MASA lalu sinonim dengan
kenangan-kenangan. Masa lalu juga adalah sebuah ilustrasi yang terkait tentang
masa silam dan masa kini. Ketika kita masih bernafas, ilustrasi terhadap kenangan-kenangan
itu hidup bersama-sama. Pernah saya
menulis puisi berkisar kepada kenangan sebagai berikut: “kenangan adalah kelmarin yang hidup pada
hari ini”. Selepas ini masa
akan fana, tenggelam menjadi masa lalu.
Seusai membaca
catatan ini, tanda titiknya telah berlalu. Mungkin anda mengingati siapa penulisnya.
Atau sebaliknya - siapalah saya. Saya sering mengingat kawan-kawan pada waktu
yang sesuai, mengenang keindahan dan kedukaan bersama mereka. Keindahan menulis
puisi, santai berlatih drama dan tari di pentas, berperahu ke pulau-pulau,
menulis kartu cinta semasa masih bersekolah, kemudian beralih kepada menaip SMS,
sehinggalah mengumpulkan ratusan puisi refleksi masa lalu. Meskipun ada
waktunya puisi tidak dipedulikan, tetapi puisi akan terus ‘mempedulikan’ ranah
kehidupan:
Ketika
puisi tidak lagi
didengar
tetapi puisi mendengar
ketika
puisi tidak lagi
dibicara
tetapi puisi berbicara
ketika
puisi tidak lagi
dipedulikan
tetapi puisi
mempedulikan.
Dengarkan qasidah di
ufuk malam
suara puisi mengguyur
sukma
segar dinginnya
alunkan biar segalanya
bangun
alunkan biar segalanya
sedar
alunkan biar segalanya
sabar.
Jagat adalah puisi
yang subur
pada setiap aksara dan
kata
dalam riuh atau sunyi
mahir menyihir
maknanya.
(‘Jagat Puisi’, muka surat 35)
Pesan yang
disampaikan di sini adalah bahawa puisi selalu ada untuk memberikan suara
kepada yang tidak bersuara dan memberikan perhatian kepada yang terabaikan.
Meskipun manusia mungkin melupai puisi, puisi tidak pernah melupakan manusia. Puisi
adalah sesuatu yang subur dan kaya, tersebar di setiap "aksara dan
kata." Sama ada dalam keadaan "riuh atau sunyi," puisi tetap
"mahir menyihir maknanya," menunjukkan bahawa puisi memiliki daya
tarikan dan keindahan tersendiri yang dapat mengubah persepsi dan pengalaman
seseorang.
Tak cukup
mengumpul semua itu. Pelbagai peristiwa yang melukakan berhimpun dalam
kerencaman pengalaman tersendiri. Bangun dan jatuh diri dalam mendepani
babak-babak kehidupan yang jelas sangat mencabar. Berpulangnya isteri tersayang
pada tahun 2010 saya rakam sedekad selepas itu dalam puisi “Umi Si Mata Cina”,
merasakan bahawa ‘dia’ tidak pernah pergi:
Umi - si mata Cina
katamu aku pergi kataku tak pernah
katamu aku jauh kataku tak pernah
katamu aku telah tiada kataku tak
pernah!
(Umi, Si Mata Cina,
muka surat 48)
Ujian menggalas
tabah yang tidak akan habis kecuali setelah berakhirnya seperti firman Tuhan “kun
fayakun”. Saya merenungi proses hijrah (perpindahan) dari keadaan yang satu kepada
keadaan lain yang lebih baik, serta menggambarkan kesabaran dan ketabahan yang
diperlukan dalam perjalanan ini. Seperti dalam puisi “Hijrah Sebutir Diri”:
Biar seutuh mana pun pohon
dingin embun pembalut di awal pagi
berjuang melawan bahang mentari.
Merangkak di celahan dedaunan khusyuk
membawa sukmanya untuk tunduk
lebih khudu mencengkam hijau hidup.
Demikian hijrah dari tunas ke akar daun
bertabah dalam sabar di ranah abdi
sebutir diri kejadian kun Ilahi.
(‘Hijrah Sebutir Diri’, muka surat 92)
Gaya bahasa
kehidupan sebagai sebuah pohon yang kuat namun tetap terdedah kepada pelbagai
elemen alam. Pohon di sini melambangkan kekuatan dan ketahanan, sementara
"dingin embun pembalut di awal pagi" merujuk kepada kesejukan dan
ketenangan yang menyelimuti kita di awal perjalanan hidup atau dalam keadaan
yang aman. Namun, ketenangan ini harus berhadapan dengan "bahang
mentari," simbol cabaran dan kesulitan hidup yang tidak dapat dielakkan. Bersyukurlah
setelah banyak sekali hijrah masa lalu yang teruji dulu menjadi pendoman. Kita
bertemu dan menghargai setiap perpisahan teruji kesabaran jiwa raga. Hakikatnya
kita sama di hadapan Tuhan. Selebihnya tentu sahaja amal kebaikan
masing-masing. Hanya Dia yang menentukan:
Sewajarnya menyakin wajah
bukan pada riak di kolam
bahkan pada batin
melangit rahsia diri.
Bukan juga bersebab ketakutan
kerana semua dijahit Tuhan
kecuali dengan sengaja
hingga tak sesiapa percaya.
Biar sekelumit disimpan
dalam peti wibawa
menjadi insan seadanya.
