Istana Kadriyah atau Istana Keraton Kerajaan Pontianak.
Kenangan: Tugu Khatulistiwa
Ziarah Makan Opu Daeng Manambun
di Sebukit Mempawah
Rehat: meneguk air kelapa muda, dalam gerai yang becak.
GIGITAN PONTIANAK
Tidak Sekadar Catatan Perjalanan
Oleh Hasyuda Abadi
I.
Menyeberang sempadan negara bermakna harus membawa bersama sebuah buku yang tanpanya bererti suatu masalah besar akan dihadapi. Bahkan tidak itu semata-mata, selain berbaris panjang di Tebedu juga terpaksa berjalan lagi agak sedikit jauh setelah Entikong menjabarkan peraturan negaranya sekali lagi membawa sebuah buku, merakam kesepuluhan jari dan wajah kita siap untuk difoto. Wah, kemudian bergegas ke bas membawa beg pakaian yang akan discan, segalanya termasuk buah hati saya, si Nikon yang setia.
Sebenarnya kami bertolak dengan bas Damri, namanya, dari Bandar Kuching sekitar jam 7 pagi. Dua jam kemudian wajib diperiksa sebelum masuk laluan ke destinasi iaitu Kota Pontianak.
Duduk bersebelahan dengan Tuan Haji Hussin Kasau (Bung Hussin) sentiasa mendengar pengkisahannya yang terlalu membahagiakan. Dia orang lama yang pernah menjadi begitu berani menulis apa-apa sahaja ketika mudanya, memberikan iltizam bahkan ilmu bantu yang berguna. Jangan bicara soal dunia politik, ia malah boleh mengatakan apa sahaja, budaya serta sejarah dan dunia buku. Ini diperteguh apabila perjalanan kami menjadi lengkap dengan adanya sahabat baik saya, Abd Naddin Haji Shaiddin. Dia ada pengalaman berjalan ke Kota Pontianak, kami merasa begitu terpesona kerana sudah ada pandu yang akan memandu kami khususnya untuk menunaikan hasrat lawatan ini.
Seperti digambarkan oleh Bung Hussin sebelum berangkat, pertama kali kami bersantai di sebuah restoran di Plaza Tanjung Aru, sekurang-kurangnya empati lokasi utama. Pertama, tugu khatulistiwa. Kedua, istana keraton Pontianak. Seterusnya, mendapatkan buku-buku terbaik Indonesia dan akhirnya, kata bung Hussin, kalian tidak rugi jika dapat ziarah di sebuah makan pembesar Bugis di Mempawah. Apa yang dimaksudkanya itu ialah makam Opu Daeng Menambun.
Perjalanan begitu panjang dan betul-betul jauh. Tiga tempat disinggahi untuk rehat dan makan. Hampir sepuluh jam begitu. Memang memenatkan walaupun hanya duduk-duduk sahaja sambil menonton VCD lagu-lagu dangdut. Ewah... bergoyang-goyang juga kaki saya.
Jam enam sore waktu Kota Pontianak, kami tiba, langsung mendapatkan sebuah kenderaan untuk dihantar ke Hotel Mercure, tapi sopir itu tersilap membawa ke sebuah hotel lain. Tidak tahu mengapa, mungkin disebabkan macet atau agak jauh. Kata Bung Hussin, baiknya jika menginap di Hotel Mercure itu sebetulnya ia berdekatan dengan sebuah mall. Mall ini menempatkan sebuah gedung buku, salah satu lokasi perjalanan kami di Ponianak.
Kota Bernama Pontianak
Pontianak telah kujejaki, riuhnya seperti
di kota-kota lain, ucapan selamat datangnya
memperkenalkan rasa, cuaca dan lumrahnya
sebuah perjalanan, cuma malam segera
menggamit penat untuk segera istirahat
menanti beberapa hari yang baru, jika
bisa kupelihara makna pertemuan ini
selain beberapa catatan yang sentiasa
akan dikenang.
Kota Pontianak Kalbar
5 Disember 2010
II.
Hari pertama kembara tanggal 6 Disember. Jadual kami: Tugu Khatulistiwa.
Dari hotel kami berkenalan dengan seorang sopir berbangsa Bugis. Orangnya masih muda, suaranya memang memikat meyakinkan malah banyak tahu tentang hal-hal penting di Kota Pontianak. Namanya Pak Hadi. Keretanya jenis Avanza berwarna hitam. Tugu Khatulistiwa atau
Equator Monument berada di Jalan Khatulistiwa, Pontianak Utara, Propinsi Kalimantan Barat. Lokasinya berada sekitar 3 km dari pusat Kota Pontianak, ke arah kota Mempawah. Tugu ini menjadi salah satu ikon pelancongan Kota Pontianak dan selalu

dikunjungi masyarakat, khususnya pengunjung yang datang ke Kota Pontianak.
Sejarah mengenai pembangunan tugu ini dapat dibaca pada catatan yang terdapat di dalam gedung. Menariknya setiap pengunjung akan dianugerahi sebuah piagam perlintasan khatulistiwa (
Certificate of Equator Crossing) yang ditandatangani oleh walikota Pontianak, H.Sutarmidji, SH.M.Hum. Piagam ini diberi kerana pengunjung telah melintasi khatulistiwa di garis 109 20' 00".
Peristiwa penting dan menakjubkan di sekitar Tugu Khatulistiwa adalah saat terjadinya titik kulminasi matahari, yakni fenomena alam ketika matahari tepat berada di garis khatulistiwa. Pada saat itu posisi matahari akan tepat berada di atas kepala sehingga menghilangkan semua bayangan benda-benda dipermukaan bumi. Pada peristiwa kulminasi tersebut, bayangan tugu akan "menghilang" beberapa detik saat diterpa sinar matahari. Demikian juga dengan bayangan benda-benda lain disekitar tugu. Peristiwa titik kulminasi matahari itu terjadi setahun dua kali, yakni antara tanggal 21-23 Mac dan 21-23 September. Peristiwa alam ini menjadi acara tahunan kota Pontianak yang menarik kedatangan pelancong.
Tugu Pertanyaan
Tak ada jawapan selepas kubertanya inikah
sebuah tugu yang dibawa khabarnya angin
ke negeriku? Hanya sebuah toko yang sederhana
dan pondok makan untukku membasahkan,
di situ akalku tumpah tapi tak sempat
merebak ketika kudengar bicara anak-anak
kalian berada di negeri sendiri, seadanya
sekali sekali orang-orang saling merakam
kenangan di hadapan tugu, di bawah matahari
pada garis lintang khatulistiwa
yang menguja kutiba.
Tugu Khatulistiwa
Pontianak
III.
Perjalanan 10 jam dari Bandar Kuching memang cukup memenatkan. Badan terasa sengal dan seperti ditarik-tarik. Ada sebuah kamar pijatan di sebuah lorong tidak jauh dari hotel. Setiap orang akan membayar 50.000 rupiah. Sambil Abd Naddin menemukan saudaranya, saya dan Bung Hussin lebih kurang sejam dipijat. Saya fikir akan mengendurkan ketegangan otot, tetapi ia sebenarnya menambah kesakitan yang sedang ada.
Pijatan Pontianak
Merima saja dengan tenang bagaimana
gentar ku saat kau sental segala urat
dengan keras, telah kurasakan
hirisan-hirisan yang membelah isi
dan kulit, pada setiap titik
kutemui detik sejati.
Pontianak
6 Disember 2010
IV.
Tarikh 7 Disember 2010 bersamaan dengan hari pertama tahun hijrah 1432. Kami tidak meraikannya, rupanya tahun baru hijrah kami mulai di luar negeri, namun tetap sahaja dirasainya seperti berada di negeri sendiri. Ada perarakan persendirian di Kota Pontianak ini. Malah ketika melalui jalan ke Mempawah, kami terserempak dengan kumpulan berspeda, berarak dengan cara yang tersendiri. Saya tidak tahu hijrah di situ bagaimana dengan melihat sendiri sudah tentu ia merupakan pengalaman yang tidak akan dilupakan. Jalan raya mereka kuasai sebenarnya, kenderaan kami hampir diterbak.
Hijrah di Kota Seribu Sungai
Tiba hijrahnya waktu bernama usia
atau masa lampau yang enggan lupa
untuk segera berangkat, ketika
kumelewati sungai Landak
memandang saujana sosok motor
dan tenat kota, tak berhenti mendengar
bingar hingga kudihiburkan gudang kata-kata
di perut Grand Mall, tak lagi dihirau ketika senja
disembunyikan oleh doa-doa
di kota seribu sungai.
Kota Pontianak Kalbar
7 Disember 2010
Menulis Cinta
Hujung malammu tak pernah kusesiakan, ketika
sedia setia kusimpan bersama mimpi-mimpi
yang sama, dapatkah lagi kukucup pipimu jika
telah luruh musim-musim masa lalu? Ya,
mari segera kembali memulai menulisnya
walau kau jauh di ufuk sunyi, dan
cinta tak pernah pergi.
Pontianak
7 Disember 2010
V.
Berbanding Bung Hussin dan Abd Naddin, saya tidaklah begitu teliti terhadap berkembangnya intipati sejarah nusantara, walaupun ia bukanlah hal baru,hanya selepas berkembara ini, telah mula melebar andatila masa sudah malah mulai tumbuh, paling tidak memperteguh apa yang telah sedia ada. Selain pengalaman saya merasakan ilmu perjalanan yang amat baik.
Rencana untuk keluar dari Kota Pontianak menjadi kenyataan, apatah lagi pak sopir kami telah bersedia membawa ke Mempawah untuk langsung ke Sebukit. Di situ lokasi sebuah makam pembesar Bugis yang pernah memerintah Mempawah di abad ke-18 yang lepas. Namanya memang cukup terkenal di persekitaran Nusantara yang dikaitkan dengan Bugis Lima Bersaudara - Daeng Parani, Daeng Marewah, Daeng Manambun dan Daeng Kemasi. Jasadnya disemadikan di atas sebuah bukit, agak memenatkan juga, namun bukan kerana kepenatan yang diicari, justru sebuah makam yang dirumahi, maksudnya dijaga dengan baik. Di sekelilingnya merupakan hutan, diusiakan bersama saya fikir pohon-pohon tua yang menagakar. Di bawahnya merupakan sebuah sungai yang sedang mengalir deras. Banjir sebenarnya sedang berlaku ketika itu. Namun jalan kecil yang digenangi air tidak mematahkan semangat sopir kami yang kebetulan tidak pernah sampai.
Pak Hadi bersyukur bersama kami kerana dia sendiri walau berketurunan Bugis malah selalu tidak berkesempatan semasa diajak ke makam Daeng Manambun. Daripada sosok wajahnya memang anak muda ini begini siaga untuk tiba dan selepas ini dia menjadi lebih bersedia untuk berkata apa sahaja mengenai pembesar Bugis itu.
Nikon saya begitu asyik dengan keindahan hutan Sebukit, lantaran tergoda itu, saya terlupa bilangan anak tangga yang menyebabkan kami dan pengunjung yang tabah sampai diatas. Makam Daeng Menambun ini mempunyai keluasan lebih kurang 7 meter X 7 meter dan boleh menampung 20 orang sekali. Ketika itu kami turut disambut sekumpulan orang tidak jauh dari Mempawah akan memulakan upacara ziarah dan membaca surat Yasin. Pada mulanya sekadar untuk melihat-lihat, kami akhirnya ikut mengaminkan doa yang dikepalai seorang pemimpin rombongan itu. Terdapat sekurang-kurang tiga insan disemadikan dalam makam itu selain Opu Daeng Menambun.
Bukit selalunya dikaitkan dengan strategi para pejuang masa lalu. Barangkali inilah juga jadi penyebab mengapa Daeng Manambun berada di Sebukit. Cuma yang tidak kelihatan sebarang tanda istana atau rumah-rumah lama sebagai bukti sebuah kerajaan pernah terjadi di situ. Jika timbul pertanyaan saya fikir dan orang lain juga, kehadiran kenderaan yang membawa sebilangan orang datang ke situ. Tanpa batas etnis atau kepercayaan agama hadir bersama niat yang tidak ketahuan. Soalnya, begitu orang memandang Daeng Manambun walaunpun datang dari daerah-daerah yang jauh. Tentu sahaja dengan kehadiran orang-orang seperti kami, menjelaskan bagaimana kebesaran seorang pemimpin Bugis di Nusantara, tetap diingat dan disanjung ratusan tahun.
Makam Sebukit
Di Sebukit ini kukira telah begitu tua dimanjakan
usianya, jika dapat kuhitung jarak waktu
telah jutaan jejak tiba, dengan seutuh sasa
dan gagah tanpa kau fikir dalam fikir mereka itu
apa-apa sahaja, yang khusus dibawa bersama rahsia
diri, mengagungi bahkan damba cerahan katarsis, apa
sahaja melewati pohon-pohon tua dan
saujana belantara.
Makam Opu Daeng Manambun
Sebukit Mempawah
7 Disember 2010
Menambun
Aora Menambun telah menembus garis etnis
dan agama, tanpa goyah menatap bacaan
masa sudah, kau gagah dan tak
pernah menyerah hingga ranum
di segala hati jagat, menimbus curiga
ufukmu sudah ada di mana-mana.
Mempawah
7 Disember 2010
VI.
Kota Pontianak pada hari ke-4 tidak begitu menyenangkan. Buminya basah, sepajang hari hujan dan banjir mula menakluk tempat-tempat rendah. Pak Hadi setia membawa kami bertiga meredah jalan kecil di Kampung Bugis Dalam. Keriuhan masyarakat di sepanjang jalan akibat banjir disambut meriah oleh anak-anak dengan galak mandi manda, aktiviti jual beli juga berlangsung seperti biasa, speda-speda juga keluar masuk di jalan begitu banyak sekali. Rupanya inilah wajah Pontianak di hujung tahun namun menurut Pak Hadi banjir kali ini agak luar biasa, rumahnya sendiri juga sedang dinaiki air. Sungai Kapuas yang besar itu sedang mengaum!
Demi masa yang begitu sedikit dan memang rencana kami pada hari terakhir ini dengan melawat Istana Kadriyah atau Keraton Pontianak. Istana ini tidak jauh hanya lebih kurang 15 minit dari pusat kota. Terletak di Kampung Dalam Bugis, Pontianak Timur. Di dalam bangunan dapat ditemui peninggalan-peninggalan kerajaan seperti kursi singgasana, pakaian, cermin pecah seribu, keris, meja giok, meriam dan sebagainya. Keraton Pontianak berukuran 30 x 50 meter, keraton terbesar di Kalimantan Barat. Terbuat dari kayu belian dan dibangun oleh pendiri kota Pontianak, Sultan Syarif Abdurrahman pada 1771. Bangunan tua yang cukup megah ini dilapisi cat kuning yang melambangkan kebesaran kerajaan Melayu. Berhadapan dengan bangunan keraton terdapat masjid Jami yang dibangun hampir bersamaan.
Kami belum mendapatkan apa yang dicari iaitu sejarah Kota Pontianak itu sendiri termasuklah bagaimana Pontinanak mendapat nama. Kami mencari cara dan untuk mendapatkan maklumat, kami mengunjungi dua buah pejabat wisata yang ada kaitan dengan sejarah serta budaya Kota Pontianak. Namun maklumat yang menyeluruh tidak juga ditemukan, hanya pada akhirnya dimaklumkan supaya mencari sebuah pubrik cetakan buku. Dan sesampai di situ kami menemui sebuah buku berjudul ‘Perspektif Sejarah Berdirinya Kota Pontianak’. Dalam buku ini memang banyak tulisan berkaitan pembangunan Pontianak dari awal hinggalah sekarang.
Catatan sejarah telah memahatkan Syarif Abdurrahman, sebagai pendiri Kesultanan Pontianak. Beliau adalah putra Al Habib Husin, seorang penyebar ajaran Islam yang berasal Arab. Tiga bulan setelah ayahnya wafat pada tahun 1184 Hijriah di Kerajaan Mempawah, Syarif Abdurrahman bersama dengan saudara-saudaranya bermuafakat untuk mencari tempat kediaman baru. Mereka berangkat dengan 14 perahu Kakap menyusuri Sungai Peniti. Waktu Zohor mereka sampai di sebuah tanjung, Syarif Abdurrahman bersama pengikutnya menetap di sana. Tempat itu sekarang dikenal dengan nama Kelapa Tinggi Segedong.
Namun Syarif Abdurrahman mendapat firasat bahwa tempat itu tidak baik untuk tempat tinggal dan ia memutuskan untuk melanjutkan perjalanan mudik ke hulu sungai. Tempat Syarif Abdurrahman dan rombongan sembahyang zohor itu kini dikenal sebagai Tanjung Dhohor.
Ketika menyusuri Sungai Kapuas, mereka menemukan sebuah pulau, yang kini dikenal dengan nama Batu Layang, di mana sekarang di tempat itulah Syarif Abdurrahman beserta keturunannya dimakamkan. Di pulau itu mereka mulai mendapat gangguan hantu Pontianak. Syarif Abdurrahman lalu memerintahkan kepada seluruh pengikutnya agar memerangi hantu-hantu itu. Setelah itu, rombongan kembali melanjutkan perjalanan menyusuri Sungai Kapuas.
Menjelang subuh, 14 Rejab 1184 Hijriah atau 23 Oktober 1771, mereka sampai pada persimpangan Sungai Kapuas dan Landak Setelah delapan hari menebas pohon di daratan itu, maka Syarif Abdurrahman lalu membangun sebuah rumah dan balai, dan kemudian tempat tersebut diberi nama Pontianak. Di tempat itu kini berdiri Masjid Jamek dan Keraton Pontianak.
Akhirnya pada tanggal 8 bulan Sya’ban 1192 Hijriah, dengan dihadiri oleh Raja Muda Riau, Raja Mempawah, Landak, Kubu dan Matan, Syarif Abdurrahman dinobatkan sebagai Sultan Pontianak dengan gelar Syarif Abdurrahman Ibnu Al Habib Alkadrie.
Sejarah pendirian kota Pontianak yang dituliskan oleh seorang sejarawan Belanda, VJ. Verth, dalam bukunya Borneos Wester Afdeling, sedikit berbeza dari versi cerita yang beredar di kalangan masyarakat saat ini. Dalam bukunya VJ. Verth menulis bahwa Syarif Abdurrahman, putra ulama Syarif Hussein bin Ahmed Alqadrie (atau dalam versi lain disebut sebagai Al Habib Husin), setelah meninggalkan kerajaan Mempawah mulai mengadu nasib di laut.
Di Banjarmasin ia kawin dengan adik seorang sultan bernama Ratu Sarib Anom. Ia berhasil dalam perniagaan dan mengumpulkan cukup modal untuk mempersenjatai kapal pencalang dan perahu lancangnya. Kemudian ia mulai melakukan perlawanan terhadap penjajahan Belanda.
Dengan bantuan Sultan Passir, Syarif Abdurrahman kemudian berhasil membajak kapal Belanda di dekat Bangka, juga kapal Inggris dan Perancis di Pelabuhan Passir. Abdurrahman menjadi seorang kaya dan kemudian mencoba mendirikan pemukiman di sebuah pulau di sungai Kapuas. Ia menemukan percabangan sungai Landak dan kemudian mengembangkan daerah itu menjadi pusat perdagangan yang makmur.
Istana Lama
Entah berapa lama lagi sosok bangunan
dapat bertahan, jika di dalamnya hanya
ditinggalkan foto-foto lama, singgahsana
dan ruai peraduan, entah berapa lama
kekaguman menjadi suatu pandangan
masa lalu, yang telah bisu, biar apapun
telah sempat dijelaskan ranumnya sejarah
dilipat kemas dan disimpan dalam kotak-kotak
ingatan, ketika berada di tengah istana
tanya bersahutan mengunyah kesedihan.
Istana Kadriyah,
Pontianak
8 Disember 2010
Sengketa
Satu jalan telah berbagi. Sudah sampai masanya
kau bersiap untuk memilih. Apakah kelak benar jua
yang telah kau pegang? Pandang saujana
yang Tuhan berikan, bumi tak pernah rela
diperbuat sengketa. Sayang nafsu menguasai
segala. Duniamu teroka api menjadi lautan
yang menenggelam. Sambil akal telah dibaham
gelojoh. Satu jalan telah berbagi dalam
dendam-dendam yang tak sudah.
Supadio Pontianak
9 Disember 2010
VII.
Puisi terakhir di atas bertajuk ‘Sengketa’, dengan sengaja ditulis. Saya memandangnya ketika berada di negeri orang tentang sengketa yang berlaku di mana-mana di dunia, dan malah di negeri saya sendiri, Malaysia. Tuhan tidak memberikan bumi ini untuk bersengketa. Ia suatu rahmat dan anugerah agar mampu ditadbir dengan sebaiknya. Orang tidak lagi peduli semua itu.
Nafsu sarakahnya hanya tahu menakluk walau dengan apa cara sekali pun. Barangkali telah dianggap salah bahawa dengan sengketa itulah perjuangan. Dengan sengketa sesiapa perlu berjuang untuk mencari kebenaran. Namun yang selalu menjadi mangsa ialah rakyat jelata, mereka seumpama pelanduk yang terkapar di tengah-tengah sengketa. Negeri tidak terurus dengan baik. Orang yang maju akan terus ingin maju, dia punya wang dan dengan wang itu dia boleh berdiri di hadapan dengan bangga. Dia berupaya menukar apa sahaja termasuklah menguasai ekonomi dan membentuk budaya hidup persekitaran.
Bilakah akan berakhir segala sengketa itu? Gigitan Pontianak begitu dirasakan waima saat selepas kami berangkat dari Supadio Airport Pontianak dan tiba di Lapangan Terbang Kuching. Batavia Air hanya sempat 20 minit menyeberangkan kami dari sempadan dua Negara. Gigitan Pontianak menjadi pengalaman yang ketika darahku kembali diulit cuaca negeri sendiri, pandangan tentang betapa luasnya andatila Sungai Kapuas dan Sungai Landak. Rumah-rumah yang terbangun di bawahnya sungai atau sui yang membawa air untuk mereka mandi dan membasuk pakaian. Di Kota Pontianak yang merimaskan untuk menelan makanan apatah lagi ketika melihat sebuah warung bakso sebenarnya ia disediakan oleh orang bukan Melayu dan apabila menemukan rumah makan di sebuah jalan yang agak jauh, ia begitu kurang sempurna. Tuga Khatulistiwa memang amat infomatif untuk mengetahui gerak matahari, tetapi masih ada kekurangan yang sebaiknya disediakan prasarana untuk para wisata atau pelancong benar-benar takjub dengan kebesaran Tuhan. Banyak yang dirasakan tidak beres di situ namun barangkali inilah dia Kota Pontianak, jika anda ingin gambarkan sebagai kota hantu yang setelah menerima ‘gigitan’nya ia tidak mudah dilupakan begitu sahaja.
PUSTAKA IQBAL NAZIM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan