Sabtu, Mei 17, 2008

Menjenguk Kampung Halaman


JIKA dihitung adalah 3 bulan tidak menjenguk kampung. Untuk sampai di kampung kelahiran saya mengambil masa 2 jam setengah dengan kelajuan memandu 90-100 km/jam. Jika anda ke Sipitang atau Lawas bahkan ke Bandar Seri Begawan Brunei, akan lalu perkampungan multibangsa yang dulunya pernah saya ceritakan sebagai sebuah penempatan ladang getah yang amat terkenal juga: Kampung Lumadan. Tujuan kali ini tidak sahaja ingin menziarah bapa dan mama tetapi ada majlis kenduri kesyukuran, aqiqah dan juga menamakan anak pertama anak saudara saya. Wah bayi yang menjadi anggota keluarga kami yang ke-21 merupakan cucu saya. Bayi perempuan, namanya: Nur Syahirah Hazrina (Keenam menggunakan 'Syah' selepas anak-anak saya "Syahzierah dan Syahfierah" disusuli 3 anak saudara "Syahqir, Syahzril dan Syahfiz"). Zaman sekarang ni nama bukan main panjang, kalau dulu guna nama 'Amat', 'Amit', 'Banjir', Awang', 'Dayang', 'Siti' atau macam nama saya yang sebenar... pendek, padat, senang diingat, tidak payahlah nama-nama glamour. Itu dulu, dulu lain sekarang ni ... semuanya perlu kelainan. Nama panjang pun tetap ada maknanya, kata mereka.

Cerita tentang kenduri. Keunikan orang-orang kampung saya bila mengadakan majlis kenduri tidak kira apa pun, selepas mengaminkan doa akan disajikan kudapan iaitu minuman panas dan sedikit kuih muih. Tidak ada jamuan makan malam seperti di kampung-kampung lain, saya ingat. Kemudian semua yang hadir akan diberikan bungkusan-bungkusan berupa nasi dan lauk-pauk. Jika dalam satu keluarga hadir 2 atau tiga orang, cukuplah untuk makan malam bagi keluarga berkenaan di rumah. Seingat saya lagi pada tahun-tahun 50-60an lagi cantik. Cantiknya bukan apa, ini fasal makan, bila kenduri tuan rumah gunakan talam sebesar 24 inci garis pusat. Dalam talam itu akan diletakkan nasi sambil lauk-pauknya diletakkan di atas nasi tersebut beralaskan daun pisang. Tuan rumah telah memastikan satu-satu talam itu untuk beberapa orang, misalnya 5 orang atau 10 orang. Tidak menggunakan pinggan tapi daun pisang. Tugas kami masa kecil ialah mendapatkan daun-daun pisang di belakang rumah atau di rumah jiran. Setelah dihiris dan dibahagi-bahagikan, daun-daun itu akan digulung mengikut jemputan bagi majlis kenduri tersebut. Apa yang tahu ini budaya orang Jawa, kebetulan ramai orang-orang Jawa tinggal di kampung saya kerana bekerja sebagai penoreh getah. Budaya itu masih diamalkan namun telah mengalami perubahan dengan mengekalkan falsafahnya yang tersendiri iaitu - membahagi-bahagi berkat, itulah istilahnya.

Kampung saya ni sudah mengalami banyak perubahan, ini biasalah, mana-mana tempat pun akan mengalaminya. Bapa kata jangan bandar saja yang dimajukan. Kampung pun perlu. Fikirkan bila jalan raya dibesarkan, didirikan bangunan-bangunan besar dan tinggi, cantik dan indah di bandar atau kota besar, tapi banjir yang sering melanda penduduk kampung wajar diberikan perhatian sama. Ini cerita politik. Tetapi apabila bersangkutan dengan keperluan rakyat, bukan soal politik lagi, ini soal kebajikan. Bapa berfikiran sedikit siring walaupun memang menjadi penyokong kuat USNO satu ketika dulu dan UMNO, saya fikir sampai sekarang. Walau pun sikapnya kurang bercakap namun bila saya balik kampung cerita kami tiada lain selain politik. Paling seronok masa pilihan raya dulu, bila saya tanya, calon mana mau dipangkah? Bapa memberi tanda jempolnya kepada seorang ayah saudara saya yang sedang bersembang dengan kawan-kawannya, dengan maksud ikut fikiran ayah saudara saya itu. Saya faham siapa yang mereka sokong ketika itu dan saya pun lakukan (dan memang saya telah membuat keputusan awal calon parti mana yang saya perlu pilih sebagai seorang pengundi). Bapa kata, memang patut sangat wujud pembangkang di Parlimen sekarang ni, tidak seperti di Dewan Undangan Negeri Sabah hanya seorang. Tidak seronoklah, katanya. Bila semua sokong, kecualilah memang wajar dan betul, jika tidak pun, jawapannya kita semua maklum. Pembangkang pun bukan kerjanya membangkang semata-mata. Biasalah, kata bapa, gaduh-gaduh. Orang politik tu sebenar bagus jika mereka betul-betul bekerja untuk rakyatnya. Bukan senang jadi YB ni. Perlu ada modal. Iyalah, ada orang yang jadikan YB ni seperti pejabat kebajikan. YB kena ke sana ke mari. Yalah ke sani ke mari tu untuk bekerja bukan berfoya-foya. Memanglah glamour. Dulu orang biasa sahaja, bila jadi YB (huruf 'y' dan 'b' pun sudah dibesarkan) dunia mereka pun begitu juga. Itu anggapan kita. Jika kita kata mereka pun sama sahaja dengan orang lain, tiada salahnya. Cuma mereka ada tanggungjawab besar dan luar biasa. Dengan tanggungjawab itu mereka dibayar, diberi gaji sama macam kamu, kata bapa lagi, walaupun lebih tinggi. Upah mereka memanglah besar, kerana tanggungjawab mereka besar. Namun jika mereka tidak pandai bekerja, kerana kepingin sangat jadi YB atau mendapat projek tertentu daripada jawatan yang mereka terima, sudah tentulah segala upah atau gelaran mereka itu tidak mendapat berkat. Orang pun akan berkata: hari ini hari dia, satu hari nanti mereka akan kembali juga seperti asalnya, seperti kita. Samalah seperti burung tempua atau burung-burung yang gagah terbang di angkasa raya akhirnya kembali ke sarang bila masa senja telah tiba. Atau kata orang setinggi-tingga terbang bangau (sekarang banyak di Bandar raya Kota Kinabalu) akhirnya hingga ke belakang kerbau.

Hakikatnya kampung saya masih macam dulu, ada pembangunannya, ada elektrik, air bersih pun cukup baik. Telekomukasi juga sudah semakin diperbaiki. Sudah ada pemancar telekomunikasi yang memberikan khidmat kepada penduduk kampung yang menggunakan telefon bimbit. Saya rasa ini kemudahan yang wajar dinikmati sama seperti di tempat-tempat lain. Ini memberikan keselesaan kepada saya sendiri, mudah menghubungi isteri dan anak-anak di Kota Kinabalu, bahkan teman-teman dan mudah pula untuk saya mengakses internet menggunakan telefon bimbit. Anak-anak saudara saya juga saya lihat amat gembira dapat berSMS dengan kawan-kawan mereka. Berbanding dulu terpaksa berjalan ke sana ke mari mendapatkan talian. Nasib baik jika ada dua tiga bar bolehlah menghantar SMS. Kesian. Sekarang dan dulu memang berbeza. Macam bapa walaupun usianya sudah hampir 80 tahun dan mama masuk 66, mereka juga tidak ketinggalan mengecap arus kemodenan, sambil selesa melihat anak-anak mereka bahagia dalam kehidupan masing-masing.

Penduduk kampung juga demikian, dengan memiliki rumah yang besar, kereta yang baik apabila anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran dan mendapat pekerjaan yang memberikan bayaran balik usaha jerih perih mereka. Meski ramai yang tidak saya kenali, anak-anak itu telah semakin berkembang. Bila berjumpa kawan-kawan sepermainan dulu mereka juga semakin kurang cergasnya tetapi terukir bahagia yang tersendiri. Jika masih di kampung mereka tetap setia dengan tanah yang ada di situ. Dan, kawan-kawan yang telah berhijrah di tempat lain sudah tentulah kehidupan mereka lebih sempurna. Memang betul kerana ada kawan-kawan yang pernah menjadi Yang Berhormat, Arkitek, Pegawai Bank, Pegawai Kastam, Pensyarah Universiti dan pendidik. Begitupun saya tidak pernah melupakan kawan-kawan yang kurang berjaya dalam pelajaran namun masih menikmati nikmat bahagia dengan tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga kepada keluarga mereka.

Jumaat, Mei 16, 2008

Dari Parlimen Bertemu Guru

1.
Beberapa hari lalu dan sebelumnya juga, negara kita sedang berhadapan dengan pelbagai peristiwa yang kini sudah menjadi lumrah. Lumrahnya tentu sahaja disebabkan peristiwa-peristiwa yang berlaku itu menjadi budaya di tempat-tempat lain di dunia. Hanya barangkali ia kelihatan luar biasa kerana negara kita terkenal dengan budaya tolak ansur, berbudi bahasa dan lebih mementingkan nilai harga diri. Namun semua ini telah berubah. Masa telah membawa perubahan itu mungkin disebabkan tuntutan semasa, malah yang paling ketara tentulah sikap menyimpan dalam hati demi menjaga maruah sesuatu kaum, kepercayaan, persahabatan telah meletup. Dulu ia merupakan bom jangka yang menunggu ketika dan waktu untuk meledakkan dunia negeri kita yang telah dikenali sebagai negara paling aman dan harmoni. Persepsinya mungkin berbeza-beza antara masyarakat yang ada. Ada yang inginkan suatu ketelusan dalam apa juga perkara agar tidak ada perkara yang harus disembunyikan terutama kepada rakyat jelata. Ada juga yang begitu toleran demi memelihara keharmonian dalam masyarakat pelbagai kaum. Ada juga lebih inginkan agar setiap keputusan pemimpin tertinggi itu dihormati tanpa reaksi yang merumitkan. Semua ini sebenarnya realiti yang harus berlaku di negara kita, mahu tidak mahu harus juga diatasi dengan kebijaksanaan para pemimpin tanpa mengira anutan ideologi politik dalam kerajaan atau di luar kerajaan. Masing-masing pemimpin itu mempunyai latar justifikasi yang objektif, mereka perlu bersuara meskipun ada kalanya intipati yang disuarakan itu tidak dapat diterima oleh pihak lain.

Bunyinya mungkin amat berlainan apabila wakil kerajaan dari Sabah memperkatakan sesuatu yang perlu diberikan perhatian kepada Sabah, rakyatnya yang memerlukan perhatian lebih sedikit. Memang benar, Sabah sering dilihat sebagai sebahagian sahaja daripada Malaysia padahal Sabah, Sarawak dan Tanah Melayu itu sebuah negara. Isu-isu yang dibangkitkan di Parlimen oleh ahli-ahli Dewan Rakyat yang dipilih oleh rakyat bukan perkara baru, kerana itulah ia wajar diberikan penelitian. Memang bernasib baik juga rakyat Sabah sekiranya mempunyai ahli yang berhormat yang aktif di Parlimen yang sanggup menolak sebarang pelantikan dalam kabinet. Berbanding wakil rakyat yang mempunyai jawatan Menteri atau Timbalan Menteri dalam kerajaan, agak menyelesakan untuk menyampaikan sesuatu yang amat penting di Parlimen. Kita tunggu sahaja kesan daripada suara yang dibangkitkan selepas ini, apakah bilangan pendatang asing di Sabah akan berkurangan? Kita tidak pasti apatah lagi pembangunan yang pesat berjalan sekarang telah menarik peluang kepada PTI datang ke Sabah. Samun, rompak, rogol, culik dan apa juga yang berbentuk jenayah ramai dikaitan dengan PTI. Betul, biarlah perkara itu diselesaikan oleh mereka yang mempunyai kuasa. Apa yang diharapkan oleh rakyat di Sabah ialah keamanan, keselesaan, keharmonian dan kebebasan dapat dinikmati apabila jaminan terhadap keselamatan awan diberikan oleh pihak berkuasa.

Dan, rakyat juga kini telah semakin didedahkan dengan ketelusan. Misalnya perbahasan di Parlimen, kita telah menyaksikan gelagat para wakil kita di situ. Kadang seperti budak-budak, kadang seperti orang tua yang hilang akal, menjadikan dewan yang dihormati itu sebagai medan sepak terajang dan pasar ikan. Barangkali begitulah resminya bila ingin mencapai hasrat yang terbaik untuk rakyat. Bertengkar, bergaduh, berselisih rasa, bertukar gelar dan sebagainya lagi harus dilihat secara positif dan profesional.

2.
Apabila perayaan Hari Guru tiba, saya sering mengenang para guru yang mengajar sejak seawal 6 tahun (sekitar tahun 60-an). Ingatan masa sekolah, saya bukanlah pelajar yang pintar, tidak juga tidak begitu pandai. Saya amat meminati subjek Ilmu Hisab (Matematik) terutama di sekolah menengah. Saya berkawan dengan seorang pelajar Cina (Yong Ying Kong namanya, kini menjadi pengusaha jualan langsung). Memang cun bila menyelesaikan masalah dalam subjek itu. Ini disebabkan guru kami (Cikgu Augustine, seorang India dan seorang lagi kami panggil: Mr. Wong) pandai mengajar menyebabkan kami mampu menjawab soalan yang mereka berikan dengan mudah. Saya masuk aliran sains, bukan main rumitnya terutama Kimia (Chemistry) dan Kajihayat (Biology). Saya tidak tahu apa sastera sebenarnya, masa itu ramai teman-teman tidak menggemari sains, payah kata mereka. Sebab itu ramai yang masuk aliran sastera. Saya tentu tidak jadi saintis. Namun pada saya yang penting ilmu yang diturunkan oleh para guru tidak dapat ditandingi. Tanpa mereka saya tidak fikir dapat menulis dengan baik, atau mengira yang tepat, atau apa lagi membaca dengan lancar. Saya sedikit hairan mengapa ramai anak-anak yang tidak meminati matematik atau sains (apatah lagi setelah mediumnya Bahasa Inggeris). Matematik terlalu fobia bagi mereka hinggakan menghafal sifir menjadi masalah besar. Bila mampu menghafal, mereka gagal pula memberikan jawapan mengapa 10x10 menjadi 100, misalnya.

Dulu dan sekarang memang jauh berubah dari segi pendidikan. Semakin canggih dengan pendekatan yang kian mencabar. Ada anak-anak yang pintar selain disebabkan latar keluarga yang berada yang mampu memberikan kelas tambahan. Kini anak-anak yang berjaya dengan kelulusan terbaik bukan sedikit. Berbanding kawan-kawan saya di kampung, untuk mendapat Gred A untuk LCE atau SRP semasa tingkatan Tiga bukan senang. Boleh dikira yang lulus untuk satu-satu tahun. Saya masih ingat, betapa gembiranya saya lulus LCE dengan 25 unit pada tahun 1976 berbanding kawan-kawan sekampung yang terpaksa mengulang. Jika sekarang yang gagal PMR masih berpeluang naik ke tingkatan 4, nasib baik boleh lulus cemerlang semasa SPM dan STPM. Dulu bila mengulang, kena pergi ke sekolah lain atau belajar sendiri. Seingat saya juga hanya ada seorang sahaja di kampung saya yang berjaya memasuki universiti, anak ketua kampung.

Di mana-manapun berada, guru telah meletakkan keberadaan kita menjadi insan yang berguna. Inilah yang menjadi harapan kita semua. Mungkin masa kanak-kanak kita tidak tahu apa akan jadi bila dewasa kelak. Apa kerja kita. Apa bakti kita untuk bangsa dan negara. Apa peranan kita untuk agama kita. Kemudian di mana kedudukan kita apabila sampai masanya mempunyai keluarga, membesarkan anak-anak atau mendidik anak-anak di institusi pendidikan apabila bergelar pendidik. Benar pengalaman dalam kehidupan menjadi guru selanjutnya selepas kita menerima pendidikan asas para guru kita. Setiap hari kita berguru yakni belajar perkara-perkara baru untuk mengharungi kehidupan yang lebih mencabar hari-hari berikutnya.

Isnin, Mei 12, 2008

Pencerahan Persuratan dan Budaya di Sabah

JASNI MATLANI telah menyampaikan pandangan telusnya terhadap keterpinggiran sastera di Sabah ketika Rang Undang-undang Enakmen Warisan Budaya (Pemuliharaan (Pindaan)) 2008 dibentangkan dan diluluskan di Dewan Undangan Negeri Sabah oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun (rujuk artikel "Penjanaan dan pejenamaan Semula Warisan Budaya dan Sastera di Sabah dalam Utusan Borneo 12 Mei 2008).
Memang agak malang kerana sastera sering dilihat tidak lebih sebagai artifak seni yang tidak sebesar nilai komersial bidang pelancongan yang lebih menyerlahkan aktiviti seni tari, busana dan kraftangan. Lebih malang lagi pengertian budaya itu sendiri sering disalaherti. Kebudayaan merupakan keseluruhan cara hidup manusia termasuk hasil ciptaan dan pemikiran yang sesuai dengan kehendak rohani dan jasmani yang menjadi amalan untuk kesejahteraan hidup sesuatu kelompok masyarakat. Edward B. Taylor telah memberi satu takrif yang klasik mengenai konsep kebudayaan. Katanya:...kebudayaan merupakan satu keseluruhan yang kompleks yang mengandungi ilmu pengetahuan, kepercayaan, kesenian, kesusilaan, undang-undang, adat resam dan lain-lain kebolehan serta kebiasaan yang diperolehi oleh manusia sebagai anggota masyarakat."

Apa yang selalu dijelaskan oleh sebilangan besar masyarakat kita termasuklah para pemimpin dan mereka yang menggelar sebagai pejuang budaya, budaya atau kebudayaan yang berlegar dalam kepala mereka ialah tarian, alat muzik tradisi dan busana pelbagai corak etnik masyarakat kita. Saya tidak pasti selain daripada itu misalnya bercakap mengenai nilai keindahan selain keindahan pada lenggang lenggok para penari, keindahan pada muzik yang mengasyikkan dan sebagainya. Sastera juga bukan sekadar puisi, pantun, seloka atau novel tetapi lebih luas daripada itu. Sastera juga meliputi falsafah, pemikiran, bahasa, pendidikan yang lahir dan dilahirkan daripada kehidupan masyarakat berkenaan. Tentulah anggapan kerdil terhadap bidang sastera melahirkan rasa kecewa kepada individu ataupun sekolompok rakyat yang berusaha menggembeling tenaga dan fikiran untuk memulihara, membangun, memugar, membentuk, mengembang bidang berkenaan di kalangan generasi baru.

Sasterawan dan para penulis pelbagai genre serta disiplin penulisan bukan golongan sembarangan. Sebagai bukti, terdapat juzuk khas untuk penulis dalam al-Quran iaitu menerusi surat as-syura. Imam al-Ghazali menegaskan bahawa seseorang itu tidak boleh menjadi penulis jika kurang ilmu dunia dan akhirat. Ini suatu ketentuan yang patut diambil perkiraan betapa peranan yang digalas oleh para penulis itu harus juga diberikan perhatian dengan sungguh-sungguh. Mereka ini menjadi pemikir yang telah membijaksanakan ramai manusia bermula daripada prinsip 3M di prabelajar. Ilmu pengetahuan tidak akan tersebar luas tanpa penulis, dan ini juga mengukuhkan nilai kepada ilmu pengetahuan itu agar diletakkan di tempatnya yang terbaik. Barangkali kedudukan sastera kita di Sabah ini agak bercelaru apabila ingin meletakkan di mana para pendukungnya harus berada, apatah lagi apabila kita mempunyai pelbagai agensi yang turut terlibat secara tidak langsung. Bagaimanapun, apa yang jelas ialah tidak pernah ada usaha yang serius ke arah memartabatkan bahan-bahan persuratan kita itu. Saya pernah menulis isu ini namun telah dilihat sekadar sebagai suatu luahan emosi semata-mata walaupun realitinya ada. Tentulah tidak merugikan sesiapa pun sekiranya pihak kerajaan Negeri memandang positif atau setidak-tidaknya mengambil jalan pencerahan agar sastera dan budaya kita yang begitu banyak itu juga wajar diletakkan dalam penjenamaan warisan budaya kita. Mungkin untuk ke arah itu tidak semudah kita berkata atau menulis sebuah pandangan begini, namun apa yang penting ialah memperkatakannya secara terbuka dan memberi peluang kepada pelbagai pihak untuk memberikan pandangan mereka. Pihak kerajaan juga harus mendengar pandangan-pandangan itu sebelum membuat sebarang keputusan yang sukar diterima. Betul apa yang disampaikan oleh Jasni terhadap sikap yang harus diambil ingatan agar mendengar rintihan rakyat. Golongan penulis telah diwakili oleh Tuan Haji Ariffin Arif di Dewan Undangan Negeri dan menyampaikan hasrat murni kalangan sasterawan dan penulis.

Kita amat berterima kasih dengan adanya seorang Ahli Yang Berhormat di dewan yang terbaik itu untuk menyampaikan hasrat rakyat. Namun begitu desakan perlu dipanjangkan di kalangan rakyat apabila buah fikiran yang disampaikan Ariffin tidak memberikan respon yang diharapkan. Sebagai rakyat dan salah seorang pemimpin pertubuhan penulis di Sabah, saya mengajak anda terutama para sasterawan, budayawan dan seniman di Sabah agar menyatakan pandangan yang sama. Saya percaya akan terbersit buah fikiran yang lebih denamik agar wujud pradigma para pemimpin kita mendesak supaya keberadaan sastera dan budaya dalam masyarakat kita harus lebih dimartabatkan. Dunia persuratan sebenarnya kita berjumpa pada kekuatan makna yang tidak hanya disandarkan pada kekuatan leksikal dan kekuatan metafora melainkan lebih kepada kekuatan sprituil yang mencuba menyungsung keajaiban-keajaiban filosofinya. Dan berapa ramai 'orang-orang besar' kita menilai sastera dari sudut ini?