CITRA SANGKURA BATU
ANAK CUCU LIWAS PUTERA MURUT
ANAK CUCU LIWAS PUTERA MURUT
ini sangkura batu yang degilnya tak habis dimamah waktu. antara
anak-anak yang berkembara tapi tak lupa usul asalnya dari bibit-bibit
bumiputera anak cucu Liwas putera Murut di perbukitan. begitu cintanya tak
terbelah pada leluhur tempat tumpah darah pemaknaan erti sebuah perjuangan. Ini
sangkura batu yang diasuh mengasuh peribadi daripada makrifat payah nenek
moyang memberikan kemenangan dan kemerdekaan maruah yang sering
dikotak-katikkan. Apakah erti sebuah riwayat jika hanya hakikat yang perlu
dirawat sepanjang hayat? Dari riuh cengkerang biji-biji getah pecah dan suara
geselan dahan-dahannya, bau susu dan sekerap terus mengaroma sepanjang jalan
dan lorong dan sungai yang cantik jernih sekarang semata dikenang. Jika benar
menang rimba jati ditebang, getah disiangkan diganti palpa sawit dengan hakisan
dan petaka habitat terus tenat. Zaman telah membayar usia sangkura batu memamah
segala payah, gembira waima derita warga yang bergulat musibah. Dianugerahi
mukjizat tahu faham dan logika dua campur dua berjawab lima. Tak terceritakan
oleh aksara sebagai kata-kata semata retorika penyedap rasa andai bobrok bangsa
dipalu canangnya bermaharajalela. para marhaen serupa orang-orangan di kebun
atau batang-batang kayu mati yang dihanyuti air banjir. Analogi bisu yang
dengan tenang menjadi jalan-jalan tanpa liku tuan-tuan penggodam terus rakus
memperdaya mangsanya. dengar, ini sangkura batu, anak cucu Liwas putera Murut
sedang siaga memimpin saraf akal meneroka bimbang marhaen. Mari bangsa, mari
cinta, mari paduan semangat juang membanteras waras yang terbabas. buka segala
tabir pemisah fikir pembatas khuatir, tak ada jalan tanpa hadir lahir ruang
zahir melebarkan jalan-jalan tadbir. Mari saudara-saudaraku bergabung meletup,
memerangi kebatilan, membanteras kebatilan, menghancurkan kebatilan! Ini
sangkura batu anak cucu Liwas putera Murut di perbukitan!
Kampung Lumadan
Beaufort
15 Disember 2012
15 Disember 2012
(Kumpulan Puisi 'Pintu yang Terbuka')
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan