oleh: Datuk Dr. Ts. Ramzah Dambul
![]() |
Dr.Ts.Ramzah Dambul |
Jalur
pemikiran penulis yang agak hampir dengan HA dalam konteks ini adalah Jasni
Matlani, yang juga tegar dengan puisi kritik masyarakat. Tetapi kedua-dua
penyair mapan ini mempunyai identiti yang sangat berbeza – dari segi gaya
ungkap dan seni pemilihan diksi. Selain daripada puisi, Hasyuda sebenarnya turut menulis
pelbagai genre lain – termasuk cerpen, rencana dan kritikan sastera. Imej sebagai penyair lebih
sinonim dengan beliau. Kekuatan paling tuntas Hasyuda terletak pada teknik
pengucapan. Beliau suka muncul dengan gaya prosa, seolah-olah sedang bercerita
dalam puisi.
Di
sinilah teradunnya kunci tarikan dan daya bujuk dalam naratif puisi-puisinya. Nada yang dipilih selalu sinis
dan provokatif; begitu tegar melontarkan sindiran dengan cara paling halus dan
menghiris. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, kita sudah mengesan kecenderungan
ini lebih sedekad dahulu; dan kita
masih merasakan ciri itu tetap tebal mewarnai daya kepenyairan Hasyuda sampai sekarang.
Kumpulan
puisi ‘Suara yang Terbuka’ adalah
contoh klasik suara kritikan komuniti dan sosial penyair. Wacana pemikirannya diadun
dalam citra yang rencam, kemudian dihantar merentas pelbagai dimensi:
sosiobudaya, sosioekonomi dan sosiopolitik. Elemen sejarah yang seolah-olah
terpancar dalam antologi ini hanyalah satu simbolik. Mesej yang benar-benar
mahu diketengahkan, selepas mendengar suara yang diolah dan dilontar,
sebetulnya berciri sangat kontemporari. Ia adalah kritikan tajam kepada situasi
masakini; melibatkan sekecil-kecil entiti seperti kalangan sahabat, keluarga
dan organisasi – hinggalah melangkau domain lebih besar seperti masyarakat,
negara dan dunia.
Justeru
wujudnya lapis-lapis yang terselindung begitu dalam Kumpulan Puisi ‘Suara yang
Terbuka’, maka naskah ini memberi sebuah misteri yang indah untuk diteroka. Ia
menawarkan enigma untuk dirungkai, dan menjanjikan katarsis jiwa (bagi yang
gemar menilik keluk-keluk pemikiran) sebagai ganjaran.
Keseluruhan
puisi dalam Suara yang Terbuka melaungkan tentang perjuangan yang berkait-rapat
dengan tatanegara: mencari kebebasan bangsa dan manusia, lalu menemui segala
onak di sepanjang perjalanan. Maka daripada luka tusukan onak itulah, penyair
melontarkan suaranya dengan:
·
Nada
sangsi tapi penuh harapan
dalam Suara yang Terbuka
·
Nada
kecewa yang sinis
dalam Luka-luka Sejarah
·
Nada
marah yang mencabar
dalam Mimpi Sejarah
Dalam satu ayat mudah: Suara yang
Terbuka agak menyanggah mazhab yang ditawarkan oleh antologi-antologi puisi
lain yang pernah dibaca
sebelum ini. Karya ini adalah kumpulan puisi prosa, yang menghantar mesej
tentang kebebatan-kebebatan dunia masakini. Nadanya kadang-kadang keras
melenting; ada ketika hanya sayup-sayup berbisik. Pun begitu, secara kesatuan:
ini adalah cerita tentang seribu gelora dan luka komuniti manusia – disampaikan
secara jujur menerusi kacamata seorang penyair yang peka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan