Kembali di Lahad Rahsia |
NORAWI HJ KATA
Persatuan sastera dan Budaya Sabah (PSBS)
(norawizah09@gmail.com)
PENDAHULUAN
OBJEKTIF
Kajian ini bertujuan untuk mengenalpasti aspek stail dalam Kumpulan Puisi ‘Kembali
di Lahad Rahsia` dan menganalisis kesepaduannya pemikiran penyair dan perutusan
agama.
PERMASALAHAN KAJIAN
Hasyuda Abadi merupakan penyair yang aktif menulis puisi berunsur Islam.
Penyair bukan setakat berekspresi tetapi puisi-puisinya sarat dengan pemikiran
yang hendak disampaikan. Sebagai penyair Islam, Hasyuda pernah disebut sebagai
mempunyai kekuatan dari sudut penggunaan gaya bahasa sajak yang bernuansa
Islami dan juga membawa pemikiran yang religiuis sifatnya. Persoalannya,
bagaimanakah Hasyuda menampilan imej Islami dalam sajak serta kekuatan
pemikiran di dalam sajak-sajaknya sehingga beliau dipersepsikan sedemikian.
Bagi memahami hubung kait aspek
unsur gaya bahsa sdan pemikiran dalam sajak-sajak Hasyuda, kajian ini akan
meneliti persoalan ini dari perspektif estetikanya baik dari sudut tersurat
mahupun tersirat. Hal ini penting dalam konteks memberi keabsahan kepada Hasyuda
Abadi dan sajak-sajaknya yang disifatkan ramai pengkaji sebagai mempunyai
kekuatan yang tersendiri dari sudut Islam. Untuk itu, kajian ini akan memanfaat
teori Estetika Bersepadu yang dikemukakan oleh A. Halim Ali (2010) bagi tujaun
analisis dan perbincangannya.
METODOLOGI
Dalam menganalisis kumpulan puisi “Kembali di Lahad Rahsia”, karya Hasyuda
Abadi pengkaji akan menggunakan analisis kepustakaan dengan kaedah analisis
kandungan. Pengkaji akan memilih beberapa puisi yang sarat dengan pemikiran Islami
dan sesuai menggunakan Teori Estetika Bersepadu. Analisis dan perbincangan
dibuat secara deskriptif berpandukan kepada dua prinsip dalam Estetika
Bersepadu (2010) janaan Abdul Halim Ali iaitu :
I) Kesepaduan stail dengan
perutusan
II) Perkaitan stail dan perutusan
dengan kebenaran
Walau bagaimanapun, analisis ini
tertumpu pada isi kandungan teks puisi yang terkait dengan; kesepaduan gaya
bahasa dan pemikiran(stail)dan perkaitannya dengan perutusan agama.
Kerangka Estetika Bersepadu
mengambil penciptaan nabi Adam a.s. sebagai asas rujukan untuk memahami erti
keindahan. Nabi Adam a.s. ialah makhluk manusia pertama diciptakan Allah SWT.
Kisah penciptaan Nabi Adam a.s. banyak diceritakan dalam al-Quran, Hadis dan
juga kitab-kitab sejarah Islam. Di dalam
Surah at-Tin, ayat 4 Allah SWT memberitahu bahawa Dia menciptakan manusia
dengan sebaik-baik kejadian. Nabi Adam a.s.(manusia pertama) adalah penciptaan
paling sempurna(kesempurnaan) berbanding dengan makhluk-makhluk lain.
Dalam hal penciptaan manusia ini,
Haron Din,et al(1997) menjelaskan bahawa manusia adalah sebaik-baik dan
seindah-indah kejadian, iaitu keindahan teradun daripada unsur jasmani dan
rohani. Unsur Jasmani manusia (al-khalaq) meskipun indah, namun keindahan itu tidak
sempurna kerana itu ia perlu kepada penyepaduan dengan unsur rohani(al-
Kuluq),supaya ia benar-benar menepati dengan ‘fi ah sani taqwim’ dalam
sebaik-baik kejadian.
Sepertimana dirujuk penciptaan
nabi Adam oleh Allah SWT, manakala puisi ditulis oleh penyair/penulis. Proses
kejadian Adam a.s. ciri-cirinya ialah kesepaduan tanah, roh, akal, nafsu, ilmu,
dilantik sebagai pemimpin/khalifah di muka bumi dan fungsinya ialah menyampaikan
perutusan Allah. Sesebuah karya yang ditulis pula perlu ada unsur kesepaduan gaya
bahasa dan pemikiran di samping perkaitan gaya bahasa/kiasan dan pemikiran
(Stail) dan perkaitan perutusan dengan kebenaran kepada pembaca iaitu manusia.
Mana Sikana(2013) menyatakan
proses penyepaduan pelbagai unsur bahasa, idea dan pemikiran, pengajaran dan
perutusan yang terkandung dalam Teori Estetika Bersepadu yang diplopori oleh
Abdul Halim Ali adalah teks sastera yang juga dikenali sebagai “teks keindahan”.
Unsur-unsur yang bersepadu atau disepadukan itulah yang paling asas diteliti
dan diperhalusi bagi memahami makna keindahan dalam teks. Berdasarkan fungsi
manusia sebagai khalifah di muka bumi, tergambar dua perkaitan yang
mempertalikan hubungan dan perkaitan tugas manusia, iaitu;
a) Berkait dengan kebenaran keterangan al-Quran dan hadis.
b) Berkait dengan realiti kehidupan manusia di muka bumi.
ANALISIS DAN PERBINCANGAN
Dalam kajian ini pengkaji memberi fokus kepada objektif kajian yang
bertujuan untuk mengenalpasti aspek stail dalam Kumpulan Puisi ‘kembali di
Lahad Rahsia` dan menganalisis kesepaduannya pemikiran penyair dan perutusan
agama. Sebelum hasil analisis dibincangkan dijelaskan terlebih dahulu serba
sedikit tentang diri penyair yang dikaji iaitu Hasyuda Abadi.
Hasyuda Abadi atau nama
sebenarnya Sukor Usin mula berkarya sejak akhir tahun 1970-an masih aktif
hingga kini. Selain pernah memenangi Hadiah Sastera Sabah, beliau pernah juga
memenangi Hadiah Sastera Perdana. Oleh itu puisi berunsur Islam tidak asing lagi
bagi Hasyuda kerana beliau pernah beberapa kali memenangi Sayembara Penulisan
Puisi berunsur Islam anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah Dan
Jabatan Agama Islam Sabah. Beliau juga pernah dianugerahkan sebagai ‘Tokoh
Penyair Islam Sabah’. Dalam menganalisis puisi ini, pengkaji akan cuba meneliti
kesepaduan keindahan bahasa dan pemikiran (stail) dengan perkaitannya perutusan
agama seperti mana yang terkandung dalam Teori Estetika Bersepadu.
Kesepaduan stail dengan perutusan agama
Berdasarkan teori Estetika Bersepadu, kesepaduan gaya bahasa dengan
pemikiran penyair disebut sebagai `stail`. Stail merujuk kepada gaya yang
terisi dengan pemikiran yang bermakna. Gaya dihadirkan penyair tidak hanya
bertujuan yang meninggalkan kesan estetika luaran tetapi yang lebih utama
adalah meniggalkan kesan estetika dalam bentuk pemikiran. Pemikiran yang
bermakna menurut A. Halim Ali (2010) adalah pemikiran yang mengesankan kebaikan
dan bersepadu dengan perutusan agama.
Hasil penelitian ke atas
puisi-puisi dalam kumpulan puisi “Kembali di Lahad Rahsia” (2008) karya Hasyuda
Abadi, terdapat enam jenis unsur gaya bahasa yang dikenal pasti banyak dan
kerap digunakan iaitu unsur metafora, perlambangan, hiperbola, anaphora,
pengulangan dan alusi. Penggunaan unsur bahasa ini dapat dikesan mempunyai
kesepaduan dengan pemikiran penyair. Analisis yang dilakukan mendapati terdapat
tiga inti pemikiran utama penyair yang ingin disampaikan iaitu pemikiran
tentang memperingati masa dan kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan
hakikat cinta.
Kesepaduan Stail dengan Perutusan Tentang Mengingati Masa
dan Kematian
Stail kepenyairan Hasyuda Abadi banyak terletak pada gaya pengulangan.
Penggunaan gaya pengulangan memberi bayangan bahawa penyair ingin menyampaikan
sesuatu secara berkesan, apatah lagi perkara yang ingin disampaikan berkait
dengan persoalan masa dan kematian. Penggunaan unsur pengulangan dapat dilihat
dalam sajak `Pernahkah kau menangis` (Hasyuda Abadi,2008:4). Dalam sajak ini
unsur pengulangan hadir dalam bentuk pengulangan perkataan dan pengulangan
baris. Pengulangan perkataan yang digunakan ialah `pernahkan` yang dibawa dalam
bentuk kata tanya. Manakala pengulangan baris `pernahkah kau menangis diulang
beberapas kali pada baris 1, 3,7 dan 9. Lihat contoh petikan sajak di bawah;
Pernahkah
kau Menangis
pernahkah
kau menangis
apabila
malam beringsut tiba
pernahkah
kau menangis
ketika
terdengar derap senja
semakin
menjelma dan gumam
pernahkah
kau menangis
saat terbuka
saja pintu
dan hanya
sunyi menyapa
ke dalamnya
pernahkah
kau menangis
waktu
membilang usia yang berbaki
dan tidak
lagi angka tetapi gelisah
(Hasyuda Abadi,2008:4)
Penggunaan kata pernahkah yang
diulang-ulang secara konssisten dalam sajak menunjukkan suatu pertanyaan yang
sifatnya bersungguh-sungguh dan bernuansa desakan yang mendalam. Jika
disepadukan dengan perkataan dalam baris maka yang lebih memberi kesannya.
Misalnya penyair menyebutkan;
pernahkah
kau menangis
apabila
malam beringsut tiba (b.1-2)
Tatkala malam tiba penyair
seolah-olah ingin tahu dari sudut hatinya atau pembaca tentang ruang malam yang
disediakan Tuhan kepada manusia. Malam disebutkan dalam al-Quran sebagai
teempat untuk berehat sepertimana yang tersebut dalam Surah al-Naba’:9-11:
“Dan Kami
telah menjadikan tidur kamu untuk berehat?Dan Kami telah menjadikan malam
(dengan gelapnya) sebagai pakaian (yang melindungi)? Dan Kami telah menjadikan
siang (dengan cahaya terangnya) - masa untuk mencari rezeki?" (Surah
al-Naba’ 9-11)
Malam juga selain untuk berehat, menenangkan diri dari
kesibukan di siang hari, Allah menyebut dalam surah al-Muzzammil ayat 6 yang
maksudnya;
`Sesungguhnya ibadah pada
saat-saat waktu malam itu lebih kuat kesannya ke atas jiwa dan lebih lurus
bacaan kita (lebih kusyuk)`
Dari ayat-ayat yang dibawakan di
atas, menunjukkan bahawa waktu siang dan malam itu mempunyai fungsinya yang
tersendiri. Waktu siang itu digunakan untuk melaksanakan pekerjaan dan tugas
kita masing-masing. Manakala waktu malam itu, menurut al-Quran, ia digunakan
untuk dua perkara; untuk tidur berehat dan untuk beribadah. Maka sepatutnya beginilah
pembahagian masa bagi seorang Muslim itu. Justeru, setiap datangnya waktu malam
itu, penyair ingin tahu, apakah manusia pernah berasa sedih atau penyesalan
setelah meninggalkan siang dengan sia-sia. Jelasnya soalan pernahkah kau
menangis itu membawa suatu persoalan yang lebih besar kepada diri manusia iaitu
tentang ruang waktu untuk menyesali diri dengan soal taubat dan tahajjud.
Penyair membawa kepada pembaca
masa atau waktu malam sebagai `tempat` untuk pembaca ingat dan sedar tentang
siang waktu yang ditinggalkan dan waktu malam sebagai tempat untuk menumpahkan
penyesalan. Bukan masa malam sahaja yang ditanyakan, malah penyair juga
menanyakan tentang masa senja dan masa tua dengan masa yang sedikit berbaki sepertimana
baris-baris sajak di bawah;
pernahkah
kau menangis
ketika
terdengar derap senja
semakin
menjelma dan gumam
pernahkah
kau menangis
saat terbuka
saja pintu
dan hanya
sunyi menyapa
ke dalamnya
pernahkah
kau menangis
waktu
membilang usia yang berbaki
dan tidak
lagi angka tetapi gelisah
Dalam sudut estetik bahasa, unsur
gaya bahasa pengulangan pada awal setiap baris (anafora) iaitu ‘pernahkah kau
menangis’ dapat menyegarkan lagi makna kepada pembaca. Ayat ini diulang sebanya
empat kali. Penyair memberi peringatan melalui pengulangan seperti ini ialah
untuk memberi peringatan kepada pembaca, sahabatnya atau sesiapa sahaja yang
dimaksudkannya membaca puisi ini tentang kesedihan yang bakal manusia alami.
Unsur bahasa pengulangan itu merupakan penegasan kepada pembaca agar dapat
mengingati pesanan yang disuarakan. Kata ‘menangis’ di situ membawa gambaran
tentang kesedihan. Penyair memilih untuk membuat pertanyaan,’pernahkah kau
menangis’ dan rasanya bagaimanakah agaknya jika tidak pernah menangis tentang
perubahan waktu yang terlalu cepat berlalu.
Dari sudut Estetika Bersepadu,
penggunaan unsur bahasa tidak dihadirkan dengan sa- sia atau untuk menikmati
estetika gaya semata-mata, tetapi bersepadu erat dengan inti pemikiran penyair
itu sendiri. Penggunaan unsur pengulangan dalam puisi `Pernahkah kau menangis`
jelas membuktikan terdapat kesepaduan unsur pengulangan tersebut dengan pemikiran
penyiar tentang pentingnya mengingati masa, baik yang dinisbahkan kepada waktu malam
dan siang atau masa yang berbaki di kala manusia sampai usia tua.
Gambaran yang dapat ditunjukkan
dalam analisis ini adalah estetika gaya pengulangan hadir dalam sajak dan
berposisi estetika yang lengkap melengkapi dengan pemikiran penyair dan juga
perutusan yang disampaikan kepada pembaca. Stail bukan sahaja mendukung aspek
gaya dalam maksud formalnya tertapi juga terisi dengan pemikiran yang bermakna.
Gaya dihadirkan Hasyuda Abadi tidak hanya bertujuan yang meninggalkan kesan estetika
luaran iaitu unsur pengulangan` tetapi yang lebih utama adalah meninggalkan
kesan estetika dalam bentuk pemikiran dan perutusan kepada pembaca.
Hamidah Abdul Hamid (1995) menyatakan
bahawa karya-karya seni menggunakan lambang-lambang untuk menyampaikan makna
dan maksud tertentu. Lambang-lambang yang diterapkan dalam karya seni boleh
meningkatkan mutu karya tersebut atau menjejaskan nilai karya berkenaan. Beliau
memberikan contoh penggunaan lambang dalam karya puisi dan karya prosa
umpamanya ‘merpati putih’ membawa makna perdamaian,’bulan sabit yang berpasangan
dengan bintang di dalam lukisan pelukis Islam melaambangkan agama Islam,manakala
‘kerusi’ yang digunakan dalam drama ‘kerusi’ karya Hatta Azad Khan melambangkan
kekuasaan. Oleh itu jelaslah di sini bahawa peranan lambang dalam sesebuah karya
itu membawa pengertian dan simbolik pemikiran seseorang pengkarya.
Selepas itu ada ungkapan ‘malam
menjelma’ yang boleh ditakrifkan sebagai pengakhiran usia. Apatah lagi penyair
kreatif membuat pemilihan kata melalui gaya bahasa personifikasi dalam rangkap
1 baris 8 iaitu ‘dan hanya sunyi menyapa’. Pembaca akan membayangkan suasana
kekosongan atau kata lain pengakhiran usia. Unsur-unsur perlambangan seperti
‘malam’, ‘pintu’ amat berkesan bagi menggambarkan pengakhiran usia. Namun
demikian, penyair mengigatkan dalam rangkap ke-2 seperti berikut :
menangislah ketika disebut
nama Tuhan
yang menjadikan
yang memelihara
yang mengubah
yang menghilangkan
kerana kita terlalu lama ketawa
Dalam rangkap ke-2 ini pula,
penyair mengubah strategi penulisannya daripada pertanyaan kepada seruan untuk
menangis. Lihat setiap baris dalam rangkap di atas kata pengulangan ‘menangislah
ketika disebut/nama tuhan/yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang
menghilangkan/kerana kita terlalu lama ketawa. Dalam rangkap itu, penyair jelas
memberi peringatan dan penegasan kepada pembaca untuk memelihara kehidupan
beragama. Dalam rangkap pertama penyair memulakan pertanyaan, manakala rangkap
ke-2, penyair berseru dan mengajak agar menangis ketika disebut nama Tuhan dan mengajak
pembaca agar sentiasa memelihara amalan beragama kerana Tuhan sebagai perancang
terbaik samada membahagiakan atau menamatkan riwayat umat manusia yang sentiasa
mengalami kenikmatan dunia. Kata ‘yang’ merupakan kata sendi diulang sebanyak tiga
kali untuk memberi penegasan terhadap kalimat yang disuarakan yakni tentang kekuasaan
Tuhan yang menjadikan/yang memelihara/yang mengubah/yang menghilangkan. Jelas
sekali kata ‘yang’ digunakan untuk memberi penegasa bahawa penyair ingin mengingatkan
kepada pembaca bahawa kekuasaan Tuhan melebihi segala-galanya yang ada di muka
bumi ini.
Kata ‘ketawa’ membawa maksud
gembira dan mengalami kenikmatan luar biasa di dunia ini. Justeru itu, penyair
membawa pemikiran agar manusia mentaati masa dalam melaksanakan tanggugjawab
beragama kerana waktu dan usia seiring bergerak dan terlalu cepat berlalu. Jika
diabaikan,maka terlalu lewat bagi umat manusia untuk menyesal.
Perutusan yang disampaikan
penyair dalam puisi ini sejajar dengan gesaan Allah seperti yang difirmankan
dalam al-Quran( Surah Al-Asr :103:1-103:3 ) bermaksud:
“Demi
masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian,kecuali orang-orang
yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat mensihati supaya menetapi
kesabaran.“
Puisi lain dalam kumpulan ini
yang menyuarakan pemikiran tentang masa dan kematian ialah,’Usia : Kutemui
dalam Lebur Mawaddahku’(ms:50, ’Usia’(ms:7),’Ramli di mana kini’(ms:31),
‘Kembali di Lahad Rahsia’(ms:38) ‘Nafas yang Tak Setia’(ms:12), dan ’Menjelang
Keberangkatan’ (ms: 38)
Demikian juga dalam puisi ‘Nazak’
penyair mencetuskan pemikiran tentang usia di ambang akhir. Penyair menyuarakan
pemikiran melalui kiasan bahasa puisi walaupun ringkas tetapi padat dengan
pengajaran.
Waktu ku ditusuk pisau kematian ku
memanggil kejernihan yang ditakluk dingin
kumesrai hampirmu tanpa berjejak lagi pada
ruang tak dapat diukur jaraknya,ku diramahi
perbualan
pertama yang belum lagi ada
jawabnya,
kusepikan apa juga soalan kalian,
tidak
terbongkar leburan hitam yang bertakhta,
kalbuku riuh
tanpa siapa membantu, ini titikku
yang hanya
Dia yang tahu bukan aku atau kau.
Penyair membayangkan kematian
yang semakin hampir namun akur akan kematian itu menjadi rahsia Tuhan. Tidak
ada sesiapa yang tahu akan tarikh dan masa kematian walaupun sedang berhadapan
dengan kesulitan umpamanya nazak. Dalam rangkap 1, baris 1 penyair memilih gaya
metafora iaitu ‘pisau kematian’ yang menggambarkan sakitnya sebuah kematian.
Pisau secara nyatanya sejenis benda tajam dan menyebabkan tubuh terluka dan kesakitan.
Namun dalam puisi ini pisau adalah sebagai lambang yang dikaitkan dengan kematian.
Oleh itu jika ‘pisau kematian’ (gaya bahasa metafora)alangkah sakitnya jika seseorang
pembaca membayangkannya. Ungkapan bahasa kiasan ‘kumesrai hampirmu’ dalam baris
ke-3 bermaksud redha akan kematian yang menjemputnya. Manakala unsur gaya bahasa
hiperbola ‘kalbuku riuh’ baris ke-8 menggambarkan kegelisahan yang melanda seseorang
ketika nazak. Penyair menyatakan bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membantu kecuali
Allah SWT mengikut amalan seseorang manusia. Pemilihan metafora dan hiperbola ini
menunjukkan penyair berusaha memberi gambaran melalui kias banding tentang seseorang
yang menamatkan usianya. Walaupun penggunaan hiperbola itu sebagai ungkapan yang
berlebihan dan dianggap gangguan dalam pemilihan bahasanya, tetapi ia digunakan
untuk memancing perhatian pembaca tentang kegelisahan di saat menghadapi
kematian.
Pemikiran yang dicetuskan oleh
penyair tentang pemikiran seiiring dengan perutusan dalam al-Quran surah
Ar-Rahman ayat 26-27 yang menjelaskan dengan maksud
“bahawa
semua yang ada di bumi akan binasa(mati/meninggal dunia),baik manusia,haiwan tumbuhan,mahu
pun yang lainnya. Namun Allah maha besar tetap kekal”.
Kesepaduan Stail dan Perutusan dengan Kasih Sayang
Terhadap keluarga
Terdapat beberapa puisi Hasyuda Abadi memanfaatkan pemikiran tentang kasih saying
terhadap keluarga. Dalam Teori Estetika Bersepadu iaitu kesepaduan stail dan
perkaitannya dengan perutusan kebenaran didapati gaya bahasa dan
pemikiran(stail)memang ada kaitannya dengan perutusan agama serta realiti
kehidupan . Kebenaran dalam konteks Estetika Bersepadu ialah kebenaran
berpandukan keterangan al-Quran serta hadis,dan kebenaran yang berpandukan
realiti kehidupan. Puisi lain yang terkandung dalam buku ini yang membawa pemikiran
yang sama ialah ‘Melihat Cermin’(ms:15),’Anak-Anak’(ms:118).
Terapan dan analisis ini
dilakukan ke atas beberapa buah puisi Hasyuda dalam puisi yang berjudul
‘Sebagai Ayah Entah Apakah yang Pernah Dihargai Anak’ mukasurat 40, yang membawa
pemikiran tentang kasih sayang terhadap anak-anak. Dalam puisi ini penyair menceritakan
kasih sayangnya terhadap anak-anak sejak kecil hingga dewasa. Penyair menggunakan
unsur bahasa pengulangan iaitu setiap rangkap mengulang setiap ungkapan persoalannya
di setiap baris pertama yang berbunyi ‘Setiap ayah entah apakah yang pernah dihargai,anak’.
Penyair menjelaskan, menjaga
anak-anak dengan rasa kasih sayang walaupun susah payahnya tidak diketahui
anak, namun perjuangan menjaga anak-anak dengan rasa kasih sayang sehingga
matang adalah satu tanggungjawab. Gaya bahasa pengulangan, personifikasi,
menjadi pilihan penyair dalam mengolah puisi ini dapat menyerlahkan pemikiran
tentang kasih sayangnya terhadap anak-anak perempuannya. Cetusan rasa penyair
dapat dilihat dalam rangkap ketiga seperti ini :
sebagai ayah
entah apakah yang pernah dihargai,anak
menyalur
halus kasih sayang biar apa pun yang harus
datang dan
menghalang,malang atau walang,derita atau
ria suka
bahkan menyimpan rahsia peribadi,memahami
raung ruang
remaja,mengerti malah erti cinta biarpun
cuma
anak-anak hingusan yang baru membesar
didewasakan
bacaan atau tontonan zaman
Penyair dengan jelas menyuarakan
erti kasih sayang seorang ayah terhadaap anak remajanya dan dikuatkan lagi
dengan unsur metafora ‘tontonan zaman’ yang membawa makna cabaran zaman semasa.
Intipati pemikiran penyair dapat dilihat dalam perutusan al-Quran sepertimana dalam
firman Allah SWT :
“Wahai
orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada neraka
yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu(berhala);neraka itu dijaga dan dikawal
oleh malaikat-malaikat yang keras kasar(layanannya);mereka yang menderhaka kepada
Allah terhadap segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka,dan mereka pula tetap
melakukan segala yang diperintahkannya.” (Surah al-Tahrim 66:6)
Justeru itu menjaga anak dan
memberi kasih sayang kepada mereka merupakan tanggungjawab yang wajib walaupun
berat. Dalam mejaga anak, ibu bapa juga wajib memberikan anak-anak hak
perlindungan, memberikan pendidikan dan kasih sayang. Jawiah Dakir(2019)
menyatakan walau sibuk sekalipun seorang seorang ibu atau bapa, walau seramai mana
pun anak-anak mereka,ibu bapa perlu menunjukkan kasih sayang terhadap anak
mereka ketika kecil. Kewajipan itu termasuk juga memberikan nafkah oleh bapa
sebagai ketua keluarga. Manakala Rahimah Abdul Hamid(2015) berpandangan
sensitiviti dan kreativiti seseorang pengarang untuk berkarya ada kaitan
langsung dengan psikologi-estetik di mana penyair atau pengarang mendapat ilham
dari jiwa sebenar. Dalam erti kata lain pengalaman sebenar pengrang yang
bersuara dalam bentuk karya sastera adalah lebih terasa kesannya kepada
pembaca. Dalam puisi lain, penyair juga meluahkan kasih sayangnya terhadap
seorang ibu tercinta melalui puisi berjudul ‘’Mengunyah Jadam’ mukasurat 84.
Penyair meluahkan akan kesabaran bondanya dalam mengharungi kehidupan bersama
anak-anak. Seseorang ibu\ sanggup mengharungi kepayahan kehidupan dan inilah
yang dirakamkan penyair yang tahu akan derita sengsara seorang ibu demi
keluarganya seperti dalam rangkap pertama(b.1-2);
Perih
pedihmu mengunyah jadam kehidupan
Tega
meriwayat hayat segala rasa
Gaya bahasa metafora yang
ditimbulkan dalam puisi ini dapat menonjolkan makna keperitan hidup,yakni
seorang ibu yang dimaksudkannya dalam mengharungi kelangsungan hidup.Muhammad
Haji Salleh(2014)berpendapat bahawa dalam pencarian makna,antara yang ditemui
adalah beberapa keserupaan,kesamaan,pertindihan,dan keselarian di antara hal
yang berlaku dalam alam dan pada diri manusia secara peribadi atau kelompok.
Sehubungan itu, penyair juga menyuarakan makna berdasarkan pengalaman hidup
yang ada persamaannya dengan sehingga dapat membuat kiasan dalam puisinya.
Penyair yang merupakan seorang anak amat terkesan akan kepayahan ini dan
memberi kata-kata rangsangan seperti dalam puisi rangkap ke-3 (b.4-8) yang
berbunyi;
dengarlah
suara itu,ummi,rama-rama menyapa
wangi
bunga-bunga
aku pulang
memulangkan kepercayaan
membebat
duka dan perih pedihmu
yang tak
berkesudahan (b.4-8)
Unsur gaya bahasa personifikasi
dalam rangkap puisi di atas iaitu’ rama-rama menyapa wangi bunga-bunga’
menggambarkan indah dan mulianya perjuangan dan kasih saying seorang ibu. Namun
demikian penyair memberi jaminan kepada ibunya untuk membantu membahagiakan
seorang ibu yang dikasihinya seperti dalam unsur gaya bahasa metafora iaitu ‘membebat
duka dan perih pedihmu’. Dalam puisi ini juga pengkaji dapat mengesan bahawa penyair
mengemukakan pemikiran akan kecaknaan seorang anak yang berjauhan dengan ibunya.
Seorang anak sanggup pulang, walau sesibuk manapun untuk membantu ibunya atau sekurang-kurangnya
merawat kerinduan seorang ibu. Di sinilah pembaca dapat melihat dan menilai
akan betapa pentingnya kecaknaan seseorang anak dalam aspek memberi kasih sayang
terhadap ibu, menghilangkan kesepian mereka dengan perhatian dan bantuan yang sewajarnya.
Cetusan pemikiran penyair dalam puisi ini ada kaitannya dengan perutusan kebenaran
dan realiti kehidupan.
Oleh itu, Islam menentukan
kewajipan anak terhadap ibu bapa mereka.Abu Umamah meriwayatkan hadis yang
cukup bermakna untuk diambil iktibar iaitu yang bermaksud;
“seseorang
lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW,apakah hak kedua-dua ibu bapa terhadap
anaknya? Bagind menjawab: Kedua-dua mereka adalah syurga dan neraka kamu.” (sumber
: Ibn majah,Sunan Ibn Majah,Kitab al-Adab Bab Birr al-Walidayn,no.3653)
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Dan
Tuhanmu memerintahkan kamu supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah
kamu berbuat baik kepada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang
antara kedua-duanya sampai umur lanjut dalam pemeliharaanmu,maka sekali- kali
janganlah kamu mengatakan kepada kedua-duanya “ah” dan janganlah kamu membentak
mereka dan ucapkanlah kepada mereka perbuatan yang mulia.” (Surah al-Isra’
17:23)
Oleh itu menjaga hati ibu bapa
termasuk adab menghormati dan menjaga kebajikan adalah sangat dituntut dalam
Islam. Menurut Muhammad Haji Salleh(2000), karya-karya sastera mengajar kita
menghormati orang lain, menghargai budi baik,mengasihi orang tua dan juga mengingatkan
tentang keburukan menderhakan. Di sinilah kejayaan penyair untuk mengemukakan
pemikiran tentang kasih sayang terhadap keluarga iaitu kasih sayang kepada anak-anak
termasuk juga ibu bapa yang merupakan keharmonian bagi setiap keluarga yang mengamalkannya.
Keharmonian sesebuah keluarga dapat membantu keharmonian masyarakat dan juga
negara.
Kesepaduan Stail dengan
Perutusan Tentang Hakikat Cinta
Dalam puisi ‘Harum Rindu’(ms:60),
penyair menunjukkan rasa cintanya kepada maha pencipta iaitu Allah SWT. Penyair
menceritakan tentang kesedaran dirinya untuk beriman kepada Allah,menjaga
segala amalan yang diperintahkan,memelihara nafsu dan perkara- perkara yang
dilarang.Sidek baba(2015)menyatakan cinta Allah dan cinta Rasulullah SAW harus
difahami dan dihayati melalui amalan dan contoh teladan. Hal ini bukan hanya
bersifat ritual semata-mata tetapi terlihat pada amal dan perbuatan,iaitu
apabila kita kembali kepada Allah dan rasulullah SAW melalui pedoman al-Qur’an
dan hadith. Sehubungan itu,mesej yang sama terdapat dalam kandungan puisi ini
yang berkaitan tentang hakikat cinta kepada Allah. Penyair menyebutkan;
menghampar
nafasmu
hangat
menakluk dingin
semarak
gerak batin
mengikat
kalbu mengimani rindu
mula
kumembuka rahman
Yang kubaca
saban malam.(b.1-6)
Penggunaan unsur hiperbola
‘menghampar nafasmu’ dan mengikat kalbu mengimani rindu’ menunjukkan penyair
ingin memberitahu dengan sungguh-sungguh akan keinginannya untuk mendapat
keredhaan dan kasih sayang daripada Allah SWT. Penyair ingin menyampaikan pemikirannya
tentang betapa pentingnya manusia untuk menelaah kembali ayat-ayat suci al-
Quran yang menjadi pedoman terhadap kehidupan manusia.
memelihara nafasmu
taman ayu
mengharum
segera
kupulang ke ruang
menghafal
ajaran kebenaran
berlabuh
memintal suluh (b.9-13)
Penyair juga menunjukkan
pemikirannya untuk mengajak pembaca agar menghargai nikmat dunia yang diberikan
dan agar mentaati ajaran kebenaran sebagai penyuluh hidup di dunia dan di
akhirat. Penggunaan unsur hiperbola ‘memelihara nafasmu’ tidak menjejaskan
maksud sebaliknya menunjukkan rasa syukur penyair akan nikmat nafas yang
dipinjamkan oleh Allah SWT kepadanya,manakala ‘berlabuh memintal suluh’
menunjukkan ajaran kebenaran merupakan suluh kehidupan. Dalam al-Quran Surah
An-Nissa ayat 69 yang bermaksud : “Dan barang siapa yang mentaati Allah dan
Rasul(Muhammad)maka mereka itu akan bersama-sama dengan orang-orang yang
diberikan nikmat oleh Allah,iaitu para nabi,para pencinta kebenaran,orang-orang
yang mati syahid dan orang-orang yang soleh.Mereka itulah teman
sebaik-baiknya.” Manakala puisi ‘Sukma Malam’(ms:46) juga menyampaikan rasa
cinta kepada pencipta(Allah SWT) dalam bait-bait berikut;
menghuni
malam-malam yang lain
ini,tak ada
garis mengulang ungkap
menyampaikan
rahsia yang Engkau
ketahui;terlalu
saujana kurnia ini,ya Rabb,
hingga
akalku hanya memiliki rasa syukur
dan insaf (b.1-6)
Sekali lagi,penyair ingin
menyampaikan rasa bersyukurnya terhadap sebarang kurniaan yang telah dikecapi.
Malah rasa insaf itu diucapkannya kerana merasakan tidak ternilai nikmat yang
telah dimiliki dengan penggunaan unsur bahasa metafora yang dapat menjelmakan makna,
cetusan pemikiran sekaligus keindahan dalaman puisi ini. Ciri-ciri keindahan
menurut pandangan V.I. Braginsky(1994) melalui bukunya Erti Keindahan dan
Keindahan Erti dalam Kesusasteraan Melayu Klasik ialah keindahan dalaman, isi,
keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman(menyempurnakan
akal dengan faedahnya), keindahan luaran(apa yang dirasa oleh deria lihat dan
deria dengar manusia yang hanya dapat menghibur lara), keindahan mutlak dan
keindahan rohani. Oleh itu ciri-ciri puisi ini dapat menjelmakan keindahan
kerana mengandungi kata-kata islamisasi yang jelas.
RUMUSAN
Berdasarkan analisis terhadap
puisi-puisi yang terhimpun dalam “Kembali di Lahad Rahsia”, terdapat tiga inti
pemikiran penyair yang ingin disampaikan kepada pembaca iaitu peringatan tentang
masa dan kematian, kasih sayang terhadap keluarga dan hakikat cinta kepada
Allah. Dalam analisis tersebut mendapati kesepaduan unsur bahasa
metafora,personifikasi, hiperbola,anaphora dan alusi dapat menguatkan makna
setiap bait puisi dan menyerapkan perutusan serta pemikiran penyair.
Gaya pengulangan dan imej yang
dibawa oleh penyair merupakan suatu penegasan makna. Pembaca dapat merasakan
emosi penyair dengan menghadirkan diksi Islami yang tepat di samping unsur
bahasa yang menggambarkan sesuatu peristiwa. Penggunaan gaya bahasa hiperbola
bukanlah tujuan untuk berlebih-lebihan dalam berbahasa tetapi ia dihadirkan oleh
penyair sebagai memancing perhatian terhadap apa yang disampaikan.
Kekuatan penyair, Hasyuda Abadi
bukan hanya pada kreativitinya sebagai penyair semata tetapi, penghayatan
pengalaman dan tugas dakwah yang beliau laksanakan, Amalan ini membuktikan
estetik kepenyairan Hasyuda kerana beliau bukan setakat menyuarakan pemikiran
semata tetapi apa yang diucapkannya melalui puisi adalah realiti dilakukannya.
Pegangan penyair seumpama ini boleh diikuti oleh pembaca kerana puisi-puisi
Hasyuda Abadi adalah gambaran diri dan sikapnya terhadap pemikiran yang
disampaikan.
Secara tidak langsung penyair
memanfaatkan ilmu serta amalan keagamaannya sehingga dapat melontarkan
pemikiran yang indah dan berkesan kepada pembaca. Latar belakang penyair sebagai
pengasas Baitul-Muqaddam dan memberi sumbangan terhadap aktiviti keagamaan merupakan
bukti perjuangan beliau dalam mengembangkan syiar agama dan ia selari dengan pemikiran
yang disampaikan.
Justeru itu,kata pengulangan dan
hiperbola yang banyak digunakan oleh penyair dalam setiap puisi yang terkandung
dalam ‘Kembali di Lahad Rahsia merupakan penegasan peringatan terhadap apa yang
disuarakan umpamanya dalam memberi pesan agar manusia insaf akan
usia,kematian,kekeluargaan dan rasa insaf dan bersyukur akan nikmat yang diberikan
oleh Allah SWT. Di sinilah berlakunya teks sastera yang dapat mendidik pembaca melalui
gaya pengucapan yang indah dan dapat menjelmakan makna pemikiran yang bersesuaian
dengan perutusan kebenaran. Unsur bahasa yang bersepadu dengan makna yang indah
akan memancarkan pemikiran dan perutusan yang berguna kepada pembaca.
RUJUKAN :
Al-Quran dan Terjemahannya.(1428
H). Cetakan Kerajaan Arab Saudi
Abang Mohd Razif Abang Muis.
(2015). Pembangunan Insan Berteraskan Islam.Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka
Abdul Halim Ali.(2010) ‘Konsep
Estetika Bersepadu : Terapan dan analisis Terhadap karya puisi Ahmad kamal
Abdullah’. Tesis Ijazah Doktor Falsafah, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi,
Universiti Pendidikan Sultan Idris
Abdul Halim Ali.(2018). Sorotan
Perkembangan Genre Puisi Moden Di Sabah dan Analisis Ringkas Terhadap
Sajak-Sajak Terpilih Lima Penyair. Jurnal
Arbak Othman (2012). Sufisme
Dalam Puisi Ariffin Arif. Mahrajan Sastera Islam Sabah. Kota Kinabalu, Sabah.
Asmiaty Amat (2000). Api Laut
Merah: lambang Keteguhan Seorang Penulis. Wadah, DBP Sabah.
Braginsky,I.V.(1994) Erti Keindahan dan Keindahan Erti dalam Kesusasteraan
Melayu Klasik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Hasyuda Abadi.(2008). Kembali di
Lahad Rahsia : Kumpulan Puisi. Kota Kinabalu. Iris Publishing &
Distributors.
Hamidah Abdul Hamid.(1995).
Pengantar Estetik. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Haron Din.(1997).Manusia Dan
Islam. Jilid Satu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan pustaka.
Jasni Matlani (1995). Kiswah
Rindu dan Rindu Illahi: Pengukuhan Puisi Berunsur Islam di Sabah. Nadwah
Sastera Islam. Kota Kinabalu, Sabah
Jawiah Dakir.(2019). Nabi
Muhammad SAW dalam Konteks Kekeluargaan. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka
Kasmizun Enuni Mohd Sarji &
Kamariah binti Kamarudin.(2017). Nilai Islam dalam Teks
Misa Melayu. Rumpun Jurnal
Antarabangsa Persuratan Melayu. Perak: Persatuan Penulis Budiman Malaysia
Mana Sikana (2013), Berdiri di
Akar Diri: Penerbit Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM)
Mohd Affandi Hassan.(1996).
Pendidikan Estetika Daripada Pendidikan Tauhid. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka
Muhammad Haji Salleh.
(2000).Puitika Sastera Melayu. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Muhammad Haji Salleh.(2016).
Ghairah Dunia Dalam Empat Baris. Kuala Lumpur : Institut Terjemahan Buku
Malaysia. Nurul Hilwany Che Shaffine.(2015) Pemikiran Islam Dalam ‘Ayn Karya
Kemala. Jurnal Melayu Bil 14(2)
Rahimah A. Hamid.(2017). Proses
Kreatif : Sensitiviti Dan Kreativiti Pengarang. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan
Pustaka
Shafie Abu Bakar,1992. “Sastera
Islam : Teori Pengindahan Mengemukakan dan Penyempurnaan dalam Rangka Tauhid”.
Kertas Kerja dalam seminar anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka,di Port Dickson,29
hingga 31 Oktober.
Shaik Abdullah Hassan
Mydin.(2015). Manusia daripada Perspektif Islam. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa
dan Pustaka. Sidek Baba.(2015). Fikrah Kesatuan Ummah . Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka
Tiada ulasan:
Catat Ulasan