Selasa, Mei 20, 2025

Puisi Adalah...




Antologi Puisi 'Di Gedung Suffah'
Mungkin saya kurang menulis kecuali beberapa perkara penting. Namun saya teruja membaca karya-karya terutama sajak-sajak kiriman rakan-rakan FB. Menjadi admin FB Puisi Adalh yang telah menyiarkan hampir 900 karya (sehingga 18/5/2025) memberikan kedamaian yang luar biasa. Lebih-lebih lagi menangani sajak-sajak dalam bentuk grafik atau mini poster yang saya reka.
Puisi Adalah salah satu inisiatif Ikatan Penulis Sabah (IPS) yang saya gagaskan sebagai sebuah gabungan aktiviti persatuan. Salah satunya adalah sayembara menerusi FB yang bermula pada Julai 2023. Pada 2024, IPS telah membukukan sajak-sajak pilihan yang kami nilai dengan judul ‘ Di Gedung Suffah’. Saya berbahagia kerana penglibatan penulis seluruh tanah air, Malaysia. Mereka inilah penulis sangat prolifik mengisi status FB berkenaan. Sehingga menjadi rakan sastera yang begitu akrab. Bahkan, ada rakan-rakan yang baru menulis terutama dari golongan muda.
Mungkin peranan ini sangat terpencil dan tidak kelihatan. Kami ‘bertemu’ di alam maya kecuali ahli-ahli IPS. Biarlah FB Puisi Adalah menjadi medan karya kumpulan ini. Sebagai sebuah medium penyiaran karya - sepanjang masa waima di dini hari, penyiaran karya boleh dibaca! Inilah mungkin antara fungsi FB boleh dimanfaatkan sebaiknya.
Dalam inisiatif ‘Puisi Adalah’ juga mempunyai program-program seperti wacana, deklamasi dan penerbitan. Ini menyebabkan inisiatif ini sangat menarik. Walaupun sifat lnya lokal dan sederhana namun impaknya memang sangat jelas. Ada fokus yang kita raikan bersama-sama khususnya dalam kalangan para penulis Puisi Adalah.
Projek perbukuan kedua dari program ini merupakan kompilasi sajak-sajak bertemakan Ramadan. Pada tahun 2025 ini jelasnya sepanjang bulan Ramadan lepas, kami menyiarkan lebih 100 karya Ramadan. Kami berpendapat karya-karya tersebut harus dijadikan sebuah buku agar akses kepada karya berkaitan Ramadan menjadi bahan bacaan umum. Tema-tema lain seperti Hari Kemerdekaan, Hari Malaysia, Hari Guru, Hari Ibu dan sebagainya juga boleh diterbitkan. Maka, inilah antara pengisian inisiatif Puisi Adalah.
Ketika media cetak semakin menghilang sembari media digital menjadi ruang yang mesra baca, mudah dan segera bahkan murah dari kos kini pilihan ramai penulis. Bagaimanapun, untuk FB Puisi Adalah ini hanya boleh diakses dalam kalangan rakan melainkan penulis sendiri mahu menyiarkan semula di status FBnya sendiri. Ini untuk menjaga keaslian karya itu sendiri daripada diceroboh pihak lain. Lagi pun, jumlah rakan FB Puisi Adalah mencecah angka 1k dan ini pasti akan terus bertambah sebagai pembaca. Begitupun, para penulis boleh mengambil karya-karya yang tersiar untuk tujuan penerbitan buku, penyertaan sayembara dan sebagainya.



Tiada ulasan: