RASUAH bukan sekadar jenayah kewangan. Ia adalah penyakit jiwa yang menular dalam sistem apabila prinsip dikalahkan oleh nafsu. Ironinya ia sering tumbuh di tempat yang paling subur dengan kemewahan dan kemudahan. Pemimpin yang seharusnya menjadi contoh keteladanan yang sudah pun menikmati kemudahan, penghormatan dan kuasa masih mencari ruang untuk menambahnya bukan kerana kekurangan tetapi kerana ketamakan yang halus dan rakus.
Persoalannya ialah mengapa rasuah tetap menjadi pilihan bagi sebahagian orang terutama pemimpin yang kehilangan nilai integriti sedangkan mereka telah menerima segala bentuk kemudahan daripada pemerintah dan rakyat Jawapannya bukan semata-mata pada nilai wang tetapi pada krisis nilai. Bila prinsip longgar dan integriti hanya menjadi slogan maka kuasa bukan lagi amanah tetapi peluang.
Kuasa pada hakikatnya bukan alat untuk memiliki tetapi untuk berkhidmat. Namun tidak semua yang memegang kuasa memahami maknanya. Ada yang melihat kuasa sebagai anugerah mutlak bukan pinjaman yang perlu dipertanggungjawabkan. Dari sinilah bermulanya kejatuhan moral. Apabila pemimpin menganggap dirinya lebih besar daripada amanah dan rakyat hanya sekadar alat untuk mengabsahkan kekuasaan.
Rasuah berlaku bukan kerana ketiadaan undang-undang tetapi kerana ketandusan jiwa. Pemimpin yang tidak berakar pada nilai akan mudah tergoda oleh manisnya kuasa dan gemerlapnya harta. Mereka membina benteng kemewahan untuk menutup rasa takut kehilangan pengaruh sedangkan benteng itulah yang akhirnya meruntuhkan kepercayaan.
Dalam sistem yang berteraskan prinsip madani dan tanggungjawab sosial, pemimpin harus menjadi bayang kebenaran bukan bayang kekayaan. Integriti tidak boleh diukur pada kekemasan imej atau kelicinan ucapan tetapi pada kejujuran dalam tindakan sama ada di hadapan khalayak atau dalam sunyi kuasa yang tidak terlihat. Hal ini seharusnya didukung pada prinsip yang ia pegang.
Prinsip pada asasnya ialah akar yang menahan pohon integriti daripada tumbang. Pemimpin yang berpaksikan prinsip tidak akan mencari ruang untuk memperkayakan diri kerana dia tahu bahawa kemewahan yang tidak berkat adalah beban yang tidak akan selesai dibayar. Prinsip yang kukuh menjadikan seseorang pemimpin tegas terhadap diri sendiri sebelum tegas terhadap orang lain.
Masalahnya dalam politik moden prinsip sering digadaikan dengan alasan pragmatisme. ‘Sedikit salah demi kebaikan besar,’ kata mereka. Tetapi sedikit yang salah, bila dibiarkan akan menjadi besar yang menghancurkan. Dari kelonggaran kecil tumbuhlah budaya menghalalkan cara hingga akhirnya rasuah dianggap ‘kebiasaan’ bukan lagi 'keaiban'.
Pemimpin yang benar tidak mencari ruang untuk menambah nikmat tetapi mencari peluang untuk menambah manfaat. Kuasa bukan untuk memiliki lebih tetapi untuk memberi lebih. Namun dalam realiti hari ini sebahagian pemimpin gagal menahan diri daripada godaan yang mereka sendiri cipta. Godaan untuk kekal berkuasa untuk terus dipuja, untuk hidup dalam limpahan yang tidak pernah cukup.
Integriti terhadap pemerintah bukan sekadar kesetiaan kepada sistem tetapi kesetiaan kepada kebenaran yang menjadi asas sistem itu. Pemimpin yang jujur tidak menyeleweng kerana dia tahu bahawa rasuah bukan sahaja mengkhianati rakyat tetapi juga mencemarkan wajah pemerintah yang memberi kepercayaan kepadanya.
Rasuah menjadikan pemerintah kehilangan moral di mata rakyat. Ia memutuskan hubungan antara keyakinan dan kepercayaan. Rakyat mula melihat kerajaan bukan lagi sebagai pelindung bahkan sebagai kelompok yang bersubahat dalam pembaziran amanah. Dan apabila kepercayaan hilang kekuasaan yang sah pun menjadi goyah.
Integriti adalah benteng terakhir antara kuasa dan kehancuran. Bila benteng itu runtuh tidak ada lagi undang-undang yang mampu memulihkannya dengan segera. Sebab itu, integriti mesti dibina lebih awal daripada kuasa kerana kuasa tanpa integriti hanya akan melahirkan pemimpin yang memerintah bukan yang memimpin.
Rakyat hari ini semakin celik. Mereka sedang menilai. Mereka tidak lagi mudah terpesona dengan retorik atau imej bersih yang direka. Mereka menilai bukan dengan telinga, tetapi dengan mata: melihat siapa yang benar-benar berkhidmat dan siapa yang berpura-pura.
Pemimpin yang masih menjadikan rasuah sebagai jalan hidup sedang menggali kuburnya sendiri. Rakyat mungkin diam seketika tetapi sejarah tidak pernah diam. Setiap penyalahgunaan kuasa akan diingat sebagai noda yang menodai nama, walau disembunyikan dengan berlapis kemewahan.
Perjuangan melawan rasuah bukan hanya tugas penguatkuasa tetapi perjuangan membina semula jiwa kepemimpinan. Ia bermula daripada keberanian menegur diri sendiri dan menolak godaan yang datang atas nama kesempatan.
Pemimpin sejati tidak takut kehilangan jawatan tetapi takut kehilangan maruah. Kerana maruah yang hilang tidak akan ditebus oleh sebarang jawatan, pangkat, atau kekayaan. Dalam politik, kekuasaan mungkin boleh diwarisi tetapi kejujuran hanya boleh dilahirkan dari hati yang bersih. Dan selama pemimpin tidak kembali kepada hati itu selagi mereka memuja kuasa lebih daripada amanah maka rasuah akan terus menjadi pilihan bukan kerana perlu tetapi kerana mereka sudah ‘tidak mengenal malu.’
Dangau Sastera
Sepanggar
Tiada ulasan:
Catat Ulasan