Awang Abdul Muizz Awang Marusin
Ketua Satu, Ikatan Penulis Sabah
ABSTRAK
Perdana Menteri Malaysia,
Dato’ Seri Anwar Ibrahim, telah memperkenalkan gagasan Malaysia Madani pada 19
Januari 2023. Gagasan tersebut mengandungi enam rukun iaitu kemampanan,
kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Sastera cuba mencari tempatnya
dalam gagasan ini. Persoalannya, sejauh manakah sastera diterima oleh Malaysia
Madani? Kajian ini bertujuan untuk merungkaikan pandangan sastera terhadap gagasan
ini, terutamanya sastera Islam di Sabah. Kajian kepustakaan dan pemerhatian terhadap
15 buah puisi nukilan Hasyuda Abadi dalam sembilan buah buku kumpulan puisi karya
beliau sendiri dan antologi puisi kelolaan kumpulan penyelenggara mendapati
bahawa sastera Islam dan Malaysia Madani tidak boleh dipisahkan. Walaupun
sastera tidak disebut secara jelas dan lurus dalam dokumen yang mengasaskan
gagasan Malaysia Madani, kehadiran karya-karya sastera yang mesra Islam dan
mesra masyarakat madani membuatkan sastera dinilai dapat menjadi penyumbang
kepada kejayaan gagasan tersebut. Perkara ini sedikit sebanyak membawa kepada
idea baru dalam sastera, iaitu sastera madani, iaitu sastera yang
menggabungjalinkan Islam dan gagasan Malaysia Madani.
Kata kunci: Malaysia
Madani, sastera Islam, sastera Sabah, puisi berunsurkan Islam, masyarakat
madani, Hasyuda Abadi.
Memahami ‘masyarakat madani’
Masyarakat Malaysia mungkin
sahaja mendengar istilah ‘masyarakat madani’ buat pertama kalinya ketika Dato’
Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Malaysia dari tahun 1993 hingga
tahun 1998, mengungkapkannya dalam Simposium Nasional sempena Forum Ilmiah
Festival Istiqlal di Jakarta, Indonesia pada 26 September 1995. Namun begitu,
istilah tersebut telah wujud berabad lamanya, lebih lama sebelum wujudnya
Malaysia dalam bentuknya yang sekarang pada tahun 1963. Malah, masyarakat
madani itu sendiri telah wujud seiring dengan kewujudan tamadun manusia dan
tamadun-tamadun yang dipecahkan mengikut agama, bangsa dan kawasan geografi.
Para sarjana bersepakat bahawa
tamadun merupakan asas kepada kewujudan masyarakat madani. Walaupun begitu,
mereka berbeza pandangan mengenai ciri yang terdapat pada masyarakat yang hidup
dalam sesebuah tamadun. Arnold Toybee dan Oswald Splenger, seperti yang dipetik
oleh Navari (2000) dan Kidd (2012), percaya bahawa tamadun jatuh dan bangun
dalam bentuk kitaran dan nasib sebenar sesebuah tamadun terletak pada tindak balasnya
terhadap cabaran dan krisis.
Confucius, seperti yang
dipetik oleh Yuan, Chia dan Gosling (2023), percaya bahawa budi bahasa yang
ditanam dalam diri seseorang individu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat.
Sun Yat-sen juga percaya kepada budi bahasa yang menjadi salah satu warisan
tradisional masyarakat Cina yang dapat digunakan walaupun tamadun China mengalami
pemodenan kesan daripada revolusi yang dipimpinnya (Kinderman, 1989). Rabindranath
Tagore pula, seperti yang dipetik oleh Mukherjee dan Pyne (2016), memandang
pentingnya kepelbagaian budaya dikekalkan dan kefahaman antara budaya dipertingkatkan
dalam tamadun menerusi pendidikan. Mahatma Gandhi yang senada dengan Tagore,
memandang pentingnya pendidikan bagi merapatkan jurang ekonomi dan sosial yang
wujud dalam masyarakat (Bharati, 1991).
Islam mempunyai pandangan yang
lebih komprehensif tentang tamadun. Al-Farabi, menurut Akhmetova (2017),
menekankan kepentingan bernegara dan mendaulatkan undang-undang demi
mengekalkan masyarakat yang adil dan sejahtera. Al-Ghazali, pada sisi yang
berbeza, meletakkan Allah sebagai puncak kepada tamadun dan masyarakat yang
memayunginya.
Dalam erti kata yang lain,
reformasi sosial dan politik hanya dapat dicapai menerusi pembangunan rohani
dan penyucian jiwa individu dan masyarakat (Zakaria Stapa, 2009). Begitu juga
dengan reformasi ekonomi yang dipromosikan oleh Ibnu Khaldun seperti yang difahami
oleh Aimi Khairunnisa Abdul Karim dan Nurliana Suhaimi (2020). Menurut Ibnu Khaldun,
kemakmuran sesebuah masyarakat bergantung kepada keupayaannya untuk mengawal
dan mengeksploitasi sumber semula jadi, dan tamadun yang paling berjaya adalah
mereka yang mampu mengekalkan keseimbangan antara pertanian, perindustrian, dan
perdagangan.
Secara ringkasnya, masyarakat
madani dapat difahami sebagai masyarakat yang membangun bersama tamadun yang
menaunginya secara dalaman dan luaran. Pembangunan secara dalaman merujuk
kepada kepercayaan seseorang terhadap sesuatu yang hanya difahami oleh akal dan
hati dan penterjemahannya menerusi penampilan dan tingkah laku, manakala
pembangunan secara luaran merujuk kepada ciri-ciri yang dapat dilihat dalam
sesebuah tamadun di depan mata seperti pembangunan bandar, bentuk pemerintahan,
susun lapis sosial dan sistem komunikasi simbolik.
Masyarakat madani di Malaysia
Malaysia merupakan sebuah negara
yang memiliki rakyat dan penduduk yang berbilang agama, bangsa dan budaya.
Menyedari hakikat ini, Malaysia tidak mengkhususkan masyarakat madani kepada
makna tertentu sahaja. Makna masyarakat madani terbuka untuk dikaji dan
dibahaskan oleh individu atau kumpulan tertentu mengikut sudut pandang mereka
masing-masing.
Kajian ini sendiri merupakan
salah satu usaha yang membolehkan masyarakat madani mendapat maknanya di hati
komuniti sastera di Sabah. Menerusi kajian kualitatif yang diadakan menerusi
ulasan kepustakaan menggunakan kajian-kajian kebelakangan mengenai peradaban
dan kesusasteraan serta pemerhatian terhadap karya-karya sastera Islam yang
dihasilkan oleh Hasyuda Abadi, kajian ini dibuat untuk menerangkan gagasan Malaysia
Madani yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, mengeluarkan
pandangan Hasyuda Abadi terhadap gagasan tersebut menerusi sastera Islam, dan
menggabungjalinkan nilai-nilai Islam dan prinsip-prinsip yang terkandung dalam gagasan
Malaysia Madani bagi membentuk disiplin sastera yang baru, iaitu sastera
madani.
Secara umumnya, masyarakat
madani di Malaysia ialah rakyat dan penduduk Malaysia yang menghargai keamanan,
keharmonian, dan penghormatan terhadap kepelbagaian. Antara bentuk penghargaan
tersebut termasuklah menghormati hak dan kepercayaan orang daripada latar
belakang etnik, agama dan budaya yang berbeza serta menggalakkan toleransi dan
persefahaman. Definisi tersebut dibina berasaskan lima prinsip Rukunegara dan
diterjemahkan menerusi pelbagai inisiatif dan program yang bermatlamat mempromosikan
kesepaduan masyarakat dan perpaduan negara, terutamanya pelaksanaan Dasar
Perpaduan Negara oleh Kementerian Perpaduan Negara.
Gagasan Malaysia Madani
Ketika ‘Malaysia Madani’ belum
diumumkan sebagai dasar pemerintahan Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah
menatarkan konsep yang serupa seawal tahun 1995. Zairudin Hashim (2023),
memahami masyarakat madani daripada Dato’ Seri Anwar sebagai system sosial yang
subur yang diasaskan kepada prinsip moral yang menjamin keseimbangan di antara
kebebasan perseorangan dengan kestabilan masyarakat.
Idea ‘Membangun Malaysia
Madani’ sebetulnya telah wujud sebelum Dato’ Seri Anwar dipilih menjadi Perdana
Menteri. Menurut beliau, Malaysia mesti mendukung reformasi, perubahan
menyeluruh bukan sahaja mengambil tempat di peringkat institusi, malah di peringkat
akar umbi. Hal ini demikian menurut bagi membolehkan jati diri dan semangat.
Malaysia kekal dalam acuan
Malaysia dan bukan mengikut acuan Timur (seperti Korea Selatan dan Jepun) atau
Barat (seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom).
“Di sinilah kita harus
berubah. Kita tidak bermaksud untuk menepis segala idea dan budaya masyarakat
di luar, kerana kerangka dasar yang ingin diketengahkan ini akan mengambil
pendekatan terangkum yang menghargai kerencaman idea.
“Dasar yang diperlukan
Malaysia sekarang harus merubah kebiasaan yang telah merencatkan kemajuan kita,
harus menumpukan kepada memahami kenyataan dunia pasca normal pada hari ini, di
samping mengekalkan nilai-nilai tradisi Malaysia yang dikongsi bersama.
Demikian ikhtiar kita menerusi kerangka dasar MADANI.”
(Anwar Ibrahim, 2022)
Hanya setelah beliau dipilih
menjadi Perdana Menteri, beliau telah memutuskan dasar pemerintahan yang baru
dan berbeza berbanding sebelumnya. Beliau telah memperkenalkan gagasan
‘Membangun Malaysia Madani’ buat pertama kalinya pada 19 Januari 2023 di
Putrajaya. Menurut Berita Harian (2023), gagasan tersebut diperkenalkan bagi
membolehkan kepercayaan dicerna antara kerajaan dan rakyat berdasarkan pada
asas ketelusan dan kerjasama.
‘Malaysia Madani’ sejak
daripada itu tidak lagi menjadi semata-mata suatu gagasan, tetapi juga
rancangan pemerintahan Malaysia untuk tempoh lima tahun yang berikutnya mulai November
2022. Oleh sebab itu, Dato’ Seri Anwar menggariskan enam prinsip yang dapat memacu
gagasan tersebut ke arah keberhasilannya, iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya
cipta, hormat, keyakinan dan ihsan (Anwar Ibrahim, 2022; Berita Harian, 2023).
Sastera sebagai pencitra
gagasan Malaysia Madani
Seperti dipetik oleh Mohd
Azrone Sarabatin (2023), Timbalan Menteri Sumber Manusia, Mustapha Sakmud telah
menghuraikan sebahagian daripada sejarah negeri Sabah yang boleh dijadikan
teladan dalam menjayakan gagasan Malaysia Madani. Antara yang disebut oleh
beliau termasuklah peranan yang dimainkan oleh Datu Tating, Sharif Osman, Embo
Ali dan Pak Musa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air Sabah daripada
penjajahan kuasa asing (Awang Abdul Muizz Awang Marusin, 2023).
Namun begitu, pengkaji masih
ada empat persoalan yang ingin dikupas menerusi kajian ini. Pertama, penerimaan
sastera oleh Malaysia Madani. Kedua, cara Sabah memahami Malaysia Madani dalam bentuk
persuratan. Ketiga, cara Hasyuda Abadi menggunakan sastera Islam untuk
mencitrakan Malaysia Madani dalam konteks Sabah. Keempat dan yang lebih
penting, masa depan sastera Malaysia, khususnya sastera Islam di Sabah, selama berjalannya
gagasan Malaysia Madani sebagai dasar pemerintahan negara.
Umum mengetahui bahawa sastera
tidak disebutkan secara khusus dalam gagasan Malaysia Madani. Dato’ Seri Anwar,
apabila menulis huraian yang amat panjang tentang ‘Membangun Malaysia Madani’,
tidak menyatakan dengan jelas perkataan ‘sastera’ dalam huraian tersebut. Namun
begitu, perkara ini tidak bermakna bahawa sastera tidak mempunyai tempat dalam
Malaysia Madani.
Sastera, sebagai sebuah seni
dan budaya yang liberal dan kreatif (Anwar Ibrahim, 2022), mempunyai tempat
yang tersendiri dalam Malaysia Madani. Hal ini demikian pada hemat pengkaji
kerana sastera ialah suatu disiplin sains sosial dan kemanusiaan yang memberi kebebasan
kepada individu untuk menuliskan sesuatu perkara menggunakan kreativiti dan inovasi
yang telah dikurniakan kepadanya dalam bentuk bunga-bunga bahasa.
Kreativiti dan inovasi yang
dimaksudkan oleh Muhammad Al Afzan Ali Hussin (2018) termasuklah pemilihan dan
pembinaan ayat, rima, diksi, simile, metafora, anafora, hiperbola, sinkope,
asonansi, aliterasi, perulangan, perlambangan dan personifikasi yang para
penulis sastera di Sabah telah sering gunakan baik dalam puisi, pantun, syair,
cerpen mahupun novel. Hakikatnya, penulisan sastera yang ditulis secara
tradisional mahupun secara moden sentiasa mengambil gaya-gaya bahasa yang telah
digariskan oleh para sarjana sastera sejak sekian lama (Mohammad Fadzli Jaafar,
2006; Mohd Khairul Adenan, Florence Gilliam Kayad & Muhammad Zaid Daud,
2018).
Hasyuda Abadi dan sastera
Islam di Sabah
Hasyuda Abadi ‒ atau nama
sebenarnya Sukor Usin ‒ memiliki kreativiti dan inovasi yang tersendiri dalam
mengeluarkan karya-karya sastera. Perkara ini, menurut Ezura As’ad Azam (2022),
diperakui sendiri oleh panel pemilihan Anugerah Sastera Negeri Sabah ke-3 yang sebulat
suara memasyhurkan beliau sebagai penerima anugerah tersebut. Mereka berpandangan
bahawa sebahagian daripada puisi-puisi nukilan Hasyuda Abadi menunjukkan
kebolehan beliau menguasai dan membudayakan unsur Islam dalam penulisan
sastera.
Perkara ini turut diakui oleh
Abdul Halim Ali (2020) yang melihat sastera Islam yang dicitrakan oleh Hasyuda
Abadi sebagai wajah baru dan wajah segar dalam sastera Sabah. Puisi-puisi
berunsurkan Islam nukilan Hasyuda Abadi, seperti yang pengkaji cuba tonjolkan dalam
kajian ini, menunjukkan sumbangan beliau kepada pembinaan dan pengembangan sastera
Islam di Sabah, malah kepada Islam itu sendiri di Sabah, sehingga menjadi
ikutan dan teladan kepada para penulis di Sabah yang turut meminati dan
menguasai sastera Islam seperti Norawi Haji Kata, Sahara Jais dan Siti Aisyah
Mat Saad (Awang Abdul Muizz, 2022).
Hal ini demikian kerana,
walaupun Islam merupakan agama rasmi di Sabah dan majoriti rakyat dan penduduk
Sabah menganut agama Islam, masih ramai dalam kalangan mereka yang memerlukan
dakwah untuk sampai kepada mereka dan kekal bersama mereka.
Berhanundin Abdullah dll.
(2016) mencadangkan kebudayaan dan kesenian ‒ termasuk kesusasteraan ‒ sebagai
bentuk dakwah yang boleh disampaikan kepada golongan sasar. Hasyuda Abadi
dilihat mempunyai kesedaran memikul tanggungjawab dakwah sehinggakan
banyak puisi berunsurkan Islam
nukilan beliau mengutamakan mesej akidah berbanding syariah mahupun akhlak.
Sajak beliau yang bertajuk ‘Perlimbahan Cinta’, misalnya, cuba menggambarkan
pengakuan perhambaan seorang manusia kepada Tuhan yang Maha Mencipta. Tidak
kurang juga sajak beliau yang bertajuk ‘Ombak adalah Qasidah Maha Diam’ yang
menceritakan gelora hati manusia menempuhi kehidupan sehingga memungkinkan beliau
kembali kepada Tuhan yang Maha Kuasa.
Bagaimana dapat kusisih
matahari ketika kubuta, cahaya menenggelamkan kelam detik itu membelah kabut
menikmati fana, dengan qiam mengalunkan diam memamah kalimat khusyuk di
rimba-Nya... Telah sirna sukma, tak mampu kumiliki keupayaan memaknakan betapa
debunya wujudku...
‒
Perlimbahan Cinta (Japar Ungki, 2011)
Benar, hingga di pundak malam,
ketika kuhidupkan diksi demi diksi di hamparan sunyi, hamparan air laut terus
berderai bagai tak pernah sampai. Kulelapkan mata. Hatiku membuka pintu
menambang qasidah maha diam paling luluh...
‒ Ombak adalah Qasidah Maha
Diam (Hasyuda Abadi, 2021)
Sajak beliau bertajuk
‘Menjelang Hijrah’, pada sudut yang berbeza, merupakan apresiasi kepada
peristiwa Hijrah Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah. Sajak tersebut tidak sekadar
menerangkan cara peristiwa itu berlaku, tetapi juga menerangkan cara sesuatu perbuatan
dikaitkan dengan niat asal seorang manusia.
Memandang hijrah
dari dalam diri juga
perlu diubah
jika dipandang di
hadapan gimik kehidupan
perbetulkan hijrah ini
hanya keikhlasan
sebelum membaca doa pembuka segala perjalanan.
‒ Menjelang Hijrah (Hasyuda Abadi, 2006)
Walaupun puisi-puisi
berunsurkan Islam nukilan Hasyuda Abadi memberatkan akidah, puisi-puisi
tersebut turut menampilkan mesej-mesej yang membolehkan seseorang individu memiliki
keperibadian yang terpuji. Salah satu mesej yang Hasyuda Abadi cuba bawakan ialah
agar seseorang individu menjauhkan diri daripada sifat mazmumah yang
menjejaskan diri sendiri dan satu pihak yang lain. Mesej tersebut digambarkan
dalam sajak beliau yang bertajuk ‘Jangan Bicara Tentang Jatuh’.
jangan bicara tentang
jatuh
sebelum mengenal bangun
yang memulakan payah
tak ada akar kesumat
cemburu atau iri hati
tumbuh antara
taman-taman
mengilhami jati diri
mengasihi.
‒ Jangan Bicara tentang Jatuh (Hasyuda Abadi, 2004)
Penerapan sifat mahmudah juga
merupakan fokus dakwah Hasyuda Abadi menerusi puisi. Sajak beliau yang bertajuk
‘Segaris Senyum’, contohnya, mengajak manusia untuk membudayakan senyuman dalam
kehidupan seharian. Hasyuda Abadi, dalam sajak tersebut, percaya bahawa
senyuman merupakan punca kepada lebih banyak nilai murni yang boleh diamalkan
dalam kehidupan seharian seperti keramahan dan penghargaan.
Gambaran tentang
keindahan yang
berakar pada cermin
fikirku ialah tentang segaris
senyum. Senyum yang
dilukis di sela-sela bibir
laksana cermin yang
mengambil gambar wajah
dalamanmu: mesra, ceria mahupun menghargai.
‒
Segaris Senyum (Hasyuda Abadi, 1997)
Dakwah tidak akan lengkap jika
tidak ada dalamnya seruan untuk beribadah di samping seruan beriman kepada
Allah dan Rasul-Nya serta seruan untuk membudayakan nilai murni dan budi
bahasa. Sajak Hasyuda Abadi yang bertajuk ‘Pada Selembar Jumaat’, walaupun
berlatar belakangkan solat fardu Jumaat berjemaah di sebuah masjid, cuba mengajak
pembaca untuk menyedari kepentingan mengabdikan diri kepada Allah menerusi ibadah
solat.
Seketika khatib di atas
mimbar
tertunduklah hamba :
“malam ialah masa untuk
bertaqarrub dengan
Tuhan tatkala semua makhluk telah lena,
subuh ialah untuk
berzikir hingga terbitnya fajar,
maghrib adalah untuk
bermunajat dan Jumaat adalah hari
sebaik-baiknya buat
umat berkumpul dan bertemu Tuhannya”
‒ Merangkak pada
Selembar Jumaat
(Zaini Ozea dll., 2003)
Begitu juga dengan ibadah di
bulan Ramadan, yakni puasa, zakat fitrah, solat sunat Tarawih, tadarus
al-Quran, zikir, qiamullail dan sedekah. Hasyuda Abadi tidak menyebut ibadah-ibadah
wajib dan sunat tersebut dengan jelas satu persatu. Tetapi, puisi beliau bertajuk
‘Segugus Kasih Ramadhan’ menerangkan kelebihan menunaikan ibadah-ibadah tersebut
di setiap malam dan siang di bulan Ramadan.
Ramadhan ini
menjanjikan rahmah-Nya
malam-malam hening dan
dingin
adalah warung menghirup
santapan rohaniah
waktu siang
wadah mengengkang
sejarah manusia tabah menghadapi
duga
Berdasarkan puisi-puisi
berunsurkan Islam yang dinukilkan oleh Hasyuda Abadi, kajian ini mendapati
bahawa puisi-puisi tersebut benar-benar menggambarkan mesej dakwah Islamiah
yang beliau cuba bawakan agar (i) manusia beriman kepada Allah dan Rasul-Nya; (ii)
manusia mengabdikan diri kepada Allah mengikut sunnah yang diajarkan oleh
Rasul-Nya SAW; dan (iii) manusia berpegang dengan akhlak mulia. Rahmah Ahmad Osman
dan Mohd Shahrizal Nasir (2011) memandang penting mesej-mesej kesusasteraan
yang disampaikan dengan unsur Islam bagi memastikan individu dan masyarakat
dipandu untuk mencapai keseimbangan dan kesejahteraan hidup di dunia dan
akhirat.
