Jumaat, Disember 05, 2025

Apabila Hormat Berpindah Alamat: dari Ilmu ke Kuasa

MASYARAKAT yang sihat ialah masyarakat yang menilai manusia berdasarkan isinya, bukan labelnya; berdasarkan akhlaknya, bukan jawatannya; berdasarkan kebijaksa-naannya bukan kekuasaannya. 


Dalam tradisi tamadun yang berakar pada nilai, seseorang dihormati kerana ilmunya yang mencerahkan, kebaikannya yang menenangkan dan tasaufnya yang meninggikan jiwa. Hormat lahir daripada pengakuan batin, bukan paksaan kuasa. Namun realiti hari ini seakan telah mengalih ‘alamat hormat’. Ia tidak lagi bertempat di hati manusia berilmu tetapi di kerusi manusia berkuasa.


Semalam, sebelum pilihan raya, seorang calon adalah insan biasa. Kadang-kadang dipandang sepi, kadang-kadang diragui keupayaannya. Dia dibiarkan berada dalam dunianya sendiri. Bahkan ketika terpilih menjadi calon, keyakinan terhadap kemenangannya tidaklah seteguh mana. Tetapi sesudah diumumkan menang, segalanya berubah sekelip mata. Individu yang sebelumnya berjalan tanpa disapa, kini disambut bertemankan kamera; yang dahulu suaranya tenggelam dalam keramaian, kini setiap katanya direkod dan dijadikan tajuk utama. Dia diikuti, dikejar, diraikan dengan penuh gilang-gemilang.


Apakah yang berubah? Adakah akhlaknya tiba-tiba menjadi lebih suci? Adakah ilmunya bertambah dalam sekelip mata? Atau adakah jiwanya menjadi lebih luhur hanya kerana sehelai sijil kemenangan?Hakikatnya, yang berubah bukan manusia itu tetapi cara manusia memandangnya.


Di sinilah lahir satu penyakit sosial yang halus tetapi merosakkan: manusia mula dihormati bukan kerana siapa dia, tetapi kerana apa yang dia miliki. Bukan kerana hikmah, tetapi kerana pengaruh. Bukan kerana kebijaksanaan tetapi kerana kemampuan memberi dan mengambil.


Dalam keadaan sebegini, wujud pula manusia yang menjadi ‘bahan guna kuasa’, dihargai selagi ada kepentingan tetapi dilupakan apabila kuasa itu surut. Persahabatan menjadi kontrak tidak bertulis, kesetiaan menjadi dagangan dan pujian menjadi mata wang politik. Semua menjadi ‘transactional’ bukan lagi tulus.


Lebih menyedihkan, sebahagian manusia sendiri memilih untuk memindahkan maruah mereka ke tangan kuasa. Mereka menggadaikan pendirian demi kedudukan, menukar prinsip dengan peluang dan meminjam wajah agama atau moral sebagai topeng legitimasi. Kuasa yang asalnya alat amanah bertukar menjadi pentas untuk kepentingan diri. Padahal, sejarah sejak zaman silam telah mengajar: kuasa itu sementara, tetapi nilai itu kekal. Raja boleh jatuh, menteri boleh berubah, wakil rakyat boleh diganti tetapi orang yang berilmu akan tetap dirujuk, orang yang berakhlak akan tetap dikenang, orang yang ikhlas akan tetap hidup dalam ingatan masyarakat.


Kita perlu kembali bertanya dengan jujur: Siapakah yang wajar kita hormati. Orang yang menang undi atau orang yang menang hati?


Jika ukuran hormat hanya berasaskan kerusi, maka kita sebenarnya sedang membina masyarakat yang tunduk kepada simbol bukan nilai. Kita sedang mendidik generasi yang mengidolakan kuasa bukan menghargai kebijaksanaan.


Maka, tugas kita sebagai warga yang sedar ialah mengembalikan hormat ke alamat asalnya: kepada ilmu, kepada akhlak, kepada kejujuran dan kepada ketulusan. Kuasa hanyalah amanah sementara tetapi manusia yang baik ialah warisan sepanjang zaman. Namun apabila kerusi itu kosong dan sorakan itu senyap, yang tinggal bukan jawatan. tetapi siapa kita sewaktu kita memegang jawatan itu.


Dangau Sastera

Sepanggar

Rabu, Disember 03, 2025

Hakikat Kekuasaan yang Sementara

SERING kali manusia berasa besar diri apabila kuasa berdiri di belakangnya. Kata-kata menjadi lebih lantang, langkah menjadi lebih berani dan wajah kehidupan berubah seolah-olah segala pintu telah terbuka. Apabila kuasa menyertai diri, manusia mudah lupa bahawa di belakang kekuatan itu tersembunyi satu hakikat pahit: tiada kuasa yang kekal. Yang tinggal hanyalah masa, dan masa tidak pernah setia kepada sesiapa.


Kuasa, seperti bayang-bayang, hanya setia ketika cahaya memihak. Apabila cahaya beralih, bayang pun lenyap. Begitulah nasib manusia yang menyandarkan harga diri sepenuhnya kepada jawatan, pengaruh, dan perlindungan tertentu. Selagi kuasa di belakang wujud, mereka berasa kebal. Lidah berani, hati menjadi keras dan empati terkikis. Mereka lupa bahawa apa yang sedang dipeluk bukan kekuatan sejati, tetapi pinjaman.


Namun masa ialah pemecah mimpi yang paling kejam dan paling adil. Tiba waktunya, manusia akan terjaga daripada mimpi-mimpi lama. Jawatan berakhir, pengaruh mengecil dan nama tidak lagi disebut. Di saat itulah keterbatasan diri menampakkan wajah sebenar. Ada yang lahir keinsafan, menyusun kembali makna hidup, menebus kesilapan dan belajar rendah hati. Ada pula yang memilih sebaliknya, terus marah, menyalahkan dunia dan mengekalkan keangkuhan walaupun tongkat sudah patah!


Di sinilah perbezaan insan teruji: adakah kejatuhan menjadi sekolah kehidupan, atau sekadar bilik keluhan? Keinsafan bukan hadir secara automatik; ia lahir daripada keberanian mengaku rapuh. Tidak semua yang jatuh akan bangkit sebagai manusia baru. Ada yang jatuh sebagai tubuh tetapi ego kekal berdiri. Ada pula yang jatuh sebagai status tetapi jiwa bangun dengan lebih jujur.


Hakikatnya, kuasa manusia bak salji di tengah panas. Ia mencair tanpa menunggu kebenaran. Apa yang kelihatan teguh hari ini, menjadi sejarah esok pagi. Kuasa yang disangka gunung rupanya hanya buih - sekejap mengembang, cepat menghilang. Yang kekal bukan kuasa, tetapi jejak: adakah ia meninggalkan kebaikan atau parut?


Lebih pedih lagi, kuasa yang tidak ditopang oleh nilai akan berubah menjadi beban. Ia mencipta kawan yang berpura-pura dan musuh yang senyap. Ia membesarkan nama tetapi mengecilkan jiwa. Dan apabila kuasa hilang manusia berhadapan dengan cermin paling jujur iaitu diri sendiri yang kosong daripada sandaran.


Maka, apa pengajaran terbesar dari lakonan kuasa ini? Bahawa nilai mengatasi pengaruh dan akhlak mengatasi pangkat, gelaran atau bintang-bintang kebesaran. Bahawa manusia perlu membina diri pada perkara yang tidak boleh dilucutkan oleh masa: integriti, empati, dan kebijaksanaan. Jawatan boleh ditarik, gelaran boleh dipadam tetapi siapa diri kita akan kekal dalam kenangan orang lain.


Kuasa pada manusia sesungguhnya jumud dan hilang jika disandarkan sebagai identiti. Ia hanya alat, bukan makna. Yang menjadikan manusia besar bukan kerana kuasa di belakangnya, tetapi kerana kebenaran di hadapannya. Dan apabila mimpi kuasa pecah, biarlah yang tinggal ialah kesedaran bahawa menjadi manusia yang baik lebih mulia daripada menjadi manusia yang berkuasa.


Kerana akhirnya, kita tidak akan diingati kerana berapa kuat kita memerintah tetapi kerana berapa jujur kita melayani.


Dangau Sastera

Sepanggar

Selasa, Disember 02, 2025

Demi Rakyat di Ambang Kuasa: Antara Prinsip dan Kepura-puraan

UNGKAPAN “demi rakyat” sering menjadi azimat politik dilaungkan di pentas ceramah, ditulis di sepanduk dan dijadikan inti manifesto. Ia berbunyi mulia tetapi terlalu kerap teruji oleh satu saat yang getir ketika kuasa tersaji di hadapan mata. Di sinilah kita melihat bagaimana frasa yang kelihatan suci itu berubah makna, kadang-kadang kehilangan isinya, lalu tinggal sebagai slogan kosong yang ditiup angin kepentingan.


Dalam musim berkempen, kata-kata keras dilontarkan tanpa belas. Lawan digelar dengan pelbagai label, kebijakan dikecam habis-habisan, janji ditegaskan seakan akan dipahat di batu. Namun sebaik sahaja “sangkar kuasa” terbuka, nada berubah. Mereka yang semalam dimusuhi kini dirangkul. Pendakwaan lisan ditelan kembali. Kritikan menjadi pujian yang terpaksa. Nama “demi rakyat” dipetik sebagai alasan untuk segala pusing arah seakan-akan prinsip boleh dibengkokkan selagi dibalut dengan kata tersebut.


Masalahnya, “demi rakyat” tidak boleh menjadi rumus ajaib yang menghalalkan segala keputusan, apatah lagi yang menyalahi sumpah sendiri. Ia bukan kunci sakti untuk memutihkan pengkhianatan lidah, bukan lesen moral untuk memadam rekod kecaman. Apabila kata-kata keras dilupakan demi masuk ke kancah kuasa, pertanyaannya mudah tetapi pedih: adakah ini strategi bernegara atau sekadar siasah mempertahankan kerusi?


Ada yang berhujah bahawa politik memerlukan fleksibiliti. Dan benar bahawa kompromi adalah sebahagian daripada demokrasi. Tetapi kompromi berbeza daripada kapitulasi nilai. Kompromi menjaga matlamat dengan menyesuaikan langkah; kapitulasi menggadaikan matlamat demi langkah. Di antara dua ini, “demi rakyat” sering dijadikan selimut hangat untuk menyembunyikan kesejukan integriti.


Rakyat bukan naif. Mereka membaca bahasa tubuh lebih lantang daripada manifesto. Mereka memerhati bagaimana seteru semalam menjadi sekutu hari ini, bagaimana janji menjadi nota kaki, bagaimana ketegasan bertukar kepada senyap. Dan di situlah kepercayaan mula runtuh bukan kerana rakyat membenci politik tetapi kerana politik terlalu kerap memandang rendah kecerdikan rakyat. Mereka telah ditipu!


Lebih parah, apabila “demi rakyat” dipermudah menjadi slogan, ia kehilangan daya sakralnya. Frasa itu sepatutnya mengikat tangan pemimpin bukan membebaskannya untuk berbuat apa sahaja. Ia sepatutnya menghenyak ego bukan menaikkan nafsu. Ia sepatutnya mendidik tentang tanggungjawab bukan mengajar doktrin “apa sahaja asal berkuasa”.


Yang jarang diperkatakan: tidak semua kemenangan adalah kejayaan. Ada kemenangan yang hanya menambah angka di kerusi tetapi mengurangkan angka di nurani. Ada kejayaan yang meningkatkan pengaruh tetapi mengikis kepercayaan. Apabila kuasa diraih dengan menelan semula kata-kata keras tanpa kejujuran, tanpa penjelasan, tanpa pengakuan, tanpa penebusan maka yang tinggal hanyalah kuasa tanpa legitimasi moral.


Jalan keluar bukan memutihkan realiti politik, tetapi membersihkannya dari dalam. Jika terpaksa berubah pendirian, jelaskan dengan matang. Jika membuat pakatan yang dulu dikecam, huraikan rasionalnya dengan jujur. Rakyat lebih menghormati pemimpin yang mengaku berubah dengan alasan yang munasabah, daripada pemimpin yang bersembunyi di balik slogan.


Kerana itu, “demi rakyat” harus kembali kepada makna asalnya iaitu amanah. Amanah untuk bersikap konsisten dalam nilai, telus dalam keputusan dan berani menanggung konsekuensi. Kuasa bukan tempat memadam kebenaran tetapi ruang membuktikannya. Dan jika politik terus menjadikan “demi rakyat” sebagai topeng, maka topeng itulah yang suatu hari nanti akan jatuh mendedahkan wajah sebenar di balik sangkar kuasa.


HA

Jalan Penulis ke Persada Antarabangsa


UNTUK menempatkan diri di persada antarabangsa, para penulis tidak boleh lagi berpuas hati dengan pengiktirafan tempatan semata-mata. Dunia sastera global bukanlah medan eksklusif milik bangsa tertentu, tetapi gelanggang terbuka yang meraikan keberanian idea, keunikan suara, dan kualiti karya. Namun, untuk melangkah ke sana, penulis harus terlebih dahulu berani merentas kebiasaan yakni keluar dari zon selesa tradisi, genre sempit, dan pasaran kecil yang membataskan impian.


Karya bertaraf antarabangsa bukan sekadar diukur pada bahasa, tetapi pada kekuatan pemikiran. Dunia membaca bukan kerana kita “asing”, tetapi kerana kita “bermakna”. Penulisan harus membawa tema sejagat—kemanusiaan, keadilan, cinta, kehilangan, identiti, dan harapan yang mampu merentas bangsa dan geografi. Pada masa yang sama, keunikan tempatan tidak harus dilunturkan; sebaliknya, ia menjadi rempah yang memperkaya rasa global. Dunia mahu mengenali kita bukan sebagai peniru, tetapi sebagai suara yang tulen dari tanah sendiri.


Keberanian juga harus lahir dalam bentuk keterbukaan terhadap terjemahan. Tanpa penterjemahan, karya hebat terkurung dalam sangkar bahasa. Penulis perlu memandang karya terjemahan bukan sebagai produk sampingan, tetapi sebagai strategi utama penembusan pasaran dunia. Melabur dalam terjemahan bermaksud melabur dalam masa depan karya. Lebih jauh, penulis juga perlu menguasai bahasa kedua atau ketiga agar mampu bergaul dalam wacana global, menyertai festival antarabangsa, dan berdialog secara setara dengan penulis dunia.


Namun, karya yang baik tanpa pemasaran yang cerdas ibarat mutiara di dasar laut yang indah, tetapi tidak terlihat. Pemasaran perlu ditafsir pada skala besar. Ia bukan sekadar menjual buku di kedai dalam talian atau di rak kedai kampung dan pinggir jalan, tetapi merangkumi kehadiran di pameran buku antarabangsa, jaringan dengan ejen sastera, kolaborasi dengan penerbit luar, dan pembinaan jenama penulis di peringkat global. Dalam era digital, penulis bukan hanya pengarang teks, tetapi juga pengurus reputasi dan naratif diri.


Pengantarabangsaan sastera tidak akan berlaku secara organik tanpa sokongan ekosistem. Program-program promosi buku ke luar negara, dana penterjemahan, residensi penulis, pertukaran budaya, dan pembedahan karya secara berterusan perlu digerakkan secara sistematik. Pembedahan karya penting bukan untuk memuja, tetapi untuk menajamkan—mengkaji, mengkritik, dan memperhalus kualiti agar setara piawaian dunia. Di sinilah peranan institusi, universiti, badan sastera, dan sektor swasta menjadi rakan strategik kepada penulis.


Lebih daripada itu, penulis perlu melahirkan pemikiran besar. Dunia tidak hanya mencari cerita, tetapi pandangan alam—cara kita melihat dunia dan menafsirkannya. Penulisan yang bertaraf antarabangsa berani mengajukan soalan sukar, menyoal kuasa, mempersoal nilai, dan membuka ruang dialog lintas budaya. Penulis yang besar bukan mereka yang mengumpul anugerah semata-mata, tetapi mereka yang menggerakkan fikiran manusia.


Akhirnya, pengantarabangsaan bukan tujuan kosmetik untuk berbangga dengan “nama luar negara”, tetapi proses mematangkan sastera sendiri. Apabila karya kita diuji oleh pembaca dunia, kita akan mengenal kelemahan, memperbaiki kekurangan dan mengangkat kekuatan. Dalam proses itu, sastera tempatan turut terangkat maruahnya.


Dunia tidak menunggu kita tetapi kitalah yang harus mendekati dunia. Dengan keberanian merentas kebiasaan, kesungguhan mengangkat kualiti, strategi pemasaran yang berwawasan dan ekosistem sokongan yang kukuh, penulis tempatan mampu berdiri setara di pentas antarabangsa. Kerana sebenarnya, dunia tidak kekurangan suara. Dunia hanya menunggu suara yang benar-benar bererti.


HA

MENANG TANPA MAHKOTA

BERPRINSIP dalam politik bukanlah jawapan mutlak kepada segala kerumitan perjuangan. Politik ialah gelanggang kepentingan - ekonomi, kuasa, pengaruh dan kelangsungan - yang sentiasa bertembung dalam rundingan, pakatan dan pertarungan. Dalam dunia yang dipenuhi strategi dan kompromi, prinsip sering kelihatan seperti beban: indah disebut, sukar dipertahankan. Namun di tengah realiti yang keras ini, satu hakikat tidak dapat dinafikan bahawa orang yang berprinsip sentiasa ‘menang’ meskipun bukan dengan mahkota kuasa.


Hakikatnya, prinsip tidak selalu menyingkatkan jalan menuju kemenangan pilihan raya. Malah, dalam banyak keadaan, prinsip melambatkan, menyekat atau menafikan peluang segera. Mereka yang enggan menipu angka, menolak sogokan, atau tidak sanggup memutar fakta, sering kalah di kertas undi. Dalam politik yang rakus terhadap hasil dan cepat terhadap kelebihan, prinsip tampak seperti kemewahan yang tidak praktikal. Namun, apakah ukuran kemenangan hanya pada kerusi dan jawatan?


Di sinilah perbezaan antara ‘menang politik’ dan ‘menang moral’ menjadi jelas. Menang politik mungkin memberi kuasa, tetapi menang moral memberi makna. Kuasa boleh dirampas, reputasi boleh diputar, tetapi maruah adalah harta yang hanya boleh dimusnahkan oleh empunya diri. Orang yang berprinsip tidak selalu berada di tampuk kuasa, tetapi mereka sentiasa berada di puncak harga diri. Mereka mungkin tidak memiliki jentera, tetapi mereka memiliki nurani. Mereka mungkin tidak memiliki mikrofon tetapi mereka memiliki kebenaran.


Dalam jangka panjang, prinsip membentuk legasi, bukan sekadar biografi. Sejarah jarang mengingat siapa yang paling lama berkuasa, tetapi ia sentiasa mengingati siapa yang paling teguh mempertahankan nilai. Pemimpin yang berprinsip mungkin tewas hari ini, tetapi benih yang ditanamnya tumbuh dalam kesedaran generasi: bahawa politik boleh lebih bersih, bahawa kuasa boleh lebih beradab, bahawa kepimpinan boleh lebih jujur.


Namun perlu diakui, prinsip bukan paspot suci yang membebaskan seseorang daripada realiti politik. Prinsip tanpa kebijaksanaan boleh menjadi kebekuan; idealisme tanpa strategi boleh menjadi kebuntuan. Prinsip perlu diadun dengan keupayaan membaca zaman, memahami peta kekuatan dan merancang gerak. Tanpa ini prinsip hanya menjadi slogan indah tetapi tidak berdaya. Berprinsip bukan bermakna keras kepala. Ia bermakna setia kepada nilai sambil cerdas menavigasi realiti.


Lebih penting dalam politik yang sarat kepentingan, prinsip berfungsi sebagai kompas. Ia tidak menjanjikan jalan paling singkat tetapi menjamin arah yang paling betul. Kompromi mungkin perlu tetapi menggadai nilai adalah kekalahan hakiki. Kerusi boleh dikongsi, kuasa boleh dipinjam tetapi integriti tidak boleh disewa. Sekali prinsip dijual, yang tinggal hanyalah jawatan kosong daripada makna.


Orang yang berprinsip memang menang tetapi kemenangannya bersifat senyap dan mendalam: menang kerana tidak mengkhianati diri, menang kerana tidak memunggungi kebenaran, menang kerana meninggalkan dunia sedikit lebih jujur daripada yang ditemuinya. Dalam politik yang bising dengan janji, kemenangan seperti ini mungkin tidak dirayakan. Namun ia dirasai oleh rakyat yang percaya, oleh sejarah yang memihak dan oleh hati yang tidak pernah berhutang dengan dusta.


Maka benar prinsip bukan jawapan utuh kepada sebuah perjuangan yang berselirat kepentingan. Tetapi tanpanya perjuangan tidak lagi bernilai. Orang yang berprinsip mungkin tidak selalu menang dalam pilihan raya tetapi mereka sentiasa menang dalam peradaban. Dan dalam ukuran sejarah, itulah kemenangan yang paling lama bertahan.


HA

Isnin, Disember 01, 2025

Kuasa, Janji dan Wajah Sebenar Demokrasi

DALAM setiap musim pilihan raya, wajah politik sering tampil dengan solekan kata-kata manis. Janji ditabur, visi diangkat setinggi langit, dan lawan politik dilukis sehitam malam. Namun, apabila tirai kempen ditutup dan keputusan diumumkan, kita sering menyaksikan babak paling menyakitkan dalam demokrasi: tohmahan yang dulu dilaungkan kini ditekan sunyi, janji yang dibangga-banggakan kini ditelan kembali, dan seteru semalam bertukar rakan hari ini. Rakyat pun bertanya dengan nada kecewa dan sinis, “Apakah politik memang begitu?”

Realitinya, politik bukan sekadar gelanggang idea, tetapi juga arena kuasa. Dan kuasa, apabila menjadi tujuan utama, mampu melenturkan prinsip sekeras besi. Demi jawatan, demi kedudukan, demi kelangsungan pengaruh, ada yang sanggup menelan kembali kata-katanya sendiri tanpa rasa malu. Hari ini melabel “pengkhianat”, esok berpeluk sebagai “rakan strategik”. Semalam menjerit “rasuah”, hari ini menutup mata demi “stabiliti”. Yang berubah bukan hanya pendirian, tetapi juga makna kebenaran.

Dalam budaya politik seperti ini, prinsip sering menjadi mangsa pertama. Apa yang dahulu dipertahankan sebagai “maruah perjuangan”, kini hanya sekadar slogan lapuk. Janji pula berubah menjadi komoditi perburuan undi, murah, mudah ditawar, dan tidak wajib ditepati. Rakyat dijadikan latar untuk drama pentas kuasa: diperlukan ketika undi dihitung, dilupakan ketika kerusi ditetapkan. Maka tidak hairan, kepercayaan awam semakin nipis, sinisme semakin tebal.

Namun adakah ini takdir politik yang tidak boleh dielakkan? Jawapannya: tidak semestinya. Politik bukan ditentukan oleh sistem semata-mata, tetapi dibentuk oleh watak manusia yang menggerakkannya. Apabila pemimpin mengutamakan kuasa berbanding amanah, politik menjadi kotor. Apabila kejujuran digadai demi kepentingan, politik berubah menjadi sandiwara. Tetapi apabila prinsip memimpin kuasa, dan amanah mengawal cita-cita, politik boleh menjadi seni memakmurkan masyarakat.

Masalahnya, kita sering terpedaya dengan retorik, bukan rekod. Kita terpukau oleh pidato, bukan integriti. Kita mengagungkan personaliti, bukan prinsip. Lalu kita hairan apabila setelah menang, mereka berubah wajah. 

Sebenarnya, mereka tidak berubah, kita yang tidak cukup teliti membaca tanda. Politik lupa diri wujud apabila rakyat terlupa kuasa mereka.

Di sinilah tanggungjawab warga menjadi nadi penawar. Demokrasi bukan hanya pada hari mencelup jari, tetapi pada setiap hari menyoal pemimpin. Mengkritik bukan menderhaka, menilai bukan membenci. Rakyat yang diam adalah sekutu terbaik kepada politik yang songsang. Rakyat yang berani bersuara adalah sempadan kepada kuasa yang melampaui batas.

Apakah politik memang begitu? Politik hanya akan begitu jika kita membiarkannya begitu. Jika kita terus meraikan pemimpin tanpa menuntut akauntabiliti, terus memaafkan pengkhianatan tanpa hukuman moral dan terus melupakan janji tanpa catatan ingatan, maka politik akan kekal sebagai seni menipu tanpa rasa bersalah.

Namun jika rakyat bangkit sebagai hakim nurani, menimbang bukan dengan emosi tetapi fakta, menilai bukan dengan benci tetapi akal, politik boleh kembali kepada fitrahnya: mengurus kepentingan awam, membela yang lemah dan membina masa depan bersama. Kuasa sepatutnya alat berkhidmat bukan senjata menindas; sepatutnya amanah bukan perhiasan.

Akhirnya soalan ini tidak harus dijawab oleh pemimpin semata-mata tetapi oleh kita semua. Apakah politik memang begitu?Jawapannya terletak pada keberanian kita untuk menuntut ia menjadi lebih baik. Jika tidak, kita bukan sekadar mangsa politik tetapi realitinya kita adalah penyumbang kepada kejahatannya.

HA

Pasca Pilihan Raya: Rakyat Jadi Hiasan, Kuasa Jadi Tuhan


SETIAP kali pilihan raya, rakyat diangkat seperti raja. Tangan disalami, bahu dirangkul, rumah diziarahi walau kopi kosong pun terasa manis. Namun sebaik keputusan diumumkan, rakyat kembali ke asal jadi hiasan dinding demokrasi, sedang para pemenang berpindah ke singgahsana kuasa.


Di pentas awam, pemimpin bercakap tentang amanah; di belakang tabir, mereka bergomol tentang jawatan. Sumpah dilafazkan di hadapan rakyat, tetapi dilupakan di hadapan kerusi empuk. Janji tidak lagi ditunaikan, hanya diwar-warkan. Rakyat disuruh bersabar, sementara pemimpin sibuk mengatur meja kuasa.


Ironinya, dalam politik kita hari ini, pengkhianatan bukan lagi aib, ia aktiviti rasmi. Lompat parti dinamakan “langkah strategik”, mungkir janji disebut “realistik”, dan berebut kuasa ditakwilkan sebagai “demi kestabilan”. Bahasa politik tidak lagi alat kebenaran, tetapi kamus pemutihan dosa.


Lebih tragis, pemimpin berprinsip sering dicemuh sebagai keras kepala, tidak fleksibel dan tidak pandai ‘politik’. Prinsip dianggap penghalang kepada kemewahan, bukan panduan kepada kemakmuran. Dalam politik sebegini, mereka yang lurus akan selalu nampak bengkok.


Rakyat pula disuap drama. Hari ini ditayang lakon setia, esok tayang babak tikam belakang. Rakyat diharap lupa, maaf dan undi semula. Demokrasi menjadi siri televisyen: penuh adegan emosi, miskin tanggungjawab.


Namun satu hal tidak boleh disorok selama-lamanya: sejarah. Kerusi boleh hilang, gelaran boleh luput, kuasa boleh tanah, tetapi pengkhianatan kekal dalam ingatan. Masa depan tidak dibina oleh mereka yang cekap berbohong, tetapi oleh mereka yang berani setia.


Dalam politik hari ini, yang tanpa prinsip hidup dalam sehari. Yang berprinsip hidup dalam sejarah. Jika rakyat masih memilih yang sama, jangan salahkan pemimpin. Mereka hanya mengajar apa yang kita benarkan. Demokrasi tidak roboh kerana pemimpin jahat, tetapi kerana rakyat terlalu cepat memaafkan.