LAPORAN
PENILAIAN
ANUGERAH
SASTERA NEGERI SABAH KETIGA
OLEH
YBRS.
DR. MOHD HANAFI IBRAHIM
PANEL PENILAI
ANUGERAH SASTERA NEGERI SABAH KETIGA
3
MAC 2023 (JUMAAT)
7.30
MALAM
GRAND
BALLROOM,
HOTEL SHANGRI-LA TANJUNG ARU
Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah dengan dukungan Kerajaan Negeri Sabah telah meneruskan pelaksanaan Anugerah Sastera Negeri Sabah (ASNS) buat kali yang ketiga pada tahun 2022. Anugerah ini buat kali pertama diperkenalkan pada tahun 1990 dan dimulakan semula pada tahun 2020. Untuk pencalonan ASNS Ketiga, pihak urus setia telah menerima pencalonan lima sasterawan negeri Sabah untuk dinilai. Setelah meneliti sumbangan kelima-lima pencalonan, satu pencalonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat. Empat pencalonan dibawa ke peringkat perbincangan seterusnya agar dapat dipilih seorang calon yang layak sebagai penerima ASNS Ketiga.
Panel
Penilai bersetuju sebulat suara mengangkat pengarang prolifik, Haji Sukor bin
Haji Usin, yang lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi, sebagai penerima Anugerah
Sastera Negeri Sabah Ketiga. Penilaian telah dilaksanakan berdasarkan
pencapaian karya dan kepengarangan beliau, yang dinilai dari segi kesan
pemikirannya kepada masyarakat, pengiktirafan karya dan ketokohan serta kegiatan
pengarang ini, khususnya dalam gerakan kesusasteraan dan kebahasaan, bukan
sahaja di negeri Sabah bahkan pada peringkat kebangsaan. Pemilihan ini adalah
atas ketekalan pengkaryaannya, pencapaian mutu karya dan ketokohan
kepengarangannya sepanjang lebih empat dekad. Sumbangan dan pencapaian
calon ini memberikan kelebihan kepada beliau selaku penerima anugerah pada kali
ini.
Haji
Sukor bin Haji Usin dilahirkan pada 1 Oktober 1960 di Beaufort, Sabah. Beliau
merupakan anak kedua daripada enam beradik. Dalam dunia kesusasteraan, Haji
Sukor menggunakan nama pena Hasyuda Abadi dan tampaknya nama pena ini lebih
menyerlahkan namanya di pentas persuratan.
Kepengarangan
Hasyuda Abadi sering dikaitkan dengan genre puisi. Bakatnya dalam penulisan
puisi bermula sewaktu beliau berusia dua puluh tahun. Sejak tersiarnya puisi
beliau yang berjudul “Mengapa Oh Mengapa” dalam Sabah Times bertarikh 13
Disember 1980, bakatnya terus berkembang apabila sejumlah besar puisinya
diterbitkan dalam pelbagai medium penerbitan. Sehingga kini, beliau telah
menghasilkan lebih daripada 1000 buah puisi yang tersiar dalam akhbar dan
majalah. Sejumlah puisi beliau turut diterbitkan dalam lapan buah kumpulan
puisi perseorangan dan lebih daripada 60 buah antologi puisi, bersama-sama
dengan pengarang lain, justeru tidaklah menghairankan jika dikatakan “forte”
Hasyuda Abadi ialah puisi. Di samping itu, Hasyuda Abadi telah menghasilkan
kira-kira 45 buah cerpen, 300 buah esei sastera dan 15 buah skrip drama pentas
dan radio. Cerpen Hasyuda Abadi telah diterbitkan dalam beberapa antolog dan
kumpulan cerpen, antaranya Rantau Utara (1989), Ibrah (2003), Sepasang Sayap
Jelita (2004), Ega (2008) dan Aki Sompoton 2 (2008). Esei beliau diterbitkan
dalam pelbagai buku dan prosiding, antaranya, Idealisme dan Intelektualiti
dalam Karya (2005), Kumpulan Esei Kritikan Penulis Sabah (2010) dan
Bahasa-Sastera Negara Serumpun dalam Perspektif Sejarah dan Masa Depan (2015).