(‘Menyimpan Wibawa’, muka surat
73)
Saat sisa usia
masih ada, selalu saya dengar diungkap orang untuk mengenal hari depan. Sedang
kita masih juga bersengketa. Masih mahu berkeras walaupun benang masih tetap
basah. Masih bersungguh-sungguh bahawa kebenaran hanya kita, orang lain semua
salah. Dunia kini semakin kasar oleh mereka yang gemarkan kekasaran. Tidak
cukup diuji oleh virus tanpa nyata. Tiada keinsafan ketika Tuhan menyapa. Tidak
sedar pada bala yang menimpa. Tamak haloba juga diidami. Barangkali inilah
fitnah akhir zaman. Andai kita masih alpa, masa depan pasti menjadi masa lalu
yang sia-sia. Merakamkan bacaan di baris ini, saya menulis:
“Kadang-kadang dalam radang tak bersudah menang. Benarnya
benar kerana berada di tengah selesa. Betulnya betul kerana kebetulan telah
mengalir sebagai lazim kehidupan
Ingin meranum wawasan semakin berkembang mahu dengan
sengsara mencari bahagia warga terus dipandu memacu tangkas. Kadang terus
sahaja berlaga melagukan ayat-ayat rakyat entah di mana hentinya tak kelihatan
isyarat.”
(‘Melupakan Luka’, muka surat 29)
Benar. Masa
kita sering "dicuri" oleh kehidupan yang sia-sia. Manusia hilang diri
kerana mensesiakan kehidupan mereka dengan melakukan perbuatan yang melanggar
norma-norma adabiyyah - melanggar perintah Tuhan, melanggar kemaslahatan
sesama insan. Mungkin di situ ada sesuatu untuk dipelajari, tetapi banyak
sekali yang kita rasa hilang. Masa, tenaga, wang, kepercayaan dan sebagainya.
Selepas ini masa terus diganggu oleh hal-hal yang sangat tidak kita perlukan
yakni menyaksikan kebodohan, ketamakan dan kegilaan dipilih orang. Saya ingin
mendamaikan diri, menghasilkan biasan fikiran menerusi puisi berikut, untuk
menunggu khabar-khabar yang tidak pasti:
Alam damai –
burung-burung berpuisi
bunga-bunga mekar
semua sangat membantu dunia
memberikan sesuatu
mungkin ini lebih baik
ketimbang ribut yang tidak
mengembirakan
cuaca manusia yang sukar
dipulihkan.
Lihatlah khabar baharu
bakal membawa kebenaran
mahu atau tidak,
semua harus berjalan
muhasabah dan keinsafan
membawa kembali masa lalu
Kata-kata atau tingkah
tidak membina akal budi
manusia
saat berasa benar tidak dapat
dibantah
ketika kau berfikir
satu-satunya pemimpin
sangat sempurna.
(‘Khabar Menelan Peristiwa’,
Muka surat 38)
Puisi-puisi
dalam kumpulan puisi ini lahir dari momen-momen kesedaran yang mendalam dan
introspeksi tentang penderitaan dan perjuangan batin manusia. Saya banyak
merenung dan bertanya kepada diri sendiri, apakah makna sebenar di sebalik
penderitaan? Mengapa manusia sering kali harus melalui jalan yang penuh
kesengsaraan untuk menemukan makna hidupnya? Pertanyaan-pertanyaan ini menjadi
bahan bakar untuk menciptakan puisi-puisi yang tidak hanya menggambarkan
penderitaan, tetapi juga kekuatan, keberanian, dan harapan yang tumbuh darinya.
Dalam setiap puisi, terdapat usaha untuk mencari kebenaran dan makna dalam
pengalaman-pengalaman yang menyakitkan ini.
“Dilakari
kesementaraan amanah Ilahi
alpa tak sempat memandaikan
betapa sengsara menyembunyi hasrat.”
(‘Ilustrasi Memilih Sengsara’, muka surat 64)
Rangkap
terakhir daripada puisi ini menggambarkan bagaimana kehidupan dunia adalah
"kesementaraan amanah Ilahi," menegaskan bahawa hidup adalah
sementara dan dipenuhi dengan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Tuhan. Namun,
manusia sering kali lupa akan tanggungjawab ini, sehingga tidak sempat memahami
betapa kesengsaraan sering kali bersembunyi di sebalik keinginan atau hasrat
yang salah.
Dalam dunia
yang terus berubah dan berkembang, puisi menjadi cermin reflektif yang
memungkinkan kita untuk melihat dan memahami pengalaman manusia dengan lebih
mendalam. Setiap puisi yang terkandung dalam buku ini menggambarkan kehidupan
manusia dalam segala kompleksitinya, dari kebahagiaan hingga penderitaan, dari
cinta hingga kehilangan, dan dari harapan hingga kekecewaan. Namun, di balik
baris dan bait, tersimpan pesan mendalam yang sesuai dengan visi tentang
masyarakat yang madani yakni yang inklusif, berdaya, dan beretika.
Kehidupan
adalah sebuah pilihan, dan sering kali, memilih untuk menghadapi penderitaan
adalah jalan menuju pencerahan dan pertumbuhan diri. Sejumlah 70 buah puisi
dalam kumpulan puisi “Ilustrasi Memilih Sengsara” ini tentunya tidak
hanya menceritakan kisah-kisah penderitaan semata-mata, tetapi juga citra
keberanian untuk memilih jalan yang sulit, dalam mendepani kesengsaraan dengan
hati terbuka, dan untuk menemukan kekuatan yang tersembunyi di dalamnya.
Proses kreatif
ini adalah sebuah ilustrasi perjalanan yang berterusan, sama seperti hidup itu
sendiri—penuh dengan liku-liku, penuh dengan kegembiraan dan kesakitan, tetapi
juga penuh dengan kemungkinan untuk menemukan makna dan keindahan di dalam
setiap detik yang dilalui.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saya amat mengalu-alukan sebarang komentar pengunjung Blog Hasyuda Abadi.
Terima kasih.