Malaysia Madani menurut
Hasyuda Abadi
Sastera Islam yang dibidangi
oleh Hasyuda Abadi sedikit sebanyak membuka jalan kepada sastera yang mendukung
dan mencitrakan gagasan Malaysia Madani. Tambahan pula, gagasan Malaysia Madani
itu sendiri banyak dipengaruhi oleh nilai-nilai Islam yang sentiasa bersifat
sejagat. Tambahan pula, Islam sentiasa menjadi suatu cara hidup yang lengkap meliputi
seluruh aspek kehidupan.
Keyakinan, misalnya, menuntut
seseorang ‘menggenggam erat suatu kebenaran atau kebijaksanaan dalam
kehidupan’. Namun begitu, keyakinan juga, menurut Dato’ Seri Anwar Ibrahim
(2022), menuntut kepercayaan dan kebertanggungjawaban seseorang terhadap sesuatu.
Dalam erti kata yang lain, seseorang bukan sahaja dikehendaki percaya dan dipercayai
dalam sesuatu hal, tetapi juga bertanggungjawab dan sanggup dipertanggungjawabkan
oleh pihak tertentu dalam hal tersebut.
Islam merupakan agama rasmi
Malaysia. Walaupun begitu, rakyat dan penduduk Malaysia yang beragama selain
Islam boleh mengamalkan agama pegangan mereka tanpa mengganggu-gugat Islam dan
umatnya. Dalam kerangka Malaysia, agama sentiasa menjadi sandaran kepada
keyakinan individu mahupun masyarakat. Tambahan pula, ‘kepercayaan kepada
Tuhan’ merupakan prinsip utama dalam Rukunegara.
Sebagai seorang Muslim,
Hasyuda Abadi meletakkan Islam sebagai sandaran kepada keyakinan dan pegangan
hidupnya. Oleh hal yang demikian, puisi-puisi yang dinukilkan oleh Hasyuda
Abadi banyak dipengaruhi oleh Islam. Puisi beliau yang bertajuk ‘Maw’izhatul Hasanah’
merupakan salah satu daripada banyak lagi puisi nukilan beliau yang banyak dipengaruhi
oleh Islam dan Arab sesuai dengan kebitaraan beliau dalam bidang sastera Islam.
Hilanglah duka itu
pada maw’izhah tulen
dan agung
kalamullah al-Quran
ada cahaya petunjuk
jalan yang sukar
dan benar
- sukar dari segala
yang sukar
atau benar dari semua yang benar.
‒
Maw’izhatul Hasanah (Hasyuda Abadi, 2008)
Menariknya, Hasyuda Abadi tidak
menerokai dan mencitrakan sastera Islam menerusi puisi seorang diri. Beliau
telah dan masih melakukannya bersama ramai lagi penulis Sabah seperti Datuk
Jasni Matlani, Juri Durabi, Norawi Haji Kata, Marmoh Kasman, Sahara Jais, Badariah
Arbin dan Siti Aisyah Mat Saad (Awang Abdul Muizz Awang Marusin, 2022).
Kemampanan, misalnya lagi,
menghendakkan masyarakat menyeimbangkan tuntutan kelangsungan hidup manusia
dengan kesejahteraan alam sekitar mengikut nuansa citra Malaysia bagi memenuhi
keperluan semasa tanpa menggadaikan keperluan masa depan generasi penerus
(Anwar Ibrahim, 2022). Hasyuda Abadi, dalam hal ini, tidak sentiasa menukilkan
karya yang khusus tentang kemampanan. Namun begitu, elemen kemampanan sentiasa
mendapat perhatian beliau dalam karya-karya yang beliau hasilkan.
Hasyuda Abadi dikenali sebagai
seorang penyair yang menghargai hubungan erat antara manusia dan alam sekelilingnya.
Puisi bertajuk ‘Rimba Raya Kehidupan’, walaupun cuba bercerita tentang cabaran
mengharungi usia dewasa, turut bercerita tentang peranan alam dalam membentuk
kedewasaan seseorang manusia.
Bukan hanya kenangan
yang membesarkan
kehidupan
inilah kampung halaman
kedewasaan
denyut rimba raya
daun-daun yang aman
di sisi akarnya
sendiri.
‒
Rimba Raya Kehidupan (Hasyuda Abadi, 2006)
Puisi tersebut juga bercerita
tentang pentingnya mencari dan meraih kesejahteraan kehidupan yang diertikan
oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2022) sebagai ‘suatu kehidupan yang baik dan
sering dikaitkan dengan... rasa selesa dan selamat’. Begitulah juga dengan puisi
yang bertajuk ‘Sasterawan Bukan Menentang’ yang menceritakan peranan penggiat sastera
sebagai jambatan antara rakyat di peringkat akar umbi dengan pemimpin di peringkat
Persekutuan dan negeri. Nada puisi yang kedengaran kontra tidak menggambarkan
perasaan penulis yang juga kontra, tetapi semata-mata suatu seruan kepada
pemimpin agar sentiasa memudahkan urusan kehidupan mereka yang sentiasa memerlukan
dan menjamin kesejahteraan rakyat yang beliau wakili di peringkat Persekutuan
dan negeri.
Membantu rakyat juga tugas sasterawan. Saya
tahu puisi tidak bisa menggantikan perabot rumah yang rosak akibat banjir. Tapi
dalam puisi itu ada rintih rakyat. Dalam cerpen teradun sukma derita rakyat.
Dalam novel terangkum rakaman peristiwa musibah rakyat...
‒
Sasterawan Bukan Menentang (Hasyuda Abadi, 2021)
Di sebalik tema kesejahteraan
dalam puisi tersebut, pengkaji turut mendapati tema ihsan, iaitu satu lagi
rukun yang diterapkan dalam gagasan Malaysia Madani. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
(2022) tidak sekadar menggambarkan ihsan sebagai peduli dan belas kasihan, tetapi
juga ‘memelihara dan menyediakan keperluan asas yang diperlukan demi kesejahteraan
semua pihak’. Dalam hal puisi bertajuk ‘Sasterawan Bukan Menentang’, penulis
menggunakan nada yang kontra untuk mengharapkan ihsan pemimpin agar rakyat yang
terkesan dapat menikmati kesejahteraan hidup seperti yang diharapkan.
Walaupun begitu, takrifan
ihsan tidak terhad kepada menyediakan keperluan asas semata-mata, tetapi lebih
meluas kepada nilai berbuat baik sesama manusia mengikut kemampuan yang ada
pada seseorang manusia. Malah, nilai ihsan dapat menjangkau nilai-nilai murni
yang lain seperti kasih sayang, tolong-menolong dan kesyukuran. Perkara ini bertepatan
dengan seruan Allah kepada umat manusia agar menjadikan ihsan sebagaibudaya
kehidupan di dunia.
Hasyuda Abadi menggambarkan rasa
ihsan tersebut dalam puisi beliau yang bertajuk ‘Negeri Persaudaraan’. Puisi
yang beliau nukilkan ketika mengunjungi negara jiran, bercerita tentang
kebaikan dan keramahan saudara serumpun yang telah menyambut kunjungan beliau
dan rakan-rakan di sana.
Negeri yang bergelar
persaudaraan
menggenggam gelombang
dan melumatkannya
berlari riang di
padang-padang pantai
terbentang lautan
menatap keagungan
menadah restu
kesyukuran.
‒
Negeri Persaudaraan (Japar Ungki, 2011)
Sifat ihsan biasanya datang
daripada sifat hormat-menghormati. Dalam erti kata yang lain, apabila seseorang
menghormati seseorang yang lain, maka seseorang itu juga akan berlaku ihsan
pada orang lain. Rasa hormat, sebagai salah satu daripada enam rukun Malaysia Madani,
dapat dilakukan oleh sesiapa pun dan kepada sesiapa pun juga. Dato’ Seri Anwar Ibrahim
(2022) tidak mengehadkan kepada pihak tertentu sahaja, perbuatan ‘memberikan hak
yang sewajarnya untuk setiap pandangan yang dilontar, keinginan yang terbuku,
serta dalam soal melunaskan hak orang lain’ walaupun keutamaan sifat
hormat-menghormati sentiasa didahulukan dalam lingkup kekeluargaan dan
persaudaraan dalam sebuah keluarga besar, barulah diperluaskan ke ranah
pendidikan, pekerjaan dan kemasyarakatan. Hasyuda Abadi menterjemahkan hormat
menerusi sebuah puisi yang bertajuk ‘Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah
Dihargai, Anak’. Walaupun nada puisi ini kedengaran rintihan seorang ayah
kepada anak-anaknya, puisi ini secara tersirat mendidik seorang anak untuk
memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada ibu bapanya.
Sebagai
ayah entah apakah yang pernah dihargai, anak melebihi hayat seorang ibu, ada
makna akrab yang mendekatkan naluri kasih lebih daripada insani lebih daripada
segalanya, waktu-waktu berlalu dan berarus tanpa pernah berkata apa atau memandang
silih berganti hari-hari yang membesarkan melihat suntimu kini lebih daripada
itu, bijak memilih pilihan bau cuaca dan kegemaran pada mata seorang anak dara
‒
Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai, Anak (Hasyuda Abadi, 2008)
Di atas lima rukun Malaysia
Madani yang dikupas dalam kajian ini ialah satu lagi rukun Malaysia Madani,
iaitu daya cipta. Dato’ Seri Anwar Ibrahim (2022) meletakkan dua syarat kepada
rukun daya cipta, iaitu rancangan proses pencapaian dan kreativiti penghasilan.
Hakikatnya, asas kepada
penulisan sastera dalam sebarang genre ialah daya cipta. Dalam erti kata yang
lain, seorang penulis sastera dituntut untuk merancang proses untuk menyiapkan
sesuatu karya dan memiliki kepelbagaian kreativiti dalam menghasilkannya. Daya
cipta merupakan kelebihan yang dimiliki oleh Hasyuda Abadi sejak tahun 1979 sehingga
kini. Kemampuan beliau menulis lebih daripada 4,500 buah puisi (Ezura, 2022) menunjukkan
daya cipta beliau berada pada tahap yang tinggi.
Puisi beliau bertajuk ‘Memandang
Melayu’ yang menceritakan pengembaraan beliau dan rakan-rakan ke Negara Brunei
Darussalam hanyalah salah satu daripadanya.
Di daerah Melayu ini,
membawaku kembali
ke halaman rumah kami,
jiran yang ramah hati
mengutus salam tanpa
pagar mengelilingi
menyambut tawa dan
menggendong duka bersama
menuai bangga adat,
menikmati lazat budaya
ranumnya tanpa musim,
susah mudah menyisir rasa
kau atau aku tiada
tetapi kami meriwayati persaudaraan
ikatan tidak disulam tetapi mengalir di ufuk kalbu
‒
Memandang Melayu (Azridah PS Abadi & Firdaus HN, 2013)
Hasyuda Abadi percaya kepada
istiqamah dan wasatiyyah yang membuatkan beliau terus menyumbangkan karya-karya
sastera dalam pelbagai bentuk sehingga ke hari ini. Dua prinsip hidup tersebut
juga membolehkan beliau masih bergerak aktif bersama komuniti penulis di Sabah.
Dua prinsip hidup tersebut jugalah yang membolehkan beliau merangsang daya
cipta untuk menguatkan keyakinan, menghargai kemampanan, mewujudkan kesejahteraan
serta membudayakan hormat dan ihsan.
Sastera Madani sebagai masa
depan sastera di Sabah
Sastera madani dapat difahami
sebagai sastera yang mengangkat dan mengapresiasi nilai-nilai masyarakat
madani. Dalam hal ini, gagasan Malaysia Madani berperanan dalammenyediakan
nilai-nilai murni kepada masyarakat Malaysia yang madani. Puisi-puisi nukilan Hasyuda
Abadi yang ditunjukkan dalam kajian ini membuktikan bahawa nilai-nilai masyarakat
madani telah diterapkan dalam karya-karya sastera sebelum adanya gagasan Malaysia
Madani. Di samping daya cipta sebagai asas pengkaryaan, lima nilai lain yang diterapkan
dalam gagasan tersebut berperanan sebagai kandungan kepada karya yang dihasilkan.
Islam, sebagai suatu cara hidup yang lengkap meliputi seluruh aspek kehidupan,
banyak memberi kesan kepada penghasilan karya-karya sastera yang memanfaatkan
landskap masyarakat madani. Tambahan pula, Islam merupakan asas kepada
tertegaknya gagasan Malaysia Madani. Islam melihat masyarakat madani sebagai
kumpulan manusia yang beriman dan bertakwa kepada Allah, mengamalkan semua
amalan yang diajarkan oleh Rasul-Nya dan yang membudayakan akhlak mulia dalam
kehidupan seharian di dunia.
Semua rukun yang terdapat
dalam gagasan Malaysia Madani telah dirasionalkan dengan tuntutan yang terdapat
dalam al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, gambaran kepada masyarakat madani di
Malaysia hanya dilihat lengkap dengan kehadiran Islam dalam masyarakatnya yang
majmuk sebagai agama rasmi negara dan panduan hidup yang diterima oleh golongan
majoriti.
Secara tuntasnya, sastera
madani ialah suatu idea yang mengintegrasikan gagasan Malaysia Madani dengan
bahasa, sastera dan budaya masyakat majmuk Malaysia berasaskan kepada Islam
sebagai cara dan panduan hidup manusia. Kajian ini tidak semata-mata bertujuan
untuk mewujudkan atau memperkenalkan sastera madani kepada komuniti sastera di
Malaysia, tetapi juga untuk melihat kemampuan penulis menghasilkan karya
sastera berunsurkan Islam yang menjiwai gagasan Malaysia Madani.
Berdasarkan puisi-puisi
Hasyuda Abadi yang ditonjolkan dalam kajian ini, ternyata kebitaraan Hasyuda
Abadi menghasilkan puisi-puisi yang berjiwa Islami dan selari dengan gagasan
Malaysia Madani tidak dapat disangkal lagi. Malah, telah ada penulis-penulis di
Sabah yang mengikut langkah beliau menghasilkan karya sastera yang beracuankan
Islam dan berdasar kepada gagasan Malaysia Madani. Begitu pun, kajian seperti
ini perlu dikembangkan lagi dalam pelbagai aspek yang berkaitan dengan bahasa,
sastera dan budaya agar masyarakat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan
warna kulit dapat melihat sendiri kesesuaian sastera menjadi salah satu
penyumbang kepada kejayaan gagasan Malaysia Madani sebagai sebuah idea dan
dasar pemerintahan.
Rujukan
Abdul Halim Ali (2020).
Kesepaduan Stail dengan Perutusan dalam Sajak-sajak Terpilih Lima Penyair
Sabah. Jurnal Melayu, 19(1), 88-104.
Aimi Khairunnisa Abdul Karim
& Nurliana Suhaimi (2020). Kepentingan Teori dan Ilmu Sosiologi dalam
Konteks Pendidikan Menurut Perspektif Ibnu Khaldun. Jurnal Tuah, 1(1), 41-53.
Akhmetova, E. (2017).
Al-Farabi and Said Nursi on the Civilising Mission of the Prophets. Intellectual
Discourse, 25(Special), 453-475.
Anwar Ibrahim (2022). Membangun
Negara MADANI: Visi dan Kerangka Dasar Reformasi. Shah Alam: IDE Research
Centre Sdn. Bhd.
Awang Abdul Muizz Awang
Marusin (2022). Pengaruh Arab dan Islam dalam Sastera Melayu dari Sudut Pandang
Penyair Sabah, Malaysia (dalam bahasa Arab). Dlm. 8th International
Conference on Arabic Language and Literature, 26-27 Disember 2022, Gombak,
Selangor, Malaysia. (Tidak diterbitkan)
Awang Abdul Muizz Awang
Marusin (2023). Gagasan Malaysia Madani untuk Komuniti Penulis di Sabah. Dewan
Sastera. Dipetik daripada https://dewansastera.jendeladbp.my/2023/02/09/7916/
pada 19 Februari 2023.
Azridah PS Abadi & Firdaus
HN (penyelenggara) (2013). Menjilbab Cinta. Kota Kinabalu: Ikatan Penulis
Sabah.
Berhanundin Abdullah, Azli
Fairuz Laki, Zawawi Yusoff & Nor Salimah Abu Mansor (2016). Pelaksanaan
Dakwah kepada Masyarakat Pribumi Sabah dan Sarawak. Jurnal Islam dan Masyarakat
Kontemporari, 12, 70-82.
Berita Harian (2023, Januari
19). Membangun Malaysia Madani bagi bina masa depan negara - PM. Dipetik
daripada https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/01/1053738/membangun-malaysia-madani-bagi-bina-masa-depan-negara-pm
pada 18 Februari 2023.
Bharathi, K. S. (1991). The
social philosophy of Mahatma Gandhi (Vol. 4). Uttam Nagar: Concept Publishing
Company.
Ezura As’ad Azam (2022,
Disember 15). Hasyuda Abadi Penerima Anugerah Sastera Negeri Sabah ke-3. Dewan
Sastera. Dipetik daripada https://dewansastera.jendeladbp.my/2022/12/15/7044/
pada 19 Februari 2023.
Hasyuda Abadi (1997). Kumpulan
Puisi: Akar Cahaya. Kota Kinabalu: Ikatan Penulis Sabah.
Hasyuda Abadi (2004). Menginai
Badai: kumpulan puisi. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Hasyuda Abadi (2006). Sinar
Sirna: Kumpulan Puisi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Hasyuda Abadi (2008). Kembali
di Lahad Rahsia. Beaufort: Pejabat Perhubungan ADUN N.24 Membakut.
Hasyuda Abadi (2014). Sastera
dalam Pandangan Islam. Dipetik daripada http://hasyuda-abadi.blogspot.com/2014/03/sastera-dalam-pandangan
-islam.html pada 19 Februari 2023.
Hasyuda Abadi (2021).
Kelahiran Sekuntum Cermin: kumpulan puisi. Kota Kinabalu: Iris Publishing &
Distributors.
Japar Ungki (penyelenggara)
(2011). Sutera Kunjungan. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa danPustaka Cawangan
Sabah.
Kidd, I.J. (2012). Oswald
Spengler, Technology, and Human Nature. The European Legacy,17(1), 19-31.
Kindermann, G. (1989). An
Overview of Sun Yat-sen's Doctrine. Dlm. Cheng, C.; Tai, H.; Schiffrin, H.Z.
& Ling, L. (penyunting) (1989). Sun Yat-sen's Doctrine in the Modern World.New
York: Routledge.
Mohammad Fadzli Jaafar (2006).
Aspek gaya bahasa dalam teks sastera Melayu berunsur Islam. Jurnal Pengajian
Umum, 7, 53-66.
Mohd Azrone Sarabatin (2023,
Januari 21). Malaysia Madani perlu dihayati dan diterjemahkan dalam penulisan.
Sabah Taim. Dipetik daripada https://www.sabahtaim.com/2023/01/malaysia-madani-perlu-dihayati-dan.html
pada 19 Februari 2023.
Mohd Khairul Adenan, Florence
Gilliam Kayad & Muhammad Zaid Daud (2018). Analisis stilistik melalui
penggunaan bahasa dalam novel sastera indie: Karya Azwar Kamaruzaman. Jurnal
Kesidang, 3(1), 106-121.
Mukherjee, S. & Pyne, S.
(2016). Cultural Diversity and Management Learning: A Study on Tagorean
Leadership in Philosophy and Action. Philosophy of Management, 15, 51-64.
Muhammad Al Afzan Ali Hussin
(2018). Gaya Bahasa dalam Karya Sastera. Dipetik daripada https://cikguafzan96.blogspot.com/2018/03/gaya-bahasa-dalam-karya-sastera.html
pada 18 Februari 2023.
Navari, C. (2000). Arnold
Toynbee (1889–1975): Prophecy and Civilization. Review of International
Studies, 26(2), 289-301.
Norjanah Yusof (penyelenggara)
(2008). Rahsia Alam. Kota Kinabalu: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.
Rahmah Ahmad Osman & Mohd
Shahrizal Nasir (2011). Sastera Islam: Satu Perbandingan antara Pandangan Mohd.
Affandi dengan Abu al-Hasan Ali al-Nadwi. Jurnal Elektronik Jabatan Bahasa
& Kebudayaan Melayu (3), 55-81.
Yuan, L., Chia, R. and
Gosling, J. (2023) Confucian virtue ethics and ethical leadership in modern
China. Journal of Business Ethics, 182(1), 110-133.
Zaini Ozea, Sitti Hadiah Abdul
Mutalib, Nelawati Ngadul & Melan Bujang (2003). Iktikaf. Kota Kinabalu:
Jawatankuasa Kecil Mahrajan Sastera Islam Sabah sempena Maulidur Rasul 2003M/1424H.
Zairudin Hashim (2023, Januari
22). Masyarakat Madani: Antara harapan dan keberanian bertindak. MalaysiaKini.
Dipetik daripada https://www.malaysiakini.com/news/652483 pada 17 Februari
2023.
Zakaria Stapa (2009). Manusia
Pembina Tamadun: Perspektif Pemikiran Islam. Jurnal Hadhari, 1(1),
31-44.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan