KERANDA 152
Anak Melayu
panas dadamu membakar baju
kita arak Keranda 152
ke arah perkuburan Parlimen
Sepuluh tahun nafas itu terhenti
hari ini jangan lagi menyanyi
Sebentar lagi malam akan tiba
tiap pintu dan jendela sudah dijaga
bayang-bayang tidak bisa lewat jalan raya
Anak Melayu
namamu telah diseru
jawablah
sebelum lidahmu jadi bisu
Usman Awang
1967
Disebabkan keengganan kerajaan menolak keputusan yang dibuat di Parlimen, para pejuang bahasa mengadakan perhimpunan besar-besaran di perkarangan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 3 Mac 1967. Tujuannya untuk melahirkan protes kerana orang politik gagal meletakkan bahasa Melayu di tempat yang telah tertulis dalam Perlembagaan.
Tragedi bahasa Melayu yang membawa kepada perarakan Keranda 152 ke Parlimen itu berlaku sepuluh tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Dalam usia kemerdekaan yang dianggap masih muda kalangan tokoh politik Melayu telah lupa tentang peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan rakyat pelbagai kaum di negara ini.
Kalangan tokoh politik Melayu ketika itu kelihatan tidak ada semangat untuk memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu, semua ini terpancar daripada keputusan di Parlimen yang meletakkan bahasa Melayu di tempat yang tidak sepatutnya sebagai bahasa kebangsaan negara ini. Kemarahan perjuang bahasa dan rakyat jelata tidak ada agenda politik di sebaliknya. Mereka berjuang demi bahasa Melayu yang mulai dipijak selepas sepuluh tahun merdeka.

Apakah kita memerlukan perhimpunan Keranda 152 yang kedua untuk menyedarkan kalangan pembuat dasar supaya bahasa Melayu diletakkan di tempat yang dimuliakan dalam Perlembagaan? Ketika pejuang bahasa dianggap kolot dan anti establishment, gerakan memartabatkan bahasa Melayu tetap diteruskan.
Petikan ucapan bekas Ketua Pengarah DBP, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail pada perhimpunan Keranda 152 40 tahun lalu wajar menjadi renungan pembuat dasar. Kata Syed Nasir, " Saya menangis bukan kerana takut, tetapi air mata ini lahir daripada keharuan hati sanubari saya mengenangkan nasib bangsa saya. Saya tidak boleh buat apa-apa sekarang ini. Saya terikat."
Kalau ditoleh sejarah silam, bahasa Melayu telah menjadi bahasa bagi kerajaan Melayu- Islam, bahasa persuratan, bahasa undang-undang dan menjadi alat pengembangan agama Islam di Nusantara sejak abad ke 13. Bukan itu saja malah menjadi lingua franca perdagangan dan sosial sejak ratusan tahun dulu. Kemudian pada 1957 bahasa Melayu termaktub dalam Perlembagaan.

Ketua Satu Kalam, Mohamad Daud Mohamad memberitahu, mulai tahun ini Hari Pejuang Bahasa 152 akan dijadikan acara tahunan untuk mengingatkan kembali kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan dan berusaha meletakkan bahasa Melayu di tempat yang wajar dalam pembangunan negara masa kini.
Menurutnya, Kalam yang mengepalai Hari Pejuang Bahasa 152 dengan sokongan banyak persatuan penulis dan NGO Melayu gembira kerana mendapat sokongan pelbagai pihak untuk menganjurkan acara penting bagi memperjuangkan bahasa Melayu di negara ini. Sokongan itu diharap boleh memberi isyarat kepada pembuat dasar supaya berhati-hati menggubal sesuatu dasar yang melibatkan masa depan dan kepentingan bahasa Melayu.

PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan