Ahad, September 01, 2024

Kata Pengantar buku 'Ilustrasi Memilih Sengsara'


MASA lalu sinonim dengan kenangan-kenangan. Masa lalu juga adalah sebuah ilustrasi yang terkait tentang masa silam dan masa kini. Ketika kita masih bernafas, ilustrasi terhadap kenangan-kenangan itu hidup bersama-sama.  Pernah saya menulis puisi berkisar kepada kenangan sebagai berikut: “kenangan adalah kelmarin yang hidup pada hari ini”. Selepas ini masa akan fana, tenggelam menjadi masa lalu.   

Seusai membaca catatan ini, tanda titiknya telah berlalu. Mungkin anda mengingati siapa penulisnya. Atau sebaliknya - siapalah saya. Saya sering mengingat kawan-kawan pada waktu yang sesuai, mengenang keindahan dan kedukaan bersama mereka. Keindahan menulis puisi, santai berlatih drama dan tari di pentas, berperahu ke pulau-pulau, menulis kartu cinta semasa masih bersekolah, kemudian beralih kepada menaip SMS, sehinggalah mengumpulkan ratusan puisi refleksi masa lalu. Meskipun ada waktunya puisi tidak dipedulikan, tetapi puisi akan terus ‘mempedulikan’ ranah kehidupan:

 

Ketika

puisi tidak lagi didengar

tetapi puisi mendengar

ketika

puisi tidak lagi dibicara

tetapi puisi berbicara

ketika

puisi tidak lagi dipedulikan

tetapi puisi mempedulikan.

 

Dengarkan qasidah di ufuk malam

suara puisi mengguyur sukma

segar dinginnya

alunkan biar segalanya bangun

alunkan biar segalanya sedar

alunkan biar segalanya sabar.

 

Jagat adalah puisi

yang subur

pada setiap aksara dan kata

dalam riuh atau sunyi

mahir menyihir maknanya.

 

(‘Jagat Puisi’, muka surat 35)

 

Pesan yang disampaikan di sini adalah bahawa puisi selalu ada untuk memberikan suara kepada yang tidak bersuara dan memberikan perhatian kepada yang terabaikan. Meskipun manusia mungkin melupai puisi, puisi tidak pernah melupakan manusia. Puisi adalah sesuatu yang subur dan kaya, tersebar di setiap "aksara dan kata." Sama ada dalam keadaan "riuh atau sunyi," puisi tetap "mahir menyihir maknanya," menunjukkan bahawa puisi memiliki daya tarikan dan keindahan tersendiri yang dapat mengubah persepsi dan pengalaman seseorang.

Tak cukup mengumpul semua itu. Pelbagai peristiwa yang melukakan berhimpun dalam kerencaman pengalaman tersendiri. Bangun dan jatuh diri dalam mendepani babak-babak kehidupan yang jelas sangat mencabar. Berpulangnya isteri tersayang pada tahun 2010 saya rakam sedekad selepas itu dalam puisi Umi Si Mata Cina”, merasakan bahawa ‘dia’ tidak pernah pergi:

 

Umi - si mata Cina

katamu aku pergi kataku tak pernah

katamu aku jauh kataku tak pernah

katamu aku telah tiada kataku tak pernah!

 

(Umi, Si Mata Cina, muka surat 48)

 

Ujian menggalas tabah yang tidak akan habis kecuali setelah berakhirnya seperti firman Tuhan “kun fayakun”. Saya merenungi proses hijrah (perpindahan) dari keadaan yang satu kepada keadaan lain yang lebih baik, serta menggambarkan kesabaran dan ketabahan yang diperlukan dalam perjalanan ini. Seperti dalam puisi Hijrah Sebutir Diri:


Biar seutuh mana pun pohon

dingin embun pembalut di awal pagi

berjuang melawan bahang mentari.

 

Merangkak di celahan dedaunan khusyuk

membawa sukmanya untuk tunduk

lebih khudu mencengkam hijau hidup.

 

Demikian hijrah dari tunas ke akar daun

bertabah dalam sabar di ranah abdi

sebutir diri kejadian kun Ilahi.

 

(‘Hijrah Sebutir Diri’, muka surat 92)

 

Gaya bahasa kehidupan sebagai sebuah pohon yang kuat namun tetap terdedah kepada pelbagai elemen alam. Pohon di sini melambangkan kekuatan dan ketahanan, sementara "dingin embun pembalut di awal pagi" merujuk kepada kesejukan dan ketenangan yang menyelimuti kita di awal perjalanan hidup atau dalam keadaan yang aman. Namun, ketenangan ini harus berhadapan dengan "bahang mentari," simbol cabaran dan kesulitan hidup yang tidak dapat dielakkan. Bersyukurlah setelah banyak sekali hijrah masa lalu yang teruji dulu menjadi pendoman. Kita bertemu dan menghargai setiap perpisahan teruji kesabaran jiwa raga. Hakikatnya kita sama di hadapan Tuhan. Selebihnya tentu sahaja amal kebaikan masing-masing. Hanya Dia yang menentukan:


Sewajarnya menyakin wajah

bukan pada riak di kolam

bahkan pada batin

melangit rahsia diri.

 

Bukan juga bersebab ketakutan

kerana semua dijahit Tuhan

kecuali dengan sengaja

hingga tak sesiapa percaya.

 

Biar sekelumit disimpan

dalam peti wibawa

menjadi insan seadanya.

 

(‘Menyimpan Wibawa’, muka surat 73)

 

Saat sisa usia masih ada, selalu saya dengar diungkap orang untuk mengenal hari depan. Sedang kita masih juga bersengketa. Masih mahu berkeras walaupun benang masih tetap basah. Masih bersungguh-sungguh bahawa kebenaran hanya kita, orang lain semua salah. Dunia kini semakin kasar oleh mereka yang gemarkan kekasaran. Tidak cukup diuji oleh virus tanpa nyata. Tiada keinsafan ketika Tuhan menyapa. Tidak sedar pada bala yang menimpa. Tamak haloba juga diidami. Barangkali inilah fitnah akhir zaman. Andai kita masih alpa, masa depan pasti menjadi masa lalu yang sia-sia. Merakamkan bacaan di baris ini, saya menulis:

 

“Kadang-kadang dalam radang tak bersudah menang. Benarnya benar kerana berada di tengah selesa. Betulnya betul kerana kebetulan telah mengalir sebagai lazim kehidupan

 

Ingin meranum wawasan semakin berkembang mahu dengan sengsara mencari bahagia warga terus dipandu memacu tangkas. Kadang terus sahaja berlaga melagukan ayat-ayat rakyat entah di mana hentinya tak kelihatan isyarat.”

 

(‘Melupakan Luka’, muka surat 29)

 

Benar. Masa kita sering "dicuri" oleh kehidupan yang sia-sia. Manusia hilang diri kerana mensesiakan kehidupan mereka dengan melakukan perbuatan yang melanggar norma-norma adabiyyah - melanggar perintah Tuhan, melanggar kemaslahatan sesama insan. Mungkin di situ ada sesuatu untuk dipelajari, tetapi banyak sekali yang kita rasa hilang. Masa, tenaga, wang, kepercayaan dan sebagainya. Selepas ini masa terus diganggu oleh hal-hal yang sangat tidak kita perlukan yakni menyaksikan kebodohan, ketamakan dan kegilaan dipilih orang. Saya ingin mendamaikan diri, menghasilkan biasan fikiran menerusi puisi berikut, untuk menunggu khabar-khabar yang tidak pasti:


Alam damai –

burung-burung berpuisi

bunga-bunga mekar

semua sangat membantu dunia

memberikan sesuatu

mungkin ini lebih baik

ketimbang ribut yang tidak mengembirakan

cuaca manusia yang sukar dipulihkan.

 

Lihatlah khabar baharu

bakal membawa kebenaran

mahu atau tidak,

semua harus berjalan

muhasabah dan keinsafan

membawa kembali masa lalu

 

Kata-kata atau tingkah

tidak membina akal budi manusia

saat berasa benar tidak dapat dibantah

ketika kau berfikir satu-satunya pemimpin

sangat sempurna.

 

(‘Khabar Menelan Peristiwa’, Muka surat 38)

 

Puisi-puisi dalam kumpulan puisi ini lahir dari momen-momen kesedaran yang mendalam dan introspeksi tentang penderitaan dan perjuangan batin manusia. Saya banyak merenung dan bertanya kepada diri sendiri, apakah makna sebenar di sebalik penderitaan? Mengapa manusia sering kali harus melalui jalan yang penuh kesengsaraan untuk menemukan makna hidupnya? Pertanyaan-pertanyaan ini menjadi bahan bakar untuk menciptakan puisi-puisi yang tidak hanya menggambarkan penderitaan, tetapi juga kekuatan, keberanian, dan harapan yang tumbuh darinya. Dalam setiap puisi, terdapat usaha untuk mencari kebenaran dan makna dalam pengalaman-pengalaman yang menyakitkan ini.

 

“Dilakari kesementaraan amanah Ilahi
alpa tak sempat memandaikan
betapa sengsara menyembunyi hasrat.”


(‘Ilustrasi Memilih Sengsara’, muka surat 64)

 

Rangkap terakhir daripada puisi ini menggambarkan bagaimana kehidupan dunia adalah "kesementaraan amanah Ilahi," menegaskan bahawa hidup adalah sementara dan dipenuhi dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan. Namun, manusia sering kali lupa akan tanggungjawab ini, sehingga tidak sempat memahami betapa kesengsaraan sering kali bersembunyi di sebalik keinginan atau hasrat yang salah.

Dalam dunia yang terus berubah dan berkembang, puisi menjadi cermin reflektif yang memungkinkan kita untuk melihat dan memahami pengalaman manusia dengan lebih mendalam. Setiap puisi yang terkandung dalam buku ini menggambarkan kehidupan manusia dalam segala kompleksitinya, dari kebahagiaan hingga penderitaan, dari cinta hingga kehilangan, dan dari harapan hingga kekecewaan. Namun, di balik baris dan bait, tersimpan pesan mendalam yang sesuai dengan visi tentang masyarakat yang madani yakni yang inklusif, berdaya, dan beretika.

Kehidupan adalah sebuah pilihan, dan sering kali, memilih untuk menghadapi penderitaan adalah jalan menuju pencerahan dan pertumbuhan diri. Sejumlah 70 buah puisi dalam kumpulan puisi “Ilustrasi Memilih Sengsara” ini tentunya tidak hanya menceritakan kisah-kisah penderitaan semata-mata, tetapi juga citra keberanian untuk memilih jalan yang sulit, dalam mendepani kesengsaraan dengan hati terbuka, dan untuk menemukan kekuatan yang tersembunyi di dalamnya.

Proses kreatif ini adalah sebuah ilustrasi perjalanan yang berterusan, sama seperti hidup itu sendiri—penuh dengan liku-liku, penuh dengan kegembiraan dan kesakitan, tetapi juga penuh dengan kemungkinan untuk menemukan makna dan keindahan di dalam setiap detik yang dilalui.

Tiada ulasan: