Ahad, Januari 22, 2023

PELUANG MEMENANGI SEA WRITE AWARD

1. Pandangan tuan tentang anugerah sea write award.

Anugerah berprestij yang diwujudkan oleh Kerajaan Thailand sejak 1979 ini menjadi impian bagi ramai penulis negara-negara Asia Tenggara. Anugerah ini merupakan suatu penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penulis, sasterawan dan seniman ulung dari negara masing-masing. Penulis yang berkelayakan merupakan seseorang yang konsisten dalam bidang persuratan. Komitmennya terhadap dunia persuratan sangat tinggi, cemerlang dan berterusan. Karya-karya hendaklah tersebar secara meluas dan diperkatakan oleh tokoh-tokoh persuratan tanah air. Sehingga kini tiga orang tokoh penulis berasal dari Negeri Sabah telah dipilih sebagai penerima SEA Write Award. Mereka ialah Datuk Haji Ismail Abbas (Amil Jaya) yang menerima anugerah berprestij ini pada tahun 1992. Penerima kedua adalah Puan Azmah Nordin, seorang novelis unggul Malaysia (2009) kemudian disusuli Datuk Jasni Matlani. Tokoh penulis ini menerima SEA Write Award daripada Kerajaan Thailand pada tahun 2015.

2. Kategori yang lebih diutamakan dalam anugerah sea write award.

Apa yang saya difahamkan, kriteria pemilihan calon untuk anugerah ini tidak lagi tertumpu semata-mata kepada genre yang dikuasainya. Misalnya seorang penulis yang dicalonkan itu amat cemerlang dalam genre novel namun dia juga hendaklah terlibat sebagai aktivitis dalam gerakan sastera. Tokoh berkenaan seharusnya terlibat dalam pelbagai kegiatan seperti menjadi pemakalah, penilai peraduan penulisan di samping menyertai pelbagai program persuratan di dalam negara dan luar negara. 

3. Peluang menerima anugerah sea write awar dalam kalangan penulis Sabah. 

Pada saya peluang kepada para penulis di negeri Sabah meraih anugerah ini sangat tinggi. Negeri ini mempunyai ramai penulis yang berkaliber. Penulis-penulis yang gigih berkarya baik sebagai seorang penulis novel, cerpen, puisi dan drama sangat membanggakan. Dalam kalangan penulis-penulis ini sering meraih Hadiah Sastera Sabah yang dianjurkan DBP Cawangan Sabah selang dua tahun penilaian. Sebilangan besar para penerima hadiah ini merupakan penulis-penulis yang sama. Ini sebagai petanda kesungguhan mereka dalam bidang penulisan kreatif. Penulis-penulis ini banyak menulis novel, antologi cerpen dan kumpulan puisi persendirian masing-masing. Kegigihan sebilangan besar daripada mereka ini pula menerbitkan buku mereka sendiri. Ini bagi saya tidak berlaku di negeri-negeri lain. Negeri Sabah yang kaya dengan tema-tema tempatan memberi peluang kepada para penulis berkenaan mengangkat citra lokal negeri Sabah. Tema seperti ini sangat berhasil sebagai tanda aras kehebatan para penulis Malaysia berasal dari negeri Sabah. 

4. Harapan terhadap peluang sea write award di negeri Sabah.

Harapan saya tentulah seimbang dengan peluang yang boleh diberikan perhatian yakni mereka yang gigih ini hendaklah menghasilkan karya yang terbaik. Pihak penilai pemilihan calon-calon SEA Write Award Malaysia perlulah melihat secara utuh terhadap kecemerlangan para penulis Sabah secara menyeluruh. Saya yakin penulis-penulis negeri Sabah juga berhak untuk sama-sama bersaing dengan para penulis di negeri-negeri lain di negara ini. Bahkan kriteria-kriteria yang ditentukan pihak penilai sangat jelas. Maka berdasarkan kepada kriteria-kriteria berkenaan, saya berharap peluang hendaklah diberikan kepada para penulis di negeri ini. 

5. Sepatah dua kata bagi penulis-penulis di negeri Sabah yang mempunyai harapan besar terhadap sea write award.

Tiada kata-kata bernas lain yang boleh dikongsikan seandainya para penulis mempunyai impian meraih anugerah berprestij ini. Para penulis Sabah perlu gigih menghasilkan karya. Gigih sahaja belum memadai tetapi hendaklah menghasilkan karya-karya yang hebat. Karya-karya yang membawa citra bangsa menerusi pemikiran yang sangat tinggi. Soal  mutu dan banyaknya karya tidak memberikan sebarang kehebatan kepada seseorang penulis tanpa mengambil kira hala tuju pemikiran mereka.

Oleh sebab itu karya-karya yang dihasilkan harus disebarkan secara meluas menerusi kegiatan bicara karya, bedah buku, seminar dan apa juga bentuk program yang berkaitan. Pada masa yang sama penulis hendaklah tidak menunggu ada pihak yang mengurus karya dan kegiatan mereka. Para penulis harus sentiasa bergerak secara proaktif baik melalui gerakan berkelompok mahupun secara bersendirian. Penulis hendaklah mencipta jenama sendiri. Bina jenama daripada karya-karya anda.

Tiada ulasan: