Ahad, November 02, 2025

Hijrah Menempa Ruang yang Benar

MJTAKHIR ini ramai yang berhijrah dalam konteks nawaitu mereka masing-masing. Berhijrah bukan sekadar berpindah ruang, meninggalkan tempat lama menuju destinasi baharu. Ia lebih daripada sekadar langkah fizikal. Ia adalah peralihan jiwa menuju kedewasaan dan kebenaran. Dalam kerangka madani, hijrah bukanlah pelarian daripada kesempitan, tetapi perjuangan untuk menegakkan nilai, membetulkan arah, dan memperkukuh makna kehidupan yang berlandaskan akal, adab serta keyakinan.
Berhijrah bererti menyedari bahawa perubahan tidak bermula di luar diri, tetapi dalam hati yang berani menolak kezaliman, kemalasan dan kejumudan fikiran. Ia bukan tentang mencari ruang yang lebih selesa tetapi tentang menempa ruang yang lebih benar, di mana manusia dihargai kerana maruah dan amanahnya, bukan kerana kuasa atau keturunannya.
Dalam semangat madani, hijrah adalah proses mendidik jiwa untuk berfikir secara matang, menilai dengan adil, dan bertindak dengan hikmah. Ia menuntut kita memikul tanggungjawab sosial, mengangkat nilai kasih sayang dan hormat, serta menolak segala bentuk penindasan, baik terhadap manusia, alam, mahupun diri sendiri.
Berhijrah bukan kerana ingin diiktiraf, tetapi kerana ingin menjadi manusia yang lebih insaf dan beradab. Dalam dunia yang sentiasa berubah ini, hijrah sebenar bukan sekadar langkah meninggalkan sesuatu, tetapi keberanian menuju sesuatu yang lebih bermakna dan berprinsip.

RAKYAT BIJAK MENILAI

SAAT paling dekat dengan rakyat ialah ketika kuasa menjadi rebutan. Di waktu itu, mereka yang selama ini berjalan di atas hamparan kemewahan tiba-tiba turun menyusuri lorong sempit, jambatan usang atau desa terhujung yang dulu tidak pernah dikenali. Mereka belajar menyapa dengan senyum yang lembut, menunduk hormat kepada orang kecil yang sebelum ini tidak terlihat. Segalanya tampak manis, seolah-olah rakyat benar-benar raja.
Namun, musim ini hanyalah sementara, datang setiap kali undi menjadi taruhan. Inilah ‘pesta rakyat’ yang pada hakikatnya bukanlah pesta untuk rakyat, tetapi pesta untuk merebut kuasa atas nama rakyat. Jalan-jalan kampung menjadi pentas lakonan, pasar menjadi ruang sandiwara, dan rumah-rumah daif dijadikan latar cerita tentang keprihatinan yang tiba-tiba wujud.
Segalanya bertukar wajah. Yang dulu berdiam kini rancak berbicara tentang nasib bangsa, yang dulu memandang sepi kini berpura-pura peduli. Bendera dikibarkan, janji dijual murah, dan slogan digubah indah seolah-olah perubahan menanti di hujung jari. Padahal, bila pesta selesai dan kerusi empuk kembali diduduki, wajah-wajah itu hilang semula ke balik dinding kuasa. Pemimpin berbondong-bondong dari merata tempat waima dari tampuk tertinggi seperti semut menemukan manisan, biar bangkai sekali pun umpama gula yang segar. Mereka sangat siaga!
Beginilah politik bila nilai sudah tergadai kepada keinginan. Rakyat hanya menjadi perhiasan dalam naratif demokrasi disebut waktu perlu, dilupa setelah selesai. Di pentas ini, bukan lagi soal membina negeri, tetapi soal mengekalkan pengaruh. Kuasa tidak lagi dilihat sebagai amanah, tetapi sebagai milik. Dan ketika kuasa dianggap milik, rakyat bukan lagi sahabat, tetapi alat.
Namun, dalam kegelapan lakonan itu, masih ada insan-insan yang istiqamah.Mereka yang berkhidmat tanpa menunggu musim. Mereka tidak menunggu pilihan raya untuk turun padang, tidak menunggu kamera untuk memberi bantuan, tidak menunggu tepukan untuk menunjukkan keprihatinan. Bagi mereka, tanggungjawab tidak bermusim dan amanah tidak bersyarat.
Mereka bekerja dalam diam, kerana mereka tahu bahawa kejujuran tidak memerlukan publisiti. Mereka percaya bahawa keberkatan bukan datang daripada sorakan, tetapi daripada keikhlasan. Inilah golongan yang menonjol wajar dengan jiwa rakyatnya, merekalah yang menjadi tulang belakang sebenar kepada kestabilan masyarakat. Mereka tidak menjual janji, kerana mereka sedang menunaikannya setiap hari dalam diam dan tekun.
Ironinya, dunia politik jarang mengangkat mereka. Mungkin kerana mereka tidak pandai berlakon. Mereka tidak pandai menyusun kata-kata manis atau berpura-pura prihatin di hadapan kamera. Tetapi sejarah selalu berpihak kepada yang tulus, bukan yang licik. Waktu akan menghakimi, dan rakyat yang semakin matang akan mengenal beza antara pengkhidmat dan pemain. Apatah lagi para pemain yang tiba-tiba tampil membawa wajah separuh waja, membawa panji-panji baharu yang tidak pernah kelihatan. Namun berani berpidato seolah-olah dialah seseorang yang harus dipilih. Kata orang inilah lazimnya suasana musiman. Kita boleh menyaksikan bukan untuk percaya tetapi menilai.
Akhirnya, pesta rakyat ini hanyalah cermin memperlihatkan siapa yang benar-benar berjiwa rakyat, dan siapa yang hanya menjadikan rakyat sebagai tangga.
Kuasa datang dan pergi, tetapi integriti kekal sebagai ukuran. Kerana di akhir segala sandiwara, yang tertinggal bukan lagi tepukan atau bendera parti, tetapi ‘nama dan maruah’ Dan maruah itu, tidak pernah lahir daripada dusta.