Skrip drama beliau diterbitkan secara bersama dalam buku Unduk Ngadau (2005).
Hasyuda Abadi ternyata memiliki bakat kepengarangan yang cukup ampuh dalam
pelbagai genre.
Hasil
karya beliau sering tersiar dalam media tempatan di Sabah seperti Harian
Ekspres, Sabah Times, Borneo Mail, Berita Sabah dan Utusan Borneo. Karyanya
turut termuat dalam media nasional seperti Mingguan Malaysia, Berita Minggu dan
majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sejak karyanya mula
diterbitkan pada tahun 1980, Hasyuda Abadi terus prolifik apabila hampir setiap
minggu karyanya tersiar dalam media di Sabah. Ketekalan pengkaryaannya,
pencapaian karya dan ketokohannya sepanjang lebih empat dekad, memberikan
kelebihan kepada beliau selaku penerima anugerah.
Beliau
juga memberikan masa yang tidak sedikit demi gerakan berpersatuan dalam bidang
persuratan, khususnya di Sabah. Sejak tahun 1990, beliau bersama-sama
penulis-penulis kreatif di Sabah telah menyertai Ikatan Penulis Sabah (IPS).
Pada masa awal penubuhan IPS, kebanyakan ahli IPS merupakan penulis baharu.
Hasyuda Abadi pernah memegang jawatan penting dalam IPS, iaitu sebagai Ketua
Dua pada tahun 1992 dan kemudiannya menjadi Ketua Satu (1999-2019). Dalam
tempoh 20 tahun menerajui persatuan, pelbagai kegiatan persuratan dilaksanakan
dengan jalinan kerjasama agensi lain, antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan
Sabah, Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah serta Jabatan Kebudayaan dan Kesenian
Negara.
Kegiatan
pengembangan dan pemasyarakatan sastera digerakkan oleh beliau dengan penuh
iltizam mencakupi pelbagai bengkel penataran dan penulisan, wacana sastera,
pertemuan sastera dan juga penerbitan. Satu pencapaian yang penting IPS semasa
kepimpinannya ialah daya usaha penubuhan Institut Penilaian Sastera atau INPES
pada tahun 2001. Misi INPES semasa penubuhannya antaranya memberikan penilaian
terhadap karya dan penulis serta membuat kajian ilmiah mengenai budaya, bahasa
dan sastera. Selain itu, bengkel-bengkel penulisan yang dianjurkan dengan
kerjasama INPES ini turut disertai dengan kegiatan pembitaraan karya.
Berdasarkan khidmatnya yang panjang dan cemerlang di IPS, beliau diangkat
sebagai Ahli Kehormat dan Pengerusi Majlis Penasihat. Beliau juga merupakan
ahli seumur hidup Badan Bahasa dan Sastera Sabah. Di samping itu, beliau turut
menyumbang bakti pada Kelab Kegiatan Komuniti Buku Sabah dan Institut Penilaian
Sastera Sabah yang diasaskannya.
Kejayaan
Hasyuda Abadi meraih hadiah sastera peringkat kebangsaan, seperti Hadiah
Sastera Malaysia yang kemudian diberi nama baharu Hadiah Sastera Perdana
Malaysia, menyerlahkan keunggulannya sebagai karyawan yang berdiri sama tinggi
dengan pengarang-pengarang nasional yang lain.
Sebagai
seorang karyawan Islam, Hasyuda Abadi sedari awal kepenyairannya telah mencipta
puisi-puisi berunsur Islam. Kumpulan puisinya yang mewakili tema ini ialah
Kembali ke Lahad Rahsia (2008). Unsur Islami juga terdapat dalam kumpulan
puisinya yang lain seperti Menginai Badai (2004), Sinar Sirna (2006) dan Suara
Yang Terbuka (2014).
Sama
ada karya kreatif atau bukan kreatif, Hasyuda Abadi ternyata berusaha meneroka
pelbagai dimensi kehidupan yang dilaluinya. Terdapat puisi-puisinya menjurus
kepada puisi ketuhanan dengan mengagumi hebatnya ciptaan Maha Esa dengan
mengungkapkan sifat kehambaannya yang kerdil di sisi-Penciptanya. Unsur-unsur
dakwah dalam puisinya merentasi pelbagai lapisan masyarakat, pelbagai latar dan
budaya di Sabah namun tetap berpayung di bawah satu akidah, addin yang satu
yakni Islam.
Empat
tahun selepas tersiar puisi pertamanya pada tahun 1980, puisi “Salam Buat
Kekasih” memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun penilaian 1984/1985. Pencapaian
yang cukup cemerlang bagi seorang penulis muda ketika itu. Panel Penilai Hadiah
Sastera Malaysia 1984/1985 turut memberikan tanggapan yang baik terhadap
sumbangan puisi Hasyuda Abadi yang bernuansakan Islami.
Kemenangan
ini disusuli pula dengan kejayaan puisinya memenangi Hadiah Sastera Perdana
Malaysia 2004/2005 melalui puisinya “Tsunami Bukan Hanya Namamu”. Pencapaian
ini turut diraih melalui puisinya “Pada Hari-hari yang Berharga” dalam Hadiah
Sastera Perdana Malaysia pada tahun penilaian 2017/2018. Sepanjang penglibatan
Hasyuda Abadi dalam ranah sastera, kecemerlangan pencapaian karyanya dalam
pelbagai kegiatan pengiktirafan sastera membuktikan daya pengucapan seninya
yang bermutu tinggi.
Selain
tokoh Paduka Mat Salleh, penyair Hasyuda Abadi juga menyanjung pemimpin
kontemporari Sabah yang dianggapnya sangat berjasa memajukan rakyat dan negeri
Sabah, umpamanya melalui puisi “Saat yang Penghabisan” bagi mengenang Tun Datu
Mustapha. Semangat nasionalisme dan kecintaan kepada pahlawan-pejuang juga
terbayang dalam cerpennya “Citra Tidak Berakhir di Sini” melalui watak Salim
dan Tok Wan. Cerpen-cerpen Hasyuda Abadi diolah dengan strategi naratif yang
cuba mengelak konvensi. Beliau memasukkan idea, sistem tanda, imejan serta
metafora dalam jalinan plot kebanyakan cerpennya. Idea tentang integriti serta
makna kemerdekaan jiwa turut disentuh dalam cerpennya “Diideakan Sesuatu
Tentang Pohon.” Sementara dalam cerpen “Diideakan Tentang Sesuatu yang
Melompat” memetaforakan diksi ‘melompat’ sebagai pernyataan perlakuan dan
karenah kehidupan manusia sebagai haiwan-politik dan haiwan-berfikir. Kegagalan
mengenal diri akan menjerumuskan manusia ke kancah kehidupan yang kacau dan
kasat mata, digambarkan dalam cerpennya “Besi, Debu atau Sebuah Kebosanan.”
Kepala, sebagai sebahagian anggota tubuh, juga simbol kekuasaan dan ketuanan,
diujarkan dan dimetaforakan dalam cerpen “Kepala, Kepala.”
Sebagai
anggota masyarakat pula, iaitu masyarakat yang mempunyai pengalaman sejarah
sosiobudaya dan sosiopolitik yang panjang serta beraneka coraknya, Hasyuda
Abadi turut mengujarkan tema sejarah dan sosial dalam karya-karyanya. Tema ini
kebanyakannya tersisip dalam karya-karyanya dalam kumpulan cerpen Balada
Paduka Mat Salleh (1989), Musim Perubahan di Negeri Kami (2018) dan MH370 yang
diusahakan bersama Jasni Matlani dan Sitti Rahimah G. Ibrahim (2014).
Tentang
genre puisi Hasyuda Abadi, sasterawan, Jasni Matlani dalam pengantar kumpulan
puisi Kembali ke Lahad Rahsia menyebut: “...dunia kepenyairan Hasyuda Abadi
sebenarnya masih lagi berkembang. Penyair ini terus rajin berkarya. Penyair
yang baik dan rajin sepertinya tidak selalu lahir di dunia ini. Dia hanya
muncul sekali dalam satu generasi. Itulah kelebihan Hasyuda Abadi dan kita
masih lagi belajar memahami dirinya, mengenali sistem tanda yang dilahirkannya.
Namun yang pasti, setiap karya puisi yang dilahirkan oleh penyair ini adalah
satu langkah lagi ke arah pengukuhan peribadi dan jati dirinya.”
Ramli
Jusoh, penulis dan penggiat sastera di Sabah dalam tanggapannya terhadap
kumpulan Menginai Badai menyatakan bahawa keindahan puisi-puisi yang termuat
dalam kumpulan ini banyak bersandarkan pada nilai dan etos masyarakat
sekelilingnya. Sewaktu berhadapan dengan laungan gerakan reformasi pada suatu
ketika, Hasyuda memilih kebenaran, keperluan, keupayaan, kesempurnaan,
keunggulan, keadilan, kesaksamaan dan kemerdekaan bagi menyempurnakan tujuan
hidup murninya. Hasyuda menekankan bahawa keamanan dan kesentosaan negara perlu
dikekalkan. Justeru, dia mengharapkan barisan kepimpinan negara semestinya
menjalankan tanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara. Keresahan dan
harapannya itu diungkapkan seperti dalam frasa ‘menjadi dalang kehancuran
harmoni rakyat/menjadi wayang kehidupan pura-pura.’. Dia mengharapkan suatu
bentuk kepimpinan yang berintegriti bahawa, kerusi bukan di dalam rumah/kerusi
harus di halaman rumah/duduk bersama rakyat jelata/mata dan hati bersama/bukan
yang payah didekati.
Dr.
Ramzah Dambul menanggapi puisi-puisi Hasyuda Abadi sebagai cenderung memberi
kritik sosial Dalam kumpulan puisi Suara Yang Terbuka, puisi-puisi Hasyuda
Abadi ditanggapi sebagai merentas pelbagai dimensi, sosiobudaya, sosioekonomi
dan sosiopolitik. Suara yang diolah dan dilontar sangat bercirikan kontempori,
menyuarakan kritikan tajam terhadap situasi masa kini, melibatkan sekecil-kecil
entiti seperti kalangan sahabat, keluarga dan organisasi, hinggalah
melangkau domain yang lebih besar seperti masyarakat, negara dan dunia.’
Tokoh
ini memiliki dimensi kreativiti puisi yang menyeluruh, yang turut sedar akan
hubungan vertikalnya dengan Maha Pencipta dan pada masa yang sama mampu
mentafsir hubungan horizontalnya dengan sesama manusia, alam, flora dan fauna,
memanfaatkan bakatnya bagi menanjakkan karya bermutu yang sarat dengan pesan
demi kemanusiaan. Justeru, selayaknyalah Hasyuda Abadi dinobatkan sebagai
penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah Ketigaf.
Demikianlah
rangkaian intipati kekuatan kepengarangan dan pencapaian penerima anugerah ini
yang dapat saya sampaikan kepada hadirin dan hadirat.
Padi
segemal bertanam-tanaman,
Seusai
musimnya meraih laba;
Emas
sebungkal menjadi taruhan,
Jasa
juga dipandang mulia.
Sekian,
Salam Takzim,
Wassalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan