DALAM institusi sastera dan budaya tempatan, hakikat bahawa setiap insan mempunyai kelebihan dan kekurangan sering diakui tetapi jarang diamalkan dengan jujur. Yang berlaku ialah pemilihan sudut pandang yang selesa: kelebihan dipancar berlebihan, kekurangan disembunyikan rapi. Kebenaran bukan dicari tetapi diurus agar tidak mengganggu struktur sedia ada.
Budaya tokohisme menjadi teras masalah. Dalam banyak institusi, sastera tidak lagi dipandu oleh prinsip tetapi oleh nama. Siapa yang pernah berjasa, siapa yang pernah diberi gelaran, siapa yang lama berada di dalam lingkaran, itulah ukuran kelayakan. Prinsip pula menjadi fleksibel, boleh dilentur asalkan tidak mengusik tokoh yang telah diangkat.
Latar belakang yang bobrok tidak lagi dianggap masalah besar, selagi individu itu membawa manfaat strategik. Prinsip yang longgar ditafsir sebagai “realistik”dan pelanggaran etika dirasionalkan sebagai “dinamika organisasi”. Di sinilah sastera kehilangan maruahnya, bukan kerana kekurangan bakat, tetapi kerana kelebihan moral dikorbankan demi kelangsungan kuasa.
Soalnya, mengapa individu dengan prinsip rapuh terus diberi ruang dalam institusi yang kononnya memperjuangkan nilai, pemikiran dan kejujuran intelektual? Jawapannya mudah tetapi menyedihkan: kerana institusi lebih takut kehilangan tokoh daripada kehilangan kebenaran. Lebih mudah mempertahankan individu daripada membina sistem yang adil.
Ironinya, banyak kerja dalam dunia sastera dan budaya sebenarnya boleh berjalan tanpa perlu mengangkat siapa-siapa. Idea tidak memerlukan wajah, wacana tidak perlukan ikon. Namun budaya kepimpinan tempatan obses dengan personaliti. Setiap program mesti ada “nama besar”, setiap keputusan perlu restu “orang lama”. Akhirnya, institusi menjadi pentas legitimasi, bukan medan pemikiran.
Apabila tokoh diangkat melampaui prinsip, kritikan tidak lagi dinilai sebagai sumbangan intelektual, tetapi ditafsir sebagai serangan peribadi. Mereka yang bertanya dianggap tidak tahu adat, tidak setia atau terlalu muda untuk bersuara. Dalam suasana begini, sastera tidak mendidik keberanian berfikir. Ia hanya melatih kepatuhan!
Lebih parah, jasa lampau dijadikan lesen untuk kesilapan berulang. Nama besar menjadi perisai moral. Kesalahan dimaafkan atas alasan sejarah sementara generasi baharu diminta bersabar dan menunggu giliran yang tidak pernah tiba. Institusi sastera pun terperangkap dalam nostalgia - mengulang tokoh lama, tetapi gagal melahirkan nilai baharu.
Hakikatnya, kelebihan seseorang tidak pernah memadam kekurangan prinsipnya. Anugerah tidak membersihkan etika. Jawatan tidak menghalalkan kecuaian. Institusi yang membenarkan pengecualian atas nama tokoh sedang meruntuhkan kewibawaannya sendiri, sedikit demi sedikit.
Kebenaran dalam sastera dan budaya tidak memerlukan ikon untuk hidup. Ia memerlukan ruang yang berani berkata tidak - tidak kepada tokoh yang menyalahgunakan nama, tidak kepada kepimpinan yang longgar prinsip dan tidak kepada budaya diam yang menyamar sebagai kesetiaan.
Selagi institusi sastera tempatan terus mengangkat siapa lebih penting daripada apa, selagi itulah kebenaran akan kekal sebagai tetamu asing. Dan selagi tokoh lebih dilindungi daripada nilai, sastera akan terus kehilangan fungsinya. Bukan sebagai hiasan budaya, tetapi sebagai suara nurani masyarakat.
Dangau Sastera Sepanggar
Kota Kinabalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan