, Phoasan meniup semangat kepada bangsa yang telah diperkosa. Ujian Tuhan tidak memilih tempat dan kudrat. Begitu hebatnya rutin kehidupan masyarakat Islam Patani, hanya keutuhan jati diri dan semangat yang sentiasa dibajai oleh nilai sabar dan fatonah. Kata Phaosan: Anak- anakku! Berhentilah menangis dan berteriak/Para nabimu telah melalui lebih dahsyat/Di penjara dibunuh difitnah hal biasa/Hidup tak bermakna tanpa ujian dari Tuhan. Tulisnya lagi: Ibuku! Kau jangan sedih dan menangis lagi/Anak-anakmu akan besar dan kuat/Semangat dan kesabaranmu kami tuntut/Kami akan membalas kesedihan tangismu selama ini.

Saya semakin ingin mendalami intipati puisi-puisi penyair Patani ini. Mutiara dari Selokan yang mengandungi sebanyak 82 buah puisi yang sarat dengan perenungan yang membangkitkan semangat untuk kemajuan dan melembutkan hati yang keras serta menerangi jiwa yang diuji. Patani! Masihkah Diingat adalah antara puisi yang baik untuk dihayati. Dengan penih kesedaran Phaosan menyatakan bahawa Bangsaku sudah lupa dengan bangsanya/Generasiku sudah tak kenal lagi negerinya/Bahasaku sudah pupus dari tanahku sendiri/Aku bertanya pada diriku/Masihkah kau mengenal dirimu dan apa bangsamu?

Patani adalah antara daerah Melayu yang telah dihilangkan keMelayuannya padahal Patani atau al-Fathoni dulunya pernah menjadi pusat ilmu dan pencetak beberapa orang penulis dan ulama yang bertaraf dunia. Semoga Islam dan Bahasa Melayu terus diperkasakan oleh para pemuda dan pemudi yang bangun seperti Phaosan Jehwae di bumi Patani.

Sejak bertemu di Pekanbaru, pertemuan di Membakut telah mengikat lagi tali persaudaraan seIslam dan seMelayu kami. Dunia Melayu nusantara begitu besar bunyinya namun tanpa iltizam untuk memekarkan peradaban melalui sastera, budaya atau seni dengan apa cara sekali pun, ia hanya berupa ungkapan yang timbul hanya setelah bertemu pada pertemuan-pertemuan yang lain. Phaosan telah saya anggap tidak sekadar saudara seagama atau kerana kami boleh bertutur dalam bahasa yang sama dan mencenderungi serambi sastera yang sama tetapi ia juga telah saya anggap seperti saudara saya sendiri. Barangkali disebabkan perjuangannya juga dan dia merupakan pemuda Patani yang berdarah Melayu sejati.

PUSTAKA IQBAL NAZIM

Ahad, Februari 05, 2012

SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG


HARI ini tanggal 12 Rabiulawal merupakan hari yang sentiasa diingati oleh umat Islam di mana-mana juga di dunia ini. Suatu tarikh, lahirnya kekasih Allah SWT yang memimpin umatnya ke jalan yang sentiasa diredhai Ilahi. Pada hari tersebut di mana-mana juga akan menyambutnya sebagai suatu detik kebesaran yang sentiasaa ditunggu setiap tahun dengan pelbagai aktiviti keagamaan.

Di zaman kecil, saya merupakan antara kanak-kanak yang menanti hari kelahiran Rasulullah S.A.W selain bulan puasa Ramadan dan hari raya Aidilfitri. Biasanya perarakan dilakukan penduduk kampung bermula dari bangunan sekolah hingga ke sebuah masjid di kampung yang jaraknya lebih kurang 6 kilometer. Kami berhadrah dan bersalawat bersama-sama orang-orang yang lebih dewasa diketuai imam kampung ketika itu, Allahyarham Tuan Haji Awang Adi Karmidi. Jalan raya di kampung kami masih bertanah kuning dan batu-batunya besar-besar, bila ada kenderaan lalu, debu berterbangan dan mengganggu perjalanan kami ke masjid. Kegembiran saya dengan rakan-rakan sebaya tidak pernah dilupakan. Pada malam sebelumnya mengikut ayah ke masjid untuk mengikuti ceramah agama mengenai sirah Rasulullah S.A.W dan pada paginya saya akan bangun awal tanpa perlu dikejutkan oleh emak. Rasa tidak sabar kerana saya antara kanak-kanak yang diberi tugas membawa sepanduk perarakan.

Ketika berada di Pontianak dua tahun lepas kenangan ini berputik lagi. Saya ikut menyaksikan budaya yang sama semasa meraikan hari Maulidur Rasul. Mereka berarak seperti kami di kampung atau di kota tetapi mereka menggunakan motorsikal beramai-ramai. Memang menyeronokkan.

Apapun juga peristiwa yang dilalui, Maulidur Rasul atau Maulud Nabi yang disambut setiap tahun sentiasa menterjemah rasa cinta kita terhadapnya. Hinggakan sebuah program TV merungkai '"Andai Rasulullah Masih Ada" (Lau Kana Bainana) akan mengingatkan kita semua bahawa mencintai Rasul S.A.W menjadi satu kewajipan dalam konteks ketaatan, menjadi pencetus idea dalam konteks dakwah, dan ia juga merupakan silibus dalam garis panduan kehidupan umat Islam.

Mengingati Rasul Junjungan tidak sekadar perarakan atau ceramah bahkan ikut diimarahkan dalam bentuk kesenian dan persuratan. Di negeri ini perayaan Maulidur Rasul begitu sinonim dengan pengungkapan-pengungkapan sasteranya. Misalnya penganjuran Mahrajan Sastera Islam yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Malam Mengucapan Puisi Islam anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Aktiviti ini terus berkembang dari semasa ke semasa dan paling penting melalui aktiviti ini masyarakat telah mengenali apakah peranan penyair dalam usaha menerapkan ajaran Islam melalui karya sastera khususnya puisi. Walaupun program ini telah berlalu bersama zamannya, roh aktivitinya masih berterusan menerusi Karnival Kesenian Islam yang turut menganjurkan Nadwah Sastera Islam dan Peraduan Menulis Puisi dan cerpen berunsur Islam.

Beberapa individu yang begitu relevan dengan program Mahrajan Sastera Islam tersebut sering mengingatkan aktiviti sastera Islam. Mereka yang saya maksudkan ialah Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim, Datuk Haji Mohd Arifin Mohd Arif dan Allahyarham Pengiran Haji Adnan Pg Haji Abbas serta beberapa orang mantan Pengarah DBP Cawangan Sabah. Ketiadaan mereka selepas bertahan lebih 15 tahun membawa program ini turut merundum dari tahun ke tahun dan akhirnya hilang sebagai salah satu aktiviti penting semasa perayaan Maulidur Rasul Peringkat Negeri dilangsungkan.

Sesungguhnya Mahrajan Sastera Islam berlangsung dengan berjaya sekali. Nadwah sastera Islam mengenengah ramai tokoh dari dalam dan luar negara. Bidang penerbitan pula menzahirkan banyak buku puisi berunsur Islam. Sebanyak 18 buah antologi puisi telah diterbitkan sehingga tahun 2005. Antaranya Antologi Puisi Kekasih (1987), Ujana Laut Ujana Hati (1989), Al-Kahfi (1992), Kiswah Rindu (1993), Qiam (1995), Kafilah (1996), Mujaddid (1997), Tasbih Rindu (1998), Cahaya (2000), Sapaan Bonda (2002), ‘Iktikaf (2003), Nyanyian Iman (2004) dan Hadrah Cinta (2005). Buku-buku puisi menjadi khazanah sastera paling penting apabila membicarakan perkembangan sastera Islam di Sabah malah sebagai sumber penting sastera Islam nasional.

Pemikiran Islami dapat diterapkan menerusi nadwah yang dianjurkan, di situ sahaja dapat menyalurkan gerakan aktiviti persuratan Islam dan seterusnya mengekalkan kehebatan Mahrajan Sastera Islam yang menjadi miliki kita sekian lama. Bagaimanapun, untuk memiliki semua ini, bergantung kepada kewibawaan dan iltizam bersama. Penulis perlu dilibatkan, aktiviti kesenian Islam harus melibatkan kelompok yang lebih luas bukan semata-mata pihak-pihak tertentu semata-mata. Kesenian Islam itu bukan hanya pada seni nasyid, seni khat, seni kompang dan sebagainya tetapi ia harus menyeluruh. Apabila bertemua dengan sahabat-sahabat lama, ada perkara yang telah dengan sengaja menjadi buah cerita, cerita-cerita itu tetap sama. Sastera kita sepatutnya semakin melebar dalam intipati kehidupan masyarakat kita, yang telah digelombangi pelbagai perubahan budaya. Tentu sahaja apabila menoleh kembali ke belakang kita inginkan kegemilangan itu terus berlangsung.

Beberapa orang penyair terbaik dari luar negara pernah dipelawa menyertai Nadwah Sastera Islam sebagai salah satu program Mahrajan Sastera Islam. Bukan mudah bagi penulis bahkan masyarakat tempatan menemui penyair nusantara Taufik Ismail atau Abdul Hadi W.M. secara lebih dekat selain membaca puisi-puisi melalui buku-buku mereka. Melalui aktiviti ini juga masyarakat diperkenalkan dengan tokoh-tokoh penyair selain berupaya membacakan puisi-puisi Islam bahkan diangkat sebagai tokoh penyair negeri yang disegani. Penobatan Tokoh Penyair Islam Sabah meletakkan penulis dan penyair terbaik bagi Negeri Sabah berada di pentas penghargaan. Itu kenangan yang tetap segar bagi saya dan saya fikir sahabat-sahabat yang terlibat ketika itu. Menerusi Mahrajan Sastera Islam, kita telah mempunyai tokoh penyair Islam, antaranya Pengiran Haji Adnan Pengiran Abbas (Allahyarham), Datuk Haji Ismail Abas (Allahyarham), Datuk Haji Jamdin Buyung, Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf (Allahyarham), Hajah Zaiton Haji Ajamain, Datuk Hajah Noraini Datuk Haji Salleh, Haji Harun Haji Salleh (Allahyarham), Hajah Sairah Haji Antin (Allahyarhamah), Datuk Haji Mohd Ariffin Mohd Ariff, Haji A.B.M Fajeer, Hasyuda Abadi dan Jasni Matlani.

Namun hal-hal yang lebih umbi harus diserlahkan oleh para penyair untuk mendalami sirah Rasullah SAW sebagai pembawa rahmat dan merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT.

Para penyair juga boleh memperteguhkan mesej Islami mereka mengenai Rasulullah SAW dari sudut politik baginda. Kekuatan politik Nabi Muhammad telah menjadi kuat apabila umat Islam berjaya mengalahkan orang Quraisy dan menakluk kota Mekah pada tahun 629 Masihi. Dengan kejatuhan Kota Mekah, penyair-penyair Arab yang mencaci agama Islam dan menghina Nabi Muhammad SAW dalam puisi mereka merasa gentar dan mulai khuatir tentang hukuman yang bakal diterima. Dengan perubahan politik tersebut, penyair-penyair Arab mulai mengubah sikap mereka dan juga tema-tema puisi yang diciptakan.

Kegemaran Rasulullah S.A.W. terhadap puisi terserlah apabila Baginda menggunakan tenaga beberapa penyair Muslim untuk membantu menentang musuh Islam. Antara penyair-penyair tersebut ialah Hassan bin Thabit, Ka’b bin Malik dan Abdullah bin Rawahah.

Hassan bin Thabit dikenali sebagai penyair yang mula-mula mempelopori tradisi puisi memuji Rasulullah S.A.W. Lantaran itu, beliau telah dilantik dan diberi kepercayaan selaku penyair peribadi Baginda dalam usaha menangkis sindiran dan kecaman penyair-penyair musyirikin. Rasulullah pernah berdoa kepada Allah yang khusus ditujukan kepada Hassan bin Thabit iaitu, “Ya Allah tetapkanlah dan kuatkanlah Hassan dengan Ruhul Kudus.” Menurut keterangan seorang sahabat Nabi iaitu Abu Hurairah bahawa, yang dimaksudkan Ruhul Kudus ialah malaikat Jibril.

Syair yang dihasilkan oleh Hassan ke arah membela dan mempertahankan Rasulullah dari menjadi mangsa ejekan dan penghinaan orang kafir Quraisy terutamanya dalam menangkis penyair-penyair yang terdiri daripada kaum musyirikin. Dalam peristiwa perang Badar, Hassan telah membela Nabi dari serangan syair kaum musyirikin yang menghina Baginda dan ajaran agama yang dibawa oleh Baginda. Namun begitu, Hassan dapat membalas segala syair mereka secara spontan.

Rasulullah pernah berkata kepada Hassan iaitu, “Ejeklah mereka hai Hassan dan Jibril sertaimu.” Hal demikian diperjelaskan lagi oleh Abul Faradj al Isfihany di dalam kitabnya bertajuk Al A-Ghany yang mengatakan bahawa Jibril telah menolong Hassan dengan tujuh puluh bait syair memuji Rasulullah S.A.W.

Sebagaimana yang diketahui, bukan mudah menggubah syair apatah lagi untuk membela Nabi dari serangan dan ejekan-ejekan musuh yang demikian banyak dapat dilakukan secara spontan dalam keadaan suasana huru-hara peperangan. Namun begitu, Hassan dengan mudah dapat menggubah tujuh puluh bait syair sekaligus dengan pertolongan malaikat Jibril bagi membela dan mempertahankan kemuliaan dan kebenaran ajaran Rasulullah.

Menurut riwayat Imam Abu Daud dari Ummul Mu’minin Aisyah r.a, Rasulullah telah mengadakan suatu tempat khas di mimbar Baginda di Madinah bagi Hassan bersyair dengan tujuan membalas penghinaan sekalian musuh yang memomokkan Baginda dan agama Allah. Menurut riwayat Ummul Mu’minin Aisyah r.a, beliau telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Itulah dinding antara kita dan orang Munafik, tidak ada yang mencintai Hassan melainkan orang yang beriman dan tidak ada yang membencinya melainkan orang yang munafik.”

Puisi puji-pujian terhadap Rasulullah banyak digubah oleh para penyair. Dalam buku yang diselenggarakan oleh Haji Muhammad Bukhari Lubis dan Hamidah Osman bertajuk Rasulullah dalam Puisi, sejumlah 79 antologi puisi dihimpunkan. Puisi tersebut menyentuh tentang kehidupan dan keperibadian Rasul Junjungan. Dalam kesusasteraan Arab, puisi-puisi yang mengandungi pujian dan sanjungan untuk Rasulullah S.A.W. digelar al-Mada’ih al-Nabawiyah.

Sekiranya kita mengakui bahawa Nabi Muhammad itu adalah manusia pilihan utusan Allah, maka sewajarnya budi pekerti Baginda dijadikan contoh dan teladan umat manusia yang taat setia sebagai pengikutnya. Ianya amat jelas dan sejajar seperti yang termaktub di dalam Al-Quran bilamana Allah telah menegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang-orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” (al-Ahzab 21: 670)

Ayat di atas menjelaskan bahawa, Rasulullah S.A.W. adalah ikutan atau contoh yang baik bagi orang yang beriman iaitu bagi orang-orang yang mengharapkan pahala dari Allah SWT dan mengharapkan balasan pada hari kemuliaan serta mereka sentiasa mengingati Allah. Puji-pujian terhadap Rasulullah S.A.W. yang dijelmakan dalam kesusasteraan Islam khususnya dalam genre puisi yang menyentuh pelbagai aspek kehidupan Baginda merupakan salah satu usaha para penyair melahirkan rasa kecintaan dan sanjungan terhadap Rasul Junjungan. Secara tidak langsung ia dapat membawa amanat bahawa nilai-nilai terpuji Rasulullah S.A.W. wajar dijadikan panduan dan suri teladan bagi membentuk peribadi Muslim