Sabtu, September 24, 2022

SEHABIS ACARA - sebuah muhasabah


Membina persepsi ada masanya ketika menyaksikan sesuatu peristiwa di babak awal. Saat membuka tirai wujud gambaran mengenai peristiwa-peristiwa selepas itu. Audiens sedang menanti sesuatu kejutan meskipun ia sedang bermula. Dengan keyakinan yang tinggi, mulakanlah keluarbiasaannya, rasai getar tenaga dan segar sewajarnya pasti akan berlaku lebih
hebat
lagi!
Setiap kita tidak mahu membuangkan masanya duduk (atas undangan) sebaliknya juga inginkan di hadapannya itu sebuah kesatuan produksi yang
mantap,
padu; membawa pulang bersama semangat (pengalaman baharu) bukan suatu kenangan yang membingitkan sepanjang malam. Sambil di hati kecil berkata: sayangnya... alangkah baiknya... dan seumpamanya. Mungkin kepada yang mahu menghargai masa 2-3 jamnya di luar rumah, hal ini difikirkannya.
Jika dulu guru berpesan: ibarat membina bangunan (klise bunyinya, tidak mengapa), melaksanakan sesuatu yang harus berhasil sebuah kejayaan dipastikan keutuhan setiap komponen (baca: peranan dan kerjasama). Ini intinya, sesiapa pun akan faham soal yang diutarakan.
Selain fokus kepada hal-hal pengurusan tetapi disiplin, saling yakin meyakini, ada ilmu (faham apa yang mahu dibuat), cerdik (cepat bertindak apabila terjadi hal-hal tanpa diduga) dan latihan yang banyak sekali. Bukan setakat buat sampai jadi, tetapi buat sehingga memberikan kepuasan paling maksimum.
Wallahua'lam.

Khamis, September 22, 2022

MENULIS PUISI MENULIS FIKIRAN

Menulis puisi menulis fikiran, berat bunyinya. Secara semula jadi memang beginilah dan tanpa disedari sesiapapun. Saat ia berkreatif idea-idea mengalir. Idea-idea itu berupa salinan fikirkan kepada bentuk kata. Kata-kata dari salinan diksi-diksi. Kata-kata terpilih digubah menjadi bentuk dan gaya bahasa menjatikan lagi ciptaan. Semakin padat semakin sedap tetapi harus berhati-hati agar aliran idea menerusi diksi atau kata-kata terpilih tidak kesasar atau tidak fokus sehingga melahirkan karya yang hambar, klise, lemah dan sebagainya.
Tiada peraturan dalam menulis puisi (Fahd Razy dalam SMP). Sebagai sebuah karya seni, biarlah ia berlaku secara semula jadi. Puisi tidak dapat diajar tetapi boleh dipelajari. Ada pendekatan sainsnya. Maknanya menghasilkan karya kreatif genre ini tidaklah semudah yang disangkakan. Pasti boleh siap tetapi bukan siap yang sebenarnya. Telusuri karya-karya besar atau karya-karya biasa tetapi segar.
Sekarang banyak puisi ditulis, diedar dan kita membaca. Tolak dulu mengapa puisi itu dihasilkan tetapi mengapa puisi semudah itu ditulis. Dalam sayembara, karya yang harus dibentangkan hendaklah sebuah hasil yang terhabis baik untuk pertembungan karya. Bukanlah yang
terbaik
, kerana tiada yang
terbaik
sebenarnya berbanding ciptaan Ilahi. Namun, sebagai sebuah karya kreatif, terlalu banyak yang boleh dibentuk mengikut acuan idea, fikiran atau tema-tema yang dikehendaki.
Jika mendasari 'cadangan' sains dalam menulis puisi, akhirnya kita boleh melihat semula, atau merasai kembali suka duka menghasilkan puisi. Namun jika itu kepuasan, kita belum berjaya sebenarnya. Menulis apapun karya kreatif merupakan percubaan-percubaan lain daripada kehidupan sebenar agar ia dirasai indah dan sebagainya.
Menulis puisi hanya separuh daripada perjalanan, kata buku SMP. Bahgian pertama rumus dalam berkarya. Seterusnya, tidak kurang penting juga apakah jodoh puisi tersebut? Mungkin sebilangan penulis tidak kisah, karyanya nanti bagaimana. Karya yang melekat dalam fikiran pembaca, apakah berlaku begitu? Jika ada karya yang bisa mengubah kehidupan seseorang tentu lebih baik. Soalnya ada tidak sesiapa menyatakan demikian. Sebab menikmati sesuatu agak sukar dibicarakan dalam bentuk kata-kata. Hal-hal ghaib ini mungkin ada.
Di akhir penulisan itu, pasti inginkan jodoh yang
terbaik
selain diterima pembaca, iaitu dinobatkan sebagai karya yang diketengahkan sebagai contoh untuk diberikan hadiah dan sebagainya. Tiada salahnya, namun usahakan sebaik mungkin ketika kita memulakannya. Menyemak ketika membina. Membaiki sebelum diberikan kepada sesiapa.

MENGAKUI PEMIMPIN

Segelintir pemimpin tidak perlu diakui. Iya, segelintir pemimpin tidak perlu diakui kerana percuma saja dia diakui kalau dia sama sekali tidak punya kesadaran hati. Lihat sahaja kebobrokan, keterpurukan peribadi mereka yang lupa jadi pemimpin harus bersiap siaga. Jadi, seorang pemimpin sejati bukan tentang orang yang melihatnya sebagai pemimpin tetapi bagaimana peribadi bisa mengetahui bahawa dia adalah seorang pemimpin, itulah yang terpenting.
Jadilah seorang pemimpin yang tidak berfikir untuk mengubah dunia, tetapi jadilah seorang pemimpin yang berfikir untuk mengubah diri sendiri. Lalu, dari diri sendiri barulah mengubah orang lain. Dia bukan pemimpin yang mengejar kedudukan, kuasa, projek, mengharmonikan kronisme, angkuh, sombong dan sebagainya. Dia hendaklah memperkasa kewibawaan, kepertanggungjawaban, amanah, taat setia, merendah diri dan menghormati masyarakat sesama.

Foto: Kedah



IDEA

Idea datang tanpa dicari. Sebenarnya idea tu ada di mana-mana. Idea ni macam rezeki. Perlu dicari kata sesetengah orang. Kalau duduk diam rezeki tak datang. Idea macam tu juga. Bezanya idea ni boleh ditemui di mana-mana dan secara tiba-tiba. Misalnya semasa membaca. Semasa ikuti tazkirah. Semasa dengar tadabur di radio. Semasa memandu. Semasa menemui seseorang. Semasa kawan telefon. Semasa tengok sekawan bangau lalu depan rumah. Mungkin pokok tua tumbang tiba-tiba atau daun gugur tu betul-betul di hujung kaki. Bagaimana dengan mood berkreatif? Ada idea sayangnya tiada mood pula. Tiada emosi. Menulis puisi jika tiada mood atau emosi payah juga. Tetapi jika semua ini ada mudah saja kata-kata terindah muncul. Pelbagai gaya bahasa menjadi. Tinggal lagi diadun dalam acuan berkarya. Bagaimana pun setiap pengarang ada rahsianya sendiri. Cara dan teknik berkreatif masing-masing. Secara asas inilah. Jika ada kesamaan tentu secara kebetulan. Apa mahu diceritakan inilah keadaan yang saya alami. Sebab itu ada masa yang lama tiada karya mampu dilahirkan. Dipaksa agar karya ditulis juga. Misalnya untuk turut serta peraduan. Maka, ada saran menulis mesti ada disiplin. Penulis cereka, ya. Menulis puisi kalau saya bukan syarat. Iya, jika mau ikut sayembara yang mengejar tarikh tutup.
Celoteh sambil ngupi petang.
18/8/2022

Jari Telunjuk Itu....


Gunakan telunjuk jari di tempatnya, jangan sampai tumpah imanmu oleh keangkuhan. Kau sombong menggerakkannya ke arah manusia lain padahal jari itu mengisyaratkan kesaksian syahadah.


Rabu, September 21, 2022



KELUARGA HARI MALAYSIA
IKATAN PENULIS SABAH













SESEKALI MENOLEH KE BELAKANG : Suara yang terbuka, sebenarnya di situ ada suara-suara yang 'terluka'.


'Suara yang Terbuka' itu judul pengganti selepas judul asal. Harus akur untuk ditukar sebab judul asal sangat panjang. Hanya P.M. Dr Rem Dambul maklum hal ini kerana tokoh ini yang paling awal membaca sajak-sajak di dalamnya. Rupanya ada lagi buku sajak yang judulnya lagi panjang. Apapun, bersyukurlah kerana buku ini diterbitkan. Terima kasih yang tak terhingga buat ITBM khususnya Sdr. M.K. Riza yang menangani penerbitan buku ini.


Buku kecil kesayangan saya ini pernah mendapat tempat di hati penilai sebagai antara 3 buku terbaik kategori buku puisi Hadiah Sastera Sabah. Bagaimana pun rezekinya tiada di situ. Bagi saya apapun juga, kehadiran buku ini menjadi bukti kehadian saya sebagai penulisnya. 

'Suara yang Terbuka' dilancarkan secara rasminya di tempat kelahiran saya. Sebuah acara gilang gemilang dianjurkan pada 7 September 2014 di Dewan Seri Dayang, Kampung Lumadan, Beaufort. Terima kasih dan penghargaan kepada Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad dan Datuk Dr. Kamarlin Hj Ombi serta Komuniti Rukun Tetangga pimpinan Saudara Muanam Hj Mujiarto.





Majlis pelancaran buku ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Kumpulan Koptratasa dan penyair terkenal Khalid Salleh (Allahyarham) dan para penulis Sabah, antaranya Dr Mohd Puad Bebit, Nadin Haji Salleh, Dr. Ramzah Dambul, Jaliha Jaman, Hajah Sahara Jais serta rakan-rakan sepersekolahan.

Terima kasih semua.
Ini sebuah kenangan yang abadi buat
HASYUDA ABADI.